Showing posts with label Thai. Show all posts
Showing posts with label Thai. Show all posts

Friday, 27 September 2024

Ayam Kari Thai



 Assalamualaikum semua. Selepas 3 tahun, 5 bulan dan 5 hari berlalu....

Semoga semuanya sihat dan bahagia bersama keluarga tercinta.

Hari ini saya kongsikan resepi kegemaran kami anak-beranak. Baru dua kali masak resepi ni tapi memang anak-anak sangat suka. 

Kari Ayam Thai. Tak tahulah authentic atau tidak. Maafkan saya kalau resepi tidak seasli resepi asal. 

Jom kita lihat bahan-bahannya.


Bahan utama

Seekor ayam dipotong kecil- boleh diganti dengan ikan.

Bahan bumbu : (Rujuk gambar)

Bawang Merah
Bawang Putih
Lengkuas
Serai
Cili Api
Cili Merah Besar
Belacan

Semua bahan di atas dimesin/tumbuk lumat.

Bahan-bahan perasa:

Belacan
Asam keping- 2 keping
Santan - saya guna 1/2 kg santan segar
Daun limau purut
Sos ikan
Garam
Gula

  1. Tumis semua bahan mesin dengan daun limau purut.
  2. Setelah pecah minyak, masukkan ayam. Masak hingga air ayam keluar.
  3. Masukkan santan dan asam keping.
  4. Masukkan garam, gula dan sos ikan.
  5. Kacau sekali sekala hingga ayam masak .
  6. Rasakan sama ada sudah cukup masin, masam dan manis. 
  7. Siap.
Selamat mencuba ya. 

Wednesday, 14 April 2021

Siakap Masam Manis atau Pla Raad Prik


 

Assalamualaikum dan salam Ramadhan. Selamat berpuasa semua pengunjung dan sahabat Cik Wan Kitchen. Pagi ini Cik Wan kongsikan resepi kegemaran family Cik Wan iaitu Siakap Raadprik atau Siakap Masam Manis. Jom lihat bahan dan caranya.



Bahan-bahannya ;


Bahan lain:

3 sudu sos ikan
3 sudu cuka
2 sudu gula- Cik Wan gunakan gula somtam.
1/4 cawan air.
*tambah/kurang ikut sesuai

Seekor ikan siakap- paling sedap filletkan, dadu kasar, perapkan dengan garam dan lada sulah.
Bila nak goreng, gaulkan dengan sedikit tepung jagung/tepung gandum.
Kalau tidak, goreng ikan macam biasa selepas diperapkan dengan garam dan lada sulah.

Cara membuatnya;
  1. Tumbuk/blend kasar semua bahan dalam gambar.
  2. Panaskan minyak. 
  3. Tumis bahan tumbuk hingga garing.
  4. Masukkan cuka, gula dan sos ikan. Kacau sebentar.
  5. Masukkan sedikit air. Masak hingga sos pekat.
  6. Tuang atas ikan yang telah digoreng. Siap!!.

Untuk video cara membuatnya, boleh ke FB saya Siakap Rad Prik . Selamat mencuba.

Wednesday, 24 March 2021

Ayam Harimau Menangis


 

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat pagi semua. Jom lihat resepi dan cara buat Ayam Harimau Menangis sebagai ganti/pilihan kepada Daging Harimau Menangis.


Bahan-bahannya perapan ayam:

1 ekor ayam dibuang tulang
2 sudu brown sugar
3 sudu sos ikan
4 sudu sos tiram

  1. Gaulkan isi ayam dengan semua bahan di atas.
  2. Perap sekurang-kurangnya 2 jam.
  3. Bakar ayam menggunakan pan/kuali hingga masak.(Letakkan sedikit minyak atas kuali/pan)

Sos Cicah Ayam harimau Menangis:

1 sudu besar air asam jawa
2 sudu besar air limau nipis
3 sudu sos ikan 
2 sudu besar Gula/brown sugar/gula Thai
Cili padi
Cili flakes
Hirisan daun ketumbar
Hirisan bawang merah
2 sudu beras pulut yg disangrai dan tumbuk halus.

  1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk.
  2. Kacau sebati dan rasa biar ada masam, manis dan masin.
  3. Siap.


Sunday, 21 March 2021

Miang Pla ( Wrapped fish)

 


Assalamualaikum. Hari ini Cik Wan share hidangan Miang Pla yang boleh dibuat sendiri di rumah dengan kos yang jauh lebih murah daripada di kedai. Jom lihat bahan-bahannya:

Bahan-bahan seafood :
Ikan Siakap (pla)
Udang
Kerang
Sotong

Cara-caranya:
  1. Ikan siakap dibersihkan, kelar dan gaul dengan garam dan lada sulah. Taburkan/gaulkan dengan tepung jagung sebelum digoreng dengan minyak yang banyak.
  2. Udang, sotong dan kerang boleh direbus atau dikukus hingga masak.

