Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

Rabu, 30 Disember 2020

Nama Muafakat Nasional Sudah Didaftarkan Oleh Orang Lain - Nik Amar.

MALAYSIAKINI | Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mendedahkan usaha pendaftaran Muafakat Nasional (MN) menghadapi sedikit masalah kerana dia difahamkan nama itu sudah digunakan oleh pihak lain.


"Saya difahamkan ada usaha-usaha untuk daftarkan, tetapi tidak dapat didaftar kerana nama itu sudah orang lain guna.

"Nama (MN) itu sudah ada dalam pendaftaran ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), tak tahu macam mana, itu yang saya difahamkan.

"Sebab itu kita tak boleh daftar, kalau nak daftar kena ada perubahan nama,"
katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu Mohd Amar berkata, setakat ini belum ada sebarang cadangan terhadap perubahan nama tersebut.

"Setakat ini belum ada (cadangan), jadi kita berjalan dengan kekalkan nama MN tetapi tidak didaftarkan," katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

Sebagai rekod, Setiausaha Agung BN Annuar Musa sebelum ini dilaporkan pendaftaran MN akan memakan masa sebelum didaftarkan dengan ROS.

Ini kerana katanya, pimpinan gabungan itu perlu menguruskan bagi kerja-kerja prapendaftarannya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan ROS dan pemimpin-pemimpin lain MN berkaitan perkembangan itu. - 30 Disember 2020.

Selasa, 3 November 2020

Kerajaan Akan Isytihar Darurat Untuk Tangguhkan Pilihanraya - Takiyuddin.

The Malaysian Insight | Kerajaan akan isytihar darurat untuk tangguh pilihan raya, kata Takiyuddin

KERAJAAN tidak mempunyai rancangan untuk mengusulkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuaan bagi menangguhkan pilihan raya dalam wabak sebaliknya akan memilih untuk mengusulkan darurat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.



Untuk mengusulkan pindaan bagi tujuan seperti itu “tidak bersesuaian dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan”, kata menteri yang bertanggungjawab dalam hal Parlimen dan undang-undang dalam jawapan bertulis Parlimen.

“Untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, sokongan dua pertiga ahli Parlimen diperlukan.

“Kerajaan boleh mencadangkan penangguhan suatu pilihan raya sekiranya pandemik ini difikirkan boleh diisytiharkan darurat seperti yang diperuntukkan dibawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan,”
katanya.

Beliau menjawab soalan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang bertanya sekiranya kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan atau mewujudkan rang undang-undang khusus bagi membolehkan suatu pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Semalam rakan Takiyuddin di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan mengkaji kemungkinan menggubal undang-undang baharu untuk itu.

“Jika perlu, buatlah tindakan khusus, kerajaan sedang mengkaji dan membuat cadangan kepada rakyat,” katanya dipetik Bernama. – 3 November 2020.

Ahad, 27 September 2020

Portal Pro UMNO Lapor Zahid Tak Puas Hati Rundingan KM Sabah.

SUARA TV | Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberi amaran kepada wakil-wakil BN dalam perundingan iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Ismail Sabri, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ahmad Maslan agar kekal dengan pendirian Ketua Menteri dari UMNO.

Menurut sumber, Ahmad Zahid tidak berpuas hati dengan cara pengendalian rundingan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ahmad Zahid yang di dalam kuarantin wajib dikatakan telah menyatakan kekecewaan ini kepada Presiden PBBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.

UMNO Sabah sebelum ini melepaskan banyak kerusi yang dimenangi dalam PRU lepas kepada Bersatu sebagai sebahagian rundingan akan memperolehi jawatan Ketua Menteri jika Gabungan Rakyat Sabah menang.

Sumber juga mendakwa Ahmad Zahid juga kecewa dengan cara PBBM meletak calon-calon bebas di 6 kawasan bagi mengalahkan calon BN. - 27 September 2020.

Rabu, 2 September 2020

57% Melayu Setuju Dengan Keputusan Mahkamah Najib Bersalah.

THE MALAYSIAN INSIGHT | Hampir enam daripada 10 pengundi Melayu setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menetapkan Najib Razak bersalah kerana salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, kata Merdeka Centre. 


“61% responden dalam kaji selidik ini setuju dengan keputusan mahkamah manakala 18% menjawab sebaliknya.

“Kami dapati 57% pengundi Melayu juga setuju dengan keputusan mahkamah,”
katanya dalam satu kenyataan.

Merdeka Centre menjalankan kaji selidik bermula 15 Julai hingga 10 Ogos, melibatkan 3,415 pengundi berdaftar terdiri daripada 52% Melayu, 29% Cina, 7% India, 6% Bumiputera Islam dan 6% Bumiputra bukan Islam (dari Sabah dan Sarawak).

Bekas perdana menteri itu didapati bersalah oleh mahkamah pada 28 Julai dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Najib yang memegang jawatan itu dari 2009 hingga 2018 dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana salah guna kuasa dan 10 tahun masing-masing atas enam tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Hukuman yang akan dijalankan serentak itu ditangguhkan untuk proses rayuan.

Najib didakwa berhubung wang sebanyak RM42 juta dipindahkan dari dana 1Malaysia Development Berhad ke akaun peribadinya.

Beliau menafikan semua salah laku itu dan menyatakan beliau dikelirukan oleh penasihat kewangannya - iaitu ahli perniagaan dalam pelarian Jho Low. – 2 September 2020.

Isnin, 31 Ogos 2020

Khairuddin Dianiaya, Beliau Hero Rakyat Selamatkan Malaysia, Perlu Beri Sokongan - Mursyidul Am PAS.

THE MALAYSIAN INSIGHT | MOHD Khairuddin Aman Razali umpama seekor burung dalam kisah Nabi Sulaiman yang membawa keuntungan besar melalui kesalahannya melanggar undang-undang, kata ketua ulama PAS.


Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata demikian ketika mempertahankan menteri tersebut yang kini disiasat polis kerana melanggar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.

Dalam ucapannya di Muktamar Dewan Ulama PAS Perak itu, Hashim berkata tindakan Khairuddin itu seperti burung hud-hud yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Nabi Sulaiman.

Hashim yang memetik kisah dalam Surah An-Naml itu berkata tindakan burung hud-hud itu bagaimanapun menyebabkan seorang raja, Ratu Balkis dan rakyatnya memeluk Islam.

“Kita balik kepada hud hud tadi, yang melanggar kawalan pergerakan, dan SOP yang dikenakan ketika itu oleh Nabi Sulaiman.

“Natijah akhirnya, seorang Raja dan rakyatnya peluk agama islam. Apakah Nabi Allah Sulaiman melaksanakan SOP ke atas burung belatuk?”
soalnya dalam ucapan yang disiarkan di Facebook.

Bagaimanapun, tindakan burung itu menyebabkan keuntungan kepada agama Islam seperti tindakan Khairuddin yang juga anggota Dewan Ulama dan anggota jawatankuasa eksekutif PAS.

