See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.
net/publication/351804166
Aktiviti Sokongan bagi Perkembangan Bahasa dan Komunikasi Kanak-kanak
Article · May 2021
DOI: 10.37134/jpak.vol10.2.3.2021
CITATION READS
1 3,098
9 authors, including:
Mazlina Che Mustafa Iylia dayana Shamsudin
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
60 PUBLICATIONS 34 CITATIONS 6 PUBLICATIONS 3 CITATIONS
SEE PROFILE SEE PROFILE
Juppri Bacotang Grace Annammal
Universiti Malaysia Sabah (UMS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
43 PUBLICATIONS 26 CITATIONS 12 PUBLICATIONS 11 CITATIONS
SEE PROFILE SEE PROFILE
Some of the authors of this publication are also working on these related projects:
Development and Validation of a Teaching and Learning Framework for Preparing Quality Teachers for the Future View project
The Use Of Sensory Balls in the Classroom: Effects on Behavioural and Academic Functioning of Students with Learning Disabilities. View project
All content following this page was uploaded by Juppri Bacotang on 24 May 2021.
The user has requested enhancement of the downloaded file.
Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, Vol.10 (2), 2021 (27-34)
(ISSN 2289-3032 / eISSN 2550-178X)
https://ejournal.upsi.edu.my/journal/JPAK
AKTIVITI SOKONGAN BAGI PERKEMBANGAN BAHASA DAN
KOMUNIKASI KANAK-KANAK
Support Activities for Development of Child Language and Communication
Zainiah Mohamed Isa1*, Mazlina Che Mustapha2, Iylia Dayana Shamsudin3, Juppri
Bacotang4, Grace Annammal Gnana Piragasam5
1,2,3,4,5
Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim,
Perak, Malaysia
2,4
Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara, Universiti Pendidikan Sultan
Idris, Tanjong Malim, Perak, Malaysia
zainiah@fpm.upsi.edu.my1, mazlina.cm@fpm.upsi.edu.my2, iyliadayana@fpm.upsi.edu.my3,
juppri@fpm.upsi.edu.my4, grace@fpm.upsi.edu.my5
*Corresponding Author
Received: 21 Ogos 2020; Accepted: 06 Mei 2021; Published: 19 Mei 2021
To cite this article (APA): Mohamed Isa, Z., Che Mustafa, M., Shamsudin, I. D., Bacotang, J., & Gnana
Piragasam, G. A. (2021). Aktiviti sokongan bagi perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak. Jurnal
Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, 10(2), 27-34. https://doi.org/10.37134/jpak.vol10.2.3.2021
To link to this article: https://doi.org/10.37134/jpak.vol10.2.3.2021
ABSTRAK
Penguasaan yang lemah dalam kemahiran bahasa dan komunikasi akan menjejaskan
kemahiran literasi awal, dan seterusnya kemahiran membaca dan menulis kanak-kanak.
Justeru, artikel ini menjelaskan beberapa aktiviti sokongan bagi perkembangan bahasa dan
komunikasi kanak-kanak yang boleh dijalankan oleh guru. Antara aktiviti yang dapat
menyokong pencapaian bahasa dan komunikasi kanak-kanak, ialah; (i) interaksi dan
perbualan; (ii) bermain; (iii) menyanyi dan bahasa berima; (iv) membaca buku; dan (v)
bercakap di khalayak. Aktiviti-aktiviti ini perlu dijalankan terhadap kanak-kanak secara
implisit dan eksplisit oleh guru sama ada di dalam atau di luar kelas. Guru memainkan
peranan penting bagi menyediakan aktiviti, suasana, persekitaran, dan bimbingan serta
sokongan bagi menjamin kanak-kanak dapat mencapai potensi diri masing-masing.
Kata Kunci: aktiviti sokongan, bahasa dan komunikasi, awal kanak-kanak
ABSTRACT
Poor mastery of language and communication skills will affect early literacy skills, and subsequently children’s
reading and writing skills in future. Thus, this article explain support activities for children's language and
communication development that can be carried out by teachers. Activities that can support children's language
and communication achievement, namely; (i) interaction and conversation; (ii) playing; (iii) singing and
rhyming; (iv) reading books; and (v) speaking in public. This activities is done implicitly and explicitly to
children by teachers either in or outside of classroom. Teachers play an important role in providing activities,
atmosphere, environment, guidance and support to ensure that children can achieve their potential.
