Showing posts with label Seiko. Show all posts
Showing posts with label Seiko. Show all posts

Friday, June 13, 2014

Seiko Scubamaster M726... yang pertama seumpamanya....

     Setelah sekian lama meninggalkan penulisan jam, akhirnya berjaya juga siapkan artikel yang sudah bertahun terbengkalai ini. Untuk mencari idea 'menulis' dirasakan agak sukar untuk dimulakan pula.... idea berkarat di sana sini. Susunan ayat yang cantik juga berkali-kali aku fikir, tulis, baca, padam & tulis semula, padam balik... sampai satu masa tinggalkan begitu saja........ kembalilah artikel itu tergantung & beberapa artikel menerima nasib yang sama....

Sebagai permulaan lembaran baru ini, aku merasakan jam yang terbaik untuk aku ketengahkan buat 'pertama' kali ini ialah Seiko Scubamaster M726 yang merupakan jam grail pertama aku & agak kuat pengaruhnya minat aku terhadap jam...


Seiko Scubamaster M726
Tali originalnya merupakan tali getah wave Seiko

Berikut merupakan gambar yang aku perolehi dari web Seiko UK mengenai jam diver yang pernah dikeluarkan Seiko suatu ketika dulu. Ia tidaklah lengkap dengan semua model yang dikeluarkan tetapi lebih kepada jam diver legasi mereka.



Seiko UK - landmarks in time



----------------------------------------



SEJARAH AWAL MENGENALINYA


   Suatu ketika dulu, yakni sudah 4 tahun... bermula 6 Julai 2010 aku pernah paparkan SNEAK PREVIEW mengenai jam ini. Ramai tertanya-tanya apakah jam tersebut, tak kurang juga yang cuba meneka. Namun gambar-gambar yang aku paparkan itu agak 'sadis' rupanya sampai nak teka pun susah. Persoalan itu terjawab pada 14 Mac 2011...

Seperti yang ramai sudah tahu, minat aku terhadap jam bermula sejak sekolah rendah dengan pengenalan Casio Databank DB-30 yang kawan aku pakai masa darjah 6 dulu (1992). Minat aku makin bertambah & berangan-angan untuk memiliki pelbagai jam sejak itu. Mana-mana gambar jam aku jumpa di majalah aku akan potong & dimasukkan ke dalam buku 'skrap' aku...


   Salah satunya ialah keratan mengenai jam ini.....  Jika tak silap aku sekitar tahun 1992-1993, aku menjumpai gambar jam ini di majalah ibu. Aku merasakan ianya satu jam yang sangat 'hi-tech' & mendahului zaman seperti gadget James Bond 007. Aku tak faham pun apa yang artikel tu sampaikan ketika itu... Aku hanya teruja dengan kecanggihan & kegagahan rupa jam tersebut & merasakan ianya suatu jam yang hebat. Ia menjadi salah satu jam yang aku admire sepanjang alam persekolahan. 


   Tidak aku sangka & tak terfikir langsung pun... pada tahun 2010 aku menjumpainya di eBay. Terkejut juga kerana ianya hanya satu klik saja jaraknya untuk aku miliki. Penjual berkenaan ada 3 jam ini dalam jualannya, yang mana 2 adalah terpakai & 1 adalah jam baru New Old Stock (NOS) termasuk buku panduan & kotak. 

Semalaman juga aku fikir samada nak beli atau tidak kerana harganya agak tinggi & aku pula tidak tahu apakah harga baru jam ini suatu ketika dulu. Adakah berbaloi pembelian aku itu? Aku tak tahu....  Makin meragukan pula apabila tengok rating penjual ini yang hanya baru berniaga dengan hanya beberapa jualan saja dilakukan. Namun penjual ini mempunyai koleksi jam rare yang agak mengagumkan.... pejam mata sajalah..... BUY IT NOW (klik!) 


Seiko M726 bersama buku panduannya (manual book).
   Ia merupakan pembelian jam paling mahal pernah aku beli ketika itu & merupakan pembelian gamble memandangkan keyakinan aku terhadap penjual tersebut hanyalah 50/50. Aku juga masih agak baru dengan pembelian di eBay ketika itu. 

Satu siksaan juga menunggu untuk ia sampai. Hati berdebar & tak tentu arah juga dengan risiko yang aku ambil itu...... takut ditipu.... Namun pada masa yang sama penjual tersebut kerap menghubungi aku bertanyakan jam tersebut sudah sampai atau belum memandangkan beliau juga masih baru sebagai penjual. Beberapa minggu kemudian jam tersebut sampai... segala kekusutan aku terungkai sudah...  alhamdulillah... Agak mengecewakan apabila aku ingin membeli jam lain darinya, beliau sudah tidak berniaga lagi dalam eBay.


   Aku pernah e-mel pihak Thong Sia & Seiko Japan sendiri bertanyakan maklumat mengenai jam ini. Ucapan tahniah aku dapat dari mereka kerana memiliki jam ini & mereka agak terkejut bagaimana aku memilikinya. Tiada banyak maklumat aku peroleh dari mereka. Menurut mereka alat ganti (spare part) jam ini telah lama dihentikan. Polisi Seiko hanya mengeluarkan alat ganti tidak melebihi 10 tahun dari tarikh pengeluarannya. Selepas itu, alat ganti yang ada hanyalah stok yang mereka ada saja & tidak dibuat baru. Jam ini kini sudah masuk dalam muzium Seiko & hanyalah sebagai collector item. Ketika ianya dikeluarkan pada tahun 1990, harga jualannya ialah USD$1000. 

Berikut merupakan link ke video youtube yang menunjukkan Seiko Scubamaster yang dipamerkan di Baselworld 2010 bersama-sama jam ciptaan pertama mereka yang lain.




----------------------------------------



SUATU CIPTAAN MELAKAR SEJARAH


Seiko M725
Gambar dari forums.watchuseek.com

   Pada tahun 1990 Seiko memperkenalkan kepada dunia suatu jam yang canggih iaitu Seiko Scubamaster M725 & M726. Ia merupakan jam diver berkomputer pertama dunia (the world's first computerized diver's watch). Tidak berlebihan jika dikatakan jam tersebut merupakan suatu tool watch.