Katanya, Khairuddin tidak dikenakan kuarantin wajib dan beliau perlu menghadiri sidang Parlimen untuk pengundian.

“Menteri kita ini, dia pergi ke (Turki), semua proses yang patut dengan kementerian dia buat. Balik sini, sepatutnya bubuh lah gelang merah pada dia. Tidak, tak payah. Gelang merah tak payah.”

Khairuddin juga terpaksa hadir sidang Dewan Rakyat melibatkan undian belah bahagi yang genting kerana ahli Parlimen kerajaan termasuk PAS hanya berjumlah 111 orang, katanya.

“Lepas itu nak mesyuarat Parlimen pula, undi tak percaya. Waktu itu 111 dengan 109, bukan jauh. Pergi lah, dia tidak ada apa-apa sekatan, bukan salah dia,” kata Hashim.

Tambahnya, kunjungan menteri perladangan dan komoditi itu ke Turki itu meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia.

“Sebelum ini minyak kelapa sawit kita dihantar ke Turki dan melalui Turki sebanyak 700,000 tan setahun.

“Dr Khairuddin dia pergi sana empat hari berunding, dapat mengadakan perjanjian MOU, tambah lagi 300,000 tan setahun, menjadikan 1 juta tan setahun,”
kata Hashim.

Oleh itu, Khairuddin tidak patut digesa meletak jawatan atas kesalahan tersebut dan menggesa orang PAS untuk mempertahankan menteri berkenaan.

“Orang yang berjasa, hud hud ni, Dr Khairuddin tu, belatuk kepada rakyat Malaysia. Kelapa sawit naik harga bukan untuk orang melayu sahaja. Untuk semua rakyat, untuk ekonomi negara.

“Diusahakan walaupun bercanggah, sikit… tapi bukan salah dia….,”
katanya.

Beliau seterusnya menyalahkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar yang menurutnya “lalai” sehingga menyebabkan Khairuddin diserang.

“Kementerian Kesihatan ada kelalailan lah, bukan ada apa, kelalaian, begitu jugak Kementerian Luar, menyebabkan dia diserang. Lepas itu (pembangkang) pakat beramai-ramai minta dia letak jawatan.

“Maka takkanlah orang PAS duduk senyap. Hero rakyat yang menyelamatkan Malaysia ini, dianiaya. Takkan orang PAS pakat senyap saja. Biar dia seorang diri bela diri. Tak patut.


“Kita sepatutnya suarakan, beri sokongan, beri sokongan berdiri teguh di belakan YB Menteri Perusahan. Itu sepatutnya, biar dia terasa ada sokongan,” kata Hashim lagi.

Tindakan Khairuddin tidak menjalani perintah kuarantin wajib itu juga dipertahan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata ia tidak menyebabkan kluster jangkintan baharu.

Khairuddin pada Jumaat lalu hadir memberi keterangan bersama beberapa orang saksi di Bukit Aman bagi kesalahan tersebut.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan tersebut pada 7 Ogos.

Khairuddin pulang ke Malaysia pada 7 Julai.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan ke atas menteri tersebut.

Tindakan Khairuddin melanggar perintah kuarantin itu mencetus cemuhan dan kritikan orang ramai yang membandingkannya dengan tindakan keras dikenakan ke atas individu lain bagi kesalahan sama. - 31 Ogos 2020.

Sabtu, 29 Ogos 2020

Ally Mukhriz Minta Maaf Kerana Langgar PKPP.

FREE MALAYSIA TODAY |  Anak Mukhriz Mahathir, Ally hari ini memohon maaf secara terbuka atas tindakan melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan menyesali kejadian menimpanya.

Ally mengakui tindakan itu tidak bertanggungjawab kerana menyusahkan keluarga, rakan dan masyarakat.

“Sejujurnya saya menyesal. Bukan sahaja kerana saya cuai melanggar larangan pergerakan selepas tengah malam, malah bersikap tidak bertanggungjawab di kala kita semua sedang diancam pandemik.

“Saya kesal kerana kecuaian itu sudah menyusahkan keluarga dan rakan saya, serta anda sekalian. Benarlah saya bersalah dan anda patut berasa kecewa tetapi tidak sebesar kekecewaan dan kekesalan yang saya rasai ketika ini,” katanya.

Semalam, Mukhriz mengesahkan anak dan menantunya antara individu ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah pub di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata, beliau sendiri sudah memberi peringatan kepada seluruh anggota keluarganya, supaya sentiasa mematuhi PKPP dan turut menzahirkan rasa kecewanya terhadap tindakan anak dan menantunya itu.

Ally berkata, dia sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dan menjadi teladan kepada masyarakat, namun menyedari usahanya itu masih belum memadai.

“Maka, saya mesti dan akan tingkatkan usaha untuk menjadi lebih baik. Saya harap suatu hari nanti, saya dapat membuktikan kepada anda semua, yang saya sudah berjaya,” katanya.

Ally turut memberitahu, pegawai dan anggota polis yang mengendalikan kesnya itu sudah menjalankan tugas dengan baik, sopan dan adil terhadapnya dan menyanjung sikap profesionalisme ditunjukkan mereka. - 29 Ogos 2020.

Rabu, 5 Ogos 2020

Tiada Sumpah Bai’ah Talak Tiga Bagi Calon PAS #PRU15.

Utusan Online | Pas tidak akan lagi mengguna pakai kandungan sumpah bai’ah talak tiga kepada calon-calon parti itu yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bagaimanapun parti itu tetap berpegang kepada dasar utamanya iaitu kesetiaan ahli dan pemimpin melalui bai’ah.
“Tidak itu (bai’ah talak tiga) bukan asas bai’ah. Kalau kita baca dalam sejarah Islam, ada benda-benda yang bukan talak tiga (perceraian), sebaliknya kalau (bai’ah) dilanggar, (hukuman atau dendanya) kena pergi haji jalan kaki selama 30 tahun.
“Bai’ah talak tiga sebenarnya berlaku pada suatu ketika khusus untuk negeri Kelantan.
“Ia muncul apabila Pas Kelantan (dalam satu pilihan raya umum) berada dalam keadaan genting sehingga memaksa Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memasukkan kandungan sumpah bai’ah yang boleh menggugurkan talak (tiga) ke atas isteri mereka (calon-calon Pas),” katanya ketika ditemui di Pejabat Ahli Parlimen Marang di Parlimen baru-baru ini.
Abdul Hadi berkata, formula Pas mengekang lompat parti dalam kalangan wakil rakyatnya adalah melalui kaedah tarbiah dengan cara mendidik ahli.
“Kita ambil pendekatan bahawa politik sebahagian daripada agama. Dan agama tidak boleh dipisahkan daripada politik.
“Jadi, bila ada hal sebegini, kita ikatkan melalui bai’ah, janji setia kepada perjuangan. Ini sangat penting. Janji setia inilah yang membentuk wakil rakyat kita yang setia kepada perjuangan,” katanya.
Beliau menyifatkan gejala lompat parti yang `membadai’ segelintir ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri sekarang berpunca daripada masalah jati diri.
“Pada masa sama, masalah konsisten parti itu sendiri dengan dasar. Kalau parti itu mengubah dasar (yang menolak Islam), tak boleh ikut parti itu,” kata beliau. - 5 Ogos 2020.

