Memaparkan catatan dengan label KUDAPAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KUDAPAN. Papar semua catatan
Assalamualaikum,

Panasnya cuaca kebelakangan ini kan? Tapi waktu malam cuaca dinginnya sampai off segala aircond dan kipas pula. Dalam cuaca yang tidak menentu macam sekarang ni kenalah banyak minum air dan makan buah-buahan. Kesihatan kena juga dijaga. 

Ini cerita semalam bila bercuti dan bersama si bongsu dirumah. Saya buatkan buah lai asam boi dan masukkan sebentar didalam peti ais. Sedapnya alahai makan sejuk-sejuk. Rangup buah lai dengan rasa masam, manis dan sedikit pedas benar-benar menggoda selera. Kiranya tak sedar, tahu-tahu dah habis 2 biji buah lai yang beratnya hampir 900gm tu. Hihihi...memang asyik makan buah lai asam boi sambil menonton TV. 

Rasanya semua dah tahu cara nak buat buah lai asam boi ini, tetapi saya kongsikan sekali lagi bagi yang belum pernah buat. Boleh juga gantikan dengan buah-buah kegemaran yang lain. Selamat mencuba ye :) 
BUAH LAI ASAM BOI 
Bahan-bahannya 
2 biji buah lai (berat buah yang saya gunakan adalah hampir 900gm)
5 tangkai cili padi 
2 sudu makan gula pasir
1 sudu teh garam
30 biji asam boi merah

Cara membuatnya :

1. Kupas buah lai, buang biji dan potong memanjang.

2. Masukkan gula, garam dan cili padi. Dalam gambar dibawah ni saya masukkan gula kastor sebab tu nampak halus. Nanti ada yang salah faham ingatkan garam pula ye. Garam sedikit sahaja (1 sudu teh). Tak perlu masukkan air kedalam buah lai asam boi kerana campuran garam dan gula pun dah buatkan ianya berair.



3.  Masukkan pula asam boi merah kedalam potongan buah lai. Kalau saya memang letak 30biji sebab suka rasa masam asam boi tu.




4. Akhir sekali gaulkan semua sebati dan bolehlah dihidangkan. Kalau sejukkan lagilah sedap. Selamat mencuba ye.


Assalamualaikum, 

Selalunya jika ada roti yang menghampiri tarikh luput kita buatkan puding karamel atau puding roti dan memang larislah selepas itu. Hari ini saya ingin berkongsi satu lagi resipi yang boleh dihasilkan daripada roti putih. Sesuai dibuat kudapan dan anak-anak pasti suka dengan rasa dan keranggupannya.

Nak membuatnya memang semudah ABC tetapi pastikan jangan terlebih susu ketika menyalut roti kerana roti akan menjadi lembik dan kembang sedikit ketika dibakar didalam oven. Cara yang terbaik adalah menyapu susu pekat dengan berus dipermukaan roti sebelum menyalut dengan bijan. Satu lagi jika anda dapati roti sudah elok masaknya dan kelihatan garing tetapi masih lembik, jangan risau kerana sebaik sahaja keluar dari oven roti ini akan menjadi ranggup. 

Jom cuba buat...hanya tiga bahan yang diperlukan :)

JEJARI ROTI RANGGUP BERBIJAN
8 Keping roti putih atau lebih
1/2 cawan susu pekat manis 
1/2 cawan bijan

Cara membuatnya:

1. Buang kulit disekeliling roti dan gunting sekeping roti kepada 6 bahagian.


2. Celupkan roti yang dipotong tadi kedalam susu pekat manis tetapi jangan terlebih susu kerana roti akan menjadi lembik ketika dibakar. Jika kurang mahir mengagak ketebalan susu yang harus disalut, sila gunakan berus untuk menyapu susu dipermukaan roti.



