Yang Ikut

Friday, 7 April 2023

Menunggu lailatulqadar

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Menunggu lailatulqadar


Setiap kali Ramadhan tiba

Pertama kali yang ditunggu ialah lailatulqadar

Yang tentulah pahalanya sangat luarbiasa


Tetapi seakan-akannya menunggu lailatulqadar itu satu ujian juga,

Bila beberapa hari setelah berpuasa,

Kita mulai sibuk dengan kuih raya,

Berkira-kira berapa banyak wang hendak ditukar di bank,

Baju dan songkok juga kian mahal harganya,

Ah. Wang belanja sekolah anak juga mesti dijaga.


Menunggu lailatulqadar,

Kita bersesak balik kampung di jalan raya,

Mungkin ramai yang mati juga terlanggar sesama kita,

Dan saf di masjid juga mula mengecil,

Kita sibuk dengan hal picisan.


Tetapi begitulah,

Menunggu lailatulqadar ini,

Kita berdebat tentang hukum bermulanya hari raya,

Sama ada melihatnya di teropong atau melihatnya di Internet sahaja,

Mungkin juga kita perlu ikut sahaja Arab Saudi tarikhnya,

Dan kita pun terlupa bila masanya kita patut berzikir panjang,

Beribadat sepanjang malam,

Menyambut lailatulqadar tiba.


Aku juga,

Seperti kamu.


Sedang sibuk di Jalan Tunku Abdul Rahman,

Sambil merungut nista mencari parkir,

Mungkin tahun depan,

Bila Ramadhan menjelang lagi,

Sekali lagi aku mencari lailatulqadar,

Yang tak pernah aku berjumpa.


Mungkin nanti,

Ketika di hentian rehat dan rawat,

Ketika aku singgah sebentar,

Menghisap sebatang rokok,

Aku mendapat kemuliaan itu.


Engkau pula,

Mungkin bertemunya,

Ketika sedang sibuk belajar resipi baharu,

Di YouTube dan TikTok.


Harapnya begitulah.


FF

6 Apr 2023

Saturday, 11 March 2023

Kaya angan di 2023

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Sebenarnya jika ditanya, bagaimana orang boleh menjadi kaya raya, aku tidak begitu tahu jawapannya. Aku tak pernah kaya walaupun puluhan tahun aku menabung dalam KWSP. 

Aku juga berkerja di banyak tempat, tapi tak juga menjadi kaya. 

Aku mungkin malas dan kurang berusaha.

Tapi bila aku lihat selalu sahaja ahli politik ditangkap kerana terima banyak wang derma di sana sini, sedekah daripada putera raja yang tak diketahui gerangannya sehinggalah oleh tauke besar, aku tahu tak mengapalah jika aku tak kaya. 

Sekurang-kurangnya aku tak meminta sedekah dan derma juga. 

Aku tetap begini. Menyusur angin di waktu siang, membilang bintang di malam hari. 

Ah, wang dalam poket aku cuma ada RM25 lagi. Bolehlah aku berangan sehari lagi. 

Sekurang-kurangnya, aku kaya angan!

Sunday, 5 March 2023

Blog yang tak mati

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Sepanjang tahun 2022 tidak ada sepatah ayat pun aku tulis di blog ini. Aku tidak sibuk. Tidak juga tak sibuk. Tak juga apa-apa. Cuma aku tidak ada apa-apa juga pun.

Aku mengharungi banyak cerita juga di tahun 2022. Entah ia berguna atau tidak, aku lalui sahaja mengikut angin.

Kini sudah tahun 2023. Sudah di bulan Mac.

Blog ini mungkin akan mati atau terus hidup aku tak tahu. Tapi ramai kawan-kawan baik yang dulu membaca blog ini juga sudah mati. 

Kata orang, selagi kita bertanya bila kita akan mati, itu tandanya kita masih hidup.

Teruslah hidup blog ini. Jangan mati lagi.

Saturday, 2 October 2021

Sekeping surat tanpa alamat

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Semalam petang, aku lewati rumahmu. Tanpa pagar tanpa dinding. Tanpa diri kamu juga tentunya.

Ingin sekali aku menyambung bicara banyak persoalan falsafah yang belum selesai. Setiap kali berkopi hingga dinihari kita berbual panjang tentang politik, tentang alam, malah tentang roh juga.

Tapi kini, tak jauh dari kubur itu - surau tua yang mereput itu kian condong meroboh. Dan di seberang jalan itu, kamu diam bersemadi di situ setahun yang lalu. Lalu semalam tatkala aku melalui jalan itu, ku lihat di kiri jalan rumah engkau yang kian sepi. Tiada lagi kopi panas yang berasap di waktu dinihari. Di kanan jalan kuburmu yang tanahnya tak lagi merah. Apa khabar?

Setahun ini terasa begitu panjang sebenarnya. Tak ada teman berbual. Tak ada rakan berkongsi angan. Dalam bahasa yang lain - aku juga kehilangan diri. Rasa seperti kesejukan berdiri dalam gurun pasir seorang diri.

Rumah mak aku - yang selalu kau sebut sebagai monumen kematian - begitu jugalah ia. Tiada tamu. Tiada suara. Diam kaku. Aku rasa tak ada sesiapa lagi yang singgah di situ. Bukan untuk beberapa tahun mendatang ini, juga mungkin untuk selamanya. 

Aku singgah semalam. 

Sekadar mengimbau kenangan. Betapa dunia ini padang singgah penuh misteri. Dan aku terus bercerita walau aku tahu aku seorang yang mendengarnya.

Ah. Dunia ini padang kosong yang menguji kita dengan kekosongan hidup. Sibuk di luar, dalamnya meronta kehilangan semua yang pernah ada.

Kasihan sekali bukan?


Saturday, 12 June 2021

Lolong malam

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

tatkala malam menyembunyikan cahaya,dalam rintik embun dingin yang menikam tulang, lalu berdoalah memanjat ampun atas dosamu yang bertimbun,yang kau longgokkan di setiap lorong keji yang sedang memaki dirimu.

Oh Tuhan,

aku tak pernah menghitung pahala amalku,tak juga ku membilang nodaku yang membuih,kerana aku takut timbanganku tak pernah berlebihan,untuk menolong aku di depan azabmu.

Oh Tuhan,

aku hanyalah hamba yang tak pernah terdaya,terlalu kerdil untuk berlebihan meminta syurga,tapi janganlah kau matikan aku sebelum aku sempat meminta,jangan kau hinakan aku di sana.

kerana di sini aku sudah cukup terhina,menjadi orang papa yang tak pernah ada apa-apa.


FF 11 Jun 2021

x

Tuesday, 11 May 2021

Selamat hari raya kepada diri sendiri

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Tiada yang lebih indah diucapkan di musim begini selain selamat hari raya. Biarpun tak boleh melintas negeri atau daerah, menziarahi ibu bapa yang tua di kampung, tak mengapalah. Kita semua sama sahaja. Kita diamlah lagi dalam rumah untuk sekali lagi.

Indahnya hidup ini bukan kerana kita beraya setahun sekali. Indah hidup kita kerana kita ada sesuatu untuk dirayakan. Kita boleh beraya kerana kita masih mampu menghirup secawan kopi. Kita masih bergembira ada orang yang masih mengirim salam bertanya khabar tatkala kita mungkin sudah hilang semua. Kita beraya dengan apa yang kita miliki, bukan menyesali dengan apa yang kita tiada.

Rasa gembira itu ada dalam diri kita sendiri. Tak guna kita berpesta jika hati kita gundah gulana. Tak perlu bertemasya jika hutang tinggi menggunung. Raya itu ialah perasaan diri yang bahagia, sekalipun kita mungkin sedang dipenjara.

Selamat beraya. Teruslah bergembira walaupun kita hanya mengucapkannya kepada diri sendiri.

Monday, 10 May 2021

PKP 3.0 - Raya tak bersambut

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

PKP 3.0 secara rasmi mula diumum. Suka atau marah, tidak banyak pilihan yang ada. Yang berniaga merungut tiada pelanggan. Yang sihat merungut penyakit kian menyeramkan. Yang nak beraya marah tak boleh berziarah. Yang tak nak beraya marah keadaan tak dikawal.

Begini sahajalah. Kita hadapilah keadaan yang sukar ini. Semua orang tak gembira. Waktu yang normal sekalipun, manusia terus merungut. Apatah waktu yang tak normal.

Kita diibarat sedang berperang. Suasana tak menentu. 

Kita jaga sesama kita. Moga-moga kita mampu bertahan.

Selamat hari raya yang tak bersambut.

Sunday, 9 May 2021

Ramadhan hujung - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
 Ramadhan hujung

Ramadhan telah berada di kaki langit 
Sangat jauh sudah kita menyusur waktu
Sayu melihat bayang remaja kita di langit timur
Ia begitu kecil dan sayup kelihatan
Yang ada di cermin bayang kita
Hanyalah wajah orang-orang tua kita
Tatkala mengatur adab kita berbuka yang begitu gelojoh
berebut makanan sesama adik beradik
Juga sabarnya ibu kita membangunkan kita bersahur
Sesekali memangku menyuap nasi agar kita tak kelaparan berpuasa
Dan ia hanyalah sekadar bayangan yang tercatat
Agar kita tak pernah melupakan ibu bapa kita


Tadi petang
Ku terima khabar
'Pak Su, Tok dah meninggal'
Ia pesan betapa kita semua berada di hujung
Ibu saudaraku yang usianya 80 tahun lebih,
Teman akrab arwah ibuku
Selalulah dia ada di serambi rumah kami
Berbual tentang macam-macam dengan ibuku,
Kini juga telah melewati dunia yang baru,
Meninggalkan kita untuk sekadar terus bernostalgia
Kisah dulu-dulu menyambut Syawal tiba

Bayang Ramadhan hujung,
adalah usia kita,
yang terus gigih berusaha mencari bekal,
sebelum dipanggil pulang,
seperti bunyinya beduk dipalu di surau tua,
memanggil kita pulang ke rumah.
Selamat pulang tok wa,
Berabadilah di sana,
Kami di sini terus menatap senja di langit yang memudar,
Menyambut syawal yang semakin hilang girang.


