Memaparkan catatan dengan label PIZZA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PIZZA. Papar semua catatan
Assalamualaikum,

Lama tidak berblogging ye. Apa khabar agaknya pembaca-pembaca blog yang tetap setia masuk ke sini walaupun dah lama saya tidak berkongsi resipi baru. Harapnya semua dalam keadaan baik dan sihat-sihat selalu.

Petang ini saya ingin berkongsi resipi Hawaiian Pizza II. Ini adalah entry Hawaiian pizza saya yang kedua dalam blog ini. yang pertama ada DISINI. Resipinya pun lebih kurang juga dengan entry yang lama, malah gambar step by step dalam entry ini pun saya ambil dari sana. Saya paling suka Hawaiian pizza sebab ada nenas didalam bahan topping. Rasa nenas yang masam-masam manis tu lah yang buatkan pizza ini bertambah sedap.

Jom menguli pizza :D

HAWAIIAN PIZZA II
Bahan Doh
2 cawan tepung gandum 
2 sudu besar susu tepung
½  sudu teh garam 
½  sudu besar bread softener 
1 sudu besar minyak sayuran 
2 sudu teh yis 
1 sudu teh gula 
160ml air suam 

Topping
Keju Mozarella secukupnya
sosej - dihiris nipis
Nanas dalam tin - potong kiub 
sos pizza/sos prego
parsley kering
cendawan butang dan lada benggala - dihiris

Cara-caranya :

1. Masukkan gula dan yis kedalam bekas air suam, kacau dan biarkan hingga berbuih.

2. Campur tepung, susu tepung dan bread softener kedalam satu bekas. Buat lubang ditengahnya dan tuang yis yang telah berbuih tadi. Masukkan pula minyak sayuran dan garam. Sebatikan dan uli hingga menjadi doh.

3. Setelah doh elastik, masukkan kedalam bekas besar yang telah disapu sedikit minyak.Tutup bekas dengan plastik atau tuala dapur lembab. Biarkan kira-kira 30minit hingga doh naik kemudian tekan-tekan doh agar angin keluar.

4. Ambil adunan, uli sebentar dan leperkan setebal 1.5cm kedalam loyang. Biarkan adunan mengembang lagi kira-kira 10minit.

5. Seterusnya cucuk-cucuk adunan dengan garfu dan sapu sos pizza/prego tadi dan letakkan bahan-bahan topping yang lain.

6. Bakar pizza selama 25-30minit pada suhu 200'c dan setelah masa bolehlah dihidangkan.

Assalamualaikum,

Petang-petang dihujung minggu begini memang seronok bersantai dengan keluarga dirumah. Bila dah berkumpul ramai-ramai begini selalunya yang diminta adalah pizza panas-panas hasil tangan mama lah. Kalau makan diluar selalunya tak puas sebab sedikit benar jadi buat sendiri juga yang puas hati. Nak nak pula letak keju banyak-banyak...fuh sekejap je habis pizza seloyang besar.

Kalau ikut resipi ni dapatlah pizza jumbo saiz 10in x 13in. Kalau tak nak buat loyang besar boleh je jadikan mini pizza atau bahagikan kepada dua loyang saiz 8inci.

Jom lihat resipinya :) 
PIZZA JUMBO
Bahan-bahan
200ml air 
14gm gula 
3gm yis
300gm tepung protein tinggi
6gm susu tepung 
16gm shortening 
3gm garam 

Topping 
Cheese mozarella
sos spaghetti 
sosej secukupnya 
Cendawan butang - dihiris
Lada benggala

Cara membuatnya :

1. Campur air suam dan gula dengan yis. Tunggu kira-kira 15minit sehingga berbuih.

2. Masukkan tepung protein tinggi, susu tepung dan garam kedalam bekas adunan. Kemudian tuang campuran air dan yis yang telah berbuih sambil diuli.

3. Masukkan pula shortening dan uli lagi. Setelah adunan licin dan elastik, masukkan kedalam mangkuk besar dan tutup dengan plastik kira-kira 60minit atau sehingga mengembang.

