28 March 2012

Puding Bunga Coklat Putih



Salam semua. Alhamdulillah masih lagi diberi peluang untuk menaip disini. Minggu ini ita sibuk dengan urusan persekolah fathnin mingu depan. Memang tak sabar sangat Fathnin nak bersekolah tambahan bila dia lihat barang-barang sekolahnya yang baru. Untuk pengetahuan kawan-kawan di Malaysia tahun baru atau permulaan sesi persekolahan di Jepun adalah pada bulan April. InsyaAllah Fathnin akan masuk darjah satu disekolah Jepun di Yokohama ni.


Baikla 2 minggu lepas ita ada mencuba Puding Bunga Coklat Putih ini. Idea ini datang setelah fathnin dan fateh suka makan coklat, disebabkan banyak didalam peti sejuk ita cuba untuk buat puding ini. Alhamdulillah sedap sangat pada tekak kami sekeluarga dan suami ita juga memuji kesedapan puding ini. Rasa puding ini seakan-akan rasa puding susu tapi lemak sedikit.Tambahan sebagai asas dibawahnya ita gunakan biskut mentega dan bila ia dimakan bersama puding memang serasi. Disebabkan Sakura bakal menjelma di Jepun ita buatkan corak bunga di atas puding ini. Sebenarnya dah 2 kali ita buat puding ni, pertama buat untuk mencuba kali kedua ita buat disebabkan permintaan anak-anak ita sempat ambil gambar untuk puding ni dapatlah ita kongsikan resepinya disini. Bagi yang ingin mencuba boleh cuba resepi ini, hanya untuk membuat corak diatas puding ini agak rumit sedikit jadi boleh baca cara ita buat ye dengan teliti.




Puding Bunga Coklat Putih.

Saiz acuan 15 cm x 15 cm
Lapisan bawah ( asas)

60 gm biskut digestive atau mentega
30 gm mentega
1 sudu susu cair

Lapisan Tengah ( coklat putih)

4 g serbuk agar-agar
200 ml susu cair
250 ml air
50 g coklat putih
sedikit esen vanila
2 sudu gula ikut kemanisan masing-masing
sedikit pewarna pink

Lapisan atas

3 g serbuk agar-agar
100 ml susu cair
200 ml air
80 ml yogurt
5 sudu gula

Cara-cara
  1. Untuk membuat lapisan bawah dahulu. Kisar halus biskut dan cairkan mentega. Gaul mentega dan biskut sehingga rata masukkan satu sudu besar susu. Gaul rata.
  2. Ambil acuan 15 cm x 15 cm dan alaskan dengan kertas minyak. Tekan biskut kedalam acuan hingga rata. Masukkan ke dalam peti sejuk sebentar.
  3. Untuk membuat lapisan tengah. Masukkan air kedalam periuk dan masukkan agar-agar dan masak menggunakan api sederhana . kacau dan masukkan susu,gula, coklat putih yang telah dicairkan, esen vanila dan sedikit pewarna pink. Setelah rata dan mendidih sedikit tutup api dan bahagikan 1/3 bahagian. 1/3 bahagian tadi di masukkan ke dalam bekas kecil yang sedikit tingi. simpan sebentar didalam peti sejuk.Ini untuk membuat bunga diatas agar-agar ini. baki 2/3 dibiarkan didalam periuk tanpa dibuka apinya. Sambil membuat lapisan atas masukkan adunan 2/3 kedalam acuan agar-agar tadi.
  4. Untuk membuat lapisan atas. Masukkan air kedalam periuk kemudian masukkan agar-agar, gula dan kacau sebentar masak menggunakan api sederhana. Setelah gula larut masukkan yogurt. Kacau terdapat titik-titik putih terbentuk disebabkan yogurt tadi. Kacau dan tutup api.
  5. Ambil adunan 1/3 yang telah keras dan tekap mengikut bunga kesukaan dan ketepikan. Untuk adunan didalam acuan tadi,setelah lapisan tengah agak keras sedikit lorek-lorekkan sedikit dan susun bunga-bunga yang telah ditekap tadi. Bunga-bunga ini biar tinggi sama rata dengan lapisan yang ingin dibuat.
  6. Curahkan lapisan atas perlahan-lahan menyamai lapisan bunga yang dibuat tadi.
  7. Biarkan puding mengeras dan bolehla dipotong setelah ia siap.