FF
9 may 2021

Saturday, 8 May 2021

Ramadhan hujung

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Kita kian di hujung Ramadhan. 

Dulu, ketika budak-budak, kita berkira-kira rumah untuk dikunjungi untuk mengumpul wang raya.  Sekitar tahun 80-an, ada satu rumah, ketika zaman itu biasanya diberi wang 10 sen atau 20 sen, tuan rumah sekadar memberi 5 sen. Waktu itu, dapat mengumpul RM 5 sudah dianggap wira. Lalu rumah yang agak sengkek, terus termasuk dalam senarai blacklist.  

Budak-budak biasanya tak ambil peduli sangat untuk nasib tuan rumah. Dia terus dilabel kedekut. 

Kini, walaupun ada lagi budaya wang raya, tetapi perasaannya sudah tak sama lagi. Banyak orang sudah berduit, walaupun hutang bank tetap juga banyak. Mak ayah sudah mampu memberi wang raya yang banyak untuk anak-anak sendiri.

Anak-anak juga tak begitu peduli lagi dengan feel beraya. Semua orang sibuk dengan telefon di tangan.

Malah pergi beraya juga sudah menjadi kerja yang memenatkan.

Raya di musim PKP ini menghambarkan lagi perasaan beraya yang sedia hambar. Apatah lagi jika sudah tidak ada lagi mak ayah di kampung.

Tahun ini beraya di hotel mana?

Friday, 7 May 2021

Jangan sangsi dengan Internet!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Mungkin penyakit yang ada dalam dunia ini bernyawa seperti manusia juga. Ia seperti berakal. Setiap kali diberitahu ada vaksin ditemui, atau orang ramai mula menyuntik vaksin, ia berubah pula menjadi lebih perengus. Ia sepertinya anak nakal menguji marah orang tuanya.

Di Malaysia, kita sedang bertarung dengan dua ketakutan. Ketakutan virus, dan keduanya ketakutan vaksin. Takutnya orang pada vaksin sama takutnya dengan virus juga. 

Banyak sebab orang menjadi takut. Sejak puluhan tahun kebelakangan ini, internet menjadi guru untuk kita semua. Orang lebih percaya dengan internet daripada yang diberitahu orang pandai. Sebab itu, kini mungkin lebih ramai doktor internet daripada doktor di hospital. Seperti juga halnya muncul banyak ustaz update status di bulan Ramadhan ini, yang  bersyarah itu halal dan ini haram, lebih ramai daripada ustaz yang bersyarah mengguna kitab. Ironisnya, pakar dan alim internet ini lebih banyak diikuti. Malah Imam Ghazali yang alim boleh disanggahinya. Apalah sangat doktor vaksin.

Akhirnya, kita semua menjadi ghairah keterlaluan mengaku lebih tahu dalam banyak hal. 

Mungkin sebab itu, apabila universiti atau sekolah ditutup, kita semua seperti tidak bimbangkan apa-apa sangat. Internet menjadi guru yang boleh mengajari kita lebih baik daripada mereka yang dilatih 6 atau 7 tahun umtuk menjadi doktor di hospital. 

Internet ini sempurna bukan?

Anda tahu apa vaksin terbaik? Updatelah juga status facebook anda agar kita semua pakat-pakat tahu.

Oh terlupa juga. Semalam banyak orang kata ada Lailatul Qadar. Ah, rahsia Tuhan pun Internet juga tahu!

Wednesday, 5 May 2021

Tanda pagar marah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Esok sekolah di Selangor mula ditutup. Jika ditanya banyak orang, mereka gembira atau tidak? Mungkin ada yang tidak gembira. Tapi dalam situasi yang tak keruan sejak dua tahun ini, tutup dan buka sudah menjadi biasa.

Bagi yang gembira, ada juga banyak sebab. Jawapan yang paling skema mungkin untuk menghindar Covid-19. Tapi jawapan lain yang lebih jujur, ibu bapa tak perlu bersesak di waktu pagi menghantar anak ke sekolah. Jadi belum tentu ada yang suka sekolah ditutup ini kerana mengelak penyakit sahaja. Manusia ini banyak sebab peribadi yang disembunyikan di balik sebab umum.

Anda semua marah kerana tak boleh beraya dan melintas negeri? Ya, ramai yang marah.

Tapi dalam diam-diam ada sukanya juga. Berapa ramai daripada kita yang gelisah tak sempat menukar wang raya di bank?  Berapa ramai juga yang tak lena tidurnya kerana tak sempat membeli baju raya? Dan kita juga tak begitu banyak bercakap tentang wang tak cukup untuk beraya tahun ini.

Jadi kita sebenarnya marah atau tidak?

Kita perlu tunjuk rasa marah. Agar orang tak nampak sangat kita sedang bergembira.

Tak begitu?

Selamat berbuka.


Tuesday, 4 May 2021

Tanda pagar

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Berita yang ditunggu-tunggu banyak orang, dengan penuh sabar, sesekali berbisik dalam hati, akhirnya datang menjelma. Itulah PKP 3.0. Ia datang dengan juga beberapa tanda pagar lain, #KerajaanGagal. 

Sebenarnya tak ada satu negara pun lagi yang berjaya melawan Covid-19 ini, termasuklah juga negara yang menghasilkan vaksin itu sendiri. Tak ada satu pun formula yang dianggap bijaksana. Menutup sekolah, ibu bapa bising bertanya bila sekolah mahu dibuka? Sekolah dibuka, demam maut merebak, ahli politik pula marah bertanya bila sekolah mahu ditutup?

Pasar malam ditutup, peniaga merungut mereka hilang pendapatan. Bila dibuka, ia dirungut pula pihak lain ia punca penyakit. Masjid ditutup, semua orang merungut, termasuk yang tak pernah ke masjid, marah kerana supermarket pula boleh dibuka. Imam pun tentu keliru juga hendak menyuruh makmum merapatkan saf. Saf yang merenggang, dikata pula mengikut mazhab WHO.

Lalu apa cara yang semua orang ada?

Memang mudahlah ahli politik mana pun menuding jari mencari salah. Tetapi yang termasuk berkunjungan makan kenduri pun mereka juga. Tetapi hendak disalah mereka juga salah. Tak berkunjung, lalu dikata makan gaji buta. Lalu apa dan bagaimana, melainkan kita letak sahajalah tanda pagar apa pun yang menawan agar ia jadi trendy.

Lalu apa dan bagaimana kita ini?

Selagi kita yang tak bertemu caranya, kita semua adalah rakyat yang gagal. Ia tanggungjawab kita semua. 

Melainkan kita semua, termasuk anak-anak kita diberi wang ratus ribu dan duduk diam di rumah. Pasti tak akan ada penyakit merebak.

Sebab semua orang sudah ada wang, lalu jangan pula nanti merungut tak ada orang menjual nasi lemak. Atau merungut semua pemandu Grab sudah tak lagi melayan pesan kita.

Lalu bagaimana harus kita?

Melainkan kita letak sahajalah tanda pagar, #TuhanPanjangkanNyawaku.



Sunday, 2 May 2021

Menjual angin

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tatkala aku menjual angin
aku dikata berniaga mimpi
sedang berapa banyak orang tertipu
digoda warga seberang benua
hanya menjual kata-katanya
berapa yang ada diberi semuanya.

Tatkala aku berkata kebenaran
aku dinistai sebagai pemalsu
sedang saban hari mereka juga berbohong
dengan pintar berselindung di balik warak
lalu akukah yang terhukum kerana memperdaya
sedang mereka akan terampun dosa,
kerana ramai sang idola akan terus berdoa

Menjual angin
dan menyata kebenaran
itu sama sahaja
ia bukan kerana siapa yang akan membelinya
atau berapa mahal harganya
tapi siapa engkau yang menjualnya.

FF 2 Mei 2021


Saturday, 1 May 2021

Bila lilin yang nyalanya tiada bercahaya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Angin raya telah mula berhembus. Terasa sepertinya kita sedang mula berkira-kira memacakkan api pelita di keliling rumah. Mula juga berfikir tentang baju raya baru untuk dipakai tahun ini. Dan rumah kita mula penuh dengan adik beradik yang pulang beraya.

Puluhan tahun dulu, biasanya aku ke masjid untuk berteraweh. Sebenarnya bukan sangat teraweh itu. Masjid jadi tempat berkumpul, berborak dan bermoreh. Moreh itulah yang menyatukan warga muda dan tua di kampung.

Tetapi, bukanlah juga selalu. Banyaknya dihabiskan masa di atas tandop air, tak jauh dari rumah aku. Sebungkus rokok, sebungkus kacang dan sebatang lilin menemani aku dan arwah Din. Kadang-kadang kerana kami tak banyak berbual, jadi kami hanya berbual hal penting sahaja.

