Showing posts with label Ikan. Show all posts
Showing posts with label Ikan. Show all posts

Friday, November 23, 2018

Asam Pedas Ikan Parang


Assalammualaikum dan Salam sejahtera...

Dari sehari ke sehari asyik bertangguh plan nak masak Asam Pedas. Mula mula beli kepala ikan merah, tapi akhirnya tukar jadi menu yang lain. Kemudian beli ikan mayong, sama juga pengakhirannya. Akhirnya beli ikan parang seketul bahagian kepala, itu pun bertangguh juga tapi akhirnya jadi juga asam pedas. 

Ini menu makan malam tadi, resepi saya google je, banyak juga yang keluar. Ambil yang paling senang dan yang semua bahan ada di rumah.


Monday, February 22, 2016

Kari Kepala Ikan Tanpa Santan




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...


Wah lama juga saya "bercuti" dari masukkan entry baru dalam blog. Bermula dari sebelum cuti Tahun Baru Cina sampai ke hari ini. Itulah kan, bila berhenti, nak mulakan semula tu memang ambil masa dan mood. Kadang kala dapur tak berasap, itu juga antara faktor mengapa lama menyepi.

Semalam saya sediakan Kari Kepala Ikan Jenahak tanpa santan. Selama ini kalau masak kari tak pernah pula sukat berapa banyak bahan bahan yang digunakan. Ikut rasa saja. So bila nak bagi resepi memang agak sukar juga. Tapi saya cuba ingat anggaran sukatan bahan yang saya gunakan. Masak kari kepala ikan versi saya.


KARI KEPALA IKAN TANPA SANTAN

Bahan bahan
1 ketul kepala ikan Jenahak / Merah / Mayong - saiz sederhana. Dicuci bersih dan toskan

Bahan tumis
1 labu bawang besar - dihiris
1 biji buah tomato - dihiris
2 tangkai cili hijau - dihiris
1 tangkai daun kari
1/2 sudu besar rempah campur / halba campur
1 helai daun pandan - simpul

Bahan kisar
6 ulas bawang merah
10 tangkai cili kering - rendam dalam air panas. Boleh kurangkan kuantiti
1 sudu makan ginger garlic paste
1 packet serbuk kari ikan
**** Setelah bawang merah dan cili kering dikisar, campurkan dengan bahan lain dengan sedikit air sehingga menjadi paste

1/4 cawan air asam jawa
Garam
Anggaran 1 liter air
Minyak masak

Bahan sampingan
Kacang bendi
Buah tomato
Cili merah/hijau

*** Cara sediakan Ginger garlic paste
1/2 cawan halia
1/2 cawan bawang putih

Kisar kedua dua bahan hingga menjadi paste. Simpan dalam bekas yang sesuai.

Cara cara
1. Panaskan minyak ( saya gunakan periuk tanah ), tumis bahan tumis sehingga layu. Kemudian masukkan bahan kisar ****, air asam jawa dan sedikit garam. Masak dengan api perlahan sehingga pecah minyak dan naik bau.
2. Kemudian masukkan kepala ikan,biarkan seketika. Kemudian masukkan air dan biarkan hingga mendidih.
3. Kemudian masukkan kacang bendi, buah tomato dan cili merah / hijau. Perasakan dengan garam. Kari Ikan mesti agak masam berbanding dengan kari daging/ayam.
4. Jika sudah cukup rasanya, bolehlah matikan api. Tutup periuk.

Saturday, January 9, 2016

Sambal Ikan Terengganu dengan Nasi Impit



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selamat berhujung minggu. Apa agaknya sarapan hari ini ya.... Apa kata hari ini kita jalan jalan cari makan Pantai Timur. Kita makan nasi impit/kapit dengan sambal ikan.

Kalau rajin lagi boleh buat kuah kacang. Jadi boleh makan nasi impit dengan kuah kacang dan sambal ikan. Ermmmm mesti sedap.




Selain makan dengan nasi impit, kita boleh juga gunakan sambal ikan ini sebagai inti Pulut Panggang, Cucur Badak atau Kuih Paung. So boleh pelbagaikan menu untuk minum petang atau sarapan pagi. Kalau dah malas sangat, makan saja dengan roti.



Okay selamat berhujung minggu bersama sama keluarga dan orang tersayang. Memandangkan cuaca sekarang agak panas, lebihkan mengambil air kosong. Kurangkan aktiviti di luar.