04 March 2012




Salam semua. Diberi kesempatan untuk menaip disini. Minggu ini dalah minggu yang agak rehat sedikit bagi ita, dihujung minggu pun tiada aktiviti badminton dan tempahan yang perlu dihantar jadinya sempat ita menyediakan juadah yang istimewa dan melayan permintaan Fathnin untuk makan jelly atau puding kegemaran. Fathnin memang suka Puding atau jelly jadinya bila nampak puding atau jelly di kedai atau supermarket selalu minta ita buatkan dirumah. Nak beli dikedai terkadang tak boleh makan disebabkan kebiasaannya bahan yang digunakan menggunakan gelatin.


Jelly yang ita nak kongsi hari ini juga adalah permintaan fathnin. Kebetulan di kotak "dessert cup' yang ita gunakan untuk membuat jelly ini ada gambar jelly seperti yang ita buatkan. jadinya dah lama sangat fathnin minta untuk ita buat jelly seperti itu. Belum punya kesempatan untuk buat. Alhamdulillah hari ini terlaksana juga. Disebabkan tiada resepi yang diberi hanya gambar sahaja jadi ita olah mengikut gambar dan bagi ita jelly ini amat sedap. Hanya untuk buah itu ita rasa bagi yang tiada buah raspberry boleh tukar ke buah strawberry, ita guna pun buah raspberry yang frozen namun agak masam sedikit dibuahnya namun dijelly tidak. Bagi yang gemar strawberry boleh tukar ke buah strawberry ye.




Baiklah boleh lihat resepi yang ita kongsikan disini. Alhamdulillah menepati citarasa kami sekeluarga.Puding jelly ini mempunyai 3 lapisan lapisan yang bawah sekali iaitu lapisan biskut, lapisan kedua menggunakan kastad dan lapisan ketiga dalah jelly raspberry. Untuk adunan yang ita kongsikan adalah untuk 6 cawan seperti didalam gambar. Jika keluarga yang besar boleh gandakan sukatan dan ia amat sedap dihidangan secara dingin






Puding Jelly Kastad Buah Raspberry

Bahan-bahan ( 6 cup seperti didalam gambar)

Lapisan bawah

5-6 keping biskut digestive ( ita guna biskut digestive coklat)
2 sudu mentega dicairkan

cara-cara
  1. Hancurkan biskut dan gaul dengan mentega kemudian masukkan kedalam acuan puding dan simpan didalam peti sejuk.
Lapisan kastad.

2 cawan susu cair
1/2 cawan air
3 sudu besar tepung kastad
1/4 sudu kecil serbuk agar-agar
4 sudu gula ( mengikut kemanisan masing-masing)
sedikit esen vanilla

Cara-cara.
  1. Masukkan air, susu, serbuk agar-agar dan gula. Setelah itu masukkan tepung kastad dan titiskan sedikit esen vanilla. masak sehingga adak likat.
  2. Sejukkan sebentar dan tuang kedalam cawan yang telah di letakkan lapisan biskut tadi dengan ketinggian 3/4 tinggi saiz cawan.
Lapisan Jelly

2 1/2 cawan air
1/2 sudu kecil serbuk agar-agar
5 sudu besar gula ( bergantung kepada kemanisan masing-masing)
1 cawan buah raspberry/strawberry

Cara-cara
  1. Masukkan air didalam periuk dan masukkan semua bahan, masak sehingga semuanya sebati.
  2. Tunggu adunan ini sejuk sebentar sebelum dimasukkan kedalam cawan jelly tadi.
  3. Boleh dihias dengan buah raspberry atau Strawberry diatasnya.
  4. Simpan didalam peti sejuk sebelum dihidang.






27 November 2011




Salam semua. Salam Maal Hijrah. Moga beralih tahun yang baru memberi kekuatan di dalam diri untuk terus menjadi insan yang positif dan sentiasa menjalani kehidupan mengikut syariat Islam. Teruskan dengan sentiasa memperbaiki diri untuk ke arah yang lebih baik, jangan kalah dengan perkara- perkara yang tidak baik yang sentiasa datang dalam diri kita untuk menguji. Sentiasa positif ita..:)



Jumaat lepas Fathnin minta buatkan puding. Ita pun dah lama tak buat puding untuk dia. Sekarang cuaca tk panas jadi memang tekak tak teringin sangat nak makan hanya minggu lepas cuaca agak elok tak sejuk sangat jadi ita buatkan untuk dia. Ita cuba cari puding apa yang menarik dalam cari-cari tu teringat puding yang ita nampak di kedai jual puding di 'Yokohama station' tempohari cantik dan nampak sedap. Gabungan puding Matcha ( green Tea) dan kastad amat menarik tapi kali ini ita buat gabungan matca dan coklat disebabkan anak-anak ita suka dengan puding coklat.




