Showing posts with label Breakfast. Show all posts
Showing posts with label Breakfast. Show all posts

Sunday, September 8, 2013

Cucur Jagung Rangup



Pagi tadi saya buat Cucur Jagung. Senang je buat cucur ni. Guna jagung manis dalam tin. Sedap bila kunyah jagung manis tu. Memang manis. 

Saya kalau buat cucur, suka buat yang adunannya cair sedikit. Kalau pekat, kuranglah rangupnya. Bila cair, boleh gorang garing-garing. Sebab cair, jadi tak bulatlah cucur ni. Bentuknya leper-leper je sebab sudukan adunan ke dalam minyak panas. Tapi memang rangup dan sedap. Jom tengok resepi.

Bahan-bahan

2 cawan tepung gandum
1 tin (200gm) jagung manis 
(guna semua isi dalam tin termasuk airnya)
1sk garam
1/2sk serbuk kunyit
1 1/3 cawan air (pandai-pandailah adjust)
1/2 batang cili merah (cincang)
seulas bawang merah kecil (cincang)


Cara-cara

Gaul tepung dengan jagung (airnya sekali) dalam mangkuk. Masukkan garam dan serbuk kunyit. 



Masukkan air sedikit demi sedikit dan gaul rata. Kalau suka rangup, biar cair sedikit tapi jangan cair sangat.




Masukkan cili dan bawang. Gaul lagi.




Panaskan minyak dalam kuali. Sudukan bancuhan dan goreng sehingga garing.



Angkat dan toskan. Hidang.



Sedap dicicah dengan sos cili.


banyak jagung



Sekian.

Saturday, May 11, 2013

Egg in a Basket... Breakfast yang Mudah!

Lama juga saya tidak menulis. Sekali lagi faktor yang paling mempengaruhi sepinya blog ini disebabkan oleh kesibukan PRU-13. Meskipun begitu, kesibukan sebenarnya bukanlah satu halangan untuk saya memasak, menikmati makanan yang lazat serta menulis di blog ini. Hari-hari tanpa entry adalah kerana saya berasa takut... Saya takut sekiranya penulisan saya boleh menyinggung perasaan mana-mana pembaca. 

Yelah kan, dalam ada pihak meraikan kemenangan, ada pihak pula yang sedang kesedihan. Kecewa, rasa tertipu dan perasaan-perasaaan yang melankolik. Justeru, tidaklah saya mahu menambah luka sahabat-sahabat saya, pengikut blog serta pengunjung-pengunjung Life is Colorful ini, meskipun saya ada banyak cerita untuk dikongsikan. Saya ambil keputusan untuk berdiam sehingga keadaan sedikit reda. Politik sebenarnya telah menjadi makan, minum, tidur, kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Hari ini Sabtu, sudah hari ke-7 kita berada dalam pemerintahan berterusan Barisan Nasional. Berkemungkinan masih ramai yang belum move on, tapi marilah kita sama-sama lupakan dahulu sebarang perbezaan kerana penyatuan antara rakyat adalah penting untuk keharmonian serta pembangunan tanah air. 




Justeru, hari ini saya nak kongsi resepi sarapan pagi yang mudah sangat. Resepi Western ni namanya `Egg in a Basket'. Simple, mudah dan sedap. Cuba buat dan hidangkan, lepas tu tengok ekpresi muka suami, anak atau sesiapapun jua yang anda jamu. Mereka pasti suka. kecuali kalau mereka itu tidak suka makan telur atau alergik telur.





Bahan-bahan

Sekeping roti
sebiji telur
secubit garam
sedikit serbuk lada hitam
mentega secukupnya

kalau suka tambah parutan keju Parmesan

Cara-cara

Lubangkan tengah-tengah roti dengan apa jua bentuk yang anda suka. Boleh guna cutter, pisau, gelas atau apa-apa acuan yang anda ada. Saya lubangkan bentuk bulat guna acuan donut hehehe...




Sapukan mentega pada kedua-dua belah roti.




Panaskan kuali (non stick) dan kemudian letak roti atas kuali panas sehingga agak perang.




Terbalikkan roti. Masukkan 1/2sk mentega di tengah-tengah lubang roti dan pecahkan telur. 




Taburkan garam, lada hitam dan keju Parmesan atas telur. Biarkan sehingga telur agak masak.




Oleh kerana saya tak suka makan telur yang tak berapa nak masak sangat, jadi saya terbalikkan roti sekali lagi. Tada, inilah hasilnya.




Sarapan yang membuatkan anda tersenyum. Selamat menjamu selera!




Sekian.


Sunday, March 17, 2013

Pankek untuk Sarapan Pagi (Pancake).. mudah je

Hujung minggu....
 
