Showing posts with label Pendedahan. Show all posts
Showing posts with label Pendedahan. Show all posts

Monday, June 29, 2009

Katakan Tidak Pada Wahabi

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 8:07 PM, under | No comments

(Artikel ini ditulis semasa Dr. MAZA belum menjadi mufti)

Adalah malang apabila golongan yang kononnya kuat berpegang dengan agama tidak bersifat ilmiah. Sedangkan ilmu adalah teras kepada Islam yang tulen dan murni. Antara sikap tidak ilmiah ialah menuduh seseorang dengan sesuatu tuduhan palsu disebabkan tidak mahu atau berupaya menjawab persoalan yang dikemukakan. Sikap ini sama dengan Amerika sekarang yang menganggap sesiapa sahaja yang mengkritiknya sebagai pengganas sekalipun tanpa bukti.

Di Malaysia ini, wujud sikap yang sedemikian. Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai ‘wahabi’. Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu wahabi itu apa?!. Bahkan yang membuat tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu tahu apa itu wahabi?!.

Jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka melebelkan orang lain sebagai ‘wahabi’; apa itu wahabi?. Berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh.

Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang lain juga demikian. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Hanifah juga wahabi?. Dia diam.

Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia tahlil maksudnya La ilah illa ALLAH, tahmid bermaksud Alhamd li ALLAH, tasbih bermaksud subhana ALLAH. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaan-bacaan mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!!.

Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Saya kata saya tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian, kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali.

Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’. Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab.

Saya hanya menganggapnya salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fiqh yang ulung untuk dirujuk fatwa-fatwa fiqhnya. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadith, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak keras. Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun sumbangannya tidak dilupakan.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir).

Bahkan Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!.Antara kitab-kitab yang saya ajar ialah kitab fekah mazhab al-Imam al-Syafi’i. Saya baca kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i kerana ia agak mudah untuk generasi muda. Namun apabila saya menyebut apa yang terkandung dalam kitab tersebut yang tidak sama dengan amalan masyarakat, maka dituduh wahabi.

Sedangkan kitab itu adalah kitab dalam Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Tokoh-tokoh penulisnya, adalah tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: “Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya” (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), saya dituduh wahabi.

Apakah semua penulis itu wahabi?!!. Mereka katakan kepada saya, jangan baca! Itu tidak sama dengan mazhab syafii tempat. Saya tanya: Adakah ada dua mazhab al-Syafi’i??!. Tidak mengapalah, mari kita tengok apa kata kitab-kitab melayu jawi. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga ALLAH merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: “Maka bid’ah yang tidak elok” (7/130). Apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Apabila kita memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata: “awak wahabi”. Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu Syaaban, beliau menjawab: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya..perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut : Dar Uli al-Nuha). Apakah beliau juga wahhabi?!!

Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam mazhab al-Syafi’i. Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah dengan mengangkat suara membaca al-Quran. Beliau berkata: “Ketahui sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih r.a ialah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah yang cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya.Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad r.a. pernah berkata –maknanya-: “Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan banyaknya golongan yang rosak”. Adapun apa yang dilakukan oleh golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu membantahnya tetapi tidak membantahnya”. (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-226, Damsyik: Maktabah al-Ghazali).

Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di zaman kini dan buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan tempatan akan menuduhnya juga wahabi. Apatah lagi jika dia mereka mambaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya: “adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai” (Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut : Dar al-Fikr).

Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah bahawa tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan adalah fitnah. Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka diputarkan isu ke arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua mereka ini akan didakwa di akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa takut kepada ALLAH.

Tidak pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Umpamanya, memang benar kita dalam beberapa pandangan hukum, mengambil selain dari mazhab al-Syafi’i. Ini beradarkan kajian atau tarjih yang disandarkan kepada ulama lain. Di Malaysia pun memang banyak hukum yang tidak berpegang dengan mazhab al-Syafi’i, terutamanya dalam fiqh muamalat.

Lihat sahaja hukum-hakam zakat di negara ini. Namun ini bukan bererti kita menghina al-Imam al-Syafi’i. Malang sebahagian yang berniat jahat membuat fitnah kononnya kita menghina Imam kita yang agung itu. Sedangkan saya sendiri pada Julai 2004 telah menulis tentang keagungan al-Imam al-Syafi’i dalam majalah ini dan demikian juga dalam buku-buku saya. Bahkan ada yang membuat cerita kononnya ingin dibakar kitab-kitab mazhab dan inilah wahabi. A’azu bi ALLAH min zalik (pohon perlindungan dengan ALLAH dari itu semua).

Benarlah kata Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqh yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka…Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti..” (rujukan: Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra`).

Ramai pendakwah yang mengeluh dengan akhlak buruk ini. Saya juga berdukacita dan bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai gelaran ahli badan ulama. Lebih lagi kita sedihkan. Namun saya katakan kepada diri saya yang amat dhaif dan para pendakwah yang difitnah; bersabarlah.