Untuk resepi ita google dan terjumpa blog ini. Jadi ita ikut sedikit ilham dari blog Pittsburgh need Eated. Gabungan matcha dan juga coklat amat kena sedap. Ita suka dengan rasanya yang lemak-lemak disebabkan campuran susu di dalam puding ini. Utuk resepi ini akan menghasilkan lebih kurang 6-7 bekas seperti di dalam gambar ita. Untuk resepi asal boleh ke link yang ita sertakan tapi resepi ini telah ita ubah sedikit mengikut selera ita..:)



Puding Matcha ( Teh Hijau) lapis Coklat

Lapisan Coklat

2 g serbuk agar-agar
1 1/2 cawan susu segar
1/2 cawan air
1/2 cawan gula ( boleh kurangkan )
2 1/2 sudu besar serbuk coklat

Lapisan matcha

2 g serbuk agar-agar
1 1/2 cawan susu segar
1/2 cawan air
1/2 cawan gula
1 sudu teh serbuk green tea boleh jika kurang




Cara-cara
Untuk lapisan coklat :

  1. Didalam periuk yang bersesuaian masukkan susu, air, gula dan serbuk agar dan masak dengan menggunakan api yang sederhana tidak terlalu kecil dan besar.
  2. setelah itu masukkan serbuk coklat dan kacau sehingga larut dan tutup api
  3. Tuangkan ke dalam acuan yang bersesuaian separuh dari bekas berkenaan.
Untuk Lapisan Matcha

  1. Didalam periuk yang bersesuaian masukkan susu, air, gula dan serbuk agar dan masak dengan menggunakan api yang sederhana tidak terlalu kecil dan besar.
  2. setelah itu masukkan serbuk matcha dan kacau sehingga larut dan tutup api
  3. Tuangkan ke dalam acuan setelah lapisan coklat agak keras sedikit. ( ita masukkan kedalam peti sejuk sebentar)
  4. Setelah itu boleh la disimpan sejuk didalam petisejuk
  5. Boleh dihias dengan whipping cream yang telah diputul kental.


23 September 2011

Puding Mangga Kristal


Salam semua. Selamat berhujung minggu buat semua. Hujung-hujung minggu macam ni tentu banyak yang membuat aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan. Tentu ada juga yang menghadiri rumah terbuka kerana syawal masih adakan..:)Ita ada 2 jemputan rumah terbuka terpaksa ditolak minggu ni, disebabkan suami ada tugasan yang lebih penting pada hari selasa ini. Jadinya kena bersedia untuk ita.. Good luck abang..:)

Puding yang ita buat minggu lepas sebenarnya permintaan fathnin yang suka dengan resepi kak Nor Strawberry Fruiti Cristal pudding. Jadinya disebabkan tiada strawberry ita guna mangga seperti dalam resepi asalnya yang memang menggunakan mangga. Ita guna mangga dalam tin je. Untuk resepi ini ita galakkan bagi yang ingin mencuba menggunakan mangga yang manis jika menggunakan mangga yang masam boleh la ubah mengikut selera kandungan gulanya tu. Itu bagi pendapat ita yang telah mencuba lagipun kak nor pun ada sebut dalam resepi tu.



Okla jom kita lihat resepinya. Resepi dari kak nor secubit garam. Ita buat setengah adunan je. Terima kasih kak ita kongsikan disini ye.



Puding Mangga Kristal


Bahan:
Lapisan berkaca (atas)
5gm serbuk agar2
600ml air
5 sudu besar gula
buah mangga ~ dipotong kiub

Lapisan puding (bawah)
5gm serbuk agar2
500ml air
1/2 cawan susu cair
5 sudu besar gula ~ bergantung pd manis mangga
120ml puree mangga





Cara :

  1. Lapisan berkaca (atas)
  2. Masak air bersama serbuk agar2 hingga larut dan masukkan gula.
  3. Masak lagi hingga mendidih. Padamkan ap
  4. Ketepikan.

Lapisan puding (bawah)
  1. Masak air bersama serbuk agar2 hingga larut dan masukkan gula.
  2. Masak hingga mendidih dan masukkan susu cair.
  3. Bila aduann puding hampir mendidih padamkan api dan masukkan puree mangga.

Utk membuat puding mangga kristal:
  1. Basahkan mould yg akan digunakan.
  2. Tuangkan adunan atas (berkaca) ke dalamnya dan tabur potongan mangga.
  3. Biarkan mengeras bahagian atasnya.
  4. Kemudian kelar2kan sedikit dgn garfu.
  5. Tuangkan pula adunan puding dgn perlahan2 hingga habis.
  6. Biarkan seketika hingga hilang panasnya dan sejukkan dlm peti ais.