Ahad, 10 Mei 2020

Majlis Tertinggi PPBM Dijangka Bincang Pemecatan Tun Mahathir & Mukhriz Esok.

The Malaysian Insight | MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dijangka akan membincangkan pemecatan Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir dari parti dalam satu mesyuarat esok yang tidak memanggil mereka, kata sumber dalam parti.

Dr Mahathir dan Mukhriz adalah antara pengasas Bersatu, yang ditubuhkan pada September 2016 untuk menggantikan Umno sebagai parti orang Melayu dan Bumiputera.


Mesyuarat esok dipanggil ketika kemelut perpecahan dalam Bersatu, susulan langkah Presiden Muhyiddin Yassin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan bekerjasama dengan Umno, semakin memuncak secara terbuka.

Tiga ahli MPT mengesahkan kepada The Malaysian Insight, surat panggilan mesyuarat tidak menyenaraikan pengerusi dan timbalan presiden parti.

“Tun (Dr Mahathir) dan Mukhriz tidak dipanggil sebab parti hendak pecat mereka,” kata seorang ahli MPT Bersatu yang enggan dinamakan.

Notis mesyuarat yang dilihat oleh The Malaysian Insight menyenaraikan presiden, dua naib presiden, ketua sayap Pemuda dan Wanita, dan ahli pimpinan tertinggi yang lain. Notis dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya.

Seorang ahli MPT Bersatu Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, yang juga menerima panggilan mesyuarat esok, menulis di Facebook berharap khabar pemecatan Dr Mahathir dan Mukhriz tidak betul.

“Saya harap MPT akan membincangkan macam mana untuk merapatkan barisan demi memastikan Bersatu berperanan penting sebagai sebuah parti dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya.

“Saya juga berdoa desas-desus yang menyatakan mesyuarat esok berniat untuk menggugurkan keahlian Dr Mahathir dan Mukhriz berdasarkan kenyataan-kenyataan Ketua Penerangan tidak benar.”

Khamis lalu, Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin berkata parti sedia menggugurkan keanggotaan mana-mana ahlinya yang menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti.

Bersatu tidak menganggap Dr Mahathir sebagai pengerusi parti selepas beliau letak jawatan pada 24 Februari lalu, pada hari yang sama beliau letak jawatan perdana menteri.

Dr Mahathir letak jawatan kerana tidak bersetuju dengan langkah Bersatu mahu keluar Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan baharu.

Muhkriz pula dalam satu kenyataan panjang minggu lalu menyeru Bersatu untuk kembali bersama PH, demi masa depan parti yang lebih terjamin berbanding jika bekerjasama dengan PAS dan Umno.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH pada 24 Februari, keputusan yang didakwa dipersetujui dalam mesyuarat sehari sebelumnya, dan seterusnya menubuhkan kerajaan baharu di Putrajaya bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Semalam, Dr Mahathir menyeru ahli-ahli Bersatu merenung semula niat mereka dan jati diri perjuangan semasa menyertai parti, selepas Muhyiddin bekerjasama dengan Umno yang mereka lawan sebelum ini.

Susulan kenyataan itu, Radzi mengeluarkan kenyataan balas mendakwa Dr Mahathir sebenarnya tahu sejak awal dan bersetuju dengan cadangan Bersatu keluar PH namun kemudian mengubah fikiran.

Sejak seminggu lalu, pemimpin Bersatu berbalas kenyataan di media saling mempertikai dan mempertahan langkah parti keluar PH dan membentuk kerajaan baharu bersama Umno.

Bersatu menangguhkan pemilihan parti sehingga akhir Jun susulan pelbagai sekatan bagi membendung penularan Covid-19. Pemilihan itu sepatutnya berlangsung hujung April lalu. - 10 Mei 2020.

Ahad, 29 Mac 2020

Agih RM4,000 Kepada Setiap Bahagian Parti, Peguam Soal PPBM Dapat Duit Dari Mana.

THE MALAYSIAN INSIGHT | PEGUAM Mohamed Haniff Khatri Abdulla meminta Bersatu menjelaskan sumber dana RM4,000 yang diperuntukkan untuk setiap bahagian parti itu bagi membantu ahli parti yang terjejas akibat wabak Covid-19. 


 
Beliau juga meminta penjelasan adakah penyaluran dana itu mengikut peraturan parti.

Katanya, penjelasan itu seeloknya dibuat oleh bendahari parti, dan bukannya Setiausaha Agung, Hamzah Zainuddin, yang dipertikaikan pelantikannya.

Bekas ketua biro undang-undang Bersatu itu berkata walaupun bantuan itu baik untuk ahli parti yang memerlukan, pengagihan dana itu juga haruslah betul.

“Adakah bantuan kewangan RM4 ribu setiap bahagian Bersatu untuk diagihkan kepada ahli-ahli bahagian, satu perlanggaran perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Haniff, surat yang dikeluarkan oleh Hamzah membayangkan dana itu adalah sumbangan atau derma melalui Presiden Muhyiddin Yassin untuk bantuan terus kepada ahli, dan bukannya dana parti.

Jelas beliau, penjelasan itu penting kerana perlembagaan Bersatu mensyaratkan sebarang perbelanjaan parti yang melebihi RM500,000 perlu diluluskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

Sekiranya itu dana parti, beliau bertanya juga bagaimana mesyuarat itu diadakan ketika Pendaftar Pertubuhan pada 16 Mac lalu melarang mesyuarat parti diadakan sehingga 30 Jun ini.

“Maka ia akan menjadi satu pelanggaran Perlembagaan Parti Bersatu, jika dana parti diagihkan tanpa kelulusan terlebih dahulu oleh Majlis Pimpinan Tertinggi,” katanya.

Haniff adalah antara pihak yang terlibat merangka perlembagaan parti semasa penubuhannya pada pertengahan 2016. Perlembagaan itu kemudian dipinda dan diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada Julai 2019.

Perkara 24.8 Perlembagaan Bersatu menyebut perbelanjaan yang melebihi RM500,000 perlu mendapat kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi.

Dalam satu pekeliling kepada ketua bahagian serta ketua sayap pemuda dan wanita bahagian semalam, Hamzah mengumumkan bantuan tersebut, yang diagihkan RM2,000 untuk bahagian dan masing-masing RM1,000 untuk sayap pemuda dan wanita.

Bantuan itu dianggar melibatkan dana berjumlah RM756,000, berdasarkan jumlah 189 yang ada di seluruh negara.