Tuesday, December 8, 2015

Kari Tulang Ikan Masin & Nenas



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Awal pagi saya dah buat tayangan amal " Kari Pekat Tulang Ikan Masin & Nenas". Makan dengan nasi panas cicah sambal belacan memang tak pandang kiri kanan... Tambahan masak kari dalam periuk tanah, ermmmm lagi naik aroma karinya. Lagi bagus kalau masak gunakan dapur arang. My husband cakap, kalau guna dapur arang, hari ini masak, esok belum tentu boleh makan lagi... "wink"

Saya lebih suka menggunakan tulang ikan talang masin tapi masa ke pasaraya hanya ada tulang ikan merah. Boleh la untuk lepaskan rasa nak makan kari tulang ikan masin dengan nenas. Selain kari sedap juga kalau masak lemak cili api.



Selalunya makan nasi tak bertambah, tetapi semalam memang lupa diri sekejap. Konon kononnya nak kurangkan pengambilan nasi di waktu malam, tapi memang terbabas.... Setiap orang ada cara tersendiri bagaimana untuk menyediakan setiap hidangan.

Kari Tulang Ikan Masin & Nenas

Bahan bahan
300 gms  - tulang ikan masin ( rendam sebentar )
1 packet kecil rempah kari - saya gunakan rempah kari utk ikan kering/ketam
1/2 biji nenas - dipotong saiz yang sesuai
1 labu bawang besar - dihiris nipis *
1 biji cili besar hijau - dihiris nipis *
1 biji tomato kecil - dihiris nipis *
1 tangkai daun kari *
1 sudu kecil halba campur *
1 sudu besar cili kering kisar
3 ulas bawang kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 cawan santan pekat
2 cawan air
Garam
Sedikit air asam jawa
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Tumbuk halus bawang kecil, bawang putih dan halia. Satukan bahan tumbuk bersama sama rempah kari dan cili kisar. Tambahkan sedikit air untuk membentuk paste.
2. Panaskan minyak, tumis bertanda * hingga wangi. Kemudian masukkan bahan ( No. 1 ). Tumis hingga rempak masak dan pecah minyak.
3. Kemudian masukkan air dan air asam jawa. Masak sebentar, kemudian masukkan tulang ikan masin. Gaul dan biarkan hingga mendidih.
4.Masukkan santan pekat dan potongan nenas. Biarkan sebentar kemudian perasakan dengan garam. Biarkan sehingga mendidih, matikan api.
5. Jika suka boleh masukkan cili hijau dan merah tanpa dipotong ke dalam masakan ini. 


Jumpa lagi.



Friday, October 24, 2014

Asam Pedas Ikan Parang

  
Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Sempena cuti umum Hari Deepavali tempohari, saya ke Giant mencari sedikit barang keperluan. Sebelum mengambil barang kena periksa bahagian pembayaran samada orang ramai atau tidak. Sebabnya hari ahad lepas, saya dan suami terpaksa kembalikan barang bila sampai tempat pembayaran, punyalah ramai orang beratur untuk membayar. Masing masing menolak satu troli yang sarat dengan barang. Suami saya cakap, rasanya kena tunggu 1 jam baru boleh bayar ni...

Memandangkan barang yang kami ambil sedikit dan tidaklah begitu penting dan perlu sangat, jadi kami pulangkan dan keluar. Jadi semasa cuti Deepavali tempohari, orang yang beratur tidaklah terlalu ramai sangat, jadi sempat membeli beberapa barang dan antaranya sepotong ikan parang.

 Membayangkan asam pedas pun dah boleh buatkan air liur kecur....

Asam pedas juga ada pelbagai jenis, ada yang tumis dan ada juga jenis yang rebus. Saya suka tidak kira yang tumis atau rebus. Semalam saya masak Asam Pedas jenis tumis yang pekat dan melekat.

Kalau kita search resepi asam pedas di Internet, akan keluar pelbagai resepi berkaitan asam pedas. So kita boleh pilih mengikut citarasa atau bergantung pada mata yang melihat gambar masakan tersebut. Biasanya saya cuba resepi A, bila kurang kena pada tekak, saya cuba resepi B pula, sambil kita adjust mengikut taste bud kita sendiri.

Sebenarnya apa yang membuatkan saya excited sangat untuk memasak asam pedas ialah kerana pokok kesum yang saya tanam tumbuh dengan subur dan merimbun. Bila setiap kali balik kerja, mesti membelek pokok daun kesum. Begitu juga pokok kari. Geram tengok daunnya yang besar dan hijau.