12 September 2011

Rich Cocoa Pudding


Salam semua. Baru sempat nak online hari ini setelah penat seharian bermain dengan anak-anak dirumah. Sekarang ni bertekad kononnya weekend je bagi diorang tengok komputer jadinya mama pun kena disiplin juga bila anak dah tidur baru boleh online secara tenang.. Kadang siang-siang ada juga curi-curi tengok dapur kawan dari iphone..:) bagi yang singgah dan komen terima kasih dan InsyaAllah ita akan balas kunjungan tersebut ye.



Hari ini nak share puding yang sedap dan kaya dengan rasa coklat ni. Ramai yang dah buat rasanya. Dulu ita pernah juga buat tapi tak makan dengan kuah tapi bila makan dengan kuah lagi la terangkat. Sedap dan ita rasa kalau tetamu datang kerumah buat puding ni pun sedap.. tambah bila dihidang sejuk-sejuk laju je masuk tekak. Sejak akhir-akhir ni ita suka juga buat puding sebab di Jepun masih lagi panas, yang kedua suami ita sibuk kebelakangan ni.. bila dibalik dah malam dari lab dan penat kayuh basikal tu dia selalunya nakkan sesuatu yang sejuk jadinya kalau buat makanan berat memang dia tak jamah sangat jadinya suami suka puding atau pemanis yang nyaman tekak bila memakannya. Tambahan bila berbuka ada puding macam ni sedapnya menyudu..:)

Okla untuk resepi ini ita jenguk di blog dapur tanpa sempadan. dapur kak azlita masam manis pun ada resepi ni. Resepi asal dari kak jun.. terima kasih semua..:)



Rich Cocoa Pudding


Bahan-bahan
4 1/4 cawan air
1/2 cawan serbuk koko, diayak
1 cawan gula pasir
1/2 cawan susu tepung, diayak
1/2 camca teh garam
4 camca besar tepung jagung
1/2 camca teh esen vanilla
10 g serbuk jelly
3 camca besar mentega



Cara-cara

  1. Satukan semua bahan2 untuk pudding kecuali mentega, kacau rata dengan whisk hingga gula larut.
  2. Tapis ke dalam periuk dan masak dengan api sederhana sambil dikacau tanpa henti hingga adunan likat. Matikan api, masukkan mentega dan kacau rata2.
  3. Tuang dalam bekas kegemaran anda, biar hilang wap panas dan simpan dalam peti ais.
Kuah ( resepi kak Azlita)
1 tin susu cair
1 gelas air
1 sudu tepung kastard - dibancuh dgn sedikit air
6 sudu makan gula - kalau tak suka manis boleh kurangkan
secubit garam - sikit aje tau!


  1. Masukkan semua bahan dalam periuk dan masak hingga didih.
  2. Hendaklah sentiasa dikacau. Kemudian sejukkan setelah itu boleh lah disejukkan dalam peti ais.

Untuk penghidangan,
  1. masukkan puding yg telah keras ke dalam mangkuk.
  2. Bolehlah letakkan buah-buahan cocktail, longan atau buah-buahan segar.
  3. Boleh juga letakkan ketulan ais kalau kuah puding tu kita buat manis.
  4. Curahkan kuah dan sedia dinikmati.


09 September 2011




Salam semua. Moga hari ini memberikan keceriaan pada kita semua. Hari ini nak share resepi yang cantik dan memang sedap bagi tekak ita. Resepi ini ita jumpa di blog kak nor secubit garam. Sebenarnya semalam Fathnin minta buat puding strawberry. Dah lama tak memuding pun jadi pagi tu buat sekejap dan petang dia boleh makan dah.

Cerita tentang strawberry ni di Jepun buah strawberry bukan selalu boleh jumpa. Selalu disini kami makan buat ikut musim jadinya jumpa buah tertentu pada musim tertentu sahaja. Sekarang ni musim buah nashi atau pear, masih ada lagi buah peach buah -buah lain agak mahal dan jarang jumpa. Macam kiwi tu sentiasa ada sebab di dari negara luar, untuk strawberry ni pun memang susah jumpa. Kelmarin pergi costco jumpa strawberry ni jadi Fathnin nak. Dah la tinggal bekas yang akhir kalau tak ambil nanti kalau orang lain ambilkan dah rugi.. jadinya walaupun nampak harganya 'agak mahal' mama dia pejam je la mata. Lagi pun dia nak buah bukan nak gula-gula atau keropok yang tak sihat tu.. lagi pun dia memang minat.. mama turutkan juga..:)



