27.2.10

Busuknya Bau Badan

Scene 1

"Ya Allah 'semerbak' nya dia ni." Monolog Sumardi. Dari jauh dia memandang satu lembaga yang dia kenali. Nak tegur, karang perang dunia ke-3 tercetus pula.

Scene 2

Malam itu, Sumardi duduk di ruang tamu. Alif menyertainya. Lembaga tu pun ada sekali. Memang zass. Bau semerbak itu cukup sinonim dengan neuron Sumardi. Kalah aroma ikan masak lemak cili padi di hadapan mereka.

Sumardi membuka mulut (aroma 'semerbak' itu masuk dalam alveolus), "Uhuk, uhuk". "Aduh, macammana nak cakap ni." getus Sumardi. "Lama-lama, chronic bronchitis aku."Tambah Sumardi.

Scene 3

Lembaga itu mendirikan sembahyang Subuh berjemaah pagi itu. Sumardi yang dalam keadaan mamai masuk ke dalam saf. Baik punya parking tepi lembaga tersebut. Baru sesaat terus Sumardi segar dengan aroma 'semerbak' tersebut. Ngap. Ngap. Sumardi mengalami sesak nafas. Belum sampai 10 saat, Sumardi rebah dek kerana aroma itu. Sungguh membunuh.

Bau Badan

Badan berbau ni memang satu benda yang memalukan. Dan, orang sekitar sukar untuk meluahkan perasaan mereka terhadap anda. Oleh itu, demi tanggungjawab sosial, kita perlu groomkan diri kita.

Rasulullah saw, Nabi Terulung kita begitu mementingkan kebersihan. Baginda sanggup berbelanja untuk membeli bau-bauan harum. Dalam kitab-kitab fekah bab taharah (kebersihan) tidak akan dilupakan, kerana kebersihan ini penting.

Antara cara menghilangkan bau badan ialah:
  1. Tukar baju anda selalu. Sekali sudah pakai kalau memang badan anda berbau.
  2. Beli minyak wangi yang sesuai dengan kulit anda. Sebab minyak wangi + peluh kekadang boleh menyebabkan orang pengsan.
  3. Selalu mandi. Paling kurang 3 kali sehari.
  4. Guna deodoran walaupun ke mana sahaja anda pergi
  5. Gosok gigi dan masukkan air ke dalam hidung
  6. Kerap basuh baju

p/s: Banyak lagi petua untuk menghilangkan bau badan. Siapa tahu? Mari kongsikan.
Continue Reading

26.2.10

Cara Urus Kewangan


Entri kali ini, saya akan berkongsi cara-cara menguruskan kewangan. Secara spesifiknya, cara mengurus wang gaji anda.

Saya bahagikan gaji kepada 3 bahagian:

1) Keperluan asas (70%)
2) Kemahuan/Kememewahan (20%)
3) Simpanan (10%)

1) Keperluan asas ini pula dibahagikan kepada 3:

i) Kereta
ii) Rumah
iii) Makanan & Bil-bil

2) Kemahuan/Kemewahan

Ini termasuklah melancong, pakaian baru, berhibur, bereakreasi dan sebagainya.

3) Simpanan

Ini termasuklah simpanan kecemasan, insuran, sedekah, pemberian kepada ibu bapa, pelaburan dan sebagainya.

Contoh:

Gaji anda RM3400.

1) Keperluan (70% x RM3400 = RM2380)

i) Kereta (RM2380/3 = RM 793)

Apabila anda membeli kereta maknanya anda perlu membayar hutang bulanan, cukai jalan, insuran, minyak, parking, tol, denda jalan raya dan maintenance. Whoa! Banyaknya. Memang pun, ukur baju dulu sebelum beli kereta-kereta mewah tu.

Jadi saya ambil 70% dari RM793 untuk bayar ansuran bulanan dan 30% untuk yang lain-lain.

Maka, (70% x RM793 = RM 555) dan (30% x RM 793 = RM 238)

ii) Rumah (RM 793)
iii) Makanan & Bil-bil (RM 793)

2) Kemewahan/Kemahuan (20% x RM 3400 = RM 680)

3) Simpanan (10% x RM3400 = RM 340)

p/s: Ini sebagai panduan asas. Anda boleh menggunakan model ini untuk disesuaikan dengan kehidupan anda. Selamat mencuba. Model anda bagaimana? Mari kongsikan.
Continue Reading

25.2.10

Kewafatan Nabi Muhammad


Rasulullah s.a.w ibarat seutas tali yang menghubungkan bumi dan langit. Sebarang permasalahan penduduk bumi, mereka merujuk kepada baginda. Apabila baginda tiada, bumi seperti hilang serinya.

Saidina Umar, kerana sedih dengan kewafatan Nabi berucap dengan penuh kontroversi di khalayak ramai:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak wafat, sehingga Allah swt menghancurmusnahkan semua golongan munafikin!"

Abu Bakar, sahabat nabi yang ulung terdengar suara Umar. Beliau keluar dari rumah Aishah dan menenteramkan Umar. "Bertenanglah wahai Umar, berhentilah daripada bercakap."

Kemunculan Abu Bakar menyebabkan beliau mendapat tumpuan khalayak ramai. Mereka ingin mendengar dari sahabat karib kekasih Allah itu.

