Kalonymus ben Kalonymus
Kalonymus ben Kalonymus ben Meir, juga dirumikan dengan Qalonymos ben Qalonymos (Arles, 1286 – mati selepas 1328) ialah seorang ahli falsafah dan penterjemah berbangsa Yahudi Provence. Dia mempelajari falsafah dan kesusasteraan rabbi di Salonika, di bawah tunjuk ajar Senior Astruc de Noves dan Moses ben Solomon dari Beaucaire. Dia juga mempelajari perubatan, walaupun kelihatan dia tidak pernah mengamalkannya.
Dia lahir dalam sebuah keluarga Yahudi yang terkemuka di Provence. Dia dan ayahnya memegang gelaran "Nasi" (presiden).
Di Rom
[sunting | sunting sumber]Sekitar tahun 1314, Kalonymus menetap di Avignon, di sana kemudiannya dia menjadi rapat dengan Robert dari Anjou yang mengutusnya ke Rom, dilengkapi dengan surat perakuan, dalam satu misi saintifik. Pengajian dan perilaku Kalonymus mendapat pertimbangan tokoh-tokoh masyarakat Yahudi Rom; dan apabila keluarganya, yang mendapati dia tinggal lebih lama daripada yang dijangkakan, memanggilnya balik, penyajak Immanuel ben Solomon dari Rom menulis surat kepada Nasi Samuel dari Arles, membantah kepulangan Kalonymus atas nama masyarakat Yahudi Rom ("Maḥberot," p. 23). Menurut Steinschneider dan Gross, Kalonymus adalah penyajak yang disebutkan Immanuel (ib. p. 28) sebagai merayu demi orang Yahudi Rom di hadapan Pope di Avignon pada tahun 1321. Tetapi dakwaan ini memerlukan kepastian, kerana tarikh tepat Kalonymus berada di Rom tidak dapat dipastikan. Heinrich Graetz dan Adolf Neubauer percaya bahawa Kalonymus pergi ke Rom selepas dia tinggal di Catalonia pada 1322; dan hakikat bahawa dia tidak menyebutkan Rom di dalam "Eben Boḥan"nya mengesahkan anggapan mereka. Pada 1328 Kalonymus berada di Arles, kemungkinan dia kekal berada di sana hingga mati, tarikh yang tepat tidak diketahui.
Karya
[sunting | sunting sumber]Kalonymus mempunyai reputasi yang tinggi sebagai penulis asal dan sebagai penterjemah. Karier penulisannya bermula sejak usia 20 tahun. Terjemahannya, kecuali satu yang dicetak, masih lagi dalam bentuk manuskrip, termasuklah yang berikut:
- Ha-'Ammud be-Shoroshe ha-Refuah, terjemahan Kitab al-'Imad fl Uṣul al-Ṭibb karya Ali ibn Ridhwan. Terjemahan ini, yang disiapkan di Arles pada 10 Oktober 1307, adalah yang kedua dilakukan Kalonymus, yang pertama telah hilang pada 1306 semasa pengusiran orang Yahudi dari Perancis.
- Sefer Galyanus be-Ḥaḳna ube-Kulga, karya Galen mengenai klister dan kolik, daripada versi berbahasa Arab oleh Hunayn ibn Ishaq.
- Sefer Galyanus be-Haḳḳazah, karya Galen mengenai pendarahan, berkemungkinan daripada versi berbahasa Arab oleh Hunayn ibn Ishaq.
- Karya tentang lima jasad geometri oleh Euclid, yang berkaitan dengan teori Apollonius dari Perga, dan ulasan terhadap Simplicius dari Cilicia.
- Ha-Dibbur ha-Meshullash, karya tentang segi tiga, oleh Abu Sa'adan.
- Sefer Meshalim be-Tishboret, tentang dalil matematik.
- Sefer ha-Temunah ha-Ḥittukit, terjemahan karya tentang geometri, yang berjudul Fi al-Shakl al-Ḳuṭṭa, oleh Thabit ibn Qurra.
- Ma'amar be-Iẓṭawwonot ube-Ḥiddudim, karya tentang silinder dan kon.
- Bi'ur Sefer Ṭobiḳi, terjemahan Ibn Rusyd tentang topik.
- Bi'ur Sufisṭiḳi, terjemahan ulasan Ibn Rusyd tentang sofisme.
- Bi'ur Sefer ha-Mofet, terjemahan ulasan besar Ibn Rusyd tentang analitis kedua.
- Sefer ha-Ẓemaḥim, karya tentang tumbuh-tumbuhan, dinisbahkan pada Aristotle, dengan ulasan Ibn Rusyd di atasnya.
- Ma'amar be-Sekel weha-Muskal, terjemahan karya tentang intelek dan kefahaman, oleh Al-Farabi.
- Ma'amar be-Mispar ha-Ḥokmot, tentang pembahagian ilmu, oleh Al-Farabi.
- Sefer ha-Peri ha-Niḳra Meah Dibburim, ulasan tentang Kαρπός oleh (Pseudo-)Ptolemy, yang diterjemahkan daripada versi berbahasa Arab oleh Abu Ja'far Aḥmad ben Yusuf ben Ibrahim.
- Iggeret be-Ḳiẓẓur ha-Ma'amar be-Moladot, terjemahan karya pendek tentang kelahiran, oleh Al-Kindi.
- Iggeret be-'Illot, terjemahan karya tentang pengaruh jasad samawi terhadap hujan, oleh Al-Kindi.
- Terjemahan ulasan pertengahan Ibn Rusyd tentang fizik.