-------------------------
 

Gambar dari forum Watch U Seek

Apakah itu 'tool watch'?
Ia merupakan jam yang diciptakan khas untuk tujuan tertentu.
Sebagai khusus, jam khas penyelam seperti Scubamaster ini.


-------------------------


   Jam ini dicipta dengan kemampuan untuk mengesan kedalaman penyelam ketika selaman sehingga tahap maksimun 200 meter. Ia dilengkapi dengan sensor mengesan air & pengesan kedalaman yang sarat dengan fungsi berguna kepada seorang penyelam (diver).

Kedua-dua model yang diperkenalkan Seiko itu hanyalah berbeza dari segi kosmetik sahaja. Seiko M725 mempunyai casing keemasan berserta display yang keemasan juga. Selain itu bezelnya dibuat berkilat. Tak pasti samada ianya saduran ataupun plastik yang dipolish sempurna.


Seiko Scubamaster M725

   Kedua-dua model tersebut sangat sukar dijumpai dalam pasaran. Namun M725 jauh lebih sukar dijumpai  berbanding M726. Pada saat aku menulis ini, ada beberapa M726 aku jumpai dalam eBay & hanya satu M725. Suatu yang sukar untuk menjumpai M725 dalam eBay. Jika sesiapa berkeinginan, bolehlah memilikinya sementara masih ada....

 Maklumat mengenai Scubamaster adalah sangat terhad di internet. Tidak ada sejarah khusus yang menceritakan jam ini di web utama Seiko mahupun review yang menyeluruh mengenainya dari mana-mana sumber. Untuk mencuba fungsi selamannya kini adalah agak mustahil dilakukan bagi mereka yang memilikinya. Andaian aku mungkin jam tersebut telah tua & mereka atau pemilik tidak berani untuk mengambil risiko menggunakannya ketika menyelam memandangkan alat ganti jam ini sangat sukar diperolehi kerana sudah lama tidak dikeluarkan & agak mustahil untuk memperbaikinya pula jika rosak. Selain itu juga bukan semua collector/pemilik jam diver adalah penyelam. Selain itu tiada maklumbalas dari para penyelam yang pernah menggunakan jam ini didapati di internet. Tak pelik jugalah sebab sudah 24 tahun berlalu & teknologi zaman itu tidak seperti sekarang. Mungkin rekod mengenai jam tersebut sudah tiada kini.



Seiko M726
   Ini merupakan M726-5A00 milik aku. Jam ini secara spesifiknya dikeluarkan pada Ogos 1995 keluaran ke 188. Kondisinya sangatlah memuaskan & sepertimana yang penjual claim.... New Old Stock (NOS). Ia didatangkan dengan kotak & buku panduan yang tebal. Tali getah padanya masih tali original & berkeadaan baik tanpa kesan dipakai langsung.



Buku panduan (manual book).
   Pelbagai maklumat, cara penggunaan & fungsi diceritakan dengan jelas. Aku pernah membacanya ketika perasaan ghairah memilikinya beberapa tahun lalu, namun aku telah lupa apa yang telah dibaca itu. Kena baca balik nampaknya....



   Fungsi utamanya diceritakan dengan begitu terperinci. Jika aku seorang diver, mungkin aku akan lebih faham dengan istilah selaman yang digunakan dalam buku panduan tersebut. 



----------------------------------------



CASING


   Ia adalah jam yang besar & berat bagi suatu jam digital. Namun tidaklah seberat jam Seiko Monster. Casing stainless steel diberi sentuhan sand blasted finish. Ia berdiameter 51.5mm & mempunyai panjang dari lug ke lug (vertikal) 51mm. Saiz lug pula ialah 22mm. Bentuk casing adalah tidak simetri yang mana sebelah kiri lebih membulat berbanding sebelah kanan.
   Ia mempunyai ketebalan 13mm. Mempunyai 4 push button secara keseluruhan dengan saiz yang agak besar bagi memudahkan penggunaanya bersama sarung tangan ketika menyelam. Button itu juga lembut apabila ditekan.

   Helium escape valve? Untuk jam diver 300m saturated diver... Ya! Untuk jam ini ia bukanlah valve tersebut & aku yakin ianya adalah salah satu sensor yang dibina padanya walau tidak diceritakan di dalam buku panduan.


   Bezel berwarna hitam tersebut boleh ditanggalkan & diikat dengan 6 skru. Ianya diperbuat dari sejenis plastik & boleh ditukar jika berjaya dapatkan alat gantinya. Bezel tersebut lebih tinggi berbanding cermin jam. Ia boleh bertindak sebagai pelindung cermin dari pecah akibat terhantuk.


   Pada zaman keluarannya ia adalah jam yang sangat canggih. Kecanggihannya itu tidak diselindung & ditonjolkan bersama designnya. Wajahnya yang gagah itu sudah memberitahu ianya bukanlah jam sembarangan.... 


   Posisi LCD diletakkan di sebelah kiri sedikit untuk memberikan ruang kepada sensor yang canggih itu di sebelah kanan. Cermin mineralnya sedikit cembung & tebal. Kekemasan buatan jam ini sangat halus & terperinci.



----------------------------------------



SIRI KELUARAN


   Seiko tidak sekadar menghasilkan Scubamaster M725 & M726 semata-mata, atau sebagai ciptaan try & error. Mereka serius dalam apa jua cabang jam yang mereka masuki. Mereka mengeluarkan beberapa lagi model Scubamaster digital bersensor untuk mewarnai dunia scuba digital yang sarat dengan fungsi untuk kegunaan seorang penyelam.

Seiko M705-5A10
Gambar dari Tungchoywatch.com

Seiko M796
Gambar dari Digital-watch.com
   Model ini mempunyai fungsi yang lebih banyak, bukan sekadar merekod selaman. Ia mempunyai fungsi mengukur suhu air, tekanan atmosfera, stopwatch, timer & lain-lain lagi.


Seiko Kinetic Scubamaster Stingray
Gambar dari Klocksnack.se
   Jelas sekali ia bukanlah jam digital. Hanya sekadar rekod, ia merupakan jam dalam keluarga Scubamaster yang menggunakan teknologi kinetik. Seperti semua model Scubamaster, ia juga sudah tidak dikeluarkan lagi. Aku tidak mahu cerita panjang mengenai jam ini. Boleh layari web di bawah untuk maklumat lanjut.

