Memaparkan catatan dengan label Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kehidupan. Papar semua catatan

Isnin, 13 Julai 2015

Ramadhan dan Ammar..

Assalamualaikum dan salam Ramadhan yang ke 26..

Bulan mulia sudah semakin hampir pergi meninggalkan kita..terasa berat melepas pergi bulan penuh barakah ini. Apakah Ramadhan kali ini telah di isi dengan sebaik baik amal ibadah ataupun kita cuma membiarkan Ramadhan berlalu pergi

Hari ini hari terakhir aku bekerja sebelum mula bercuti  Raya pada esok hari..Kerja pun sudah ku siapkan awal-awal lagi..aku saja menaip nama Ammar di laman ‘youtube’, nama yang ku berikan buat anakanda sulung ku, namanya Ammar Muhammad. Apa yang keluar semua kisah tentang Ahmad Ammar iaitu seorang anak muda Malaysia yang telah syahid di Turki..perginya pada tahun 2013 dalam satu kemalangan di Turki tempat arwah melanjutkan pelajaran

Aku buka satu persatu cerita mengenai arwah Ahmad Ammar..cerita mengenai dia dari kenalan rapat, dari ayah dan ibunya. Sungguh dia seorang anak yang baik dan berbudi pekerti yang mulia. Semangat jihad di dalam dirinya sudah tertanam sedari kecil. Cukup terkesan dihati membaca sajak mengenai Ammar yang di kongsi :


Ammar,
Kau dipersiapkan oleh ayah dan bondamu
Untuk menjadi pemimpin ummah
Kau menelusuri sirah uthmaniyyah
Agar al-fateh teresap di jiwamu
Namun takdir Tuhan hanya Dia yang tahu

Ammar,
Saat anak muda lain leka mencari dunia
Engkau sibuk mengejar syurga
Saat anak muda mengeluh lelahnya dakwah
Engkau giat mengorak langkah
Merasai manisnya hidup bersyahadah

Ammar,
Kini kau lena abadi
Di sisi Abu Ayub Al-Ansari
Namun lenamu inilah
Yang mengejutkan lenanya hati-hati kami
Bahawa untuk tujuan apa kami di dunia
Sungguh benar kata-katamu
Cukuplah mati sebagai penasihatku

Ammar,
Engkau kini menjadi tauladan
Pencetus semangat
Untuk pemuda-pemuda di luar sana
Yang dipersiapkan demi ummah
Menjadi seperti al-Fateh
Menjadi seperti Ahmad Ammar

Berbahagialah di sisi Rabbul Izzati


**Sejuknya perut ibu mengandungkan arwah..semoga anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah. Memiliki budi pekerti semulia Ahmad Ammar. tenanglah dikau di sana. Al Fatihah..


Selasa, 2 Jun 2015

Ulang tahun kedua perkahwinan

Assalamualaikum...



Sudah 2 tahun ikatan janji termetrai. sampai hari ini orang masih bertanya "macam mana boleh kenal husband?" kawan kerja ka..kawan masa study ka? aku senyum saja. Negeri kita jauh berbatu.. aku di Sabah dan kau di Melaka. Pada aku ukuran jarak itu hanya pada nombor sahaja. Jodoh itu rahsia Allah, siapa kita mahu menolak andai itu takdir ketentuanNya..

Kenal tak lama terus decide nak jumpa keluarga. 6 bulan tunang kita terus di satukan. Alhamdulillah...semuanya dipermudahkan dan aku harap semoga bahagia itu selamanya milik kita.


Dariku, 
Isterimu @ Mama Muhammad

#2ndAnniversary #01Jun2013

**rasa macam baru semalam kita disatukan..selamat ulangtahun perkahwinan buatmu

Selasa, 2 Disember 2014

Kembali selepas tiga bulan

Assalamualaikum...
 
Sepanjang tempoh 3 bulan banyak yang berlaku, dari berbadan dua hingga sekarang sudah bertiga :) Alhamdulillah aku sudah selamat melahirkan seorang anak lelaki pada 30 Ogos 2014 yang lalu..nampaknya dia keluar awal sehari dari tarikh jangkaan doktor..kalau si anak bertahan  sehari lagi boleh jadi 'Anak Merdeka'. takpe la yang penting semuanya selamat dan di permudahkan.
 
Sudah 3 hari aku naik kerja selepas cuti bersalin 3 bulan..masih mencari-cari mood kerja, tetiba rasa macam pekerja baru tak tau apa.. kebetulan office masih under renovation, dibesarkan bagi menampung penambahan ahli baru selepas penggabungan dua Bahagian, rakan sekerja pun makin bertambah dan aku harap moga semuanya boleh memberikan kerjasama yang baik.
 
Sesekali fikiran melayang terkenangkan si anak yang sudah 3 hari ku hantar ke rumah ibu pengasuhnya (bermula Jumaat lepas 28/11/2014). Alhamdulillah dia sepertinya serasi duduk di sana. bersabarla anak..bukan mama sengaja tinggalkanmu, mama harus bekerja sayang!

Assalamualaikum..nama kite Ammar Muhammad.
mama cuti 3 bulan rasa macam 3 ari je :P 
 
Semoga anak kita sentiasa dalam lindunganNya.. bersangka baik dan berterima kasih pada pengasuh semoga lembut hatinya menjaga anak kita seperti menjaga anak sendiri. Betul la orang kata menjadi seorang ibu harus kuat fizikal dan mental. Bangun berjaga di tengah malam perkara biasa, Amanah ini hanya pinjaman sementara semoga diri diberi kekuatan untuk membesarkan Anugerah terindah ini.. Begini rupanya perasaan seorang wanita bila sudah bergelar ibu..penat macam mana sekalipun diri akan jadi kuat juga demi anak yang tersayang.



**Melayan ragam anak kecil itu sebenarnya menyenangkan dan membahagiakan  andai kita menjadi seorang ibu yang bersabar.
 
 

Selasa, 26 Ogos 2014

Over due

Assalamualaikum..
 