Bahan-bahan sos Thai:

2-5 biji cili padi- boleh tambah/kurang  
4 ulas bawang putih  
2 tangkai ketumbar-hiris  
2 sudu besar sos ikan- boleh guna garam  
2 biji limau nipis- ambil airnya  
2 sudu gula Thai- boleh guna gula pasir 

  1. Tumbuk cili padi, bawang putih dan ketumbar hingga lumat.
  2. Bancuh/gaulkan dengan sos ikan, limau nipis dan gula.
  3. Masukkan hirisan daun ketumbar.
  4. Siap.
Hidangkan dengan sayur-sayuran yang sesuai dan suhun/mihun.



Selamat mencuba...

Saturday, 14 November 2020

Tom Yam Bersantan / Tom Kha Kung

 


Assalamualaikum dan selamat pagi. Jom kita tengok resepi Tom Kha Kung (Rebus Lengkuas Udang). Ala-ala tomyam tetapi menggunakan santan segar.


Bahan-bahan yang digunakan seperti dalam gambar di atas. 

3 mangkuk santan 
7-8 potong hirisan lengkuas
2 batang serai diketuk dan potong pendek
1 ulas bawang merah
3-4 helai daun limau purut
1 biji tomato-potong 4
4-5 biji cili padi diketuk
Semangkuk udang
Semangkuk cendawan
Garam
Sos ikan
Gula
Air asam limau nipis
Daun ketumbar sebagai hiasan.


Cara menyediakannya:
  1. Panaskan santan.
  2. Masukkan semua bahan kecuali udang, cendawan dan air asam limau.
  3. Kacau hingga mendidih.
  4. Masukkan udang dan cendawan. Kacau hingga udang masak.
  5. Tutup api, masukkan air asam limau nipis. Siap.
  6. Hidangkan dengan taburan hirisan daun ketumbar.




Thursday, 21 May 2020

Udang Galah Bakar ala Thai



Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -28. Hari ke sembilan  PKPB Fasa 5. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT. Sihat sejahtera dan ceria bersama keluarga tercinta.
Hari ini Cik Wan nak share resepi ringkas Udang Galah Bakar ala Thai kesukaan keluarga Cik Wan. Pastikan udang yang digunakan fresh ya bagi menjamin kesedapan resepi ni heheh.

Bahan-bahannya:

1 kg udang secukupnya
3 ulas bawang putih
Sedikit garam
Sedikit madu- boleh ganti dengan gula
1/2 biji lemon
2 pokok daun ketumbar
4-5 sudu minyak zaiton- boleh ganti dengan minyak lain

Cara-cara:

  1. Bersihkan udang, belah dua tapi jangan putus. 
  2. Tumbuk semua  bawang putih dan daun ketumbar.
  3. Gaulkan dengan garam, madu, air lemon dan minyak zaiton.
  4. Gaulkan dengan udang hingga sebati. 
  5. Masukkan dalam bekas dan perap dalam peti ais sekurang2nya 2 jam.
  6. Bakar udang dan hidangkan dengan sos Thai. Cik Wan gunakan magic pan. Sekejap je.


Sos pencicah (Sambal Thai) 

2-5 biji cili padi- boleh tambah/kurang 
4 ulas bawang putih 
2 tangkai ketumbar-hiris 
2 sudu besar sos ikan- boleh guna garam 
2 biji limau nipis- ambil airnya 
2 sudu gula Thai- boleh guna gula pasir 

  1. Tumbuk cili dengan bawang putih. 
  2. Masukkan dalam mangkuk. 
  3. Campurkan dengan semua bahan lain. 
  4. Siap.






Friday, 15 May 2020

Udang Tepung versi restoran Thai


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -22. Hari ketiga   PKPB Fasa 5. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT. Sihat sejahtera dan ceria bersama keluarga tercinta.

Sudah beberapa hari Cik Wan tidak update apa2 masakan. Agak sibuk dengan aktiviti menyiapkan tempahan bunga orkid daripada kawan2 rapat. Hari raya dah makin hampir, semua orang sibuk dengan kuih raya dan juga hiasan rumah. Alhamdulillah..walaupun dalam PKPB, semangat menyambut Hari Raya Aidil Fitri tetap meriah walaupun ada di antara kita yang dalam kesedihan kerana tidak dapat pulang berhari raya bersama ibu dan ayah. Bersabarlah... semoga kita berpeluang untuk menyambut hari raya Aidil Adha bersama mereka nanti.