Balik je banyak menu strawberry yang dia request.. smootie paling dia suka.. selain makan macam tu je.. ita dah minta dia sikit untuk buat french vanilla slice kelmarin .. so semalam dia minta buatkan puding pula. Nak nampak berseri ita cuba resepi dari rumah kak nor ni iaitu 'Strawberry Fruitti Crystal Pudding' . Sedap sungguh puding ni.. ita buat sikit je sebab bekas acuan ita tu kecil je jadinya ita buat 1/2 adunan resepi kak nor ni... Alhamdulillah anak-anak suka dan mama papa nya pun suka. Puding ni amat sesuai jika dihidangkan jika ada majlis-majlis makan untuk tetamu sebab memang cantik dipandang..:)

Baiklah untuk resepi ini ita ambil dirumah kak nor. Resepi asal dari puding mangga kristal. Telah dioleh oleh kak nor sendiri. Ita kongsikan disini ye kak nor resepi nya.. Terima kasih..



Strawberry Fruitti Crystal Pudding ( Puding strawberi buahan kristal)


Bahan:
Lapisan berkaca (atas)
3gm serbuk agar2
450ml air- ita kurangkan 350 ml
5 sudu besar gula
mangga, strawberi, kiwi ~ dipotong kiub
blueberiLapisan berkaca (atas)

  1. Masak air bersama serbuk agar2 hingga larut dan masukkan gula.
  2. Masak lagi hingga mendidih. Padamkan api
  3. Ketepikan.

Lapisan puding (bawah)
5gm serbuk agar2
500ml air
1/2 cawan susu cair
7 sudu besar gula- boleh lebihkan jika kurang manis sebab strawberri agak masam
120ml puri strawberi- untuk buat puri ita blend strawberri dan susu sekali.
ita tambah setitik pewarna merah


Lapisan puding (bawah)
  1. Masak air bersama serbuk agar2 hingga larut dan masukkan gula.
  2. Masak hingga mendidih dan masukkan susu cair.
  3. Bila aduann puding hampir mendidih padamkan api dan masukkan puri strawberi.

Utk membuat puding:
  1. Basahkan mould yg akan digunakan.
  2. Tuangkan adunan atas (berkaca) ke dalamnya dan tabur potongan buah2an.( ita susun dulu buah-buahan. ita susun biar buah itu mukanya diatas bila terbalikkan nanti nampak cantik.)
  3. Biarkan mengeras bahagian atasnya.
  4. Kemudian kelar2kan sedikit dgn garfu.
  5. Tuangkan pula adunan puding dgn perlahan2 hingga habis.
  6. Biarkan seketika hingga hilang panasnya dan sejukkan dlm peti ais.
  7. Hidangkan sejuk utk rasa yg lebih enak.


17 August 2011




Salam semua. Salam hari rabu moga diri kita dilindungi dan diberkati Allah hendaknya dihari ini dan hari-hari seterusnya. Moga setiap amalan yang dilakukan diberikan pahala dan kelebihan yang sebanyak-banyaknya.

Terima kasih buat kawan-kawan yang datang berkunjung dan meninggalkan komen terima kasih banyak-banyak ita amat menhargainya. InsyaAllah akan akan membalas komen-komen di blog ita ni dengan secepat mungkin. Masa amat mencemburui dan tambahan macam ita ni ada anak kecil banyak karenah yang perlu dilayan dan diperhatikan. namun ia adalah asam garam rumahtangga dan kehidupan.



Semalam Fathnin minta buatkan jelly. Dia kata mama lama tak buat. Jadinya anak dara ita dah 'complaint' mamanya cari la jelly kegemarannya bersama fathnin. Ita masuk rumah kak Azlita godek-godek dapurnya Fathnin berkenan dengan puding laici nenas ni. Dia kata nak yang ini kebetulan ita ada beli buah laici kelmarin jadinya boleh la gunakan. Maaf ye kak geledah dapur akak plak...:)

Ita buat 1/2 adunan je dan dapat la kami makan anak beranak semalam terus buat juadah berbuka puasa. Fathnin happy sangat dapat makan. Sedap katanya. Bagi Ita dan suami pun suka sebab rasa nenas dan laici itu amat kena. Ita makan macam tu je tanpa kuah kastad. Bagi yang nak makan dengan kuah kastad pun boleh..:)Okla jom kita lihat resepi yang ita ambil dirumah kak azlita ni dan resepi asal dari chef hanieliza. Terima kasih kedua-duanya.