Bila hampir raya tiba, kami mula berkira-kira mencari kuih raya di pekan Jitra. Tetapi bajet kami budak remaja, taklah banyak. Tak harus lebih RM30. Itupun jenuh juga nak dicari.

Biasanya kuih raya itu kami juga yang memakannya.

Tahun ini, seperti tahun sebelumnya, raya ini tak ada warna serinya lagi. Semua orang sibuk update angka pesakit dan angka mati. Kini mati di mana-mana. 

Tapi jika tanpa Covid pun, aku tak rasa raya pada musim tatkala bunga gugur dan daun jatuh, ia akan membangkitkan rasa riang juga. 

Ia ibarat nyala lilin yang tak beri cahaya.

Selamat berpuasa. Moga kita semua masih lagi bernyawa.

Selamat hari buruh

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Kita semua adalah buruh. Banyak orang bersangka buruk bahawa buruh ialah kerja kuli bangunan atau mereka yang kerja membancuh simen sahaja. Sebenarmya tidak. Kita semua adalah buruh. Pekerja hanyalah istilah lain untuk buruh. Ia terlihat lebih baik daripada buruh, hakikatnya ia tetaplah benda itu juga. Ia juga merujuk kepada buruh atau kuli.

Aku tidak begitu suka kita dipanggil pekerja. Bagi aku, buruh membawa makna yang lebih jujur menceritakan diri kita yang sebenarnya. Bukan buruh apa jika setiap hari berkerja, kita tak pernah juga kaya. Bukan buruh apa, jika kita tak habis-habis merungut tentang hidup, lebih banyak dari merungut tentang mati. Kita adalah buruh apabila puluhan tahun berkerja di kilang, tetapi tak mampu membuka kilang sendiri. Kita adalah buruh jika puluhan tahun berkerja di hospital, dengan segala kepandaian, tak juga mampu membangun hospital kita sendiri.  Kita adalah buruh bila menjadi pegawai yang berkemeja cantik yang tetap sahaja tak mampu menaikkan gaji sendiri. Kita tetap perlu menjadi kuli orang. Siang dimarah, malam diherdik. Kita jadi sangat takut kehilangan kerja sebab ia akan buatkan dapur rumah tak berasap. Jika perlu membodek, kita bodeklah. Jika perlu memanggil orang lain boss, seribu kali sehari pun, biarlah.

Bukan buruh apa jika kita begitu?

Yang berbezanya kita, sama ada kita sedar diri atau tidak sahaja. Bezanya kita, sama ada kita merasa terhormat dipanggil tuan, atau merasa hina dipanggil buruh. Itupun gelar itu diberi menyembunyikan hakikat sebenar kita sahaja. Hakikatnya kita hanyalah kuli.

Jadi tak perlulah kita berperasaan besar diri. Selagi nama kita tak pernah tersenarai sebagai manusia kaya di Forbes, kita besar kemungkinan adalah buruh. Sebab buruh itu akhirnya perlu berkerja untuk kekayaan  orang lain, dan tetap merungut dengan wang yang tak pernah cukup.

Anda bukan buruh?

Selamat hari buruh untuk orang lain, dan bukan anda.


Friday, 30 April 2021

Menulis di medium langka

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Langka bila ada lagi orang menulis di blog zaman ini. Benar. Tak ada lagi orang menulis di blog. Blog ialah dunia belasan tahun dulu. Sebenarnya sebelum munculnya blogspot, terlebih dahulu muncul blog. Tapi ia tak bertahan lama. 

Blogspot juga tak bertahan. Munculnya facebook, WA, youtube kian menghilangkan bisa blogger. Yang mungkin kekal ialah mereka yang ada profil seperti Tun Mahathir, A Kadir Jasin atau Hishamuddin Rais. Selainnya kian lama kian tergusur hilang.

Aku juga agak lama meninggalkan dunia blog ini. Beberapa hari ini muncul kembali. Sekadar mengisi ruang yang sangat membosankan. Teman-teman blogger yang aku kenal belasan tahun dulu juga tak wujud lagi. Mungkin berusia dan sibuk dengan banyak hal. Atau menjadi Youtuber yang boleh membuat banyak wang.

Yang pasti, seperti banyaknya hal baru yang beransur menjadi lama, kita juga akhirnya menjadi manusia langka. Seperti sebiji nangka di celah ratusan buah durian Musang King.





Tuesday, 27 April 2021

Apa khabar Aussie?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku lama di Australia. Kali pertama ketika sambung PhD, 4 tahun. Kali kedua, ketika sambung post doctorate, 2 tahun. Apa yang berubah? Pokok gum tree tetap terpacak tegak begitu. Bumi Australia tetap kering dan berdebu. 

Sebenarnya alam tetap begitu. Binatang tidak juga membina tamadunnya. Politik tetap juga begitu. Kotor dan sukar dipercayai, apatah untuk diramal. 

Manusia berubah? Dalam banyak hal, manusia tetap begitu sifatnya. Ustaz yang masih gigih berceramah akan bercakap hal yang sama sehinggalah matinya. Datang yang baru, ustaz akan bercakap hal yang sama. Yang berbeza mungkin sifat ustaz itu sendiri yang berubah. Ada yang warak, ada yang selebriti, ada yang biasa-biasa. 

Kita berubah? Kita semua hanya tahu kita berubah bila kita tak segagah dulu. Kita tak sekuat dulu. 

Aku lama di Australia. Apa yang aku rindukan.

Aku rindukan masa silam. Bila hari menjelang malam aku menelefon emak dan bertanya 'apa khabar mak?'

Aku tahu jika sekali lagi aku ke Australia pun, walaupun kanggaru tetap terus melompat, dan kaola terus malas di pohon gum tree, aku tak akan menemukan masa lalu. Masa lalu adalah diri kita yang sedang beranjak pergi. Masa lalu adalah kisah duka yang menjadi hiburan hari ini, atau hiburan yang kini menjadi hamparan duka untuk dikenang.

Apa khabar Australia?

Sunday, 25 April 2021

Berdamailah dengan takdirmu - II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku selalu menulis begini kepada Addin,
Adakalanya kita perlu memilih untuk tidak terpilih,
Waktu itu usia kami masih sekitar awal 20an,
Yang masih lagi tidak begitu faham antara makna ujian dan percubaan,
Kami kira ia sama sahaja celakanya yang hanya bersembunyi dengan kelainan bunyi dan morfologi,
Yang masih tak begitu jelas antara kesedapan dan nikmat,
kerana bagi kami apalah sangat nikmat jika ia tidak memberi kesedapan,
Seperti banyak orang-orang baik yang begitu tekun berkerja dengan sangat jujur,
Tapi di hujungnya hanya membawa pulang upah yang tak mampu pun membeli seikat pisang.

Tetapi Addin selalunya memilih untuk tidak kisahkan apa yang aku tulis,
dia harungi juga derum bingit ujian hidup yang aneh-aneh,
menjadi orang yang jahat sebahagian, baik sebahagian,
Berboyong dia dari satu lorong ke satu lorong,
Sesekali aku mengikut sama walaupun tak pernah memilih jalan yang sama.
Tapi takdir memilih dia sebegitu,
Takdir juga memilih aku sebegini, 
Dan takdir memilih kami berdua masih merindui cahaya bulan yang sama.

Katanya
Aku rasa kesilapan aku yang terbesar kerana memilih barang kepunyaannya,
kerana tak terdaya terlalu dahagakan ranum nikmat yang telah tertulis ia hanyalah lomba uji,
Lalu aku tersungkur tersangkut pada dahan berduri ini.

Dan pada hari dia pergi aku juga tak sempat menziarahi pusaranya,
entahkan wangi entah busuk,
Entah cukupkah doa yang dititip dari penduduk dunia,
agar disambut mesra oleh warga akhirat yang tak pernah jemu menunggu sesiapa pun yang mahu bersama di sana,
lalu aku berkata
kita sedang diuji takdir pada saat kita terpaksa merasa kehilangan seorang sahabat,
untuk bermain tali kecapi yang tiada lagi akan berbunyi walaupun digosoknya dengan dawai besi.

Tapi seperti mana engkau tak pernah memilih untuk tidak dipilih,
aku juga mungkin sedang dipilih untuk tidak memilih jenis takdirnya Tuhan,
kerana aku perlu selalu merasa bahagia,
dan berdamai dengan takdirku.

Takdir yang memilihku
takdir memilihmu
Takdir memilih kita.


FF 25 april 2021


Saturday, 24 April 2021

Berdamailah dengan takdirmu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Berdamailah dengan takdirmu,
Berpesanlah dengan sabarmu,
Jangan kau jadi marah sebagai senjatamu,
Jangan kau jadi kesedihan sebagai padang hidupmu,
Sejenak renunglah ke langit,
Kita ini hanya manusia kecil,
Sejenak perhatikan burung yang terbang,
Bukan hanya kamu yang berseteru dengan hidup,
Setiap hari kita diuji,
dengan takdir yang tak engkau ketahui.

Berdamailah dengan takdirmu,
Maafkan dirimu jika terkhilaf merencanakan hidup,
Maafkan juga dirinya yang golojoh,
Dia juga dilamar takdir,
Untuk pernah ada dalam dirimu.