Kalau di ikutkan Jumaat lepas hari terakhir aku bekerja...Semalam aku ada temujanji dengan doktor di hospital yang mana semalam juga (25 Ogos 2014) merupakan hari aku di jangka melahirkan. Tapi siapalah kita untuk melawan ketentuanNya.. Hasil dari pemeriksaan doktor, aku masih belum ada tanda-tanda mahu bersalin, 'jalan' pun masih belum buka.
 
Alhamdulillah keadaan baby semuanya baik, bacaan gula, tekanan darah tinggi semuanya normal cuma baby je yang masih belum ada tanda mahu keluar. Doktor bagi aku tempoh 6 hari lagi, kalau tanda nak bersalin masih belum ada aku kena 'check in' jugak dekat wad hospital 31 Ogos 2014 ni. Mahu tak mahu aku kena datang menyerah diri di hospital pada tarikh itu. Mungkin akan di beri ubat untuk paksa bersalin. Takut sebenarnya..tapi kena jugak hadapi detik itu..orang lain mampu aku pun mesti boleh, kan..

 
25 Ogos 2014 yang sudah berlalu..
 
 
Aku harapkan semoga dalam tempoh seminggu masa yang diberi ni akan adalah tanda-tanda bersalin, biar aku dapat melahirkan baby ini secara normal. Ramai yang nasihat suruh banyakkan berjalan, ya itu aku dah lakukan. Pasal tu aku mengambil keputusan untuk masih turun bekerja sedangkan aku boleh saja duduk berehat di rumah menunggu kelahiran ini..


**semoga semuanya di permudahkan...buatmu 'permata hati' yang bakal lahir, kami menantimu dengan penuh sabar, cepat atau lambat tidak mengapa asalkan kelak kamu akan keluar dengan sihat sempurna dan selamat..

 
 

Selasa, 5 Ogos 2014

Syawal 1435H

Assalamualaikum..
 
 
 
Dah masuk Syawal ke 9 hari ini..Harapnya masih belum terlambat untuk aku menitipkan Salam Hari Raya buat semua. mohon kemafaan andai ada salah dan silap.. Dalam kita bertegur sapa di alam maya mungkin ada silap yang mana aku sendiri tidak menyedarinya.
 
Raya tahun ni sambutan agak sederhana, aku tidak pulang ke kampung halaman seperti tahun-tahun yang lepas. Cuma merayakan Aidilfitri di sini bersama suami, lagi satu faktor keadaanku yang tidak mengizinkan untuk berjalan jauh. 1 syawal yang lepas genap 9 bulan usia kandunganku. Alhamdulillah sepanjang Ramadhan dapat jua berpuasa penuh dalam keadaan berbadan dua. Baby tidak banyak meragam..cuma sesekali perut mengeras, orang kata itu perkara biasa..selagi tidak memudaratkan tidak mengapa.

Raya pertama aku dan suami  ke rumah akak di Puchong, Selangor. Berjumpa emak di sana. Aku tahu jauh di lubuk hatinya dia rindu nak balik ke kampung. Rindu rumahnya yang sudah hampir setahun di tinggalkan, rindu saudara mara di sana, dan yang pastinya rindu akan suasana di kampung, yang sememangnya tidak akan sama dengan apa yang ada di sini. Sebenarnya sudah kerap kali emak menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung. Tapi buat masa ini kesihatan emak masih belum pulih sepenuhnya, kami adik beradik sepakat mahu mak terus tinggal di sini bersama akak. Biasa memang begitu orang tua mana mahu tinggalkan rumahnya, biar semua susah senang dia semahunya mahu berada di rumah sendiri..itu yang perlu kita paham.


 
 
Aku tidak menyambung cuti selepas Hari Raya..masuk Raya ke-3 dah mula kerja macam biasa. Cuti bukan tiada, tapi sengaja ku simpan yelah nanti bila dah ada baby mana tau kan kena ambil cuti selalu. kesihatan anak kita tak boleh nak jangka, itu antara nasihat kawan-kawan yang dah ada pengalaman..


**jika tiada aral melintang tahun depan boleh beraya di Sabah, masa tu balik beraya bertiga dah.. apa pun aku mengharapkan semoga dapat melahirkan 'cinta hati' ini dengan selamat. dah masuk minggu yang ke37, nurse bagitahu bila-bila masa baby akan keluar. doakan ye...


 
 

Selasa, 6 Mei 2014

Masih trauma

Assalamualaikum buat semua sahabat maya yang di muliakan..

ya, aku masih trauma dengan kejadian yang menimpa semalam (05/05/2014) Hari ini masuk kerja dengan fikiran yang masih tertanya-tanya dengan seribu satu persoalan.. Bukan tidak redha dengan apa yang berlaku, tapi ada sedikit rasa terkilan barang yang betul-betul berharga telah lenyap sekelip mata.

Lewat petang semalam sekitar jam 5.45 petang aku dan ayah mentua tiba di rumah dari tempat kerja masing-masing..Pada pandangan luaran semuanya baik sahaja..pintu masih terkunci, tenang dan sunyi seperti selalunya. Bila melangkah ke dalam rumah ayah perasan lampu biliknya menyala dan pintu sedikit terkuak. Serasanya pagi tadi sebelum ke tempat kerja semua suiz telah di tutup..ah mungkin hari ini terlupa kot! masih ingin bersangka baik.. aku melangkah ke bilikku..terpandang pada bilik bertentangan yang pintunya terbuka luas..banyak barang atas katil, aku mula merasa semacam dan bila aku masuk ke bilik sendiri berderau darah tengok keadaan bilik yang berselerak.


asalnya barang ni tersimpan kemas dalam kotak, habis semua di sepahkan..
salah satu laptop yang hilang dari dalam beg merah ni
 
 
Barang-barang dari dalam almari semua bertaburan di atas lantai, laci pula di angkat ke atas katil dengan isi di dalamnya sudah pun dikeluarkan. Almari solek jangan kata, habis di sepahkan segala apa yang ada di dalamnya. Ayah melarang aku menyentuh apa-apa di dalam bilik. Cuma mataku yang meneroka ke segenap pelusuk bilik. sah.. Laptop sebelah katil hilang, laptop yang setiap malam menemani tidur kami dengan alunan zikir yang sengaja di pasang oleh suamiku. katanya nak bagi baby dalam kandungan ini mendengarnya sekali. itu laptop milik suami dan laptop milikku yang ku simpan elok di dalam beg juga hilang sekali. Laptop yang ku beli zaman belajar dulu. Walaupun itu cuma laptop lama, namun nilai kenangannya tidak mungkin dapat ku beli semula :( Ya, aku masih terkejut dengan apa yang berlaku.
 
