Ketika resah menguak pintu silam dan menjengukkan wajah
Pantas kau berpaling untuk mengalih arah
Namun ia lebih tuntas menerjah
Dari satu sudut, sekilas menerpa membentuk sebuah daerah
Benar, sayembara indah pernah dulu digubah
Diolah dengan santun penuh berhemah
Tiada terpalit gundah, tiada gelisah menyapa atau menyinggah
Andai ditamu payah,susun atur langkah semakin gagah meredah
Tiada sedikit pun keluh dari anak tekak mendesah
Pasrah sebagai hamba perlu tabah dengan setiap arahan tertera disurah
Namun kau campak dan sanggah nikmat abadi
Mata kau butakan dan telinga sengaja dituli
Lorong semak berduri menghiris kaki mampu diharungi
Dihampar seinci permaidani, teralpa sehingga hilang kawat memagar diri
Sangkamu selesai payah dilewati, ternganga pintu kesenangan menanti
Kau bolosi dan cerobohi semahunya
Nafsu kau anugerahkan makhkota menjadi raja
Mata sengaja kau buta kini mengubah keburukan menjadi sebaliknya
Melompat ria menghenyak bahu kirimu menambah dosa
Lembut lidah mengalun melodi sabdu dan harakat bertukar nada menghayal jiwa
Kau robohkan batas dan musnahkan hadmu sebagai manusia
Dulu sering lenamu diserambi rumah tuan empunya dunia
Kini nyenyakmu hanya dilantai kaki kaki lima
Mahu ke mana? Mana hala tuju diri mahu kau bawa?
Telantar jasadmu diatas tilam nipis nan usang
Donggakkan kepala hanya dialas koran lapuk nan usang
Bayang bayang silam mula meliuk lentuk diawang awang
Mengetuk ngetuk menayang kisah kelmarin berulang tayang
Tentang saudara kandung, sahabat handai dan segala benda yang kau sayang
Dahulu tak henti menyapa dan sering menepuk bahumu dari belakang
Teman berbicara, bergebang dan menemani sehingga subuh menjelang
Konon sering memapah disaat kau terhoyong hayang
Tiada tara kebaikan mereka sehingga tak termampu untuk kau timbang
Andaian terhadap insan sejagat terlalu jauh menyimpang
Kini hanya anak mata cuba mencerita
Dahulu tangan umpama mulut petah berbicara kini kaku tanpa tenaga
Deria wajib dibasahi apabila panggilan itu tiba seperti tiada dianggota
Betapa hina disaat menunggu waktu itu menjelma
Andai mulut mampu bersuara dan segala sendi masih petah bertingkah
Pasti akan dihambat kembali segala lipatan sejarah
Tidak akan ditinggal yang wajib, sunat dan makruh walau sebesar zarah
Sebolehnya ingin kau kembalikan kehidupan kepada fitrah
Pintamu, berilah peluang terakhir untuk membentang sejadah
Akan cuba ditebus dosa dosa sudah
Sangkamu untuk menghapus segalanya begitu mudah
Tiba tiba terasa dahi sejuk diusap
Telinga menangkap bait bait yang dulu acapkali kau ucap
Melilau anak mata cuba mencari untuk menangkap
Gerangan siapakah masih sudi memberi sesuatu yang amat kau harap
Jenuh memaksa mulut mengikut untuk menyebut namun masih tergagap
Terlalu kelu dan payah benar untuk mengucap rangkap
Diketika ini, ada yang menari nari dihadapan mata
Membawa segelas air, penghilang dahaga selama ini tidak pernah dirasa
Dia berkata ‘jika syurga kau pinta sambutlah air ini sebagai pembasah rongga’
Berkata lagi ‘akuilah aku sebagai tuhan nescaya dirimu bukan lagi insan berdosa’
‘Sambutlah tanganku, akulah tuhanmu’ berulang kali dia memaksa
Kacau bilau dan entah mana satu patut diterima
Dan suara tadi kembali menusuk kegegendang telinga
‘Tuhanmu cuma satu dan Muhammad itu pesuruhNya’
‘Keluarlah suara, aku mahu menyebutnya’ pintamu didalam dada
Dari hujung jari kaki terasa sakit yang selama ini tidak pernah kau rasai
‘Apakah ini, sampaikah sudah masa dijanji’? peluh mula memercik didahi
Suara yang sedari tadi membisik mula tenggelam timbul untuk didengari
Tarian dihadapan mata semakin galak melompat ke sana ke mari
Sakit dari hujung kaki telah sampai ke pusat, dada dan semakin tidak terperi
‘Berikan aku udara untuk aku bernafas, aku ingin hidup lebih lama lagi’ jeritmu tidak siapa mendengari
Hanya mata mampu memerhati, keluarnya roh dari jasad adalah janji sedari azali
Disini…kau telah mampu melihat sekujur jasadmu sendiri..
Disini…kau telah tahu jalan selayaknya untuk ditelusuri..
Disini…kau merasai sesalan yang tiada tara untuk diratapi..
-akupentoi-