“Mungkin ada baiknya agar bendahari parti dapat memberi penjelasan berkaitan sumber dana… agar kekeliruan dan kecelaruan berkaitan kesahihan pengagihan dana ini… dapat diselesaikan dengan cara baik dan tuntas, dan berpandukan perlembagaan parti Bersatu sebaiknya,” kata Haniff.

Pada masa sama, Haniff mengulangi kenyataannya meminta Hamzah “belajar menyusun ayat dan bahasa” dengan betul agar tidak menampak dirinya sebagai setiausaha agung parti, ketika kedudukannya dipertikaikan.

Beliau meminta kedudukan jawatan sedia ada dikekalkan sehingga pemilihan parti, yang kini sudah ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan kerana penularan Covid-19.

Sebelum ini Haniff berkata pelantikan Hamzah tidak mengikut perlembagaan kerana dibuat oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tanpa merujuknya terlebih dahulu dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Perkara 16 Perlembagaan Bersatu memberi kuasa kepada presiden untuk melantik setiausaha agung, bendahari dan ketua penerangan selepas berunding dengan pengerusi.

Dr Mahathir sebelum ini juga mempertikaikan pelantikan Hamzah.

Muhyiddin semalam mengesahkan Hamzah dilantik menggantikan Marzuki Yahya yang dipecat dari jawatan pada 18 Mac lalu.

Isnin, 23 Mac 2020

MAIWP Akan Tetap Anjur Majlis Serahan Bantuan Untuk Bakar Semangat Asnaf - Penjelasan Timbalan Menteri.

The Malaysian Insight | MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) akan tetap menganjurkan beberapa siri majlis penyerahan bantuan keperluan harian kepada golongan asnaf yang terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Ini kerana, kehadiran menteri atau timbalan menteri dalam program berkenaan akan menjadi pembakar semangat kepada kumpulan asnaf yang terjejas sepanjang penguatkuasaan PKP dijadualkan berakhir 31 Mac ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Majlis berkenaan bagaimanapun katanya hanya dijalankan dalam skala kecil dengan berpandukan garis panduan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita hadkan (penganjuran program sepanjang PKP), ikutkan banyak tapi kita jadikan sekadar yang perlu.

“Untuk tunjuk keyakinan dan beri semangat, yang penting bila menteri dan timbalan menteri turun padang ia memberi semangat harap mereka (asnaf) bertahan dan bersabar dengan situasi hari ini,”
kata Marzuk.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan makanan harian dan wang tunai kepada 10 asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di ibu negara.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, melalui program sedemikian, pihak berkuasa agama juga akan mengumpul beberapa maklumat penting yang tidak dapat diperolehi tanpa bersemuka.

“Kita boleh dengar masalah mereka dan kutip maklumat yang perlu yang kadang kala tak dapat dengan saluran rasmi tertentu, bila jumpa begini akan dengar secara langsung daripada masyarakat,” katanya.

Selain barangan keperluan harian bernilai RM300, penerima juga menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM200.

Bagi asnaf-asnaf lain, wang tunai RM500 akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing di bawah bantuan zakat khas tambahan, bermula April depan.

“Kita buat (program ini) sebagai tanda kita tunjuk keprihatinan tapi kita raikan SOP (prosedur operasi standard) dan standard keselamatan MKN, pogram tidak lama, dengan kita jarakkan kehadiran.

“Kita buat hari ini tunjuk prihatin dan simpati kepada asnaf, dalam meraikan SOP keselamatan MKN,” katanya, lagi.

Sumbangan yang disampaikan merupakan salah satu daripada misi agensi pengurusan Islam di bawah menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan agama itu untuk membantu pihak terjejas ekoran penularan wabak Covid-19.

Antara bantuan yang disediakan Maiwp adalah mempercepatkan bantuan kewangan bulanan daripada 25 Mac, kepada 19 Mac kepada 24,196 asnaf.

Agensi itu juga mengagihkan barangan berbentuk makanan kering kepada petugas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, setiap hari bermula 21 Mac hingga tamat PKP. – 23 Mac 2020.

Sabtu, 29 Februari 2020

PH Akan Bawa SD Tunjuk Bukti Ke Agong Dapat Sokongan Majoriti.

The Malaysian Insight | PAKATAN Harapan merancang melakukan rayuan terhadap keputusan Yang di Pertuan Agong untuk melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia kelapan.


Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata PH merancang berbuat demikian menggunakan akuan bersumpah yang ditandatangani menyokong calon pilihan mereka, Dr Mahathir Mohamad.

“Kami akan cuba buktikan melalui akuan bersumpah (SD). Kita akan cuba menggumpulkan bukti itu, kerana tempoh masa yang diberikan Istana semalam mengizinkan kami untuk mengumpulkan bukti-bukti itu,”
kata Salahuddin kepada wartawan di luar Hotel Eastin, Petaling Jaya.

Pemimpin PKR, DAP dan Amanah berkumpul di hotel itu sejak pagi tadi, manakala ketua parti pula pergi ke Istana Negara untuk memaklumkan Agong bahawa Dr Mahathir adalah calon perdana menteri mereka.

Salahuddin menambah, semua pemimpin PH kini akan berkumpul dan bermesyuarat di pejabat Dr Mahathir di Yayasan Al-Bukhary untuk membincangkan proses rayuan kepada Agong.

Istana Negara sebelum ini berkata pengumuman akan dibuat pada jam 5 petang, tetapi kenyataan media mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan bocor lebih awal.

PH dengan sokongan ahli Parlimen sebelum ini yakin Dr Mahathir mempunyai sokongan majoriti, selepas beliau dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menongkah arus menentang keputusan Bersatu yang menamakan Muhyiddin. Mereka juga menafikan menandatangani akuan bersumpah menyokong presiden Bersatu itu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim juga sebelum ini yakin Dr Mahathir mendapat sokongan majoriti, dengan ramalan lebih ramai ahli Parlimen Bersatu akan kembali menyokong PH. Richard Riot (SUPP) juga turut menyertai PKR.

Warisan dari Sabah dengan sembilan kerusi dan Upko (1) juga mengumumkan sokongan kepada Dr Mahathir. – 29 Februari 2020.

Rabu, 19 Februari 2020

PH Mungkir Janji, Tak Baiki Sekolah Daif Dengan Wang RM1b Dakwa Sarawak.

The Malaysian Insight | KERAJAAN negeri Sarawak mendakwa Kerajaan Persekutuan mungkir janji untuk membaik pulih dan membina semula sekolah usang di negeri itu.

Ketua menterinya Abang Johari Openg hari ini berkata, kerajaan negeri telah membayar semula RM700 juta daripada RM1 bilion pinjaman daripada Putrajaya untuk membaik pulih sekolah, namun hingga kini tiada sebarang tindakan dibuat terhadap 1,454 sekolah yang memerlukan pembaikan.


Pinjaman sebanyak RM1 bilion dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan yang menuntut Sarawak untuk membayar semula lebih awal.

Abang Johari berkata, Sarawak telah membayar RM350 juta pada Ogos tahun lalu dan bayaran kedua dibuat pada 7 Februari lalu.