Hari ini Cik Wan nak kongsikan resepi terbaik Udang Tepung ala restoran Thai. Udangnya gemuk bersalut tepung tapi rasanya sangat sedap dan sesuai dicicah dengan sos cili Thai. Jom Kita tengok resepi dan cara membuatnya.

Bahan-bahannya;

Udang - dibuang kepala, kulit dan belah belakangnya. Ekor jangan buang. Basuh bersih, toskan hingga kering dan perap dengan lada sulah serta sedikit garam.

1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
2 sudu tepung jagung
1 sudu teh soda bikarbonat
2 sudu minyak masak
1 biji putih telor
1/2 cawan air sejuk (dari peti ais)/Air sejuk mesin penapis air.
garam
lada sulah

Cara-caranya;
  1. Bancuhkan semua bahan seperti bancuhan tempura/goreng pisang. Jika mahu udang tepung kita gemuk/banyak tepung, kurangkan sedikit air. 
  2. Pegang ekor udang, celupkan udang ke dalam batter tadi.
  3. Masukkan dalam minyak panas yang banyak. 
  4. Goreng hingga kekuningan. Angkat. Siap.

Selamat mencuba and happy cooking :)

Tuesday, 5 May 2020

Pulut Ayam Hat Yai


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -12. Hari ke tujuh PKP Fasa 4. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT.

Pagi ni Cik Wan nak share resepi terkenal dari Thailand terutamanya di Hat Yai, Pulut Ayam iaitu ayam goreng rangup di makan dengan pulut dan juga bawang goreng. Dah lama Cik Wan teringin nak buat dan dah lama dok menelaah resepinya. Baru semalam menjadi dan alhamdulillah..rasanya memang umpphh. Untuk siapa yang berminat dan rindukan menu ini..jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahannya:

1/2 kg ayam- paling baik gunakan peha ayam ataupun bahagian sayap.
5 ulas bawang putih
2 batang akar ketumbar
1/2 sudu biji lada hitam- boleh gunakan serbuk
1/2 sudu biji lada putih-boleh gunakan serbuk
1/2 sudu kecil garam
1 1/2 sudu besar gula
3 sudu besar kicap masin
1/2 cawan tepung beras
Sedikit air untuk perap.

Cara membuatnya:

  1. Tumbuk semua bahan bawang, ketumbar, lada hitam dan lada putih hingga lumat.
  2. Masukkan ke dalam ayam.
  3. Masukkan garam, gula, kicap dan air.
  4. Perap dalam peti ais lebih kurang 3 jam.(semalaman lebih baik)
  5. Untuk menggoreng, masukkan tepung beras dalam perapan ayam dan gaul sebati.
  6. Sedia untuk digoreng.
  7. Siap.

Bahan lain:

Pulut 
Bawang goreng.
  1. Masukkan pulut dalam pinggan hidangan.
  2. Letak ayam.
  3. Taburkan bawang goreng.
  4. Siap.
Selamat mencuba and happy cooking:)
#stayathome #staysafe





Sunday, 3 May 2020

Bubur Tepung Ubi Kayu atau Krong Krang Nam Ka Ti



Asalamualaikum dan salam sejahtera. Salam Ramadhan yang ke -10. Hari ke lima PKP Fasa 4. Semoga kita semua dalam lindungan Allah SWT.

Hari ni Cik Wan nak share satu menu dari Thailand yang sangat sedap dan menyegarkan. Krong Krang Nam Ka Ti yang menggunakan tepung ubi kayu. Pertama kali melihat kuih ini ialah masa sekolah rendah dulu apabila seorang jiran yang datang dari Selatan Thai membuatnya untuk juadah moreh di balaisoh/ surau di kampung. Cik Wan lihat beliau menyediakannya tapi tidak sempat merasa juadah itu. Selalu teringin nak buat, selagi tak buat selagi tu keinginan tu timbul. Bayangkan, dah berpuluh-puluh tahun kenangan melihat kuih ni. Dengan kemudahan media sosial yang ada sekarang ni kita dapat belajar pelbagai resepi sama ada dalam negeri mahupun luar negeri. Namun begitu, belajar online/youtube tidak akan sama dengan belajar secara berguru.

Begitu jugalah bila Cik Wan nak buat kuih ni semalam. Dua adunan terpaksa dibuang kerana tidak menjadi. Begitu sensitif sekali pembuatannya. Cik Wan ingat senang je membuatnya disebabkan bahannya yang simple. Jika ada yang berminat membuatnya, sila baca langkah2 yang Cik Wan terangkan dengan teliti ya.