Telah pun difitnah sebelum ini para rasul yang mulia, sehingga Nabi Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan gila. Al-Imam al-Syafi’i r.h pernah dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman sehingga dia dihukum. Al-Imam Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman dengan Mu’tazilah mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung halamannya.

Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari mainan golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang sentiasa menuntut keikhlasan dan pengorbanan.

Pada hari kita memulakan dakwah ke jalan ALLAH dan rasulNya ini, kita sepatutnya mengetahui denai berliku dan lorong berduri yang akan lalui di hadapan. Jika tidak bertemankan keikhlasan dan kecintaan yang tinggi kepada ALLAH dan Rasul, gugurlah kita satu persatu. Untuk itu dari awal kita mesti sedar hakikat ini. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Ada kata golongan wahabi enggan terikat dengan mazhab. Jadi sesiapa yang ada berpegang dengan mazhab lain dalam beberapa perkara, maka dia wahabi. Kita katakan kita amat menghormati mazhab dan memuliakannya.

Dalam banyak perkara kita terkait dengan mazhab al-Syafii. Tetapi ahli ‘tuduh menuduh’ ini seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syari`at dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabahsepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (pengkaji) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah”. (rujukan: Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazlum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah). Barangkali mereka juga kena masukkan al-Qaradawi dalam senarai wahabi seperti yang didakwa oleh Amerika terhadap beliau.

Dalam ilmu hadith pula, kita menyebut apa yang disebut oleh ulama-ulama hadith yang mendhaif atau menghukum sebagai palsu sebahagian hadith yang diamalkan oleh masyarakat kita. Umpamanya, kita memetik ulasan-ulasan para ulama terhadap Kitab Ihya ‘Ulum al-Din.

Bukan bertujuan menghina al-Imam al-Ghazali (semoga ALLAH merahmatinya), tetapi sebagai ingatan untuk kita. Malangnya, mereka yang tidak takutkan ALLAH membuat fitnah kononnya kita menganggap kita lebih alim dari al-Imam al-Ghazali.

Di sini saya petik apa yang tertera dalam buku saya “Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya” yang dicetak pada awal tahun 2004: “Sebagai contohnya di sini kita sebutkan kitab Ihya`Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali r.h (meninggal 505H) secara khusus. Ini memandangkan ia merupakan yang paling masyhur dan banyak diguna pakai dalam masyarakat.

Dengan kita menyedari bukan hanya kitab al-Ihya ini sahaja yang mengandungi hadith-hadith dhaif dan palsu, ada kitab-kitab lain juga banyak yang mempunyai masalah yang sama. Mengkritik hadith-hadith palsu dan dha`if dalam kitab al-Ihya ini tidaklah bererti kita menafikan sama sekali sumbangan penulisnya dan nilai-nilai baik yang terkandung di dalamnya. Sebagai seorang tokoh, tentunya Al-Ghazali mempunyai sumbangannya yang tersendiri.

Namun ini tidak memboleh kita menyembunyi apa yang benar. Kita mendo`akan keampunan dan kerahmatan Allah untuknya dan juga kita. Namun persoalan kebenaran dan ilmu mesti dijelaskan. Firman Allah:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.( Surah al-Nisa`: 135)

Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapannya dalam kitab Ihya `Ulum al-Din: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan. (rujukan: Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala 19/339, Beirut :Muassasah al-Risalah)

Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadith tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadith, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadith sahaja.

Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H/ Beliau adalah tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal) yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: “Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith”. (rujukan: Taj al-Din al-Subki, Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut :Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

Kita lihat apa yang kata tokoh-tokoh hadith umat mengenai kitab Ihya `Ulum al-Din antaranya:

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan hati. Namun padanya banyak hadith yang gharib, munkar dan palsu”.( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut : Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasar pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadith-hadith yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”.( rujukan :Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-ilmiyyah)

-Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadith-hadith yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”.( Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339)

-Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadith-hadith Nabi dan riwayat-riwayat salaf sepertimana yang dimiliki oleh ahli yang mengetahui perkara itu. Mereka dapat membeza antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadith dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya”.( Ibn Taimiyyah, Dar`u Ta`arud al-`Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad : Dar al-Kunuz al-Adabiyyah).

Ada yang kata, kalau iya pun, banyak lagi isu yang lebih penting. Kita katakan alhamd lil Lah, atas kurnia ALLAH, banyak isu-isu ilmiah utama di negara ini, kita antara yang awal membincangkannya. Isu Islam Liberal, isu Astora, Syiah dan seumpamanya.

Tulisan-tulisan kita banyak tentang isu-isu itu. Adapun isu-isu yang disebutkan tadi hanya sampingan sebagai menjawab persoalan-persoalan yang dibangkit oleh generasi baru yang luas pembacaannya. Namun telinga anda hanya memetik apa yang anda benci dan memekakkan diri dari apa yang anda suka. Kami pohon keampunan dari Allah untuk kami dan anda juga !!