Berdamailah dengan takdirmu,
kita hanya manusia kecil,
Sebisanya kita ingin memilih semuanya,
apa sahaja yang menjadi kesukaan,
berdamailah dengan takdirmu,
Yang tak memilihmu untuk beberapa hal,
Yang telah engkau rancangkan.

Berdamailah dengan takdirmu.
Jika aku pernah menjadi musuhmu.
Aku juga seperti kamu,
Terus mencuba untuk mendamaikan,
Diriku yang tak pernah mahu berserah,
Bahawa aku hanya seorang manusia,
yang hanya dicoba dan diduga,
Dalam tinta takdir yang tak pernah kering.

FF
24 April 2021

Kita tak akan pulang

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Dalam dunia ini, tak ada sedikit pun harapan untuk kita pulang ke masa silam. Masa silam hanya untuk dikenang. Itu pun jika kita mahu. Semakin hari kita semakin pulang ke dunia yang satu lagi.

Belasan tahun dulu aku memetik epal di Adelaide Hill. Ia zaman kita masih bergembira. Aku rasa, ia sekitar tahun 2009. Epal yang aku petik dan makan sudah lama lenyap. Jaket yang aku pakai itu masih ada. Ia baju yang aku beli di sebuah kedai di Jalan Melawai Raya, Indonesia sekitar tahun 2003. Ia sudah begitu lama.



Jika aku boleh kembali, aku akan kembali ke zaman anak-anak. Tapi ia hanya mimpi yang tak akan pernah berlaku.

Monday, 19 April 2021

Semoga terpilih ke syurga

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ketika PKP 1.0 sedang mengurung kita hampir setahun yang dulu, temanku menelefon bercerita betapa beruntungnya dia telah dipilih untuk bersolat Jumaat. Waktu itu hanya yang dipilih sahaja boleh bersolat Jumaat, selebihnya bersolat Zohor di rumah.

Dia merasa seperti diberi senarai nama ke syurga. Betapa terujanya dia, kerana dalam ramai-ramai orang di kariah kami, namanya dipilih. Tentulah juga banyak yang dipilih itu kerana ada rekod baik dalam hal berjemaah juga. Orang seperti aku tentu tak akan tersenarai kerana bukan sahaja tidak ada rekod buruk, tetapi rekod berjemaah pun mungkin tak ada di mana-mana masjid. Yang aku ada hanya rekod panggung wayang.

Beberapa bulan lalu temanku pulang ke dunianya.

Moga dia memang di syurga. Dia memang terkenal sebagai orang yang baik.

Saturday, 17 April 2021

Sajak

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Di celah dinding berusia

Hari ini
Seperti hari-hari kelmarin jugalah
Di celah-celah dua dinding yang usianya begitu tua
Aku duduk sambil menghirup secawan kopi panas
Dan merenung pohon kacang yang aku tanam tiga bulan yang lalu
yang tak pernah berbuah

Setahun dulu
kau juga duduk di sini
sambil kita bercerita orang itu dan orang ini
jiran-jiran kita di kampung
yang kemabukan air biak
yang dulunya orang-orang tua kita
menampal daunnya di kepala anak kecil
yang kembung perutnya

Di celah dinding batu berusia ini
kita bercerita tentang konspirasi dunia
tentang mujtahid yang lahir setiap seratus tahun
aku kira
kau tak pernah sempat melihatnya
kau pergi sebelum lahirnya juga
aku pula berkira-kira jikalah mujtahid itu muncul
dengan siapa akan aku kongsi cerita ini

Tak jauh dari celah dinding batu berusia itu
kau bina sebuah sangkar kayu yang cantik
kau kata nanti jika ia rosak
kau bangunkan yang baru
dan ternyata kau tak akan datang lagi
lalu aku belikan beberapa potong kayu
dan bangunkannya sendiri

Di celah dinding yang berusia ini
aku bercerita dengan seseorang yang dulunya
pernah ada dan tiba-tiba pergi
tetapi ku harap kau masih ada
mendengar omongku

Di celah dinding yang berusia ini
terasa benar aku keseorangan
membilang usia
yang kian menuju senja
menjadi begitu tua

FF
17 Apr 2021

Thursday, 15 April 2021

Selamat malam kawan

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Beberapa tahun ini aku hidup dalam ruang yang sangat membosankan. Aku dulunya menulis blog ini, kira-kira 14 tahun lalu juga kerana bosan. Tapi bosan ketika aku hanya berumur 35 tahun. Sekarang aku berumur 49 tahun.

Pembaca blog ini pun jika dilahirkan pada tahun 2008, kini juga remaja. Tapi yang membuat aku kian terasa kosong kerana banyak pembaca blog ini, manusia yang penting telah mati. Ada yang pulang beberapa tahun dulu. Ada yang setahun dua ini. Malah temanku, pencipta heading blog ini, juga telah tiada. Dulu-dulu aku ada juga berangan angan menambah baik design blog ini. Tapi temanku yang baik itu juga tak panjang usianya.

Aku bosan juga dengan banyak hal lain. Aku menuliskannya dulu, kerana aku tahu banyak teman baikku membacanya. Ada hal yang aku tulis kerana mereka menyuruhnya juga. Kini tak ada seorang pun dari mereka yang masih hidup.

Hidup ini adakalanya begitulah. Anda boleh menyuruh orang lain ketawa. Tapi kita tak mampu menggeletek diri sendiri untuk tersenyum sekalipun.

Aku tahu juga, aku tidak kian muda. Kita semua akan ke sana juga. Tapi tentulah teman-teman kita itulah yang membahagiakan kita sebelum singgah di dunia sana. 







Ramadhan telah bermula. Sebulan lagi kita beraya. Kegembiraan apakah yang cuba kita ceritakan? Siapakah pula yang akan mendengarnya.

Menulis memang tak pernah mudah. Tapi menulis yang kita tahu teman-teman terbaik kita tak akan membacanya lagi tentulah tidak akan menjadi lebih mudah.

Selamat malam kawan. Itupun jika masih ada yang tersisa di mana-mana.

Itu jugalah alasan terbaik untuk aku selalu berfikir untuk berhijrah.


Puasa tiga

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Hari ini ke pasar ramadhan Pantai Dalam. Ini kali pertama aku sampai ke pasar ini. Aku tak pernah ke pasar ini dulu juga pun. Tak sangka ia begitu besar. Tapi jalan ke lokasi sesak. Penuh kereta.

Aku naik motor. 

Mudah. Tapi hujan. Basah pula.

Dari jualan, pasar ini lebih ramai penjual. Aneka makanan. Pembeli juga ramai. Ia seperti di musim normal. Tiada penjarakan. Aku beli sebungkus laksa Kedah. Anakku seketul roti John. Air tebu yang aku beli semalam masih ada lagi.



Selamat berbuka

Wednesday, 14 April 2021

Puasa Dua

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Puasa 2

Hari ini ke Bangsar. Dalam angan-angan aku, akan selalu ada pasar ramadhan di sini. Setelah berpusingan,yang ada hanya gerai tepi jalan. Ah tak berwarna warni. Lalu dengan motosikal LC dan hujan rintik2, lalu aku minta anakku nyalakan Google Map. Kami mencelah antara rumah orang kaya dan kaya, menuju ke Pasar Ramadhan Taman Tun Ismail. Ini baru pasar ramadhan, walaupun tak semeriah tahun 2019.Macam-macam ada. Aku cuma beli sebungkus air tebu, dan Luqman 5 keping otak-otak, lalu kami balik.


Selamat berbuka.

Tuesday, 13 April 2021

Puasa pertama

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Hari pertama puasa. Cuaca nyaman sepanjang hari. Cuma aku gelisah. Kopi dan rokok sudah jadi candu dalam hidup aku. Lalu datang sakit kepala dan mengantuk.

Tiada banyak cerita. Petang tadi ke pasar ramadhan. Tiada apa-apa di situ. Aku terjumpa tapai daun getah. Aku beli selonggok buah mempelam. Nampak macam sedap. Aku berbuka dengan mempelam. Ah masamnya mematikan selera.

Hujan masih merintik sejak petang tadi. Sesekali berhenti. Sesekali turun.

Jangan ketawa sepanjang hari. Kerana tatkala ia berhenti, kita tak mampu menghimpun senyum.

Selamat berpuasa.

Selamat datang Ramadhan

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

 Ramadhan datang lagi. 

Maknanya kita hidup lagi. Kita sempat lagi bercerita tentang sahur dan berbuka, walaupun kita mungkin tidak begitu sibuk untuk tahu bahawa puasa bukan sekadar tidak makan.

Dulu-dulu, bulan puasa ini bulan yang meriah. Kita berangan-angan balik ke kampung untuk menjengah orang tua. Sambil petangnya sibuk pula ke pekan mencari juadah. Tapi bila orang tua sudah tak ada, motivasi pulang juga mati. Teman-teman bercerita juga ramai yang tiada. Lalu, kampung menjadi tempat singgah yang sangat jauh dan usang.

 Dulu-dulu aku selalu bersama Din. Kami membeli seorang sebungkus nasi, lalu berbuka di atas pangkin di belakang rumah. Lalu setelah berbuka, kami merokok lama-lama dan berbual panjang. Kami berkisah tentang bermacam hal. Lalu malamnya berkopi lagi di kedai.

