Memaparkan catatan dengan label KEK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KEK. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Dah lama blog ni tidak di update tetapi alhamdulillah, masih ada yang sudi masuk melayari resipi-resipi lama yang tersimpan. Terima kasih banyak saya ucapkan.

Alang-alang ada masa petang ini, saya ingin berkongsi  resipi kek pisang simple tetapi sangat sedap bila dinikmati dengan topping nutella dan parutan keju. Kek ini saya buat masa anak sulung balik bercuti mingguan dari asrama baru-baru ini. Sedap tau, gandingan kek ini dengan nutella & keju. Jom try buat kek pisang dengan nutella :) 
KEK PISANG DENGAN NUTELLA
Saiz loyang : 8 inci 
Bahan-bahan 
3 biji telur - Gred A
200gm tepung naik sendiri 
1 sudu teh baking powder 
120gm gula kastor  (saya guna gula perang)
120gm mentega
200gm pisang - dilenyek 
1 sudu teh esen pisang/vanilla

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c. Sediakan loyang bulat bersaiz 8 inci dan sapu dengan mentega. Lapik dengan kertas baking, ketepikan seketika.


2. Didalam mangkuk adunan, pukul mentega dan gula kastor sehingga ringan dan gebu. 

3. Masukkan telur satu demi satu dan pukul lagi hingga sebati dan masukkan esen pisang/vanilla.


4. Seterusnya masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder kedalam bahan yang dipukul tadi dan kaup balik hingga sebati. Masukkan juga pisang yang dilenyek kedalam adunan.

 5. Tuang adunan kedalam loyang dan bakar selama lebih kurang 45minit atau sehingga kek masak.

 6. Setelah kek sejuk, bolehlah dihias dengan sapuan nutella dan tabur dengan keju parut.

Assalamualaikum, 

Kerap pula saya berkongsi resipi kek dalam blog ni kan. Ada pembaca yang tanya, tiap hari buat kek ke? Jawapannya adalah koleksi kek-kek ini ada yang saya dah lama buat tetapi tersimpan dalam draft dan ada juga yang baru saya buat. Saya tak berniaga kek buat masa sekarang ini sebab kerja di pejabat pun dah cukup banyak, ditambah lagi dengan masa yang saya peruntukkan untuk anak-anak yang sedang membesar. Saya hanya berkongsi di blog segala resipi harian yang dimasak untuk keluarga sahaja dan kalau ada yang nak guna resipi-resipi ini untuk berniaga, anda dialu-alukan.  

Kek sirap bandung ini sejenis kek mentega yang anak-anak saya paling suka. Harum bau sirap ros ditambah pula dengan rasa lemak susu pekat manis yang dimasukkan dalam adunan , memang enak sekali. Saya gunakan sirap rose jenama Double Lion. 

Baiklah resipi dan step by step ada dibawah ini. Kalau nak try bolehlah...langkah demi langkah juga disediakan :)  

KEK SIRAP BANDUNG 
Saiz loyang : 8in x 8in
Bahan-bahan 
250 gm tepung gandum
2 sudu teh baking powder
250 gm mentega
100 gm gula castor
3/4 cawan susu pekat manis
6 biji telur - gred A
2 sudu teh sirap ros - Jenama Double Lion

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven terlebih dahulu pada suhu 180'c. Sapu loyang dengan mentega dan alas dengan baking paper.

2. Ayak tepung gandum dengan baking powder dan ketepikan seketika.

3. Didalam mangkuk besar, pukul mentega dan gula sehingga kembang. 

4. Masukkan pula susu pekat manis sambil dipukul lagi hingga adunan sebati.

5. Setelah itu masukkan telur sebiji demi sebiji (pastikan telur dipukul dengan adunan hingga sebati sebelum masukkan telur seterusnya).


6. Seterusnya masukkan tepung yang diayak tadi dan pukul hingga sebati (Jangan terlalu lama memukul, sekadar adunan bercampur sahaja). Masukkan pula 2 sudu teh pes sirap ros dan kaup balik didalam adunan kek.

6. Bakar didalam oven (api atas dan bawah) selama 45minit - 1 jam atau sehingga kek masak (setiap oven berbeza). Setelah kek masak biarkan didalam loyang selama 10minit dan terbalikkan diatas redai untuk disejukkan.