Abu Bakar membaca firman Allah (Ali-Imran 144):

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."

Orang ramai terpana seolah-olah mereka tidak tahu bahawa ayat tersebut sudah ada, kecuali setelah dibacakan oleh Saidina Abu Bakar. Demikianlah Abu Bakar berjaya menenteramkan umat Islam kerana kewafatan baginda.

Rasulullah begitu sayangkan umatnya

Dalam keadaan uzur, Rasulullah saw masih memikirkan umatnya. Pintu rumah baginda bertentangan dengan pintu masjid. Maka, Rasulullah saw dapat menyaksikan umat Islam mendirikan solat.


Pada pagi yang hening, Abu Bakar dan para sahabat sedang berdiri dalam saf untuk menunaikan solat Subuh. Tiba-tiba, kelihatan Rasulullah saw di ambang pintu dengan wajah yang manis.

Abu Bakar berundur untuk memberi ruang kepada Rasulullah saw menjadi imam. Namun, Rasulullah saw memberi isyarat agar diteruskan solat berimamkan Abu Bakar, kerana baginda masih uzur.

Rasulullah saw berbisik di dalam hati: "Apa akan berlaku kepada umatnya setelah kewafatannya kelak?" Baginda tersenyum kerana puas dengan apa yang dilakukan oleh para sahabat.

p/s:

Lihat, Rasulullah saw begitu memikirkan umatnya. Oleh itu, sempena Maulidur Rasul tahun ini, yakni esok, mula perbanyakkan Selawat atas junjungan besar Muhammad SAW setiap hari.

Allahumma Solli A'la Muhammad, Waa'la Ali Muhammad.
Continue Reading

23.2.10

Hidup Ibadah

In Happiness for Ibadah

Mari renungkan. Ada manusia yang nampak sibuk 24 jam tapi tidak ke mana. Dia tetap ditakuk lama. Dia masih dalam pusingan, rutin harian yang tidak menjanji apa-apa. Lama-kelamaan dia selesa dengan keadaan sedia ada. Akhirnya pusingan ini, membina kotak. Duduklah dia dalam kotak itu tanpa kemajuan.

Berlainan dengan orang yang mempunyai destinasi, target, kemudian dia membina strategi, melaksanakan, bersabar dengan mehnah dan dilengkap tawakal. Maka insyaAllah di akhirnya Allah akan kurniakan kejayaan buat dirinya.

Begitulah kita di dunia ini. Kita diciptakan oleh Allah untuk beribadah kepadaNya. Kita akan kembali mengadapNya suatu hari nanti.

Sebenarnya hidup ini seluruhnya ibadah. Bukan hanya di masjid sahaja kita lakukan ibadah. Setiap saat yang kita jalani di dunia merupakan ibadah. Sekecil zarah pun kebajikan kita lakukan Allah akan hitung. Begitulah sebaliknya.

Namun, untuk menjadi apa yang kita lakukan sebagai ibadah di dunia ini, 2 syarat perlu dipatuhi.

Pertama, niatnya baik. Kedua, perkara itu baik dari segi syarak.

Nah...Jelaskan.

Semua perkara boleh jadi ibadah.

Makan itu ibadah, minum itu ibadah, bercakap ibadah, berjalan ibadah, senyum ibadah, berbaik sangka ibadah, memaafkan sahabat ibadah, berkahwin ibadah, menjaga anak ibadah, menggosok gigi ibadah, semualah.

p/s: Persoalannya, anda mahu kehidupan anda dikira sebagai ibadah atau tidak? Atau, anda mahu kehidupan yang tiada nilai ibadah di sisi Allah?

Mari sama-sama renung. Islam itu cara hidup. Semua yang kita buat, kita hubungkan dengan Allah, insyaAllah ada nilai ibadah di situ.
Continue Reading

22.2.10

Ayat-ayat Cinta


Sayang..Semakin kucuba melawan rasa cinta ini, semakin kutertawan pada kelembutan gerak-gerimu. Getar cintamu bukan sekali menyentuh jiwaku. Ianya menyelam jauh ke dasar, menyebar ke seluruh permukaan kalbu. Percayalah, hanya kau seorang yang aku cinta hingga ke akhir hayat. Salam sayang penuh kasih.
Yang Mencintai
~Ali Ridha

Ayat-ayat cinta seumpana begini sering menjadi pelembut, pencair iman-iman mereka-mereka yang lemah. Sebelum berkahwin begitu manis ayatnya, sehingga perkara yang terlampau peribadi jua dikongsikan. Nauzubillahi min zalik.

Bukan itu yang saya cuba ketengahkan dalam entri ni. Yang utamanya, kita akan begitu mengingati kekasih kita dalam alam percintaan. Bak kata yang klise, tidur tak lena, tergolek-golek, sikat tak berhenti-henti, mandi tak basah, dan sebagainya.

Namun, bila beribadah kepada Allah, liatnya untuk bangun daripada tidur untuk menunaikan solat Subuh apabila mendengar panggilan azan. Berlainan jika mendengar 'ringtone' telefon dari kekasih kita, cepat kita angkat telefon tersebut.

Mengapa?

Saya rasakan, kita tidak menjadikan Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai kekasih kita. Kita tidak menghadirkan Allah s.w.t dalam kehidupan kita. Itu menyebabkan kita berasa berat, berasa azab untuk beribadah kepadaNya.

