
SERI AMAN, 11 April 11: Lim Guan Eng mencabar politik pembangunan Barisan Nasional (BN) semalam dengan menjanjikan masyarakat Dayak akan disediakan dana tetap RM1 bilion jika Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya negeri kali ini.
Setiausaha Agung DAP itu berkata peruntukan itu tambahan kepada dana pembasmian kemiskinan RM1 bilion, yang turut disasarkan kepada Dayak, yang masih miskin meskipun merupakan majoriti di negeri itu.
“Penindasan dan tekanan ke atas masyarakat Dayak mesti berakhir. Selama ini, kerajaan telah mengambil kesempatan dengan merampas hak mereka dan mengabaikan mereka,” kata beliau.
“Sekarang, dengan hari pengundian tidak sampai seminggu, ini adalah kesempatan yang baik bagi masyarakat Dayak untuk bangkit mencabar kerajaan BN yang amalkan rasuah.
“Negeri Sarawak milik rakyat Sarawak dan Pakatan Rakyat bertekad untuk memulangkan kekayaan tanah kepada rakyat,” kata beliau dalam ucapannya di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Pakatan Rakyat akan memperuntukkan dana RM1 bilion untuk kemudahan awam seperti jalan, air dan bekalan elektrik di kawasan luar bandar, yang akan memanfaatkan masyarakat Dayak dan kaum-kaum lain.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mengecam Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memimpin kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu telah gagal mengadakan infrastruktur asas meskipun Sarawak adalah “negeri yang kaya, walaupun bukan terkaya di Malaysia tetapi (kaya) dari segi sumber semula jadi.”
“Mereka mesti menikmati akses langsung di mana saja mereka berada agar mereka boleh memiliki kehidupan lebih tinggi dan membawa mereka ke arus perdana ekonomi,” katanya.
Lim juga berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan menuntut kerajaan persekutuan menaikkan royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus untuk menampung kedua-dua dana itu.
Meskipun tiada kenaikan kadar royalti, kata beliau, kerajaan negeri boleh mengadakan dua dana itu dengan menghapuskan rasuah.
Taib dan kerajaan negeri menolak dakwaan yang semakin meningkat bahawa kerajaan mengamalkan rasuah, terlibat dalam salah guna kuasa dan rampasan tanah rakyat sejak beberapa tahun lalu.
Lim juga menjanjikan bahawa tanah negeri Sarawak akan kekal di tangan penduduk setempat dan Pakatan Rakyat akan mengamalkan dasar yang sama di Pulau Pinang di mana wakil rakyat dilarang memohon tanah bagi mengelakkan salah guna kuasa. DAP bertanding di 15 kerusi pada pilihan raya negeri kali ini yang menawarkan 71 kerus.
Sementara itu di Kucing semalam, kempen pilihan raya negeri Sarawak sudah pun melepasi pertengahan jalan, kehadiran pengikut dan penyokong dalam jumlah berbeza pada majlis dihadiri kedua-dua Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Barisan Nasional (BN) alami “dilemma” menuju hari penentuan Sabtu ini.
Jumlah kehadiran jelas memperlihatkan BN, yang memerintah negeri ini sejak lebih empat dekad lalu, seolah-olah berada dalam “mood” yang berbeza. Lebih 900,000 pemilih akan keluar mengundi Sabtu ini sempena pilihan raya negeri kali ke-10.
Pengundi Sarawak yang lazimnya dilihat sebagai konservatif berduyun-duyun hadir untuk mendengar ceramah pada perhimpunan dihadiri Anwar dan beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat, antaranya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kerusi DUN Batu Kawah, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari pusat bandar Kuching.
Menurut pemerhati sekitar 8,000 orang hadir pada majlis ceramah itu, menyebabkan kesesakan teruk kira-kira dua jam. Menurut pemberita yang membuat liputan ceramah di Batu Kawah, Anwar menerima sokongan besar daripada hadirin.
Dalam ucapannya, Ketua Pembangkang itu meminta rakyat negeri Sarawak supaya percaya pada Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpinnya sambil menambah bahawa “Pek Moh”, istilah Hokkien yang digunakan untuk menggambarkan Taib dan pemimpin dalam kerajaan, supaya belajar daripada kepimpinan Lim, Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin yang lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula dijadualkan ke Sarawak sekali lagi malam ini dan akan 'berkampung' di bumi Kenyalang itu sehingga sehari sebelum pilihan raya negeri Sarawak ke-10 berlangsung. Sebaik sahaja jadual Najib yang juga adalah pengerusi BN disahkan, timbul spekulasi bahawa kemungkin Sarawak akan menyaksikan beberapa kerusi di kubu kuatnya tumbang.
Najib mungkin menjadi perdana menteri pertama yang berkempen sebegitu aktif. Lazimnya, tugas itu diserahkan kepada timbalan perdana menteri manakala perdana menteri sibuk dengan urusan mentadbir negara di Putrajaya.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada April 2009, Najib hanya memainkan peranan kecil dalam pilihan raya kecil dan tindakannya kali ini dikata mengejutkan banyak pihak. (IH)