Selagi belum mutmainnah, selama itu punah ranah.
Di sini Bermula Segalanya
Thaikka Lebai adalah orang yang diamanahkan menyebarkan Ratib Jalaliyah ke seluruh dunia. Beliau telah mempelawa Syeikh Mahmud serta rombongan menginap di hotelnya yang bernama Marble Lodge di Madras, India.
Thaikka Lebbai adalah keturunan Mapillai Aleem seorang Wali Allah yang hidup 300 tahun yang lampau. Thaikka Lebbai seorang yang sangat mengasihi para auliya’ dan banyak pengalaman di dalam berdamping dengan para auliya’ Allah serta bersifat dermawan dan tidak lokek membelanjakan hartanya di jalan Allah. Beliau juga amat mengagumi serta mengasihi Syeikh Mahmud dan telah melantik Syeikh Mahmud sebagai penaung Ratib Jalaliah pimpinannya. Beliau telah menggelar Syeikh Mahmud dengan gelaran “Ruhul Zikr.”
Sanad
BAB KEROHANIAN
Petikan Dua Puluh Satu hingga Lima Puluh.
- Orang yang buta mata hati. Hal-hal dunia dia boleh buat bermacam-macam. Kereta yang beranika bentuk, pakaian yang berfesyen-fesyen dan bangunan yang pelbagai bentuk. Tetapi jalan ke akhirat mereka tidak boleh buat pula.
- Taslim (penyerahan). Menunggu lakonan-susunan Allah. Tidak kempen, tidak halau, tidak cepat, tidak lambat, tidak hendak sikit, tidak hendak banyak, tidak kira lama dan tidak kira baru. Tidak mahu jadi, tidak mahu tidak jadi, tidak kalau boleh dan tidak kalau tidak boleh!
- Nafsu sentiasa menarik kepada ammarah untuk duduk setakat lawwamah pun tidak di beri.
- Buatlah sesuatu bukan berasa kerana hendak untung dan bukan takut mengalami kerugian.
- Mutmainnah itu ialah nafsu yang duduk atas garisan syariat. Sentiasa memikirkan jalan, bagi mendorongkan manusia ke jalan Allah s.w.t.
- Apabila mendapat mutmainnah. Penyakit penat akan hilang.
- Kalau raja (pemerintah) lupa Allah dan rakyat lupa Allah maka kedua-duanya masuk neraka.
- Budak-budak gila dengan cara budaknya. Remaja gila dengan cara remajanya. Orang muda, gila dengan cara mudanya. Orang tua gila dengan cara tuanya, yang ini lagi teruk! Janggut dah putih tidak sedar-sedar lagi. Tidak ingat mati. Alamat hendak masuk neraka!
- Iblis pun berzikir. Dalilnya dalam surah Sod (ayat 82) iblis menyebut fabi izzatika (hingga akhir ayat) (Demi KebesaranMu aku akan menyesatkan mereka semua). Dia minta dengan kebesaran Tuhan.Tetapi iblis tidak istighfar dan selawat.
- Pada tiap-tiap lapisan langit ada penjaganya.
- Dalam merebut takwa, hendaklah kita pentingkan diri kita dahulu.
- Saya tidak boleh tarik sesiapa. Kalau boleh, saya tarik anak dan isteri saya dahulu. Saya hanya sekadar memberi galakan dan dorongan sahaja.
- Saya hendak bersahabat dengan orang yang ikhlas dan orang yang berani.
- Saya yang diberi amanah oleh Allah di muka bumi ini pun saya berasa masih banyak melakukan silap. Saya juga tidak tahu, di mana Allah hendak letakkan saya di akhirat nanti. Di syurga atau neraka.
- Tidak ada sebab kamu tidak mati, pasal malaikat maut pun akan mati.
- Ada orang mengadu kepada Hadrat Tok ayah. “Ayah! saya kadang-kadang berasa sayu, sedih, hancur hati dengan Allah semasa dalam halqah zikir. Kadang-kadang berasa tawar, berat dan malas hendak zikir. Saya berasa risau”. Tok ayah menjawab. “Tidak mengapa, yang pentingnya kita istiqomah. Allah hendak tengok kita bersunguh-sungguh sahaja”.
- Di dalam perjalanan Ahlullah, orang yang masih terbelengu dengan hawa nafsu di kira budak-budak lagi, walaupun janggutnya sudah putih!
- Budak-budak hendak buat baik, takkan saya hendak halang. Tetapi fahamilah bahasa saya, budak-budak hendak buat baik!