Ayat-ayat cinta Allah s.w.t merupakan zikir dan Kalamullah. Indahnya agama Islam, jika diberi nikmat, kita ucap Alhamdulillah, jika melihat kebesaran Allah kita ucapkan Allahuakbar, jika ditimpa musibah, kita ucapkan Innalillah. Ya Allah, indahnya agamaMu. Segala gerak geri kita dihubungkan dengan Allah.

Indahkan?

p/s: Jika Allah dan Rasulullah sebagai kekasih, kita lebih ringan untuk melakukan amal soleh.

Usahlah menabur ayat-ayat cinta yang membimbangkan. Ayat-ayat cinta yang menimbulkan titik hitam pada hati yang fitrahnya mahukan kebaikan.
Continue Reading

20.2.10

Bertudung Tapi Seksi

Dia cantik. Baju kebaya berona merah. Kain sarungnya juga begitu. Merah membakar nafsu yang lesu. Sekali dipandang, terseksa jiwa. Berkali dipandang, membuah dosa.

Dia mengenakan tudung yang sedondon. Alah membeli, menang memakailah kata orang pujangga. Pilihannya tudung ariani, persis bintang Sinetron yang selalu dizoom di kaca tv.

Liuk tubuhnya melangkah begitu mempersona. Barah kepada kejernihan iman. Apabila melalui wilayah arjuna, bau Vera Wang Princess memanjangkan hidung sekolompok arjuna seakan Pinocchio. Ah, syurga dunia monolog mereka.

Dalam kelompok arjuna tadi terselit seorang anak muda. Dia hanya memerhatikan dari jauh. Dalam hati dia beristighfar. Astaghfirullahal A'zim. Dalam istighfar dia terkenang kata-kata hikmah tuturan ustaznya.

"Pakai tudung ni, macam pakai topi keledar. Kita pakai topi keledar, untuk mengurangkan kecederaan semasa kecelakaan jalan raya. Tapi kalau kita tak patuhi had laju, tunggang macam pelesit, berlumba, mati juga.

Macam tulah pakai tudung. Tudung itu perisai untuk jalan-jalan thagut, jalan-jalan maksiat. Tapi kalau bajunya ketat, langkahnya menggoda, badannya wangi, wanita ini akan menjadi sasaran kacauan nafsu dan berunsur zina."

p/s: Menutup aurat perlu ikut syariat Allah. Tudung yang dipakai perlu ada syarat-syaratnya. Ada tudung yang menampakkan leher, menampakkan lurah dendam, kita rasakan takpa.

Ingatlah, syaitan ini kreatif. Meskipun mereka tidak mampu membawa manusia ke wilayah hitam, syaitan akan mencipta wilayah-wilayah kelabu buat kita.
Continue Reading

19.2.10

Berkorban Bukan Terkorban


Pengorbanan...

Di akhirnya nanti, orang yang berkorban pasti terasa kemanisan. Kerana tangan yang di atas, lebih baik daripada tangan di bawah.

Di dalam keluarga, ibu ayah selalu berkorban buat anak-anak. Mereka berkorban untuk kelangsungan hidup anak-anak. Bagi mereka, sukar untuk melihat anak-anak mereka hidup dalam kepayahan.

Di dalam persahabatan, kerana kita berkorban untuk kawan kita, kita terasa kemanisan ukhuwwah.

Namun, dalam arena kekeluargaan dan persahabatan atau lebih mudah hablumminannas (perhubungan sesama manusia), kita harus menyayangi diri kita terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain.

Contoh

Di dalam pesawat, jika berlaku kecemasan, kita diwajibkan untuk memakai corong oksigen untuk diri kita, sebelum memakaikan corong oksigen tersebut kepada orang yang tersayang.

Di dalam Sirah, sahabat Nabi, Kaab bin Malik r.a yang dipulaukan kerana tidak turut serta dalam perang Tabuk telah diterima taubatnya melalui ayat al-Quran: Surah at-Taubah (118).

Kaab bin Malik menterjemah rasa syukur melalui keinginan beliau untuk memberikan seluruh hartanya untuk diserahkan kepada Allah dan Rasul.

Namun Rasulullah berkata: "Janganlah kamu serahkan semua, sebaliknya kamu tinggal sebahagian daripadanya"

Teguran Rasulullah kepada Kaab bin Malik membawa mesej jelas bahawa konsep Wasatiah (pertengahan) harus diamalkan dalam amalan bersedekah. Jangan nanti, kerana terlampau bersedekah, tanggungjawab kita tidak tertunai. Contoh: Suami tidak dapat memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak dan terpaksa meminta sedekah.

Berlainan dengan konsep dana jihad. Para fuqaha' sependapat jika negara memerlukan dana untuk jihad.

Inilah yang dilakukan oleh Saidina Usman bin Affan r.a. yang meninfaqkan 300 ekor unta, bersama barang muatannya. Ditambah pula dengan 200 ugiah (sejumlah besar) wang emas.

Atas kemurahan hati Saidina Usman, Rasulullah bersabda:

"Tidak memudaratkan Usman dengan apa jua perbuatan selepas hari ini" (At Tarmizi:3634)

p/s:

Berkorbanlah kerana pengorbanan kita akan Allah hargai jika benar-benar ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Dan Allah bersama orang-orang yang ikhlas.