1. Air yang digunakan untuk menguli MESTI air panas yang mendidih.
2. Mesti diuli dengan cepat untuk mengelakkan air menjadi sejuk.
3. Adunan mesti elastik/kenyal kerana telah separuh masak dan BUKAN seperti adunan untuk membuat onde2.
4. Jika menggunakan warna-cthnya bunga telang/pewarna- mesti direbus/dimasak bersama air yang hendak digunakan untuk menguli.
5. Gunakan acuan menerap untuk kuih siput.

Jom kita tengok bahan dan cara membuatnya:

Bahan untuk satu warna Krong Krang . Jika buat dua warna, buat lagi satu adunan.

1 cawan tepung ubi kayu
1/2 cawan air panas mendidih
#kuantiti di atas ditambah sehingga adunan jadi kenyal dan boleh ditekan pada acuan.

  1. Masukkan tepung dalam mangkuk menguli.
  2. Masukkan air panas mendidih, kacau sebati. Adunan akan melekat2. Tambahkan air atau tepung ubi hingga mendapat adunan yang kenyal.
  3. Potong kecil adunan untuk ditekan menggunakan acuan kuih siput.
  4. Bila habis diterap, rebus dalam air panas.
  5. Toskan bila sudah terapung dan masuk dalam air sejuk.
  6. Sedia untuk digunakan.



Bahan Kuah: (Untuk 2 adunan Krong Krang)

5 cawan santan
3/4 cawan gula
1 sudu kecil garam
1 sudu besar bijan yang telah digoreng tanpa minyak (optional)
1 cawan isi kelapa muda (optional)

  1. Masukkan santan bersama gula dan garam.
  2. Kacau hingga sekali mendidih sahaja. Sehingga gula telah larut.
  3. Masukkan isi kelapa.
  4. Masukkan Krong Krang.
  5. Tabur bijan. Siap.

Untuk lebih jelas lagi cara membuatnya, Cik Wan sharekan sekali video penyediaan kuih ini ya. Cik Wan selalu rujuk chanel ini untuk masakan Thai. 



Selamat mencuba ya. #stayathome #staysafe



Tuesday, 14 April 2020

Pulut Mangga Thai


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ke-14 PKP Fasa kedua. Esok bermula PKP Fasa 3. Semoga keadaan bertambah baik esok dan seterusnya. Hari ini ada 170 kes baru positif Covid 19 dengan lima kematian. Al fatihah, semoga roh mereka diampunkan dan termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman.

Semalam Cik Wan sediakan Pulut Mangga untuk juadah berbuka anak-anak. Ada juga Cek Mek Molek. Anak-anak tak makan banyak sangat Pulut Mangga ni jadi Cik Wan hadiahkan pada jiran sebelah menyebelah. Kebetulan mereka juga berpuasa. Alhamdulillah.

Ini resepi yang paling mudah untuk Pulut Mangga sebab hanya gunakan santan kotak sahaja. Jom, tengok resepinya.

Langkah penyediaan.

  1. Sediakan santan untuk pulut dahulu.
  2. Kukus pulut.
  3. Sediakan sos santan.


Untuk pulut:

2 cawan beras pulut- basuh dan rendam 3 jam.
1 cawan gula
1 kotak kecil santan
Sedikit air- untuk bersihkan santan dalam kotak sahaja. (dalam 1/4 cawan air)
1 sudu kecil garam

  1. Masukkan santan dalam periuk. Bersihkan santan yang lebih dalam kotak dengan sedikit air. Masuk air santan tersebut dalam periuk.
  2. Masukkan gula dan garam.
  3. Kacau hingga gula hancur- tak perlu menggelegak. 
  4. Tutup api.
  5. Kukus pulut hingga masak. Balik2 kan pulut utk pastikan pulut masak sepenuhnya.(Kukus sekali sahaja)
  6. Bila pulut dah masak, masukkan ke dalam bekas.
  7. Cepat2 tuang santan tadi ke dalam pulut. Kacau rata dan tutup kemas. Biar 10 minit.
  8. Selepas 10 minit kaup balikkan pulut. Tutup bekas dan buat sekali lagi selepas beberapa minit. Siap untuk digunakan.


Untuk sos santan:

1 kotak kecil santan
1 sudu kecil tepung beras
3-4 sudu air
1 sudu kecil garam

  1. Masukkan santan dalam kuali.
  2. Bancuh tepung beras dengan air. Masukkan dalam santan.
  3. Masukkan garam.
  4. Buka api dan kacau hingga sos menjadi pekat. 
  5. Kalau terlalu pekat, tambah air dan kalau terlalu cair tambah tepung beras. Siap.

