Assalamualaikum w.b.t
Para pengunjung sekalian, saya akan menghilang selama 10 hari. Ke mana? Saya akan berprogram di Korea dan di Hong Kong, insyaAllah. Justeru, blog ini akan sunyi seketika. Kerana itu, saya sediakan satu cerpen buat tatapan pembaca setia semua.
Cerpen ini saya tulis selepas saudara Hilal Asyraf bersungguh-sungguh berkongsi dengan saya tips-tips untuk menjadi penulis Islami. Semoga, ole-ole ini bakal mempertautkan ukhuwwah kita. Biar saya menyepi, insyaAllah saya akan kembali. Terimalah. Apa yang Kau Damba.
Cerpen: Apa yang Kau Damba?Tenang. Damai. Suasana itu memang sinonim dengan Surau al-Ansar. Kelihatan Suhail dalam posisi sujud. Sujudnya lama, seolah-olah merasai hakikat hamba. Kerdil dan lemah di hadapan Allah s.w.t.
Daripada jauh gerak geri Suhail diperhatikan Syafiq. Jiwanya diselimuti ketenangan dengan berbuat demikian. Dia berfikir, manusia yang bermasalah memerlukan tempat mengadu. Kepada siapa lagi yang layak selain Allah s.w.t.? Sudah pasti tiada. Tatkala manusia lain memandang busuk dan hina, Allah sentiasa ada. Ya, Allah Maha Pengasih.
Allah tidak akan lupakan hamba-hamba-Nya. Sekali-kali tidak.
Syafiq menunduk ke bawah. Kejadian tempoh hari masih berlabuh di dermaga ingatan. Kejadian yang bisa menyebabkan abu kecewa berbara marah. Mengapa Afiq sanggup membalas susu dengan tuba? Susahkah untuk menghargai orang lain? Payahkah menutur 2 perkataan magis itu? Terima kasih. Berat sangatkah?
Imbauan memori duka itu mencabar takat sabarnya. Cuping telinganya kini mulai berona merah. Syafiq marah. Dia panas. Luar dan dalam dirinya bagaikan neraka. Dia nekad. Selepas ini, dia tidak akan memperdulikan Afiq. Dia merasakan orang yang tidak pandai menghargai orang lain jangan diberi muka. Lihat sekarang, apa sudah jadi? Sudah berani Afiq memijak kepala. Enak sahaja menutur noda dan nista.
Syafiq masih ingat kata-kata yang disampaikan Haziq tempoh hari.
***
"Syafiq, kenapa kau baik dengan manusia macam si Afiq itu?" soal Haziq.
Syafiq bungkam sejenak seakan memikirkan sesuatu. Selepas seketika, dia bersuara "Diakan sahabat sebilik aku. Wajarlah aku menolong dia. Eh, kenapa kau tanya soalan luar alam macam itu?"
Haziq menjawab "Kau tahu, Afiq tu kutuk kau di belakang. Dia kata, kau sengaja mahu mencari perhatiannya. Nanti mudahlah kau menjadi orang kuat dalam Persatuan Usahawan Muda."
Mata Syafiq membundar. Perasaan terkejut dan ingin tahu berbaur. Sikap inkuirinya mengatasi intuisi. Dia terlupa Haziq ini memang terkenal sebagai talam dua muka.
"Ai, takkan diam sahaja. Takkan kau tak marah kot. Dia cerca kau. Dia kata kau terhegeh-hegeh mencari populariti dan kuasa." Cucuk si Haziq lagi.
"Dahlah, aku tak mahu dengar lagi. Cukup-cukup." Syafiq bernada tegas untuk memberikan amaran kepada Haziq.
Haziq tidak terkesan dengan amaran tersebut. Misi memecah keutuhan persahabatan antara Syafiq dan Afiq harus dijadikan realiti. Biar penat menjadi penat. Biar jemu menjadi jemu.
Haziq tersenyum sumbing dan menyusun kata, "Aku prihatin dengan kau. Kau punyalah baik dengan Afiq. Semua kau tolong dia. Pendek kata, berkorban apa sahaja macam dalam lagu tu. Tapi, macammana dia layan kau? Siap boleh kutuk-kutuk kau lagi. Kalau aku, dah lama Afiq tu kena!"
"Cukup! Bahagian mana dalam perkataan cukup yang kau tak faham?" Syafiq menutur keras sambil menekan jari telunjuknya ke dada Haziq.