Pagi Sabtu atau Ahad mesti ramai yang bangun lewat. Kalau dah bangun lewat tu, janganlah harap nak beli nasi lemak atau kuih-muih kat warung-warung tepi jalan. Selalunya memang dah habis dijual. Kalau ada pun, tinggal yang tak berapa menyelerakan jelah.
 
Maka, haruslah belajar buat sarapan pagi yang sedap. Meskipun sedap, tapi biarlah mudah dibuat. Kalau remeh sangat, nanti tak larat pula nak masak untuk makan tengah hari. Almaklum, penat satu badan.


Pancake whipped cream & chocolate
 
 
Hari ni saya nak kongsi resepi pankek yang mudah. Saya tak terfikir pun nak buat pankek hari ni. Tetiba je Hasya cakap nak makan pankek. Dah ler takde maple syrup kat rumah. Takpe, mari lihat macam mana kita hebatkan pankek yang mudah untuk dibuat ni.



whipped cream & strawberry jam
 
 
 
Bahan-bahan (boleh dapat banyak, kalau nak makan 2-3 orang, buat separuh adunan sahaja)
 
2 1/2 cawan tepung naik sendiri
2 sb gula
1sk soda bikarbonat
1 biji telur
200ml susu segar/susu cair
1 cawan air
3sb minyak masak/minyak sayuran/minyak jagung
secubit garam
 
 
Cara-cara
 
Masukkan semua bahan dalam mangkuk.


 
 
Kacau sebati. Jangan sampai berketul-ketul ye.


 
 
Panaskan kuali leper non-stick anda. sapu sedikit minyak. Senduk adunan ikut saiz kesukaan. Saya buat saiz kecil, comel-comel je.


 
 
Terbalikkan supaya kedua-dua bahagian masak dan berwarna perang kecoklatan.


 
 
Angkat dan boleh dimakan mengikut topping kegemaran anda.


 
 
Boleh letak coklat cair Hershey.


 
 
Boleh gabungkan whipped cream dan coklat cair Hershey.


 
 
Boleh gabungkan whipped cream dan strawberry jem.



 
 



Sedap!
 
Sekian.
 
 


Saturday, February 23, 2013

Step by Step... Funnel Cake



Tak tahu kenapa pagi-pagi ni saya terfikir nak buat Funnel Cake. Dan saya pun tak tahu kenapa tahun lepas (2012) saya tak buat Funnel Cake. Sedangkan Funnel Cake ni adalah salah satu makanan kegemaran Hasya. Mungkin kerana sepanjang tahun lepas, saya terlalu sibuk mencuba resepi-resepi baru.....
 
Oleh yang demikian, pagi-pagi ni saya mulalah mencari-cari entry tahun 2011 yang saya buat tentang Funnel Cake. Masa kali pertama buat kek ni, saya tak ada acuan corong/funnel tu. Teringat lagi yang saya paip lepas letak adunan dalam plastik. Lepas jumpa entry tu (klik sini untuk baca), saya tunjuk kat Hasya dan tanya dia, "nak tak makan kuih ni?" dia jawab "Nak!" Dan saya pun keluarkanlah corong/funnel yang saya beli tahun lepas kat Ikea.


 
 
Jom lah tengok resepi mudah ni.
 
 
Bahan-bahan (untuk 4-5 Funnel cake)
 
1 1/4 cawan tepung gandum
sebiji telur
2 sudu besar gula
1/4 sk garam
2/3 cawan susu segar
1sk baking powder
minyak masak secukupnya untuk menggoreng
 
Nota: Sila tambah susu sekiranya adunan agak keras. Saya pun tambah lagi susu. Nanti saya terangkan lanjut.
 
 
Cara-cara
 
Campur je semua bahan dalam mangkuk adunan.


 
 
Kacau sebati.


 
 
Kalau adunan agak keras, tambah susu sedikit demi sedikit. Adunan seharusnya agak cair (jangan cair terlampau). Kalau tak cair, macam mana nak lalu dalam corong/funnel.


Cair macam ni la
 
 
Panaskan minyak dan masukkan adunan dalam corong/funnel.



 
 
Corongkan adunan apabila minyak panas. Buatlah corak suka hati asalkan anda gembira. Api jangan besar, sederhana kecil dah ler.


 
 
Setelah keperangan, balikkan funnel cake anda. Biarlah perang kedua-dua belah.


 
 
Angkat, toskan dan kemudian boleh tabur gula aising atas Funnel Cake.


 
 
Makan panas-panas sebab kalau tak panas, tak rangup la. Masa untuk makan dan bernostalgia. Hasya makan 2 keping Funnel Cake.





 
 
Nota: Saiz acuan funnel tu sebenarnya ikut suka. Saya cuba kedua-dua acuan funnel yang saya ada, ok je hasilnya.

Sekian.