Tidak lama lepas tu suami sampai ke rumah, dia pulang sedikit lewat dari kami.seperti biasa dia lebih selesa ulang alik ke tempat kerja menaiki motor. Aku tak mampu nak beritahu apa yang berlaku, biar dia melihatnya sendiri. dan lagi satu yang buat kami bertambah terkejut rupanya kereta suami di larikan sekali. Ya Allah... mungkin silap kami sendiri kunci kereta di letak elok di almari yang mudah untuk di lihat.
 
Ayah tanpa berlengah terus ke balai berdekatan nak buat report kecurian/kehilangan..Aku? masih kaku terduduk di kerusi ruang tamu. tidak tahu mahu berbuat apa. Apa pun aku bersyukur nyawa kami masih di lindungiNya..
 
 
anggota polis menjalankan kerja mereka...terima kasih atas keprihatinan kalian..
 
 
sekitar jam 8.00 malam ayah dapat panggilan telefon dari polis yang bertugas dan di maklumkan kereta di jumpa di satu kawasan perindustrian yang agak tersorok di dalam bangunan kosong. Kereta di dapati berkunci..mujur suami ada simpan kunci pendua kereta..kami segera ke sana dengan tiga lagi kereta polis. sah itu memang kereta milik suami, walaupun nombor pendaftaran kereta telah di cabut. Lajunya 'mereka' bertindak. Kami di maklumkan kawasan tersebut merupakan kawasan untuk meleraikan badan kereta. Jika polis sedikit terlewat mungkin kereta ini sudah menjadi 'korban' terpisah enjin dan badan.. Syukur ia dapat di temui semula.
 
 
 
di lokasi inilah kereta suami di jumpai 2 jam selepas laporan polis di buat
 
Selepas kereta di periksa dan di bawa ke balai, pihak Polis bergerak ke rumah pula. Mereka memeriksa sekitar kawasan rumah dan di dapati tiada kesan pecah ataupun umpilan di pintu dan tingkap.Tidak tahu bagaimana 'mereka' boleh masuk..

Semalam hampir jam 12 tengah malam baru pihak polis meninggalkan rumah..sekali lagi aku menjenguk ke dalam bilik. sayu rasa hati melihat keadaan sebegitu..cincin merisik dan cincin duit mas kahwin pun hilang sekali. liciknya mereka...tidak mengapalah mungkin itu rezekinya.. aku cuba untuk memujuk diri walaupun terlalu sukar untuk aku meredhai kehilangan mahar tersebut :(
 
Malam semalam tidurku tidak lena..aku asyik terjaga mungkin sebab terlalu berfikir. Risau perkara buruk terjadi lagi..Tapi aku yakin Allah itu sentiasa ada bersama...
 
Cerita ini aku kongsikan sebagai pengajaran buat semua, sentiasalah berjaga-jaga dalam apa keadaan sekalipun. Terkadang kita merasakan sudah cukup selamat sedangkan musibah itu ada di mana-mana. Elakkan dari menyimpan kunci pendua di luar rumah..Orang kita selalu kan letak kunci dalam pasu bunga, dalam kasut dan kat celah-celah pokok pun ada. Nasihat polis jangan berbuat sedemikian! Peranan jiran pun cukup penting, rasanya duduk di rumah teres lagi terjamin keselamatan kan. Ahhh...kalau benda nak jadi duduk di rumah berkunci penuh siap dengan CCTV pun boleh jugak di pecah masuk.
 
Semoga kita semua dalam lindungan Allah selalu...
 
Salam dariku, BungaTulip..
 
 
***Doakan semangatku pulih ye kawan-kawan. risau baby dalam perut pun terkejut sekali.
 
 
 

Selasa, 1 April 2014

Abang dan kakak

Tidak tahu kenapa petang-petang sebegini aku tetiba merindui mereka. Kami tak ramai cuma tiga beradik, yang sulung abang yang kedua kakak dan aku yang ketiga. Alhamdulillah ikatan persaudaraan kami sangat erat walaupun masing-masing kini tinggal berjauhan. Abang di Keningau, Sabah. Kakak pula menetap di Puchong, Selangor dan aku kini di Melaka. 
 
di hari bahagiaku, kakak dan abang di hujung kiri dan kanan..susah nak tangkap gambar bertiga
 
 
Terkadang aku ingin kembali pada masa lalu, agar aku boleh duduk sebumbung dengan mereka. walaupun rumah di kampung tidak sebesar mana tapi di situlah kami membesar, menyemai kasih sayang adik beradik. Merasa suka duka perit dan payah kehidupan bersama. Mungkin kami tidak ramai itu yang buat kami bertiga rapat. Jarak umurku dengan kakak agak jauh lebih kurang 7 tahun. Masa kecil dulu aku selalu jadi mangsa suruhan abang dan kakak. yang sorang bagi arahan lain yang sorang pulak suh aku buat benda lain dalam satu masa. jadinya aku yang pening sendiri.. masa tu dalam kepala dah set yang diorang tu abang dan kakak, kuasanya lagi tinggi. boleh mengarah itu dan ini. Apa yang di suruh semua aku mesti lakukan! itu yang buat aku ingat sampai sekarang. ehe... Nasib la aku tiada adik kalau tak mesti jadi mangsa jugak di suruh buat itu dan ini :)
 
 
kakak masa sama-sama bercuti di Cameron Highland tahun lepas
 
Dan hari ini masing masing sudah ada kehidupan dan keluarga sendiri. dengan kakak aku biasa jumpa lagipun Melaka dan Selangor bukannya jauh. Sekali sekala jika ada kelapangan dan cuti hujung minggu aku akan berkunjung ke rumah akak lagipun sekarang emak ada di sana, dalam jagaan kakak.