Ah itu dulu. Kini Din sudah menjadi arwah. Tahun ini sudah masuk 5 tahun. Biliknya di rumah aku masih lagi tergantung sehelai baju kurung dan gambar Tuan Guru Nik Aziz. Ia seolahnya dia masih ada di situ.

Aku pun jarang balik. Jadi bilik itu kini hanya jadi bilik nostalgia.

Rahman selalu berkata, rumah pusaka aku di kampung ialah monumen kematian. Sebab ia sudah menjadi usang dan tiada manusia.

Ah itu juga dulu. Tahun lepas Rahman juga sudah pulang. 

Puasa tahun ini memang tak lagi meriangkan. 

Monday, 1 March 2021

Selamat pulang alam baru

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Kematian Teman 

(Dedikasi untuk teman-teman yang telah pulang)

Kematian teman itu tidaklah sekadar hilangnya seseorang yang pernah ada, tapi menghilangkan juga rasa percaya dan mematikan cita-cita

Seolah berdiri sendiri di sebuah gurun yang tiada penghuni

Dan paling menyakitkan

Tatkala dilanda kecewa, tiada lagi tempat bercerita

Tatkala germbira tiada lagi tempat berkampung untuk bertemasya, seolah kita sedang melewati jalan panjang yang tak berpenghujung

Secawan kopi panas yang kau hirup menjelang lewat dinihari

Terasa nikmatnya bukan kerana rasa pahitnya menyerap ke celah gigi, atau manisnya yang melekat di celah bibir yang bergetah

Ia hanya terasa begitu girang kerana secawan kopi itu disulam dengan cerita yang teman kita selalu mengangguk percaya

Walau pun dia sendiri tahu bahawa kita hanya sekadar menambah rasa

Kematian teman seolah kematian diri sendiri, lalu terkurung dalam kubur kesepian yang paling menakutkan

Terasa sakitnya seolah secawan kopi panas tertumpah di kaki dan tak siapa lagi yang ambil peduli rasa malu dan sakit hati

melainkan kita sendiri bertanya 

temanku adakah kau sedang tersenyum melihat aku?

_______

Sudah lama tak menulis sebab banyak yang baru telah menjadi lama. Yang lama pula telah banyak yang tiada.

Selamat pulang teman-teman lama yang istimewa. Tak berapa lama sebelum PKP 1.0 Sdr Din, pencipta grafik blog ini telah pulang.



Setelah berakhirnya PKP 1.0, teman yang lain pula telah pergi. Mereka antara watak utama yang selalu dicerita dalam blog ini.

Bila semua telah tiada, aku juga merasa tiada mood menulis. 

Berbahagialah hidup di alam sana. Alam destinasi kita semua sama ada kita suka atau tidak. Ia rumah kosong untuk kita semua.




Wednesday, 1 January 2020

Mimpi di tahun 2020

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Catatan hari cuti

Hari ini cuti. Jalanraya lengang. Tidak ada Boxing Day. Tidak ada apa-apa. Tahun baru ini, selain bertambah umur, kita sedang menambah apa?

Matawang kita jatuh sudah lama tak memanjat naik lagi. Gaji kita mungkin naik sedikit, tapi harga barang menambah beberapa kali ganda. Anak-anak kita yang baru lulus universiti - berapa gaji pokoknya? 6 ribu? 7 ribu? Atau hanya RM 1500? Malah, di sektor kerajaan mereka hanya mampu berkerja kontrak gaji harian. Bukan kerja tak ada. Tapi kononnya bajet tak pernah ada.

Lalu semakin kita jauh, semakin kita ke belakang. Kita mungkin maju sedikit. Dulu kita hanya mengguna telefon Nokia. Kini dengan IPhone dan Samsung, kita boleh berwasap dan berfacebook. Dulu makan kita masak sendiri. Kini kita ada GrabFood dan FoodPanda. Kita agak majulah.

Ohh. Kita juga telah banyak melahirkan ulamak dari program realiti. Ulamak yang lawa dan popular juga. Masing-masing ada Instagram untuk keluarkan fatwa. Baguslah.

Selainnya tahun baru ini kita sedang menambah apa?

Ohh kita juga menambah baik politik kita. Lihatlah kita bergaduh siang malam atas nama perpaduan. Kita bertekak atas nama agama dan bangsa. Ya kita maju. Kerana kita bebas bersuara.

Tahun baru.

Kita menambah apa lagi?

Kita menambah angan-angan. Dari mimpi kereta terbang yang tak pernah dibuat lagi oleh Jepun atau Amerika, tiba-tiba kita yang sepasang selipar pun masih diimport dari China, meratip megah ingin mencipta kereta terbang. Ah. Nanti kita juga boleh sediakan lot parking di udara. Kita boleh bina kedai di awan. Kita kelihatannya sangat luarbiasa. Tatkala orang lain berfikir ke depan, kita berfikir ke atas.

Tahun baru 2020.

Datanglah. Lihatlah kami yang luarbiasa hebat ini.

Selamat tahun baru 2020

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Tahun baru 2020 tiba. Saya tak begitu peduli dengan tahun baru. Saya tetap merasa saya orang yang sama sahaja, sama seperti 10 atau 20 atau 30 tahun yang dulu. Kita berjuang untuk terus hidup selagi mana yang boleh. Dan untuk hidup sampai tahun ini, atau tahun sebelumnya, kita semua sama sahaja. Kita berbuat apa sahaja. Ada cara baik, ada cara jahat. Motifnya kita berjuang untuk hidup lagi pada tahun yang akan datang. Bukan sekadar kita. Kalau perlu, semua ahli keluarga kita terus bernyawa panjang.

Tahun 2020 ini apa bezanya dengan tahun sebelumnya. Yang berbeza hanya persekitarannya sahaja, sedang nafsu yang bergelora itu sama sahaja. Lewat tahun 1970an, saya mengenal televisyen hitam putih. Itupun seminggu sekali. Generator menghidupkan kuasa letrik. Ia seperti panggung wayang sekarang. Saya tak ingat malam apa. Tapi malam itu seperti pesta untuk orang kampung kami, kerana malam itu kami boleh menonton tv. Tapi menonton itu perlu dibayar. Saya tak pasti berapa sen. Saya beruntung kerana ia milik bapa saudara saya. Jadi saya menontonnya tanpa bayaran. Walaupun saya juga tak faham apa yang sedang ditonton itu. Mungkin filem Combat.

Lama setelah itu, panggung itu bangkrap. Tak tahu kenapa. Muncul pula televisyen yang mengguna kuasa bateri. Tapi sebab ia bukan milik ahli keluarga kami lagi, jadi menonton televisyen sudah jadi hal yang payah. Ia sama seperti pengemis juga. Ada masa mereka layan. Ada waktu, pintu ditutup.

Waktu berlalu. Elektrik mula ada. Televisyen warna mula masuk. Tapi rumah saya agak terkemudian masuknya elektrik itu. Tahun 1987. Jadi televisyen juga lambat ujud.

Telefon pastilah tak pernah ada. Rumah saya cuma ada telefon tahun 1996. Itupun sebab desakan awek saya waktu itu. Jadi saya yang sudah ada kerja, saya masukkan. Tapi setelah awek pun menghilang, maka telefon itu juga terpadam. Dulu2, di kampung kami, banyak yang mengguna telefon awam sahaja, untuk terima dan panggilan keluar. Awal 1990an telefon awam itu masih berfungsi. Malah kami tahu cara mendail tanpa perlu membayar. Ia hanya menekan gagang dengan cepat. Jika no yang kita panggil 7, tekan tujuh kali. Pause seketika. Sambung dengan nombor seterusnya.

Di kampung kami, kami agak ketinggalan. Keluarga kami terutamanya. Motor pertama dibeli abang saya ketika saya darjah 5, ia tahun 1983. Platmya WE 889. Ia motor Honda C70 lampu bulat. Itupun motor second hand. Banyak waktu yang lain, basikal ialah kenderaan rasmi kami. Saya cuma membeli motosikal pertama bila masuk universiti, Honda Kapcai lampu petak. Ia juga second hand.

Tapi saya hidup juga. Teman2 saya yang dulunya membeli motor baru juga hidup.

Kampung kami kini tetap begitu. Warganya tetap bernyawa, ada yang lahir, ada yang mati. UUM terbina di sebelah kanan, UNIMAP di sebelah kiri. Kampung kami di tengah2nya. Persekitaran berubah. Tapi setiap hari, orang akan bertanya - kerja apa, atau buat apa sekarang. Maknanya orang bertanya bagaimana kita terus survival. Itu sahaja. Tak ada yang bertanya, buku apa yang dibaca, atau sudah habiskah membaca Faridatul Faraid?

Jadi setiap kali tibanya tahun baru, apa yang berubah?

Bukankah kita tetap orang yang sama? Usia mungkin bertambah. Tapi dunia hari ini, jika anda ada wang, anda akan dilayan seperti orang muda. Malah anda juga berjiwa muda.

Jadi untuk anda semua, saya tak akan ucapkan selamat tahun baru. Saya sekadar bertanya, sedang berubah apa anda sebenarnya?

Sunday, 4 November 2018

Lompat lebih tinggi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dulu-dulu ketika aku masih kecil, ibu aku selalu melarang kami anak-anak melompat di dalam rumah. Melompat ini bukan hanya membuatkan suasana dalam rumah kelam kabut, tetapi juga jika tersalah lompat ia mengundang bahaya. Rumah kayu yang lantainya daripada batang pinang, yang ditutup oleh tikar mengkuang di atasnya boleh jadi sudah mereput. Terlebih lompat membuatkan kami terjatuh ke tanah.