Justeru, jauhkan diri fitnah-menfitnah kerana itu perlambangan akhlak yang buruk dan peribadi yang amat rendah. Kita kurang kecewa apabila pelakunya itu ‘Shahrir Long’. Namun kita akan kecewa jika hal ini dilakukan oleh golongan agama, yang berakhlak dan mempunyai maruah diri.

Mungkin ada orang yang benar-benar ingin menasabkan dirinya kepada wahabi. Namun kita sejuta kali menyebut : ‘Katakan tidak untuk wahabi’.

Ya untuk syafii, ya untuk Hanbali, Ya untuk Maliki, Ya untuk Hanafi. Dengan syarat tidak ekstrim dan taksub. Tapi no untuk wahabi kerana ia bukan aliran yang cukup untuk dimazhabkan.

——————————————————————————–
Artikel ini asalnya diterbitkan oleh Majalah i, Karangkraf.

Saturday, May 9, 2009

Bukti-Bukti Teknologi Canggih Manusia Silam (seperti yang disiarkan dalam ASTRO History Channel - Sabtu 2/5/2009

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 2:14 AM, under | No comments

Mafhum firman Allah: At-Taubah 009:70. Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka), Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

Jonathan Gray dalam bukunya berjudul Dead Men’s Secret ada mencatat: “Pada 17 November, 3398 SM, sejumlah 2 bilion manusia, bersama teknologi canggih mereka, pupus daripada muka bumi. Kaum hebat yang hilang ini telah mengalahkan kita dari sudut pendaratan ke bulan, komputer dan perang nuklear. Anak-cucu kaum canggih ini (yang terselamat dari taufan Nuh a.s. dengan menaiki bahtera) tersebar dari banjaran Ararat (Gunung Judi) di Armenia untuk memulakan semula tamadun yang kurang canggih dari sudut teknologi, tapi masih punya sedikit pengetahuan dari tamadun asal mereka.

Teori evolusi (ciptaan Darwin) tidak dapat bertahan bila berdepan dengan fakta ini. Bukti-bukti wujudnya bandar-bandar maju dan teknologi maju zaman silam sukar dinafikan. “Orang gua” boleh memakai baju seperti kita? Manusia tahu rahsia terbang sebelum kurun ke dua puluh? Tamadun silam telah melakukan pembedahan jantung? Tamadun silam menggunakan elektrik yang kini sudah tidak diketahui teknologinya untuk menerangi bandar-bandar mereka (fluoroscopy). Sebenarnya senarainya tidak mengenal tandus, dan ia menjurus kepada kewujudan satu tamadun hebat, dan bukti ini tidak lagi boleh dinafikan. Bukti arkeologi dan antropologi menunjukkan bahawa suatu kejadian besar telah berlaku di planet bumi di zaman silam. Suatu kejadian yang amat besar hinggakan ia telah memusnahkan hampir segala-galanya yang berada di permukaan bumi. Dari seluruh dunia, ciptaan-ciptaan silam yang dianggap “mustahil” telah muncul satu demi satu, dan sebahagiannya dari teknologi yang sama maju dengan apa yang ada pada kita sekarang ini. Hampir semua catatan kaum zaman silam menceritakan kisah yang sama, iaitu pupusnya “Zaman Emas” (Golden Age), dan bahawa satu malapetaka telah memusnahkan tamadun yang maju tersebut. Kajian masa kini mendapati bahawa catatan-catatan silam ini selaras dengan fakta yang sebenar”.

Sebuah tapak bernama Medzamor di Soviet Armenia telah dilaporkan dalam laporan saintifik yang diterbitkan pada tahun 1969. Ia adalah sebuah tapak yang menjadi bukti satu kemajuan teknologi silam yang misteri. Medzamor adalah sebuah tapak yang dipelopori oleh bijakpandai zaman silam. Mereka ini mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dan layak dipanggil ilmu pengetahuan saintifik dan industri. Koriun Megurtchian dari Soviet Union telah menemukan sebuah kilang logam skala besar di tapak ini. Kira-kira 4,500 tahun lampau, satu kaum yang berteknologi tinggi telah menggunakan lebih 200 buah relau untuk menghasilkan berbagai pasu bunga, pisau, mata panah, cincin, gelang dan lain-lain lagi. Tukang-tukang di Medzamor memakai penutup mulut serta sarung tangan bila melakukan kerja-kerja membentuk berbagai bekas yang dibuat dari tembaga, lead, zinc, besi, emas, timah, manganese dan 14 jenis bronze. Mereka juga telah menghasilkan berbagai jenis cat metalik, seramik dan kaca. Pakatan saintis dari Soviet Union, Amerika, Britain, Perancis dan Jerman mengesahkan bahawa beberapa “tweezers” yang ditemui di sana telah dibuat dari besi (steel) bermutu tinggi dan ianya diambil dari lapisan bumi yang berusia 1,000 tahun SM.

