Showing posts with label anak. Show all posts
Showing posts with label anak. Show all posts

Thursday, February 21, 2013

21 Februari...

Assalamualaikum..

21 Februari adalah tarikh hari ini. Yang tu tentulah semua orang tahu kan. Hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran Az yang ke 9 tahun. Sekejap betul masa berlalu. Rasa macam tak puas lagi nak gomol-gomol dia. Antara ketiga-tiga orang anak aku, dialah yang paling manja dengan aku. Mana taknya, Han dengan Is tu baru umur 2 tahun setengah dah dapat adik. Tak dapat nak manja lama-lama. Tapi Az dah 9 tahun pun takde adik lagi. Itu yang dia manja lebih tu.

Tapi sekarang sejak dah makin besar dia dah semakin kurang manja. Kalau dulu, pantang aku landing kat sofa, mesti dia nak baring atas perut aku. Suka baring kat belakang badan aku. Sampai darjah satu pun macam tu sampai sakit-sakit badan aku. Sekarang ni nak cium pipi dia pun susah sangat. Kalau Han dengan Is, sampai sekarang rileks aje kalau aku cium dia orang depan orang.  Tapi Az, jangan harap nak dapat cium dia depan orang. Cepat-cepat dia lari. Nak pimpin tangan pun kalau depan orang, cepat-cepat dia tarik tangan dia. Memang control macho mamat ni.

Sekarang ni dia dah pandai berdikari. Macam kalau hari yang dia kena duduk kat transit, dia akan masukkan sendiri tuala, underware, stokin dalam beg. Lepas dah gantung sekali dengan baju sekolah kebangsaan dia sendiri bawak turun siap-siap kat bawah. Aku tak payah cakap pun dia tahu nak uruskan sendiri. Walaupun dia dah makin besar dan memang patut dah pandai buat semua tu sendiri, tapi bagi aku ianya sangat sweet. For me, he is still my little boy and always be my baby.

To our dearest Bb, Happy birthday darling. We love you so much. Doa mama semoga Bb menjadi anak yang soleh dan sentiasa cemerlang untuk dunia dan akhirat. Jaga iman, jaga solat dan jaga adab. Semoga rahmat Allah sentiasa mengiringi setiap langkah dan perjalanan anak-anakku.

 HAN, IS dan AZ.
Harta dunia dan akhirat aku bersama en.asben.
Terima kasih ALLAH atas pinjaman anugerah yang cukup indah ini.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Friday, January 11, 2013

Alhamdulillah...syukur..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. dugaan minggu ini dapat dilalui dengan baik. Tiada bantuan yang dapat kita bergantung harap sepenuhnya selain  bantuan dariNYA. Terima kasih Allah kerana memudahkan segalanya buat kami sekeluarga. Semalam aku bercuti kerana menemani adikku di hospital untuk prosedur biopsi buah pinggangnya. Alhamdulillah,  semuanya berjalan lancar. Semalam selepas biopsi, 6 jam adik aku tidak dibenarkan bergerak. Selepas 6 jam itu, sebelah kakinya tidak boleh diangkat akibat kesan bius. Oleh sebab itu, dia terpaksa ditahan di wad ICU.  Alhamdulillah, pagi ini keadaannya beransur baik. Semoga kesihatannya terus baik hendaknya. Tak tergambar rasa risau yang sedang aku rasa ketika ini.

Alhamdulillah, setelah melalui minggu penuh debaran dan dugaan bila adik-adikku sakit dan dimasukkan ke hospital serentak, kelmarin aku mendapat berita gembira pula. Subhanallah.. dalam pada pelajaran Is merosot hujung tahun lepas, tak terjangka dia memperolehi 8A untuk UPKK (Ujian Penilaian kelas KAFA oleh JAKIM). Memang tahun lepas pelajaran Is merosot teruk. Sehinggakan tahun ini di sekolah kebangsaan Is terpaksa turun kelas dari kelas pertama ke kelas ketiga. Bayangkan betapa merosotnya pelajaran dia sampaikan boleh turun langkau 2 kelas. Keputusan akhir tahun sekolah agama pun tidak begitu baik.

Disebabkan itu, aku memang tak menduga yang Is mampu memperolehi semua A dalam ujian tersebut. Hari sebelum aku mengambil keputusan ujiannya di sekolah, Is memberitahuku yang kawannya memperolehi 7A. Sebab keputusannya belum diperolehi aku sengaja bertanyakan ramalan keputusanya. Dengan penuh keyakinan dia cakap dia boleh dapat 8A. Waktu tu aku senyum aje walaupun kagum juga dengan keyakinan yang dia ada. Esoknya bila aku ke sekolah, belum masuk pejabat lagi ustazah pemilik Sekolah Kafa sudah mengucapkan tahniah padaku. Dalam pada aku melayan blur dan rasa terperanjat ustazah memberitahu, tahniah, Is dapat 8A. Subhanallah.. Syukur Alhamdulillah. Kat situ juga aku menangis kerana rasa gembira. Sebak sangat-sangat.

Terima kasih Allah. Macam tak percaya. Memang tak terduga. Syukur sangat-sangat bila dia berjaya memperolehi keputusan itu dengan izin dari Allah. Tahniah abang! Mama rasa macam nak timang-timang abang. Semoga abang dapat terus menjaga solat dengan wuduk yang sempurna, membaca Al-quran setiap hari dan rajin belajar. Tahniah juga untuk kawan-kawannya yang memperolehi keputusan yang baik. Terima kasih buat ustaz dan ustazahnya yang baik budi serta ikhlas mencurahkan ilmu. Semoga Allah kurniakan rezeki yang melimpah ruah kepada mereka. Semoga keputusan ini akan memberikan Is semangat untuk terus berjaya. Semoga ianya menjadi pemangkin untuk IS berusaha bagi memperolehi keputusan cemerlang dalam UPSR dan PSRAnya.