Lidah Haziq kelu seribu bahasa. Jari Syafiq yang menekan dadanya seakan muncung pistol yang tidak sabar untuk memuntahkan peluru. Haziq memandang muka merah padam Syafiq. Kini, mata bertentangan mata. Haziq segera mengalihkan pandangan. Tidak berani dia merenung bola Syafiq lagi.
Segera dia meminta diri dan menapak menjauhi Syafiq menuju ke kelas. Dalam sembunyi-sembunyi, dia tersenyum jahat kerana misinya sudah tercapai.
***
Tiba-tiba bahu Syafiq terasa sejuk. Ada jemari yang memegang pundaknya. Jemari tersebut seolah-olah mengalirkan air untuk memadam api marah yang menguasai dirinya. Buat seketika, perasaan damai bertamu di kalbu.
"Macam ada masalah sahaja? Jika tidak keberatan, anta boleh berkongsi dengan ana. InsyaAllah, ana mampu bantu, ana bantu." Sapa Suhail lalu bersila di tepi Syafiq. Rapat sehingga lutut mereka bersentuhan.
"Suhail, kenapa orang tidak pandai menghargai orang lain? Kenapa manusia tidak pandai berterima kasih?" luah Syafiq. Hatinya yang sakit memerlukan penawar.
"Syafiq, ana rasa kata-kata Dr. Aidh Al-Qarni dalam La Tahzan ini baik untuk dijadikan renungan. Beliau berpesan,
jika kamu mahu semua manusia berterima kasih atas apa yang kamu korbankan, maka kamu akan menjadi gila." Jelas Suhail.
Syafiq terdiam. Benar apa yang dituturkan oleh Suhail. Sekarang dia sedang merasai penyakit gila tersebut. Gila memikirkan sikap kurang ajar orang lain yang telah menyebabkan jiwanya menjadi kacau.
"Ana fikir, anta akan membuang masa jika hendak memikirkan tindak-tanduk orang ke atas anta. Anta dah buang masa dengan perkara remeh ini. Bukankah Allah s.w.t. berfirman, janganlah kamu bersedih dan merasa terhina sekiranya kamu beriman. Jika anta fikir apa yang yang anta buat itu, ikhlas untuk mendapat redha Allah, anta tak akan fikir pandangan orang lain. Anta fikir pandangan Allah sahaja."
Syafiq tersenta. Dia merenung niatnya. Apa yang dia damba dari kebaikan yang dia telah hamburkan kepada Afiq? Untuk pujian manusiakah? Untuk merasakan dirinya lebih baik daripada orang lainkah? Atau benar apa yang dikatakan oleh Haziq? Untuk populariti dan pangkat?
Dia beristighfar. Dia sedar, jika matlamatnya hanya mendamba redha Allah, pasti dia tidak akan terkesan untuk memberi dan terus memberi. Dia juga sedar, dengan memberi, dia akan merasa lebih bahagia. Ya, lebih bahagia daripada orang yang menerima. Dan itu semua, harus kembali disandarkan kepada Allah s.w.t.
Moga-moga dengan bersyukur, Allah akan meningkatkan kapasiti nikmatnya. Supaya, pada masa akan datang, dia dapat membantu orang lain pula."Suhail, terima kasih. Baru ana sedar, ana tak boleh menterbalikkan aturan hablumminAllah (hubungan dengan Allah) dengan hablumminannas (hubungan dengan manusia).
Ana kena jaga jaga hablumminAllah, insyaAllah Allah akan memudahkan hablumminannas ana."Benar, Syafiq. Apa-apa pun yang kita lakukan, kita utamakan redha-Nya.
Biar kita miskin, biar kita hina pada pandangan manusia, namun pada pandangan Allah, kita hamba-Nya yang diredhai dan dirahmati." balas Suhail.
"Eh, dah pukul 2 petang ni. Anta dah makan tengahari belum? Jom kita makan sekali di Gerai Makcik Gemuk. Ana laparlah." Saran Syafiq sambil memegang perutnya yang sudah berkeroncong irama asli.
"Lawaklah anta panggil makcik tu. Jom. Ana pun lapar juga ni. " Jawab Suhail.
"Ana panggil macam tu pun sebab makcik tu tahu panggilan Gerai Makcik Gemuk memang popular di kalangan pelajar." Jelas Syafiq.
Kedua-dua sahabat tersebut mula mengorak langkah menuju ke gerai tersebut. Di dalam hati Syafiq, dia yakin.
Selepas ini, apa yang dia dambakan bukan pujian atau terima kasih daripada manusia. Namun, dia dambakan redha Allah.