Translate

Sunday, May 17, 2026

‘Tolong, ibu perlu jalani pembedahan'

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang anak merayu bantuan orang ramai untuk menampung kos rawatan ibunya, Zainon Batin, 66, yang memerlukan pembedahan pintasan jantung segera pada Jun ini. 

Setelah dua kali rebah akibat serangan jantung, harapan warga emas itu kini bergantung sepenuhnya kepada pembedahan yang dianggarkan menelan belanja RM50,000. 

Muhammad Nor Faiz Baharom, 29, berkata, ibunya mengalami serangan jantung buat kali pertama padan bulan November tahun lalu.

 “Waktu itu, ibu (Zainon) segera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bagi mendapatkan rawatan. 

"Alhamdulillah ibu kembali stabil setelah menjalani prosedur angioplasti selain pemasangan dua stent pada saluran jantungnya yang tersumbat,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tok Nasek di sini kelmarin. 

Muhammad Nor Faiz berkata, tanpa mereka sangka, ibunya sekali lagi terkena serangan jantung kali kedua pada 20 Mac lalu. 

Ketika itu katanya, prosedur untuk memasang stent ketiga ke saluran jantung wanita itu menemui kegagalan. 

“Pakar perubatan HSNZ memberitahu prosedur itu tidak berjaya ekoran saluran jantung ibu yang terlalu sempit dan keras. 

“Sebagai alternatif, mereka mencadangkan pembedahan pintasan jantung bagi membina laluan baharu aliran darah ke jantung menggunakan saluran darah dari bahagian dada,” katanya. 

Muhammad Nor Faiz berkata, dua pusat perubatan iaitu Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur atau Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang telah dicadangkan bagi pembedahan berkenaan. 

Katanya, setakat ini, keluarganya cenderung memilih untuk melakukan pembedahan pintasan jantung di HTAA berikutan lokasinya lebih dekat dan kosnya juga berpatutan. 

“Kami sekeluarga sedang berusaha mengumpul duit RM50,000 bagi membolehkan ibu menjalani pembedahan pada bulan depan,” katanya. 

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan ke akaun bank Zainon bernombor 88300023388704 (Bank Islam) atau menghubungi abang Muhammad Nor Faiz, Muhammad Nor Firuddin di talian 018-9047836.

Saturday, May 16, 2026

TFC tanggung malang keciciran mata

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC (TFC) terus ditimpa badi keciciran mata dalam empat perlawanan berturut-turut selepas ditumpaskan 1-3 Imigresen FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin. 

Pengendali interim TFC, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, tambah parah, aksi tersebut juga menyaksikan gawang skuad kendaliannya bolos menerusi sepakan penalti dalam t i g a perlawanan berturut-turut. 

“Gol kedua Imigresen (menerusi sepakan penalti) jelas memusnahkan kami dengan motivasi pemain-pemain saya mula dilihat luntur. Kita sekali lagi hilang fokus biarpun sebenarnya mendahului dengan jaringan awal,” katanya. 

Imigresen mencipta kejutan menewaskan TFC 3-1 di hadapan penyokong lawan menerusi jaringan sendiri Diego Luiz Landis pada minit ke-18 dan ledakana dua gol penyerang import, Eduardo Jose Vegas pada minit ke-32 dan 48.  

Tuan rumah pula hanya memperolehi gol sagu hati menerusi jaringan kapten pasukan, Careca pada minit keenam. 

Tengku Hazman berkata, ketiadaan pemain import, Ehson Panjshanbe akibat penggantungan jelas merencatkan jentera tengah TFC pada perlawanan tersebut terutama pada babak pertama. 

Menurutnya, beliau terpaksa memasukkan Akhyar Rashid yang baru pulih daripada kecederaan pada separuh masa kedua bagi ‘menghidupkan’ semula jentera tengah skuad Sang Penyu. 

Kekalahan itu menyebabkan TFC yang berada di tangga kelima cuma dibezakan dua mata dengan Imigresen dengan berbaki satu perlawanan.

Metra takluk Gua Bewah

 

Sebahagian ahli Kelab Media Perdana Terengganu bergambar kenangan ketika menyerati program menjelajah Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu baru-baru ini.