Alhamdulillah.. sekejap ni adik aku beritahu yang dia dah dibenarkan keluar dari hospital. Syukur. Terima kasih buat semua yang mendoakan kesembuhan adikku. Hanya Allah yang mampu membalasnya.  

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat Allah sentiasa ada buat kita semua.

Monday, December 3, 2012

Perasan diva walaupun sebenarnya poyo..

Assalamualaikum..

Walaupun tajuk macam nak cerita pasal artis tapi sebenarnya cuma nak cerita pasal anak-anak aje he..he.. Cerita beberapa malam sebelum ini. Entah kenapa bila time cuti sekolah ni anak-anak lebih suka tidur di ruang tamu dari tidur di dalam bilik sendiri. Rasanya, faktor dan penyebab utamanya tentulah sebab tv tiada di dalam bilik sendiri. Lebih-lebih lagi bila sepupu-sepupunya pun memang berkumpul kat rumah time cuti-cuti ni. Jadinya setiap malam memang sanggup anak-anak bentang toto dan angkat bantal, selimut bawak turun ke bawah dan bentang depan tv.

Waktu orang lain sibuk-sibuk angkat bantal dan selimut dari atas, Az selamba aje main roller blade lagi. Waktu nak susun bantal untuk tidur atas toto Han tanyalah, BB nak tidur kat atas ke kat bawah? Dengan lagak diva Az jawab, kalau siapa nak BB tidur kat bawah pergi tolong ambilkan bantal BB kat atas. Memang taklah bila nak berlagak diva tak kena tempat kan. Semua orang terus cakap. Dah, tak payah nak poyo sangat. Pergi tidur aje kat atas he..he 

Dah makin besar dah anak bongsu aku tu. Ada aje idea dia untuk kita ambil perhatian pada dia. Semalam dia main apa entah dengan abang dia. Bising sangat. Tapi dengar suara dia aje. Dah tegur beberapa kali pun tetap bising juga. Bila en.asben jerit nama dia barulah dia diam. Lepas dah diam dan duduk elok-elok baring kat sofa aku pun saja-sajalah buat-buat tanya kat dia. Kenapa ayah jerit nama BB tadi? Dengan selambanya dia jawab. Sebenarnya ayah bukan nak jerit nama BB tadi. Tapi ayah nak jerit nama orang lain tapi tersebut nama BB.. he..he..

Macam-macam aje idea dia sekarang ni. Tapi yang pastinya memang mencuit hati kami sekeluarga. Iyalah, kat rumah dah takde budak kecik nak dilayan. Jadinya semua orang dok layan dia aje. Itu yang berlagak diva tu. Walaupun poyo aje lebih. Tapi poyo-poyo pun, dialah juga buah hati kami.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Tuesday, November 20, 2012

Ganjaran UPSR...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Semalam keputusan UPSR dah keluar. Tahniah buat anak-anak yang berjaya mendapat 5A, 4A, 3A, 2A, 1A atau apa-apa keputusan pun. Tak kiralah apa pun keputusannya, yang pastinya semua anak-anak, guru-guru dan ibu bapa sudah berusaha sebaiknya. Yang berjaya terus mantapkan usaha tanpa perlu mendabik dada. Yang tidak berjaya boleh berusaha lagi tanpa perlu bersedih sangat. Apa yang penting jangan berputus asa dan jangan terus merasa selesa dengan setiap pencapaian kita. Keputusan yang baik selalunya sangat sinonim dengan ganjaran. Bagi budak-budak zaman sekarang ni lah. Zaman kita dulu takde pun macam tu sangat. Macam Han tahun lepas nak ke USS. Dah tercapailah hajatnya. Is pulak tahun depan. Untuk memberikan semangat aku adalah beritahu ganjaran yang akan aku berikan. Walaupun ianya menarik bagiku tapi ianya tetap tidak sepenuhnya menaikkan semangat Is.

Semalam bila tengok ramai pelajar yang dapat keputusan cemerlang kat tv aku tanyalah pada Is, tak teringin ke nak dapat macam tu. Dengan muka tak bersemangat dia kata nak. Bila dia cakap nak aku cakaplah, kalau nak berjaya macam tu abang kenalah usaha. Kena lebih rajin. Dengan muka nak taknak juga dia angguk. Malam tadi juga ada program apa entah kat tv bercakap perihal anak-anak. So aku dengan en.asben pun buka topik pasal berusaha untuk berjaya pada Is. Orang lain semua dah tidur jadi dia seorang sajalah yang kena dengar sebab masa tu dia tengah buat latihan matematik. Lepas dah cakap-cakap en.asben cuba nak bagi semangat berupa ganjaran. Kalau abang buat betul-betul dan berusaha untuk dapat keputusan yang baik, nanti ayah akan belanja abang kat semua kedai  aiskrim yogurt dan cool blog yang ada kat bangi ni selama sebulan lepas dapat result. Abang sebut aje any flavour. Kalau tiap-tiap hari pun takpe sebab nanti ayah akan belikan. Waktu tu, bukan main bersemangat lagi muka Is. Muka dia memang seronok habis. Buat latihan pun nampak bersungguh sikit dari biasa. Sebab dia memang selalu teruja bab benda tu semua. Pantang lalu kat depan kedai snowgurt ke TF ke dan segala kedai yogurt atau cool blog memang mulut dia yang akan sebut dulu he..he..