Dengan abang pula jumpanya cuma sesekali sahaja kadang setahun cuma dua atau tiga kali jumpa itu pun pada Hari Raya atau sekiranya aku pulang ke kampung. Kami berutus berita dan cerita cuma di telefon itupun sudah cukup buat kami saling mengambil tahu dan bertanya khabar berita masing-masing.

 
abang sulung,  last jumpa hujung tahun lepas masa bercuti di Kundasang
 
 
Baru semalam abang menyambut ulang tahun yang ke-36 (31 Mac 1978) semoga abang terus di berikan kesihatan yang berpanjangan dan bahagia bersama isteri dan anak-anak. Panjang umur murah rezeki nanti kita jumpa lagi. Terima kasih atas pengorbananmu selama ini, lepas arwah bapa meninggal engkau lah abang engkaulah bapa. tanggungjawab yang tidak pernah kau abaikan sehingga kami adik-adikmu berumahtangga. Engkau abang yang terbaik buat kami berdua..
 
 
 
***Aku akui antara kita tiga beradik aku yang paling tidak cool. Selalu beremosi lebih..apa pun terima kasih atas kesabaran kalian berdua. Sedari aku kecil sampai sekarang perhatian dan kasih kamu berdua tidak pernah berkurang. Semoga kita bertiga dapat menjadi anak yang terus dapat berbakti dan menjaga emak sebaiknya.
 
 

Selasa, 25 Februari 2014

Hujan yang di nanti

Lamanya rintik hujan tidak turun kan. Bangun pagi tadi sebelum keluar gi keja cuaca kat luar rumah mendung dan berangin, seolah petanda hari akan hujan. Rupanya itu cuma ramalan semata..
 
Kadang bila balik kerja rasa badan letih semacam. nak kata buat kerja berat, rasanya kerja yang di buat sama sahaja seperti dulu. mungkin faktor cuaca yang buat badan cepat rasa letih mata pun bagi kerjasama padu tidur lebih awal untuk dapatkan rehat secukupnya. cuaca kering dan panas begini kita kena banyakkan minum air masak baru badan kan lebih bertenanga. kalau tak rasa lemah longlai je.
 
 

musim panas begini, bunga kertas galak mengeluarkan bunga..
rumput pula sudah mula bertukar warna semakin segan mahu hidup..
 
  
Adakalanya kita sebagai manusia biasa selalu mengeluh bila di turunkan hujan, akan ada yang bersuara, jika tak di luahkan mungkin cuma terdetik di hati 'asyik hujan je, nak keluar pun susah'. Namun bila nikmat itu ditarik sementara dan diganti pula dengan cuaca panas terik kita akan menagih hujan yang dulunya  tidak kita mahukan. terkadang nikmat depan mata susah untuk di syukuri, namun bila ia sudah tiada baru kita tercari-cari nikmat yang pernah kita miliki dulu..Setiap apa yang berlaku pasti ada baik dan buruknya. mungkin bukan pada kita, tapi pada orang lain. siapa tahu kan..
 
 
 
**dengarnya negeri Selangor akan ada catuan air, susahnya bila air tiada, nak buat apa pun semua payah. kesian pada keluarga yang ada anak kecil. semoga akan ada jalan penyelesaiannya nanti
 
 

Rabu, 27 November 2013

Buah Jambu Air

Assalamualaikum...

Kali ini rasa nak berkongsi pasal tanaman pula. Bab pokok-pokok ni memang saya cukup minat, suka tengok tanaman yang membuahkan hasil tapi sayangnya tangan ini tak berapa nak sejuk. Jadinya saya cuma jadi tukang petik je.
 
Lepas kenduri bertandang kat Melaka aritu, Ayah (FIL) ada tanam pokok jambu air kat halaman rumah, nak tanam sebelum majlis takut kena khemah masa kenduri. Jadinya ayah tanam lepas semua majlis dah selesai. Kalau di kira-kira belum sampai 6 bulan pun lagi, tapi pokok ni dah membuahkan hasil.

 terlindung di sebalik rimbunan daun
 
Memula ayah bagitau pokok tu dah ada buah macam tak percaya je, yelah tengok pada fizikal pokok ni memang rendang tak sampai pinggang pun tinggi dia, daun je yang rimbun menghijau. Bila tengok dari jarak dekat baru saya perasan. Eh.. dah ada buah rupanya, dah boleh petik pun :)


buah yang sudah mulai masak.merah menyala..

betul la orang kata, tangan sejuk ni tanam apa pun menjadi.. ini la hasil yang dituai bila berbudi kepada tanah


**********************************************************************************
 
Saya teringat masa kecik-kecik dulu kat kampung (Lahad Datu, Sabah) arwah bapa ada tanam pokok ni betul-betul kat depan rumah. pokoknya agak tinggi kena panjat baru boleh petik buah dia. Masa tu panjat pokok dengan saya memang tak boleh dipisahkan. Sekarang dah tak buat dah sume tau, dah besar panjang dan dah jadi bini orang pun. Ah cepatnya masa berlalu, saya sudah dewasa rupanya!!

Apa nama lain jambu ni ea, kawan dekat opis bagitau ni jambu loceng...