Lychee and Pineapple Cold

Puding Laici

Bahan
10 gm agar-agar serbuk
4 cawan air
1cawan cawan gula
1 tin susu cair
1 tin laici dlm tin dimesin bersama ainya

  1. Masakkan air, agar2 dan gula hingga mendidih dan gula larut.
  2. Tutup api dan masukkan susu dan buah laici yg telah dikisar bersama airnya tadi.
  3. Kacau rata.
  4. Tuangkan ke dalam 1/2 acuan atau mangkuk kaca kecil




Puding Nenas
Bahan
10 gm serbuk agar-agar
4 cawan air
1 tin buah nenas ( ambil 6 keping di kisar bersama airnya yg selebih simpan utk hiasan )
1 tin susu cair
1 1/2 cwn gula halus
1 cwn tepung kastard
beberapa biji ceri merah utk hiasan

Cara-cara
  1. Masak agar2 dan gula bersama air hingga didih dan gula larut.
  2. Masukkan air buah nenas dan nenas yg telah dikisar tadi.
  3. bancuhkan tepung kastard dan susu cair
  4. Kemudian tapis dan tuangkan kedalam adunan puding tadi.
  5. Kacau adunan sehingga hampir pekat.
  6. Apabila telah masak tuangkan keatas lapisan puding lychee tadi secara perlahan2.
  7. Hiaskan atasnya dengan gelang nenas dan buah ceri tadi.
  8. Biarkan sejuk




13 August 2011

Puding Tauhu



Salam semua. Beberapa hari yang sibuk sebab asyik berbuka di luar je iaitu ada jemputan berbuka atau makan diluar. Memang berderet 4 hari ni jadi bila balik dah kekenyangan dan keletihan Alhamdulillah dah siap-siap terawih sekali cuma waktu berbuka diluar kelmarin balik gagah untuk berterawih juga jadinya tak berapa sempat nak masuk entry nasib masih sempat lagi nak jalan-jalan rumah kawan-kawan hanya kalau siapa yang masukkan entry berderet memang tak sempat nak kejar .. tapi masak tetap masak kami buat style 'potluck' je bawa makanan masing-masing tapi berbuka sama-sama. Hari ni ada lagi jemputan tapi hari ni ita tak masak makanan berat hanya ditugaskan sediakan kuih muih jadi hari ni siang-siang sibuk nak menguli karipap...:P petang nak buat kuih cara pula InsyaAllah..:)

Okla sebenarnya ita buat puding tauhu ni minggu lepas. Waktu tu ada adik-adik YNU datang rumah berbuka kebetulan sebenarnya suami bawa adik-adik tu berbuka dirumah. Kuahnya tu ita saja nak bagi ceria ita letak air gula 'kakigori' ( ABC kalau malaysia) perisa melon dan tambah juga dengan kuah laici tu. Tapi sebenarnya makan dengan kuah laici saja dah cukup sedap..:) ambil gambar pun main ambil je sebab dah nak bebuka takut tak sempat.:P

Resepi asal dari kak nor tapi ita ambil didapur kak yatie sebab guna agar-agar serbuk. Terima kasih kak nor dan kak yatie atas perkongsian resepi ni.;) ita kongsikan disini pula ye..



Puding Tauhu

Bahan-Bahan

  • 10 gm agar-agar serbuk
  • 7 cwn air
  • 1/2 cwn gula
  • 1 cwn susu pekat
  • 1 cwn santan (200ml santan kotak+50ml air)
  • 1 tin susu cair



Cara-Cara
  1. Masak agar2 serbuk bersama air dan gula hingga mendidih.
  2. Masukkan susu pekat, kacau rata. Masukkan santan dan susu cair. Kacau lagi.
  3. Setelah siap, tutup api dan biarkan sebentar.
  4. Tuangkan ke dalam acuan mangkuk2 kecil. Sejukkan sebentar.
  5. Kemudian sejukkan dalam fridge.
  6. Boleh juga di tuang ke dlm loyang, tapi kalau nak makan kenalah sendukkan kedlm mangkuk kecil.
  7. Hidangkan bersama buah laici ataupun bahan2 kuah seperti di bawah.
Bahan kuahnya
  • 1 tin laici- toskan airnya, siat2kan laici tu
  • 1 cwn susu cair
  • 1 cwn air masak
  • 1 cwn air laici tadi
  • 5 sudu besar gula, nak lebih pun boleh
Caranya.
  1. Bancuhkan air masak bersama gula. Masukkan air laici tadi, susu cair dan gaul sebati. Masukkan laici yg di siat2 tadi. Bila dah siap, bolehlah di hidangkan bersama puding tauhu lemak manis.
  2. Selamat Mencuba.