Pada tahun 1965, seorang ahli arkeologi bernama Dragoslav Srejovic telah menemui binaan misteri di sebuah tapak yang sekarang ini dikenali sebagai Starveco, terletak di Sungai Danube, sempadan antara Yugoslavia dan Rumania. Apabila menggali tebing sungai Yogoslavia, pada mulanya Srejovic menemui sebuah jalan kaum Rom, di bawahnya pula terdapat serpihan-serpihan tembikar proto-Greek, di bawahnya lagi terdapat berbagai artifak Neolithic dan Mesolithic. Bila terus menggali, Srejovic bertemu pula sesuatu yang lebih mengejutkan, iaitu lantai simen. Lebih spesifik lagi, ianya adalah campuran batu kapur, pasir dan air. Simen ini dianggap oleh pengkaji sebagai satu kemajuan kimia dan binaan itu dianggap ribuan tahun lebih maju berbanding zamannya. Permukaan simen itu telah dibina dengan begitu teliti dan ia merupakan tapak asas binaan rumah-rumah. Srejovic mendapati bahawa tapak-tapak simen tersebut ada berlapis-lapis, menunjukkan bahawa bangunan-bangunan telah dibina dan dibina semula di situ untuk jangkamasa yang tidak diketahui. Namun terdapat satu persamaan iaitu arah rumah-rumah yang dibina kemudiannya adalah serupa dengan arah rumah yang dibina sebelumnya. Tamadun yang ada mempunyai persamaan dengan tamadun yang disangka paling awal iaitu di Timur Tengah yang hanya bermula beribu-ribu tahun setelah Starveco.

Pada tahun 1847 Henry Layard, seorang ahli arkeologi British telah menemui satu cermin optik ketika membuat penyelidikan di Nimrud, ibu negara Assyria. David Brewster seorang ahli fizik telah meneliti artifak itu dan memaklumkan pada tahun 1853 bahawa ia adalah cermin optik yang bagus buatannya. Sebenarnya terdapat 75 cermin optik seperti ini telah ditemui di kawasan-kawasan bermula dari tengah Turki membawa ke Crete hingga ke Troy.

Pada tahun 1956, sebuah kepingan kaca buatan manusia seberat 8.8 tan telah ditemui di Beth She’arim, barat-daya Galilee. Sebenarnya kaca seberat itu pun pernah dihasilkan di zaman moden, tapi amat jarang, dan jika dihasilkan pun, ia hanya untuk tujuan khas, contohnya untuk membina cermin teleskop yang amat besar. Malah telah ditemui juga dalam piramid Dahshur yang telah dibina oleh Snefru (2613-2498 SM), sebuah kepingan kaca berwarna ungu seberat 35 tan.

Kepingan tembikar (clay tablet) yang ditemui di Babylon telah mencatat mengenai ujian kehamilan. Ianya melibatkan proses memasukkan satu kapas yang berisi herba ke faraj wanita berkaitan, dan apabila dikeluarkan semula dan diletakkan larutan alum, maka kapas itu akan bertukar warna merah jika wanita itu sedang hamil. Kaum Maya di Amerika Selatan pula tahu bagaimana untuk menebuk (drill) gigi dan menampalnya menggunakan penampal logam.

Manusia telah menjahit pakaian mereka seawal 20,000 SM. Alat-alat yang mereka gunakan juga sudah ditemui. Kerja-kerja menggali tiga tapak perkuburan di Sunghir, Rusia pada tahun 1964 menunjukkan bahawa mereka yang ditanam di situ telahpun memakai topi, baju dan seluar. Kerja menggali sebuah busut zaman silam di Catal Huruk, tengah Turki telah menemukan sisa tekstil, dipercayai dari pakaian seorang gadis. Manusia yang tinggal dalam Gua Spirit di utara Thailand telahpun menanam kekacang dan sayuran lain sekitar 9,000 SM.

Teknologi melukis peta telahpun bermula sekurang-kurangnya 12,000 tahun lampau. Sebuah peta telah ditemui di Mezhirich, Ukraine pada tahun 1966 diukir di atas gading gajah purba (mammoth). Ianya berusia 10,000 SM dan ia menunjukkan sebuah sungai dengan sederetan rumah-rumah. Jag tembikar telah ditemui di Gua Ishigoya, di Honshu, Jepun. Usianya 10,000 SM. Lain-lain bekas tembikar juga ditemui di situ, dan usianya pula 11,000 SM. Boomerang adalah alat memburu yang mempunyai sifat unik dan aerodinamik, boomerang yang pertama ditemui telah berusia 21,000 tahun dan ianya ditemui di Poland, bukan di Australia.

Lampu minyak telahpun digunakan seawal 20,000 tahun lampau. Ia mungkin telah digunakan untuk menyuluh operasi pembedahan otak manusia, yang telahpun bermula pada zaman yang sama. Begitu juga penggunaan pelali (anesthetics) seperti penggunaan mandrake secara terkawal, yang akan menyebabkan pesakit tidak bergerak dan tidak merasa sakit.