Untuk Mung Bean:

2 sudu kacang dal- yang untuk buat kuih dan biji halus

  1. Rebus kacang dal hingga masak.
  2. Toskan dan sangrai semula (goreng tanpa minyak)
  3. Siap dan boleh tabur atas hidangan. 

Selamat mencuba..stay at home, stay safe


Friday, 20 March 2020

Kengsom Siakap



Assalamualaikum dan salam sejahtera, Hari ketiga RMO akibat Covid 19. Semoga semuanya dalam keadaan sihat dan dalam perlindungan Allah SWT. Stay home and stay safe my dear friends.

Hari ini Cik Wan masak simple sahaja, cuba menjimatkan bahan masakan dan bahan mentah yang lain. Kalau boleh nak elakkan untuk keluar ke kedai dengan kerap. Kesian Mr A..bahaya untuknya dan kami semua.

Siakap masak kengsom atau Kaeng Som ni mudah sahaja tapi sangat sedap rasanya. Ada rasa pedas, masam,  masin dan manis. Cik Wan ambil resepi ni daripada blog Mark Wien yang popular tu. Boleh tengok di SINI . Selamat mencuba ya.

Bahan-bahannya:

1 ekor ikan Siakap- optional, boleh tukar dengan apa2 ikan yang digemari.
1/2 biji betik muda- boleh ganti dengan nanas atau kangkung

3 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci belacan
Segenggam cili padi- boleh ubah ikut kepedasan
Garam
Gula
Air limau nipis

Cara menyediakannya:

  1. Blend lumat semua bahan rempah.
  2. Masukkan dalam periuk. Masukkan air secukupnya.
  3. Masukkan betik yang telah dipotong.
  4. Masak hingga menggelegak. Masukkan gula, garam dan air limau.
  5. Masukkan ikan. Masak hingga menggelegak. Rasakan garam gula.
  6. Siap.


Untuk yang tidak suka ikan siakap, boleh gunakan ikan lain ya. Bahannya simple sahaja tapi wallahh sedap sangat. Jangan lupa cuba ya...plse stay home, stay put and stay safe ..happy cooking...byee.



Monday, 9 March 2020

Siakap Bakar dengan Sambal Thai


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga sihat dan ceria semua sahabat Cik Wan Kitchen semua.

Hari ni Cik Wan share gambar ikan siakap bakar yang dah lama buatnya, baru sempat dan upload. Senang je nak masak..balik dari sekolah..solat Zohor dan terus ke dapur. Kebetulan dah suruh kakak defrost siap2 ikannya. Maka cepatlah sedikit siapnya. Jom, tengok resepi dan bahannya;

Bahan-bahannya:

1 ekor Siakap- potong butterfly dan lumur dengan garam dan lada sulah. Terus bakar.

Sos pencicah (Sambal Thai)

2-5 biji cili padi- boleh tambah/kurang
4 ulas bawang putih
2 tangkai ketumbar-hiris
2 sudu besar sos ikan- boleh guna garam
2 biji limau nipis- ambil airnya
2 sudu gula Thai- boleh guna gula pasir

  1. Tumbuk cili dengan bawang putih.
  2. Masukkan dalam mangkuk.
  3. Campurkan dengan semua bahan lain. Siap.


Hidanglah dengan ulam-ulaman pilihan hati. Hari tu Cik Wan cuma ada timun dan daun selom je. Kalau ada pucuk selasih dan kemangi, terung bulat hijau dan daun Cha Om..adoiii..memang best.

Selamat mencuba ya...makan sedap tapi sihat..byee

Wednesday, 12 February 2020

Siakap Kukus Limau



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat hari Rabu ye..lama betul Cik Wan tak bersiaran. Sambil2 tunggu aktiviti koku petang ni, Cik Wan update resepi hidangan malam tadi. Siakap Kukus Limau fresh...sedap sungguh dan terasa kesegarannya.

Bahan-bahannya:

1 ekor ikan siakap- lumurkan dengan garam dan lada sulah.

Bahan Sos:

4 ulas bawang putih
4 biji cili padi - boleh adjust ikut tahap kepedasan
*3 sudu gula somtam- boleh ganti dengan gula putih
*4 sudu sos ikan-boleh ganti dengan garam
*3 biji limau nipis -perah airnya
4 tangkai daun ketumbar- asingkan sedikit daunnya utk hiasan.
Sedikit air

*Cik Wan agak2 sukatannya ya. Pastikan ada rasa masam yang kuat, masin dan manis.

