S. M. Salim
S. M. Salim | |
---|---|
Kelahiran | Sheikh Salim bin Sheikh Mohamad Al Mahros 30 Julai 1928 |
Meninggal dunia | 29 Disember 2016 Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor | (umur 88)
Sebab kematian | Sakit tua |
Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur |
Pekerjaan | Penyanyi, pelakon |
Tahun aktif | 1949–2016 |
Pasangan | Puan Sri Aishah Abdul Ghani (k. 1954–2016) |
Anak-anak | 7 |
Kerjaya muzik | |
Genre | Pop tradisional, Etnik Kreatif, Irama Malaysia |
Instrumen | Vokal |
Pengkarya berkait | Yusni Hamid, Jamal Abdillah, Zainal Abidin, Siti Nurhaliza |
Sheikh Salim bin Sheikh Mohamad Al Mahros (30 Julai 1928 – 29 Disember 2016) atau lebih dikenali sebagai S. M. Salim ialah seorang penyanyi Malaysia. Beliau merupakan seniman kedua bergelar Tan Sri selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Kerjaya
[sunting | sunting sumber]S.M. Salim mula bekerja sebagai juruhebah Radio Malaya, Singapura (sekarang RTM, Mediacorp Singapura) secara sambilan semenjak 1957. Pada masa sama dia dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu Melayu klasik (tradisional). Pada tahun 50-an, dia menganggotai kumpulan Irama Melayu (pimpinan Awalaudin), sebelum menyertai Orkestra Puspati (diketuai mendiang Alfonso Soliano). Tan Sri P. Ramlee (Allahyarham) adalah antara orang yang banyak mempengaruhi kerjayanya sebagai anak seni.
Yusni Hamid adalah orang yang kerap berduet dengannya. Namun S. M. Salim pernah berduet dengan Zainal Abidin untuk lagu 'Satu', dan terbaru bersama Siti Nurhaliza menerusi lagu 'Pandang Pandang, Jeling Jeling' yang dinyanyikannya ketika mengadakan konsert Orkestra Filharmonik Malaysia di Dewan Filharmonik Petronas pada 31 Mac dan 1 April lalu.
Beliau merupakan antara artis yang diundang untuk menghiburkan tentera dari pelbagai negara ketika tentera Malaysia ditugaskan di Congo di bawah bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1960. S. M. Salim juga pernah melaksanakan tugas yang sama ketika era Konfrontasi dengan Indonesia pada awal tahun 1960. Beliau menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dari kerajaan selepas kembali dari Congo bersama-sama dengan penggesek biola, Allahyarham Hamzah Dolmat dan pelawak, Ismail Bontak.
Beliau juga pernah membintangi filem 'Mata Permata' terbitan Filem Negara Malaysia (FNM) yang disiarkan di RTM pada tahun 1964.
Pencapaian
[sunting | sunting sumber]Pada 1991, beliau dianugerahkan 'Tokoh Seni' oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan 'Anugerah Seri Wirama' di Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIMM) pada 1997.
S.M. Salim turut diberikan Anugerah Biduan Negara oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Anugerah tersebut diberi berdasarkan sumbangan beliau yang memperjuangkan lagu-lagu asli Melayu. [1][2]
Keuzuran dan kematian
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1998, beliau disahkan menghidap penyakit saraf yang menyebabkannya lumpuh dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.
Pada 29 Disember 2016, Tan Sri SM Salim menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Ukay Perdana, Ampang akibat sakit tua kira-kira jam 5.45 petang pada hari Khamis, selepas dua hari berada dalam keadaan tenat selepas keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga sukar bernafas pada malam Selasa lalu (27 Disember 2016).[3] Berita kematian Allahyarham disahkan oleh anaknya, Sheikh Shamsul Salim, 51. Jenazah Allahyarham SM Salim telah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas solat Jumaat.[4]
Sejak berita Allahyarham nazak tersebar menerusi aplikasi WhatsApp, keluarga Allahyarham tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu termasuklah wakil persatuan seni dan rakan-rakan artis. Antara yang menziarahi Allahyarham ialah Datuk Jamal Abdillah, Fauziah Nawi, Fazli Zainal, Datuk Ramli M. S. dan Datuk A. Rahman Hassan.[5] Beliau meninggalkan isteri, Puan Sri Aishah Abdul Ghani bersama tujuh orang anak iaitu Siti Nuraishah, Sheikh Samsuddin, Siti Nur Huda, Siti Maheran, Siti Huzayah, Sheikh Shamsul, dan Siti Zubaidah.[6]
Diskografi
[sunting | sunting sumber]- Janganlah Marah Marah bersama Norma Salim (1953)
- Hiboran Bintang2 Malaya (1955)
- OST Sri Mersing (1965)
- SM Salim (1979)
- Joget Kasih Bermula (1980)
- Kong Kong Kak (1980)
- Cempakasari (1989)
- Apa Dah Jadi (1991)
- Satu (23 Disember 1992)
- Nanti Dulu (30 Jun 1994)
- Jeling Menjeling - bersama Yusni Hamid (1995)
- Album Sekarang Dah Jadi (2003)
- Nostalgia Abadi (2008)
- Biografi (2011)
- 4 Bintang Popular Vol 2 (2011)
- Tan Sri P. Ramlee & Tan Sri S. M. Salim (2012)
Filemografi
[sunting | sunting sumber]Filem
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
1964 | Mata Permata | Kahar | |
2003 | Laila Isabella | Dirinya sendiri | Penampilan khas |
Telefilem
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2003 | Neon | Dirinya sendiri | VCD | Penampilan khas |
Anugerah
[sunting | sunting sumber]- Ahli Mangku Negara (AMN) dari Yang di-Pertuan Agong (1964).
- Bintang Kelakuan Terpuji (BKT) dari Yang di-Pertua Negeri Melaka (1982).
- Bintang Setia Kinabalu (BSK) dari Yang di-Pertua Negeri Sabah (1984).
- Darjah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) oleh Sultan Selangor yang membawa gelaran Dato' (1992).
- Dato' Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Mulia (DPMT) dari Sultan Terengganu yang membawa gelaran Dato' (1994).
- Dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-75 pada 2 Jun 2001 yang membawa gelaran Tan Sri.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ SM Salim terima Anugerah Biduan Negara © Utusan Melayu (M) Bhd
- ^ Air mata seniman
- ^ Mohd Al Qayyum Azizi (29 Disember 2016) Biduan Negara, SM Salim Meninggal Dunia Diarkibkan 2017-06-19 di Wayback Machine mStar Online. Dicapai pada 29 Disember 2016.
- ^ S.M. Salim dies The Star Online. Retrieved 29 December 2016.
- ^ Seniman negara, SM Salim, 88 meninggal dunia Astro Awani. Dicapai pada 29 Disemebr 2016.
- ^ Legendary singer SM Salim dies at age 88 Malaysiakini. Retieved 29 December 2016.