Pegang konsep wasotiah dalam bersedekah. Prioritized Priority.

Setinggi-tinggi ukhuwwah ialah melebihkan orang lain daripada diri sendiri. Jika tidak mampu, berilah yang mana termampu. Ukur baju di badan sendiri.

Sedekah bukan rigid kepada harta. Ilmu, amal soleh, senyuman, kudrat dan lain-lain boleh menjadi sedekah.
Continue Reading

18.2.10

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W


Alhamdulillah, mari panjatkan kesyukuran kepada Allah, kerana dikurniakan dua nikmat terbesar, iman dan Islam. Ada yang apabila dikatakan nikmat iman dan Islam ini besar, masih tertanya-tanya, benarkah? Iman dan Islam ini seolah-olah hadiah oleh Allah kepada kita. Hadiah ini, jika tidak dijaga, kita tidak dapat rasa betapa signifikannya kepada kehidupan manusia.

Islam ini disebarluas oleh baginda Muhammad S.A.W. Antara intipati yang sering kita dengar dalam khutbah baginda Rasulullah ialah:
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU
Namun begitu, khutbah baginda yang penuh pesanan menjadikan saya terpanggil untuk dikongsi di dalam blog ini. Marilah sama-sama menghayatinya.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah deign telti kata-kataku ini dan sampaikanlah kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

p/s: Allahumma Solli A'la Sayyidina Muhammad

Ya Rasulullah, Kami Merinduimu.

Continue Reading

17.2.10

Dirisik dan Merisik


Malam itu bulan tidak bertemankan bintang. Meskipun begitu, purnama tetap tega menyuluh bumi. Suluhan tersebut seakan-akan terarah ke sebuah desa nan sunyi seperti tidak berpenghuni. Suhail masih belum tidur dalam suasana sebegitu. Masakan tidak, angin yang menderu sepoi-sepoi dari luar jendela membawa hawa yang panas. "Apalah diagnosis cuaca sekarang?" getus hatinya.

Bola mata Suhail sengaja dialihkan ke Smart Phone miliknya. Tiba-tiba, Tiit Tiiit. Telefon itu berbunyi. "Siapa pula yang mesej malam-malam ni?", monolog Suhail sambil mencapai telefonnya.

Asqalani: Suhail, ko selalu jual mahal kan. Tak takut ke?

Suhail: Kenapa? Aku nak kejar cinta utama. Tu lagi aku risau. Kenapa tanya?

Asqalani: Tak semestinya berkahwin itu menjauhkan diri daripada cinta utama, bahkan mendekatkan.

Suhail: Tengok juga, atas dasar apa perkahwinan tu. Selalunya, ramai orang yang membelakangkan tujuan itu. Nak isteri solehah, kena jadi soleh dulu. Cinta isteri kerana cinta utama.

Asqalani: Jadi, apakah kayu ukur nak jadi soleh untuk membenarkan berkahwin?

Suhail: Soleh, maksudnya buat yang Allah suruh dan tak buat apa yang Allah larang. Hati hidup, ringan beribadah. Nak kahwin kena ikut syariat dan sunnatullah.

Asqalani: Thanks for your advice. Kali ni, aku dirisik.

-The End-

Perempuan baik untuk lelaki yang baik

Risik merisik ini, sudah menjadi lumrah sebagai titik mula ke arah penyatuan dua jiwa melalui ikatan pernikahan.

Firman Allah dalam surah an-Nur ayat 26:
"Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik"
Firman Allah ini jelas maksudnya.

Orang yang merisik selalunya mempunyai kekuatan untuk merisik kerana merasakan orang yang dirisik sekufu dengannya.

Justeru, orang yang dirisik dapat kembali bermuhasabah tentang dirinya. Andai yang merisik, kurang yakin agamanya, kurang molek tingkah lakunya, maknanya orang yang dirisik masih ada lompang yang harus di tutup, masih ada ruang yang perlu diperbaiki.

Ini merupakan Ibrah (Pengajaran) halus yang Allah turunkan buat kita.


Tapi, persoalannya, kenapa ada wanita baik atau lelaki baik yang tersalah memilih pasangan?

Ini kerana, perempuan tersebut atau lelaki tersebut, belum benar-benar baik. Orang yang baik akan mengenal orang yang baik. Sepeti Khadijah yang mulia mengenal Muhammad yang terpuji.

Namun, kita perlu jua ingat, kita hidup di dunia yang penuh dengan ujian. Ujian ini Allah datangkan, untuk menguatkan iman kita, supaya tahan lasak menghadapi mehnah dunia.

Allah uji supaya naik taraf kebaikan orang tersebut. Lihatlah Nabi Nuh a.s. Isteri baginda tidak mahu turut serta ajarannya. Lihatlah Asiah, suaminya Firaun begitu kufur dan angkuh sehingga mengaku dirinya Tuhan.

p/s: Usahakanlah menjaga batas pergaulan sebelum ikatan perkahwinan kerana dikhuatiri dosa sebelum kahwin membawa kesan negatif selepas berkahwin.

Jadikanlah pohon cinta utama untuk membuahkan cinta-cinta yang lain.