Harap-harap ganjaran yang dijanjikan akan menyuntik semangat untuk dia lebih berusaha. Sebelum ni ganjaran aku ialah nak bawak dia pergi main ski kat Beijing kalau ada rezeki dengan izin Allah. Sebenarnya aku yang nak sangat bawak anak-anak pergi  ke tempat tu. Kiranya ganjaran tu dah macam ganjaran untuk aku. Makanya semangat akulah yang lebih berkobar dari semangat dia he..he.. Aku rasa semua ibu bapa mahu lihat anak-anak mereka berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.  Kalau tak dapat pun kita  sendiri tahu potensi diri anak-anak kita kan. Sebab kecemerlangan diri anak-anak bukan semata-mata terletak pada keputusan peperiksaan saja. Tapi sebagai ibu bapa dah jadi tanggungjawab kita untuk memastikan anak-anak kita cemerlang dalam semua bidang. Ganjaran hanya sekadar pemangkin untuk kita dan anak-anak lebih berusaha.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Wednesday, June 13, 2012

Rasa meminjam, bukan rasa memiliki...

Semakin dekat hari mahu berangkat, semakin berat rasa hati ini untuk meninggalkan anak-anak. Tambah-tambah lagi waktu kami mahu berangkat, sekolah masih belum mula bercuti. Masih ada beberapa hari untuk anak-anak ke sekolah tanpa kami. Sehari sebelum berangkat rasa berat hati semakin memberat. Rasa rindu, rasa risau dan bermacam-macam rasa mula bersatu. Waktu pulang dari kerja yang cuma ada beberapa jam sebelum aku meninggalkan anak-anak aku buka saluran IKIM FM. Alhamdulillah, perkongsiannya waktu itu kena benar dengan apa yang aku perlukan untuk meredakan perasaanku. Ianya mengenai rasa meminjam dan bukan rasa memiliki.

Kata Ustazah yang berbicara (lebih kurang begini mengikut pemahamanku). Bila kita mempunyai rasa meminjam, kita akan rasa redha untuk melepaskan. Tapi bila kita mempunyai rasa memiliki, kita akan rasa tamak, rasa takut dan rasa tidak mahu melepaskan sesuatu yang kita rasa sepenuhnya milik kita. Segala-galanya yang kita ada hanya pinjaman. Tiada yang kekal milik kita. Semuanya milik ALLAH yang menguasai dunia dan akhirat. Hakikat dan kenyataan itu memang sedia dimaklumi. Tapi bila ianya diulangi lagi dalam waktu yang bertepatan, ianya cukup memberikan kelegaan kepadaku. Kata-kata itu membuatkan hati yang berat menjadi ringan.  Rasa redha dan berserah untuk meninggalkan anak-anak mula aku rasai. Alhamdulillah..

Monday, May 7, 2012

Macam mana tu?

Is dah darjah lima. Esok nak periksa. Matematik asyik dapat B aje. Tapi adalah sedikit peningkatan sebab sebelum ni pernah dapat C juga. Suruh hafal sifir punyalah liat. Dia nak guna cara dia sendiri yang banyak tambah-tambah guna jari. Kadang-kadang express dia jawab. Kadang-kadang lama dia pause baru jawab. Pagi semalam aku paksa juga suruh hafal sifir sebab minggu ni ada periksa. Malam tadi waktu balik dari rumah mertua aku dok soal sifir dalam kereta sepanjang jalan. Ada yang dia dah hafal. Ada juga yang tidak. Tapi ada satu jawapan tu  buat aku, en.asben dan Han terjerit. Hah??

Aku : 9 x 3 berapa?
Is :  Dalam 20 lebih..

Boleh pulak dia bagi jawapan sifir guna range number macam tu. Bukan actual figure. Macam mana tu? Aduhai anak.. ini yang buat mamanya  pulak yang rasa lebih suspen bila anak yang nak periksa...

Tuesday, January 31, 2012

G.I.G.I...

Pagi ini terbaca mengenai regim gigi sihat di Kosmo. Aku jadi berminat dengan tajuk didikan bermula dengan ibu bapa. Aku sangat bersetuju. Sebab aku juga begitu. Sejak kecil memang emakku menitikberatkan tentang kebersihan gigi. Teringat lagi waktu kecil-kecil dulu. Memang kami adik beradik kena berulang ke bilik air kalau berus gigi tak bersih. Emak memang pantang tengok gigi kami tak bersih. Selagi tak putih bersih selagi tu kena berus semula. Bila kena masuk ke bilik air semula memang aku akan gosok kuat-kuat biar bersih. Tapi sebenarnya gosok kuat-kuat pun kalau tekniknya salah memang takkan bersih juga. Jadinya bila keluar bilik air memang emak akan suruh gosok lagi semula. Bila dah lama-lama jadi pandai sendiri. Selagi gigi tak diberus dengan bersih dan sempuna memang aku tak keluar dari bilik air tu.