Keywords: support activities, language and communication, early childhood
27
Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, Vol.10 (2), 2021 (27-34)
(ISSN 2289-3032 / eISSN 2550-178X)
https://ejournal.upsi.edu.my/journal/JPAK
PENDAHULUAN
Bahasa dan komunikasi memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak dan
berlaku dengan pesat semasa mereka mengikuti program pendidikan awal kanak-kanak.
Goodson dan Layzer (2009) mendefinisikan bahasa lisan sebagai; (i) kemahiran
berkomunikasi iaitu mendengar dan memberi respon apabila orang lain bercakap; (ii)
memahami makna banyak perkataan dan konsep yang mereka dengar atau baca; (iii)
memperoleh maklumat baharu mengenai perkara yang mereka ingin pelajari; dan (iv)
memberikan pendapat dan idea sendiri dengan menggunakan bahasa. Melalui ciri-ciri yang
dinyatakan ini, jelas menunjukan perkembangan bahasa lisan kanak-kanak bukan hanya
kebolehan kanak-kanak untuk bercakap, tetapi juga kemahiran mereka berinteraksi dengan
orang lain dan dapat menyuarakan pendapat dan idea mereka sendiri dengan baik.
Pendedahan terhadap bahasa dan komunikasi yang baik adalah penting untuk
meningkatkan perhubungan sosial dan perkembangan kognitif kanak-kanak. Kajian Early
Catastrophe menyatakan, kanak-kanak seawal usia tiga tahun yang mempunyai
perkembangan bahasa dan komunikasi yang baik akan menunjukkan perkembangan neuro
yang berbeza yang menjanjikan kejayaan dalam akademik, dan berpotensi dalam
sosioekonomi mereka (Hart & Risley, 2003). Ini jelas menunjukkan perkembangan bahasa
yang baik dapat membantu kanak-kanak untuk berjaya dalam bidang akademik (Bleses et al.,
2016), dan dapat berkomunikasi dengan lebih baik dengan orang lain. Kanak-kanak berisiko
mengalami masalah dalam pencapaian literasi, akademik, sosial dan emosi jika mereka tidak
menguasai kemahiran bahasa dan komunikasi. Zainiah et al. (2018a) mendapati pencapaian
kanak-kanak berumur dua, tiga dan empat tahun masih belum memberangsangkan. Apabila
mereka menjadi dewasa kelak, mereka menghadapi risiko untuk menjadi penganggur atau
menghadapi masalah mental (Mc Kean et al., 2015).
Secara spesifiknya, kajian Zainiah et al. (2018b) menunjukkan kanak-kanak berumur
dua, tiga, dan empat tahun di taman asuhan kanak-kanak (taska) belum menguasai bahasa dan
komunikasi dengan baik. Antara punca masalah bahasa dan komunikasi dalam kalangan
kanak-kanak ialah guru kurang bercakap dan kurang melibatkan kanak-kanak dalam
perbualan (Dickinson & Tabors, 2001). Sebaliknya, pendidik cenderung memberikan
pelbagai arahan di dalam kelas. Apabila membincangkan kandungan pelajaran, guru
selalunya mengemukakan soalan yang tertutup, dan memberikan respon dengan hanya
menggunakan satu atau dua perkataan terhadap soalan atau idea yang dikemukakan oleh
kanak-kanak (Gest et al., 2006). Ini menyebabkan peluang untuk kanak-kanak belajar dan
menggunakan bahasa agak terhad.
Sekiranya guru sentiasa menyediakan peluang untuk kanak-kanak menggunakan
bahasa untuk berinteraksi, sudah tentu tahap penguasaan bahasa dan komunikasi kanak-kanak
adalah baik, dan kanak-kanak akan lebih bersedia dengan kemahiran literasi semasa mereka
berada di sekolah rendah kelak. Di samping itu, bilangan kanak-kanak yang bermasalah
pertuturan, bahasa dan komunikasi dapat dikurangkan (Dockrell et al., 2015). Ini kerana
kanak-kanak yang terdedah kepada persekitaran yang kaya dengan linguistik berpotensi
untuk memproses perbendaharaan kata yang banyak dan mempelajari perkataan baharu
dengan kadar yang lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak yang kurang didedahkan
dengan persekitaran yang kaya linguistik (Hart & Risley, 1995; Barnes et al., 2017).