Usah mengeluh jika lihat banyak kekurangan pada pasangan. Kekadang kita tak dapat apa yang kita suka, maka sukalah apa yang kita ada. Allah Maha Mengetahui hikmahnya.
Continue Reading

9.2.10

Pengalamanku: Interview SPA

Tuk. Tuk. Tuk. Pintu berwarna coklat itu kuketuk. Kemudian, daun pintu dikuak dan langkah kakiku diatur ke dalam bilik yang sederhana besar itu. Kumendongakkan kepala dari posisi yang sedikit menunduk sebentar tadi. Kelihatan dua orang penemuduga berpakaian kemas duduk di hadapanku. "Assalamualaikum," aku memecah keheningan.

Salah seorangnya menggamit untuk kumemberikan fail dan resume. Lantas aku memberikan dokumen tersebut. "Silakan duduk.". Arahan dituruti dan aku duduk dalam keadaan bersedia untuk ditemuduga.

Penemuduga SPA

P: Salahuddin ya. Apa maksud Salahuddin?

S: Pembela agama.

P.: Nama ayah awak Haris @ Harith.

S: Satu sin satu tha.

P: What do your father do? Is he working?

S: My father had passed away when I was 15 years old.

P.: Ooh, it was quite sometime. What do your mother do? Who take care of you?

S: My mother is a house wife and she and my siblings take care of me.

Penemuduga membelek resume ku.

P: A good SPM result. All 1. Tak sikit sangat ke satu saja dapat?

Senyum kuukir. (Nak respon, tak tau)

P: What was your secondary school?

S: Kolej Islam Sultan Alam Shah, KISAS, Kolej Islam Klang. (KIK juga dikenali, seperti biasa)

P: An elit school. Good teachers, good performance.

S: Saya bersyukur diberi peluang belajar di sekolah sebegitu.

P: Apa yang awak sertai diuniversiti?

S: Saya menyertai pertandingan pantun, sukan seperti badminton dan bola tampar.

P: Ini saya tengok ada Majlis Perwakilan Pelajar.

S: Saya hanya calon. Tewas kepada kawan saya sebentar tadi Azwadi.

P: Ooh. Azwadi. Nampaknya dia lebih hebat daripada awak.

S: Orang memilih dia.

P: Tak mengapa. Penglibatan awak itu sudah bagus. Apa yang awak faham dengan konsep 1 Malaysia?

S: 1 Malaysia merupakan gagasan yang dibawa oleh Perdana Menteri kita, Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak dengan mendahulukan pencapaian dan mendahulukan rakyat, atau dalam BI, People First, Performance Now.

P: Ya. Tapi bagaimana jika situasinya begini. Ada sedang memberi ubat kepada pesakit, kemudian datang pesakit mengadu yang servis lambat dan dia sudah menunggu lama. Bagaimana anda mahu mentransformasi servis sebegini?

S: Saya yakin dan percaya setiap masalah boleh diselesaikan jika punca masalah dikenalpasti. Setelah diselidiki punca, barulah dilakukan transformasi. Cadangan saya agar diadakan sistem yang sistematik untuk mengurangkan masa menunggu. Gunakan sistem nombor, tempat menunggu yang selesa dan sebagainya.

P: Saya suka jawapan awak yang kita harus mengenalpasti punca. Sepatutnya awak menerangkan tentang punca sebelum terus kepada cadangan. Be creative!

S: Baik. (Baru tahu betapa berteraburnya idea. Hehe)

P: Awak pernah makan McDonald?

S: Saya sudah tidak ke sana sejak pemboikotan (ada ke perkataan ni?) barangan Yahudi kerana penyerangan Israel terhadap Baitul Maqdis pada Januari 2009.

P: Mengapa awak memboikot McD? Apa lagi jenama lain yang perlu diboikot?

S: Walaupun CEO McD merupakan Melayu Islam, bumiputera, namun ada peratusan saham yang memerlukan wang dialirkan kepada Amerika Syarikat. Jenama lain seperti Sara Lee, Ambi Pure, dan juga Intel. Namun, kebanyakan komputer menggunakan processor Intel, meskipun ada processor AMD dan sebagainya. Untuk ini, kita seharusnya memboikot mengikut kapasiti kita. Sebagai Muslim, kita perlu memboikot demi mengambil berat tentang keadaan umat Islam yang lain. (Terasa ekonomi+islamik jawapan ni.)

P: KFC bagaimana?

S: CEO KFC meminta umat Islam negara ini membantu dan menyokong beliau, supaya beliau dapat membeli keseluruhan syer milik Amerika Syarikat.

Penemuduga KKM (Dia ni pegang fail sijil kokurikulum)

P: Awak masuk kuiz ni. Ada keratan akhbar. Apa kuiz ni sebenarnya?

S: Kuiz Farmasi Kebangsaan. Semua Fakulti Farmasi dari IPTA dan IPTS seluruh negara menyertai pertandingan ini. Kuiz berkisar tentang akademik.

P: Ni, awak menyertai program orang asli. Apa aktiviti yang anda lakukan?

S: Kami mengajar fardu ain, memasak untuk mereka dan melakukan 'medical checkup'. Selalunya, orang asli tidak mempunyai masalah berat badan. Kebanyakan mereka merokok, jadi kami menyediakan khidmat kaunseling berhenti merokok.

P: Seperti yang anda tahu, orang asli banyak mengamalkan ubat-ubatan herba. Bagaimana anda nak memastikan mereka makan ubat-ubatan yang selamat?