- Kita jangan di perbudak-budakkan oleh budak-budak penjajah. Budak-budak penjajah lebih ganas daripada penjajah. Dia melayu tetapi perangai seperti orang England. Dia melayu tetapi perangai seperti orang Amerika. Dia melayu tapi perangai seperti orang Jepun.
- Kalau berzikir sahaja tetapi tidak selawat, tidak akan meningkat. Beristighfarlah paling kurang 100 kali sehari. Selawat pula kena lebihkan.
Ruhul Zikri Jilid Kedua. Petikan Satu hingga Dua Puluh.
بسم الله الرحمان الرحيم
Petikan dari Buku Ruhul Zikri Jilid kedua ini mengandungi sebahagian dari kata-kata Sufi Syeikh Mahmud Al-Majzub pengasas Madrasah Nurul Iman yang dipetik daripada syarahan mahupun nasihat beliau kepada murid-muridnya. Kata-kata Sufi yang diungkap oleh Syeikh Mahmud mempunyai mutiara kata makna yang mendalam, dimana ada sebahagian daripada kata-kata beliau tidak boleh difahami atau dibuat bandingan secara langsung mengikut fahaman orang awam.
Mutiara kata yang indah dan bermakna ini juga diharap dengan Rahmat dan Kasih Sayang ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA menangkis tuduhan-tuduhan liar selama ini terhadap ilmu Tasawuf. Semoga petikan dari buku ini menjadi santapan rohani yang dapat membersihkan jiwa dan mendorong hati untuk menjadi hamba ALLAH yang sehamba-hambaNYA di duniaNYA ini, Insya ALLAH.
- Jangan tinggal dengan nafsu. Jangan duduk dengan nafsu. Taslim (berserah) kepada ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA.
- Jangan redha dengan maksiat. Redhalah dengan Qadha & Qadar ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA.
- Tutuplah pintu pancaindera yang di bangsakan (ikut) nafsu. Tutuplah pintu hati yang di bangsakan mazmumah (sifat-sifat kebinatangan). Terbukalah pintu Rahmat. Terbukalah anugerah ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA melalui taslim (penyerahan).
- Tolak hajat (kemahuan) sehingga ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA beri faham.
- Perkara yang kita kurang puas hati jangan kritik ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA.
- Kedatangan sombong jadi nafsu. Perasaan sudah lama mengikuti (perjalanan) jadi nafsu.
- Buatlah istighfar, selawat, dan zikir. Lambat atau cepat (diri terbentuk) mengikut tekanan masing-masing.
- Terasa penat! Susah! Itu disebabkan nafsu tidak berupaya. Ibarat (seolah-olah) mendahului ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA apabila di datangi tekanan. Sebab itu kalau hendak berjalan (ikut perjalanan Sufi), jangan ikut nafsu! Ikutlah Al-Quran & As- Sunnah.
- Ikhlas adalah rahsia. Selagi ada rungutan. Selagi terasa sudah lama dan sebagainya. Tanda belum dapat lagi (Tawakkul Mutlaq & Tauhid Mujarrad). Itu tandanya kurang ikhlas.
- Rahsia anak kunci kejayaan guru adalah ikhlas dengan ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA.
- Cara pembersihan (jiwa) dengan cara bersedikit-sedikit (ikut kemampuan) iaitu dengan selawat, istighfar dan zikir. Bacalah surah Alam Nashrah jikalau datang perasaan jemu dan bacalah surah Qulhuallah hu Ahad jikalau berasa bercelaru dan berserabut.
- Orang buta kena gila penuh (yakin sepenuhnya) dengan orang celik. Barulah boleh berjalan. Jangan soal mati atau hidup.
Wali ALLAH bukan maksum, jadi jangan tertipu kerana melihat Syariatnya. - Melihat kesalahan dan kelemahan guru adalah hijab bagi murid.
- Pelajaran ilmu Tauhid (mengenai Sifat Dua Puluh – Usuluddin) hanya untuk mengawal akal. Bagi menumpukan kepada kalimah “LA ILA HAILLALLAH”.
- Macam mana ALLAH hendak beri Rahmat kepada kamu? Kerana kamu “Biadap Dengan ALLAH!”
- Kerohanian, tidak dicari dengan akal tetapi dengan bertaqwa. Bila datang alamat kerohanian kena tolak dulu, sehingga ianya datang bertubi-tubi, buatlah sembahyang istikharah supaya pasti.
- Apa-apa yang kita dakwa dari kerohanian kita, mesti ada bukti selepas itu. Tujuan (latihan) kerohanian ialah (untuk mendapat) sembahyang khusyuk. Sebagai anugerah dari ALLAH.
- Rahmat ALLAH datang dengan menendang atau meninggalkan nafsu.
