Pergi ke kandungan

Perpindahan istana Portugal ke Brazil

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Keluarga Diraja bersiap untuk berpindah ke Brazil.

Perpindahan Istana Portugal ke Brazil adalah satu episod di dalam sejarah Portugal dan Brazil di mana keluarga Diraja Portugal dan kakitangan istana (kira-kira 15,000 orang) melarikan diri dari Lisbon pada 29 November, 1807 ke Brazil, hanya beberapa hari sebelum pasukan tentera Napoleon menawan bandar ini pada 1 Disember 1807. Raja Portugal tinggal di Brazil bermula pada tahun 1808 sehingga Revolusi Liberal 1820 yang membolehkan kembalinya Raja John VI pada 26 April, 1821.[1] Untuk selama 13 tahun, Rio de Janeiro berfungsi sebagai ibu negara bagi kerajaan Portugal yang mana sesetengah ahli sejarah mengenalinya sebagai sebuah "pembalikan metropolitan," iaitu sebuah bekas jajahan mentadbir keseluruhan empayar Portugal.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1807, semasa bermulanya Perang Semenanjung, pasukan tentera Napoleon menceroboh Portugal, di sebabkan kerana Portugal adalah sekutu kepada United Kingdom. Kemudian putera pemangku raja John VI dari Portugal, yang memerintah sejak tahun 1799 bagi pihak ibunya, Maria I dari Portugal, telah memerintah perpindahan istana diraja Portugal ke Brazil sebelum tentera Perancis dapat melucutkan takhta beliau. Pada 29 November, John VI dan keluarga diraja belayar dari Lisbon dengan perlindungan oleh Tentera Laut Diraja, di bawah perintah Laksamana Sir Sidney Smith. Pada 5 Disember, kira-kira separuh jalan antara Lisbon dan Madeira, Sidney Smith bersama-sama Duta Britain ke Lisbon, Lord Strangford, kembali ke Eropah, sementara Graham Moore terus mengiringi keluarga diraja Portugal ke Brazil dengan kapal Marlborough, London, Bedford dan Monarch.[2]

Pada 22 Januari, 1808, John VI dan keluarga beliau tiba di Salvador, di mana beliau kemudian menandatangani satu undang-undang yang membuka perdagangan di antara Brazil dan negara-negara sahabat, yang mana dalam kes ini merujuk kepada United Kingdom. Undang-undang penting ini memecahkan pakatan penjajahan yang mana sehingga ke hari itu, hanya membenarkan Brazil mengadakan hubungan komersial terus dengan Portugal. Meskipun secara rasminya ditandatangani pada tahun 1808, pembukaan pelabuhan-pelabuhan Brazil kepada kapal-kapal British telah dirunding secara rahsia pada bulan Oktober 1807 oleh duta Portugal di London, Domingos António de Sousa Coutinho, sebagai pertukaran dengan sokongan dan perlindungan ketenteraan oleh Britain. Britain juga mendapat akses ke Madeira sebagai sebuah pangkalan tentera laut.[3]

Pada 7 Mac 1808, rombongan istana tiba di Rio de Janeiro. Pada tahun 1815, semasa Kongres Vienna, John VI menubuhkan Kerajaan Bersatu Portugal, Brazil dan Algarves (Reino Unido de Portugal, Brasil e Algarves), menaikkan status Brazil setara dengan Portugal dan meningkatkan kebebasan pentadbiran di Brazil. Perwakilan Brazil telah dipilih ke Dewan Perlembagaan Portugal (Cortes Constitucionais Portuguesas). Pada tahun 1816, dengan kematian Ratu Maria, John VI menjadi raja bagi negara kesatuan ini. Selepas beberapa kali penangguhan, istiadat perlantikan telah diadakan di Rio de Janeiro pada tahun 1818.

Antara tindakan-tindakan penting yang dilakukan oleh John VI semasa berada di Brazil adalah insentif perdagangan dan industri, kebenaran mencetak suratkhabar dan buku, pembinaan dua buah sekolah perubatan, akademi tentera, dan Bank Brazil pertama (Banco do Brasil). Di Rio de Janeiro beliau juga membina kilang tepung, sebuah Taman Botani, sebuah akademi seni (Escola Nacional de Belas Artes) dan sebuah panggung opera (Teatro São João). Kesemua tindakan ini mencepatkan kemandarian Brazil dari bergantung kepada Portugal.

Di sebabkan ketiadaan Raja dan kemandarian ekonomi di Brazil, Portugal terjebak dalam beberapa krisis politik yang memaksa kepulangan John VI dan keluarga diraja ke Portugal pada tahun 1821. Pewaris kepada John VI, Putera Pedro, kekal tinggal di Brazil. Cortes Portugal menuntut agar Brazil dikembalikan kepada status asalnya sebagai sebuah jajahan dan kepulangan pewaris takhta ke Portugal. Putera Pedro, dipengaruhi oleh Senat Perbandaran Rio de Janeiro (Senado da Câmara) enggan kembali ke Portugal semasa peristiwa Dia do Fico (9 Januari 1822) yang masyhur. Kebebasan politik tiba pada 7 September 1822, dan putera Pedro dimahkotakan sebagai maharaja di Rio de Janeiro sebagai Dom Pedro I, menamatkan 322 tahun penjajahan Portugal ke atas Brazil.

  1. ^ Gomes, p. 321
  2. ^ Gomes, p. 97
  3. ^ Gomes, p. 117
  • Gomes, Laurentino (2007), 1808, Editora Planeta do Brasil Ltda., ISBN 8576653206

Templat:Portuguese Monarchy Topics