Oleh itu, guru perlu menyediakan persekitaran yang memberi peluang untuk kanak-
kanak meningkatkan perkembangan bahasa dan komunikasi. Ini kerana jika kanak-kanak
28
Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, Vol.10 (2), 2021 (27-34)
(ISSN 2289-3032 / eISSN 2550-178X)
https://ejournal.upsi.edu.my/journal/JPAK
mendapat dapat pendedahan bahasa dan komunikasi yang baik sejak awal usia lagi, mereka
akan lebih bersedia untuk menghadapi abad ke-21 yang menekankan aspek berkomunikasi
dan berkolaboratif dengan baik sebagai satu keperluan utama. Ini bertepatan dengan kajian
Juni Atma dan Bacotang (2021) yang telah membangunkan reka bentuk modul pembelajaran
koperatif jenis padanan untuk kemahiran perbendaharaan kata kanak-kanak. Justeru, adalah
menjadi suatu keperluan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada penggunaan bahasa yang
baik serta peluang untuk mereka berkomunikasi sama ada di dalam atau di luar kelas. Ini
boleh dilakukan melalui aktiviti yang dapat menggalakkan perkembangan bahasa dan
komunikasi kanak-kanak.
AKTIVITI SOKONGAN BAGI PERKEMBANGAN BAHASA DAN KOMUNIKASI
Dalam artikel ini, pengkaji menghuraikan lima aktiviti yang dapat menyokong pencapaian
bahasa dan komunikasi kanak-kanak, iaitu; (i) interaksi dan perbualan; (ii) bermain; (iii)
menyanyi dan bahasa berima; (iv) membaca buku; dan (v) bercakap di khalayak.
Interaksi dan Perbualan
Perkembangan bahasa kanak-kanak berlaku melalui komunikasi dengan orang lain dalam
konteks yang bermakna kepada mereka (Degotardi et al., 2016). Zainiah et al. (2020) telah
membangunkan sebuah panduan kepada ibu bapa untuk menyokong perkembangan bahasa
dan komunikasi kanak-kanak. Namun begitu, di taska atau di prasekolah, guru yang perlu
memainkan peranan penting bagi menggalakkan pertuturan dalam kalangan kanak-kanak.
Sepatutnya, interaksi antara guru dengan kanak-kanak, dan kanak-kanak dengan kanak-kanak
yang lain berlaku sepanjang hari. Menurut Peterson et al. (2016), matlamat guru adalah
supaya kanak-kanak dapat bercakap dalam ayat yang lebih panjang, lebih kompleks, dan
melibatkan diri dalam perbualan secara interaktif, iaitu mereka mendengar, membuat komen,
dan bertanya soalan. Kanak-kanak boleh mengendalikan perbualan dengan kanak-kanak lain
tanpa terlalu banyak arahan daripada orang dewasa. Interaksi dan perbualan bukan sahaja
berlaku semasa pembelajaran, malah berlaku semasa rutin, permainan dalam dan luar kelas,
semasa menunggu ketibaan ibu bapa, dan sewaktu pengurusan diri.
Bagi menggalakkan perbualan berlaku semasa aktiviti pembelajaran dan semasa
aktiviti rutin, guru boleh berbual tentang perkara yang dilakukan oleh kanak-kanak pada
masa tersebut. Semasa berinteraksi dengan kanak-kanak, guru boleh mengaitkan isu yang
dibualkan dengan pengalaman atau pengetahuan sedia ada kanak-kanak. Selain itu, guru
boleh mengambil peluang untuk menyelitkan kosa kata baharu kepada kanak-kanak secara
tidak langsung, supaya kanak-kanak dapat mempelajari kosa kata baharu secara kontekstual.
Pembinaan perbendaharaan kata amat penting bagi perkembangan bahasa kanak-kanak
kerana jika kanak-kanak tidak mempunyai perbendaharaan kata yang besar, agak sukar bagi
mereka untuk bercakap, apatah lagi untuk berbual panjang. Dengan adanya himpunan kosa
kata yang banyak, kanak-kanak lebih berkeyakinan untuk berbual ataupun membincangkan
tentang sesuatu perkara.
Kanak-kanak juga memerlukan model bahasa untuk menyerap, memproses dan
seterusnya menggunakan kosa kata dalam pertuturan mereka (Blamey & Beauchat, 2016).