08 August 2011

Jelly Tembikai



Salam semua. Alhamdulillah selesai sudah puasa hari ini. Moga ia memberikan kekuatan untuk menjalankannya untuk hari-hari seterusnya. Hari ini ita nak share Jelly tembikai yang ita buat sempena ada banyak tembikai dirumah ni.

Ceritanya husband ita memang suka buah-buahan. Selalunya buah-buahan mesti ada dalam peti sejuk sebab memang sikapnya yang suka makan buah sebelum makan makanan berat. Jadinya disebabkan sekarang ni di Jepun adalah musim buah tembikai kami selalu pastikan tembikai ada di dalam peti sejuk. Tembikai dijepun amat manis tanya la sesiapa yang pernah makan tembikai dijepun tentu mengiakannya. Kemanisannya di labelkan diluar kulit tembikai tersebut. Rasa puas sangat makan dan ia adalah sesuatu yang akan dirindui bila balik Malaysia nanti.



2-3 hari yang lepas kami ke Pasar Matsubara berhampiran rumah lama ita. hajat dihati nak cari ikan yang boleh dibuat apa-apa masakan yang sesuai untuk berbuka. Tapi hampa sebab tak de ikan yang sesuai. Jadinya tengok buah-buahan banyak yang murah, suami ita memang tak leh tengok tembikai murah terus kata nak beli ingat nak beli sebiji tapi beli 6 biji:P Sila la percaya mana taknya selalu harga tembikai yang kami beli tu 980 yen tetiba turun 280 yen sebiji tu yang suami borong tu..:) Rasa nak beli sangat sebab minggu sebelum tu kami dah beli tembikai tu jadinya bila turun harga memang suami ita tak fikir panjang.



Mana taknya dengan isinya yang merah dan kulitnya yang nipis macam dalam gambar ita tu..jadi dalam kereta suami ita perli la ita tentu ada orang nak fikir sesuatu dengan tembikai yang banyak ni .. silap2 jadi satu resepi nanti.. memang betul ita terus terfikir jelly tembikai...:)

Jelly tembikai ni sebenarnya resepi dari Puding Jelly Oren yang pernah ita postkan resepinya dulu. hanya kali ini ita tak buat puding iaitu lapisan susu tapi ita tukar dengan lapisan hampas tembikai supaya terasa buah tembikainya itu. Bagi yang gemarkan tembikai jelly ni penuh rasa tembikai dan sedap rasanya.



Jelly Tembikai

Lapisan Jernih ( lapisan bawah)
4 g serbuk agar-agar ( jika inginkan lebih lembut boleh buat 3g)
400 ml air
3 sudu besar gula ( mengikut kemanisan masing-masing dan kemanisan buah tembikai)
100 ml jus tembikai yang ditapis dari buah tembikai ( ditapis ambil air sahaja hampasnya jangan buang)
sedikit pewarna merah ( ita tak letak sebab tembikai ni memang merah)

cara-cara

* Masukkan air, gula dan serbuk agar-agar didalam periuk.
* Setelah sebati masukan jus tembikai yang telah ditapis dan pewarna jika warna kurang terang.
* ketepikan sehingga sejuk sedikit dan dimasukkan kedalam acuan yang bersesuaian.


lapisan atas
2 g serbuk agar-agar
50 ml air
250 ml hampas tembikai yang ditapis
3 sudu besar gula ( mengikut kemanisan masing)



Cara-cara

* Masukkan air, gula dan serbuk agar-agar didalam periuk.
* Setelah sebati masukan hampas tembikai .
* Masak sebentar dan ketepikan sehingga sejuk sedikit.
* Apabila lapisan bawah didalam acuan telah keras sedikit boleh la dimasukkan lapisan ini.
* sejukkan didalam peti sejuk.