Watchreport.com - Seiko Kinetic Scubamaster Stingray


Seiko Propex SBDK001
Gambar dari Shifteast.com
   Ini bukanlah keluarga Scubamaster tetapi merupakan jam dalam keluarga Marine Master. Ia merupakan model Seiko dive computer terakhir. Ia mempunyai rating selaman hanya 100 meter. Selepas ini tiada lagi jam seumpama ini dikeluarkan lagi. Jam ini dijual lebih RM3000 di eBay.



----------------------------------------



FUNGSI


   Tiada rahsia yang diselindungkan oleh jam ini apabila scuba diver's 200m tertera dengan nyata padanya. Tulisan-tulisan yang ada pada jam ini bukanlah hiasan semata-mata, ia memaparkan fungsi bagi memudahkan penyelam menggunakannya. Aku bukanlah nak menceritakan fungsinya secara terperinci... hanya sekadar menunjukkan gambaran fungsi-fungsi yang ada padanya....

Paparan LCDnya mudah dibaca & difahami. Dalam mode masa, paparan nombor di bawah sekali paling besar menunjukkan masa. Di bahagian tengah menunjukkan hari & tarikh. Display kanan paling atas itu pula menunjukkan masa alarm yang telah ditetapkan.


   Ini merupakan contoh paparan LCD dalam mode selam (dive mode) di sebelah kiri. Ia perlu berada dalam mode ini sebelum selaman dilakukan. 'Dive Flag' akan berkelip-kelip sebaik sahaja sensor mengesan air ketika mula menyelam. Bacaan masa & jarak selaman akan mula disukat apabila jarak selaman melebihi 1.5 meter. Sensor yang dilengkapi ini bukan sahaja sekadar merekod data saja, malah ia mempunyai fungsi memberi amaran kepada si penyelam untuk keselamatannya sekiranya si penyelam tersebut membuat selaman yang berbeza dari data spesifikasi yang telah dimuatkan di dalamnya. Ia berpandukan spesifikasi U.S Navy's Diving Manual.

Gambar di sebelah kanan itu pula menunjukkan 'dive table mode'. Memandangkan tiada sebarang selaman dilakukan, tiadalah data padanya. Jika selaman dilakukan, data penyelaman yang telah dilakukan itu direkodkan di dalam memorinya & boleh dilihat semula rekod tersebut selepas menyelam berserta data pengiraan keseluruhan & average selaman yang telah dilakukan. Terdapat beberapa jadual yang boleh si penyelam periksa sebagai panduan di dalam buku panduan. 

Antara fungsi lain yang dimilikinya secara ringkas.... ia mempunyai fungsi bunyi alert kepada penyelam-penyelam lain untuk datang berkumpul bersama si pemakai jam tersebut ketika menyelam bersama. Ia juga memiliki fungsi larangan terbang (no fly) kepada penyelam tersebut selepas naik ke permukaan air. Untuk keselamatan, penyelam tersebut hanya boleh untuk menaiki kapal terbang selepas tanda amaran 'No Fly' pada display hilang. Ini adalah satu ciri keselamatan yang mengagumkan demi keselamatan & kesihatan si penyelam tersebut. Jika anda seorang penyelam anda lebih arif bab ini....

Selain itu fungsi asas yang sangat berguna seperti alarm & lampu LED turut dimiliki jam ini. Lampu akan bernyala selama beberapa saat selepas ia dihidupkan bagi memudahkan bacaan semasa menyelam. Namun tiada fungsi stopwatch & timer.


    Jam ini juga menawarkan kelebihan ketahanan dari magnetism. Walau jam ini sudah 24 tahun dikeluarkan, ianya masih relevant jika ianya masih dikeluarkan hingga hari ini. 



----------------------------------------



TALI


   Tali originalnya merupakan tali lagenda wave Seiko. Namun sesuatu tidak diduga berlaku pada jam ini selepas beberapa minggu memilikinya..... tali getah itu 'patah' dengan sendirinya ketika aku meletakkannya di atas meja. Mujur ia tak berlaku ketika aku menunggang motor.... oh tragis......


   Tali wave ini juga dikenali sebagai Z22. Ia ditandakan pada hujung sebelah belakang tali tersebut. Tali original wave Seiko agak keras pada aku & aku tak berapa minat untuk memakainya kerana kurang selesa. Tali aftermarket lebih lembut & selesa untuk dipakai. Namun bukan semua orang merasai perkara yang sama. 

Secara jujurnya aku sudah tak begitu minat & yakin pada tali getah walaupun tali itu original kerana sudah banyak tali getah jam aku tidak tahan lama & putus walau tidak memakainya. Jika jam yang dijual itu mempunyai 2 versi bracelet & tali getah.... pasti versi bracelet yang akan aku pilih.


   Tali kanvas yang digunakan ini adalah tali original Seiko sendiri. Pelbagai tali pernah aku pasangkan pada jam ini. Aku suka bertukar-tukar tali mengikut mood untuk memberikan wajah yang berlainan & mengelakkan kebosanan terhadap sesuatu jam. Kini tali kulit tebal dengan corak ala karbon fiber aku pasangkan padanya untuk memberikan imej yang lebih kasual & ia bertindak sebagai langkah berjaga-jaga kepada aku mengelakkannya dari terkena air. Jam diver kalau dah tua begini kena sentiasa beringat.....


Sebagai peringatan...
Walaupun jam yang kita pakai itu ialah jam diver yang telah tua & sudah masuk umur klasik/vintage.... dinasihatkan untuk mengelakkannya dari terkena air memandangkan cermin, crown (trip), caseback, getah, seal, o-ring, gasket yang ada padanya mungkin telah reput, haus, rosak & sebagainya. Jadi air boleh masuk ke dalam jam melalui ruang yang telah rosak itu & merosakkan komponen dalaman & movement jam tersebut. Jika anda ingin juga menggunakan jam tersebut dalam aktiviti berair, pastikan ke semua bahagian yang dinyatakan itu berkeadaan baik atau ditukarkan bahagian itu dengan alat ganti baru bagi megelakkan air mata anda pula yang mengalir keluar.....  