Guru sepatutnya mengambil peluang ini untuk menunjuk cara komunikasi yang baik. Ini
boleh dilakukan dengan menggunakan bahasa yang betul dan bersopan semasa berbual,
29
Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, Vol.10 (2), 2021 (27-34)
(ISSN 2289-3032 / eISSN 2550-178X)
https://ejournal.upsi.edu.my/journal/JPAK
memulakan perbualan, mengambil giliran, dan mengikuti topik perbualan. Guru juga boleh
menunjukkan contoh kepada kanak-kanak cara berinteraksi menggunakan mimik muka yang
ceria, pandangan mata, bahasa badan, serta kedudukan jarak badan apabila berbual dengan
orang lain. Semua kemahiran berkomunikasi ini boleh dilaksanakan oleh guru semasa berada
di dalam kelas bersama dengan kanak-kanak. Kesemua kemahiran ini adalah perlu
didedahkan kepada kanak-kanak supaya mereka dapat berkomunikasi dengan efisien.
Bermain
Bermain merupakan salah satu prinsip utama dalam pendidikan awal kanak-kanak yang
membolehkan kanak-kanak memperoleh pelbagai pengalaman semasa bermain. Semasa
bermain, kanak-kanak belajar untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain, mengambil
giliran, bercakap mengenai topik tertentu, berbual tentang hal peribadi dengan rakan,
percakapan antara pengikut dan pemimpin, dan berlaku pelbagai bentuk pertukaran kosa kata
(Machado, 2016). Antara aktiviti bermain yang menggalakkan interaksi dan perbualan ialah
main bebas, main peranan atau sosial drama, menyanyi sambil bermain, dan mainan di luar
kelas. Semasa bermain, guru perlu sentiasa memberikan bimbingan kepada kanak-kanak bagi
memastikan perkembangan bahasa dan komuniksi dapat berlaku dengan baik.
Salah satu permainan yang menggalakkan perkembangan bahasa dan komunikasi
kanak-kanak ialah main peranan atau sosial drama. Biasanya, permainan ini wujud
berdasarkan sesuatu tema tertentu dan menggunakan ayat yang lebih kompleks (Weisberg et
al., 2013). Walaupun tema tersebut sentiasa berubah, kanak-kanak akan fokus kepada
sesuatu tema untuk jangka masa tertentu. Jika permainan adalah tentang suasana di restoran,
mereka akan menggunakan bahasa seperti membuat pesanan makanan dan minuman,
bercakap dengan bersopan, seta mendengar dengan teliti bagi mengambil pesanan. Jika ada
antara rakan yang menggunakan kosa kata baharu, kosa kata ini akan turut digunakan oleh
rakan yang lain. Biasanya, kanak-kanak akan sentiasa aktif berinteraksi dan bercakap dengan
rakan yang lain semasa main peranan. Guru boleh mengambil peluang untuk berbual, atau
memperkenalkan kosa kata yang sesuai, serta memanjangkan idea kanak-kanak mengenai
permainan tersebut.
Selain itu, permainan luar kelas dapat meningkatkan interaksi kanak-kanak dengan
rakan-rakan mereka. Apabila kita melihat kanak-kanak di taman permainan atau di luar kelas,
kita sering menghubungkan permainan luar dengan perkembangan fizikal dan sosial kanak-
kanak. Semasa bermain, mereka sentiasa berinteraksi untuk bertolak ansur dengan rakan-
rakan. Mereka juga bebas menyuarakan pendapat mereka dalam suasana yang
menyeronokkan dan tanpa peraturan seperti yang berlaku di dalam kelas. Pemahaman kosa
kata berlaku dengan lebih mudah semasa permainan fizikal kerana kosa kata tersebut boleh
digambarkan melalui tindakan atau perbuatan semasa mereka bermain. Sebenarnya, peluang
untuk kanak-kanak mengembangkan bahasa dan komunikasi boleh berlaku semasa bermain
di dalam mahupun di luar kelas.