Waktu di sekolah ramai kawan-kawan cina yang kata gigi aku macam gigi iklan colgate. Padahal gigi aku bukannya jenis yang tersusun pun. Kata mereka gigi aku putih bersinar.  He..he.. tak sia-sia berulang kali memberus gigi. Bila dah kahwin, en asben siap kata patutlah gigi you putih bersih. Berus gigi macam berus kapal. He..he.. dah terbiasa memberus dengan kuat. Jadinya melekat sampai sekarang. Sekarang ni  kalau gigi cucu-cucu emak tak bersih, memang emak akan cukup bising. Sejak mereka kecil pun emak memang tak berkompromi. Kalau dengan aku  atau adik aku, bila anak nangis-nangis tak nak berus gigi kami layankan juga. Kalau dengan emak aku memang tarik balik masuk bilik air. Tak dapat nak beruskan dengan berus gigi, dengan napkin pun jadi. Tapi kesannya memang semua cucu-cucu emak tiada yang rosak gigi susunya. Alhamdulillah. Untuk gigi kekal memang sendiri mahu jagalah.

Pada aku memang betullah didikan tentang kebersihan gigi bermula dari ibu bapa. Kalau kita tak peka, anak-anak pun leka. Penjagaan gigi akan diambil sambil lewa. Memang betul juga tu. Anak aku pun memang perlu di tanya dah gosok gigi ke belum selepas mandi. Sebab kadang kala memang keluar bilik mandi tanpa memberus gigi. Terlupa katanya. Jadinya bila kata terlupa tu memang aku suruh berus gigi sampai bersih. Selagi tak bersih memang kena berulang semula ke bilik airlah nampaknya.

Thursday, January 12, 2012

Hangat-hangat tahi ayam..

Malam isnin, Is berpesan padaku untuk mengejutkannya pukul 5 pagi. Aku macam, biar betul anak aku ni. Tapi bila alarm kat HP berbunyi pukul 5.45 pagi dan en.asben bangun untuk mandi, aku minta dia kejutkan Is sekali. (Selalunya pukul 6 baru kejutkan untuk mandi sebab Is sekolah pagi.) Bila aku bangun nak berwuduk aku nampak Is dah siap pakai uniform sekolah di biliknya. Duduk kat katil sambil baca buku. Ini baru awal tahun. Baru dua minggu persekolahan. Selalunya bila nak periksa pun susah nak pegang buku. Agaknya azam tahun barunya kot. Sejuknya perut aku melihat perubahan itu. Sempat juga aku cuit en.asben sekali untuk sama-sama rasa sejuk perut.

Petang selasa, Is berpesan lagi padaku. Tapi kali ini bukan seperti semalam. Ma, esok tak payah kejut abang pukul 5 pagilah ma. Mama kejut macam biasa. Sebab abang ngantuk kat sekolah bila bangun pagi sangat. He..he.. Aku pun cakaplah yang bukannya awal sangat pun waktu dia bangun pagi selasa tu. Cuma awal 15 minit saja daripada biasa. Walaupun pukul 5 dan bukan pukul 6. Iye ke ma. Takpelah, mama kejut macam biasa ajelah tau. Beria dia berpesan. Tentunya sebab dia takut ngantuk lagi bila di sekolah.

Aku pun cakaplah, hangat-hangat tahi ayamlah abang ni. Dia pun tanya kat aku apa maknanya. Aku beritahu maknanya mengambil contoh dia. Mula-mula saja bersemangat nak buat. Lepas tu dah taknak buat lagi. Dia pun mengangguk-angguk tanda faham sambil tersenggih. Oh itu ke maknanya... Agaknya baru hari tu dia faham makna peribahasa yang satu itu dengan tepat. Takpelah kalau dia tak mahu bangun awal pun. Semangat yang ada pun dah buatkan aku rasa cukup berbesar hati. Niat yang baik itukan sudah dikira. Begitu juga dengan niat mahu belajar itu. Walaupun tidak berterusan, Is tetap dapat satu ilmu tentang makna peribahasa itu. At least something than nothing kan bang.. Alhamdulillah.

Tuesday, January 10, 2012

Bagaikan hatiku terbelah tiga..

Tahun lepas, anak-anakku semua bersekolah di sessi yang sama. Pagi di sekolah rendah yang sama. Petang di sekolah Kafa yang sama. Jadinya, hal urusan persekolahan tidaklah menjadi hal yang mengusarkan hatiku. Aku tak risau  sebab tahu mereka bertiga setempat. Pergi bersama. Balik juga bersama. Aku yakin mereka boleh jaga di antara satu sama lain.

Tapi tahun ini, anak-anakku bersekolah di sessi yang berlainan. Ada sessi pagi, ada sessi petang.  Disekolah yang berlainan pula. Seorang di sekolah menengah, seorang di sekolah rendah dan seorang lagi di Kafa. Pergi sekolah berlainan waktu. Balik sekolah juga begitu. Rasa tak tentu arah hatiku di awal-awal persekolahan ini. Terasa bagaikan hatiku terbelah tiga bila melepaskan mereka ke sekolah. Juga waktu menunggu mereka pulang ke rumah. Bila semuanya sudah di depan mata, barulah aku rasa lega.

Itulah hati seorang ibu. Ayahnya juga begitu. Asyik telefon bertanyakan anak-anaknya. Dah selamat pergi? Dah selamat balik? Kerisauan kami tentunya sama. Zaman ini melepaskan anak-anak di luar pandangan mata kita terasa sungguh mencabar. Bukan kerana tidak percayakan mereka. Tapi kerana tidak percayakan faktor sekeliling. Macam-macam hal yang berlaku, membuatkan kerisauan jadi berganda. Aku rasa, ibu bapa lain juga merasakan perkara yang sama denganku. 

Semoga anak-anak kita sentiasa berada di dalam lindungan Allah hendaknya.

My love Han, Is dan Az yang membuatkan hatiku terbelah tiga...

Friday, November 4, 2011

Tokoh Kanak-Kanak Sekolah..

Salam untuk semua..