Cara menyediakannnya;
  1. Kukus ikan hingga masak.
  2. Sambil ikan dikukus, sediakan sos segar.
  3. Blend semua bahan sos bersama sedikit air.
  4. Bila ikan dah masak, keluarkan dan letakkan dalam pinggan hidangan.
  5. Tuang sos segar- hias dengan hirisan limau nipis dan daun ketumbar. 
  6. Siap!!

Selamat mencuba....

Salam sayang daripada Cik Wan




Thursday, 15 August 2019

Siakap Kerabu Mangga Thai


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pagi ni Cik Wan nak kongsi resepi yang sedap ni untuk sahabat semua. Mana tahu ada bahan2 di rumah sekarang..boleh terus buat sebab senang sahaja nak membuatnya dan sedap sungguh rasanya.

Bahan terbahagi kepada dua iaitu ikan siakap dan kerabu mangganya.

Ikan Siakap

1 ekor ikan dibersihkan- lumur dengan garam dan lada sulah. Kalau nakkan crispy boleh taburkan dengan tepung jagung. Goreng sampai garing.

Kerabu Mangga.

1 biji mangga epal yang besar dan mengkal..belum masak lagi..yang rangup lebih sedap.(Boleh guna mangga muda yang lain juga)
3-4 ulas bawang merah kecil- nak lebih pun boleh
2-3 biji cili padi-potong
1 tangkai daun ketumbar-hiris
Garam-sikit saja sebab ikan dan sos dah masin
Gula secukup rasa

Semua bahan disagat nipis dan gaul rata.


Cara menghidangnya:


Hidangkan seperti dalam gambar ya...dan sedia untuk dituangkan sos Thai seperti di bawah ni...
Kalau ada tetamu nak datang, kerabu mangganya boleh sediakan lebih awal, simpan dalam tupperware dan letak dalam peti ais. Bila tetamu dah sampai tinggal goreng ikannya sahaja. Resepi ni sedap dimakan semasa ikannya panas-panas...rangup. Letak sos banyak-bamyak..umphhh!!!

Maepranom Sos Cili Thai
Senangkan? Sedap dan ringkas sahaja..boleh buat nanti ya..Selamat mencubaa...

Thursday, 9 May 2019

Bubur Sagu (Sagupal) dengan Isi Kelapa Muda.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Cik Wan jumpa resepi ni dalam blog masakan Thai. Nampak sedap sungguh, apa lagi..jom tiru buat hehehe.

Cik Wan gunakan resepi sama dengan Sagupal cuma ditambah dengan isi kelapa muda. Memang mengancam sekali rasanya.  Biji sagu pula Cik Wan bancuh dengan air rebusan Bunga Telang. Banyak sangat bunganya..lebat sungguh. Jom kita tengok resepinya.

Bahan-bahannya;

Untuk sagunya;

2 cawan biji sagu halus
1 cawan air panas(baru mendidih) - campurkan dengan bunga telang (optional)
Air secukupnya untuk merebus


Cara-caranya;

  1. Masukkan sagu ke dalam mangkuk yang mudah untuk dikacau. 
  2. Tuangkan air panas dan kacau dengan cepat. 
  3. Kacau hingga sagunya bergentel dan boleh dibentuk. 
  4. Gunakan sudu kecil, ambil 1/2 sudu dan gentelkan (tak perlu bulat sangat pun)
  5. Terus masukkan dalam air panas yang menggelegak (api perlahan)
  6. Tunggu sampai sagunya terapung dan jernih bijinya. 
  7. Sambil itu, sediakan kuahnya. 

Untuk Isi Kelapa:

1 biji kelapa muda dibelah dan dikeluarkan dengan sudu kecil.

Untuk kuahnya;

1 biji kelapa - ambil 5-6 cawan santan
1/2 sudu halba
2 helai daun pandan
1/2 sudu kecil garam
2 cawan (ikut suka manisnya)
4 sudu tepung beras.

Cara-caranya;

  1. Satukan santan, halba, garam, gula, isi kelapa muda dan daun pandan.
  2. Kacau kuahnya di atas api hingga menggelegak (api sederhana sahaja) 
  3. Masukkan bancuhan tepung beras. Kacau hingga menggelegak dan perlahankan api.
  4. Tapiskan buah sagupal. 
  5. Masukkan ke dalam kuah yang sedang menggelegak. 
  6. Kacau sebentar. Siap.

Selamat mencuba

Tuesday, 7 May 2019

Siakap Kukus Limau Nipis


Assalamualaikum dan salam Ramadan ke dua hari ini. Selamat berpuasa, semoga sihat semuanya.