Bayaran terakhir sebanyak RM300 juta, yang sepatutnya dibayar dalam tempoh tiga bulan akan datang, mungkin akan ditangguhkan memandangkan tiada pembaikan yang dibuat terhadap sekolah terlibat, katanya.

“Sekiranya mereka tidak melakukannya, mengapa nak buat bayaran?”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium Keagungan al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di Kuching hari ini.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri bimbang dan aberkenaan disalurkan untuk kegunaan lain. Bagi menarik balik perjanjian pinjaman untuk pembaikan sekolah, beliau berkata Sarawak mahu wang itu disalurkan terus ke sekolah terlibat.

Kerajaan Sarawak juga mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dilantik sebagai agensi pelaksana dan semua tender akan dilakukan melalui Lembaga Tender Persekutuan di Sarawak.

Namun katanya, pada 18 September tahun lalu, Kementerian Kewangan berkata JKR persekutuan akan bertanggungjawab untuk kerja baik pulih, manakala JKR Sarawak hanya dilantik sebagai penolong pengurus projek.

“Mereka langgar perjanjian. Kita mengharapkan kerja baik puih itu bermula selepas bayaran sebanyak RM350 juta dibuat,” kata ketua menteri.

Bayaran pertama telah digunakan untuk membina semula atau menaik taraf 37 sekolah yang usang.

Abang Johari berkata walaupun jelas perjanjian itu tidak dihormati, kerajaan Sarawak tetap membuat bayaran kedua bagi menghormati perjanjian berkenaan.

Beliau berkata bayaran balik akhir bergantung kepada perbincangan antara Menteri Penyelidikan, Sains dan Teknologi, Michael Manyin dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 12 Mac.

Menurut Abang Johari, Manyin telah diarahkan untuk bertemu Dr Mahathir, yang juga pemangku menteri pendidikan bagi menyelesaikan masalah itu.

Minggu lalu, Manyin mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan telah mengubah pendirian terhadap beberapa perkara yang dipersetujui dalam perjanjian itu, seperti melantik JKR persekutuan sebagai agensi pelaksana.

Kementerian Kewangan juga dilaporkan menuntut untuk menyemak semula skop kerja dan senarai sekolah yang perlu dibaik pulih.

Manyin berkata, semakan semula itu akan menangguhkan proses pemberian tender.

Jumaat, 7 Februari 2020

PH Perlu Belajar Sejarah Politik 1998 & 2003 Kata Khalid Samad.

The Malaysia Insight | PAKATAN Harapan (PH) perlu belajar dari situasi politik pada 1998 dan 2003 untuk kekal bersatu, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad.


Beliau merujuk kepada permusuhan Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu perdana menteri keempat dengan Anwar Ibrahim pada 1998, sehingga timbalannya itu dipecat.

Keadaan pada masa itu juga menyebabkan perpecahan dalam Umno, kata Khalid.

“Kita tak mahu begini. Itulah sebabnya kita sering beri penekanan dan menegaskan bahawa kita mahu satu suasana yang baik, yang tenteram dan aman,” katanya ketika ketika ditemu bual Jom Channel malam tadi.

“Dan mereka yang menyerang, mengutuk dan sebagainya atas nama Datuk Seri Anwar Ibrahim….Datuk Seri Anwar pun minta hentikan. Kerana kita tak nak berulangnya 1998.”


Menteri Wilayah Persekutuan itu kemudian merujuk kepada situasi pada 2003 iaitu selepas Dr Mahathir meletak jawatan perdana menteri dan “diketepikan” oleh penggantinya penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi.

“Jadi dua perkara ini kita perlu elak. Yang pertama, jangan kita berentap, kerana kita kena jaga air muka pemimpi-pemimpin kita termasuk termasuklah Tun sendiri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,”
katanya.

Selain itu, PH juga perlu meyakinkan Dr Mahathir bahawa pakatan itu tidak akan mengenepikan dan menyerang dirinya selepas menyerah kuasa kepada Anwar, tambah Khalid.

Katanya, Dr Mahathir sendiri bersedia meninggalkan Umno dan bekerjasama dengan musuh politiknya untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat.

“Dia tak mahu rasa diperalatkan. Kita tak peralatkan dia, kita mahu bersama dengan dia.”

Khalid juga berkata isu berkenaan peralihan kuasa sebaiknya diselesaikan oleh Majlis Presiden PH supaya ia berjalan dengan lancar.

Ahad, 2 Februari 2020

Skandal Projek Bekalan Elektrik : Rosmah Mula Dibicarakan Esok.

THE MALAYSIAN INSIGHT | ROSMAH Mansor akan dibicarakan esok dengan pertuduhan rasuah ratusan juta ringgit membabitkan projek bekalan elektrik kepada sekolah luar bandar di Sarawak.

Ini akan merupakan kali pertama isteri bekas perdana menteri Najib Razak hadir di mahkamah, yang dijangka berterusan sehingga akhir April.



Rosmah, 69, meminta dibicarakan bagi pertuduhan meminta suapan sebanyak RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima RM6.5 juta bagi projek membekalkan elektrik kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa menerima suapan daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya Rizal Mansor.

Puluhan saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan terhadap Rosmah.

Rizal, yang dibebaskan pada 8 Januari tahun ini, daripada empat pertuduhan rasuah membabitkan projek yang sama, dijangka dipanggil untuk memberi keterangan terhadap bekas bosnya itu.

Kedua-dua mereka pada asalnya dijangka dibicarakan bersama.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan akan mengadili perbicaraan itu. Bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram akan mengetuai pendakwaan sementara K Kumaraendran akan bertindak sebagai peguam utama pihak pembelaan.

Rosmah pertama kali didakwa berkaitan kes itu pada November 2018. Pihak pendakwaan berkata wang itu adalah suapan bagi syarikat itu untuk mendapatkan projek, melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan, untuk memasang sistem hibrid solar dan penyelenggaraan serta operasi penjana diesel.

Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid itu bernilai RM1.25 bilion dengan RM187.5 juta mewakili 15% daripada jumlah itu.

Rosmah dituduh menerima wang itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall di Jalan Putra, Kuala Lumpur antara Mac dan April 2016.

Beliau dituduh menerima RM1.5 juta dan RM5 juta lagi di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, pada 20 Disember 2016 dan Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2018.

Semua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Rosmah akan didenda RM10,000 dan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Tarikh pebicaraan ditetapkan 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13 Februari, 17 hingga 20 Februari, 9 hingga 12 Mac, 6 hingga 9 April, 13 hingga 16 April, 20 hingga 23 April dan 27 hingga 30 April.

Ini bukan satu-satunya kes jenayah Rosmah kerana beliau turut berdepan perbicaraan pengubahan wang haram pada 11 Mei.

Beliau didakwa dengan 12 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM7,097,750, dan lima tuduhan kerana gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Perbicaraan juga akan didengar di depan Zaini. – 2 Februari 2020.

