Bendera Iraq
Bendera Iraq memiliki empat buah reka bentuk yang berlainan sejak terdirinya negara Iraq pada tahun 1921. Walaupun situasi terkini kurang jelas, versi bendera yang digunakan oleh kerajaan Iraq sekarang merupakan variasi kecil bendera yang digunakan sewaktu pemerintahan Saddam Hussein pada 1991.
Sebuah bendera dengan reka bentuk yang baharu telah dicadangkan pada April 2004 tetapi tidak pernah diterima. Semasa berjalannya majlis angkat sumpah kerajaan interim baharu pada 28 Jun 2004, didapati bendera negara yang digunakan pada majlis itu serupa dengan bendera tahun 1991 tetapi dengan kekata "Allahu Akbar" (Allah Maha Besar) ditulis dengan khat yang berlainan. Bendera terkini memaparkan tulisan dalam khat Kufi, bertentangan dengan tulisan sendiri Saddam Hussein yang terdapat di bendera tahun 1991.
Sejarah bendera Iraq
[sunting | sunting sumber]1921–1959
[sunting | sunting sumber]Bendera pertama Iraq diperkenalkan pada tahun 1921 sempena tertubuhnya sebuah negara Iraq. Ia merupakan bendera yang terdiri daripada tiga jalur mendatar berwarna hitam-putih-hijau dengan trapezium merah di bahagian tiang. Dua butir bintang putih berkaki tujuh melambangkan 14 buah provinsi kerajaan Iraq. Warna yang dipilih untuk bendera ini diambil dari warna panji-panji ketua keluarga Hashimiyah yang mengetuai Pemberontakan Arab. Keluarga ini juga bertanggungjawab memberikan Iraq rajanya yang pertama. Reka bentuk bendera ini serupa dengan bendera Jordan, juga sebuah negara yang diketuai oleh raja dari keluarga yang sama. Bendera ini masih digunakan oleh golongan mereka yang berfahaman monarkis.
1959–1963
[sunting | sunting sumber]Revolusi tahun 1958 yang diketuai oleh Abdul Karim Qassim telah menggulingkan raja pada masa itu. Oleh itu, sebuah bendera baharu telah diperkenalkan. Bendera baharu ini berjalur tiga tegak dengan warna hitam, putih dan hijau. Di tengah jalur putih terdapat sebutir bintang merah berkaki lapan dan di tengah bintang sebuah bulatan warna kuning.
1963–1991
[sunting | sunting sumber]Selepas kerajaan Qassim digulingkan, sebuah bendera yang baharu diperkenalkan pada Julai 1963. Bendera ini mempunyai tiga jalur, merah, putih dan hitam, dengan tiga butir bintang hijau di atas jalur putih. Bintang tiga ini melambangkan kesatuan yang diura-urakan oleh Iraq dengan Mesir dan Syria di mana keduanya memiliki dua bintang di tengah-tengahnya. Jika kesatuan ini tidak pecah, mereka mahu menggantinya menjadi tiga.
1991–2004
[sunting | sunting sumber]Pada 14 Januari 1991, bendera ditukar lagi. Makna tiga bintang diubah kepada moto yang dipegang oleh parti pemerintah Ba'ath iaitu, Wihda (Kesatuan), Hurriyah (Kebebasan), Ishtirrakiyah (Sosialisme). Sebelum bermulanya Perang Teluk, Saddam Hussein telah menambah kekata "Allahu Akbar" di jalur warna putih dan ramai telah menganggap bahawa dia membuat demikian untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada dunia Islam. Ada yang mengatakan bahawa tulisan kekata "Allahu Akbar" ini adalah dari Saddam Hussein sendiri.
Bendera ini masih digunakan walaupun Saddam Hussein telah diguling tetapi dengan tulisan skrip yang berlainan (sila lihat atas). Ramai yang menduga bahawa bendera ini akan menjadi bendera rasmi Iraq dengan tertubuhnya sebuah Perlembagaan Iraq yang baharu tidak lama lagi.
Kontroversi bendera 2004
[sunting | sunting sumber]Pada 26 April 2004, Majlis Interim Kerajaan Iraq mengumumkan perekaan sebuah bendera baharu untuk menandakan era baharu pasca-Saddam. Majlis ini menyatakan bahawa dalam sebuah pertandingan yang dianggotai 30 orang, ia telah memilih rekaan seorang artis dan arkitek terkenal Iraq, Rifat al-Chaderchi (atau Rifat Chadirji).
Bendera ini berwarna putih, dengan garisan selari biru-kuning-biru di bahagian bawah. Jalur biru menandakan sungai-sungai Tigris dan Euphrates. Kuning melambangkan kaum minoriti Kurdi di Iraq. Di tengah bidang putih terdapat sebuah bulan sabit berwarna biru terang, yang melambangkan Islam.
Reka bentuk ini berpisah dari reka bentuk bendera-bendera Arab yang lain dari segi warna yang digunakan. Warna hijau, hitam dan merah sering dikaitkan dengan warna gerakan nasionalisme se-Arab. Hijau dan hitam khususnya melambangkan Islam dan merah untuk semangat yang disebutkan tadi. Bulan sabit sering di dalam warna hijau atau merah.
Oleh itu, bendera baharu yang berbidang putih ini menimbulkan pelbagai kontroversi kerana rupanya seakan bendera Israel, sebuah musuh Iraq. Kritikan yang lain termasuk tiadanya warna-warna se-Arab yang sering terpapar di bendera-bendera Arab yang lain dan juga hilangnya kalimah "Allahu Akbar" dari bendera baharu itu.
Bendera baharu ini telah dibakar oleh para pemberontak di Fallujah pada 27 April 2004, sehari sebelum ia dijadikan bendera rasmi negara Iraq yang baharu.
Disebabkan kontroversi ini, cadangan untuk menjadikan bendera bulan sabit biru ini sebagai bendera yang baharu telah diketepikan.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Bendera Iraq. |
- (Inggeris) Iraq mengenalkan bendera baharu (BBC)
- (Inggeris) Bendera penuh kontroversi Iraq diperkenalkan (al-Jazeera)