Waktu zaman sekolah rendah dulu, hari kanak-kanak memang dirai di sekolah. Teringat lagi betapa seronoknya bila cikgu membawa kami ke Stadium Negara untuk meraikan Hari Kanak-kanak peringkat kebangsaan ketika aku dalam darjah 6. Waktu tu, semua wakil bagi setiap negeri ada. Memang meriah suasananya. Siap masuk tv lagi. Pada hari tersebut, waktu yang paling di tunggu-tunggu ialah waktu Tokoh Kanak-kanak di nobatkan. Walaupun bukan namaku yang disebut, tapi aku tetap tumpang suka.

Hari ini sekolah anak-anakku meraikan hari kanak-kanak peringkat sekolah. Seminggu lepas Han ada berbisik padaku tentang sesuatu yang cikgu minta rahsiakan dari orang lain. Mama, cikgu pilih Han jadi tokoh kanak-kanak perempuan sekolah tahun ni. Mama diam-diam tau. Jangan sampai Is dengan Az tahu... Berseri-seri dan malu-malu wajah Han ketika itu. Tentunya dia teruja dan gembira.

Besarnya hatiku mendengar perkhabaran itu. Alhamdulillah, syukur. Bila dah rahsia tu memang adik-adiknya pun tak boleh tahu juga. Han terpaksa memberitahu padaku sebab cikgu minta beli baju untuk dipakai pada hari ini supaya sama dengan tokoh kanak-kanak lelaki. Tersenyum lebar en.asben bila aku khabarkan tentang berita anak perempuan kesayangannya itu. Hati mama dan ayah manalah yang tak seronok kan. Walaupun hanya di peringkat sekolah, kami tetap rasa cukup bangga dan terharu dengan pencapaian Han. Doaku semoga Han terus cemerlang dan berjaya di dunia dan akhirat. 

Tokoh kanak-kanak perempuan Sekolah SRD tahun 2011. Semoga anak sulungku ini menjadi contoh yang baik untuk adik-adiknya.

*Entah apalah cerita Is dan Az tentang kakaknya petang ni. Tentu mereka terkejut dan tak percaya. Tahniah untuk Han. I'm proud of you my dear.

Friday, October 7, 2011

Tak ikut boleh tak..

Salam untuk semua..

Waktu anak-anak kecik-kecik dulu kalau nak keluar berjalan tu kalau boleh nak nyorok-nyorok sebab semuanya nak mengikut. Semuanya tak mahu kena tinggal. Kalau boleh nak mengekor aje ke mana kita pergi. Kalau keluar pergi kedai depan rumah pun semuanya sibuk nak ikut jugak. Tapi sekarang bila dah besar-besar sikit ni, bila ajak keluar laju aje semuanya mengelak. Macam-macam alasan yang keluar. Kalau nak keluar berjalan tu ada masa masih juga nak mengikut lagi. Tapi bila cakap nak pergi kenduri memang selalunya mesti semuanya mengeluh. Masa tu soalanrasmi yang keluar kalau tak ikut boleh tak mama? Siap merayu-rayu lagi.

Aduhai.. kadang tu bila dah taknak ikut sangat memang aku dan en.asben tak bawak pun. Lebih-lebih lagi kalau mak pun ada kat rumah. Tapi kalau mak takde kat rumah dan kami pergi kenduri yang jauh sikit dari Bangi memang kami angkut juga kesemuanya. Masa tu memang semuanya buat muka malas ajelah. Paling tak tahan tu, sampai kat kenduri dia orang langsung taknak makan. Muka pun buat muka innocent sangat. Diam aje semua. Waktu tu, orang yang tengok mesti tak tahu yang mereka ni sedang buat perangai.

Jadinya sekarang ini memang kami lebih banyak berjalan berdua dari berlima. Kalau nak ikutkan tentulah seronok dapat jalan berdua-duaan. Tapi tak juga seronoknya. Sebab bila jalan berdua tu takdenya nak menyinggah sini sana. Kalau boleh nak cepat-cepat balik rumah. Kalau dia orang ikut sekali ada juga peluang singgah tempat lain sama. Anak-anak kan. Waktu kecil lain perangainya. Dah besar lain pula caranya. Teringat kata-kata pakcikku. Ingatkan bila anak-anak dah besar senang sikit nak jaga. Tapi rupa-rupanya lagi susah nak jaga. Masa kecik kita boleh kawal segalanya. Dah besar-besar ni rasa macam lebih susah nak mengawalnya.


Tuesday, September 27, 2011

Janji jangan tinggal janji...

Anak-anak dengan soalan memang jarang dapat di pisahkan. Begitu juga dengan anak-anakku. Sentiasa ada saja soalan yang mahu diajukan untuk aku mahupun en. asben.

IS : VVIP tu very very important person kan mama?
Me & en. asben : Iye.
IS : Jadinya IP tu important personlah ye?
Me & en.asben : Iye.
IS : Okey..
Me : Kalau macam tu, mama dengan ayah ni VVIP ke IP saja kat hati abang?
IS : Mama dengan ayah mestilah VVVVVVVIIIIIIIIIIIIIIP untuk abang.

Besar sungguh hatiku mendengarnya. Terasa sejuk perutku. En. asben juga pastinya merasakan perkara yang sama. Harap-harap sampai bila-bila aku dan en.asben menjadi insan penting dalam hati anak-anak kami. Rasanya, kebanyakan dari kita berjanji begitu dengan ibu bapa kita. Sewaktu kecil  memang ibu bapalah insan paling penting dalam hidup kita. Tapi bila besar ramai sekali yang melupakan insan yang paling penting itu. Semoga kita semua tidak menjadi orang yang lupa pada janji. Semoga janji tidak sekadar tinggal janji.