Hudud Versi PAS Kuno, Tidak Sesuai Untuk Malaysia Abad 21 - Prof Mohammad Hashim Kamali.

THE MALAYSIAN INSIGHT | UNDANG-UNDANG jenayah Islam PAS adalah versi kuno dan tidak sesuai untuk Malaysia dalam abad ke-21 ini, kata sarjana Islam terkemuka Prof Mohammad Hashim Kamali.



Hashim yang menerbitkan kajian terbarunya berkenaan undang-undang Islam, berkata PAS hanya mengangkat kandungan daripada kanun undang-undang abad ke-12 yang digunakan di Timur Tengah dan menggunakannya terhadap umat Islam di Kelantan dan Terengganu.

PAS tidak ada cubaan pun untuk tampil dengan cara lebih baik untuk menghukum umat Islam bagi kesalahan zina, judi dan pengambilan arak, kata Hashim yang turut mengasaskan Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS).

Sebagai perbandingan, hukuman untuk kesalahan syariah di negeri lain yang tidak ditadbir PAS adalah lebih sesuai dengan dunia moden Malaysia hari ini, kata Hasim.

“Mereka ambil dari buku kuno, ‘al hakam al sultaniah’,” kata Hashim kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada buku undang-undang abad ke-11 tulisan pakar undang-undang Islam, Ali Muhammad Mawardi.

“Mereka gunakan ia dan terjemahkan tanpa sebarang elemen pemahaman baharu berkenaan undang-undang itu untuk generasi Muslim hari ini.”


Hashim berkata PAS tidak menawarkan rangka kerja tentang bagaimana hendak melaksanakan hukuman mereka, iaitu termasuk potong anggota badan bagi kesalahan mencuri dan rejam dengan batu kerana berzina.

Hashim sebelum ini mengajar undang-undang Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan dinamakan sebagai antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia.

Beliau pakar dalam kajian perbandingan antara undang-undang Islam dan moden. Pada 1995, pentadbiran pertama Dr Mahathir Mohamad menugaskannya menulis kajian tentang enakmen hudud dan qisas PAS di Kelantan.

Pada 2002, PAS mewartakan undang-undang sama di Terengganu apabila ia mengambil alih negeri itu selepas menang pilihan raya umum 1999.

PAS tidak dapat mengguna pakai enakmen itu kerana hukumannya bercanggah dengan undang-undang peringkat kebangsaan yang mengehadkan skop hukuman sedemikian.

Dan juga, hukuman hudud PAS mengandungi kesalahan seperti membunuh dan mencuri yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Walaupun kontroversi, parti Islam itu sering mengangkat undang-undang hududnya dan qisas sebagai pencapaian utama dan bahan politik.

Parti itu kini bergabung dengan pembangkang Barisan Nasional dan sedang berkempen untuk mengambil alih kerajaan persekutuan pada PRU15.

Hashim menawarkan penilaiannya terhadap undang-undang PAS selepas melancarkan bukunya, Crime and Punishment in Islamic law, A Fresh Interpretation”, di mana majlis itu turut dihadiri menteri hal ehwal Islam, Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Ia hanya fiqah kuno tanpa sebarang tafsiran lanjut,” kata Hashim, berkenaan undang-undang PAS.

Sebaliknya, undang-undang untuk kesalahan syariah masih boleh diformulasikan tetapi hukuman yang berbeza daripada yang digunakan pada zaman kuno.

“Anda tidak boleh kata anda tidak akan hukum pencuri atau zina. Apa yang anda boleh buat ialah kenakan hukuman berbeza. Maka anda tidak melanggar syariah.”

Hukuman seumpama itu boleh juga termasuk hukuman penjara atau denda, berbanding sebat dan potong anggota badan.

“Teksnya perlu diguna pakai mengikut realiti semasa. Kita bukan masyarakat kuno. Kita sekarang di abad ke-21. Kita perlu memahaminya dan mengenakan hukuman mengikut realiti ini, itu apa yang dituntut syariah,” katanya. – 1 Februari 2020.

Selasa, 28 Januari 2020

Audio Skandal #1MDB, Polis Sahkan Panggil Azeez Untuk Beri Keterangan.

THE MALAYSIAN INSIGHT | POLIS mengesahkan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dipanggil untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio berkaitan skandal 1MDB yang didedahkan agensi antirasuah.


 
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata beberapa individu lain yang dikaitkan dengan rakaman itu juga akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Setakat ini kita belum dapat perkembangan lanjut berhubung kesahihan rakaman audio. Setakat semalam baru panggil Azeez untuk memberi keterangan,” katanya.

Dalam sidang media di Maktab Polis Cheras hari ini, Hamid berkata kes rakaman audio itu terganggu kerana unit yang menyiasatnya terbeban dengan kes lain.

Katanya Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah perlu menangani kes seperti hasutan dan kebencian kaum.

“Buat masa ini, D5 terbeban dengan banyak sangat kes. Kes perkauman yang sekarang ini macam-macam suka menghasut. Hentikanlah kempen membenci.

“Kenapa harus semasa kita membenci antara satu sama lain?”
katanya.

SPRM pada 8 Januari mendedahkan sembilan rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Rakaman itu juga didakwa mengandungi perbualan bekas timbalan pendakwa raya awam Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

Menurut SPRM, individu lain terbabit dalam perbualan itu ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali, dan Abdul Azeez.

Perbincangan dalam rakaman itu didakwa berkaitan siasatan dan pendakwaan kes 1MDB, termasuk berkenaan pengubahan wang haram.

Polis sudah mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan timbalannya, Azam Baki serta lima pegawai lain yang berkaitan dengan pendedahan rakaman itu.

Mengulas lanjut, Hamid memberi amaran kepada orang ramai supaya menghentikan sebaran maklumat palsu dan menakut-nakutkan orang awam berhubung jangkitan koronavirus.

Hamid yang menyifatkan ia perbuatan tidak bertanggungjawab individu tertentu dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Sekarang terlalu ramai sangat ‘doktor pakar’ dalam kalangan masyarakat kita, ada ‘doktor separuh masak’ yang mengeluarkan pendapat sendiri.

“Entah daripada mana sumber yang diperoleh tidak diketahui asal-usulnya selepas itu disebar secara meluas sekali dengan memberi nasihat untuk menakutkan orang ramai,”
katanya.

Hamid berkata, orang ramai seharusnya mendapatkan maklumat sahih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk perkembangan mengenai wabak berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya bekerjasama rapat dengan KKM dan beberapa agensi lain bagi menangani isu berkaitan wabak itu dan setakat ini ia ditangani dengan baik. – 28 Januari 2020.

Saifuddin Nasution Saman Zuraidah Kamaruddin.

THE MALAYSIAN INSIGHT | SAIFUDDIN Nasution Ismail akan mengemukakan saman ke atas Zuraida Kamarudin atas satu kenyataan fitnah naib presiden PKR itu ke atasnya dalam satu ucapan sewaktu perhimpunan bulan lalu.
 