Lombong tembaga (rujuk kisah Zulkarnain) zaman silam telah ditemui di Serbia, Lake Superior di California, Arkansas, New exico, Missouri, Illinois, Indiana, Georgia, New Jersey dan Ohio. Relau untuk mencairkan besi di zaman silam juga telah ditemui. Lebih menarik, manganese telah dilombong di Broken Hill, Zambia. Bukti “carbon dating” mendapati bahawa lombong ini telah berusia 28,130 tahun.

Ahli arkeologi yang menggali tapak di New Caledonia dan Isle of Pines di barat-daya Pasifik telah menemui lebih dari 400 silinder yang dibuat dari simen. Diameternya 40 hingga 75 inci, panjangnya hingga 100 inci. Silinder ini telah ditatah dengan silica dan kerikil besi. Kegunaannya tidak diketahui. Ujian karbon mendapati bahawa usianya sekitar 13,000 tahun.

Terdapat 170,000 batu saluran air bawah tanah di Iran. Terdapat pula satu tangki air di Sri Lanka yang mana keluasan permukaannya adalah sebesar Tasik Geneva. Yang terbesar dari sistem ini bernama Parakrama Samudraya atau Laut Parakrama. Ia adalah tangki air yang amat besar hinggakan biasanya ramai orang terkeliru kerana menganggapnya sebuah lautan. Pada tahun 1932 Kapten G.E.H. Wilson telah menulis mengenai satu tamadun silam di Rift Valley, Afrika Timur. Kesan-kesan tamadun ini merentangi Tanganyika, Ethiopia, Uganda, Kenya dan Utara Zimbabwe. Mereka ini ada membina terusan, sistem saliran, jalanraya dan telah juga memesongkan aliran air sebuah sungai.

Pada tahun 1940, Froelich G. Rainey dan Magnus Marks telah menggali tapak Neolithic berdekatan Ipiutak di Arctic Circle. Mereka menemui kesan 600 rumah, dan dijangka sebanyak 200 rumah lagi akan ditemui. Mereka telah menemukan sebuah metropolis zaman silam. Artifak dan kerja tangan yang ditemui di situ adalah bermutu tinggi. Mereka berpendapat bahawa manusia yang membina rumah-rumah ini bukanlah bangsa Eskimo tapi datang dari tempat lain.

Pada tahun 1988, penyelam-penyelam skuba diketuai oleh Kihachiro Aratake telah menemui struktur batu yang amat besar di dasar laut berhampiran pantai Yonaguni, barat-daya Okinawa. Struktur ini berada 75 kaki di bawah paras laut. Ianya 600 kaki panjang, 450 kaki lebar dan 90 kaki tinggi. Orang tempatan menganggap ianya adalah semulajadi. Profesor Masaki Kimura dari Universiti Ryuku, Okinawa telah meneliti struktur ini dan mendapati bahawa ianya mempunyai 5 lapisan yang jelas, dan memutuskan bahawa ia tentu telah dibina oleh manusia.

Saya boleh teruskan catatan-catatan penemuan teknologi silam ini, namun saya fikir cukuplah catatan-catatan di atas untuk berfungsi memperbetulkan persepsi kita yang mungkin menganggap manusia zaman silam itu adalah manusia “kuno”. Pada hemat saya, semuanya yang telah dicatat di atas dapat membuatkan kita merenung betapa lalainya kita dalam mengkaji makhluk yang bergelar anak-anak Adam ini. Semakin hari semakin banyaklah bukti yang akan terserlah. Itu sudah tentu.

Mari kita sama-sama renungkan mafhum firman Allah: Yusuf 012:109. Dan tiadalah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?

Sama ada anak-anak Adam zaman ini mahu percaya atau tidak, hakikatnya jelas, iaitu sebenarnya tamadun sentiasa lahir dan mati, kemudian diganti dengan tamadun yang lain. Malah, apabila kita sentuh tamadun sesuatu kelompok anak Adam, ianya bermula dari bawah, kemudian tamadun itu mengalami kemajuan yang pesat, lantas sebahagian orang dalam kelompok itu menemukan teknologi yang mampu memusnahkan, dan terjadilah peperangan yang dahsyat hingga melenyapkan tamadun tersebut bersama masyarakatnya dan ilmu-ilmu yang ada pada mereka. Sebenarnya sesuatu tamadun itu musnah kerana kederhakaan mereka terhadap Allah, sepertimana yang terjadi kepada kaum Luth, penduduk Pompeii, kaum ‘Ad, kaum Tsamud dan banyak lagi. Dalam artikel ini kita fokus terhadap kemajuan teknologi yang telah terdaya dicapai oleh sesebuah tamadun silam dan mengapa manusia zaman ini sukar percaya bahawa terdapat tamadun yang amat maju teknologinya di zaman silam.