Assalamualaikum, 

Satu lagi koleksi kek simple yang dah lama saya buat iaitu fruits and walnut cake. Saya buat sekadar untuk habiskan saki-baki walnut dan buah-buahan kering yang tersimpan didalam almari dapur bersama bahan-bahan baking yang lain. Maklumlah daripada membazir dan menghampiri tarikh luput, ada baiknya di manafaatkan menjadi fruits and walnut cake dan hidangkan kepada keluarga untuk minum petang.

Seperti biasa resipi yang saya buat simple sahaja. Jom tengok bahan-bahan yang digunakan dan langkah demi langkah yang telah saya sediakan. Selamat mencuba ye :) 

FRUITS AND WALNUT CAKE
Bahan-bahan
250 gm mentega  
200 gm gula perang  
4 biji telur - Gred A 
1 sudu teh esen vanilla 
280 gm tepung gandum *Diayak
1 sudu teh baking powder *Diayak
¼ cawan susu segar 
1 cawan buah-buahan kering campuran  
¾ cawan walnut - dicincang 
½ sudu teh tepung gandum - untuk digaul dengan buahan campuran  

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c. Sapu loyang saiz 8in x 8in dengan mentega dan lapik kertas kek . Ketepikan seketika.

2. Gaul buah kering campuran dan walnut dengan 1/2 sudu teh tepung gandum. Ini akan mengelakkan ianya tenggelam selepas kek masak.
3. Pukul mentega dan gula perang sehingga gebu, masukkan esen vanilla dan pukul lagi.
4. Masukkan telur satu persatu dan pukul hingga adunan sebati. Perlahankan kecepatan mixer masukkan tepung gandum yang telah diayak dengan baking powder sedikit demi sedikit (3 tahap) diselang seli dengan susu cair. Pukul sekadar adunan bercampur dan jangan terlebih mengadun.

5. Akhir sekali masukkan buah-buahan campuran dan walnut, kaup balik dalam adunan hingga sebati dan tuang kedalam loyang.
5. Bakar dalam jangkamasa 50 minit atau sehingga kek masak (setiap oven berbeza)

6. Setelah kek masak biarkan agak sejuk didalam loyang selama 10minit sebelum pindahkan diatas redai.

Asalamualaikum, 

Satu lagi koleksi resipi kek yang saya buat untuk lebaran yang lalu adalah Kek Mentega Pandan. Kek ini sangat gebu-gebas dan yang paling saya suka adalah kombinasi rasa pandan, kelapa kering dan santan dalam kek ini. 

Resipi asal adalah dari Chef Zubaidah tetapi dah ramai teman-teman blogger yang dah mencubanya termasuk Yatie Memories, Amie Little Kitchen dan Ita Masam Manis. Bagi yang ingin mencubanya saya kongsikan resipi dibawah ini bersama langkah demi langkah. Selamat mencuba ye :)
KEK MENTEGA PANDAN
Bahan-Bahan
270 gm mentega
230 gm gula kastor
5 biji telur
60 gm santan
1 sudu besar pes pandan
1 sudu teh pewarna hijau epal
240 gm tepung naik sendiri*
1/2 sudu teh serbuk penaik*(*diayak bersama)
30 gm kelapa parut kering
1 sudu teh esen vanilla

Cara-Caranya :

1) Sediakan loyang 8 inci. Sapukan sedikit mentega pada loyang dan alas dasar loyang dengan kertas kek.

2. Panaskan oven pada suhu 170C.

3. Pukul mentega dan gula kastor hingga sebati dan berkrim.

4. Masukkan telur satu persatu dan teruskan memukul. Kemudian masukkan esen vanilla, kelapa parut , pes pandan dan pewarna hijau.

 5. Masukkan tepung naik sendiri berselang seli dengan santan.

6. Tuangkan adunan ke dalam loyang 8 inc dan bakar pada suhu 170C selama 1 jam atau sehingga kek dimasak sempurna.Biarkan sejuk, barulah dipotong. 

Assalamualaikum, 

Bermula dari hari ini bolehlah saya kongsikan resipi kek-kek simple yang sempat saya buat sempena menyambut kedatangan lebaran penghujung bulan lepas. Maklumlah dah lama blog tak di update. Sementara datang kerajinan ni bolehlah tepek disini untuk rujukan sesiapa yang ingin mencubanya. 