Rabu, 18 September 2013

Wordless Wednesday - Ingatan


 
 
 
Nilai pemberian bukan terletak pada harganya tapi ia atas ingatan si pemberi dan
bagaimana si penerima mahu menghargainya
 

 
Cameron Highland
15 September 2013 

Khamis, 11 Julai 2013

Ramadhan 1434H

Assalamualaikum buat semua...
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tahun ini berpuasa seperti tahun-tahun lepas,
cumanya tahun ini  sebagai seorang isteri
tiada apa yang berbeza, sama saja.
masih di sini bersama mereka..
bersama rakan-rakan sekerja,
dan teman-teman serumah
terima kasih sahabat.
adanya kamu
ubat rinduku.
 
maaf kiranya ramadhan ini aku tidak bersamamu
tidak menyediakan makan minum buatmu
tanggungjawab yang tak dapat ku tunaikan,
lantaran tuntutan kerja menjarakkan kita
mungkin belum tiba rezeki bersama
semoga terus diberi kesabaran
berkat Ramadhan yang
penuh kemuliaan
 
Usah bersedih bila kudratmu tidak seperti dulu
ku tahu payah untuk mak terima semua ini
percayalah mak, dalam setiap ujianNya
tersirat seribu hikmah tersembunyi
moga mak terus diberi kekuatan
dan kesihatan yang baik dibulan
mulia Ramadhan al Mubarak
 

***sebenarnya aku baru lepas kol orang JPA bertanyakan urusan pertukaranku.. masih belum ada rezeki bertukar.erm PJJ lagi la jawabnya.sabar.


selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia, hargai masa bersama orang-orang yang tersayang :)

Rabu, 19 Jun 2013

Bunga Tulip sudah di sunting...

Assalamualaikum....
 
Wah kemain lagi tajuk entri ni, sudah di sunting oleh sang kumbang katanya.ehe...apa-apa pun Syukur Alhamdulillah ku panjatkan kerana dengan izin-Nya segala perancangan bermula dari majlis akad nikah, persandingan dan majlis bertandang berjalan dengan lancar.
 
selamat datang buat semua tetamu yang di muliakan :)
 
 
Majlis perkahwinan dekat Sabah memang agak berbeza dengan majlis kat sini. aku  awal-awal dah bagitau husband suruh dia bersedia untuk sanding dari siang (lepas nikah) sampai la ke malam. Haritu kitorang sanding sampai jam 11.00 malam jugak. tengok tetamu dah tak ramai cecepat minta kebenaran nak naik rumah. 
  
abang kandung berbaju biru.. menjadi wali untuk pernikahanku..al fatihah buat arwah bapa yang telah meninggal dunia 2 tahun lepas :'( 
 
Majlis akad nikah buat lepas zohor di rumah bonda. Rombongan pengantin lelaki tiba pada waktu yang di janjikan..Sebelum nak masuk ke dalam rumah, pengantin lelaki kena cuci kaki terlebih dahulu. bukan guna banyak air pun sikit je, adalah orang tua yang agak arif pasal benda ni tolong buat sekadar basahkan sikit dekat stoking. Jangan tanya aku kenapa, sebab aku sendiri pun tidak tahu apa motif berbuat demikian. ehe... ikutkan jelah. Dengan 2 kali lafaz kami telah sah jadi suami isteri. rasa sebak, terharu, gembira semua jadi satu. aku sudah di miliki rupanya..dah jadi bini orang pun. akhirnya berakhir lah pencarian cintaku selama ini.chewah... ayat jiwang di situ.
 

suami vs isteri
lagu widuri buat si isteri
 
 
Selepas selesai akad nikah dan pembatalan air sembahyang, terus ke pelamin. bermula sudah persandingan kami. Persalinan pertama, oh ya baju nikah ni aku D.I.Y sendiri.. jahit pearl skali tampal lace. puas hati jugak pakai hasil tangan sendiri, murah dan jimat baju pun boleh simpan sampai ke tua. kalau nak sewa rasa tidak berbaloi..
 

 
Persalinan baju adat Bugis
 
Baju kuning ni sebenarnya baju adat suku kaum Bugis, ia juga dikenali sebagai 'baju bodo' atau 'waju tokko' dalam bahasa Bugis. Terdapat dalam pelbagai pilihan warna yang masing-masing ada maksud di sebaliknya. Setiap warna menunjukkan usia ataupun martabat si pemakainya. Pada masa kini ramai yang guna waju tokko sebagai persalinan pengantin dan juga sering  digunakan dalam majlis khatam  Al-Quran.
 


sempat kuar kejap petang tu gi buat outdoor
 
 
Memandangkan persandingan di buat sepanjang hari, yakni sampai ke malam makanya petang tu kami kuar outdoor ke tempat yang berhampiran sahaja. Itu pun tidak lama makan masa sejam pergi dan balik. Lokasi pilihan ialah di Lahad Datu Golf and Country Club, Batu 5 Jalan Segama. ok la dapat view pokok kelapa sawit yang merupakan hasil pertanian utama di daerah ini. Tambah dengan padang rumput yang menghijau..sejuk di pandangan mata.
 
 
 
pelamin kena serbu kanak-kanak riang.adei..
 
Lepas balik outdoor siap-siap untuk persandingan belah malam lagi. Punya la seronok anak sedara aku ni main sorok2 atas pelamin. apa dia ingat yang tengah duduk atas ni patung ke. Bebudak ni nak kena jelingan maut mak usu die kot.ehe..masa ni awal lagi, orang pun tak berapa ramai..si pengantin tengah syok layan orang live band tu nyanyi.erm sedap jugak suara depa ni..
 
 
malam masa potong kek pakai gaun kembang-kembang gitu..bukan selalu kan :)
 
 
adik-adik yang jadi orang kuat di hari bahagiaku...
 
Terima kasih juga buat semua ahli keluarga yang telah banyak membantu, sedara mara, sahabat dan semua samada yang hadir atau pun tidak..yang mendoakan kebahagiaan kami, terima kasih atas ingatan kalian. semoga kami dapat mengharungi segala dugaan hidup di alam rumah tangga. In Shaa Allah...


buatmu suamiku, terima kasih atas segalanya...