4. Nipiskan adunan, masukkan kedalam loyang. Letak topping dan tabur parutan keju. 

5. Biarkan adunan mengembang lagi selama 15minit sebelum masukkan kedalam oven.

6. Bakar selama kira-kira 15 minit pada suhu 180'c. Keluarkan dari oven, sapu mentega atau minyak zaitun di tepi pizza dan bolehlah dihidangkan.


Assalamualaikum, 

Sepanjang cuti persekolahan minggu lepas berkali-kali juga saya buatkan pizza atas permintaan anak-anak. Antaranya ialah Pizza udang, pizza mini dan bun pizza. Untuk hari ini saya ingin kongsikan resipi bun pizza yang paling laris sekali. Sekejap sahaja dah habis. Lagipun saya hanya buat satu adunan seperti resipi dibawah ini, jadi dapatlah 8 biji bun. Cukuplah untuk minum petang.

Untuk intinya, bolehlah dipelbagaikan bahan-bahan mengikut selera masing-masing. Saya letak banyak inti kedalam setiap bun, jadi memang puas hati bila makan. Tapi..bagi yang belum pernah mencuba dan takut inti terkeluar dari roti, bolehlah kurangkan sedikit inti tu :D  

Baiklah bagi yang ingin mencubanya jom kita lihat resipi dibawah ni :) 

BUN PIZZA
Bahan-bahan
1 1/2 cawan tepung gandum 
1/2 cawan susu segar 
2 sudu besar minyak masak/zaitun
1 sudu teh garam
1 1/2 sudu teh gula
1 sudu besar yis

Bahan Inti
1 biji Lada benggala - dicincang 
1 labu bawang besar - dicincang
cendawan secukupnya (pilihan, jika suka)
1/4 cawan keju mozzarella diparut 
1/4 cawan sos tomato/spaghetti
secubit garam
4 batang sosej - dicincang
minyak untuk menumis

Cara membuatnya :

1. Panaskan susu hingga suam-suam kuku. Larutkan gula dan yis kedalam susu tersebut dan biarkan selama 10minit hingga yis kembang. 

2. Masukkan pula tepung kedalam mangkuk besar dan buat lubang ditengahnya. Masukkan minyak masak, garam dan yis yang telah kembang tadi dan uli perlahan-lahan. Jika adunan agak melekat, taburkan sedikit tepung ketika menguli dan jika adunan agak kering, percik sedikit air. 


3. Rehatkan adunan selama 1 jam didalam mangkuk yang ditutup dengan plastik. Selepas sejam, adunan seharusnya telah naik dan kembang. Tumbuk adunan untuk keluarkan angin dan uli lagi dan bahagikan kepada 8 bahagian.
4. Sementara itu sediakan inti. Tumis lada benggala, sosej dan bawang besar hingga wangi. Masukkan sos tomato/spaghetti, keju dan sedikit garam. Kacau hingga sebati dan matikan api dapur.

5. Leperkan adunan dan masukkan inti kedalamnya.
6. Atur bun kedalam loyang dan biarkan naik seketika (dalam 10minit).
7. Panaskan oven pada suhu 190'c dan sapu sedikit susu segar di permukaan roti sebelum dibakar selama lebih kurang 20minit atau sehingga bahagian atas bun bertukar keperangan. Setelah masak, keluarkan dari oven dan sapu dengan mentega sebelum sejukkan roti diatas redai.

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, balik kerja tadi sempat juga menguli tepung untuk buat pizza mudah. Mudah kerana saya letakkan apa sahaja yang ada dalam petiais sebagai toppingnya. Untuk sosnya pun saya hanya gunakan baki sos lebihan spaghetti. 

Kali ini saya buatkan roti pizza agak tebal sebab selalunya anak-anak cakap tak puas makan. Hehehe...dah buat tebal macam ni memang mengenyangkan walaupun makan sepotong. Nampaknya malam ini memang anak-anak tak makan nasi dah.