Alhamdulillah, Cik Wan berbuka dengan Siakap Kukus Limau Nipis yang diminta oleh Zikry sejak semalam. Ramadan pertama berbuka dengan hidangan Siakap Raad Prik. Sengaja masak makanan kegemaran anak-anak supaya mereka bersemangat untuk berpuasa dan berselera semasa berbuka. Jom tengok bahan-bahan yang mudah ni. Resepi ini simple sahaja, tak banyak bahan dan flavour. Sesuai untuk budak-budak dan juga rasanya yang fresh.

Bahan-bahannya;

1 ekor ikan siakap -dilumur dengan garam dan lada putih/lada sulah.Perap seketika.

Bahan kuah :
1 cawan air atau lebih jika sukakan kuah yang banyak.
4 biji limau nipis ambik airnya-bergantung kepada saiznya.
5 ulas bawang putih dimayang nipis
1 inci halia dimayang nipis
1 kiub ikan bilis
2 biji cili api dipotong kasar- boleh tambah jika suka pedas
daun ketumbar
garam- Cik Wan guna sos ikan
gula-Cik Wan guna gula somtam

Masukkan semua bahan ke dalam periuk- panaskan sekejap. Rasakan. Pastikan masam lebih, manis dan masin secukupnya.

Cara menyediakannya;



  1. Kukus ikan hingga masak- dalam 10-15 minit menggunakan api besar.
  2. Bila dah masak, tuangkan kuah yang siap dimasak ke atas ikan.
  3. Hiaskan dengan hirisan limau nipis dan daun ketumbar.
  4. Hidangkan.Slurppp!!! hehehe.


Selamat mencuba...happy iftar semua



Thursday, 2 May 2019

Kerabu Megi Siam


Asalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah...kembali bersiaran lagi bersama Cik Wan Kitchen aka Cikgu Wan. Lama betul tak update apa-apa dalam blog ni.

Selamat menyambut Ramadhan kepada semua umat Islam..semoga Ramadhan kali ni yang terbaik daripada sebelum ini dan semoga ia bukan Ramadhan yang terakhir untuk kita semua..amiin.

Cik Wan masak kerabu megi ni untuk dibawa ke sekolah dan juga ke opis Mr A. Laku betul kalau bawak kerabu ni..ramai peminatnya. alhamdulillah.

Resepi yang detail serta gambar ada kat SINI ya.

Tapi Cik Wan CnP lagi untuk mudahkan kawan-kawan semua.

Bahan-bahannya;

3 bungkus Maggie Thai/Siam.
1 biji buah tomato-hiris
1/2 labu bawang besar- Cik Wan guna bawang besar Holland
Sejengkal batang celery
Segenggam daun ketumbar
1/2 biji capsicum merah
1/2 biji capsicum hijau
2 biji cili padi - potong kecik jika suka pedas
1 sudu sos ikan-jika suka*
1 sudu air asam limau-jika suka*
2 peket rempah maggie siam - (yang ada dalam peket maggie tu, 1 lagi untuk dimasukkan dalam air rebusan).

*kenapa Cik Wan kata jika suka untuk sos ikan dan air asam limau?..kerana sos/rempah maggie siam ni dah masin, masam dan pedas. Tapi kalau lauk banyak, mungkin perlu tambah sos ikan dan air asam limau lagi.

Bahan Lauknya:

  1. Sotong
  2. Udang
  3. Fish cake
  4. Crab stick
  5. Fish ball


Cara-caranya:
  1. Panaskan air untuk merebus bahan lauk dan mee segera.
  2. Masukkan 1 peket rempah mee segera. Tunggu hingga menggelegak.
  3. Masukkan mee segera. Dah lembut, keluarkan. 
  4. Masukkan seafood. Udang dahulu baru sotong diikuti fish cake/fish ball. Sebentar sahaja. Bila dah mengerekot, terus angkat. Kalau sotong, jangan rebus bersama dengan udang, rebus sejenis-sejenis...jangan main lebur jer tau..kadar masak dia berbeza.
  5. Keluarkan seafood. 
  6. Dalam bekas yang besar, satukan semua bahan Megi + Sayur + lauk
  7. Masukkan sedikit air rebusan. Masukkan rempah megi + air asam limau. Gaul sebati. Rasakan.
  8. Tambah sos ikan jika kurang masin. 
Selamat mencuba ya..

Saturday, 2 June 2018

Mee Celup Legend


Assalamualaikum dan selamat pagi. Salam Nuzul Quran untuk semua. Salam Ramadhan ke 17 hari ini. Semoga makin bersemangat untuk meningkatkan ibadah dan seterusnya mengejar malam agung Malam Lailatul Qadar.

Malam tadi Cik Wan sekeluarga berbuka dengan Mee Celup, Kueh Tiew Celup dan Maggie Celup...ikut selera masing-masing. Bukannya susah, kuahnya sama kan?