Thursday, September 8, 2011

Jawab dengan senyum ajelah..

Masa anak kecik, orang bertanya. Anak dah besar pun orang bertanya juga. Masa anak sorang orang bertanya. Anak dah tiga pun orang tanya juga.

Orang : Anak yang kecik dah umur berapa?
Me : 7 tahun, darjah 1.
Orang : Oh, dah boleh sangat kalau nak tambah lagi. Bila lagi?
Me : Senyum...

Agak-agak kalau aku cakap anak yang kecik umur 17 tahun ada orang tanya nak suruh tambah lagi tak? he..he.. Kalau tak mabuk teruk agaknya asyik menambah anak juga. Nanti pun orang akan tanya juga kot. Aihh.. tambah lagi ke?  Jadi kesimpulannya, orang akan bertanya dan akan terus bertanya. Kadang-kadang kita pun 'tertanya' soalan yang sama juga bila takde benda lain yang nak ditanya pada orang. Maka tak perlulah marah-marah atau nak terasa. Kalau ada jawapan berikan saja. Kalau rasa taknak beri jawapan senyum ajelah. Dapat juga pahala sedekah. Alhamdulillah.

Monday, July 25, 2011

Penyeri hidupku...

Tentu ramai yang dah menonton Transformers di pawagan kan. Kami sekeluarga masih tak berkesempatan lagi. Untuk 2 filem Transformers yang sebelum ni memang kami tak ketinggalan. Tapi untuk yang terbaru ni tak tahu bila nak pergi menontonnya. Anak-anak dah mengajak juga. Tapi entah bila dapat meluangkan masa. Hujung minggu asyik penuh saja aktiviti dengan majlis keluarga dan hal-hal yang perlu didahulukan.

Antara ketiga-tiga anakku, si bongsu Az yang paling berminat dengan Transformers ni. Rasanya semua nama-nama watak dalam Transformers tu dia tahu (aku sendiri pun tak kenal he..he..). Hari tu Han ada tunjukkan aku kertas karangan Az yang terselit di bawah meja, bertajuk Autobots. Bukan main lagi. Semua watak-watak Transfomers ada dalam karangan dia tu. Punyalah dia minat.  

Dari Optimus Prime, Megatron, Bumblebee, Bonecrusher dan beberapa watak yang aku dah lupa semua ada dalam karangan dia tu. Lagi best sebab karangan dia in english. Tapi guna simple-simple words lah. (Agaknya baru betul-betul feel Transformers kot kalau dia tulis dalam bahasa english he..he..) Terasa rugi pula tak ambil gambar karangan dia tu. Tadi bila cari balik dah tak jumpa pula. Tentu dia dah sorokkan sebab takut malu orang lain dah baca.

Yang paling best tu, dalam pada minat sangat dengan Transformers, boleh pula Az tidur masa tengok cerita tu di pawagam untuk kedua-dua filem sebelum ni. Aduhai, kata minat. Boleh pula dia tidur. Pagi semalam sibuk suruh belikan mainan Transformers KFC. Tapi stok dah habis pula. Makanya frustlah mamat tu. Sebagai ganti en.asben belikan kereta kecik Bumblebee dan Barricade untuk anak lelakinya. Barulah ceria sikit muka tu.   

Esok Han akan menduduki peperiksaan percubaan UPSR. Harap-harap dia dapat buat yang terbaik. Aku tahu dia dah berusaha bersunguh-sungguh. Jadinya, apa saja keputusannya nanti aku terima saja dengan hati yang terbuka. Aku doakan kejayaannya. Beberapa hari ni Is dah boleh petik gitar lagu Isabela. Walaupun baru beberapa rangkap tapi aku dah suka dah.

Hati seorang ibu kan. Apa saja pencapaian anak-anak tetap menjadi kebanggaannya. Seronok rasanya melihat perkembangan anak-anak. Walaupun ada masa geram dengan kelakuan dan kerenah mereka. Tapi selalunya ragam mereka itulah yang menceriakan hari-hariku. Terima kasih Allah. Anugerah ini terlalu besar untuk aku dan en.asben. Han, Is dan Az. Merekalah penyeri hidup kami. Semoga anak-anakku menjadi anak yang soleh dan beriman. Amin..

Friday, June 24, 2011

Soalan anak aku..

Perbualan semasa menonton cerita yang ada Rozita Che Wan dan Shahir malam tadi  tu..

Han : Ma, Rozita Che Wan tu anak Chef wan yer?
Aku : Eh, taklah..
Han : Ingatkan, dia nak Chef wan...

Aduhai.. Han ingat Che Wan tu salah eja kot.. He..he..

Thursday, May 19, 2011

Bila mengadu menjadi keperluan..

Aku ni jenis yang susah sikit nak mengadu. Kalau rasa tak berapa perlu tu memang aku simpankan saja. Tapi mengadu untuk memperbetulkan sesetengah perkara itu perlu juga adakalanya. Makanya tempoh hari, dalam keterpaksaan aku mengadu juga untuk pertama kalinya. Mengadu kepada ustazah di sekolah kafa anak aku. Selalunya kalau anak aku bercerita ada kawan yang buat mereka di sekolah, aku sekadar mendengar dan periksa badan anak aku saja. Kalau tiada luka-luka dan kesan yang kelihatan di mata memang aku diamkan saja. Tak sukalah nak mengadu kata anak orang nakal anak kita tidak. Kalau boleh tak mahu memperbesarkan cerita.