Menyanyi dan Bahasa Berima
Kanak-kanak sememangnya suka menyanyikan lagu bahasa berima. Menurut Brown (2014),
kesedaran fonemik dapat dibangunkan melalui penggunaan bahasa berima, lagu dan puisi
yang biasanya turut dilakukan dengan pergerakan jari dan pergerakan badan. Semasa
30
Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, Vol.10 (2), 2021 (27-34)
(ISSN 2289-3032 / eISSN 2550-178X)
https://ejournal.upsi.edu.my/journal/JPAK
menyebut bahasa berima dan puisi, kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran manipulasi
bunyi dalam pertuturan yang merupakan kemahiran fonemik. Selain itu, kemahiran fonemik
juga meliputi kepekaan kanak-kanak kepada bunyi awal dan bunyi akhir perkataan,
pemecahan bunyi dalam perkataan dan ayat. Kesemua kemahiran ini adalah penting untuk
dikuasai oleh kanak-kanak sebelum mereka menguasai kemahiran fonik.
Kemahiran fonik ialah kebolehan mengecam bunyi bagi abjad tertentu yang
merupakan asas kepada kemahiran menyahkod untuk tujuan pembacaan. Kajian Christiner
dan Reiterer (2018) menunjukkan kebolehan muzikal mempunyai hubungan yang positif
dengan daya ingatan dan kemahiran fonik kanak-kanak yang berumur lima tahun. Melalui
penggunaan lagu dan bahasa berima, kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran
pengecaman bunyi yang menyebabkan sebutan mereka menjadi lebih fasih. Ini penting bagi
membolehkan pertuturan mereka akan mudah difahami oleh orang lain. Hasilnya,
perkembangan kognitif dan sosiemosi mereka turut berkembang dengan baik.
Lagu yang mempunyai pelbagai tema juga dapat membantu meningkatkan kosa kata
kanak-kanak. Namun begitu, guru perlu bijak memilih lagu yang sesuai dengan tema dan
minat kanak-kanak. Biasanya, lagu yang menggunakan bahasa mudah, dan mempunyai frasa
yang berulang lebih mudah diingati oleh kanak-kanak dan seterusnya menjadi lagu
kegemaran mereka. Hasilnya, kanak-kanak dapat meningkatkan perbendaharaan kata, dan
mereka dapat menggunakan kosa kata tersebut dalam konteks yang lain. Melalui pengulangan
nyanyian sesebuah lagu, kanak-kanak secara tidak langsung dapat berlatih menyebut
perkataan bagi meningkatan kefasihan penyebutan perkataan.
Membaca Buku
Membaca buku bersama kanak-kanak adalah aktiviti yang boleh dilakukan di dalam kelas
kanak-kanak sejak awal usia lagi. Laporan National Early Literacy Panel (NELP) mendapati
amalan berkongsi buku dengan kanak-kanak kecil mempunyai kesan yang positif terhadap
kemahiran bahasa lisan dan pengetahuan kanak-kanak (Lonigan & Shanahan, 2008). Kanak-
kanak yang kerap dibacakan buku mempunyai perbendaharaan kata yang lebih banyak dan
tahap kefahaman yang lebih baik berbanding kanak-kanak yang kurang mendapat pembacaan
buku.
Kajian van Druten-Frietman et al. (2016) menunjukkan pengintegrasian pembacaan
buku cerita dengan aktiviti pembelajaran dapat memberikan kesan terhadap perbendaharaan
kata kanak-kanak terutamanya perbendaharaan kata ekspresif. Ini kerana bacaan berdialog
menggalakkan kanak-kanak bercakap bagi menyuarakan pendapat dan idea mereka semasa
sesi pembacaan buku cerita. Semasa membaca buku, guru digalakkan untuk memanjangkan
dan melanjutkan ayat ataupun idea kanak-kanak bagi meningkatkan kemahiran komunikasi
kanak-kanak. Jelaslah, penglibatan kanak-kanak yang aktif dalam bacaan berdialog dapat
memberi manfaat untuk meningkatkan penggunaan bahasa kanak-kanak.
Aktiviti membaca buku cerita juga dapat menyokong kefahaman naratif yang merujuk
kepada kefahaman kanak-kanak terhadap makna cerita. Setelah kanak-kanak mendengar
cerita atau membaca buku cerita, mereka seharusnya diberi peluang untuk menceritakan
semula cerita tersebut menggunakan bahasa mereka sendiri serta membuat maklum balas
tentang cerita tersebut. Penceritaan semula adalah sangat berkait rapat dengan dengan
31
Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, Vol.10 (2), 2021 (27-34)
(ISSN 2289-3032 / eISSN 2550-178X)
https://ejournal.upsi.edu.my/journal/JPAK
kefahaman membaca (Kim, 2016; Tabors et al., 2001). Selain itu, aktiviti membaca buku
cerita membolehkan kanak-kanak menyatakan pendapat ataupun idea mereka.