Jam klasik/vintage perlu dijaga dengan baik & tidak boleh dipakai lasak seperti jam baru kerana bimbang sekiranya ia rosak, ia tidak mampu lagi untuk dibaiki kerana ketiadaan alat ganti ataupun pakar yang boleh membaikinya. Komponen dalamannya juga telah tua & dibimbangi sudah terlalu haus & mudah rosak, patah & sebagainya..... Jika anda ingin melakukan aktiviti lasak, pakailah jam baru atau moden yang berpadanan dengan aktiviti anda itu.... wallahualam....



----------------------------------------



CASEBACK


   Penutup caseback bukan jenis skru seperti kebanyakan jam diver... ia dikunci oleh 4 skru kecil di penjuru. Aku tak tahu apa maksud penomboran pada stiker itu pada mulanya. Menurut kawan yang lebih arif, ia merupakan nombor pattern yang telah Seiko pattern-kan untuk movement/caliber-nya. 


   Walaupun caseback bukan jenis skru, bahagian dalamannya mempunyai struktur yang dapat menjamin ketahanan tekanan ketika di dalam air.  O-ring jam ini masih berkadaan baik walau ianya sedikit berminyak. Silicon grease disapukan padanya dengan harapan dapat memanjangkan hayat o-ring tersebut & dapat menghasilkan seal yang baik. Ia menggunakan caliber M726A. Bateri yang digunakan hanya satu saja iaitu CR2025.  Ada jam yang menggunakan 2 bateri, malah ada juga yang menggunakan 3 bateri untuk penjanaan kuasa yang berlainan terutamanya untuk jam yang bersensor.

Setelah 4 tahun ianya berada dalam simpanan aku, kuasa baterinya telah habis. Boleh tahan lama juga untuk jam seumpama ini. Mungkin juga disebabkan fungsi jam ini tidak digunakan, kuasanya tahan lebih lama. Jika selalu menggunakannya ketika menyelam mungkin lain ceritanya. Aku tak pasti pula bateri tersebut sejak bila. Pada 10 Jun 2014 bateri baru dipasangkan (sebagai rekod).



---------------------------------------




GANDINGAN BERSAMA CASIO DEP-610


   Suatu ketika dulu aku pernah memiliki jam Casio DEP-610. Pengenalan jam tersebut telah dilakukan pada 9 Julai 2010. Boleh dilihat pada link di bawah ini:


   Jam ini aku menjumpainya di satu kedai di Perlis.... kedai jam lama. Pada waktu itu aku ingatkan ianya jam yang baru dikeluarkan... rupa-rupanya ia telah dipasarkan pada tahun 1992. Jam ini aku telah jual, namun terasa ingin memilikinya kembali & aku membelinya semula dari kawan, yang mana beliau pula membelinya dari kawan yang beli jam itu dari aku. Jauh perjalanannya..... Namun disebabkan beberapa perkara & aku memerlukan wang pada waktu itu, aku menjualnya semula pada kawan yang aku beli itu..... ;-)



   Berdasarkan tahun keluaran Casio itu, aku merasakan Casio ingin berlawan dengan Seiko dalam pasaran jam diver profesional digital. Seperti Seiko yang mengeluarkan beberapa model scuba digital selain Scubamaster M725 & M726, Casio juga turut mengeluaran beberapa lagi model scuba digital seperti yang telah di terangkan di dalam review Casio DEP-610 lepas. Nampaknya Casio tidak mahu terlepas dari pasaran & turut serta dalam liga yang sama. Seperti juga Seiko, Casio juga kini sudah tidak mengeluarkan lagi jam-jam yang hebat ini...


   Seingat aku, fungsi Casio itu tidak secanggih seperti yang dimiliki Seiko. Ia hanya terhad kepada fungsi merekod selaman & suhu sahaja & tidak memiliki fungsi tambahan selaman yang pelbagai seperti Seiko.


   Walaupun Casio nampak lebih kecil, namun ianya lebih berat & tebal berbanding Seiko itu. Persamaan yang wujud selain sensor selaman itu, Casio turut menggunakan bezel jenis plastik yang boleh ditanggalkan seperti Seiko... nampaknya influence Seiko agak kuat pada Casio... biasalah tu... banyak saja influence dari pelbagai sumber boleh kita lihat pada kebanyakan produk barangan... tidak ketinggalan juga kereta & juga motosikal....


   Seiko Scubamaster M726 bersama Seiko S800 milik abg Hassan Detik Dua Belas. S800 bukanlah dive computer seperti abangnya itu kerana ia tidak mempunyai sensor. Namun ia adalah jam diver digital yang mantap pernah dihasilkan Seiko. Dari hasil carian aku tiada lagi penghasilkan jam diver seumpamanya selepas itu. Itulah satu-satunya yang ada... (jika anda menjumpai model selainnya, boleh email aku untuk diperbetulkan maklumat ini. Terima kasih).



------------------------------


PEMAKAIAN


   Ia tampak besar jika dibandingkan dengan saiz tangan aku. Walaupun besar, ia sangat selesa di pergelangan tangan. Wajahnya yang sophisticated & kompleks itu memberikan imej yang garang, serius & berkeyakinan.

Adakah aku akan menggunakannya jika ingin menyelam?  Secara jujurnya aku tidak berani menggunakan jam ini jika ingin menyelam. Kalau terpercik air pun aku cuba elakkan, apatah lagi kalau nak berenang atau menyelam.... Risiko yang amat tinggi diambil jika semata-mata untuk melihat bagaimana ia berfungsi ketika menyelam. Jika ia rosak, agak mustahil untuk memperbaikinya.

Adakah aku akan menjualnya? Tidak mungkin sama sekali! Tapi mungkin aku beli satu lagi sebagai spare part....


---------------------------------------



KESIMPULAN


   Banyak jam telah dihasilkan Seiko merupakan ciptaan pertama dalam cabang horologi. Salah satunya adalah Seiko Scubamaster M725 & M726 ini. Malangnya tiada lagi penghasilan jam seumpama ini kini kerana mungkin kini sudah banyak produk & alat menyelam yang lebih berkesan & sesuai penggunaannya dengan keperluan semasa. Semakin lama alat-alat ini semakin canggih seiring dengan peredaran zaman & teknologi yang semakin canggih. Namun sekiranya jam seumpama ini keluar dari hasil syarikat gergasi jam seperti Seiko, sudah pasti impaknya besar kepada peminat jam yang juga seorang penyelam.