S: Dalam perkara ini, konsep 'give and take' harus dilakukan. Yang mana ubat-ubatan herba yang merbahaya, kita nasihatkan mereka untuk berhenti mengambilnya. Yang mana ubat herba yang menunjukkan keberkesanan, kita boleh lakukan penyelidikan untuk dikomersialkan.

S: Method untuk menasihatkan mereka untuk berhenti dari mengambil herba yang merbahaya, kita menyampaikan maklumat melalui penterjemah yang mengetahui bahasa kita dan bahasa ibunda orang asli. Semasa menerangkan kita boleh menggunakan alat bantu.

P: Di mana anda hendak mendaftar sebagai seorang PRP.

S: (Zass, soalan RoPR la pulak) Di Kementerian Kesihatan Malaysia, di Putrajaya.

P: Awak tahu bangunan apa kat depan Pusat Matrikulasi UIAM kat Petaling Jaya?

S: Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.

P: Ha. Sebelah bangunan tu, ada Bahagian untuk Pendaftaran Farmasi. Awak mohon kat Lembaga Farmasi. (Pharmacy Boardlah Solah). Awak kena tahu tempat nak daftar ni, kalau tak awak sama sahaja macam orang yang jual ubat kat Kampung Baru dan Chow Kit.

S: Baik.

P: Ok, Salahuddin.

S: Ok. Terima kasih.

Aku berjabat tangan dengan kedua-dua penemuduga dan keluar dari bilik tersebut.

Kesimpulan

Kesempatan ini, saya nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibunda yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan saya untuk interview ini.

Terima kasih jua buat rakan-rakan yang membantu dan memberikan inspirasi.

Inilah temuduga yang cukup syarat dan pelik. Pelik? Yalah, semua yang diinterview boleh dikatakan 100% dapat kerja.

Kepada yang bakal ditemuduga esok selamat berjaya.

Terima kasih baca entri yang panjang ni. =)
Continue Reading

8.2.10

Contoh Resume

Assalamualaikum, resume merupakan elemen penting untuk disiapkan demi menghadiri temuduga. Saya berkongsinya untuk membantu anda.

Resume yang baik mempunyai beberapa elemen:

1) Gambar yang terkini

2) Maklumat Peribadi

3) Maklumat Akademik

4) Pencapaian Akademik

5) Pencapaian Ko-kurikulum

6) Anugerah

7) Kursus/Latihan/Seminar

8) Pengalaman Bekerja/Kemahiran berkaitan dengan Jawatan yang Dipohon

9) Sediakan Contact No. Tel Orang Untuk dibuat rujukan. (Contoh: Bos lama, pensyarah dan sebagainya.)

10) Dapatkan testimonial dari orang berkenaan (Contoh: Bos Lama, Dekan dan sebagainya)

p/s: Semoga Berjaya =) . Berikut ialah contoh resume.


Continue Reading

7.2.10

Tips Menghadiri Temuduga


InsyaAllah, saya dan rakan-rakan farmasi akan menghadiri temuduga SPA pada Selasa dan Rabu ini. Justeru, dengan pengalaman saya menghadiri beberapa interview, saya kongsikan tips-tips untuk anda semua.

1) Penampilan Diri

Siapkan Fizikal anda supaya kelihatan kemas pada hari temuduga. Bagi yang lelaki, rambut perlulah pendek dan kemas. Misai dan Janggut dirapikan.

(Nampak macam tak penting, tapi akibat tidak memotong rambut, janggut dan misai, senior saya tidak ditaja untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, meskipun straight A SPM dia)

Pilih warna baju yang lembut, tidak terlalu terang, atau terlalu gelap. Seluar bagi yang lelaki, seelok-eloknya warna hitam atau biru tua.

Siapkan dokumen yang diperlukan dengan tersusun dan memudahkan untuk disemak oleh penemuduga.

Senyum di hadapan cermin selama 15-30 saat, untuk mengurangkan kegelisahan dan meningkatkan keyakinan. Ini juga dapat menceriakan wajah.

2) Tentang Temuduga

Seperti kata pepatah anda perlu mengenal musuh, sebelum mengalahkannya, maka anda perlu buat 'rehearsal' ke tempat temuduga.

Ini akan memudahkan anda pada hari temuduga, kerana anda sudah tahu tempatnya, berapa masa yang diperlukan dan sebagainya.

Anda perlu tahu sedikit sebanyak tentang temuduga. Seperti jawatan-jawatan penting dalam syarikat yang anda mahu bekerja, apa misi dan visi syarikat dan lain-lain.

Hari Selasa dan Rabu ini, ada 2 orang penemu duga. Satu dari SPA dan satu dari KKM. Ada 2 bilik temuduga. Satu orang akan selama 30 minit lebih kurang.

Yang SPA, anda kena tahu pentadbiran kerajaan, menteri-menteri kabinet, rukun negara, sistem raja berpelembagaan dan yang sewaktu dengannya.

Yang KKM, penemuduga ialah U48 dan ke atas. Mungkin Tuan Sheikh, Puan Rozita atau lain-lain. Kerana KKM akan menguruskan penempatan, anda perlu sediakan alasan yang kukuh dan munasabah atas pilihan anda.