- Bila timbul krisis (persilihan pendapat), perkara ini kena rujuk kepada ALLAH. Kalau ada Rahmat melalui saya. Saya akan selesaikan dengan Rahmat ALLAH.
- Krisis mesti berlaku dikalangan Sahabat Radiallahu anhum kerana tidak sama darjah pemikiran.
Perkara kerohanian tidak boleh difaham dengan aqal, nafsu dan ilmu
POTRET SYEIKH MAHMUD AL-KEDAHI DARI TAHUN 1970-2007
HALANGAN-HALANGAN UNTUK MELAKSANAKAN ISLAM BAGI MENGATASI SEGALA KEMELUT HARI INI
Halangan utama untuk melaksanakan Islam dari pandangan kerohanian atau kesufian ialah nafsu kita sendiri. Ibarat pepatah Melayu yang mengatakan ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Tidak perlu kita melihat faktor-faktor luaran selagi nafsu kita tidak diproses. Nafsu ialah musuh utama yang harus diperangi dan jahanamnya umat akhir zaman adalah disebabkan bakhil dan angan-angan. Erti bakhil itu janganlah kita sempitkan pemikiran kita kepada bakhil harta. Orang yang bakhil harta, itu lagilah bakhil namanya.
Erti bakhil ialah bakhil amal dan banyak angan-angan,bakhil tangannya untuk gerak bekerja (malas bekerja dan berzikir),bakhil kakinya berjalan untuk hal-hal yang bermanafaat,bakhil matanya untuk melihat yang muktabar,bakhil telinganya untuk mendengar Quran dan Hadis,bakhil perutnya untuk berlapar dan bakhil untuk mendapatkan wali Allah di mana mereka berada.
Di sini, patutkah kita menyuruh mereka yang mencari kita! Itu sombong namanya! Tuhan tidak beri taufik dan hidayah pada orang yang zalim.
Selagi dunia belum kiamat, selagi itu wali Allah atau orang Allah akan ada. Kesilapan kita ialah kita terlalu banyak melihat contoh-contoh wali Allah yang telah mati, seolah-olah tidak ada lagi orang Allah hari ini. Pemikiran kita ini bertentangan dengan apa yang telah Allah janjikan.
Bermunajatlah kepada Allah agar kita diketemukan dengan mereka. Wali Allah tidak akan kita temui dengan nafsu kita. Mereka tersembunyi kerana kotornya dunia hari ini dengan segala fitnah dan serangan ke atas orang-orang Allah. Nafsu Ammarah sifatnya memang selalu sahaja tidak senang dengan orang Allah. Ibarat siang dan malam ,ia tidak akan bercampur.
Penyamar dan penipu memburukkan lagi nasib orang-orang Allah, dan keadaan ini semua memang telah Allah janjikan akan berlaku. Umat akhir zaman memang telah Allah qodo’kan jauh daripada Allah kerana zulmah kehidupan yang memuliakan kuasa, pangkat, kebendaan, yang mana semua ini adalah kerana tinggi atau besarnya nafsu Ammarah mereka. Semoga kita dilindungi oleh Allah Taala daripada bala akhir zamannya ini.
Kesimpulan Tuhan telah mengajar kita aturcara untuk mematikan musuh-musuh yang ada dalam sel-sel kita. Pengalaman ini, kaedah ini, Allah Taala telah ajarkan kepada rasul-rasul, nabi-nabi dan para aulia. Bagi mereka yang ingin mengikut jejak langkah para rasul dan para aulia, hendaklah ia banyak mengingati kebesaran Allah S.W.T.
“Ketahuilah! dengan mengingati Allah itu dapat menenangkan hati (yang terasa cemas terhadap selain Allah S.W.T.)”
Tiada kedamaian, tiada ketenangan bagi orang kufar dan syirik. Ketenangan dan keselesaan hanya Tuhan anugerahkan kepada orang-orang beriman dan bertakwa kepada Allah, walaupun dirinya sebatang kara dan sehelai sepinggang. Kekayaan dan kesihatan yang baik juga tidak akan boleh mententeramkan jiwa.
Hanya selepas kita menggempur nafsu Ammarah dan Lawammah kita sahaja, barulah kita dapat mengatasi segala kemelut dan melaksanakan Islam dengan hati dan jiwa yang seikhlas-ikhlasnya kepada Allah kerana Allah sangat menginginkan keikhlasan hamba-hamba-Nya, contohnya firman Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud: ‘Bumi-Ku tidak cukup untuk-Ku. Langit-Ku juga tidak cukup untuk-Ku. Yang cukup untuk-Ku ialah hati hamba-hamba-Ku yang mukmin’.