Asam Pedas Ikan Parang

Bahan bahan
1 potong ikan parang - saya guna bahagian ekor
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 cm lengkuas
2 cm kunyit hidup
1 helai daun limau purut - dicarik
Belacan - anggaran sebesar ibu jari
1 batang serai - diketuk
1 sudu besar lada hitam
3/4 cawan cili kering kisar
1 tangkai daun kesum
Kacang bendi
Tomato
Air asam jawa
Garam dan gula
Air secukupnya
1 sudu teh halba
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Bawang merah,bawang putih,lengkuas,kunyit,belacan dan lada hitam ditumbuk jangan sampai terlalu halus.
2. Panaskan minyak, tumis halba, kemudian masukkan bahan bahan yang telah ditumbuk dan cili kisar. Tumis sehingga pecah minyak.
3. Kemudian masukkan air asam jawa, serai, daun kesum, sedikit garam, daun limau purut dan sedikit air. Biarkan ia hampir mendidih.
4. Kemudian masukkan ikan, tambahkan air jika kuah agak pekat. Bergantung pada selera. Masukkan kacang bendi.
5. Bila kuah sudah mendidih, perlahan api dan masukkan buah tomato. Tambahkan perasa jika perlu. Jika buah tomato yang digunakan muda, boleh masukkan bersama sama kacang bendi. 





Wednesday, July 9, 2014

Masak Lemak Cili Padi Ikan Jenahak dengan Peria


 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Alhamdulillah tanpa sedar kita sudah melepasi 10 malam pertama Ramadhan. Dua hari lepas memang terasa sangat keletihan kerana cuaca di Shah Alam yang sangat panas membahang. Orang tua pun boleh terasa apatah lagi kanak kanak yang baru belajar berpuasa. Sejak semalam, jerebu agak teruk dengan bau terbakar yang menyesakkan hidung.

Bila terlalu panas, yang paling dinantikan semasa berbuka tentunya minuman yang paling sejuk. Makanan lain tolak ketepi dulu. Macam budak baru belajar berpuasa pula kan... 



 Semalam tekak terasa nak makan masak lemak cili padi.Memandangkan tiada barang basah di rumah, saya singgah di pasaraya selepas waktu kerja. Tak banyak pilihan, saya ambil sepotong ikan jenahak dan peria katak.


Masak Lemak Cili Padi

Bahan bahan
1 keping ikan jenahak
1 biji peria - dihiris
1 inci kunyit hidup
8 biji cili padi
200 ml santan pekat
200 ml air
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Cuci ikan dan toskan. Tumbuk cili padi dan kunyit hidup hingga hancur.
2. Masukkan bahan ditumbuk ke dalam periuk beserta santan dan air.
3. Kemudian masukkan sayur peria dan ikan, masak dengan api perlahan sehingga mendidih.
4. Sentiasa dikacau supaya santan tidak pecah minyak. Perasakan dengan garam.
5. Matikan api bila ikan sudah masak. 
 

Friday, May 9, 2014

Steamed Fish


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini sudah hari Jumaat, cepat saja masa berlalu.... Mesti ramai yang berharap hari ini berlalu dengan pantas memandangkan akan bercuti panjang hingga hari Selasa depan. Mungkin sudah planned untuk kemana mana bersama sama keluarga atau teman teman. Atau barangkali sudah memikirkan apa yang hendak di masak untuk keluarga tercinta.







Menu malam tadi, Steamed Fish with Soy Sauce. Saya suka menu yang kukus atau rebus lagi lagi kalau one pot dish. Masak satu lauk saja, semua sudah ada. Tetapi my husband confirm tak jeling pun kalau menu macam ini. Sebab itu lebih baik guna kepingan ikan atau ikan yang bersaiz kecil.



Kali ini saya gunakan kepingan ikan senangin. Masakan yang sangat ringkas, senang dan tidak mengambil masa yang lama.


Bahan bahan
1 kepingan ikan senangin - cuci dan toskan.
1 inci halia - dihiris nipis
2 biji cili padi
1 hirisan limau nipis
Beberapa tangkai cendawan
1 tangkai daun bawang - dihiris memanjang
1 sudu teh bawang putih yang telah digoreng
Garam dan lada sulah
Sedikit gula
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu makan kicap
1 sudu teh sos tiram
Tomato, daun bawang dan cili merah untuk hiasan.