Untuk jam yang telah memasuki muzium ini, ciptaannya terulung & terbaik pada zamannya. Walau kini sudah tidak dihasilkan, aku bersyukur kerana dapat memiliki jam yang diidamkan sejak sekolah rendah ini walau usianya agak lanjut. Namun sekiranya Seiko mengeluarkan semula Scubamaster ini, kemungkinan besar aku akan membelinya. Bolehnya aku menyelam bersamanya nanti.....


Leia Mais…

Wednesday, April 18, 2012

UFO mendarat di Malaysia

Misteri UFO


Gempar! Sebuah Unidentified Flying Object (UFO) kelihatan berlegar-legar di udara sekitar kampung aku.... Ramai yang tergamam melihatnya kerana belum pernah melihat objek sebegitu rupa terbang rendah begitu. Apatah lagi dengan bentuknya yang bulat & tiada sebarang bunyi dikeluarkan.....


 Ia mengeluarkan cahaya merah bak delima bagaikan spotlight sedang menyuluh sesuatu dibawahnya.... Bagaikan pesawat peninjau, cahayanya itu menyuluh sesiapa saja yang ada di bawah. 

Banyak cerita mengenai UFO keluar dari seluruh dunia. Pelbagai cerita boleh kita dengar dari mereka yang berpengalaman melihatnya... tak kurang juga yang mengaku pernah diculik 'alien' UFO ini. Misteri UFO tidak pernah terungkai hingga sekarang oleh pengkaji Barat. Sejak tahun 1950an manusia telah melihat objek misteri ini. Sejak itu ramai yang mengkajinya. Teknologi UFO sangat tinggi & tak tergapai dengan teknologi manusia sekarang. Banyak juga dokumentari mengenai UFO di TV & banyak juga filem yang berkisar mengenai UFO & alien dalam ceritanya....


Dikatakan UFO di China
Gambar diambil dari ECETI

Jadi apakah UFO? Aku bukanlah pengkaji UFO, jauh sekalilah nak menjelaskan mengenai UFO ini. Ramai juga yang tidak mempercayai kewujudannya kerana tidak pernah melihatnya. Namun terus terang aku cakap kerana aku sendiri pernah banyak kali melihatnya... Apatah lagi dengan banyak penipuan mengenainya juga tersebar dengan video-video palsu. 

Keluarga aku semuanya pernah melihat kelibat UFO ini. Ibu tersayang aku juga pernah mengalami peristiwa UFO menyuluhnya dengan cahaya merah sepertimana gambaran di atas sewaktu beliau masih kecil. Kejadian berlaku di Kampung Sungai Pinang, Balik Pulau sekitar tahun 1960an. Kejadian tersebut berlaku ketika ibu bersama anak sedara sedang bermain di luar rumah pada sebelah petang. Tak lama selepas itu, seluruh kampung hiruk pikuk dengan ceritan orang kampung yang panik melihat objek berbentuk bulat yang terbang hanya tinggi pokok kelapa sahaja. Ada yang berlari lintang pukang, ada yang menjerit hantu... porak poranda keadaan ketika itu. Dari jauh, ibu terlihat cahaya merah terang sedang datang dari hujung kampung dari celahan pokok. Cahayanya sangat terang & menyuluh ke bawah... Sedar tak sedar, UFO tersebut dah berada di atas kepala ibu & menyuluh cahayanya kepada ibu. Ibu yang panik terus pegang anak sedaranya & lari lintang pukang masuk ke dalam rumah. Menurut ibu, cahaya itu mengikutknya ke mana saja beliau lari. 

UFO tersebut dikatakan pergi ke hujung kampung & mendarat di sawah padi. Cerita disampaikan oleh sedara ibu yang rumahnya berada sebelah sawah padi tersebut... Namun setelah berpuluh tahun kemudian... pada tahun 1996, sewaktu aku di tingkatan 4 & kalau tak silap aku, UFO tersebut datang lagi dengan cara yang sama seolah meninjau keadaan kampung tersebut. Cerita ini disampaikan oleh Allahyarhamah ibu sedara aku yang juga menyaksikan kejadian UFO tersebut sewaktu ibu masih kecil yang ketika itu ibu sedang bermain dengan anaknya di luar rumah. Namun kisah ini tidak kecoh di dada akhbar. Apatah lagi diceritakan secara terbuka... Apatah lagi ada yang percaya ianya hantu. Cerita ini tidak ramai yang tahu melainkan penduduk kampung itu sendiri & aku rasa aku patut berkongsi cerita ini kerana tidak mahu cerita UFO ini hanyalah dikatakan dongengan semata-mata... kalau anda tidak percaya cerita ini terpulanglah.....


Gambaran begini pula aku gambarkan dari pengalaman ibu & adik aku yang menyaksikannya suatu ketika dulu. Berlaku di kampung aku... ibu & adik keluar pada malam itu untuk ke rumah sedara. Sewaktu sampai selekoh yang cuma 100 meter dari rumah, ibu terpandang satu cahaya merah berkelip-kelip yang barada tinggi pokok getah (sekarang dah ditanam kelapa sawit). Ibu berhentikan kereta & keluar bersama adik pergi dekat dengan objek tersebut. Ternyata ianya sebuah UFO. Tiada sebarang bunyi kedengaran & cahaya merahnya berkelip-kelip & bergerak dalam bulatan. Ia berada hanya dihujung pucuk pokok getah sahaja. Agak lama ibu & adik saksikan UFO tersebut. Bila ibu nak ke kereta semula, bila tengok balik dah tiada... Apa boleh buat masa tu bukan ada telefon canggih macam sekarang ni. Sekejap je boleh keluarkan ambil gambar... tiada bukti dapat aku tunjuk kepada anda.. hanyalah cerita ini yang dapat aku ceritakan...

Aku pernah saksikan UFO berlegar di atas rumah ketika malam raya sewaktu di tingkatan 5. Sewaktu aku melihat UFO tersebut, memang tiada bunyi langsung kedengaran seperti kebiasaan kapal terbang & terdapat cahaya merah seperti mana yang ibu tengok. Kebetulan adik aku juga ada pada masa tu & aku menjerit panggil dia tengok. Adik kata serupa objek tu dengan dia tengok. Pada masa yang sama aku ternampak satu lagi cahaya bewarna putih pula terbang dalam keadaan terhoyong hayang... aku kejar dengan basikal... namun cahaya hilang begitu saja.... yang pastinya ianya bukanlah mercun kerana tiada letupan serta pergerakannya mendatar & bukan menaik...