05 August 2011

Puding Sagu Gula Melaka



Salam semua. Dah masuk hari ke 5 puasa hari ini. Alhamdulillah kerana masih diberi nikmat ini. Sejak berpuasa ni waktu berbuka rasa tak lalu je nak makan. Dah 2 hari juga ita tak makan nasi waktu berbuka sebab berbuka seorang je hubby hari pertama je berbuka dengan Ita.. huhuhuhuhu..:( bila berbuka seorang ni nak makan nasi pun tak de mood jadi buat menu yang simple-simple tapi mengenyangkan..:)



Tapi ita ni kalau berbuka mesti nak ada desert berkuah tau. Sama dengan hubby jadinya tiap hari fikir apa menu desert nak buat. Yang utama mesti berkuah. Asyik buat puding atau agar-agar je jemu juga kan.. jadi hari ini kita ke arah kuih yang lebih tradisional sikit iaitu Puding sagu gula melaka. Ita suka sangat puding sagu ni sebab makan banyak pun tak muak sedap tambah bila sejuk laju je masuk tekak..:)

Okla tak nak cakap banyak jom kita lihat resepinya. Ini cara yang selalu ita buat ada juga cara yang lain. Tapi ini agak mudah bagi ita setelah beberapa kali cuba..:) sebab selalu sangat buat..


Puding Sagu Gula Melaka

Bahan-bahan
300 gram sagu
2 sudu gula
Air secukupnya tak de sukatan untuk masak sagu
esen pandan
pewarna hijau

Kuahnya
Gula melaka
2 sudu gula
50 ml air
susu segar/santan



Cara-cara

  1. Untuk sagunya rendam sagu sehingga agak kembang dalam 2 jam.
  2. Gantikan air dan rebus hingga biji putih itu hilang
  3. masukkan dalam tapis dan basuh sagu tersebut.( basuh lebih kurang je)
  4. masukkan dalam mangkuk dan masukkan 2 sudu gula, esen pandan dan pewarna hijau.
  5. Gaul rata dan boleh la dimasukkan kedalam bekas yang bersesuaian.
  6. Boleh la disimpan didalam peti sejuk
untuk kuah

  1. Masukkan air, gula melaka dan gula. Masak hingga semua hancur.
  2. Setelah itu tutup api dan tapis.
  3. Bila ingin menghidang letakkan sagu tuangkan gula melaka dan susu segar/santan.


03 August 2011



Salam semua. Selamat berpuasa. Hari ini ihari ke tiga kita berpuasa. Dalam bulan puasa ni ita dah mula ajar Fathnin puasa. Ye la bulan 9 ni genap Fathnin 6 tahun jadi ajar la sikit-sikit supaya di faham apa itu puasa. Tapi disebabkan imsak dijepun awal ita tak samapai hati nak kejut sahur sebab pukul 2.30 pagi ita dan suami bangun rasa terlalu awal pula untuk dia. Jadinya sahur Fathnin bermula pagi seawal dia bangun bagi makan dulu lepas tu baru ajar puasa.


Hari pertama dan kedua sampai pukul 2 ptg hari ni samapi pukul 3 petang. memang kena banyak sabar banyak betul karenah-karenah bila dia berpuasa. Tambahan bila nampak adiknya minum lagi tergugat la iman dia. waktu ni dia nak minta la minum tapi cakap sabar sikit je lagi.. hihihi.. apa2 pun biar dia belajar sikit-sikit lama-lama InsyaAllah biasa la tu harapnya..:)


Okla ini adalah puding kelmarin sebenarnya. Tak sempat-sempat nak masukkan. Ni lepas masak sementara tunggu berbuka curi masa masukkan entry sekejap. Lagi pun memang selalunya ita berbuka seorang dulu jadi tak perlu nak hidang2 atas meja sebab suami ita balik lambat dan berbuka selepas tu.



Puding roti buah peach berkuah kastad

Bahan-bahan

  • 2 keping roti
  • 1/2 cawan susu segar
  • 300 ml air
  • 4 gram serbuk agar2
  • 5 sudu gula - mengikut kemanisan masing-masing
  • 1 sudu besar butter/marjerin
  • sebiji buah peach dalam tin
  • 1 sudu kecil tepung jagung

Cara-cara

  1. Didihkan air,serbuk agar-agar dan gula ke dalam periuk.
  2. Blend roti,susu segar, teoung jagung dan buah peah tadi. Kemudian masukkan dalam periuk agar2 yg sudah didih td.
  3. Masukkan butter/marjerin dan kacau rata sampai mendidih. matikan api.
  4. Tuang ke dalam loyang . sehingga sejuk dan boleh la dipotong dan dimakan dengan kuah kastad dan hirisan buah peach.
Untuk Sos Kastard
  • 1 tin susu cair
  • 1 s/b tepungkastad
  • 2 s/b gula
Cara-cara
  1. Campurkan semua bahan ke dalam periuk dan kacau jangan pekat cair-cair je.
  2. Simpan dalam peti sejuk dan sewaktu hendak makan tuang ke atas puding roti tadi.


;;

About this blog

821602_296729d757ea84k5ins587.JPG


822702_052345cc77ea843wlurk88.JPG