Saya berpendapat bahawa antara dua tamadun yang bersilih-ganti, terdapat satu jangkamasa (period) kemuraman teknologi dan kemuraman ini mungkin berlangsung lebih dari 1,000 tahun. Maksudnya, tamadun yang baru lahir perlu bermula dari bawah, dan ini memerlukan masa yang agak lama. Olehkerana tamadun sebelum itu telah pupus bersama umatnya, generasi tamadun yang kemudian telah kehilangan bukti-bukti kewujudan tamadun silam yang maju itu. Akibat dari kecuaian untuk mengkaji tamadun-tamadun silam dengan bersumberkan agama, anak-anak Adam yang hidup di tamadun mutakhir menganggap umat zaman dahulu berfikiran kolot serta amat mundur. Maka timbullah anggapan bahawa semakin kita menggali sejarah, makin jelaslah bahawa manusia zaman silam itu mundur, hinggalah dianggap bahawa mereka hanya menggunakan batu sebagai senjata dan peralatan-peralatan. Apabila dilakukan kajian yang lebih terperinci, barulah manusia moden tahu bahawa sebenarnya sebelum mereka telah ada tamadun berteknologi tinggi, malah teknologinya lebih canggih berbanding yang ada pada mereka. Sebahagian dari pengkaji ini tidak mahu menerima hakikat ini (akibat pengaruh teori Darwin), lantas mencari “alasan” bahawa sebenarnya teknologi canggih zaman silam itu bukan dipelopori oleh anak-anak Adam di planet bumi tapi ianya telah diajar oleh “alien” dari “outer space”. Ini semua berpunca dari kelalaian manusia itu sendiri kerana tidak mengkaji apakah yang telah diberitakan dalam kitab-kitab terutamanya Al-Qur’an.

Antara detik ketika yang amat jelas terjadinya “sempadan waktu antara dua tamadun” ialah ketika berlakunya taufan atau banjir besar Nuh a.s. Dan jangan lupa, besar kemungkinan juga telah berlaku sekali lagi pemisahan tamadun ini apabila Zulkarnain membina tembok yang memisahkan kaum Yakjuj dan Makjuj dari penghuni atas muka bumi.

Bagi kes pertama, iaitu wujudnya “sempadan waktu antara dua tamadun” ketika berlakunya taufan Nuh a.s. kita dapat saksikan sekarang bagaimana manusia moden tidak dapat menjelaskan berbagai misteri di sebalik berbagai penemuan berkaitan teknologi silam. Contohnya, manusia moden tidak tahu mengapa dan bagaimana piramid dibina. Mereka juga jadi hairan bila menemukan berbagai lukisan atau artifak yang berbentuk pesawat-pesawat terbang dalam gua-gua yang diyakini tidak pernah didatangi apatah lagi dihuni oleh manusia moden. Mereka hairan lagi bila menemukan bangunan-bangunan teguh lagi canggih yang telah tenggelam di dasar-dasar laut. Bahkan mereka hairan bagaimanakah umat terdahulu membina tembok-tembok batu dengan memotong batu-batu besar sebegitu jitu, dan bagaimanakah batu-batu itu dilekatkan antara satu sama lain. Sebahagian pengkaji mengambil jalan mudah dengan memberi alasan bahawa itu adalah “teknologi dari angkasa lepas”.

Bagi kes kedua, iaitu terbinanya tembok pemisahan tamadun antara kaum Yakjuj Makjuj dan anak-anak Adam yang berada di atas muka bumi, ianya berlaku mungkin sekitar 1,000 hingga 2,000 tahun setelah taufan Nuh a.s. Pada hemat saya, bagi kes pertama, mungkin kesemua umat silam berteknologi tinggi itu telah pupus kerana banjir Nuh a.s. telah menenggelamkan kesemua daratan dan “mungkin” juga mana-mana tempat kediaman di bawah bumi. Saya catat “mungkin” setelah mengambilkira berita mengenai “dabbatul ‘ard” iaitu binatang-binatang besar (sebagaimana dinosaur) yang akan muncul ke permukaan bumi di akhir zaman. Mungkin tidak meleset jika saya catat di sini bahawa dalam kes kedua ini, ada sebilangan kecil dari kaum Yakjuj dan Makjuj ini yang sekali-sekala datang ke permukaan bumi melalui jalan-jalan yang masih tidak diketahui oleh kita semua. Tapi mereka ini datang ke permukaan bumi hanya dalam tempoh yang singkat untuk tujuan tertentu, contohnya untuk mencuri sesuatu, atau menculik haiwan atau manusia, dan beberapa tujuan lain yang tidak kita ketahui. Tapi di manakah lubang-lubang tempat keluar-masuk kaum Yakjuj dan Makjuj ini? Sudah pasti bahawa lubang utama tempat mereka datang ke permukaan bumi telah ditembok oleh Zulkarnain. Namun mereka mungkin punya lubang-lubang lain untuk keluar, dan ini hanya diketahui oleh segelintir dari mereka. Mungkin yang segelintir ini adalah dari golongan yang paling maju teknologinya berbanding yang lain, dan mereka mempunyai pesawat-pesawat terbang yang canggih.