Jujur dengan jawapan. Apabila ditanya: Bolehlah kami hantar ke Sabah dan Sarawak? Jangan pula menjawab, saya berkhidmat untuk negara. Tolaklah dengan cara yang baik tapi tegas.

Kalau yang nak ke hospital, soalan-soalan klinikal kena tahu. Kalau yang minta NPCB, CDCR kenalah dalam kepala.

Isu-isu semasa pun kena ambil tahu. Sekarang, zaman hangat tentang gempa bumi Haiti, H1N1, isu penggunaan nama Allah oleh gereja, pelan ekonomi baru dan lain-lain. Boleh baca berita-berita beberapa minggu lepas untuk mendapat sedikit idea.

3) Semasa Temuduga

Berdoalah agar dipermudahkan urusan, ditenangkan hati yang bergelojak, dilancarkan bicara. Doa yang sinonim, ialah doa Nabi Musa dalam surah Taha. Apa tu?

Rabbishrohli sodri, Wayassirli Amri, Wahlul Uqdatammillisani, Yafqahu Qauli.

Ketuk pintu bilik temuduga. Apabila anda dibenarkan masuk, pandang penemuduga untuk mengetahui bangsanya.

Jika Islam, berilah salam.
Jika ada bukan Islam, berilah selamat sejahtera atau selamat pagi.

Kemudian, minta izin untuk duduk.

Semasa diajukan soalan, jangan mencelah, tunggu sehingga habis soalan diajukan.

Semasa menjawab, jawablah dengan jelas dan berkeyakinan. Eye contact perlu, untuk menggambarkan keyakinan. Pandang sekali-sekala ke mata penemuduga, dan sekali-sekala alihkan pandangan pada dinding atau objek-objek paras mata. Jangan menunduk kepala!

Jika tidak dapat mengawal perasaan gemuruh. Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan secara perlahan-lahan. Genggam tangan anda untuk mendapatkan kekuatan. Berdoalah agar diberikan kekuatan.

4) Selepas temuduga

Jika diminta mengajukan soalan, ajukan soalan yang relevan.

Ucap terima kasih dan berilah salam. Keluar dengan sopan dan tutup pintu bilik temuduga dengan perlahan.

p/s: Begitulah yang saya dapat kongsikan. Tips ini berdasarkan pengalaman saya dan pesanan dari Tuan Sheikh dan guru-guru saya yang lain. Harap membantu.

Continue Reading

5.2.10

Sirah: Zaid bin Tsabit


"Wahai seluruh kaum Muslimin! Barangsiapa yang ingin bertanya tentang masalah al-Quran, maka hendaklah dia mendatangi Zaid bin Tsabit."

Umar al-Khattab
Susunan barisan ketenteraan itu rapi. Muka-muka pejuang penuh dengan semangat jihad yang menyala untuk ke medan Badar.

Dalam keadaan yang riuh dengan persiapan perang, seorang anak kecil yang baru berumur 13 tahun bertemu dengan Rasulullah dan berkata:

"Biarkan diriku menjadi penebus dirimu, wahai Rasulullah. Izinkanlah aku pergi bersamamu untuk berjihad melawan musuh-musuh Allah di bawah panjimu!"

Rasulullah kagum dengan semangat anak muda ini. Baginda menepuknya dengan lembut dan kasih sayang, dan menolak hasrat murni anak muda tersebut.

Hancur hati anak muda ini. Namun, dia berazam untuk mendekati Rasulullah dengan cara lain. Cara tersebut ialah dengan menggunakan kekuatannya menghafal.

Siapakah anak muda ini? Dialah Zaid bin Tsabit. Beliau merupakan pemuda golongan Ansar yang menjadi rujukan umat Islam dalam bab al-Quran. Beliau bertanggungjawab menulis wahyu pada zaman Rasulullah dan memashafkan Rasm Ustmani pada zaman Khalifah Usman bin Affan.

Pengajaran


Zaid bin Tsabit, meskipun berusia 13 tahun, namun semangat untuk berjuang di jalan Allah, dan ingin menyumbang sesuatu dalam menegakkan agama Allah.

Justeru, kita jangan merendah diri kerana usia kita untuk menyumbang sesuatu buat ummah. Zaid bin Tsabit telah membuktikannya. InsyaAllah, sama-sama kita menyumbang buat agama dan ummah ini mengikut kapasiti masing-masing.

p/s: InsyaAllah setiap Jumaat akan ada tinta Sirah di sini. Doakan kekuatan saya untuk menukilkannya.

Idea tercetus dari tazkirah maghrib tadi. Jazakallah bro.!
Continue Reading

4.2.10

Tips: Usirkan Kegelisahan

Kegelisahan, kerisauan, ketidakteraman bisa menghantui kita daripada melakukan sesuatu perkara secara bersungguh-sungguh. Kegelisahan menyebabkan otak kita tidak mampu memikirkan jalan penyelesaian. Malah, pemikiran-pemikiran yang negatif berkunjung tak pernah jemu.

Demi mengusir kegelisahan kita perlu hadirkan ketenangan.

Bagaimana?

Firman Allah s.w.t terang-terangan menyebut "Ketahuilah dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang".

Saya tertarik untuk berkongsi nasihat sahabat Nabi yang tidak asing lagi iaitu Abdullah ibn Mas'ud tentang mengusir kegelisahan.