Jadi kami anak-anak biasanya dilarang melompat tak tentu hala.

Kami juga dilarang melompat ke dalam sungai walaupun kami sangat menyukainya. Dibimbang ada kayu atau duri tajam menunggu. Nanti ia boleh membunuh jika tersilap langkah. Walaupun hakikatnya sangat jarang ada anak-anak kampung yang mati kerana itu.

Tapi dunia berubah.

Kini melompat sudah jadi bisnis baru orang politik.

Partinya mungkin kalah, tapi dia menang. Menang dalam keadaan parti kalah tentu dilihat hina seperti orang kalah juga. Tapi YB yang dia kalah teruk, tapi partinya menang besar. Jadi hatinya tak sempat remuk kerana partinya yang menang boleh beri banyak ubat menawar luka. Misalnya menjadi bos di sana sini.

Jadi jangan ingat melompat hal yang salah.

Hanya yang tinggi lompatnya mampu menjejak awan!

Lompatlah!


Monday, 9 July 2018

Kita semua mencintai bahasa

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak sekian lama, kita semua yang telah kehilangan minat dalam hal berbahasa, kini tiba-tiba terpesona dan rancak bercakap pentingnya bahasa.

Mungkin selama ini kita terleka. Kita mungkin tak begitu tahu apa sebenarnya kerja Dewan Bahasa dan Pustaka sejak puluhan tahun kebelakangan ini. Ada ia hanya berfungsi menerbit buku dan majalah? Atau ia adalah badan yang menjaga bahasa. Tidak siapa di antara kita yang begitu tahu.

Lihat sahaja, di Putrajaya itu sendiri banyak nama lokasi ditulis dengan perkataan presint yang kita tidak tahu apakah maksudnya. Banyak pusat membeli belah yang baru semuanya dinamakan dalam bahasa Inggeris. Hampir kesemua lebuhraya utama kita disingkatkan daripada nama yang asalnya dalam bahasa Inggeris.

Semua kita diam sahaja.

Malah, kita semua - kalau boleh ingin sangat bercakap dalam bahasa Inggeris.

Jika tidak pandai, kita letak di depannya 'I' atau "You' dalam perbualan kita, agar sekurang-kurangnya dilihat sepertinya tahu bahasa Inggeris, terpelajar dan kaya sedikit daripada orang lain.

Tiba-tiba, apabila Menteri Kewangan mengeluarkan kenyataan akhbar dalam bahasa Mandarin, dan Peguam Negara bertutur dalam bahasa Inggeris, kita seolah-olahnya sangat takut bahasa Melayu mula diketepikan.

Kita sungguh teruja melihat ahli politik - yang dulunya diam sahaja, dan seorang dua artis yang tiba-tiba mula berubah menjadi pejuang bahasa.

Tak mengapalah.

Sekurang-kurangnya kita faham - bahasa ini alat dalam banyak perkara. Kini ia menjadi alat ahli politik yang semakin hari semakin dilupakan.

Bahasa sepatutnya digunakan. Bukan dijadikan modal menjadi hero.

Friday, 15 June 2018

Catatan raya 1

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini semua orang pasti tahu hari ini ialah hari raya. Jika aku tak memberitahu pun, semua orang tentu akan mengambil tahu.

Kumulai raya tahun ini dengan bersolat sunat hari raya. Sudah banyak tahun aku tak bersolat sunat hari raya di Malaysia. Seperti biasa, tidak seperti lazimnya bersolat di luar negara, imam akan menerangkan khilaf berkaitan tatacara solat. Umumnya berkaitan jumlah takbir.

Di tanahair semua imam akan bercakap hal yang sama sahaja.

Imam muda yang tak ku kenal namanya memulakan mukadimah bercerita tentang tujuh dan lima takbir itulah. Katanya rakaat pertama ada 7 takbir. Fatihah di baca dihujungnya nanti. Lalu begitulah rakaat kedua. Ada 5 takbir. Aku pelan-pelan bisik ke telinga anakku - dan ajarkannya semula. Sebab ia bukan solat umum yang bersifat selalu - seperti solat jenazah juga - aku perlu selalu mengulang cerita ke telinga anakku.

Lalu imam pun memulakan takbirnya. Allah hu akbar. Lalu terus membaca Fatihah.

Ahh.

Khilaf dan silap ini memang sifat manusia. Jangankan makmum. Imam juga begitu sesekali.

Lalu aku ikut sahaja. Aku harap anakku tak kebingungan.

Habis solat aku pulang ke rumahku.

Ku tukar pakaian lalu tidur.

Raya ini memang beginilah.

Petangnya ku menunggu kontraktor memasang Njoy. Bukanlah ku tergoda sangat dengan pakejnya. Di kampung mertua ku ini, memasang antena televisyen sepertilah menggantungkan kain pelikat di atas bumbung. Ia tetap tidak mampu memanggil siaran apa pun. Kecuali siaran bintik-bintik.

Televisyen ku yang smart dan mahal baru ku beli dua hari lalu. Tiada guna ada televisyen jika tiada siaran apa pun.

Percuma sahaja ada siaran bola percuma jika sistem antena kita tak pernah berubah. Harap Menteri Penerangan yang baru tahu deritanya rakyat di kampung-kampung yang terpaksa melanggan tv berbayar. Bukan sebab mereka terasa gian hendak ada decoder untuk ditayangkan kepada tetamu. Tapi sebab kita seolah tidak pernah membuat apa-apa untuk memperbaiki infrastruktur.

Ah. Tak guna juga berbisingan. Ini hari raya.








Selamat (tak) bersambut raya

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Raya datang lagi. Entah mengapa biar pun sanak saudara telah memenuhi rumah mertuaku, dan juga rumahku yang berada di sisi belakang rumah mertuaku - raya sepertinya tidak juga ceria.

Sebenarnya raya tidak pernah menjadikan aku ceria, kecuali di zaman aku masih menjalar dari satu rumah ke satu rumah, meminta wang. Masuk remaja, aku banyak beraya di dalam bilik sahaja. Dulu-dulu, aku suka mencari baju t Pagoda untuk beraya.

Cuma bila berkahwin, aku diubahkan. Isteriku memaksa aku memakai baju Melayu - kadang-kadang terpaksa bersedondon warnanya. Ia memang raya yang menyakitkan - menjadikan raya sebagai alat untuk berpakaian begitu.

Dulu, aku dengan Din. Kami ke beberapa buah rumah sahaja. Rumah emaknya. Kemudian rumah mak aku. Ia diulang-ulang beberapa kali. Jadi memakai baju Pagoda putih itu cukuplah. Siapa pun tak bertanya apa-apa.

Sesekali - bukan sekali - kami tidak bersolat sunat raya. Kami tidur keras di dalam bilik sahaja. Kadang-kadang terkejut, ada orang datang beraya kami masih kyusuk lena. Celaka punya sifat!

Kami mula menjadi sopan bila kian berusia. Mula tahu kaedahnya bersambutan raya dan bersalaman itu. Itu pun untuk hari raya pertama sahaja. Raya kedua kami sudah tidak ada apa-apa kecuali menghabiskan sisa kuih - yang biasanya kami juga membelinya.

Kini umurku 46 tahun. Kalau pohon balak aku sudah ditebang dan sudah dijual berkali-kali. Mungkin aku juga jadi bahan korupsi ahli politik negeri.

Aku berubah sedikit demi sedikit.

Tapi tak banyak.

Melihat anak remajaku masih tidur di atas sofa di pagi raya ini - aku akan paksakan dia bangun dan cepat ke masjid. Jangan jadi aku di masa silam. Kerana keceriaan raya ini hanya ada di usia anak-anak.

Kini - emak aku pun sudah tiada. Setahun lebih juga Din - kawanku yang sejati itu pergi, dan rumah emakku di kampung pun kosong dan usang - maka sepi lagu raya itu memang melengkapkan cerita raya tiada keceriaannya. Aku tak perlu berselisih faham dengan isteriku untuk berebut giliran pulang beraya.

Bila usia menjelir senja -yang ada hanya sekadar berdoa - Perdana Menteri sambunglah diskaun tol ini. Besok kami ada agenda beraya melintas negeri. Tiada lagi kesukaan.

Selamat hari raya.

Maaf zahir batin.




Wednesday, 13 June 2018

Kebenaran

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semua orang mengaku mereka adalah paling benar dalam tindakan mereka.

Sebab itu, sekalipun sesekali atau banyak kali tersilap sekalipun, ada sahaja alasan diberi untuk membenarkan kesilapan tadi. Anak-anak sekolah yang gagal peperiksaan, akan memberi seribu alasan untuk membuktikan yang mereka di pihak yang benar.

Malah, seorang pencuri yang hebat sekalipun akan memberikan alasan mewajarkan tindak mencuri tadi. Alasan yang diberi adakalanya logik. Robin Hood mencuri kerana ingin membantu yang miskin.

Banyak ahli politik yang terpaksa meminta wang di sana sini, secara sukarela tanpa malu kerana kononnya mereka perlukan wang untuk membantu si miskin. Jadi sesekali menyalahguna kuasa yang ada bukan satu dosa sekalipun banyak sekali wang yang diminta.

Bukankah kita telah melihatnya. Bukankah wang itu untuk program membantu rakyat?

