πŸͺ

Ulasan Santai Cerpen: Manusia Bukan Sekadar Berburu

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cerpen ini nampak macam cerita pasal memancing. Ada sungai, ada joran, ada umpan. Tapi sebenarnya… ia bukan tentang ikan pun. Ia tentang manusia.

Watak utama, Aman dan Solihin, digambarkan sebagai kaki pancing yang hebat dengan cara masing-masing. Solihin jenis ramah, selalu berjaya dapat ikan. Aman pula jenis tak memilih, asalkan dapat hasil dan untung. Pada awalnya mereka saling kagum, kemudian saling ingin tahu rahsia masing-masing.

Bila mereka mula berkongsi “teknik memancing”, di situlah pembaca mula faham. Ini bukan cerita pasal memancing biasa. Ia sindiran tentang cara manusia mencari keuntungan dalam hidup.

Apa sebenarnya maksud “memancing” dalam cerpen ini?

Memancing di sini boleh ditafsirkan sebagai:

  • Cara mencari rezeki
  • Cara membina nama
  • Cara mendapatkan peluang
  • Malah cara “mengambil kesempatan”

Aman misalnya, menggunakan cara yang licik . Dia beli ikan di pasar, buat orang percaya dia pandai memancing, masuk persatuan untuk dapat kelebihan, dan pandai ambil peluang daripada orang lain. Dia nampak bijak, tapi ada unsur manipulasi.

Solihin pula nampak lebih sederhana. Tekniknya cuma satu iaitu jadi peramah. Mudah didekati. Disenangi orang. Tapi akhirnya dia juga terikut-ikut cara Aman.

Lama-kelamaan orang mula perasan. Kenapa dua-dua makin sama? Kenapa memancing nampak macam satu transaksi, bukan lagi hobi atau usaha jujur?

Di sinilah cerpen ini jadi menarik. Ia menunjukkan bagaimana manusia mudah terpengaruh dengan cara orang lain yang nampak lebih cepat untung. Bila semua mahu cepat berjaya, nilai kejujuran mula longgar.

Bahagian paling simbolik

Dialog ini sangat kuat maknanya:

“Tak ada sebelum ni. Sekarang dah ada.”

“Kaulah buayanya.”

Buaya dalam cerita ini bukan haiwan sebenar. Ia simbol kepada manusia yang licik, oportunis dan pandai mengambil kesempatan.

Dan ayat ini juga sangat mendalam:

“Masih ada ikan orang.”

Maksudnya?

Kalau tak dapat peluang secara jujur, masih ada cara lain untuk ‘memancing’ manusia lain.

Tetapi di akhir cerita, mereka sedar satu perkara penting:

Kalau terlalu lama saling menjeling dan bermain umpan, akhirnya kita sendiri boleh tersangkut pada mata kail.

Tema Cerpen

  • Sindiran terhadap sikap tamak dan oportunis
  • Persaingan dalam dunia mencari keuntungan
  • Manipulasi dan imej palsu
  • Identiti diri yang semakin hilang bila terlalu ikut orang

Pengajaran

1. Jangan terlalu taksub dengan keuntungan sampai hilang nilai jujur.

2. Teknik cepat berjaya tidak semestinya cara yang betul.

3. Bila kita terlalu sibuk “memancing orang”, kita mungkin lupa jadi diri sendiri.

4. Hidup bukan sekadar soal siapa paling banyak dapat hasil, tapi bagaimana cara kita mendapatkannya.

Secara keseluruhan, cerpen ini santai tapi pedas. Bahasa memancing digunakan sebagai simbol kehidupan sebenar. Ia buat kita senyum, tapi dalam masa sama terasa “terkena” pada diri sendiri.

Sharhanah

Hebatnya Didikan Hajar: Membesarkan Anak Tanpa Membenci Ayahnya

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ni bukan sekadar cerita tentang pengorbanan semata-mata. Sebenarnya lebih dalam daripada tu. Ia tentang cara sebuah keluarga dibina. Tentang lembutnya hati seorang ayah, kuatnya jiwa seorang ibu, dan hubungan anak yang terikat dengan kasih sayang serta iman yang betul-betul hidup dalam diri.

Ramai orang fokus pada bab sembelihan je. Tapi kalau kita perhati betul-betul, sebelum sampai ke situ, ada proses didikan yang sangat panjang dan penuh makna.

Nabi Ibrahim bukan jenis ayah yang sentiasa ada di sisi anak setiap hari. Baginda tinggalkan Hajar dan Nabi Ismail di tanah yang tandus sebab perintah Allah. Tapi di situlah nampak betapa pentingnya peranan seorang ibu.

Hajar tak besarkan anak dengan rasa marah atau dendam sebab suami tak ada. Dia juga tak tanam rasa “kurang ayah” dalam hati anak. Sebaliknya, dia didik Nabi Ismail dengan iman, adab, dan hormat kepada bapanya.

