Hidrat
Hidrat adalah istilah yang digunakan dalam bidang kimia tak organik dan kimia organik untuk menandakan bahawa sesuatu bahan mengandungi air. Keadaan kimia airnya banyak berbeza-beza sesama hidrat, malah ada yang sudah dikira sebagai hidrat sebelum struktur kimianya difahami.
Sifat kimia hidrat
[sunting | sunting sumber]Kimia organik
[sunting | sunting sumber]Dalam kimia organik, hidrat merupakan sebatian yang terbentuk oleh penambahan air atau unsur-unsurnya pada satu lagi molekul. Misalnya, etanol, CH3–CH2–OH, boleh dikira sebagai suatu hidrat bagi etena, CH2=CH2, yang terbentuk oleh penambahan H kepada satu C, dengan OH kepada satu lagi C. Mungkin terhapusnya sebutir molekul air, misalnya oleh tidankan asid sulfurik. Satu lagi contoh ialah kloral hidrat, CCl3–CH(OH)2, yang boleh terbentuk oleh tindak balas air dengan kloral, CCl3–CH=O.
Molekul-molekul ini telah dilabelkan sebagai hidrat atas sebab-sebab yang lamapu. Glukosa, C6H12O6, pada asalnya disangkakan sebagai C6(H2O)6 dan ditakrifkan sebagai karbohidrat, tetapi ini adalah satu keterangan yang amat pincang tentang strukturnya seperti yang diketahui kini. Metanol sering dipasarkan sebagai “metil hidrat”, membayangkan formula silap CH3OH2, sedangkan formula yang sebetulnya ialah CH3–OH.
Kebanyakan molekul organik, seperti mana dengan molekul tak organik, membentuk hablur yang menerapkan air ke dalam struktur kehablurannya tanpa pindaan kimia terhadap molekul organik (air penghabluran). Contohnya, gula trehalosa wujud dalam bentuk anhidrat (kontang) (takat lebur 203 °C) ataupun dihidrat (takat lebur 97 °C). Hablur protein selalunya mengandungi air sebanyak 50%.
Kimia tak organik
[sunting | sunting sumber]Hidrat adalah garam tak organik yang "mengandungi molekul air yang terpadu-padu dalam nisbah yang tertentu sebagai bahagian hablur yang penting"[1] yang diikat pada suatu pusat logam ataupun terhablur dengan kompleks logam. Hidrat-hidrat sedemikian juga dikatakan mengandungi air penghabluran atau air penghidratan. Jika airnya itu air berat, yang mana hidrogen yang terlibat afalah isotop deuterium, maka istilah deuterat boleh digunakan sebagai ganti hidrat.[perlu rujukan]
Kobalt(II) klorida kontang CoCl2 |
Kobalt(II) klorida heksahidrat CoCl2·6H2O |
Contohnya, kobalt(II) klorida yang bertukar dari biru ke merah sebaik sahaja dihidratkan, dan oleh itu boleh digunakan sebagai penanda air.
Notasi sebatian hidrat · nH2O, yang mana n adalah bilanga molekul air dalam seunit formula garam, sering digunakan untuk menunjukkan bahawa garamnya telah dihidratkan. Lazimnya n ini adalah integer rendah, namun boleh diterima juga nilai-nilai berpecahan. Contohnya, dalam monohidrat, n adalah 1; sementara dalam heksahidrat, n adalah 6. Berikut adalah awalan bilangan yang diserap dari bahasa Yunani:
- Hemi – 1/2
- Mono – 1
- Di – 2
- Tri – 3
- Tetra – 4
- Penta – 5
- Heksa – 6
- Hepta – 7
- Okta – 8
- Nona – 9
- Deka – 10
Suatu hidrat yang kehilangan air dikenali sebagai anhidrida; air yang tinggal hanya boleh dikeluarkan dengan pemanasan yang teramat kuat. Sesuatu bahan yang tidak mengandungi sebarang air dipanggil anhidrat atau kontang. Sesetengah sebatian kontang dihidratkan dengan begitu mudah hingga dikatakan higroskopik dan digunakan sebagai bahan pengering.
Kestabilan
[sunting | sunting sumber]Kestabilan hidrat pada umumnya ditentukan oleh sifat sebatian-sebatiannya, suhunya serta kelembapan relatif (jika terdedah kepada udara).