Pada aku, budak-budak ini sama saja perangainya. Tak anak orang cuit anak kita, anak kita pula cuit nak orang. Jadinya bila ada kawan yang buat anak-anak aku, aku hanya nasihatkan anak-anak aku agar mengadu pada cikgu dengan segera bila perkara yang sama berlaku lagi. Sambil itu, aku berpesan juga agar jangan buat seperti itu  pada kawan-kawan lain. Isnin lepas, selepas pulang dari sekolah anakku mengadu sesuatu padaku. Biasalah budak-budak. Dalam bergurau-gurau, kadang-kadang gurauannya jadi melampau. Aku rasa perkara ini sangat tak kena. Terasa perlu untuk memaklumkan pada ustazah. Bukan hanya kerana anak aku yang jadi mangsa. Tapi kalau boleh aku mahu elakkan perkara itu berulang lagi kepada pelajar lain. 

Memang aku serba salah sebenarnya. Bukan untuk menghukum pelajar yang gurauannya melampau itu. Tapi sekadar untuk minta ustazah memberi nasihat pada pelajar itu dan murid-murid lain agar tidak mengulangi perkara yang sama. Juga agar mereka tahu yang gurauan seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Tidak boleh sama sekali. Setelah berbincang dengan en.asben dan setelah beberapa kali meminta anak aku bercerita secara detail aku menelefon ustazah. Memaklumkan apa yang terjadi. Dalam serba salah aku beritahu niatku yang bukan mahu menyalahkan sesiapa. Mujur ustazah memahami niatku. Selepas membuat panggilan memang hatiku rasa sangat tak sedap. Walaupun tindakan pelajar itu salah, tapi aku takut juga andai pelajar itu menerima hukuman. Bagiku, dengan umur di peringkat sekolah rendah ini, pengajaran mana yang baik dan mana yang salah itu lebih baik dari hukuman.

Bila dah mengadu terasa macam-macam yang menerpa dalam kepalaku. Tapi lepas bertenang seketika, aku tahu aku dah buat perkara yang betul. Pertamanya, kerana bukan setiap masa anak kita mahu mengadu perkara yang berlaku di sekolah kepada kita. Jadinya bila sesekali mereka mengadu dan tiada tindakan selanjutnya dari kita, aku takut anak-anak akan mengelak untuk mengadu lagi di lain kali. Keduanya, bila aku terus diamkan, aku takut anak aku sangka perkara itu adalah perkara biasa dan mereka juga boleh bergurau begitu pada orang lain. Ketiganya, bila ada sesetengah perkara yang mereka adukan mendapat perhatian dan sesetengah darinya tidak dihiraukan, aku mahu mereka tahu yang ada perkara yang perlu di ambil tindakan. Ada perkara yang tidak perlu. Jadinya aku mahu mereka cuba elakkan dari mem perbesarkan perkara yang kecil. Yang penting mengadu ikut keperluan dan kebaikan bersama. Bukan mengadu kerana sakit hati dan dendam.

Thursday, April 7, 2011

Kata-kata yang berulang..

Kenapa beg sekolah ni ada kat tengah pintu?
Kenapa songkok ni ada kat tangga?
Kenapa baju kotor tak masuk dalam bakul?
Kenapa towel bersepuk atas katil?
Kenapa dalam almari baju ni bersepah?
Kenapa sampah ada atas lantai?
Kenapa buku bersepah atas meja?
Kenapa katil berselerak?
Kenapa hanger ada kat merata tempat?

Rasanya setiap hari aku akan ulang sebut perkara yang sama. Bila balik kerja kat tingkat bawah memang dah sedia kemas dan teratur. Maklumlah emak aku kan tinggal sekali. Jadinya kalau rumah bersepah memang mulut neneknya akan riuh punya. Jadinya anak-anak memang jaga betul kalau kat bawah tu takut neneknya bising. Tapi emak aku jarang naik ke tingkat atas. Makanya kalau kat atas tu memang lintang pukang sebab tiada yang monitor time aku kerja. Selalunya memang aku dah tarik nafas panjang-panjang sebelum naik ke tingkat atas. Sebabnya elok aje aku naik level anak tangga yang tak dapat dilihat dari bawah memang mata aku dah tangkap permandangan yang menaikan darah. Pandai betul dia orang cover mata nenek. Aduhai anak. Agaknya selagi tak besar selagi itulah kena mengulang cakap perkara yang sama.

Wednesday, March 2, 2011

Geng Baju Hujan (GBH)..

Pagi semalam hujan lebat waktu anak-anak mahu ke sekolah. Jadinya aku pun mengeluarkan baju hujan yang kami dapat semasa ke Moonsoon Cup di Terengganu tahun lepas dari simpanan. Sebab hujan lebat jalan di depan rumah sudah dipenuh dengan air. Jadinya bila van sampai, terpaksalah en.asben mendukung anak-anaknya yang sudah lengkap berbaju hujan tu ke dalam van sekolah. Punyalah taknak anak-anak kebasahan. Harap-harapnya bila sampai sekolah taklah basah sangat sebab dah lengkap berbaju hujan siap cover beg sekolah sekali. Tapi bila check semula balik sekolah semalam mereka kata mereka kebasahan juga. Pelik juga. Rupanya baju hujan tu mereka pakai sehingga dalam van sekolah saja. Bila tanya kenapa mereka kata baju hujan dah basah takkan nak terus pakai. He..he.. Itulah jadinya bila tak pernah pakai baju hujan.

ps : to en.asben thank you very much sebab sanggup kebasahan sebab dukung anak-anak dalam hujan semalam. Sayang u sangat. Kepada anak-anak pula ingat yer. Punyalah sayang ayah kat u all. So jangan lupa, kalau dah besar nanti belikan ayah kereta Aston Martin. Eh..eh.. jadi anak-anak yang soleh dan beriman pun dah cukup membahagiakan hati kami berdua.