Jadi jika begitulah sifatnya, sebenarnya tak ada satu apa pun yang silap.

Ada orang berkata mereka manusia curang. Mereka katakan tidak.

Jadi kebenaran ini ada di mana?

Kataku - kita tak akan temui kebenaran di dunia ini. Kebenaran hanya ada di dunia yang satu lagi tatkala mulut kita diam membisu.

Monday, 11 June 2018

Serba salah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Hidup ini memang serba salah.

Diberi Piala Dunia percuma, ia membazir.

Tak diberi - televisyen berbayar cekik darah.

Tak dijatuhkan pemimpin korup - rakyat kita bodoh dan tak faham politik.

Diubahnya kerajaan, negara ini diberi kepada bukan Melayu.

Dilantik orang politik pegang GLC, ia tadbir urus yang teruk.

Dibuangnya mereka - kerajaan semasa kejam dan tak berhati perut.

Dihalang mereka yang korup ke luar negara, seseorang itu tak bersalah selagi dibuktikan bersalah.

Bila ada yang lari dan hilang - negara tak pandai menangkap pesalah.

Dilantik Melayu jawatan utama, kita memilih kroni dan adik beradik.

Dilantik bukan Melayu - kita menuju negara sekular.

Berubah salah. Tak berubah salah.

Lalu mahu apa kita ini?

Ironisnya yang kuat bersuara ini ada PR di luar negara, makan gaji di luar negara dan digajikan orang kafir. Lebih teruk, ditanya mengapa tak mahu pulang - ohh Malaysia negara yang teruk. Hari-hari mulutnya berzikir baiknya negara Barat yang moden dan adil.

Lalu berkata.

Manusia ini memang serba salah.




Sunday, 10 June 2018

Bernafsu besar

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di sebuah kedai buku, ku lihat tersusun banyak buku yang cuba mengajar manusia untuk menjadi cepat kaya. Aku teruja dengan idea menjadi kaya.

Tapi aku tak teruja membeli buku seperti itu. Apatah mengikuti kursus yang dikendalikan oleh pakar yang ada beberapa keping ijazah PhD daripada universiti tidak bernama.

Aku baru balik daripada sesi viva seorang pelajar. Cara menulisnya tergesa-gesa. Ideanya lompong dan lompang. Banyaknya sumbang. Kelihatannya ingin cepat dapat PhD lalu cepatlah dipanggil doktor.

Kerajaan PH juga baru sebulan menjadi pemerintah. Lalu tergesa-gesalah rakyat menyuruh dan meminta itu dan ini. Rakus.

Seperti juga mereka yang dilantik menjadi kerajaan. Mahu siapkan semuanya dalam 100 hari. Rakus juga sifatnya. Cuma ia mungkin beri manfaat.

Lalu aku lihat, manusia ini sebenarnya bernafsu dan rakus. Binatang mungkin sekadar bernafsu. Tapi tak rakus.

Lalu kerana itu sifat idealnya manusia, lalu aku kini perlu berlapang dada jika ada sesiapa pun juga, baik pegawai tinggi kerajaan atau ketua yang menjaga wang rakyat untuk tujuan beragama atau apa sahaja tujuannya, ada wang jutaan atau ratusan ribu dalam beg di rumah mereka.

Sesiapa pun kita, sama sahaja.

Kita rakus. Cuma sama ada kita ada peluang atau tidak.

Dan apa juga alasan yang diberi untuk mewajarkan wang itu disimpan - aku percaya. Seperti kata seorang politikus- kerana dia berkata begitu, maka saya percaya.

Thursday, 7 June 2018

Dunia memang berputar

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Malaysia baru sungguh menarik.

Apa tidaknya yang dulu berkuasa kini membangkang, yang membangkang pula memerintah. 

Menariknya mereka yang dulu tidak mahu menonton TV3 dan RTM kini menunggu berita di depan televisyen. Yang dulu menonton kini resah tak berpuashati melihat isi berita.

Dunia memang terbalik.

Mereka yang berusia khususnya selalu mensurahkan agar anak-anak mereka menyokong kerajaan. Kini mereka mula keliru. Patut atau tidak lagi syarah itu.

Sesekali tersasul mengecam Lim Guan Eng di kaca televisyen. Pembangkang ini tak habis-habis.

Memang dunia berputar. 

Akademia - kalau boleh dikatakan begitu, yang jarang menulis di jurnal tetapi lebih kerap menganalisa politik di media massa - juga tersipu mengubah nadanya pula. Ah. Pakar memang begitulah.

Lalu aku yang duduk sini memerhati. 

Tunggulah 5 tahun lagi. 

Bolehlah kita ubah nada ini lagi.

Kini baru ku percaya bumi memang berputar.

Kritiklah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seperti pintu air yang ditutup sekian lama, tiba-tiba terbuka, maka masuklah segala sampah sarap ke muara. Di antara banyaknya barang yang hanyut, ada yang berguna, yang tak berguna pun masuk juga. Yang berguna mungkin beberapa barang yang boleh diguna. Yang tak berguna seperti pampers dan bekas plastik pun turut lalu.

Begitulah hiruk pikuk setelah bergantinya Barisan Nasional dengan kerajaan baru, Pakatan Harapan.

Ada saran dan kritik yang berguna, selebihnya hanyalah prasangka yang menyakitkan hati.

Sebagai pengkritik - pilihlah juga topiknya. Jangan asal barang boleh dibuang, kita humban semua sekali. Yang melihat dan membaca pula, pilihlah juga. Jangan asal dilihat itu berkilat, ia disangka permata. Mata buaya juga berkilat sifatnya.

Warga Malaysia yang tak terbiasa memberi saran dan mendengar saran, perlu ada satu lagi ilmu. Ilmu memilih saran.

Di Barat, mereka lama hidup dalam budaya subur demokrasi dan kebebasan bersuara.

Kita mungkin ini peluang kali pertama dalam tempoh 60 tahun ini. Jangan kerana marah itu dipendam lama, kita ungkit semua nista 10 keturunan.

Kebebasan bersuara itu - bebas bersuara untuk hal yang baik. Hal yang nista, simpanlah ia untuk diri sendiri dulu.

Kritik - perlu ada ilmu dulu.


Wednesday, 6 June 2018

Malaysia Baharu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setelah setahun tidak menulis, aku paksa diri menulis di era Malaysia baharu yang aku rasa lebih banyak perkara boleh ditulis. Tidak ada banyak ancaman yang menggerunkan minda. Tidak banyak kekangan pemikiran.

Lama sekali aku rasa kita didungunkan dengan banyak halangan. Kita tak dibenarkan mengkritik, tetapi digalakkan membodek. Kita tak dilihat mulia bercakap hal yang benar, tetapi dianggap dewa kalau mempertahan pemimpin yang curang. Ah, ia budaya yang memang sengaja ditanam untuk memandulkan kita. Sebab ia jalan mudah untuk manusia politik kekal berkuasa.

Dan kami yang kecil-kecil ini, tidak terdaya. Kita ditanam juga dengan minda sebagai pencari makan. Maka diam sudahlah.

Kini kita hidup di era baharu. Tetapi yang baharu akan juga berubah menjadi lama. Biasanya pada saat menjadi lama itulah, akan muncul pula proses pemencilan daya fikir manusia. Ahli politik pun manusia juga. Mereka juga berhutang bank dan makan seperti kita. Tentunya lebih banyak lagi. Jika mereka tak kekal berkuasa, dengan apa pula hendak dijamu ahli keluarga dan rakan-rakan untuk makan sehingga kenyang.

Sebab itu, kita perlu raikan perubahan ini buat seketika sebelum ia menjadi lama.

Apabila kita ia melihat ia mula mereput, maka buang ia. Rakyat Malaysia menunggu terlalu lama hinggakan kita sudah termalu diri banyak kali. Hinggakan kita terasa malu untuk memegang pasport Malaysia di luar negara. Takut-takut orang tahu siapa kita.

Kini - kita kembali baharu.

Jangan banyak prasangka.

Wednesday, 3 May 2017

Kehidupan Adelaide versi 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Memang lama dan jarang-jarang aku menulis.

Aku tidak tahu apa yang patut aku tulis.

Kedatangan kali kedua untuk tinggal di Adelaide setelah aku habis PhD beberapa tahun dulu tidak lagi memeriahkan. Banyak sebabnya. Pertamanya aku tidak lagi mempunyai keterujaan mendapatkan sesuatu. Dulu, aku perlu mendapatkan PhD. Jika tidak aku perlu membayar hutang yang banyak yang mungkin boleh aku bangunkan dua banglo mewah. Malah lebih teruk, selain berhutang aku tidak diberikan pekerjaan pula.

Keduanya, kegawatan eknonomi yang melanda Malaysia, menyebabkan tidak ada lagi pelajar baru yang singgah. Yang tinggal hanya beberapa orang. Mungkin kurang daripada sepuluh, atau kurang lagi. Jadi, secara teorinya aku ketiadaan rakan-rakan untuk bersembang. Aku ini makhluk sosial. Aku perlu berbual.

Walaupun tak ramai lagi warga Malaysia, tetapi kini aku sesekali terserempak dengan Melayu pemetik buah yang datang satu cara - menaiki pesawat. Tetapi, uniknya mereka melanjutkan kehidupan mereka dengan banyak cara.

Seorang wartawan Malaysia telah menyelongkar kehidupan para pemetik buah dari Malaysia ini. Sekali pandang, ia berita penyiasatan terhebat.