Setiausaha agung PKR itu berkata, beliau sudahpun mengarahkan peguamnya mengemukakan surat tuntutan kepada Zuraida, selain satu lagi surat berhubung salah laku menteri tersebut.

“Selain surat disiplin kepada Zuraida saya juga ada satu lagi surat iaitu (sama) saya, bukan parti tapi surat peribadi saya kepada dia.

“Ini kerana ucapan dia itu juga mengandungi beberapa unsur pertuduhan dan fitnah terhadap saya,”
katanya kepada petugas media di Putrajaya hari ini.

Saifuddin merupakan antara sasaran dalam kritikan Zuraida sewaktu perhimpunan Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada Disember lalu.

Dalam majlis yang digelar Kongres Renaissance itu, Zuraida turut mengkritik Presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil dan setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Susulan itu, Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Displin dan diberi tempoh 14 hari untuk menjawab. – 28 Januari 2020.

Sabtu, 25 Januari 2020

#Koronavirus : Tiada Sekatan Ke Atas Pelancong China Setakat Ini - Tun Mahathir.

THE MALAYSIAN INSIGHT | TIADA rancangan untuk melarang pelancong dari China daripada memasuki negara buat masa ini susulan penularan wabak koronavirus, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.


Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa akan meningkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara dan memeriksa setiap pelancong yang masuk ke Malaysia.

“Kita tiada rancangan untuk halang mereka. Kita akan jalankan pemeriksaan terhadap pelawat yang masuk. Kita boleh kesan mereka pada peringkat awal dan kita ada bukti mereka dijangkiti virus berkenaan,” kata Dr Mahathir kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Gerakan, di ibu negara hari ini.

Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga individu dijangkiti koronavirus.

Dzulkefly berkata, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Wuhan, China memasuki negara ini dari Johor Bahru kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

“Mereka dilaporkan menaiki penerbangan dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari. Saringan awal tidak menunjukkan tanda-tanda demam dan mereka tidak ada simptom jangkitan.

“Seterusnya sampel klinikal mereka diambil untuk ujian pengesanan dan ujian Novel Coronavirus di Makmal Kesihatan Awam di Sungai Buloh dan kes itu disahkan malam tadi,” katanya. –  25 Januari 2020.

Rabu, 8 Januari 2020

Transkrip Perbualan Telefon Dzulkifli Ahmad Dengan Najib Razak.

THE MALAYSIAN INSIGHT | BEKAS ketua agensi anti rasuah, Dzulkifli Ahmad mengaku kepada Najib Razak yang beliau hampir menangis apabila melihat kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas perdana menteri pada Julai 2016.
 

 
Beliau membuat pengakuan itu dalam perbualan dengan Najib, yang rakaman audionya adalah antara sembilan rakaman yang didedahkan oleh SPRM hari ini.

Dalam perbualan yang berlaku pada 5 Januari 2016 pada pukul 11.56 malam, Dzukifli yang ketika itu pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara, mendedahkan kepada Najib hasil siasatan SPRM yang diserahkan kepada peguam negara pada masa itu Mohamed Apandi Ali.

Dzulkifli ketika itu adalah pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara.

Pada 25 Januari 2016, Apandi dalam satu sidang media mengumumkan Najib tidak terlibat dengan sebarang salah laku dalam kes 1MDB dan anak syarikat SRC International Sdn Bhd.

Apandi ketika itu mengumumkan duit sebanyak AS$681 juta yang masuk ke akaun peribadi bekas perdana menteri adalah sumbangan derma dan bukan rasuah.

Berikut adalah petikan transkrip rakaman perbualan yang telah dimurnikan daripada perbualan asal dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta untuk kejelasan.

Panggilan telefon Dzulkifli disambut oleh Rosmah sebelum diserahkan kepada Najib.

DZULKIFLI: Assalamualaikum Datuk Seri. Maaf ganggu malam-malam.

ROSMAH: It’s okay, tengok golf kejap.

DZULKIFLI: Saya sebenarnya nak juga dengan Datuk Seri sebab kertas siasatan peguam negara dah terima, sebab tu nak update kat dia. Tidak berapa bagus.

ROSMAH: Tiga orang punya nama yang disebut, ya?

DZULKIFLI: Datuk Seri punya nama.

ROSMAH: Datuk punya nama?

DZULKIFLI: Ya.

ROSMAH: Macam mana pulak?

DZULKIFLI: Itu yang saya nak maklumkan pada dia.

NAJIB: Hello?

DZULKIFLI: Hello, Datuk Seri. Assalamualaikum.

NAJIB: Wa’alaikum salam.

DZULKIFLI: Dah terima kertas siasatan, semalam kita terima, cadangana itu tidak berapa baguslah, Datuk Seri.

NAJIB: Macam mana pulak, dia orang kata lain.

DZULKIFLI: (ketawa kecil) IP (kertas siasatan) ada dengan saya.

NAJIB: Macam nak libatkan saya pulak?

DZULKIFLI: Bila saya tengok benda tu rasa macam nak menangis, Datuk Seri.

NAJIB: Saya tak terlibat langsung.

DZULKIFLI: Masya-Allah, itu saya tak tahulah, Datuk Seri. Sangat jelas dalam tu, Datuk Seri, dalam IP. Saya diarahkan oleh peguam negara (Mohamed Apandi Ali) untuk bantu dia.

NAJIB: Macam mana Abu Kassim kata lain, cakap lain buat lain?

DZULKIFLI: MasyaAllah, Datuk Seri dimaklumkan macam mana?

NAJIB: Saya dimaklumkan tak ada apa.

DZULKIFLI: Ya Allah… Itu yang saya hubungi (audio tak jelas) tadi untuk dapat jumpa dengan Datuk Seri. Bila saya tengok, saya macam nak menangis… sanggup sampai ke tahap itu.

NAJIB: Benda itu karang kalau terkeluar susah pula kita?

DZULKIFLI: Ya, ya… itu yang saya takutkan. Itu yang saya nak update dengan Datuk Seri.

NAJIB: Saya jumpa AG (peguam negara ketika itu Mohamed Apandi Ali) hari Khamis ini.

DZULKIFLI: Aaah, okay lah. Mungkin dia akan update Datuk Seri.

Tadi pun saya dah ambil IP semua bawa turun masuk ke tempat saya. Tapi yang itu tak apa, itu tak ada masalah. Saya dan Tan Sri AG tak ada masalah Datuk Seri, kita bersependapat. Cuma nak update dengan Datuk Seri, apa sebenarnya cadangan yang cadangan dicadangkan oleh MACC sendiri, Datuk Seri.

NAJIB: Itu yang tak kena tu, kalau dia cadang dan kalau benda itu terkeluar, nanti jadi tak sedap.

DZULKIFLI: Betul. Itu yang kita risau sangat-sangat. Itu yang saya rasa Datuk Seri kena tahu benda tersebut.