Tuesday, February 8, 2011

Debik mendebiklah sebelum mama join sama...

Adik beradik aku semuanya perempuan. En.asben pula anak lelaki tunggal. Jadinya kami takde pengalaman dengan adik beradik lelaki. Tapi bila ada dua anak lelaki ni barulah kami tahu penangannya. Kalau dulu masa kecik tak terasa juga. Boleh aje main sama-sama. Duduk borak-borak sama-sama. Tapi bila dua-dua dah sekolah lain pula ceritanya.

Sejak Az dah masuk darjah 1 ni, dia dan abangnya Is asyiklah bersama. Pergi sekolah sekali. Balik sekolah sekali. Pergi sekolah agama bersama. Balik sekolah agama pun bersama juga. Kiranya sekarang ni lebih banyak masa mereka dihabiskan bersama. Tidur pun sebab share bilik makanya kenalah bersama juga.

Jadinya bila dah selalu bersama tu, ada sajalah yang tak kena. Si abang hot temper. Si adik pula tak boleh silap sikit. Kalau tak kena cakap, kalau tersalah pegang, kalau tersilap cuit, memang mendebik-debik ajelah kerjanya.

Kat rumah aku ni bila dia orang berdua gaduh memang dah macam filem tamil dia punya sound efek. Gedegang gedegung berkejar kat tangga. Ketepak ketepuk dok lawan balas pukul. Gedebang gedebung bunyi pintu dok acah buka tutup. Itu belum lagi sound efek terjerit kecil dan terpekik besar. Kalau ayahnya ada kurang sikit. Kalau setakat aku sorang saja, memang lagi macam-macam bunyi efek yang kedengaran.

Aduhai.. tapi bila sorang tidur. Sorang lagi leka buat homework memang terus sunyi rasa rumah. Jadinya kalau nak mendebik tu, korang debiklah dua beradik. Asalkan jangan patah riuk sudah. Kalau tahan mamanya diam. Kalau tak tahan mamanya join debik sama. Dua-dua sekali kena he..he..

Ini bukannya permandangan biasa yer. Acara buka buku tanpa disuruh ni ialah acara bila habis mendebik dan salah sorangnya kalah. Bila dah kalah terus sentap dan mood rajin pun datang untuk cover line. Gambar ni gambar lama. Tapi selalu tu memang macam ni jugalah situasinya.

Tuesday, January 11, 2011

Takde tangguh-tangguh punya..

Malam semalam kerjaku asyik menjahit. Mula-mula jahit beg sekolah anak bongsuku yang baru seminggu sekolah dah terbertas sikit tali sangkut begnya. Bising mulutnya minta jahit. Manakan tidak, begnya berat. Jadi dia banyak seret beg tu dari sangkut kat bahu. Dalam van pulak, dia biar saja begnya tersangkut di bahu masa nak naik atau turun van. Dia main redah saja. Habis tersangkut-sangkut dengan beg orang lain. Manalah tak koyak. Nak beli beg tarik tu, kalau dah letak buku jadi lebih berat pula. Lagilah dia tak berdaya nak bawa.

Okey, lepas tu jahit pensil beg anak daraku pula. Perempuan ni kan suka barang-barang dia teratur. Punyalah nak susun ikut jenis. Dia dok sumbat kat satu tempat tu sepenuh-penuhnya. Manalah tak koyak. Gigihlah minta mamanya jahit elok-elok biar tak nampak buruk. Nasib yang terkoyak tu kat belah dalam. Jadinya dengan skill menjahit yang tak berapa nak terror ni, takdelah nampak yang ada jahitan kat situ. Takdelah nampak apa-apa defect. So dah elok macam tu, anak dara aku pun tak kisahlah nak pakai terus pensil beg tu.

Lepas tu sibuk pula si abang minta tolong jahitkan nama kat baju sekolah dia. Dah tak boleh bertangguh esok-esok dah sebab katanya kalau takde nama kat baju tu nanti cikgu marah. Menjahitlah mamanya malam-malam buta. Takut anak kena marah pula kat sekolah esok.

Bila fikir-fikir balik, memang seorang ibu tu selalu tak bertangguh untuk memenuhi permintaan anak-anaknya. Emak aku dulu pun macam tu. Mintalah buat apa saja. Kalau mampu tu, memang jam-jam itu juga emak akan penuhi dan usahakan. Kalau tidak dalam masa yang yang singkat juga sudah dipenuhi.

Tapi anak-anak ni kalau boleh bertangguh dengan permintaan ibu tu, memanglah asyik nak bertangguh. Aku tak cakap orang. Aku sendiri pun macam tu juga. Memanglah selalu tu setiap permintaan emak tu aku cuba penuhi. Tapi kalau dalam sepuluh tu, mesti dalam dua tiga saja yang on time aku penuhi. Yang lain tu memang akan lambat sikit permintaan itu terlaksana. Bila mengenang kembali, terasa berdosa sangat. Sedih pun ada juga sebab selalu tak peka.

Perasan tak, kadang-kadang tu, sekecil-kecil perkara pun mampu memberikan kita kesedaran. Alhamdullilah, setidak-tidaknya kesedaran itu memberi jalan buat kita untuk berubah menjadi yang lebih baik dan lebih peka.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...