Bagi follower atau pengunjung blog yang juga sahabat saya di facebook mesti perasan yang saya dah lama tak aktif berkongsi resipi dan link resipi disana kerana kesulitan untuk login ke facebook. Sekejap boleh sekejap pula loading, jadi buat sementara ini saya update di blog sahaja. Tetapi inshaAllah dalam masa terdekat ini saya akan pastikan juga facebook berfungsi seperti dulu lagi. 

Untuk hari ini jom kita cuba resipi kek marble 3 rasa atau resipi asalnya Tri Color marble cake yang saya ambil resipinya dari Kitchen Snippet.
KEK MARBLE 3 RASA
Bahan-bahan :
226gm mentega
220grm gula kastor
6 biji telur - Gred A
260gm tepung gandum 
4 sudu besar susu cair/susu segar
1 sudu teh baking powder
Pewarna makanan : saya guna warna hijau dan merah jambu
Perasa : Pandan/ strawberry dan vanilla

Cara membuatnya:

1. Sediakan loyang terlebih dahulu, sapu mentega dan lapik dengan kertas kek. Ketepikan seketika. Panaskan oven pada suhu 180'c.

2. Pukul mentega dan gula kastor hingga bertukar pucat dan gebu. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi hingga bercampur.
3. Ayak tepung dengan baking powder, perlahankan kecepatan mixer dan masukkan tepung tadi sedikit demi sedikit dan akhir sekali masukkan susu cair.
4. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan campurkan perasa pandan dan beberapa titis pewarna hijau. Satu bahagian lagi campurkan dengan perasa strawberry dan beberapa titis pewarna merah jambu dan biarkan bahagian terakhir tanpa warna dan titiskan sedikit perasa vanilla. 
5. Masukkan adunan berselang seli kedalam loyang dan bakar kira-kira 45minit atau sehingga kek masak (bergantung kepada oven masing-masing). Setelah kek masak, biarkan didalam oven selama 10minit dan pindahkan keatas redai untuk disejukkan.
Assalamualaikum, 

Dah lama tak update blog dan baru hari ini ada kesempatan. Seperti biasa saya suka buat kek yang simple untuk minum petang dan perkongsian hari ini adalah almond cake yang sangat mudah untuk dihasilkan dan sedap digandingkan dengan secawan kopi. Apalagi dalam suasana selepas hujan lebat di Langkawi seperti petang ini. 

Saya paling suka dengan rasa almond bercampur haruman parutan lemon didalam kek ini. Ditambah pula dengan kerangupan hirisan almond diatas kek...hmm memang lazat sekali. 

Bagi yang ingin mencuba...jom kita lihat resipi dibawah ni :) 

KEK ALMOND
Bahan-bahan
226 gram mentega
200 gram gula kastor
200 gram tepung gandum 
4 telur - Gred A
100 gram serbuk almond (badam)
2 sudu teh baking powder
4 sudu besar susu cair/susu segar
1 sudu teh parutan kulit lemon
2 sudu teh esen vanilla
potongan almond untuk taburan atas kek 

Bahan-bahan :

1. Ayak tepung gandum, serbuk almond dan baking powder. Gris loyang saiz 8” x 8” dan panaskan oven pada suhu 180'c.


2. Putar gula dan mentega hingga berkrim. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul lagi. 
  

3. Seterusnya masukkan parutan kulit lemon dan esen vanilla ,pukul hingga sebati.


4. Turunkan kecepatan mixer dan masukkan tepung sedikit demi sedikit di akhiri oleh susu. Kacau hingga sebati.


4. Tuang adunan kedalam loyang dan tabur dengan potongan almond. Bakar lebih kurang 45 - 50minit atau sehingga kek masak. Setelah kek sejuk sepenuhnya bolehlah dipotong dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Resipi kek buah sempoi Liza, tanpa telur dan gula ini saya ambil dari MyResipi dan resipi asal dikongsi oleh junjs 11. Keknya simple sangat dan pasti menjadi. Rasa manis kek ini kita perolehi dari susu pekat yang lemak-lemak manis dan buah-buahan campuran. Rasanya yang manis-manis buah ini sangat sesuai jika anda kurang mengambil makanan yang manis.

Jom lihat resipi dibawah ini dan terima kasih juga kepada pemilik resipi asal.    