Ada juga pendapat yang menyatakan mungkin kaum Yakjuj dan Makjuj ini telah dikepung dengan tembok dan mereka sebenarnya berada di dimensi lain, bukan di alam nyata. Saya berpendapat bahawa mereka ini adalah makhluk alam nyata, dan kaum Yakjuj dan Makjuj adalah anak Adam a.s., bukan dari golongan jin. Mereka hidup beranak-pinak sebagaimana anak-anak Adam di permukaan bumi, tapi mungkin rupa mereka agak berlainan kerana beberapa faktor. Pertama kerana makanan yang mereka makan adalah terdiri dari haiwan atau tumbuhan yang kurang mendapat cahaya matahari. Kedua kerana faktor oksigen dan kandungan galian yang terdapat pada air yang ada di bawah bumi. Andai ditemui makhluk yang botak, atau tiada berbulu roma, matanya agak besar, kulitnya agak kehijauan, maka ada kemungkinan mereka ini datang dari satu tempat yang jarang terdedah kepada cahaya matahari dan mungkin inilah gambaran kaum Yakjuj dan Makjuj yang masih menjadi misteri hingga ke saat artikel ini ditulis. Telah banyak laporan (sama ada benar atau tidak, sukar untuk ditentukan) terserempaknya anak-anak Adam di atas muka bumi ini dengan makhluk yang seperti itu (digelar Grey). Mereka ini didakwa datang menaiki pesawat-pesawat terbang. Pesawat-pesawat terbang ini (kebanyakannya berbentuk piring terbang atau curut) biasanya dilihat berlegar-legar di sekitar empangan air, sungai atau laut, dan ianya boleh terbang dengan amat laju. Ada yang melihatnya masuk ke dalam laut, dan muncul dari dalam laut. Ini semua perlukan kajian yang selanjutnya dari pakar-pakar.

Apa pun rupa kaum Yakjuj dan Makjuj tidaklah sepenting hakikat bahawa mereka ini benar-benar wujud. Malah, hampir pasti bahawa mereka inilah yang selama ini didakwa oleh Barat sebagai “extra-terresterials” atau makhluk dari angkasa lepas jika benar kisah-kisah “close-encounters” ini berlaku. Apa yang mereka makan ketika berada di bawah tanah juga bukan persoalan yang boleh menyebabkan kita menjadi golongan skeptik. Ini kerana dalam bumi sendiri terdapat cukup banyak makanan yang boleh dimakan. Cacing, sebagai contoh, adalah salah satu makanan yang dianggap berkhasiat untuk manusia, dan ia telah dicatat dalam kitab-kitab lama. Cuma kita sebagai Muslim di atas muka bumi mempunyai pilihan makanan-makanan yang jauh lebih menyelerakan dan suci, bukan semata-mata bersih.

Besar kemungkinan bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj adalah saki-baki keturunan anak Adam yang masih mewarisi sebahagian besar dari teknologi tamadun maju sebelum berlakunya taufan Nuh a.s. Dengan menggunakan teknologi-teknologi tersebut mereka telah melakukan banyak kerosakan di muka bumi pada zaman silam dan mereka masih membangunkan teknologi hingga ke saat ini. Untuk memahaminya kita boleh kiaskan dengan apa yang kita lihat dilakukan oleh Amerika pada waktu sekarang. Mungkin inilah gambaran yang dilakukan oleh kaum Yakjuj dan Makjuj ke atas kaum yang meminta pertolongan dari Zulkarnain agar dibina tembok pemisah tersebut. Kini kaum Yakjuj dan Makjuj mungkin masih melakukan kerosakan di bawah bumi, cuma kita mungkin tidak tahu bahawa mereka yang menyebabkan berlakunya sesetengah gempa bumi dan tsunami di permukaan bumi akibat ledakan bom atau ujian-ujian senjata yang mereka lakukan di bawah sana.

Untuk renungan bersama: Yunus 010:13. Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.

Wallahua’lam.

Monday, March 23, 2009

AKHBAR DARI RUSIA

Posted by Mohamad Ariffin Hj Taha 3:56 PM, under | No comments

Saudara Saudari Sekalian…

Bertemu lagi kita pada perbincangan kita pada hari ini….insya di sini saya lampirkan satu artikel yang diambil daripada sebuah forum perbincangan yang mengisahkan pendedahan jujur daripada seorang penulis tentang situasi Rejim Israel….Marilah kita sama-sama renungkan….dan berfikir sejenak daripadanya….

Akhbar rusia yang diterbitkan di amerika telah ditarik balik pengedarannya kerana satu artikel yang ditulis oleh penulis yahudi pada muka surat yang ke tujuh.
Ini terjemahan dari sebahgian artikel tersebut:

Penulis menyatakan:
Sekiranya kita ke gazza untuk membebaskan shalit (yg ditawan hamas sejak 2006) …… Kami pulang tanpanya.

Sekiranya kita pergi ke gazza untuk menghentikan roket2…………. Sesungguhnya bertambah jauh roket tersebut (sehingga hamper tel aviv) sehinggalah di hari terakhir dan semakin memberi ancaman.