Masih ingat lagi peristiwa planet Marikh yang berada dekat dengan bumi? Pada malam itu, aku & keluarga saksikan suatu peristiwa yang luar biasa dari sebelum ini. Aku nampak banyak UFO berlegar-legar & terbang sangat laju. Aku panjat bumbung rumah nak tengok dengan lebih jelas. Terbang dah la sangat laju... boleh pulak berhenti. Ada beberapa UFO kelihatan di tempat yang sama & lepas tu pakat terbang ke sana sini. Semasa kami sekeluarga sedang berada di luar menyaksikannya, ada sorang jiran tegur kami tengok apa... bila cakap tengok UFO, beliau gelak kerana tak percaya... sedangkan kalau beliau tengok langit pada ketika itu, nescaya beliau juga akan nampak juga... Sukar untuk meyakinkan orang yang tidak mempercayai perkara ini walau benda ada depan mata... bukan semua orang boleh terima kewujudan makhluk UFO ini...

Banyak lagi peristiwa aku & keluarga menyaksikan UFO ini... Kalau nak cerita, jadi terlalu panjang pula... cukuplah sekadar sedikit cerita pengalaman ini. Mungkin anda juga mempunyai pengalaman yang sama....



Flying Saucers Have Landed merupakan buku pembelian ayah suatu masa dulu. Celik mata, aku dah sedar wujudnya buku ini. Ramai pengkaji barat yang masih bingung & tertanya dengan kajian objek misteri ini. Masih belum terjawab persoalan mereka & teori yang keluar hanyalah andaian berdasarkan kajian mereka itu....


Salah satu gambar UFO dalam buku tersebut... Ada juga pihak yang mereka cipta gambar seumpama ini dengan membuat pengambaran menggunakan UFO palsu. Banyak juga gambar-gambar palsu buatan manusia sendiri..... Rekaan-rekaan begini jugalah membuatkan ramai orang tak percaya....


Objek yang tertangkap dari satelit yang menyerupai piring terbang di angkasa lepas. 


Gambar dari Weird Things
Makhluk 'alien' digambarkan sebagai makhluk yang berbadan kurus, kepala besar dengan mata yang besar. Tiada hidung menonjol seperti manusia & mempunyai mulut. Mengapa satu dunia menggambarkan 'alien' dengan gambaran yang sama? Bila sebut saja alien, maka itulah gambarannya... kerana mungkin ramai yang pernah berdepan dengan makhluk itu dengan rupa sedemikian....

Dari pemahaman aku dari bacaan-bacaan yang pernah aku buat, alien ini terdiri dari makhluk jin berteknologi tinggi... Ada juga yang mengatakan bahawa mereka ini merupakan alat dajjal untuk memesongkan akidah manusia.... Betul juga... apabila manusia terlalu taksub dengan mereka (alien) & merasakan ada kuasa yang lebih hebat dari Allah....


Fenomena UFO dengan banyak seperti gambar atas pernah suatu ketika dulu ibu & ayah saksikan pada tahun 1980an bersama jiran sebelah rumah. Ketika itu mereka sedang bersembang di luar pagar rumah pada sebelah malam. Mereka semua saksikan keadaan ini bersama-sama.... 

Dalam sejarah, kita tahu bahawa manusia pernah sampai di tahap teknologi tinggi sebelum sifat bongkak, sombong, angkuh menguasai diri sesuatu kaum & mereka lari jauh dari menyembah Allah Yang Maha Esa... Banyak kerosakan & kemungkaran yang dilakukan mereka & tidak mengikut ajaran yang disampaikan Nabi & Rasul Allah..... maka turunlah azab memusnahkan setiap kaum yang sesat & melakukan kemungkaran ini.... Namun di sebalik itu, Dajjal tidak mati, segala teknologi, kepandaian telah diserap oleh Dajjal & setiap zaman Nabi, dia hidup & dia dapat menguasai teknologi setiap zaman kaum tersebut. Segitiga Bermuda pula dikatakan pusat tenaga negatif yang terkuat di dunia & merupakan pusat pemerintahan Dajjal. Sehingga kini masih belum terungkai kisahnya oleh pengkaji-pengkaji barat. Bagi kita orang Islam yang berpegang pada Al-Quran & Sunnah.... wajib bagi kita mempercayai perkara ghaib & ketetapan Allah...

Ada pengkaji barat mengatakan bahawa UFO & alien itu datang dari planet lain... tapi aku rasa ia datang dari bumi sendiri... dari Segitiga Bermuda itu sendiri.... kerana banyak peristiwa yang berlaku pada orang baratn berlaku di Segitiga Bermuda. Malah ada yang mengatakan nampak UFO keluar dari kawasan tersebut. Jadi tak pelik jika dikatakan ianya merupakan teknologi dari Dajjal yang telah berkembang sejak zaman berzaman. Atau sebenarnya merupakan teknologi yang berasal dari manusia yang diperkembangkannya. Setiap zaman Nabi pula berjarak beratus & ada yang beribu tahun... perkembangan teknologi manusia boleh mencapai tahap yang paling tinggi pada kemuncak setiap zaman itu..... teknologi yang kita tak mampu bayangkan dari apa yang kita ada sekarang. 

Wallahualam... Allah Yang Maha Mengetahui....




--------------------------------------------------------------------------




Sejarah chronograph Seiko


Sejarah penciptaan Seiko cukup hebat. Pada tahun 1968 mereka telah memenangi pertandingan Geneva Observatory Competition yang dikatakan sangat ketat syaratnya untuk mendapat pengiktirafan chronometer. Buat permulaan, Seiko berada ditangga ke-144. Lima tahun Seiko mencubanya & pada tahun 1968, kemenangan berpihak kepada mereka. Ratusan jenama Swiss menghantar movement serta movement prototaip khas untuk pertandingan itu kalah dengan Seiko yang pada tahun itu menghantar movement Grand Seiko. Keputusannya jauh lebih baik dari pemenang tahun sebelum itu. 