KEK BUAH SEMPOI
Bahan A
250gm mentega
1 tin kecil susu pekat manis
200gm buah-buahan campuran (dalam kotak)
1 cawan air masak

Bahan B
3 cawan tepung gandum
1 biji oren diambil jus dalam 1/2 cawan (kalau tak ada, guna jus dalam kotak atau bancuh kordial jadi 1/2 cawan)
1 sudu teh soda bikarbonat

Cara membuatnya :

1. Campur mentega, susu pekat, buah campuran dan air masak kedalam periuk. Masak atas api perlahan hingga sebati dan mentega cair. 

2. Angkat dan biar sebentar, masukkan dalam peti sejuk semalaman. (Kalau nak buat esok pagi, masak malam ni dan simpan dalam peti sejuk (bukan dibahagian beku).

3. Keluarkan dan biarkan dalam 1 jam sebelum masukkan bahan B. Kacau dengan senduk hingga sebati.

4. Masukkan dalam loyang yang dialas dengan kertas dan digris. Bakar hingga masak ikut oven (saya masak dalam 1 1/2 jam).

*Simpan semalaman supaya jus dari buah tu meresap sekali. Warna kek pun perang sebab kismis dan adunan ni agak pekat. Buah-buah pun sekata, tak mendap.
Assalamualaikum, 

Jom try buat Kek Gula Melaka. Selain dari kurang manis, paduan aroma serbuk kayu manis dan gula melaka memang membuka selera. 

Kalau suka boleh juga diletakkan topping kegemaran seperti karamel, krim mentega ataupun nutella. Saya hanya hidangkan kek tanpa topping, itupun alhamdulillah mendapat sambutan hangat dan pujian daripada teman sekerja. Memang sedap gandingkan dengan secawan kopi panas.

Bagi yang nak cuba buat dirumah, jom tengok resipi dibawah ni beserta langkah demi langkah mudah :) 

KEK GULA MELAKA 
loyang : 8 inci 
5 biji telur - Gred A
200gm gula melaka - disisir terlebih dahulu bari ditimbang
1/2 sudu besar ovelette
50gm gula kastor
250gm tepung gandum 
1/2 sudu teh serbuk kayu manis 
150gm margerin - dicairkan 

Cara membuatnya : 

1. Panaskan oven pada 180'c 

2. Pukul gula merah, telur dan gula pasir sehingga separuh menggembang, masukkan ovelette dan pukul lagi sehingga gebu dan berkrim.

3. Turunkan speed mixer kepada kecepatan yang paling rendah dan masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit beserta serbuk kulit kayu manis.

4. Pukul rata sehingga semua bercampur tetapi jangan terlebih putar. 


5. Matikan mixer, masukkan margerin cair dan kaup balik sehingga adunan bercampur rata.

6. Tuang kedalam loyang dan bakar selama 45minit ataupun sehingga masak.

Assalamualaikum, 

Kek Mentega Oren ni memang kegemaran keluarga saya dan tak pernah miss membuatnya setiap kali tibanya hari lebaran atau ada majlis kenduri kendara. Rasanya yang agak 'light' dan kurang manis tu memang memikat selera. Bahan-bahan yang digunakan pun tak banyak dan dijamin menjadi jika ikut step by step yang disediakan.   

Jom tengok, apa saja bahan yang diperlukan untuk kek ini dan jangan lupa untuk mencuba ye :) 

KEK MENTEGA OREN
Bahan-bahan
227gm mentega
200gm gula kastor
4 biji telur - Gred A
1 sudu besar parutan kulit oren - Parut bahagian kuning sahaja 
270gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
5 sudu besar jus oren

Cara membuatnya :

1. Lengserkan loyang bulat bersaiz  8 inci  dan panaskan loyang 180'c. Ayak tepung dan baking powder, ketepikan seketika.

2. Putar gula dan mentega hingga berkrim. 

 3. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi hingga adunan menjadi ringan dan gebu. Masukkan pula parutan oren.

 4. Perlahankan kecepatan mixer dan masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan jus oren. Kacau hingga bercampur rata.