3. Golekkan roti yang dicelup susu tadi kedalam bekas bijan dan pastikan semua bahagian bersalut bijan.



4. Bakar di dalam oven pada suhu 180'c selama 10minit atau sehingga roti garing. Saya gunakan api atas dan bawah.

5. Bila roti sudah sejuk bolehlah dimasukkan kedalam bekas kedap udara.
Assalamualaikum, 

Suka tak makan cendawan goreng? Pasti ramai yang suka kalau cendawan yang di goreng tepung itu ranggup dan tidak berminyak. Kalau makan kat restoran seafood yang menyediakan cendawan goreng tepung ni hasilnya memang ranggup, tapi bila kita buat sendiri di rumah, ada kalanya cendawan tersebut menjadi lembik dan berminyak.

Bila buat carian di google ada yang memberi petua cendawan itu tidak perlu di basuh   terlebih dahulu dan langsung sahaja salut dengan bancuhan tepung dan goreng. Tapi, sanggup ke tidak membasuh cendawan yang di beli dari pasar basah yang tidak di jamin kebersihannya? kadangkala saya lihat  peniaga hanya lambak cendawan yang di jual dan belum di kira lagi dengan  lalat yang berterbangan. Lainlah jika kita sendiri yang tanam cendawan tersebut, pasti kebersihannya terjaga.

Petua yang saya gunakan adalah membasuh cendawan itu terlebih dahulu dan perah agar keluar air basuhan yang di serap tadi. Jika cendawan itu agak lebar, bolehlah di siat-siat sedikit sebelum di celup ke dalam bancuhan tepung  dan mula menggoreng dengan minyak panas.

Selalunya nak cepat saya gunakan tepung segera yang di jual di pasaraya dan hasilnya tetap ranggup dan sedap. Tapi kalau tak ada tepung goreng di rumah, boleh juga mencuba resepi di bawah ni.
CENDAWAN GORENG TEPUNG YANG RANGGUP

Sumber : Puan Bee

Bahan-bahan 
1 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
1 cawan air sejuk (dalam peti ais tu)
1 sudu besar mentega
Sedikit lada sulah
Garam secukupnya
250g cendawan - di basuh dan perah
1. Kisar bahan di atas hingga menjadi adunan dan tuang ke dalam mangkuk besar.
2. Panaskan minyak , cukup-cukup untuk goreng dan tenggelamkan cendawan tu , celup cendawan dalam tepung yang telah dikisar dan goreng sampai kekuning-kuningan. 
3. Angkat dan toskan. Boleh lah di hidangkan dengan sos atau mayonis. Saya suka gandingkan dengan sos cili thai.

Assalamualaikum,


Kudapan yang satu ini memang sedap dan menjadi kegemaran anak-anak saya. Tiap kali pulang dari sekolah mesti terselit plastik berisi kacang pedas di tangan. Sama macam saya waktu kecil dulu dan nampaknya kudapan yang satu ini memang sudah lama wujud ya...bayangkan sejak saya kecil.

Saya ingat lagi dulu masa zaman persekolahan ada teman bawa dan jual senyap-senyap di dalam kelas. kiranya 'black market' lah masa tu. Maklumlah, kalau tahu dek cikgu memang dikenakan tindakan. Jual pun tidaklah mahal mana, sebungkus 50sen sahaja dah puas makan. Sekarang ni anak-anak saya beli sebungkus RM 2.00 pun sikit je isinya. 

Kalau ada masa tu, saya buatkan juga untuk anak-anak. Tapi proses nak rebus kacang kuda ni memang lama. Sebaiknya di rendam dahulu semalaman dan esoknya bila rebus cepat empuk..kecualilah kalau ada pressure cooker. Nak cuba buat sendiri di rumah? Jomlah kita tengok resepinya... :).
KACANG KUDA PEDAS DENGAN IKAN BILIS 
Sumber : Marjina- MyR

Bahan-bahan
300gm kacang kuda - direndam semalaman dan direbus hingga empuk dan tos airnya
segenggam Ikan bilis - digoreng  (saya guna yang paling kecil - x perlu di kopek)
1 biji bawang besar - dihiris
1 cawan air asam jawa
Serbuk cili - letak mengikut selera pedas masing-masing (nak sedap lagi letak cili kisar)
2 pelepah daun kari
Garam + gula secukupnya
Cara-cara:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga wangi.