Nak cuba buat sendiri dirumah? jom lihat resipi :) 

PIZZA SIMPLE
2½ cawan tepung gandum 
½ sudu teh gula
½ sudu teh garam 
1½  sudu besar yis
3 sudu besar minyak 
1 cawan air suam
2 sudu besar tepung gandum untuk menguli 

Untuk Topping 
Sos Spaghetti secukupnya - Saya guna perasa Tradisional 
1 cawan cheese mozzarella - parut
5 batang crab stick - dipotong 
5 batang sosej - dipotong 
1 cawan cawan potongan lada benggala
1 cawan cendawan
Daun parsley kering secukupnya

Cara membuatnya :

1. Masukkan yis kedalam air suam dan kacau. Biarkan selama kira-kira 5minit sehingga yis berbuih (kembang).

2. Didalam mangkuk adunan, campurkan tepung, gula, garam dan minyak sambil dikacau hingga bercampur.

3. Masukkan air bercampur yis tadi sedikit demi sedikit kedalam adunan sambil diramas. Uli sehingga doh menjadi licin serta elastik. Jika adunan terlalu lembik tekap tangan dengan tepung gandum dan teruskan menguli. 
4. Gris mangkuk besar dengan minyak, masukkan doh kedalamnya. Tutup dengan plastik dan biarkan doh naik (kira-kira 45minit ke 1jam).

5. Kempiskan adunan dan uli diatas permukaan yang telah ditabur tepung. Bahagikan kepada dua adunan. Rehatkan adunan selama 5minit sebelum dinipiskan kedalam loyang.
6. Sapu sos spaghetti keatas doh pizza dan tabur dengan bahan topping. Bakar didalam oven selama 15 hingga 20minit atau sehingga masak.


Assalamualaikum, 

Petang-petang hari begini sedap kalau dapat menikmati secawan teh dengan Bun Pizza Gulung yang panas-panas baru keluar dari oven, hasil dari air tangan sendiri, kan? Harum je baunya ketika dipanggang.

Tapi, ramai yang fikir dua kali kalau nak buat roti, kerana nampak macam susah. Tambah-tambah 'part' nak uli tu. Maklumlah tak semua yang ada bread maker dirumah. Jangan risau kerana selain daripada bread maker, boleh juga gunakan whisk atau pemutar adunan yang biasa kita gunakan untuk membuat kek tu. Kan ada dua jenis hook...gunakan hook yang berbentuk spiral. Lepaslah kalau sekadar uli adunan dalam kuantiti yang kecil untuk keluarga dirumah. Nak buat pizza pun mudah. Kalau whisk anda panas semasa menguli, matikan sebentar dan sambung menguli lagi. Mungkin ramai yang dah tahu, tapi ada pengikut blog ini yang email kepada saya bertanya tentang fungsi spiral hook ini. Jadi saya kongsikan disini hari ini.

Baiklah bagi yang nak try buat bun pizza gulung pula, jom kita lihat resipi dibawah ini :) 

BUN PIZZA GULUNG
122gm tepung protein tinggi
8gm susu tepung
3gm yis
90gm (sebiji telur dicampur susu cair) - timbang
secubit garam
20gm mentega

Untuk topping
Sos spaghetti segera secukupnya - saya guna perasa tradisional 
5 batang sosej
5 batang filamen ketam
1/2 biji bawang holand - dipotong
1/2 biji lada benggala - di potong 
cendawan secukupnya 
keju parut secukupnya
secubit serbuk oregano

Cara membuatnya :

1. Campur telur dan susu cair sambil dipukul rata. Masukkan tepung,yis dan susu tepung sambil di uli.

2. Uli sehingga adunan sebati baru masukkan mentega serta garam. Uli lagi hingga adunan benar-benar kenyal.
3. Masukkan adunan kedalam mangkuk besar dan tutup dengan plastik/tuala dapur selama lebih kurang 10minit. 

4. Keluarkan adunan dan leperkan dengan ketebalan 1/2cm. Sapukan sos spaghetti, tabur semua bahan-bahan untuk topping dan gulung perlahan-lahan.
5. Potong adunan anggaran 3cm dan susun didalam loyang saiz 8inci dan biarkan sebentar hingga adunan naik dua kali ganda.

6. Tabur baki keju, oregano dan bakar didalam oven pada suhu 180'c selama 20 minit atau sehingga masak.


Oh ya, bagi adik-adik yang baru belajar, dibawah ini contoh hook berbentuk spiral yang saya ceritakan tadi. 
CREDIT TO GOOGLE