Rabu, 12 Jun 2013

Walimatul Urus Bunga Tulip

Sebenarnya tarikh ni sudah belalu. uhuk... bukan baru menjemput tapi terlupa nak Publish...sekadar save dekat draf je. hari ni baru masuk ofis lepas bercuti panjang, tu yang baru perasan :'( maapkan daku  penunggu gua.huhu...
  
 
 

Dengan penuh rasa kesyukuran dan hormatnya saya seisi keluarga menjemput YBrs.
Dr./Tuan/Puan untuk hadir ke Majlis Perkahwinan saya :


TARIKH : 01 JUN 2013 (SABTU)
MASA : 11 PAGI – 11 MALAM
TEMPAT : BATU 2 JALAN SEGAMA, LAHAD DATU SABAH.

Majlis Bertandang sebelah lelaki

TARIKH : 08 JUN 2013 (SABTU)
MASA : 11 PAGI - 4.00 PETANG
TEMPAT : LOT 687, JLN HANG NADIM PERMATANG DUYONG, MELAKA.


~Semoga dengan kehadiran dan berkat doa hadirin sekalian akan menyerikan lagi majlis
kami dan diberkati Allah S.W.T hendakNya.

Khamis, 27 Disember 2012

Ikatan Janji

 
 

 
dalam tidak sedar sudah  hampir sebulan aku menyarung cincin ini
aku berdoa, moga saja ikatan ini hingga ke lafaz mulia itu
lafaz akad yang akan menyatukan kita kelak.
In Shaa Allah dengan izinNYA
jangan pernah henti berdoa, moga kita terus di beri kekuatan
mengharungi segalanya.
 
 perancangan awal sekadar datang merisik khabar
akhirnya orang tua sepakat tunangkan kita sekali
 Benarlah kita sekadar mampu merancang,
mulanya merancang ikatan janji pada hari kelahiranku
namun siapa kita mahu menolak andai itu sudah ketentuanNYA
ikatan janji di awalkan sehari, ku kira itu petanda baik buat kita
tiada majlis semeriah orang lain, tiada barang hantaran, tiada gambar untuk diabadikan
sekadar kenduri doa selamat tanda syukur segalanya selesai.
 
cukuplah..
aku tidak meminta lebih, sekadar adanya saja
cukuplah sebentuk cincin dan kain pasang buatku
terima kasih atas pemberian itu.
 
mengharapkan segalanya yang baik-baik saja buat kita.

 
 
ikhlas dariku, untukmu..



***kata orang ikatan pertunangan ni punya banyak dugaan, mujur jarak antara kita jauh dan jarang sekali dapat berjumpa. tidak mengapalah. itu mungkin yang terbaik.
 


Khamis, 16 Februari 2012

Lepaskan saja ia pergi

Hari jumaat yang lepas seorang teman ada menghubungiku..bercerita perihal kehidupannya, bercerita kisah hati dan impian yang tidak kesampaian..mungkin dia senang untuk berkongsi segala cerita denganku...aku sekadar mendengar setiap keluh kesahnya, aku mahu tahu duduk sebenar cerita itu sebelum aku mula untuk meyuarakan segala apa yang boleh aku kongsikan bersamanya..

redha adalah ubat yang paling mujarab bagi merawat luka di hati

Bercerita mengenai kisah cintanya yang di khianati..bilamana semua yang terbaik telah diberikan dalam perhubungan, telah mencuba menjadi seorang yang cukup setia namun akhirnya dia ditinggalkan tanpa suatu alasan yang pasti. Siapa tidak bersedih, siapa pun pasti kecewa pabila hubungan yang sudah sampai ke pengetahuan keluarga yang cuma menunggu masa untuk bersatu dalam ikatan pertunangan namun semua itu hanya tinggal angan-angan..Pabila ada yang lebih baik cuba mendekati lantas dengan sewenangnya si dia yang setia itu ditinggalkan keseorangan.. alasan sering diberikan mencari sebab untuk memutuskan hubungan..

Sayang...jangan biarkan air mata itu terus mengalir..saat si dia pergi meninggalkan dikau bersabarlah menghadapi situasi genting sebegini..Redhakan segala apa yang berlaku..Yakinlah sesuatu yang lebih baik sudah sedia menunggumu dihadapan.  Aku tahu betapa dia perlukan kekuatan untuk bangkit semula dari kegagalan masa lalu, aku tahu dia perlukan sesorang untuk mendengar segala apa yang di rasakan. Ia bukan semudah apa yang kita fikirkan. Luahkanlah segala rasa kecewa di lubuk hatimu..buang semua kisah kenangan engkau bersamanya..

Kita tidak boleh menilai hati seseorang itu dari luaran, kita tidak tahu apa sebenarnya yang ada jauh dilubuk hatinya. Adakah benar memberikan cinta seikhlasnya ataupun sekadar memberi sedikit cuma rasa itu. Usah memberikan sepenuh cinta pada makhluk yang bernama manusia, kelak kau akan kecewa. Berikan sepenuhnya cinta itu pada Tuhanmu..kerana jika kita mengejar cinta Allah pasti kita jua kan memiliki cinta manusia.

Pada saat ini pasti macam-macam yang bermain dibenakmu, aku tahu..pasti dikau kecewa pasti dikau tidak boleh menerima suratan ini pasti engkau masih mengharapkan dia kembali kepadamu. Sudahlah..cukuplah.. berhenti berharap pada orang sebegitu!!! Engkau perlu tahu engkau perlu syukuri bilamana Allah tunjukkan kecurangan nya di masa sekarang saat perhubungan antara kamu masih ditahap ini.. Itulah sebenarnya hikmah tersembunyi kenapa kamu di takdirkan untuk tidak bersama agar kelak di masa akan datang engkau tidak kecewa.

inilah yang dinamakan asam garam kehidupan..walaupun kita telah merancang segalanya dengan rapi namun andai Yang Maha Esa tidak mengizinkan..semua itu tidak mungkin akan berlaku.Allah adalah sebaik-baik perancang untuk setiap hambanya..harus pasrah, harus redha kena kuatkan diri menghadapi hari-hari yang mendatang.