Melalui aktiviti membaca buku, kanak-kanak turut menggunakan kemahiran
berkomunikasi yang lain, seperti perlu tahu masa untuk memberi pendapat atau bertindak
balas, menunggu giliran untuk bercakap, mendengar pendapat orang lain dan bertolak ansur
dengan pendapat orang lain yang berbeza dengan pendapat mereka sendiri. Kemahiran
komunikasi sebegini penting bagi memastikan bukan hanya kanak-kanak mempunyai daya
pemikiran yang tinggi, malah kebolehan untuk menyampaikan idea, pendapat dan perasaan
secara berhemah.
Bercakap di Khalayak
Menurut Halliday (1975), kanak-kanak perlu menggunakan bahasa secara berkesan untuk
pelbagai fungsi atau tujuan yang tertentu. Ini bertepatan dengan kajian Peterson et al. (2016)
yang menyatakan kanak-kanak dapat menerangkan apa yang mereka rasai dan fikirkan
(fungsi peribadi), bercerita (fungsi imaginasi), dan menerangkan sesuatu perkara seperti
projek yang mereka laksanakan (fungsi memberi maklumat).
Selain itu, kanak-kanak juga perlu mengiktiraf peranan pendengar supaya sebarang
bentuk cerita atau maklumat yang ingin disampaikan dapat difahami oleh khalayaknya yang
terdiri daripada rakan sekelas dan guru. Perkara ini bukan sesuatu yang mudah untuk
dilakukan oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa. Kebolehan bercakap kepada lebih
seorang pendengar atau di khalayak ramai memerlukan banyak latihan. Ini adalah penting
supaya kanak-kanak tahu bagaimana cara bercakap di hadapan khalayak serta dapat membina
keyakinan diri.
Pada peringkat permulaan, aktiviti yang sesuai dijalankan terhadap kanak-kanak ialah
aktiviti “Show and Tell”. Aktiviti ini melibatkan bahan istimewa yang dibawa oleh kanak-
kanak dan membentangkan bahan tersebut kepada rakan-rakan (Blamey & Beauchat, 2016).
Aktiviti ini lebih bersifat personal kerana kanak-kanak berkongsi hal peribadi mereka di
hadapan rakan-rakan. Mereka membawa sesuatu objek, bahan, haiwan kesayangan atau
gambar, dan bercakap mengenai keluarga, hobi, makanan kegemaran, dan tempat yang
pernah dilawati. Sebagai bimbingan, guru boleh memberi kanak-kanak topik seperti makanan
atau mainan kegemaran mereka. Kanak-kanak diminta menunjukkan barang yang berkaitan
dengan topik tersebut dan bercakap beberapa ayat mengenai barang yang ditunjukkan oleh
mereka. Lama kelamaan, kanak-kanak sudah biasa dan mereka bercakap dengan ayat yang
lebih panjang serta boleh berkomunikasi dengan rakan-rakannya di khalayak. Aktiviti seperti
ini boleh menjadi permainan interaksi lisan yang menyeronokkan untuk kanak-kanak.
Aktiviti ini juga boleh membantu keyakinan, kosa kata dan kemahiran berkomunikasi kanak-
kanak.
Bagi kanak-kanak yang gemar melukis, mereka suka jika dapat menceritakan tentang
kisah dan makna lukisan yang mereka lukis kepada rakan-rakan. Ini menggalakkan
kemahiran mengarang dan meningkatkan kefasihan berbahasa kanak-kanak (Machado, 2016),
malah dalam masa yang sama dapat mengembangkan kreativiti mereka. Jika kanak-kanak
tidak boleh melukis, guru boleh memberi kepada kanak-kanak sekeping gambar. Seterusnya,
kanak-kanak diminta menerangkan perkara yang dilihat, atau perkara yang diimaginasikan
berkaitan dengan gambar tersebut kepada rakan-rakannya. Selain itu, guru boleh
32
Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, Vol.10 (2), 2021 (27-34)
(ISSN 2289-3032 / eISSN 2550-178X)
https://ejournal.upsi.edu.my/journal/JPAK
menyediakan satu set gambar, kemudian meminta kanak-kanak untuk menyusunnya dalam
urutan yang difikirkan logik oleh mereka. Kanak-kanak boleh membina cerita mereka sendiri
mengenai gambar tersebut. Cerita tersebut akan mendapat tindak balas dari rakan mereka
yang berminat dengan cerita yang direka oleh rakan mereka sendiri. Rakan-rakan juga turut
menyumbang idea dan pendapat mereka. Aktiviti sebegini bukan sahaja mengalakkan
imaginasi, malah dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta memperkaya kosa kata
kanak-kanak.