2. Masukkan serbuk cili dan air asam jawa. Biarkan serbuk cili masak dan menjadi pekat.
3. Masukkan gula dan sedikit garam.

4. Masukkan kacang kuda yang siap direbus empuk dan ditos tadi. Biarkan hingga kering.
5. Masukkan daun kari dan akhir sekali masukkan ikan bilis yang telah digoreng. Tutup api dan sedia untuk dihidang.

Assalamualaikum,


Petang-petang begini sedap 'mengudap' jagung rebus cicah pula dengan kelapa parut sambil menonton TV. Nak nak pula layan cerita hindustan...hmmm, sedar tak sedar habis setongkol jagung  di kerjakan.

Teringat zaman kanak-kanak dulu. Selalunya kalau di kampung kegunaan kelapa parut ni selain daripada di hidangkan dengan kuih tradisional seperti lompang, lopes, onde-onde(buah melaka) atau kasui, ianya di hidangkan juga dengan ubi kayu, keledek atau pisang rebus. Hmmm bagi orang yang di besarkan di kampung seperti saya ni memang sedap sangatlah hidangan begini. Mengembalikan nostalgia lama dengan ibu. Selalunya kelapa yang ibu gunakan di kukur sendiri dan ubi kayu, keledek, jagung atau pisang pula di tanam sendiri di belakang rumah. Zaman saya kanak-kanak dulu inilah yang paling sedap...tak adalah nak mewah dan bersantai di restoran makanan segera macam anak-anak sekarang.

Baiklah, jom kita kembalikan nostalgia dengan jagung rebus cicah kelapa...:)
JAGUNG REBUS DAN KELAPA PARUT
Bahan-bahan
Beberapa tongkol jagung (saya gunakan 6 tongkol - beli rm 10.00 je dari pasar malam :)
Garam 
Gula 
Kelapa parut 

Cara memasak:

1. Kupas kulit jagung, tetapi tinggalkan satu lapisan nipis. Ini adalah untuk mengelakkan isi jagung menjadi kecut selepas di rebus.
2. Masukkan garam secukup rasa ran rebuslah hingga masak dan empuk. Sementaramenunggu jagung masak, gaulkan gula dengan kelapa parut dan ketepikan.
3. Setelah jagung masak, hiris isi jagung dan masukkan ke dalam sebuah mangkuk. Gaulkan dengan kelapa parut tadi dan sedia di nikmati. 

Assalamualaikum,


Salam pagi jumaat, penghulu segala hari. Jika di Kedah, Terengganu dan Kelantan...hari ini merupakan cuti minggu. Walaupun saya menetap dan bekerja di Langkawi, saya tetap bekerja hari ini dan cuti mingguan saya adalah pada hari sabtu & ahad. Ini adalah biasa bagi kerjaya yang melibatkan customer service dan berurusan dengan pelancong dari dalam dan luar negara. Kadang-kadang cuti mingguan juga berubah-ubah bergantung kepada graf kemasukkan pelancong terutamanya pada cuti umum atau cuti sekolah. 

Baiklah...hari ini tak mau bercakap soal kerja, dan seperti biasa...saya ingin berkongsi resepi yang mudah-mudah sahaja dan yang penting sedap. Suka tak makan tauhu sumbat? Ada dua jenis kuah sampingan yang di hidangkan dengan tauhu sumbat ni, dan hari ini saya ingin berkongsi resepi kuah kacang yang sangat sedap. Resepi asalnya dari Chef Hanieliza dan saya ambil di SINI. Menurut kak Liza, kuah ini adalah kuah sate dan sesuai juga di makan dengan nasi impit. Jika begitu..sesuai jugalah di makan dengan tauhu sumbat yang saya sediakan ni, kan. Baiklah...jomlah kita lihat resepinya...:)
TAUHU SUMBAT
Bahan-bahannya 
6 keping tauhu 

Di potong halus seperti mancis
1 batang lobak merah 
1 biji timun  
sedikit ubi sengkuang 

segenggam taugeh - di bersihkan dan celur seketika
Cara membuatnya:-

1. Gaul sedikit garam dengan tauhu dan goreng hingga kekuningan. Toskan minyak. 

2. Belah dua tauhu (menjadi segitiga) dan sumbat sayuran yang di potong halus tadi ke dalamnya.
3. Hidangkan dengan menyiram kuah kacang ke atas tauhu tersebut.