Ibu yang kuat tak akan rosakkan pandangan anak terhadap ayah, walaupun dia terpaksa tanggung banyak benda seorang diri. Sebab tu bila ayah dan anak jumpa semula, mereka boleh bekerjasama bina Kaabah. Hubungan tu tak kekok, tak dingin. Tetap ada kasih sayang walaupun lama berjauhan.

Dari sini kita boleh nampak, didikan ibu memang besar peranannya dalam menjaga hati anak terhadap ayah.

Bahagian paling menyentuh bila Allah perintahkan Nabi Ibrahim untuk sembelih anaknya sendiri.

Walaupun baginda seorang nabi, baginda tak terus paksa. Tak guna kuasa sebagai ayah. Tak cakap, “Aku ayah, kau kena ikut.”

Sebaliknya, baginda panggil dengan penuh kasih:
“Wahai anak kesayanganku…”

Lembut. Penuh cinta.

Lepas tu baginda tanya pendapat anaknya dulu:
“Macam mana pandangan kamu?”

Di sinilah kita nampak besarnya jiwa seorang ayah.

Walaupun benda tu benar.
Walaupun datang daripada Allah.
Walaupun baginda seorang nabi.

Baginda tetap hormat perasaan anak. Bagi ruang untuk anak faham dan buat pilihan.

Ini ajar kita satu benda penting...  iman bukan automatik turun dari ayah ke anak. Anak kena faham sendiri, kena rela, kena pilih jalan tu dengan hati dia.

Nabi Ibrahim tak tergesa-gesa.
Tak kasar.
Tak paksa.

Semua dengan hikmah dan kasih sayang.

Dan jawapan Nabi Ismail pula memang luar biasa:

“Wahai ayahku…”

Tak membantah.
Tak merungut.
Tak persoal.

Tapi penuh yakin.

Seolah-olah dia kata:
“Kalau itu perintah Allah, buatlah ayah. Saya bersama ayah.”

Hubungan mereka bukan sekadar ayah dan anak... tapi sahabat dalam iman.

Akhirnya, kisah ni ajar kita:

Ayah bukan sekadar cari nafkah, tapi bimbing iman.
Ibu pula jaga jiwa anak, especially bila ayah tak ada di sisi.
Anak yang baik datang dari rumah yang penuh adab, bukan sekadar arahan.
Kasih sayang tak perlu ditunjuk dengan kemewahan... cukup dengan kata-kata yang lembut dan saling hormat.

Dan paling penting…
Taat pada Allah tak pernah hilangkan kelembutan dalam keluarga.

Cinta di Bumi Mina: Pengorbanan Agung

Sumber: Ustaz Syahmi Syazeril Azmi

Realiti Pemilihan Matrikulasi: Bukan Sekadar Straight A

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Saban tahun, kisah yang sama berulang. Anak dapat straight A. Semua orang bangga. Tapi bila keputusan matrikulasi keluar, nama tak tersenarai.

Terus timbul persoalan: “Macam mana boleh jadi macam ni?”

Pentingnya subjek Matematik untuk program ini

Ramai terus salahkan sistem. Kata tak adil. Tapi realitinya, pemilihan matrikulasi bukan semudah kira jumlah A.

Ya, keputusan SPM itu penting. Tapi ia bukan satu-satunya penentu.

Pemilihan oleh pihak seperti Kementerian Pendidikan Malaysia sebenarnya mengambil kira beberapa faktor lain termasuk latar belakang, lokasi, dan keperluan untuk seimbangkan peluang pendidikan.

Yang ramai tak sedar, pakej subjek juga memainkan peranan besar.

Untuk aliran yang popular seperti sains, kombinasi subjek tertentu lebih “menepati” keperluan program. Di sinilah Matematik Tambahan sering jadi pemisah bukan secara terang-terangan, tapi cukup signifikan.

Maksudnya?

Bukan semua straight A adalah “setara” dalam konteks pemilihan. Ada pelajar yang cemerlang, tapi pakej subjeknya kurang selari dengan laluan yang dipohon. Dan dalam persaingan yang sangat tinggi, perkara kecil macam ini boleh jadi penentu.

Tambah pula dengan jumlah tempat yang terhad. Hakikatnya, calon yang layak memang lebih ramai daripada tempat yang tersedia. Akhirnya, ada yang terpaksa tersisih... bukan sebab tak layak, tapi sebab sistem perlu membuat pilihan.

Akhirnya, realiti dia macam ni:

Straight A memang hebat. Tapi ia bukan tiket automatik ke matrikulasi.

Dan kalau tak dapat, itu bukan pengakhiran apa-apa pun. Cuma laluan je yang lain sikit. Yang penting, terus jalan.

Sharhanah.