Aktiviti bercakap di khalayak juga sesuai apabila kanak-kanak melakukan sesuatu
projek, dan pada akhir projek mereka perlu membentangkannya. Kebanyakan kelas
pendidikan awal kanak-kanak menjalankan projek yang mudah dengan kanak-kanak seperti
tanaman, solar, air, dan kitar semula. Guru boleh mengumpulkan pembentangan projek pada
satu pameran yang dihadiri oleh ibu bapa dan komuniti. Semasa pameran berlangsung,
kanak-kanak bercakap mengenai projek masing masing kepada khalayak yang melawati
tapak pameran mereka. Aktiviti yang menarik ini bukan sahaja dapat mempromosikan
kemahiran bahasa dan komunikasi kanak-kanak, tetapi membantu keyakinan kanak-kanak
untuk bercakap di khalayak.
KESIMPULAN
Kesemua aktiviti yang dicadangkan di atas boleh dilaksanakan oleh guru terhadap kanak-
kanak secara implisit dan eksplisit di dalam mahupun di luar kelas. Oleh itu, guru memainkan
peranan untuk menyediakan aktiviti, suasana, persekitaran, bimbingan, dan sokongan bagi
menjamin kanak-kanak dapat mencapai potensi diri masing-masing. Ini kerana kemahiran
bahasa dan komunikasi adalah elemen penting yang menjadi asas kepada kemahiran
membaca, dan seterusnya kepada kejayaan akademik kanak-kanak. Jika kanak-kanak tidak
mempunyai penguasaan bahasa dan komunikasi yang kukuh, mereka akan sukar untuk
memenuhi keperluan abad ke-21 yang memerlukan individu berkebolehan dalam
berkomunikasi dan berkolaboratif. Ini menjelaskan kemahiran bahasa dan komunikasi
merupakan aset bagi kejayaan kanak-kanak pada masa hadapan.
PENGHARGAAN
Kajian ini berdasarkan projek penyelidikan yang bertajuk A Development of Language and
Communication Framework to Support Children with SLCN in Early Childhood Classroom.
Penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris atas
Geran Penyelidikan Universiti (kod: 2018-0060-107-01) yang membantu membiayai
penyelidikan ini.
RUJUKAN
Barnes, E. M., Dickinson, D. K., & Grifenhagen, J. F. (2017). The role of teachers’ comments during book
reading in children's vocabulary growth. The Journal of Educational Research, 110(5), 515-527.
Blamey, K. L., & Beauchat, K. A. (2016). Starting strong: Evidence-based early literacy practices. Stenhouse
Publishers.
Bleses, D., Makransky, G., Dale, P. S., Højen, A., & Ari, B. A. (2016). Early productive vocabulary predicts
academic achievement 10 years later. Applied Psycholinguistics, 37(6), 1461-1476.
33
Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, Vol.10 (2), 2021 (27-34)
(ISSN 2289-3032 / eISSN 2550-178X)
https://ejournal.upsi.edu.my/journal/JPAK
Brown, C. S. (2014). Language and literacy development in the early years: Foundational skills that support
emergent readers. Language and Literacy Spectrum, 24, 35-49.
Christiner, M., & Reiterer, S. (2018). Early influence of musical abilities and working memory on speech
imitation abilities: study with pre-school children. Brain sciences, 8(9), 169.
Degotardi, S., Torr, J., & Nguyen, N. T. (2016). Infant–toddler Educators' Language Support Practices during
Snack-time. Australasian Journal of Early Childhood, 41(4), 52-62.
Dickinson, D. K., & Tabors, P. O. (2001). Beginning literacy with language: Young children learning at home
and school. Baltimore: Brookes Publishing.