KUAH KACANG
Bahan-bahan
1/2 kg kacang tanah - di goreng, buang kulitnya dan tumbuk kasar.
1/2 cawan air asam jawa
1/2 cawan gula merah
1/2 cawan minyak masak
garam secukup rasa

Bahan mesin
5 sudu besar cili mesin
4 batang serai
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
2 biji buah keras

Cara membuatnya:

1. Tumiskan bahan mesin sehingga wangi dan garing.

2. Bila dah naik minyak masukkan air asam jawa dan kacang. Tambahkan sedikit air jika pekat sangat.

3. Masukkan gula dan garam secukupnya. Masakkan dengan api perlahan sehingga naik minyak.

4. Sedia untuk di hidangkan.




Assalamualaikum,

Petang-petang begini asyik jika dapat mengudap makanan ringan sambil bersantai. Kudapan yang sihat adalah yang di buat sendiri di rumah kerana bebas dari serbuk perasa dan kandungan garam yang tinggi.

Hari ni saya ingin berkongsi resepi rempeyek yang di buat dari sayur bayam. Bayam ini adalah pemberian dari seorang teman hasil dari kebun nya sendiri. Daunnya segar dan besar dan sesuai sangat di buat rempeyek. Soal rasanya, memang sedap sekali dan rangup. Sungguh mengasyikkan bila di kunyah apalagi jika sedang berkumpul dengan teman-teman atau keluarga sambil menonton TV. Jom langsung saja kita lihat resepinya... :)

REMPEYEK BAYAM 
Sumber : lan_ieza (my resepi)

Satu ikat daun bayam hijau yang segar - basuh dan toskan 
150gm tepung beras
150gm tepung jagung 
1 sudu besar jintan manis - di kisar halus 
1 sudu besar jintan putih - di kisar halus
1 sudu besar ketumbar - di kisar halus
4 ulas bawang putih - di kisar 
segenggam udang kering - di kisar 
1 biji telur
1 sudu besar air kapur makan
1 kotak kecil santan segera
air untuk bancuhan adunan
garam dan minyak untuk menggoreng 

Cara-cara

1. Campur semua bahan (kecuali daun bayam) dan campur air, kacau hingga sebati.

2. Jika adunan terlalu pekat, tambah air begitu sebaliknya jika cair tambah sedikit tepung.


3. Celup daun bayam kedalam adunan dan goreng dengan api perlahan.

5. Nota : Jika daun habis dan masih berbaki adunan, boleh di tambah kacang tanah dan buat rempeyek biasa.



Assalamualaikum :)

Waktu begini kalau buat goreng pisang tentu enak di gandingkan dengan teh atau kopi panas untuk tea break. Apalagi jika goreng pisang tu ranggup dan kurang berminyak. Jika jemu dengan goreng pisang biasa yang sering kita buat, apa kata mencuba resepi goreng pisang ala Taiwan ni. Resepi ini saya ambil dari google juga, dan mudah sangat di sediakan serta tidak perlu membancuh adunan tepung untuk di salut dengan pisang yang akan di goreng.

Sesekali tak salahkan jika bertukar selera :). yang penting keluarga suka apa yang kita masak. Baiklah, jika ingin mencuba resepinya ada saya sertakan di sini...