Cara cara
1. Lumur ikan dengan sedikit garam dan lada sulah. Susun kepingan limau nipis, daun bawang dan halia di dalam pinggan untuk mengukus.
2. Letakkan ikan, taburkan hirisan cendawan dan cili padi.
3. Satukan minyak bijan, gula, kicap dan sos tiram. Gaul sekata dan tuangkan ke atas ikan tadi.
4. Kukus ikan lebih kurang 5-7 minit.
5. Keluarkan ikan dan taburkan dengan hirisan daun bawang, cili merah, buah tomato dan juga bawang putih goreng.
6. Sedia dinikmati bersama sama dengan nasi putih.




Selamat Bercuti....


Thursday, March 27, 2014

Kari Ikan Masin & Nenas




Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera....

Hari ini mari kita layan menu Kari Ikan Masin dengan nenas pula. Saya kalau beli ikan talang masin atau kurau masin, saya lebih prefer tulang berbanding isi ikan. Walhal lebih senang kalau masak isinya tetapi lebih sedap tulangnya pada tekak saya.

Biasanya kalau masak kari @ gulai ini saya tiada sukatan tertentu, ikut sesuai rasa saja. Main agak agak saja. Kalau rasa nak pekat, kurangkan cecair dan begitulah sebaliknya. Tetapi kalau nak ajar orang baru berjinak jinak untuk ke dapur memang agak susah sikit. Yelah kalau kita kata segenggam, genggaman tangan kita tentulah tak sama dengan genggaman tangan orang lain.


Sebenarnya ini adalah menu tertangguh. 2 hari lepas memang plan nak masak kari ikan masin ni, semua dah beli bila balik dan perah kelapa, nampak santan macam pelik sikit. Nasib baik saya hidup dan rasa sikit rupa rupanya kelapa dah berbau. Cari cari juga kalau kalau ada santan kotak yang saya simpan, malangnya tiada. So tertangguhlah ke hari semalam.

Semalam saya hanya masak kari ikan talang dan rebus kerang. Alhamdulillah, bertambah juga saya tengok my husband makan. 




Wednesday, July 17, 2013

Asam Rebus Tempoyak Ikan Kembung



Assalammualaikum dan Selamat Pagi...

Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah lebih seminggu kita berpuasa. Meriah saya tengok rumah kawan kawan dengan pelbagai menu atau juadah untuk berbuka, tidak kurang juga untuk bersahur.

Saya sejak berkahwin dengan suami saya hampir 18 tahun, boleh dikatakan tidak pernah makan nasi waktu sahur. Kami hanya makan roti atau kuih muih dan minuman panas sahaja. Memandangkan suami saya tak makan nasi, so lama kelamaan saya pun terikut juga.


Semalam tekak terasa macam nak makan asam rebus tempoyak. Memandangkan saya tak makan ikan patin, saya gantikan dengan ikan kembung. Tidak perlu lauk yang lain pun tak apa, sedap menghirup kuahnya yang sedikit masam dan pedas.

Since last minute decision, tak berapa cukup bahan. Saya cuma masukkan daun kesum dan belimbing buluh saja. Saya ada baca mengenai resepi asam rebus tempoyak negeri Pahang yang hanya menggunakan tempoyak,cili padi,garam,daun kesum,kunyit dan air sahaja. Tetapi bila sudah dipelbagaikan ada yang mencampurkan dengan terung telunjuk, bendi,belimbing buluh dan sebagainya. Tapi tak bolehlah mengisytiharkannya sebagai masakan asli negeri Pahang.



Thursday, June 27, 2013

Asam Pedas Ikan Sembilang



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Nampaknya hari ini matahari begitu garang sekali memancarkan cahayanya. Dari awal pagi lagi sudah terasa terik membakar kulit....

Tiba tiba akak bersastera lah pulak kan...

Agaknya pasal semalam dapat makan asam pedas ikan sembilang kot. Dah beberapa lama teringin nak makan asam pedas ikan sembilang. Bila terasa nak makan, tak ada pula ikan sembilang. Bila jumpa, ada perancangan lain pula.

Kebetulan jumpa ikan sembilang yang bersaiz kecil, saya cuma beli dua ekor. Cukuplah dapat melepaskan keinginan. Dah rasa macam orang mengandung, mengidam itu dan ini....