Pada tahun berikutnya pertandingan yang diasaskan sejak tahun 1772 itu, telah dihentikan sama sekali. Kini ia digantikan dengan Controle Officiel Suisse de Chronometrie (COSC). Dikatakan ianya dihentikan apabila evolusi jam quartz bermula.... Ianya salah satu sebablah, namun aku ada pendapat lain sebenarnya  dengan penghentian pertandingan itu..... Jika anda google, cerita mengenai kemenangan Seiko tidak diceritakan mereka.... sudah pasti mereka agak malu dengan kekalahan itu tambahan pula kalah di tangan Jepun.... Dengan tidak semena-menanya pertandingan yang telah bertapak ratusan tahun itu dihentikan sama sekali. Ini hanyalah pendapat aku sahaja.... namun bagi aku kemenangan Seiko itu satu tamparan hebat buat mereka.

Gambar dari Seiko Watches
Link di bawah menunjukkan kemenangan & penghargaan yang pernah diterima Seiko:

Banyak penciptaan pertama di dunia dihasilkan Seiko. Salah satunya ialah movement 6139Seiko 6139 merupakan jam chronograph pertama di dunia. Ianya diciptakan pada tahun 1969. Movement 6139 mempunyai 1 register pada dial yang mengukur masa setiap 1 minit (30 minit satu pusingan). 

Seiko 6139
Gambar dari Watch U Seek

Pada tahun 1970, Seiko mengeluarkan movement baru iaitu 6138 yang dari pemahaman aku berlanjutan pengeluarannya sehingga 1979. Sekiranya maklumat ini salah, sila betulkan....

Antara model keluaran Seiko 6138 yang unik & tersendiri.
Gambar pinjam dari forum.
Berbeza dengan 6139, movement 6138 menampilkan 2 register pada dial yang mana satu register mengukur masa 30 minit satu pusingan (dial bawah) & satu lagi mengukur masa 12 jam satu pusingan (dial atas). Sepertimana pengeluaran 6139, model keluaran 6138 juga banyak dengan nama tersendiri setiap satunya. Nama-nama ini diberi oleh peminat Seiko sendiri seperti Bullhead, Slide Rule/Pilot, Panda, Jumbo, UFO, Big Blue, Helmet & Baby UFO. 

Satu pendekatan yang sangat bagus dalam penciptaan movement chronograph Seiko ialah sistem vertical clutch & column wheel.  Mekanisme yang terhasil dari penggunaan sistem tersebut memberikan bacaan waktu yang tepat & jarum tidak 'terlompat' sepertimana penggunaan sistem lateral clutch pada movement Swiss...... serta ia juga tidak akan melambatkan bacaan waktu sekiranya chronograph sentiasa dihidupkan.

Movement Seiko Spring Drive Chronograph pada bahagian column wheel.
Gambar diambil dari Time Zone

Rupa vertical clutch dari movement Seiko Spring Drive Chronograph tersebut.
Gambar diambil dari Time Zone


Kini teknologi sistem vertical clutch & column wheel turut digunapakai pada penciptaan movement in-house Swiss, yang terbukti lebih baik sistemnya berbanding lateral clutch. Seiko sepatutnya mendapat pengiktirafan sebagai pencipta movement terbaik. 

Agak menyedihkan apabila Seiko dipandang sebelah mata oleh ramai pihak termasuklah peminat jam sendiri. Orang ramai masih memandang rendah dengan Seiko & seperti tidak yakin dengan jenama ini. Jika mereka tahu akan sejarah Seiko, pasti mereka juga akan hormat Seiko. Sepatutnya begitulah kalau minda kita terbuka. Bagi peminat jam, Seiko seharusnya berada satu tahap yang tinggi di mata kita & pihak Swiss seharusnya tabik pada mereka. Namun dalam perlumbaan & persaingan, ianya agak mustahil untuk dilihat apatah lagi jika kuasa pesaing tersebut berlainan benua....

Penciptaan pertama Seiko boleh dilihat pada pautan di bawah:



------------------------------------------------------------------------------------------



Seiko 6138-0011


Seiko 6138-0011 ini merupakan siri 6138 pertama aku miliki. Beberapa model 6138 pernah juga aku miliki sebelum ini seperti Bullhead, Panda & Jumbo. Namun ke semuanya telah dijual & yang tinggal hanyalah UFO ini saja. Populariti jam-jam Seiko menular ke seluruh dunia & nama-nama ini digunapakai di seluruh dunia. Bila sebut saja nama tersebut, pasti peminat tahu akan model yang dimaksudkan itu.

Tahukah anda ada nama lain selain UFO? Namun di Malaysia nama UFO itu paling popular. Kalau sebut Yachtmaster pasti Rolex Yachtmaster yang akan terbayang di kepala dahulu... Ya! Nama lain bagi UFO ini ialah Yachtmaster. Namun jangan terkejut kerana ada satu lagi nama untuknya iaitu.... Big Small Eye. Agak janggal namanya (idea dari saiz register yang berbeza) & penggunaannya tidak meluas.



Keadaan jam ini sempurna & cantik. Diamater casing (tidak termasuk crown) ialah 44mm. Saiz dari lug ke lug (horizontal/atas ke bawah) ialah 47mm. Jika diperhatikan casing UFO ini telah dipolished dengan sempurna... boleh buat cermin. Keadaan original UFO sepatutnya adalah brush finished seperti gambar di bawah. 

Gambar dari forum Watch U Seek
Ikut pemahaman aku, casing original UFO sepatutnya brush finished di bahagian atas & polished di bahagian bawah. Maksudnya di sini, tuan jam sebelum aku ini cukup rajin meluangkan masa & tenaga menggosoknya sampai berkilat kerana tiada langsung tanda-tanda atau kesan/alur brush finished itu pada jam ini.... suatu kerja yang memerlukan kesabaran & tenaga yang banyak jika hanya melakukan dengan tangan...... Abang Radzi TheTick-TheTick juga mengajar aku bagaimana untuk mengembalikan kesan brush itu pada jam ini. Beliau menunjukkan kepada aku UFO beliau yang telah siap dibaik pulih.