Dockrell, J. E., Bakopoulou, I., Law, J., Spencer, S., & Lindsay, G. (2015). Capturing communication
supporting classrooms: The development of a tool and feasibility study. Child Language Teaching and
Therapy, 31(3), 271-286.
Gest, S. D., Holland-Coviello, R., Welsh, J. A., Eicher-Catt, D. L., & Gill, S. (2006). Language development
subcontexts in Head Start classrooms: Distinctive patterns of teacher talk during free play, mealtime, and
book reading.Early Education and Development, 17(2), 293-315.
Goodson, B., & Layzer, C. (2009). Learning to talk and listen: An oral language resource for early childhood
caregivers. National Institute for Literacy.
Halliday, M. A. K. (1975). Learning how to mean: Explorations in the development of language. Edward
Arnold. https://doi.org/10.1016/B978-0-12-443701-2.50025-1
Hart, B., & Risley, T. R. (1995). Meaningful differences in the everyday experience of young American children.
Paul H Brookes Publishing.
Hart, B., & Risley, T. R. (2003). The early catastrophe: The 30 million word gap by age 3. American
educator, 27(1), 4-9.
Juni Atma, R. W., & Bacotang, J. (2021). The content validity of questionnaire of design of cooperative learning
module type matching for Indonesian vocabulary skills of children. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-
Kanak Kebangsaan, 10(1), 77-87. https://doi.org/10.37134/jpak.vol10.1.7.2021
Kim, Y. S. G. (2016). Do live versus audio-recorded narrative stimuli influence young children's narrative
comprehension and retell quality?. Language, speech, and hearing services in schools, 47(1), 77-86.
Lonigan, C. J., & Shanahan, T. (2008). Executive summary developing early literacy: Report of the National
Early Literacy Panel a scientific synthesis of early literacy development and implications for
intervention.
Machado, J. M. (2016). Early childhood experiences in language arts. Cengage Learning.
McKean, C., Mensah, F. K., Eadie, P., Bavin, E. L., Bretherton, L., Cini, E., & Reilly, S. (2015). Levers for
language growth: Characteristics and predictors of language trajectories between 4 and 7 years. PloS
one, 10(8), e0134251.
Peterson, S. S., McIntyre, L. J., & Forsyth, D. (2016). Supporting young children's oral language and writing
development: Teachers' and early childhood educators' goals and practices. Australasian Journal of Early
Childhood, 41(3), 11-19.
Tabors, P. O., Snow, C. E., & Dickinson, D. K. (2001). Homes and schools together: Supporting language and
literacy development. In D. K. Dickinson & P. O. Tabors (Eds.), Beginning literacy with language:
Young children learning at home and school (pp. 313–334). Baltimore, MD: Brookes.
van Druten-Frietman, L., Strating, H., Denessen, E., & Verhoeven, L. (2016). Interactive storybook-based
intervention effects on kindergartners’ language development. Journal of Early Intervention, 38(4), 212-
229.
Weisberg, D. S., Zosh, J. M., Hirsh-Pasek, K., & Golinkoff, R. M. (2013). Talking it up: Play, language
development, and the role of adult support. American Journal of Play, 6(1), 39-54.
Zainiah Mohamed Isa, Iylia Dayana Shamsudin, Grace Annammal Ghana Piragasam, Juppri Bacotang, Mazlina
Che Mustafa, Suzani Mohamad Samuri. (2020). Panduan stimulasi perkembangan kanak-kanak untuk
ibu bapa: Bahasa dan komunikasi. Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara.
Zainiah Mohamed Isa, Juppri Bacotang, & Mazlina Che Mustafa. (2018a). Pencapaian kemahiran literasi awal
kanak-kanak berusia 2, 3 dan 4 tahun. Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, 20(1), 40-50.
Zainiah Mohamed Isa, Mazlina Che Mustafa, Juppri Bacotang, Md Azman Shahadan, Suzani Mohamad
Samuri, Bahbibi Rahmatullah, Norazilawati Abdullah, Grace Annammal Gnana Piragasam, Nurul ‘Ain
Hidayah Abas, Aslina Saad. (2018b). Language and communication achievements of two, three and four
years old children in childcare centre. International Journal of Academic Research in Business and
Social Sciences, 8(12), 2418–2427.
34
View publication stats