Kali ini saya cuba resepi Asam Pedas Melaka. Maklumlah orang Melaka dan Johor memang agak terkenal dengan masakan asam pedas mereka. Saya pun kalau ke Melaka mesti nak mencari asam pedas.


  • 2 ekor ikan sembilang

  • Bahan kisar:-
  • 4 biji bawang merah
  • 10 biji cili kering
  • 1/2 inci halia
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1/4 sudu teh lada hitam
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 2 ulas bawang putih
  • Belacan sebesar ibu jari
Bahan tumis:-
  • 1/2 bawang besar-hiris
  • 1/4 sudu teh biji sawi
  • 1/4 sudu teh halba
  • 2 tangkai daun kari

  • air asam jawa 
  • air secukupnya
  • 1 biji tomato
  • 5 biji kacang bendi
  • 1 bunga kantan
  • daun kesum secukupnya
  • minyak masak
  • garam dan gula
Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis bahan tumis hingga wangi. Kemudian masukkan bahan kisar dan masak hingga pecah minyak.
2. Masukkan air asam jawa dan air secukupnya. Kemudian masukkan ikan dan sayur bendi. Biarkan seketika.
3. Kemudian masukkan bunga kantan, daun kesum dan buah tomato. Biarkan hingga mendidih dan perasakan dengan garam dan gula jika suka.


Monday, March 25, 2013

Asam Pedas Ikan Parang


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini nak letak gambar masakan Asam Pedas Ikan Parang yang saya masak untuk makan tengahari semalam. 

Asam pedas antara masakan yang saya gemari. Sebab ada rasa pedas dan masam dan memang sedap kalau dapat menghirup kuahnya. Ermmm sambil menaip sambil terbayang bayang asam pedas ni, boleh kecur air liur.

Selalunya kalau saya masak asam pedas, memang buat sikit sekadar untuk sekali makan saja sebab my husband tidak menggemarinya. Disebabkan saya teringin nak makan, so saya masak juga untuk kepuasan tekak sendiri dan untuk yang sorang lagi saya sediakan masakan kegemarannya....


KARI KETAM.

Saya tak makan pun kari tu, sebab lebih excited nak makan asam pedas.



Resepi asam pedas ni saya ambil dari blog CMG.



Thursday, November 29, 2012

Cencaru Kukus Air Asam


Salam dan Selamat Petang,


Malam ini saya cuma letak menu yang simple dan boleh disediakan dalam masa yang singkat. Selain itu, ia boleh dikategorikan sebagai menu yang agak menyihatkan.

Actually saya dah tak tahu nak masak apa untuk makan malam. Selain ikan, saya ada ayam, ketam, sotong dan kepala ikan mayong. Bosan juga kalau asyik makan kari saja. Semalam dah masak ketam berlada, so malam ini saya decided untuk masak menu yang agak ringan sikit.


Esok petang mesti riuh rendah rumah saya yang selalunya agak sunyi selain bunyi suara dari televisyen. Sebabnya ibu bapa saya, adik lelaki bujang dan adik perempuan saya sekeluarga akan datang ke rumah saya. Petang tadi masa berbual dengan emak saya di telefon, emak saya beritahu yang dia dah siap packed 2 guni durian dan 2 guni buah rambutan. Aduhai..... siapalah yang nak habiskan buah buah tu semua. Nampaknya kena hulur sikit pada jiran. Ermmmm mungkin boleh buat Crepe Durian kot....



Berbalik pada menu kali ini, resepinya agak senang. Apa yang perlu ialah kukus ikan cencaru hingga masak. Kemuadian bancuh campuran belacan, garam, asam jawa hingga sesuai rasa. Tambahkan dengan hirisan cili merah, cili padi, bawang besar dan tomato. Tambahkan daun ketumbar untuk menambahkan aroma air asam. Cukuplah sekadar lauk begini dengan sepinggan nasi putih.



Wednesday, November 14, 2012

Asam Rebus Tempoyak Ikan Salmon


Salam Maal Hijrah....

Esok kita cuti lagi.  Masih memikirkan bagaimana untuk menghabiskan cuti sehari. Mungin duduk di rumah saja atau mungkin keluar sekadar mencuci mata. Kalau rajin boleh juga mencuba resepi yang sudah panjang berjela dalam "List Resepi Yang Perli Dicuba".

Malam ini saya hanya ingin berkongsi menu untuk makan malam, Asam Rebus Tempoyak Kepala Ikan Salmon. Resei Asam Rebus Tempoyak boleh check di senarai sebelah kanan. Kali ini saya gantikan dengan kepala ikan salmon.