- Sefer ha-Hawayh weha-Hippased, terjemahan ulasan pertengahan Ibn Rusyd tentang penjanaan dan pencemaran.
- Sefer Otot ha-Shamayim, terjemahan ulasan pertengahan Ibn Rusyd mengenai meteor.
- Iggeret Ba'ale Ḥayyim, ("Treatise on Animals"), diterjemahkan daripada karya ke-21 ensiklopedia Ikhwan al-Safa, yang diterbitkan 1557 di Mantua, dan pada 1704 di Frankfort-on-the-Main. Terjemahan ini dialih bahasa ke dalam bahasa Yahudi-Jerman oleh Enoch ben Ẓebi (Hanover, 1718) dan ke dalam bahasa Jerman, dengan judul Abhandlung über die Thiere, oleh Julius Landsberger (Darmstadt, 1882).
- Sefer Mah-she-aḥar ha-Ṭeba' , terjemahan ulasan pertengahan Ibn Rusyd tentang metafizik.
- Karya tentang arithmetik oleh Nicomachus dari Gerasa, disertakan dengan ulasan Abu Sulaiman Rabiya ibn Yaḥya.
- Be-'Inyane ha-Kokabim ha-Nebukim, terjemahan karya Ptolemy tentang planet.
- Sefer Arshmidah, karya Archimedes tentang sfera dan silinder, diterjemahkan daripada versi berbahasa Arab oleh Qusta ibn Luqa.
- Iggeret be-Laḥiyt ube-Maṭar, terjemahan karya Al-Kindi tentang kelembapan dan hujan.
- Terjemahan disertasi Ibn Rusyd tentang buku pertama Prior Analytics.
- Iggeret be-Siddur Ḳeri'at ha-Ḥokmot, terjemahan karya Al-Farabi tentang kaedah kajian falsafah.
- Destructio Destructionis, terjemahan bahasa Latin daripada Tahafut al-Tahafut ("The Incoherence of the Incoherence") yang ditulis Ibn Rusyd terhadap al-Ghazali.
Karya asli Kalonymus adalah seperti berikut:
- Jawapan dalam bahasa Ibrani yang ditujukan kepada En Bonafoux ibn Caspi, bagi membidas Ḳundreṣim (Quinterniones)nya. Jawapan itu sebahagian besarnya merujuk pada karya Ibn Caspi mengenai Bible, yang berjudul Ṭirat Kesef, atau Sefer ha-Sod. Selepas memberi penghormatan kepada bakat dan pengajian Ibn Caspi, Kalonymus mengkritik buku itu, yang didakwanya mengandungi banyak kesilapan. Dia menyatakan bahawa dalam sebarang keadaan, meskipun karya itu sempurna, ia tidak patut diterbitkan, disebabkan ketidakhormatannya terhadap tokoh-tokoh Bible. Jawapan itu diterbitkan oleh Perles dengan judul Kalonymos ben Kalonymos Sendschreiben an Joseph Caspi (Munich, 1879).
- Sefer Melakim, karya tentang aritmetik, geometri dan astrologi, yang hanya satu cebisan sahaja ditemui oleh Steinschneider (Munich MS. No. 290). Karya ini dikarang atas permintaan seorang "raja agung", yang dipercayai Steinschneider adalah Robert dari Anjou.
- Eben Boḥan, karya etika yang dikarang pada 1322. Karya ini ditulis dalam bentuk prosa kadens, dengan meniru, meskipun kurang anggun, gaya Jedaiah Bedersi dalam Beḥinat 'Olam. Dia ingin dalam Eben Boḥan menunjukkan perversiti orang yang sezaman dengannya, dan juga dirinya. Dia melalui untuk menilai semua kedudukan sosial yang dibanggakan orang, dan membuktikan megah diri mereka. Akhir sekali dia menyebutkan satu per satu penderitaan Bani Israel dan mengungkapkan harapan bahawa Tuhan akan merasa kasihan terhadap umat-Nya yang dalam tiga tahun - 1319 ~ 1322, ketika Eben Boḥan ditulis - menderita penyeksaan di tangan para pengembala dan pesakit kusta, di samping auto da fé Talmud di Toulouse. Eben Boḥan pertama kali diterbitkan di Naples pada 1489, dan melalui banyak edisi. Ia dua kali diterjemahkan ke bahasa Jerman, pertama oleh Moses Eisenstadt, atau, menurut Zedner, oleh Katzenellenbogen (Sulzbach, 1705), dan kemudian dalam bentuk prosa kadens oleh W. Meisel (Budapest, 1878).
- Masseket Purim, parodi bagi Pesta Purim, yang ditulis di Rom. Dengan mempersenda gaya penghujahan rabbi, dia secara berseloroh mengkritik semua orang, termasuk dirinya sendiri. Parodi jenis ni ditiru ramai orang. Masseket Purim pertama kali diterbitkan di Pesaro (1507 - 20).
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Leopold Zunz, G. S. iii. 150-155;
- Kayserling, Leben Kalonymus ben Kalonymus, prefixed to Meisel's German transl. of the Eben Boḥan;
- Gross, in Monatsschrift, 1879, pp. 470 et seq.;
- idem, Gallia Judaica, p. 84;
- Moritz Steinschneider, in Ersch and Gruber, Encyc. section ii., part 28, pp. 169–175;
- Heinrich Grätz, Gesch. vii. 288;
- Renan-Neubauer, Les Ecrivains Juifs Français, pp. 71 et seq.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Rencana ini menggabungkan teks daripada rencana Jewish Encyclopedia 1901–1906, sebuah penerbitan yang kini berada di dalam domain awam.