Mungkin bentuknya ala-ala UFO menyebabkan nama tersebut digunapakai padanya. Nampak sangat sesuai rupanya itu dengan namanya. Istimewanya jam ini berbanding model 6138 lain ialah cerminya rata di bahagian atas & cembung dibahagian dalam. Ia memberikan reflektif & biasan yang unik dipandang mata.


Bezel jam ini sebenarnya boleh ditanggalkan sepertimana bezel jam diver. Insert bezel dengan pengukur tachymeter itu boleh digunakan untuk mengukur kelajuan. Keadaannya sangat baik tanpa sebarang kecacatan & mempunyai jalur merah mengelilinginya. Walau halus jalurnya namun memberikan kemanisan pada wajahnya..... macam orang ada tahi lalat le..... 


Dial berkeadaan baik & nampak baru. Aku yakin ianya adalah dial aftermarket kerana tiada langsung tanda patina yang sepatutnya ada pada jam berumur ini. Jarum-jarumnya didapati telah diwarnakan semula. Jarum saat nampak kesan cat tak sekata & jarum register (subdial) yang sepatutnya hitam juga diwarnakan oren. Mungkin untuk menyamakannya dengan warna jarum saat tersebut. Sepatutnya jarum register adalah berwarna hitam.


Gambar dari Network54.
Ada juga keluaran UFO yang mempunyai nama Seiko 5 Sports Speedtimer pada dial seperti gambar di atas. Menurut sumber, model di atas merupakan jam JDM & ia disahkan lagi dengan jarum berbentuk 'arrow head'. Dikatakan bahawa model JDM ini adalah model yang terawal. 


Gambar dari Network54.
Ini pula dikatakan keluaran JDM yang berikutnya. Perhatikan bahawa jarumnya bukan lagi berbentuk 'arrow head' & hanya tertera Speedtimer pada dial.


Gambar ehsan dari Cikgu Zulkanain 24 Jam.

Ada juga jarum saat yang berwarna kuning seperti gambar di atas. Ia merupakan milik Cikgu Zulkanain yang diperturunkan dari Allahyarham ayahanda beliau. Kondisi jam tersebut sangat baik & ia berkeadaan original. Terima kasih diucapkan pada beliau kerana email aku gambar jam ini bersama-sama bracelet original.

Gambar dari The Watch Site
Keadaan jam ini nampak sempurnya. Kalau perhatikan jarum register (subdial) berwarna hitam. Casingnya juga adalah brush finished. Keadaan keseluruhan jam ini sangat cantik. Sentuhan tali Nato berjalur merah sangat sesuai dengannya. Pelbagai variasi dalam keluarga UFO dikeluarkan. Yang mana satu pilihan hati anda? Tepuk dada tanya selera...


Lume UFO milikku ini masih bercahaya terang namun tidak lama jedanya. Dengan apa yang aku lihat ini, aku percaya bahawa dial & jarum jam ini telah ditukar baru. Dengan umurnya, sepatutnya lume sudah tidak bercahaya terang lagi kerana ketahanan luminous paint tidak akan bertahan sampai bila-bila sepertimana trigalight/gas tube microtec-H3 yang mempunyai half-life sekurang-kurangnya 15-20 tahun.


Crown tidak bertanda masih berkeadaan baik. Namun pusher jam ini bukanlah miliknya.... Tapi aku pasti masih dari keluarga 6138. Frenken juga rupanya jam ni..... Tak apalah, asalkan berfungsi baik sudahlah.... 


Gambar dari Time Watches 4U
Pusher UFO sepatutnya seperti di atas. Ia sepatutnya mempunyai jaluran sebegitu.



Caseback jenis skru berkeadaan sempurnya. Dari nombor siri ia dikeluarkan pada bulan Oktober 1975 dengan keluaran ke-9710.


Movement 6138B ini masih berfungsi dengan sempurnya. Chronograph berfungsi baik dengan reset tepat pada 0. Berbeza dari movement 6139, movement 6138 mempunyai keupayaan kunci (winding). Ianya suatu kelebihan yang bagus untuk pengguna.


Jarum merah menunjukkan column wheel yang kini menjadi ikutan pembuat movement chronograph Swiss. Jarum kuning pula menunjukkan kedudukan vertical clutch yang berada di tengah movement. Ianya terletak hanya di belakang pinion itu separas dengan escapement bridge.


Gambar dari Seiko Divers
Bahagian tengah itu merupakan vertical clutch Seiko 6138Perhatikan ia separas kedudukannya dengan escapement bridge.


Movement jam ini dipegang & distabilkan oleh case ring. Sepatutnya wujud satu spring pemegang movement pada case ring. Pada movement jam ini ianya tiada lagi. Gambar di atas menunjukkan fungsi case ring ini. Tanpanya movement tidak stabil & pusher tidak dapat dipegang. Setiap pusher mempunyai spring yang kecil. Sekiranya spring itu sudah tidak kenyal ataupun hilang, kita boleh guna spring dari pen yang bersesuaian dengan saiznya.


Ini pula gandingan UFO milik aku dengan salah sorang sifu. Sama tapi tak serupa. ada sedikit pebezaan di antara kedua-duanya. Cermin jam miliknya sangat berlainan dari aku & ia meninggi. Ia juga tidak cembung di bahagian dalam. Kemungkinan besar ianya merupakan cermin cari Bullhead.


Bracelet jam ini dipercayai adalah original berdasarkan gambar dari katalog & persamaan dari banyak UFO di internet. Pemakaiannya selesa... namun aku tak berapa minat dengan rupanya... Jadi tali kulit dengan jahitan benang merah di tepi menjadi pilihan pertama. Saiz lug jam ini hanyalah 19mm. Kini tiada tali dijual dengan saiz tersebut. Pilihan lain adalah samada tali 18mm ataupun 20mm.


Sekali sekala suka juga aku tukar talinya. Dengan tali kulit brown jam tampak muda & bergaya. Bentuknya yang unik & tersendiri boleh menjadi tarikan kepada sesiapa yang melihatnya.... Segak & bersahaja walau di masa saja....

Kini sudah 37 tahun umur jam ini. Namun ia masih kacak & mengatur waktu dengan baik.... Ciptaan Seiko bukanlah suatu yang boleh dipandang enteng. Kualiti binaannya menjaminkan ketahanan sehingga 100 tahun lamanya jika dijaga dengan baik.....


Leia Mais…