So, selamat bercuti buat semua.



Monday, November 5, 2012

Asam Pedas Ikan Mayong dengan Daun Asam Kampung



Salam dan Selamat Pagi,

Masa saya singgah di blog Wendy, Table for 2, saya noticed yang dia menjadi host untuk MFF bagi bulan November untuk negeri Kedah/Perlis. MFF ialah Malaysian Food Fest dimana seorang blogger akan menjadi host untuk setiap negeri di Malaysia. Blogger boleh menyediakan hidangan yang sinonim dengan negeri negeri yang terpilih utnuk setiap bulan.

 Kebetulan suami saya berasal dari Kedah di sebelah bapanya dan Perlis disebelah ibunya. Jadi saya beritahu suami saya yang saya teringin nak join MFF ni tapi saya tidak berapa pasti apa makanan yang begitu sinonim dengan Perlis dan Kedah yang agak jarang orang memasaknya. So my husband suggest saya untuk meghubungi keluarga di Perlis.

Ada beberapa masakan yang telah diberitahu kepada saya secara kasarnya. Tetapi ada satu bahan yang diberitahu kepada saya tetapi saya belum pernah merasanya walaupun saya sudah berkahwin dengan suami saya selama 17 tahun. Bahan itu ialah Daun Asam kampung atau Asam Paya atau Asam Kumbang.


Inilah daun asam kampung yang bentuk buahnya seakan akan buah rozel. Pada mulanya saya sangkakan kedua dua pokok ini ada sama tetapi rupa rupanya bukan. Ada sedikit kelainan dari segi bentuk daun Asam Paya dengan Daun Rozel.

Saya memang ada nampak emak sauda suami saya tanam pokok asam paya ni di halaman rumahnya di Kedah. Bila tanya nak buat apa dengan pokok ini, dia jawab nak buat masak asam pedas. Rasanya mereka selalu gunakan ikan sawah seperti ikan puyu atau ikan keli untuk buat asam pedas dengan daun asam kampung ini. Tetapi memandangkan saya sudah ada seketul kepala ikan mayong, jadi saya gunakan ikan mayong instead of ikan sungai/sawah.


ASAM PEDAS IKAN MAYONG DENGAN DAUN ASAM KAMPUNG
Sumber: My husband's family.

Bahan bahan
1 ketul kepala ikan mayong/ikan duri
1 batang bunga kantan
1 tangkai daun kesum
1 ikan daun asam kumbang/paya
10 biji cili kering *
6 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
1 inci kunyit hidup *
Belacan sebesar ibu jari *
1 sudu makan beras - dicuci dan toskan *
1 @ 2 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
Air - anggaran 800 ml

Cara cara.
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Masukkan kedalam periuk bersama sama dengan air, kepala ikan mayong. Didihkan.
2. Bila sudah mendidih, masukkan daun kesum, bunga kantan, daun asam kampung dan asam keping. Masak sehingga ia mendidih sekali lagi.
3. Perasakan dengan garam, jika suka lebih masam masukkan sekeping lagi asam keping.
4. Setelah semua cukup rasa, matikan api. Sedia dinikmati dengan nasi putih hangat, ikan kering yang digoreng garing dan juga sambal belacan.


Perhatian ****

Asam pedas ini tidak DITUMIS dengan minyak dan kelainannya kerana ia memasukkan sedikit beras di dalam masakan ini.

" I am submitting this post to Malaysian Food Fest Kedah/Perlis hosted by WendyinKK of Table for 2."


Monday, October 15, 2012

Steamed Fish with Lime and Chilies


Salam

Apa khabar semua pengunjung My Small Kitchen?
Harap semoga semuanya sentiasa sihat, maklumlah sejak sehari dua ni cuaca agak tidak menentu dan hujan boleh dikatakan sepanjang hari terutamanya di Shah Alam.  Dalam keaadaan macam ni, memang senang untuk dapat demam dan selsema.

Maaf juga sebab agak lama blog ni tidak updated. Bukan tidak masak, cuma menu ulangan jadi tidak berapa ada mood nak ambil gambar. Tambahan cuaca yang lembab membuatkan saya juga menjadi lembab....

Since tiada gambar masakan yang baru, saya cuma upload gambar lama yang ada dalam folder dalam komputer saya. Harap tidak jemu dan terus bertandang ke My Small Kitchen yang kadang kala agak lama menyepi....