Sekiranya kita pergi ke gazza untuk menghapuskan hammas…………… sesungguhnya hammas semakin disayangi dan kita telah memberikannya pengiktirafan rasmi.

Sekiranya kita pergi ke gazza untuk menjajahnya…………… Sesungguhnya telah kami sebut bahwa pasukan tentera tidak mampu menguasai satu meter pun di dalam kawasan gazza.

Sekiranya kita pergi ke gazza untuk menunjukkan bahwa kita yang hebat…………. Sesungguhnya peperangan telah berhenti setelah mana diputuskan oleh pejuang bukannya ketika kita buat keputusan.

Sekiranya kita pergi ke gazza untuk mempamirkan kekuatan kita……… Sesungguhnya cukuplah kita buat pertunjukkan ketenteraan di tel aviv.

Sekiranya kita pergi ke gazza untuk membunuh pemimpin hammas…………. Sesungguhnya kita hanya membunuh dua orang dari 500 pemimpin gerakan hammas.

Sekiranya kita pergi ke gazza untuk mendapat simpati dari dunia…………….. Sesungguhnya pandangan alam telah merubah kepada memusuhi kami. Orang yang dulu bersama kami pun telah memusuhi kami.

Sekiranya kita pergi ke gazza untuk mengembalikan kepercayaan kepada tentera kita……….. Sesungguhnya kita telah menambahkan kecut pada tentera kita dan telah menambahkan keyakinan kepada pejuang2 hamas pd diri mereka.

Sekiranya kita pergi ke gazza untuk menetapkan kekuatan pencegahan kita …………… sesungguhnya telah jelas bahawa senjata kita, tidak kita gunakannya dengan baik semasa di daratan dengan dua kali percubaan 2006 dan 2008. Ia tidak mencegah hizbullah dan tidak mencegah hammas.

Malahan bertambah ancaman dan kesombongan pemimpin2 hammas. Allah yang lebih mengetahui perkara yang akan datang selepas mana telah tersebar maklumat ini dikalangan penduduk setempat iaitu maklumat berkenaan dgn pejuang2 palestin dan kemampuan mereka untuk melawan kita. Kita tidak harus lupa ketika berlakunya pertemuan demi pertemuan untuk perdamaian

Kita tidak pernah mendengar permintaan hammas walau sekalipun untuk genjatan senjata sehingga kita yang memintanya. Biarlah aku bertanya "Siapa yang menakutkan siapa?" Allah lebih mengetahui, terdapat 800 ribu penduduk Israel di selatan yang mana mereka akan gementar dan bergegas ke tempat perlindungan apabila mendengar nama hammas. "Siapa yang menakutkan siapa ?"

Akhirnya penulis membuat kesimpulan dengan kata2nya:
Peperangan ini menyebabkan rejim zionis(pertubuhan yahudi antara bangsa) membelanjakan 10.5 triliun dolar. Jumlah ini sama nilainya dengan belanja untuk kempen pengiklanan selama 40 tahun bagi mencantikkan gambaran orang2 yahudi di mata dunia. Dalam masa 22 hari , tentera2 yahudi telah memusnahkan segala2nya. Jumlah 10.5 trilion yang dikeluarkan oleh pertubuhan zionis ini tidak mencukupi bagi membiyai semua perbelanjaan perang ini.Ini juga tidak termasuk kerugian manusia di pihak askar dan orang awam yang terkena roket.
Penulis yahudi ini berkata:
Aku, olmert dan barak mengetahui kerugian manusia yang menimpa kami. Kesemuanya dilarang untuk mendedahkan jumlah kerugian manusia tersebut."

Akhirnya penulis berkata:

"Cukuplah pembohongan kita selama ini. Sebenarnya kita tidak menang."


Saudara Saudari sekalian….begitulah hakikat sebenarnya yang berlaku di bumi Palestin…harapan kita agar para pejuang Islam akan terus bangkit untuk mempertahankan bumi anbia' ini yang suatu masa dulu pernah menjadi kiblat pertama kita…..Allahu Akbar……Allahu Akbar…Allahu Akbar……


Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: 'wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi".

Hadis ini menceritakan tentang peristiwa akhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.

Saya telah dimaklumkan bahawa orang Yahudi pada waktu ini sedang giat menanam pokok Gharqad secara berleluasa di Negara Haram Israel sebagai suatu persediaan menghadapi tentera Islam pada akhir zaman. Ini juga bermakna bahawa orang Yahudi sebenarnya memang tahu dan sedar tentang kebenaran Islam dan kebenaran hadis nabi saw....cuma keegoaan dan sikap bongkak mereka menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari semasa ke semasa.

Ramai juga yang bertanya tentang bagaimanakah pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok Krismas, dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok ru, pokok kaktus dan sebagainya. Dan yang pastinya pokok Gharqad tidak sesuai dengan iklim di Malaysia dan ia tidak tumbuh di tempat kita
. Wallahu'alam Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...