**Setiap permulaan pasti ada pengakhiran..apabila kita meredhai satu pemergian, pasti akan datang yang lebih baik untuk kita selepas itu..biarkan saja ia berlalu pergi..cuba jadi seorang yang punya harga diri

Khamis, 2 Februari 2012

Dedikasi buatmu teman...Christy Lee

Aku sebenarnya tidak tahu mahu mulakan entri ini daripada mana..lately aku kerap membelek koleksi gambar lama yang ada dalam simpanan. Folder 'Pic DPM' acapkali ku buka...wajah-wajah mereka yang pernah bergelar rakan sekelasku dulu ku tatap satu persatu..sungguh, aku RINDU kalian..rindu semua sekali warga DPM yang tersayang. Indahnya saat itu kan! sewaktu kita sama-sama menuntut di sana, kenapa dulu aku tidak menghargai setiap masa bersama kalian. Kenapa sekarang saat kita semua berjauhan baru aku merasakan ingin kembali semula kewaktu itu..sedangkan kenangan yang kita ciptakan dulu semakin jauh kita tinggalkan :( sudah 4 tahun ia berlalu..

wajah-wajah yang kurindui..terima kasih memberikan kenangan

Sekarang masing-masing membawa haluan sendiri, ada yang sudah bekerja, ada yang sedang menunggu masa untuk bekerja, ada yang masih menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ada yang sudah menjadi tunangan orang, menunggu masa untuk disatukan kelak dan ada jua yang sedang berbahagia dengan kehidupan berkeluarga. Faktor ini mungkin penyebab kita jarang berhubung, masing-masing punya komitmen sendiri.


apa pun terjadi kita semua tetap kawan kan

Tapi itu semua tidak menjadi penghalang untuk kita saling berhubung. Walaupun kita terpisah oleh lautan tapi kecanggihan teknologi tidak membataskan semua itu. Tambah lagi adanya mukabuku yang saban hari menjadi medan untuk kita saling berhubung. Seminggu yang lepas aku ada menghubungi seorang teman sekelas dulu, Christy.. sudah agak lama aku tidak mendengar khabar beritanya, saja pesanan itu ku hantar wish Chinese New Year padanya...ya, pada 24hb Januari hari yang sepatutnya dia bergembira meraikan perayaan yang hanya datang setahun sekali.

dan.......apa yang amat mengejutkan berita ini yang aku terima!

Saat perkhabaran itu ku terima aku hanya terdiam...seolah tidak percaya berita yang baru ku ketahui. Aku tertunggu engkau menjawab pertanyaanku yang ingin mengetahui lebih lanjut..menunggu dan menunggu tapi ternyata engkau memilih untuk terus berdiam..pertanyaanku itu engkau biarkan tanpa jawapan. Aku terfikir ah mungkin engkau terlepas cakap mungkin pada mulanya ko tidak mahu memberitahu kami apa yang kini engkau alami. Lantas aku panjangkan pertanyaan itu pada teman yang lain..aku inginkan kepastian, mungkin mereka punya jawapan tapi ternyata mereka jua tidak mengetahuinya. Masing-masing terkejut dengan perkhabaran itu..Kanser di tahap 4

senyuman sama dalam dua keadaan yang berbeza..

Kini....perkhabaran itu sudah sampai ke pengetahuan ramai, Dinding mukabuku mu dipenuhi dengan kata-kata semangat dari teman yang mengenali. Ramai yang mendoakan kesembuhanmu, Christy... kena terus kuat untuk melawan sakit itu.. yakinlah setiap penyakit pasti ada ubatnya, semua boleh diusahakan tiada apa yang mustahil kan. Kami semua akan sentiasa mendoakan segala yang terbaik buatmu.

Bunga-bunga DPM :) Emmy, Eva, Christy, Dida dan rina

  Kumbang-kumbang DPM :) Eddy, Dzul, Charles

Baru-baru ini ramai jugak kawan-kawan DPM yang datang melawat. Sungguh, mesti engkau terharu kan dengan kehadiran mereka, mesti diorang buat ko tertawa..itu aku boleh lihat pada raut wajahmu yang sentiasa mengukir senyuman..namun tiada siapa pun yang tahu betapa engkau menahan segala rasa itu, menguatkan diri melawan kesakitan, engkau menyembunyikan segalanya dari pandangan mata  setiap mereka yang memandang. Aku bangga dengan ketabahan dan semangat yang ada padamu..dari raut wajah yang engkau tunjukkan tidak sedikit pun terpancar kesakitan yang engkau alami. Engkau sentiasa tersenyum, Christy...ketahuilah kami semua warga DPM amat menyayangimu..

Aku sertakan sekali coretan Dayang, Evagrace ngan dida yang dorang coretkan dalam blog khas buatmu beautiful Christy :)

*sori la gambar melawat Christy aku curik dari mukabuku kamurang.hehe..

Jumaat, 20 Januari 2012

Syukur apa adanya...

Sebagai manusia biasa kita semua mesti punya keinginan dan angan-angan kan..Ada saja yang bermain di benak fikiran. seringkali bermonolog sendirian alangkah baiknya andai aku jua mampu memiliki seperti apa yang dia ada..hati sering terdetik ingin menjadi sepertinya yang kelihatan sempurna pada pandangan mata kasar.segalanya cukup..

Terkadang aku sendiri tidak paham kenapa seringkali ingin menjadi orang lain sedangkan setiap manusia itu dijadikan dengan kelebihan yang tersendiri. mungkin kita kurang dari segi kewangan tapi kita dilebihkan dengan kasih sayang keluarga. ujian Allah itu pelbagai..andai dia ingin menduga sekelip mata bala itu datang, sekejap cuma apa yang kita miliki ditarik balik.