Steamed Fish with Lime and Chilies

Bahan bahan

1 keping isi ikan merah - cuci dan toskan
1/2 sudu teh lada putih
Garam secukupnya
1 tangkai daun ketumbar - hiris halus
1 tangkai daun bawang - hiris halus
1/2 biji limau nipis
3 biji cili padi
1 inci halia - dihiris nipis
2 kuntum cendawan shiitake - hiris nipis
1 sudu teh minyak bijan
2 sudu makan kicap cair

Cara cara
1. Lumur ikan dengan lada putih dan sedikit garam. Letak ikan di dalam pinggan untuk mengukus.
2. Susun kepingan limau nipis, halia, daun bawang, daun ketumbar dan hirisan cendawan shiitake
   di atas kepingan ikan.
3. Kukus ikan lebih kurang 8 minit atau sehingga ikan masak.
4. Discard ( buang) air kukusan ikan dari piring pengukus, campurkan minyak bijan dan kicap cair,
   tuang ke atas ikan.
5. Hias dengan hirisan daun ketumbar dan daun bawang. Enak dinikmati bersama sama nasi putih.



Tuesday, September 25, 2012

Fish Head Curry


Salam dan Selamat petang....


Sudah agak lama tak letak entry makanan asasi my husband dalam blog ni. Cuma kali ini saya tukar sedikit cara penyediaannya dari kebiasaan. Selalunya saya masukkan ikan ke dalam kuah kari dan biarkan hingga masak, tapi kali ini saya kukus kepala ikan sebentar, masak kuah kari dan tuangkan ke atas kepala ikan.

Dulu dulu saya kena masak kari kepala ikan ni paling kurang 2 minggu sekali. Memang my husband peminat tegar kari kepala ikan, tapi sejak kebelakangan ni memang dah jarang sangat. Mungkin sebulan sekali pun susah. Mungkin bila usia dah makin meningkat, selera dah makin berkurangan dan mungkin juga sebab nak menjaga kesihatan.



Ermmmm kalau rajin pagi esok boleh buat lempeng atau cekodok dan cicah dengan lebihan kuah kari. Itupun kalau rajin la....  Tapi kalau malas, ambil saja roti benggali .

Buat masa ni, jamu mata dulu ye, nanti saya update resepi Fish Head Curry versi saya ni. Sebelum ni saya cuma letak entri bergambar, tak pernah nak ambil sukatan semasa saya memasak kari. Kata orang ikut sedap tangan sendiri saja.


Bahan bahan
Kepala Ikan Merah - Sebelah saja
1 sudu kecil rempah tumis ikan
1 sudu makan cili kering kisar
2 ulas bawang putih
1 sudu makan bawang merah yg ditumbuk halus
25 gms serbuk kari ikan ( 1 packet kecil, saya suka guna jenama BABA'S)
1 tangkai daun kari
1/2 biji buah tomato
2 biji cili hijau
1 labu bawang besar ( saiz sederhana )
1/2 cawan santan pekat
2 1/2 cawan air
1/4 cawan air asam jawa
1/2 biji buah tomato
4 biji kacang bendi
1 biji terung
2 biji cili merah
Garam
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Cuci bersih kepala ikan merah, kukus lebih kurang 10 minit. Ketepikan.
2. Hiris nipis bawang putih, bawang besar, cili hijau dan tomato. Campurkan sekali dengan daun kari dan rempah tumis. ( Bahan A)
3. Masukkan rempah kari, cili kisar,bawang merah dan bancuh dengan sedikit air hingga menjadi paste. (BAHAN B)
4. Pijarkan minyak, tumis Bahan A hingga layu. Kemudian masukkan pula Bahan B. Masukkan 1/2 cawan air dan kacau sebati. Masak rempah hingga pecah minyak. Rempah kena betul betul masak supaya kari tidak berbau rempah dan mudah sakit perut.
5. Kemudian masukkan santan pekat, air dan air asam jawa. Kacau sebati, kemudian masukkan sayur kacang bendi, cili merah dan terung, masak dengan api sederhana hingga mendidih. Perasakan dengan garam.
6. Bila kuah sudah mendidih, baru masukkan buah tomato. Biarkan 2 minit, barulah dimatikan api dapur.
7. Masukkan kepala ikan ke dalam mangkuk, tuang kuah kari ke atas ikan. Sedia dinikmati bersama sama nasi hangat.