Sayang, beritanya itu telah menggangu kehidupan mereka. Di beberapa negeri, pemetik buah ini telah ditangkap oleh pihak penguasa.

Aku selalu bertanya kepada diri aku, mengapa harus membuka rahsia orang lain mencari rezeki. Mengapa harus bersusah payah membongkar kegiatan pemetik buah ini, sama ada mereka datang secara halal atau haram. Mengapa tidak membongkar 'sebab' utama mereka datang. Jika kita mudah mendapat kerja, diberikan gaji yang baik, tentu tidak ada orang yang sanggup bersusah payah menjadi pemetik buah yang kerjanya teruk.

Sekurang-kurangnya, mereka menghantar pulang wang untuk keluarga mereka. Bukankah itu hal yang baik.


Sunday, 9 April 2017

Usang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku sudah begitu lama berhenti menulis.

Walau banyak cerita, tetapi aku abaikan sahaja. Blog ini telah seperti rumahku di kampung. Usang. Tiada penghuni. Lalu ku bina rumah baru yang lain. Ia mungkin akan menjadi usang juga.

Begitulah hidup kita. Kita semua sedang menjadi makhluk yang usang, dan dilupakan.

Sejak emak aku tiada, aku semakin malas dengan banyak perkara. Jiwa aku tak segagah dulu. Kemudian rakan akrabku, melangkah pulang ke dunianya yang baru. Secara teorinya, aku menjadi semakin usang juga.

Ku cuba berlari dari realiti. Ku tutup facebook. Ku tak menulis di blog.

Aku tak berbuat apa-apa. Aku sedang dimamah usang.






Bacalah buku!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Jika berminat boleh beli.

Thursday, 17 November 2016

Puisi untuk teman lama

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Puisi 1.

Cerita kita yang tertangguh
(Dedikasi untuk Allahyarham A'din Osman)
26 Jun 1973 - 4 Nov 2016

Terima kasih
Menjadi teman bercerita
Dan mendengar cerita
Sejak kita mula berlari
Tanpa seluar tanpa baju
Tiada cerita yang tak tercerita
Semuanya kita kongsikan
Kau bercerita
Aku mendengarnya
Aku bercerita
Kau mengiyakannya

Ku tahu lorong hidupmu
Cukup berat
Meniti jalan sukar
Penuh resah
Ah. Kita abaikan sahaja
Cerita duka yang sengsara
Kita rekalah cerita baru
Untuk kita terus ketawa

Kata orang kau pendiam
Tapi tidak denganku
Kata orang kakimu penuh lumpur
Tapi ku lihat dirimu biasa-biasa sahaja
Ah peduli apa kata mereka
Bukankah bunyi gitarmu itu
Lebih sedap didengar
Dari caci cerca manusia?

Kau dan aku
Adalah dua sisi berbeza
Tapi menjalar dalam satu cerita
Kau terpidana seketika
Lalu aku belikan kau semangkuk mee
Dan sebungkus milo
Aku ke universiti
Kau berikan aku wang belanja
Dan kita sama-sama bercerita
Tentang dua wajah berbeza

Aku kenal semuanya
Ice, chest, ganja dan rose
Simptom sakit jiwa
Dan rosak hati
Dari ceritamu
Kau tahu apa itu Plato
Socrates dan Machievelli
Kerana itu ceritaku
Ah. Sempurna sekali bukan?

Di akhir usiamu
Kau bersirah tentang fekah dan tauhid
Tentang tajwid dan solat
Lalu aku mendengarnya perlahan-lahan
Lalu aku sesekali mencuri intai
Ku dengar doamu dari ruang kamar
Dari sepi malam yang kelam

Ingin sekali aku mahu mendengar cerita ini
Tentang sufi dan kematian
Kerana aku tak pernah menyinggahinya lagi

Ah. Sayang kau pula sudah pergi
Tak mengapalah teman
Akan ku cari
Dan ceritakan pada diriku
Ku tahu kau selalu ada mendengarnya

Berbahagialah sahabatku
Kita tangguh dulu cerita kita
Aku kira
Itu yang terbaik
Agar air mataku tak tertumpah lagi
Melihat teman ceritaku
Tiada lagi.

______________
Puisi 2.

Gelas teh terakhir kita

Entah berapa ratus gelas
Teh tarik
Yang telah kita habiskan bersama
Di pekan kecil kelahiran kita
Di Kuala Lumpur yang sesak
Di Bandar Baru Bangi yang tenang
Di mana-mana kita akan terus bercerita
Beberapa batang rokok
Dan segelas teh tarik
Lalu kita berbual dalam diam
Yang hanya kita yang tahu
Isi ceritanya
Isi hati kita

Malam terakhir itu
Kita terus menghirup teh
Di Jitra
Sambil kau bercerita tentang sakitmu
Aku pula dengan kisah sibukku
Kau bercerita tentang usiamu yang tak pasti
Aku bercerita tentang rezekiku yang tak menentu

Kau dan aku
Adalah gelas dan teh
Bersatu menghadir aroma
Manisnya kehidupan
Lazatnya angan-angan
Sekali percikan panas teh tertumpah
Ah. Celaka sekali hidup ini

Lalu malam-malam terakhir itu
Kita tetap bercerita
Tentang kehidupan
Tentang kematian
Kita sesekali merenung jauh
Mengenang betapa sukarnya cerita
Mengakhiri kehidupan yang
Sepi
Seakan mati

Teh terakhir kita
Akan tetap panas
Sekalipun aku
Hanya menghirup dinginnya
Hilangnya seorang teman
Yang luarbiasa

Bertemu lagi kita
Menghirup segelas teh lagi
Di sana

FF

Friday, 4 November 2016

Selamat pulang Bento

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat pulang sahabat.

Moga kita bertemu lagi di dunia yang lain.

Tiada kata yang dapat ku ucapkan.

Beberapa hari dulu, kita bersama-sama membilang mereka yang telah pergi.

Kini tinggal aku sendiri akan terus membilang sehingga saatnya nanti.

Dari Dia kita datang. Kepada Dia kita kembali.


_____

Bento ini ialah nama yang ku samarkan dalam blog ini.

Kami membesar bersama. Kebanyakan waktu remaja dan anak-anak kami habiskan bersama. Malah setelah dewasa pun kami masih bersama.

Kami berkongsi segala rahsia. Yang terburuk. Yang terindah.

Kami bersama mengharungi dunia, tapi dalam cara yang berbeza. Puluhan tahun dia berjuang melarikan diri daripada dunia gelapnya.

Dia berjaya.

Kini dia pulang. Tiada lagi tempat untuk ku bercerita.

Wednesday, 31 August 2016

Menulis yang diam

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sangat jarang-jarang aku menulis di blog ini.

Pertamanya dunia blog semakin merosot nyawanya. Ia diganti dengan pelbagai macam medium yang baru, lebih cepat ditulis, banyak pembaca, dan lebih penting tak perlu berfikir.

Keduanya, sejak dunia politik kita jadi caca merba, aku malas berfikir banyak. Otak aku dimalaskan untuk berfikir betapa di mana sahaja kita pergi, orang bertanya "What happen to your country?". Aku diam sahaja sebab mereka seperti aku juga, tahu sedikit sebanyak berdasarkan apa yang dibaca. Satu hari aku berbual dengan seorang professor. Dalam komennya, dia berkata nama Malaysia baginya sangat baik sedikit waktu dulu. Cuma sekarang, dia berfikir ia tidak begitu lagi.

Ketiganya, aku memang tidak lagi berminat menulis. Ia mungkin alasan yang wajar.

Lebih baik aku diam dalam banyak hal.

Diam adakalanya menyakitkan. Adakala membingungkan.

Tapi yang pasti diam membuatkan kita berfikir banyak.





Monday, 11 July 2016

From Adelaide to Mt Buller

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Musim sejuk tiba lagi.

Misi raya tahun ini bermain salji di Mt Buller. Ia mungkin kali ke empat aku ke Mt Buller.

Cuaca sejuk dan berkabut. Tiada gambar indah yang dapat dirakamkan

Wednesday, 6 July 2016

Salam Aidilfitri

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Salam Aidilfitri buat semua.

Tak banyak yang indah untuk diceritakan.
Tak banyak yang gundah untuk dikhabarkan.
Tak banyak yang manis untuk dikongsi.
Tak banyak yang pahit untuk disembunyikan.

Hanya satu. Maaf zahir batin untuk semua.

Monday, 29 February 2016

Tahniah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Akhirnya pelajar saya menyelesaikan PhD dan master mereka. Tahniah untuk Yulita dan Fieza yang menyelesaikan kajian mereka. Kedua-duanya ialah pelajar sulung saya menamatkan pengajian. Yulita mengambil masa 3 tahun setengah, Fieza dua tahun.

Moga menjadi manusia yang tidak besar kepala dan tinggi diri. Ilmu tidak menjadikan manusia lebih sombong.

Friday, 1 January 2016

Selamat tahun baru 2016

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat tahun baru 2016.

Moga tahun baru ini tidak ada lagi kontroversi yang macam-macam. Semoga tidak ada kenyataan bodoh yang menyakitkan hati. Semoga semua orang tahu betapa negara ini bukan hanya untuk generasi sekarang, tetapi juga untuk generasi mendatang.

Jangan macam-macam di tahun 2016.




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails