Showing posts with label Kerabu. Show all posts
Showing posts with label Kerabu. Show all posts

Thursday, 20 March 2025

Kerabu Timun Asli Kelantan

 



Bahan-bahan sambalnya;

1/2 biji kelapa-jadikan keresek.
4 ulas bawang merah
1 sudu lada hitam
3 ekor ikan sardin/selayang dibakar/ 2 ekor ikan kembung

Tumbuk lumat semua bahan.

Bahan kerabu/sayur:

Timun- sagat/hiris halus (Gunakan timun biasa BUKAN Timun Jepun- bau lebih wangi dan segar)
Daun kesum- hiris halus
1 kuntum bunga kantan- hiris halus
Bawang merah kecil-hiris nipis
Cili api-potong kecil

Bahan perisa/kuah:

2 mangkuk santan pekat- perahan daripada sebiji kelapa parut (guna air masak)
1 biji asam limau nipis
Garam
Gula
Ajinomoto jika suka

Langkah menyediakannya:
  1. Masukkan semua bahan kerabu (sayur) dalam mangkuk besar.
  2. Masukkan semua bahan sambal/tumbuk, bahan perisa/kuah dan gaul sebati.
  3. Rasakan masin, manis dan masam secukupnya. Siap!

Sunday, 9 March 2025

Kerabu Epal Hijau dengan Timun

 


Assalamualaikum dan salam Ramadhan ke-8.

Baru hari ke-8 tapi macam dah kering idea nak masak apa ya? 

Jom kita buat kerabu mudah2 tapi sedap dan menyegarkan. Kerabu ni enak ratah-ratah gitu sahaja. Jom tengok bahan-bahannya;

Bahan-bahannya:

2 biji epal hijau, buang kulit dan hiris nipis
1 biji timun jepun, hiris halus

1 cawan kelapa parut - sangrai/goreng tanpa minyak hingga perang

5 ulas bawang merah- mayang nipis (Cik Wan suka letak lebih)
Daun kesum jika ada- Cik Wan tak letak hari ni.

3-4 biji cili padi - boleh ubah ikut selera
1/2 sudu makan belacan bakar
1 sudu kecil garam
3 sudu gula
1 biji air asam limau nipis


Cara menyediakannya:
  1. Tumbuk kelapa hingga halus- jangan sampai pecah minyak. Keluarkan dan masukkan dalam bekas yang berisi epal, timun ,bawang dan daun kesum yang dah dihiris nipis.
  2. Tumbuk cili padi, belacan , garam dan gula hingga lumat.
  3. Masukkan dalam bekas epal tadi.
  4. Perahkan asam limau- gaul rata semuanya.
  5. Rasakan garam gulanya. 
  6. Siap!
Nota :
Boleh ditambah protin kesukaan seperti ikan bilis, udang kering, udang, isi ayam dan sebagainya. 

Selamat mencuba dan selamat berbuka.


Friday, 11 October 2024

Kerabu Gajus/Terre

 



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sekarang Cik Wan tengah kumpulkan gambar-gambar masakan lama yang terkumpul di FB dan IG atau dalam phone. 

Tengah godek2 gambar, terjumpa gambar Kerabu Gajus ni. Asbab pokok gajus depan rumah berbuah, Cik Wan kutip dan buat kerabu kegemaran Allahyarham nenek Cik Wan, Che Jah bin Che Yusof. Jom kita tengok bahan-bahannya.



Bahan-bahannya ialah;

5-6 biji buah gajus- dihiris nipis dan perahkan sedikit buang air pahitnya.
1/2 buah nenas- dicincang panjang-panjang
4 ulas bawang merah
6-8 ulas lada hitam
Gula
Garam
Limau nipis
Cili api, daun ketumbar dan bawang merah hiris untuk hiasan.



Cara membuatnya;
  1. Sediakan hirisan gajus dan nenas dahulu. Masukkan ke dalam mangkuk besar.
  2. Tumbuk bawang merah dengan lada hitam hingga lumat.
  3. Masukkan kedalam hirisan buah tadi.
  4. Masukkan juga gula, garam, bawamg merah hiris dan cili padi.
  5. Gaul mesra. Rasakan masam, masin dan manisnya biar sekata.
  6. Siap.



Monday, 22 March 2021

Kerabu Pucuk Paku dan Taugeh Berkerang

 


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Jom layan kerabu Pucuk Paku Taugeh dan Kerang petang ni. Mari kita lihat bahan dan cara membuatnya.

Bahan-bahan sambalnya;

1/2 biji kelapa-jadikan keresek.
4 ulas bawang merah
1 sudu lada hitam
3 ekor ikan sardin/selayang dibakar

Tumbuk lumat semua bahan.


Bahan kerabu/sayur:

Pucuk paku- potong bersih-celur dan toskan
Taugeh-celur dan toskan kering
Bawang merah kecil-hiris nipis
Cili api-potong kecil

Bahan perisa/kuah:

1 mangkuk santan pekat- perahan daripada sebiji kelapa parut (guna air masak)
1 biji asam limau nipis
Garam
Gula
Ajinomoto jika suka

Langkah menyediakannya:
  1. Masukkan semua bahan kerabu (sayur) dalam mangkuk besar.
  2. Masukkan semua bahan sambal/tumbuk, bahan perisa/kuah dan gaul sebati.
  3. Rasakan masin, manis dan masam secukupnya. Siap!








Monday, 30 March 2020

Kerabu Taugeh Ringkas


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke 13 PKP. Semoga kita semua dilindungi  dan wabak ini diangkat pergi oleh Allah SWT. Jangan putus2 berdoa dan memohon pertolongan daripadaNya. Dialah sebaik2 Pelindung dan Dialah sebaik2 Pemberi Pertolongan. Amiin.

Cik Wan ambil kesempatan semasa PKP ini untuk buat taugeh sendiri. Masih ada sepeket kacang hijau dalam 200gm agaknya. Separuh peket Cik Wan semai untuk dapatkan taugeh. Tak berapa menjadi dan taugeh Cik Wan pendek2. Semalam Cik Wan semai lagi tapi dalam bekas yang lebih besar. Mudah-mudahan , kejadiannya lebih panjang dan lebih gemuk hehehe.


Dapatlah sebanyak seperti dalam gambar di atas. Cik Wan buat kerabu je sebab hanya Cik Wan dgn Mr A yang makan taugeh, anak2 memang tak suka. Jom kita tengok resepi ringkas Kerabu Taugeh ni. Sangat sedap untuk diratah atau dimakan dengan nasi.

Bahan-bahannya:

Semangkuk taugeh- celur sebentar dan toskan airnya.
3 sudu kelapa disangrai*
Sedikit belacan digoreng tanpa minyak- guna kuali yang sama selepas goreng kelapa.*
3 ulas bawang merah dimayang
1 biji cili padi*
Segenggam ikan bilis- rendam dengan air panas sekejap dan toskan*
Garam
Gula
Air asam limau

Cara-caranya:

  1. Tumbuk semua bahan bertanda *. Masukkan dalam mangkuk taugeh.
  2. Gaul sebati bersama garam, gula, asam limau dan bawang hiris.
  3. Siap.
Kalau tak ada taugeh, boleh je ganti dengan sayur lain seperti timun, selom, peria, kacang panjang, daun bayam brazil dan macam2 sayur lagi sama ada nak buat mentah ataupun dicelur dahulu. Sangat sedap dan membuka selera. Pastikan rasanya masam2 manis..sedap untuk diratah. Selamat mencuba.

p/s : Masa menggaul tu Cik Wan suapkan sejemput dalam mulut Alis yang tak suka makan taugeh sebelum ni. Hahaha...lepas tu separuh mangkuk memang habis kat dia je. Siap suruh mamanya semai lagi yang baki separuh peket. Haa..ambik..penangan kerabu mamanya...

Thursday, 2 May 2019

Kerabu Megi Siam


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah...kembali bersiaran lagi bersama Cik Wan Kitchen aka Cikgu Wan. Lama betul tak update apa-apa dalam blog ni.

Selamat menyambut Ramadhan kepada semua umat Islam..semoga Ramadhan kali ni yang terbaik daripada sebelum ini dan semoga ia bukan Ramadhan yang terakhir untuk kita semua..amiin.

Cik Wan masak kerabu megi ni untuk dibawa ke sekolah dan juga ke opis Mr A. Laku betul kalau bawak kerabu ni..ramai peminatnya. alhamdulillah.

Resepi yang detail serta gambar ada kat SINI ya.

Tapi Cik Wan CnP lagi untuk mudahkan kawan-kawan semua.

Bahan-bahannya;

3 bungkus Maggie Thai/Siam.
1 biji buah tomato-hiris
1/2 labu bawang besar- Cik Wan guna bawang besar Holland
Sejengkal batang celery
Segenggam daun ketumbar
1/2 biji capsicum merah
1/2 biji capsicum hijau
2 biji cili padi - potong kecik jika suka pedas
1 sudu sos ikan-jika suka*
1 sudu air asam limau-jika suka*
2 peket rempah maggie siam - (yang ada dalam peket maggie tu, 1 lagi untuk dimasukkan dalam air rebusan).

*kenapa Cik Wan kata jika suka untuk sos ikan dan air asam limau?..kerana sos/rempah maggie siam ni dah masin, masam dan pedas. Tapi kalau lauk banyak, mungkin perlu tambah sos ikan dan air asam limau lagi.

Bahan Lauknya:

  1. Sotong
  2. Udang
  3. Fish cake
  4. Crab stick
  5. Fish ball


Cara-caranya:
  1. Panaskan air untuk merebus bahan lauk dan mee segera.
  2. Masukkan 1 peket rempah mee segera. Tunggu hingga menggelegak.
  3. Masukkan mee segera. Dah lembut, keluarkan. 
  4. Masukkan seafood. Udang dahulu baru sotong diikuti fish cake/fish ball. Sebentar sahaja. Bila dah mengerekot, terus angkat. Kalau sotong, jangan rebus bersama dengan udang, rebus sejenis-sejenis...jangan main lebur jer tau..kadar masak dia berbeza.
  5. Keluarkan seafood. 
  6. Dalam bekas yang besar, satukan semua bahan Megi + Sayur + lauk
  7. Masukkan sedikit air rebusan. Masukkan rempah megi + air asam limau. Gaul sebati. Rasakan.
  8. Tambah sos ikan jika kurang masin. 
Selamat mencuba ya..

Tuesday, 22 May 2018

Nasi Kerabu Sedap



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ramadhan ke enam hari ini. Semoga kita semua dapat mengerjakan ibadah berpuasa dengan lebih baik dan sempurna. Ibu-ibu mungkin sibuk menyusun dan merancang menu untuk keluarga, walaupun nampak remeh tetapi sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Citarasa suami dan anak-anak mahupun citarasa isteri berbeza-beza dan cuba dipenuhi walaupun tidak serentak. Bergilir-gilir menentukan menu harian adalah lebih adil kan. Yang penting jangan berlebih-lebihan, jangan membazir dan pilihlah menu yang sihat untuk keluarga tersayang.

Semalam CIk Wan masak nasi kerabu biru bunga telang. Resepi dah banyak Cik Wan kongsikan detail di dalam entri yang lepas-lepas. Semalam Cik Wan sediakan daging bakar, ikan celup tepung , telur masin dan keropok untuk lauk nasi kerabu. Cik Wan hanya gunakan air lada dan budu dan tiada tumis. Sebenarnya, nasi kerabu biru tak perlukan tumis, cukup dengan air lada dan budu sahaja.

Ulam pula Cik Wan gunakan daun kunyit, daun kesum, kacang panjang, timun, bunga kantan dan kubis sahaja. Memang menyelerakan sekali.


Nasi kerabu ni salah satu menu sihat yang boleh diamalkan. Bila makan nasi kerabu, porsi nasi biasanya akan kecil sahaja kerana lebih banyak makan ulam-ulaman dan lauk. Cuma hati-hati dengan telur masin serta budu..hehehe. Elakkan atau kurangkan makanan masin ya. Boleh menyebabkan penyakit jantung dan darah tinggi.

Okay...selamat mencuba dan semoga terus sihat sepanjang Ramadhan ini. Salam sayang daripada Cik Wan @Cikgu Wan.

Friday, 9 December 2016

Kerabu Pegaga dengan Mangga Muda

Warna sebenar tanpa kesan edit warna..:)
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersua kembali selepas masa-masa sibuk yang agak panjang. Semoga semuanya sihat sejahtera. Selamat bercuti semua..untuk yang bercuti. Selamat bekerja dengan gembira bagi yang masih bekerja di hujung-hujung tahun ini. Banyak yang perlu dibereskan sebelum menjelang 2017. Ibu-ibu mesti hectic dengan agenda membeli dan menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak. Kos untuk hujung tahun ni akan berlipat kali ganda daripada biasa..banyakkan bersabar ye hehehe. Memang tanggungjawab kita menyempurnakan keperluan anak-anak semoga mereka dapat menjalani kehidupan sebagai pelajar dengan lebih lancar dan penuh kegembiraan.

Cik Wan baru nak ke kedai esok. Ambil kesempatan cuti hujung minggu ini sebelum balik ke kampung minggu depan. Adik bongsu Cik Wan, Ayu akan berkahwin. Disebabkan Mek dah tak ada, kami adik-beradiklah yang menguruskan majlis ini. Walaupun sebenarnya bukan 100% kerana kebanyakkannya diuruskan oleh Ayu sendiri. Maklumlah kami di KL, agak sukar untuk membantu secara langsung. Mudah-mudahan majlis nikah dan kenduri nanti dipermudahkan Allah SWT.

Banyak pula cerita Cik Wan. Jom tengok resepi kerabu pegaga ni. Dah banyak kali Cik Wan share rasanya. Maklumlah, kerabu ni memang makanan kegemaran hehehe.


Bahannya:

Seikat daun pegaga- direndam dengan air garam dalam 10 minit. Basuh bersih, toskandan hiris halus.
1 biji mangga muda saiz sederhana- disagat
1 mangkuk kelapa parut- sangrai dan tumbuk
1 genggam  udang kering- sangrai dan tumbuk kasar
1 labu bawang besar merah/5 ulas bawang merah kecil- mayang
1 biji asam limau nipis.


5 biji cili api*
Sebesar ibu jari belacan-sangrai/bakar*
2 sudu besar gula*
1 1/2 sudu kecil garam*

Tumbuk semua bahan bertanda*


Cara membuatnya;

  1. Masukkan semuanya ke dalam mangkuk.
  2. Gaul rata.
  3. Rasakan dan tambah apa yang patut.
  4. Siap. Simpan di dalam peti sejuk jika tidak dimakan terus. Enjoyyy.

Tuesday, 27 September 2016

Kerabu Ikan Bilis Ala Thai


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.
Petang ni Cik Wan belanja Kerabu Ikan Bilis Ala Thai sebagai meraikan dah habis marking trial SPM dan dah siap di key in markahnya heheheh. Biasalah paper Cik Wan start lewat, maka markingpun siap lewat ditambah dengan cuti raya baru-baru ni. Alhamdulillah dah siap semuanya.

Jom kita tengok sekali lagi resepinya..sama jer dengan resepi2 sebelum ni.

Bahan-bahannya;

1 mangkuk kecil ikan bilis- goreng hingga garing, Sejukkan.

1 labu bawang besar- hiris
1 biji buah tomato-hiris
2 biji cili padi-potong
2 tangkai daun ketumbar
1/2 biji timun, buang biji dan hiris nipis- kalau guna timun jepun tak payah buang bijinya.
1 batang serai- ambil bahagian lembut sahaja dan hiris halus- hari ni Cik Wan tak letak..takde dlm stok

Untuk perasa;

2 sudu besar sos ikan
2 sudu besar air asam limau nipis- Cik Wan guna sebiji yang saiz sedang
2 sudu kecil gula pasir- Cik Wan guna gula somtam


Cara membuatnya;

  1. Satukan semua bahan sayurnya.
  2. Gaulkan dengan bahan perasa.
  3. Gaul sebati dan tambahkan apa yang kurang.
  4. Masa nak dihidangkan barulah digaulkan dengan ikan bilis supaya ikan bilis kekal rangup semasa menikmatinya. Siap.
Mudahkan? Cubalah...

Friday, 17 June 2016

Kerabu Udang sama Suhun



Menu ringkas tapi sungguh menyelerakan..Cik Wan ratah-ratah jer...jom tengok resepi ulangan ni ye..



Bahan-bahannya;

Udang- dibuang kulit dan urat belakang. Rebus 1 minit  dan terus keluarkan, masukkan dalam air batu.(boleh tukar dengan sotong atau campur kedua-duanya)
Suhun- direbus dan ditoskan airnya.

Sayur-sayuran:

Celery
Tomato
Timun
Bawang besar
Cili padi
Daun ketumbar
1 batang serai dihiris nipis

Perisa;
 
3 sudu  air limau nipis
3 sudu  Sos Nampla (sos ikan )
2 sudu  gula
* tambah jika kuantiti udang dan sayurnya banyak. Cik Wan buat dalam 2 mangkuk kecil sahaja.

Cara:

  1. Satukan sayuran, suhun dan udang di dalam bekas. 
  2. Masukkan sos ikan, gula dan perah asam limau nipis. 
  3. Rasakan agar masin, masam dan manis. 
  4. *Jika suka boleh juga masukkan serai hiris dan kacang tanah yang disangrai.



Friday, 10 June 2016

Nasi Kerabu di Bulan Ramadhan..



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ramadhan ke lima hari ini. Semoga ibadah kita diterima Allah SWT hendaknya.

Petang semalam Cik Wan masak nasi kerabu hitam/biru. Orang Kelantan panggil nasi kerabu hitam. Lama dah tak dengar panggilan tu. Teringat-ingat Nasi Kerabu Kambing Bakar di Berek 12 Kelantan..memang sedap sangat dan rasanya lebih sedap daripada nasi kerabu lain di Kota Bharu. Beratur panjang pembeli yang nak membelinya. Kebanyakan untuk dibungkus kerana hanya 5 buah meja disediakan bagi yang hendak menikmatinya di situ. Cik Wan dan adik dibawa oleh anak saudara kami Si Syakur  yang turut datang menjaga tok meknya di hospital. Jauh datang dari Perak mengejarkan hari hujung minggu untuk turut sama menjaga mek di hospital Kota Bharu dulu. Semuanya tinggal kenangan..

Jom kita tengok resepi..resepi yang sama dan selalu Cik Wan gunakan..

Sambal Kelapa

Bahan-bahannya:
1/2 biji kelapa parut disangai garing (warna dark brown) dan ditumbuk lumat (jangan sampai pecah minyak)
4-5  ekor isi ikan selayang/sardin atau kembung (paling baik dibakar kerana akan kurang hanyir berbanding dikukus atau direbus)- hari ni Cik Wan rebus saja
6 ulas bawang merah
1 sudu lada hitam
3-4 batang serai (lihat saiz)
gula/gula melaka, garam secukup rasa

Cara:

  1. Tumbuk halus/lumat semua bahan. 
  2. Gaulkan hingga sebati/mesra. (Gaul ramas)
  3. Sudah siap, tekan-tekankan hingga rapat dan disendukkan ke dalam pinggan waktu menghidang nanti.


Sambal Tumis

1 biji kelapa-ambil santan pekat
5-7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
sedikit halia
2 batang serai
5-6 biji cili kering
2 keping asam keping

Gula/gula melaka
Budu
Garam- hati-hati dengan garam sebab budu dah masin.

Cara memasak:


  1. Masukkan santan dalam periuk. 
  2. Biarkan hingga menggelegak tanpa perlu dikacau.
  3. Mesinkan semua bahan kecuali asam keping. 
  4. Masukkan dalam santan yang sedang menggelegak tadi, masukkan asam keping. 
  5. Kacau sekali-sekala.
  6. Masukkan gula,budu dan garam. 
  7. Masak sampai kuah pekat dan pecah minyak. 
  8. Rasanya mesti masam, manis dan masin.


*kalau nak tumispun boleh. Caranya;

  1. Tumiskan semua bahan mesin hingga garing.
  2.  Masukkan santan, asam keping, garam/budu dan gula. 
  3. Masak hingga pekat.



Sayur Ulam

Bahan-bahannya yang boleh digunakan;

Timun
Kacang panjang
Kubis
Bunga Kantan
Daun kesum- wajib ada untuk bangkitkan bau
Daun kunyit muda- wangi baunya
Taugeh
Daun selasih
Daun selom

Hiris halus-halus (kecuali taugeh) dan gaul bersama.


Air Lada (jika suka)

10 biji cili padi merah
Cuka
gula
garam
Cili ditumbuk/dimesin bersama-sama dengan gula dan garam (1 bhgn garam, 2 bhgn gula) dan dibancuh dengan cuka.

Budu
 Perahkan limau nipis serta patah2kan cili api ke dalam budu.


Nasi

Boleh memasak nasi biasa.
Boleh masak nasi warna biru( gunakan pewarna atau bunga nasi kerabu/telang)
Boleh masak nasi berwarna kuning guna kunyit.

(masukkan sedikit garam dan 2 helai daun limau purut semasa memasak nasi)


Bahan lauk yang boleh dihidangkan bersama nasi kerabu;

  1. Telur masin
  2. Keropok keping
  3. Keropok lekor
  4. Sambal ikan bilis
  5. Ikan bakar/percik
  6. Ikan celup tepung
  7. Ayam bakar/percik
  8. Daging bakar/percik
  9. Etok
  10. Ikan rebus goreng
  11. Kerutuk
  12. Dan macam-macam lagi.....ada yang hidangkan dengan ketam..hebat dah nasi kerabu zaman millenium ni..Selamat mencubaa.


Wednesday, 1 June 2016

Kerabu Dedaun Ulam



Assalamualaikum.
Hari ni pagi-pagi lagi Cik Wan dah sampai ke Pasar Kajang. Cik Wan jarang ke sini. Sepanjang 18 tahun tinggal di Kajang, rasanya tak sampai 10 kali naik ke Pasar Kajang. Kalaupun datang hanya di kedai bunga di kaki lima pasar tempat Cik Wan beli bunga-bunga ros segar, itupun kalau kebetulan lalu di kawasan itu.

Bila dah masuk sini banyaklah jumpa ulam-ulam segar. Apalagi...borong sakan la Cik Wan. Seikat besar daun pegaga, seikat daun selasih, daun selom, daun kesom selain bawang dan cili. Berdesup balik rumah tak sabar nak buat kerabu daun-daun ulam ni hahahaha. Jom, tengok resepi kerabu mudah ringkas dan sedap ni.

Baha-bahannya; (A)

1 ikat besar daun pegaga*
1 ikat daun selom*
2-3 tangkai daun selasih*
Hiris halus *
1 mangkuk taugeh-celur
1 biji cili merah besar-hiris
2 labu bawang merah-mayang

Note; boleh gunakan pelbagai jenis ulam lain. Ikut selera dan apa yang ada di dapur anda ya. Contohnya kacang panjang, kacang botor, kubis, salad, jantung pisang, taugeh, timun dan lain-lain.


Bahan rempah kerabu; (B)

1/2 biji kelapa parut- sangrai hingga perang dan tumbuk
1 genggam udang kering- cuci bersih-  sangrai dan tumbuk
1 mangkuk udang- dibuang kulit dan dicelur- cincang (boleh juga guna isi kerang/isi ikan/isi ayam/daging.)

Tumbuk lumat sambal belacan; (C)

1/2 ici belacan
4 biji cili padi merah-boleh tambah/kurang ikut tahap kepedasan memasing.

Bahan perisanya (D)

1 1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
2 biji limau nipis-perah ambil airnya.


Cara membuatnya;


  1. Masukkan semua bahan A, B, C dan D dalam mangkuk besar.
  2. Gaul rata semua bahan dan rasakan masin, masam dan manisnya,
  3. Siap!.

Monday, 2 May 2016

Kerabu Maggie Thai





Assalamu'alaikum sahabat semua. Semoga dalam rahmat  dan keampunan Allah sentiasa. Malam ni Cik Wan masak Kerabu Maggie Thai. Allahuakbar..sedap sungguh. Bukan nak puji diri sendiri hehehe..

Cik Wan guna mee segera Thai yang banyak dijual di Kelantan. Mee ni halal, in sya Allah. Katanya kalau guna mee segera jenama lain tak berapa nak jadi..wallahu'alam, tak pernah cuba lagi. Inipun baru kali pertama cubaan hahaha.

Bahan yang Cik Wan guna malam ni simple sangat, semalam baru balik dari KB belum sempat nak beli lauk lagi, guna apa yang ada dalam peti ais sahaja. So, kalau nak tambah seafood banyak2..silakan ya.

Bahan-bahannya;

3 bungkus Maggie Thai/Siam (dalam gambar)
1 biji buah tomato-hiris
1/2 labu bawang besar- Cik Wan guna bawang besar Holland
Sejengkal batang celery
Segenggam daun ketumbar
1 biji cili merah besar
1 sudu sos ikan-jika suka
1 sudu air asam limau-jika suka
2 peket rempah maggie siam - (yang ada dalam peket maggie tu, 1 lagi tak dipakai).

*kenapa Cik Wan kata jika suka untuk sos ikan dan air asam limau?..kerana sos maggie siam ni dah masin, masam dan pedas.

Bahan Lauknya:
Sotong
Udang
Fish cake
Crab stick
Fish ball
Cik Wan hanya ada udang dan fish cake jer..udang pula dibuang kulit dan dibelah dua baru sedap dimakan.





Cara-caranya:

  1. Panaskan air untuk merebus bahan lauk dan mee segera.
  2. Masukkan 1 peket rempah mee segera. Tunggu hingga menggelegak.
  3. Masukkan seafood. Udang dahulu baru fish cake. Sebentar sahaja. Bila dah mengerekot, terus angkat. Kalau sotong, jangan rebus bersama dengan udang, rebus sejenis-sejenis...jangan main lebur jer tau..kadar masak dia berbeza.
  4. Keluarkan seafood. 
  5. Dalam periuk rebusan yang sama, masukkan mee segera. 
  6. Dah lembut, keluarkan. Masukkan dalam mangkuk besar untuk menggaul kerabu. Air rebusan JANGAN DIBUANG!





Langkah seterusnya..

  • Masukkan semua bahan sayur dan seafood dalam mangkuk mee.
  • Masukkan 3 senduk air rebusan, sos ikan dan asam limau nipis serta 1 peket rempah mee siam tadi.
  • Gaul rata. Siap!!!

Adoiiii!!!! memang sedap tak terkata. Selamat mencubaa.......

Sunday, 31 January 2016

Kerabu Romaine Lettuce yang sedap tak hingat








Ini sayurnya..selalu buat ulam mentah atau salad sahaja..

Hari ni kita kongsi resepi mudah-mudah sahaja tapi sedap rasanya hehehe (mungkin pada tekak Cik Wan jer..) Kalau nak tahu kenalah cuba ye tak?

Bahan-bahannya;

1 pohon salad romaine- potong kecil
1 biji buah tomato, buang isi dan hiris nipis
2 labu bawang merah sederhana besar
2 sudu kerisik- goreng sendiri lebih wangi berbanding readymade (Cik Wan ambil yang lebih buat nasi kerabu semlam heheh)
2 biji cili api, nak pedas tambah lagi
1 biji asam limau nipis
Garam
Gula
*garam dan gula Cik Wan jemput pakai jari jer..so agak-agaklah ye.
Segenggam ikan bilis digoreng garing.


Cara-caranya:

  1. Satukan hirisan salad, tomato dan bawang.
  2. Masukkan semua bahan seperti kerisik, garam, gula dan asam limau nipis.
  3. Gaulkan dengan tangan dan ramas-ramas sedikit (ingat kita buat kerabu bukan buat salad ye hehe)
  4. Masukkan cili padi dan ikan bilis.  Siap!!!

Wednesday, 24 June 2015

Kerabu Ikan Bilis Gaya Thai


Simple sahaja lauk berbuka puasa Cik Wan hari ni. Kerabu Ikan Bilis, Sup Daging dan Telur Dadar. Jom tengok resepi kerabu yang mudah ni.

Bahan-bahan sos:

1 batang serai- dimayang halus
1 ulas bawang putih dimayang halus
2 sudu sos ikan- boleh gantikan dengan garam
1 sudu gula
4 biji cili padi dipotong kecil.
1 biji limau nipis ambil airnya.

*Satukan semua dan kacau sebati..sedia untuk digunakan.



Bahan-bahan kerabu:

1/4 labu bawang besar
1 biji timun/timun jepun- jika suka
1/2 biji tomato
Daun ketumbar
Ikan bilis yang digoreng rangup.




Bila hampir waktu berbuka, baru satukan dan gaul semua bahan. Siap.


Saturday, 20 June 2015

Kerabu Taugeh Mudah Terlajak


Memang mudah sangat resepi ni..tapi sedapnya ya ampuuunnnnn...memang habis diratah macam tu jer..tak makan nasi la nampaknya. Semalam Cik Wan masak air asam ikan bakar, ada lebih lagi 2 ekor ikan yang Cik Wan simpan dalam peti ais. Kelapa parut pun ada sikit apa , otw Mr A balik dari pejabat, Cik Wan suruh dia belikan taugeh..apalagi, terhasillah kerabu mudah ringkas sedap ni hehehe..

Bahan-bahannya;

2 mangkuk taugeh (agak2 je ni sbb Mr A belikan 1/2 plastik)- bersihkan dan celur sebentar
2 ekor ikan bakar- buang tulang
Sedikit udang- dibuang kulit dan dicelur slps mencelur taugeh- potong kecik2
3 biji cili padi
2 biji cili merah besar
Sedikit belacan
1/2 mangkuk kelapa parut- sangrai dan tumbuk
1/2 labu bawang besar- mayang kasar
Garam
Gula
1 biji limau nipis


Cara-caranya:

  1. Tumbuk cili, belacan, garam dan gula. (jadi sambal belacan)
  2. Tumbuk isi ikan bakar.
  3. Satukan semua bahan: taugeh, kelapa tumbuk, ikan tumbuk, sambal belacan, bawang besar yang dihiris dan isi udang yang dipotong kecil.
  4.  Perahkan asam limau nipis. 
  5. Gaul sebati dengan tangan.
  6. Jika suka pedas boleh tambahkan dengan hirisan cili padi.
  7. Siap.

Kerabu ni tanpa santan, memang tahan sampai sahur tanpa perlu masukkan dalam peti ais...selamat mencuba :)

Saturday, 14 June 2014

Kerabu Gajus (2) @ Ketereh @ Jambu Golok


Sehari selepas menghantar kakak ke Pulau Pinang, kami terus bertolak ke Kelantan. Sebenarnya Mek dah hampir 10 hari sakit dan terlantar di hospital. Disebabkan menunggu cuti sekolah dan menguruskan kakak, kami lewat balik ke kampung..Ya Allah, begitulah kita bila masing-masing ada keluarga dan kerjaya..walau rasa nak balik serta merta tapi tak berdaya. Hanya telefon bertanya khabar sahaja. Nasib baiklah ada adik beradik lain yang sanggup berkorban meninggalkan keluarga masing2 untuk menjaga mek. Hari saya balik tu mek dah dua hari di discharge..alhamdulillah..

Agaknya disebabkan lama di hospital, mek agak berselera hendak makan. Adik saya Roha @ Ciksu bertanggung jawab menjadi chef di rumah untuk minggu tu...hehehe memang best dia masak. Saya hanya berkesempatan membuat kerabu gajus ni sahaja..tu pun dibantu oleh Roha. Kami sama-sama ke Pasar Jelawat untuk bersarapan berdua..ala-ala girls day out la..meninggalkan suami  menjaga anak2...heheh tak sampai sejam dah sampai mesej ..."balik cepat oiii...kami lapar.." hahaha
Sempat lagi kami bersarapan dengan nasi dagang terengganu yang dijual di situ..best!!


Tak pernah miss makan nasi dagang ni kalau berkesempatan balik...
Sebenarnya resepi untuk Kerabu Gajus ni dah ada. Boleh dapatkan di SINI cuma kali ni saya buat dalam kuantiti yang banyak iaitu dalam 20 biji buah gajus dan 1 biji besar buah nanas. Suka tengok mek meratah kerabu ni..alhamdulillah.

Lain kali kalau terjumpa dengan buah ni, jangan takut untuk mencuba resepi kerabu ni..yang saya pelajari daripada arwah nenek..memang marvellous!! Selamat mencuba..



Saturday, 12 April 2014

Kerabu Sambal Belacan Ulam Raja dengan Mangga Muda.




Hari Jumaat semalam, kawan sekerja saya  membawa satu plastik besar pucuk ulam raja tuaian kebun sayur di keliling rumahnya. Apa lagi, memang rezekilah. Dah terbayang2 kerabu ulam raja yang sangat sedap..hahahah. Apa lagi, malam tu jugak saya buatkan kerabu ringkas ni. Terima kasih Maziyani..lain kali bawak lagi yer :-)

Bahan-bahannya ialah;

Untuk sayurnya.

Ulam raja secukupnya- basuh bersih dan toskan kering- hiris halus
Sebiji mangga muda sederhana saiznya-di sagat
6-7 ulas bawang merah kecil - mayang nipis
- boleh tambah bunga  kantan dan daun kesum jika ada.

Untuk sambalnya
5-6 biji cili padi
1/2 sudu kecil belacan dibakar
Garam dan gula secukupnya (biasanya saya guna nisbah 1sk garam-2 sb gula)
1 mangkuk kelapa digoreng tanpa minyak
1/2 mangkuk udang kering digoreng sebentar tanpa minyak
1 biji limau nipis

Caranya;
  1. Siapkan sambalnya dulu.
  2. Tumbuk kelapa yang digoreng tadi hingga lumat tapi jangan sampai keluar minyak. Keluarkan.
  3. Tumbuk cilipadi, belacan, gula dan garam hingga lumat. Keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
  4. Tumbukkan udang kering.  Masukkan ke dalam mangkuk.
  5. Masukkan semua sayur yang telah dihiris halus ke dalam mangkuk yang berisi sambal tadi.
  6. Perahkan asam limau nipis.
  7. Gaulkan menggunakan tangan hingga mesra, sambil dirasa masin, masam dan manisnya, siap!!
Kecurrr air liur hehe





Wednesday, 18 December 2013

Kerabu Mangga dengan Peria

Selalunya saya jadikan buah peria sebagai ulam mentah sahaja, setiap minggu saya akan beli dalam 3-4 biji peria segar dari Pasar Borong Selangor. Tapi hari ni rasa teruja nak buat kerabu bila melihat ACAR PERIA dari blog Amie's Little Kitchen, bukan tak mahu buat acar tapi bahannya tak cukup..tambah2 ada pulak dalam peti sejuk buah mangga muda dan daun ketumbar. Apa lagi, kerabu siamlah jadinya hehehe.

Bahan-bahannya;
2 biji mangga muda di sagat
1 biji buah peria- hiris nipis, rendam dan ramas dengan air garam utk kurangkan pahit. Perah kering.
2 biji cili padi-potong kecil2
1 tangkai daun ketumbar-hiris kasar
2 ulas bawang merah-mayang nipis
Sos ikan- boleh ganti dengan garam
Gula secukupnya
1 biji asam limau nipis di ambil airnya.

Cara-caranya;

  1.  Satukan semua bahan sayur dalam mangkuk.
  2. Masukkan sos ikan, gula dan air asam limau nipis.
  3. Gaul sebati, rasakan masam manis masin. Siap.

Monday, 16 December 2013

Somtam Mangga

Menitik air liur hehehe
Selalunya kita gunakan betik  untuk buat somtam...tapi kali ni saya gunakan mangga muda. Bukan apa, bahan-bahan untuk buat somtam memang ada di rumah, masalahnya tak jumpa pula betik mengkal/separuh masak..apa lagi, tak adar rotan, akar pun berguna nampaknya hahaha.

Bahan-bahannya;
3 biji mangga muda jenis epal (kurang masam)- sagat halus
3-4 tangkai kacang panjang- potong dalam 2 inci
1 biji buah tomato-potong baji
4 biji cili padi- nak pedas boleh tambah lagi
2 peket kecil udang kering-goreng tanpa minyak-saya guna microwave jer..
1/2 cawan kacang tanah- goreng tanpa minyak
2 sudu gula somtan (Rujuk gambar di bawah)
Sos ikan secukupnya.
2 biji limau nipis- ambil airnya.

Cara-cara menyediakan somtam;
  1. Masukkan cili padi dalam lesung- lenyekkan atau tumbuk manja
  2. Masukkan udang kering-tumbuk manja
  3. Masukkan kacang panjang- tumbuk manja
  4. Masukkan tomato baji- tumbuk manja
  5. Masukkan gula somtam-lenyekkan semua bahan. Masukkan sos ikan dalam 2 sudu.
  6. Masukkan asam limau.
  7. Tuangkan kesemua bahan tumbuk kedalam bekas berisi parutan mangga. Rasakan biar masin, manis dan masam secukupnya.
  8. Masa hidang, taburkan kacang tanah. (kalau ada letakkan setangkai kangkung muda..yummehhh)


Gaul sebati..kalau ada lesung kayu, semua ditumbuk dan digaul sebati di dalamnya..saya tak ada lesung tu :-)

Gambar dari entry lama..GULA SOMTAM ialah yang paling kiri dalam plastik tu.

Ha...lenkali kalau pi jalan2 ke Kelantan, masukkan item GULA SOMTAM dalam senarai beli belah anda selain daripada kain batik, cenderamata, toto dan lain-lain....hehehe...bye
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...