CRISPY FRIED BANANA - TAIWAN STYLE 
Bahan-bahan
Beberapa biji pisang (apa-apa jenis pisang yang sesuai di goreng)
1 cawan tepung gandum
2 biji telur - di pukul ringan
susu pekat manis
1 cawan serbuk roti
1/4 cawan kacang tanah - di kisar
1/4 cawan serbuk kelapa kering (coconut flakes)

CARA MEMBUAT:

1. Kupas pisang dan potong kecil.


2. Golekkan pisang kedalam tepung gandum, angkat masukkan kedalam telur yang di pukul dan golekkan sekali lagi pisang tadi kedalam serbuk roti.

3. Goreng pisang yang telah di salut hingga garing dan angkat. 


4. Untuk menghidangkannya, tuang susu pekat di atas pisang goreng tadi dan taburkan kelapa kering dan serbuk kacang tanah.   








Assalamualaikum,

Petang-petang begini apa kata kita masak kudapan. Boleh juga di hidangkan kepada anak-anak sambil bersantai menonton TV. Kudapan yang kita sediakan sendiri pasti lebih enak dan sihat dari yang di beli di luar dan boleh di olah dengan mencampurkan bahan-bahan yang di sukai oleh anak-anak kita sendiri. Seperti anak saya ini, mereka gemar makan sosej dan kentang.

Resepi kroket ini sebenarnya saya buat sempena minggu 'cook along' di group masakan GTPM -facebook dengan tema masakan berasaskan kentang. Rasa kroket ini sungguh ranggup dan sedap sekali. Apalagi di nikmati semasa masih panas...memang laris dengan anak-anak, malah minta di buatkan lagi :)

Saya ingin berkongsi resepinya di sini. Cubalah...resepinya ringkas sangat dan yang penting sungguh sedap dan ranggup :)

  
       KROKET KENTANG BERKEJU 
500gm kentang - di kukus hingga lembut dan di lecek 
2 batang sosej 
50gm keju cheddar di parut
3 sudu besar jagung dalam tin - whole kernel
garam secukupnya
1 sudu teh serbuk lada sulah 
minyak untuk menggoreng 

BAHAN UNTUK DI SALUT
50gm tepung gandum 
2 biji telur ayam di pukul sedikit
50gm serbuk roti 
CARA MEMBUATNYA 

1. Kentang di potong dadu, dan kukus hingga empuk serta di lecek.

2. Campur kentang lecek, keju parut, sosej dan jagung, masukkan juga garam, serbuk lada sulah dan uli perlahan-lahan.


3. Bentukkan bulat-bulat seperti bola pingpong. Golekkan adunan di atas tepung gandum hingga rata, celup dalam telur dan angkat.

4. Golekkan semula adunan di dalam serbuk roti hingga rata.

5. Panaskan minyak, goreng adunan hingga masak. Angkat dan bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum :)

Petang-petang begini makanan ringan atau kudapan apa yang enak, ya? Kacang bawang putih juga enak dan ranggup serta mudah di sediakan. Cukup enak di nikmati petang-petang begini sambil bersantai menonton television. Sedar tak sedar sudah habis sebalang kacang di kunyah :)

Jom kita lihat resepinya...  


KACANG GORENG BAWANG PUTIH
500gm Kacang tanah tanpa kulit
10 ulas bawang putih di tumbuk dengan sedikit garam 
6 ulas bawang putih di hiris nipis dan di goreng hingga garing & kekuningan 
Segenggam ikan bilis - Di goreng garing 
Air 
Minyak masak
Satu sudu kapur makan

Cara-cara

1. Masak air di dalam periuk. Bila mendidih tutup api dan tuangkan kacang serta campurkan kapur makan. Biarkan selama 10minit dan toskan.


2. Gaul kacang dengan bawang putih bercampur garam yang di tumbuk tadi dan perap selama 30minit.



3. Panaskan minyak. Goreng kacang tadi sehingga hampir kekuningan.


4. Bila dah masak toskan. Bila kacang sudah sejuk bolehlah di gaul dengan ikan bilis dan bawang putih yang telah di goreng berasingan tadi dan masukkan ke dalam balang kedap udara.