Alkisahnya, seorang lelaki bertemu dengan sahabat Rasulullah ini. Lelaki itu bertanya mengenai tips-tips menghidarkan kegelisahan.

Abdullah ibn Mas'ud menjawab:

Bawalah hatimu mengunjungi 3 tempat.
  1. Tempat orang membaca al-Quran, tidak kira sama ada kamu bersama-sama membaca atau hanya mendengarnya.
  2. Hadiri majlis ilmu yang mengingatkan kamu kepada Allah.
  3. Kamu cari satu waktu yang sunyi (waktu malam) dan kamu bangun melaksanakan ibadah, dan berdoalah kepada Allah, agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati.
Jika kamu telah melakukan ketiga-tiga perkara tersebut, namun jiwamu masih belum tenang, pintalah hati baru daripada Allah, kerana hati kamu sekarang bukan milik kamu.

La haula wala Quwwata illa Billah, Allah jualah yang menciptakan hati, Allah jualah yang membolak-balikkan hati. Allah jualah yang mampu memberikan hati baru kepada hamba-hambaNya.

p/s: Abdullah ibn Masu'd ini merupakan antara sahabat yang paling awal memeluk Islam.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

"Aku rela kepada umatku apa-apa yang disukai oleh Ibn Masu'd dan aku marah kepada umatku apa-apa yang dimarahi olehnya"
Continue Reading

1.2.10

Susu dibalas Tuba

Mari merenung sebentar. Adakah kita mempunyai sahabat tetapi sahabat itu tidak menganggap kita sebagai sahabatnya. Kita sudah menghargai dia, caring, sharing, tapi dia sukar untuk menghargai kehadiran kita dalam hidupnya. Pernahkah anda berasa begitu?

Sebagai manusia, kita suka diberi dan sukar memberi. Kita suka orang ingat birthday kita, bagi hadiah kepada kita dan orang caring tentang kita. Dalam bersahabat, apabila kita berbuat baik, kita inginkan imbalan. Iaitu, kita mahukan sahabat kita membalas perbuatan baik tersebut.

Saya tidak terkecuali. Sebagai manusia saya terasa dengan tindak-tanduk manusia yang tidak tahu berbudi bahasa, meskipun kita berbuat baik dengan mereka. Saya terkesan sehingga Justify Fullterfikir, Dah dia ni tak menghargai aku, buat apalah aku nak susahkan diri menghargai dia.

Tapi saya silap. Saya lupa teori ukhuwwah. Ukhuwwah itu dibina atas dasar iman. Dan dari keimanan membuahkan keikhlasan. Dengan keikhlasan, kita tidak mengharapkan sebarang imbalan. Lagipun, kita hanya menggunakan anggota badan yang Allah kurniakan untuk berbuat kebajikan. Untuk siapa? Untuk sahabat yang kita sayang, yang kita kasihi kerana iman.

Allah datangkan saya satu situasi yang mudah untuk dijadikan muhasabah. Kawan saya tetap tegar mencuba menegur rakan sebiliknya meskipun seolah-olah tidak berbalas sapaannya itu.

Kepada yang merasakan diri tidak dihargai sahabatnya, pesanan ini amat membantu insyaAllah

"Hubungan kamu dengan sahabat kamu, adalah tanggungjawab kamu kepada Allah SWT. Kamu tidak mengharapkan balasan daripada sahabat kamu atas kebaikan kamu. Tetapi kamu mengharapkan balasan Allah SWT atas kebaikan kamu. Hubungan sahabat kamu terhadap kamu pula, itu adalah tanggungjawab dia kepada Allah SWT”

p/s: Salah satu daripada golongan yang mendapat naungan pada hari kiamat ialah dua orang sahabat yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Moga-moga kita tergolong dalam golongan ini, Amin.

Continue Reading

Tips: Boosterkan Ibadah


Alhamdulillah, pujian yang tidak putus-putus buat Tuhan sekalian alam, Allah s.w.t. Sekian lama menyepi kerana minggu peperiksaan, saya kembali untuk membincangkan bagaimana untuk memboosterkan ibadah. Atau lebih mudahnya, macammana untuk sentiasa terdorong untuk melakukan ibadah?

Kita semua doktor?

Sebagai seorang Muslim kita menggalas gelaran doktor. Kenapa? Kerana kita kena selalu monitor hati kita. Kita kena tahu hati kita bersih atau mula berat dengan kotoran. Kita kena tahu hati itu hidup atau tenat menghadapi sakaratul maut.

Antara tanda-tanda hati yang hidup, ialah hati yang bergetar apabila mendengar nama Allah, mudah menerima teguran, membisikkan kata-kata hikmah dan mendorong kita melakukan ibadah.

Benarlah firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 2:

"Sesungguhnya orang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama 'Allah', gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya, maka bertambahlah keimanan mereka, dan kepada Allah sahajalah mereka bertawakal"

Antara tanda hati itu masih hidup ialah takut kepada Allah s.w.t. dan kemurkaanNya.

Dan hati yang hidup itulah kunci booster ibadah kita!

Anda mahu hati hidup atau hati yang mati?

Pintalah kepada Allah agar ditetapkan hati, agar agama kita lurus. Pintalah hati baru jika hatimu sudah mula hilang sensitivitinya.

Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template