 5. Tuang adunan kedalam loyang dan bakar selama 50minit ataupun sehingga kek masak. Sejukkan kek sebelum dipotong.


Assalamualaikum, 

Lama benar saya tak update blog, dah hampir sebulan. Kali ini paling lama rasanya blog ini terbiar tidak dijenguk, apalagi update. Hari ini ada sedikit kesempatan saya masukkan resipi kek minyak senang dan sedap yang saya buat atas permintaan anak sulung sebelum balik ke asrama semalam. 

Saya guna resipi dari linapg yang dah diubahsuai sedikit dari resipi asal. Betullah kata lina, rupanya resipi kek minyak ni dah lama dihantar oleh kemma81 iaitu pada tahun 2008 ke MyResipi sebelum mula tersebar dan viral sekejap di Facebook pada tahun 2013 dulu. Apapun sumbernya, terima kasih semuanya kepada yang sudi berkongsi. Kek ini memang mudah sangat nak buat dan tak muak walaupun makan banyak.

Saya masukkan resipi ini kesini pula untuk rujukan anak dara saya yang seorang tu dan kepada sesiapa yang ingin mencuba. Oh ya, kalau nak kek yang tebal sedikit sila guna loyang saiz 8inci. Yang dalam gambar ni saya guna loyang saiz 9 inci. Jom...
KEK MINYAK SENANG DAN SEDAP
Sumber : linapg & MyR

Bahan-bahan
5 biji telur
1/2  cawan gula kastor
2 cawan tepung gandum diayak bersama 1 sudu teh baking powder.
3/4 cawan susu pekat
1 sudu besar ovallate
1 cawan minyak masak
1 sudu teh esen vanilla (saya guna beberapa titis esen pisang untuk warna kuning, esen keladi untuk warna ungu dan esen pandan untuk warna hijau)

Cara membuatnya :

1. Pukul telur bersama gula dan ovallate hingga kembang.

2. Masukkan susu pekat dan esen vanila, pukul lagi sekejap.

3. Masukkan minyak masak dan pukul lagi tapi hanya sekadar untuk adunan bergaul rata.

4. Akhir sekali masukkan tepung gandum, gaul rata. Selepas itu, bahagikan adunan kepada 3 warna.

5. Lenser tin kek berukuran ( 8 x 8 x x2 ) inci dgn mentega, taburkan dengan tepung gandum dan ratakan. Jangan terlalu tebal.Tuang setiap adunan secara berselang-seli dalam bentuk lingkaran hingga habis.

6. Bakar pada suhu 170 darjah selama 40-45 minit. Utk menguji kek dah masak ke belum, cucuk tengah kek dengan lidi. Jika masih melekat tapi permukaan dah kekuningan, tutup permukaan kek dengan tudung periuk. Ini bertujuan supaya permukaan kek tidak hangus.Setelah masak, sejukkan dulu, baru potong.


Assalamualaikum, 

Salam petang jumaat penghulu segala hari. Hari ini saya ingin kongsikan resipi kek epal berkacang yang dah agak lama saya buat dan tersimpan dalam draft. Rasa kek ini yang masam-masam manis hasil paduan epal cincang, jus oren sunquick dan aneka jenis kekacang memang sedap dan ada kelainan. 

Baiklah hari ini tak dapat nak berceloteh panjang sebab ada banyak kerja yang harus diselesaikan di pejabat menjelang perayaan tahun baru cina yang akan disambut esok. Kita langsung sahaja lihat resipi ye :) 

KEK EPAL BERKACANG 
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum 
1 1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh baking soda
1/2 sudu teh garam halus
1 biji telur
1 cawan gula kastor
1/4 cawan jus oren sunquick
1/2 cawan air panas 
2 sudu besar metega - cairkan
1 cawan isi epal - dicincang
1/4 cawan aneka jenis kekacang 

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c.

2. Campur tepung gandum, baking powder, baking soda dan garam halus dalam mangkuk besar dan kacau rata.

3. Didalam mangkuk lain, pukul telur bersama gula menggunakan spatula/whisk, campur jus oren, air panas, mentega cair dan kacau hingga sebati.
4. Masukkan campuran tepung kedalam bahan basah dan masukkan juga epal cincang.
5. Seterusnya masukkan kekacang dan tuang adunan kedalam loyang yang telah digris mentega dan lapik kertas baking terlebih dahulu. 
6. Bakar didalam oven lebih kurang 50 hingga 60 minit atau sehingga kek masak.