Dari segi undang-undang, kita boleh uruskan. Tan Sri Apandi boleh uruskan, saya boleh uruskan. Itu tak jadi isu, Datuk Seri.

Tapi selain daripada legal itu… saya pun tak sangka sampai ke tahap itu, seriusnya benda itu.

NAJIB: Macam mana jadi lain macam ini?

DUZKIFLI: Wallahua’lam, Datuk Seri. Kadang saya rasa, Datuk Seri, minta maaf Datuk Seri, ini memang dah kena main.

NAJIB: Tak kan kena main macam ini?

DZULKIFLI: Datuk Seri nak tunggu Tan Sri Apandi hari ini boleh, tak ada masalah.

NAJIB: Apandi dah tengok dah?

DULKIFLI: Apandi… dia tengok sekali lalu macam itu saja, semalam. Bahagian itu saja.

NAJIB: Dia pun terkejut?

DZULKIFLI: Dia pun terkejut… dan semalam, dia pun tak begitu gembira. Dia pun tengah fikir nak buat macam mana. Dari segi undang-undang kita boleh sokong tapi macam Datuk Seri cakaplah, seolah-olah keputusan Gani (Abdul Gani Patail, bekas peguam negara) betul dulu.

Saya pun ada benda lain juga. Tadi pun pihak polis datang jumpa saya berkenaan 1MDB. IO (pegawai penyiasat) 1MDB jumpa saya dan beri taklimat tentang kes tersebut. Saya kata 1MDB tak ada isu sekarang dan polis pun okay dengan saya.

Dia maklumkan peristiwa-peristiwa sebelum ini, apa yang berlaku. Bila saya dengar itu saya pun terkejut, Datuk Seri. Bukan Gani Patail seorang, dia sendiri pun dengar perkara tersebut. Kalau Datuk Seri hendak saya boleh bawa dia datang jumpa sekali dengan Datuk Seri. Dengar terus. Dia hadir dalam mesyuarat itu.

Bila Datuk Seri dengar itu, konsistenlah dengan keputusan sekarang.” – 8 Januari 2020.

Selasa, 7 Januari 2020

Penduduk Kampung Segambut Permai Akhirnya Setuju Pindah.

THE MALAYSIAN INSIGHT | PENDUDUK Kampung Segambut Permai kini mampu menarik nafas lega selepas menerima kediaman baharu seperti dijanjikan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

SDF
 
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya akur dengan tuntutan 33 keluarga itu yang mahu mendapat unit sewa beli bagi gantian tanah berkenaan.

Dengan itu, penduduk tersebut bersetuju keluar dari tanah yang diteroka nenek moyang mereka sejak empat generasi lalu dan menyaksikan kediaman yang masih ada dirobohkan semalam bagi membolehkan kawasan itu dimajukan.

Wakil penduduk, Mohd Fariz Ramli memberitahu The Malaysian Insight mereka bersetuju dengan tawaran terbaharu yang lebih sesuai.

“Semua dapat rumah, kita juga terima surat tawaran baharu daripada DBKL, unit kediaman yang diberikan kali ini berhampiran dengan kampung kami, jadi anak-anak tidak perlu tukar sekolah.

“Surat tawaran yang dikeluarkan juga ada penambahan lampiran mengatakan walaupun unit ini untuk enam bulan.

“Tapi selepas tiga bulan menetap, kami boleh membuat permohonan untuk terus menetap di unit yang ditawarkan,” kata Fariz, 35.

Mereka pada awalnya hanya dijanjikan kediaman alternatif yang didapati usang dan tidak sesuai didiami, dan terletak jauh daripada kampung asal.

Fariz bagaimanapun menjelaskan, hanya 28 keluarga menerima surat tawaran rumah alternatif tersebut apabila tiga keluarga menarik diri kerana sudah memiliki rumah lain.

Dua keluarga lagi memilih untuk menetap bersama anggota keluarga lain, katanya.

Tawaran terbaharu itu adalah rumah tiga bilik dan bukannya rumah satu bilik dalam surat tawaran asal yang hanya diterima 22 keluarga sebelum ini.

Dengan itu, mereka akan dipindahkan ke beberapa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti Intan Baiduri, Desa Rejang, dan Ayer Panas, serta Batu 5.

Mereka sebelum itu dipindahkan ke beberapa flat jauh dari lokasi asal apabila diberikan unit di sekitar ibu negara seperti pangsapuri San Peng, Kerinchi, Seri Petaling, dan Pantai Ria.

Ia menyukarkan urusan ke tempat bekerja dan persekolahan anak-anak mereka, kata pemilik kedai percetakan itu.

Bagaimanapun, mereka hanya akan menerima kunci rumah baharu pada Selasa atau Rabu selepas kediaman mereka dirobohkan pemilik tanah pada Isnin.



“Kami dapat surat tawaran daripada bahagian perumahan DBKL mengatakan Khamis (2 Januari) tempoh hari boleh ambil kunci.

“Tetapi apabila kami pergi pihak DBKL maklumkan mereka sedang menaik taraf sistem mereka, dan minta kami datang semula pada Selasa atau Rabu minggu hadapan.

“Dalam perjanjian dengan pemilik tanah, Isnin, 6 Januari kami kena kosongkan rumah dan mereka akan datang robohkan, kalau tidak kami tidak dapat wang pampasan RM7,000,” katanya.

Oleh itu, mereka terpaksa menumpang di rumah saudara-mara buat sementara waktu.

Katanya, penduduk juga memberikan jaminan kepada pemaju tidak akan menghalang kerja perobohan kediaman mereka nanti.

“Orang kampung akan turun pada 6 Januari nanti tapi bukan untuk protes… Kami akan datang untuk ambil wang pampasan.

“Kita jangka tiada orang kampung yang mengamuk, sebab sudah ada perjanjian, setakat ini dah selesai, cuma bahagian ambil kunci sahaja,” katanya, lagi.

Kesemua mereka adalah baki terakhir daripada 80 unit kediaman yang pernah berada di Kampung Segambut Permai.

Penduduk kampung itu sudah beberapa kali dipindahkan apabila kampung mereka diambil alih untuk pembinaan menara pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad dan lebuh raya DUKE.

Penempatan yang nama asalnya Kampung Ayam itu dibuka beberapa tahun selepas kemerdekaan selepas Menteri Besar Selangor Harun Idris waktu itu menjemput komuniti Melayu berhijrah ke bandar.

Rancangan tersebut dibuat bagi mengimbangi bilangan penduduk di ibu kota Kuala Lumpur.

Tanah yang menjadi tapak kampung itu menjadi milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sejak 1981.

Ia kemudian diambil alih syarikat pemaju Kemasekutu Sdn Bhd pada 2002. Seterusnya pada 2013 ia berjaya memohon kepada mahkamah untuk mengusir penduduk.

Dan kini, Kampung Segambut Permai hanya tinggal nama. - 7 Januari 2019.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...