Faktor kewangan yang stabil bukan jaminan untuk memperoleh kebahagiaan..Memanglah bak kata orang ada duit semua benda boleh jalan..Tapi kita kena ingat duit bukan segalanya..nikmat lain yang harus kita syukuri ialah kesihatan yang kita miliki sekarang..dengan kesihatan yang baik itulah kita boleh bekerja untuk mendapatkan rezeki.. andai usaha lebih pasti hasilnya juga akan lebih..tapi berbuat sesuatu jangan la mengharapkan balasan, biar kita ikhlas memberi apa adanya..

Sebenarnya tanpa kita sedari rezeki itu ada di sekeliling kita. cuma terkadang ia dikaburi oleh pandangan mata yang sentiasa inginkan kesempurnaan..Inginkan sesuatu yang lebih, lantas rezeki yang seciput itu ditolak ketepi. Nikmat yang kita miliki sekarang sebenarnya itulah rezeki..kita punya pekerjaan, lihat pada mereka yang ketika ini masih tercari-cari pekerjaan sedangkan segulung ijazah sudah ada di genggaman.mungkin rezeki belum berpihak pada mereka..

Acapkali juga kita merasakan apa yang ada sekarang masih tidak mencukupi..serasa ada sahaja yang kurang. Ah... selagi namanya manusia memang begitu, tak pernah puas dengan apa yang dimiliki. melafazkan syukur jauh sekali..namun bila di duga dengan ujian yang sekelumit itu, mula nak menyalahkan takdir..rumitnya makhluk yang bergelar manusia..sukar untuk dimengertikan!

kadangkala kita suka melihat pada orang yang berada di atas kita. terasa diri kerdil yang teramat..tidak punya apa..tapi jangan lupa untuk melihat mereka yang ada di bawah kita.di situ pasti akan lahir rasa syukur dengan segala apa yg kita miliki hari ini..lumrah manusia memang begitu, rezeki depan mata tidak pernah disyukuri saat semuanya hilang dari genggaman baru tercari segala apa yang pernah dimiliki..rezeki itu masing-masing kita harus belajar untuk menjadi insan yang lebih menghargai.



*kalau sudah disuratkan itu memang bukan rezeki kita nasi dalam mulut pun boleh keluar semula..harus berusaha untuk mendapatkan segala apa yang di impikan.ku kira itu jalan sebaiknya..

Isnin, 9 Januari 2012

Setelah dua bulan berlalu

Genap 2 bulan 
Moga dirimu tenang di alam sana
Sungguh aku amat meRINDUimu

Buat ayahanda yang tersayang
Terkadang aku merasakan engkau ada bersamaku
aku seolah lupa 2bulan lepas aku sendiri menghantarmu
ke destinasi yang satu itu...

Mungkin ini yang dinamakan rindu seorang anak
bila terkenangkanmu hanya air mata yang menzahirkan rasa
sebak...rindu...pada engkau yang jauh di sana
sedang aku masih di sini yang entah esok, lusa atau bila-bila 
sahaja akan dijemput olehNYA

 dalam kenangan (21/3/1941 - 9/11/2011)

 * Gambar terakhir kami sekeluarga bergambar sempena majlis perkahwinan abg sulung pada 12/12/2009 (tiada dalam gambar dua orang anak saudara, Mohd Adam Firdhaus, 3 dan Qaisarah Zuhrah, 7bulan)

Khamis, 5 Januari 2012

Dua puluh dua belas

Assalamualaikum..

ya, sudah lima hari dua puluh dua belas datang menjengah kita bermakna sudah lima hari jua kenangan dan memori di sepanjang tahun lepas kita tinggalkan. Pasti kita semua mahu mencipta memori yang indah-indah di sepanjang dua puluh dua belas ini kan..



Tapi...sebelum kita melakar seribu satu memori indah pasti akan diuji terlebih dahulu. walau sejauh manapun kita cuba untuk lari dari masalah, ia tetap akan datang menyapa meskipun dugaan itu hanya sekecil zarah namun kita harus bijak untuk mengatasinya.. ingatlah setiap apa saja dugaan yang mendatang pasti bersamanya ada hikmah yang tersembunyi.

Moga dengan hadirnya dua puluh dua belas ini membawa seribu kebaikan buat kita semua.
Usaha + Doa = Kejayaan :)


p/s : bersabarlah dengan segala ujian yang melanda..jangan penat untuk mengharungi semua itu..ia akan menjadikan kita insan yang lebih matang

Selasa, 25 Oktober 2011

Dia 'Pergi' Ketika bertugas

Malam 18 Oktober lepas telah berlangsung Malam Media Perdana 2011..Dengar pada nama  pun kita dah boleh agak apa tujuan majlis diadakan..yap, untuk meraikan media dan menghargai sumbangan dan khidmat bakti mereka..amat besar jasa mereka..

Pentas utama di malam itu
sebahagian dari hadirin. sangat ramai
petugas yang menyumbang tenaga

Majlis malam itu turut memberikan sumbangan buat waris Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor..Arwah merupakan Jurukamera dari Bernama TV yang telah terkorban akibat terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan semasa mengikuti misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu Somalia pada 2 September lalu.

Al-fatihah...

Walau banyak mana sekali pun nilai bantuan yang diterima ia tetap tak dapat nak menandingi nilai nyawa yang satu itu..tetap tidak boleh menggantikan ia kembali..tapi setidak-tidaknya ia dapat mengurangkan beban ahli keluarga..Arwah meninggalkan seorang balu dan sepasang anak yang masih kecil, kuatkanlah semangat mereka untuk meneruskan kehidupan walaupun tanpa orang tersayang di sisi..Semoga roh Allahyarham di cucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman.Amin..

p/s: Hidup dan mati adalah aturan Yang Maha Esa..kita pasti akan kembali kepadaNya kelak..cuma tak tahu bila masa dan ketikanya. Sentiasalah beringat~~