Semalam condimentnya cukup..ada semua sayur, kacang tanah tumbuk dan ikan bilis goreng..sungguh menyelerakan sekali.

Untuk resepinya, mohon ke link SINI untuk resepi lengkap ya. Selamat mencuba..

Friday, 25 May 2018

Ikan Bakar Thai

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa menu untuk berbuka hari ini?. Cik Wan nak rekomen satu menu istimewa yang sangat mengancam sedapnya..sabor je lah. Ikan Siakap Bakar ala Thai yang nampak rumit tapi sebenarnya mudah, ringkas dan cepat je. Jom tengok resepinya.


Ikan siakap/talapia/haruan- dibersihkan tanpa dibuang sisiknya.
1 batang serai diketuk dan daun limau purut- sumbat dalam perut ikan.



1/2 peket garam, dua sudu tepung gandum dan sedikit air- gaul sebati hingga
 jadi lembab  sikit supaya melekat pada ikan nanti.


Lumur/gosok/tempek pada ikan jangan masukkan dalam perutnya. 
Bakar dengan api yang perlahan supaya ikan masak sekata.

 Dah siap bakar. Hidangkan dengan air asam Thai dan ulam-ulam.


Resepi sos Thai:

2-5 biji cili padi- boleh tambah/kurang
4 ulas bawang putih
2 tangkai ketumbar-hiris
2 sudu besar sos ikan- boleh guna garam
3 sudu air limau nipis
2 sudu gula 

  1. Tumbuk cili dengan bawang putih.
  2. Masukkan dalam mangkuk.
  3. Campurkan dengan semua bahan lain. Siap.

Selamat mencuba..salam sayang daripada Cik Wan @ Cikguwan


Thursday, 28 December 2017

Vietnamese Spring Rolls


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semuanya sihat dalam keadaan sibuk di penghujung tahun 2017 ini. Sibuk dengan keperluan anak-anak yang akan kembali ke sekolah pada 2/1/2018 nanti. Semoga semuanya lancar dan dipermudahkan Allah hendaknya. Ramai sahabat yang baru kembali dari Tanah Suci Mekah yang tidak berapa sihat, semoga cepat sembuh dan kembali cergas seperti sediakala. Kepada yang kurang sihat cepat-cepatlah dapatkan rawatan ya. Tolong doakan juga sahabat Cik Wan dari sejak zaman di UUM lagi, kawan sebilik Cik Wan yang disahkan kanser payu dara dan telah menjalani pembedahan beberapa hari lepas agar kembali pulih seperti biasa. Semoga Allah mengurangkan sakitnya, memberikan beliau kekuatan dan kesabaran bagi menghadapi ujianNya ini. Amiiin.

Hari ini Cik Wan kongsikan menu kegemaran Cik Wan dan anak-anak iaitu Vietnamese Spring Rolls. Lama dah teringin nak membuatnya tapi tidak ada kesempatan untuk mencari paper rice untuk kulit rolls ini. Kali ni sempat singgah di Jaya Grocer KLIA2 semasa menjemput Alis yang balik untuk study leave. Apa lagi..terus jalan perancangan yang terbengkalai selama ni hehehe.

Ini paper rice dari Vietnam yang ada tanda halal.


Ini sayur yang Cik Wan guna;

Salad/ iceberg lettuce
Timun
Taugeh
Daun Pudina
Lobak Merah
Daun Ketumbar
Daun Selasih

Untuk lauknya
Udang rebus yang dibelah 2 @
Isi ayam rebus


Boleh refer video di atas ya. Cik Wan suka jncookingchanel ni.


Kalau anda perasan,  Cik Wan punya rolls tidak berapa kemas lagi..nanti dah selalu buat oklah hehehe. Practice makes perfect kan?

Untuk sosnya Cik Wan guna sos sendiri..Thai punya hehhe..pandai2 pulak tukar.

Bahan sos;

Air suam
Gula/gula padi
Garam/sos ikan
Akar ketumbar/batang ketumbar
Cili padi
Bawang putih
Limau nipis

Tumbuk semua bahan dan bancuh dengan air serta air asam limau.
Hiaskan dengan hirisan daun ketumbar.

Ada juga sos kacang, tapi Cik Wan tak berapa gemar. Boleh gugel untuk resepinya ya.


Kalau beli yang dah siap agak mahal harganya. Bila buat sendiri boleh ikut citarasa sendiri. Boleh tambah dan kurangkan ikut selera sendiri seperti mana Cik Wan tak masukkan suhun dalam rolls ni. Sayur semata-mata dengan lauk. Yummy sungguh.

Selamat mencuba ya..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...