Showing posts with label filem. Show all posts
Showing posts with label filem. Show all posts

Sunday, April 13

u.d.a-i.m

Aku masih lagi dalam tempoh menembak filem 'Pekak' dan juga masih lagi membawa 'Uda' bersama. Tinggal berapa hari saja lagi sebelum aku meninggalkan Uda dan biar dia hilang entah ke mana. 

Aku pun tak tahu. 

Jangan cakap tak tahu mana akan dihilangkan, mana aku jumpa dia pun aku tak pasti. Yang pasti hampir - hampir sebulan aku rasa apa yang Uda rasa. Aku lihat apa yang Uda lihat. Aku bau apa yang Uda bau. Mungkin. 

Cuma aku tak pekak macam dia. 

Dan tak lama lagi juga, aku menjemput Daim pula. Daim yang mungkin masih aku kenal atau Daim yang mungkin aku sudah tidak kenal. 

Betul - betul tak kenal. 


Monday, March 4

untitled #3

Thank you Allah. Thank you. 

BUNOHAN - Filem Terbaik 2012 Festival Filem Malaysia ke 25


Thursday, March 8

BUNOHAN

Hujan lebat malam ni semacam memberikan satu mood yang penuh tanda tanya pada aku. Beribu - ribu persoalan, juga punca - punca cuba aku gali dan cari akan perkataan yang tepat untuk aku padankan dengan mood yang singgah pada aku malam ini, tapi aku gagal.

Mungkin Tuhan memang tidak izinkan, mungkin Dia hanya mahu aku 'rasa' tanpa aku kenal pasti. Jadi, tak apalah.

Lalu aku pinjam 'rasa' ini untuk menggerakkan jari - jari aku menggigit papan kekunci ini. Mungkin 'rasa' ini hampir sama dengan rasa yang aku terima selepas menonton filem BUNOHAN.

Seakan kosong dan membisukan serba serbi pada diri. Yang tinggal hanya ruang fikiran untuk diselongkari. Aku fikir, ya, aku mahu kongsikan tentang BUNOHAN di sini.

Hari ini, 8 Mac 2012 sudah bermula tayangan filem BUNOHAN yang dinantikan ramai. Berapa ramai aku kurang pasti, yang penting dinantikan aku sendiri. Tolak tepi tentang soal aku adalah salah seorang pelakon filem ini, kerana aku lebih suka berbicara tentang filem ini dari mata penonton.

Yang penting aku bukan nak buat review tentang filem ini disini. Aku war - warkan sahaja.

Mungkin ramai yang menganggap filem ini filem action packed, sebenarnya tidak. Aku lebih sukakan konflik dan perhubungan dalam filem ini. Aksinya tidak terlalu banyak yang bakal memualkan penonton. Pada aku cukup, tak perlu lebih - lebih.

Selepas habis menonton di malam perdana tayangan filem BUNOHAN tempoh hari, aku sungguh terkesan. Tak payah cakap tentang sinematografi, lakonan dan lain - lain. Pada aku semuanya sudah di tahap yang membanggakan (tidak termasuk aku) Kerana aku tak pernah puas dan bangga dengan hasil kerja aku.

Tapi aku terdiam dan terkesan dengan sifat manusia yang digambarkan dalam filem ini. Keesokkan harinya, aku harus ke Alor Star untuk meneruskan penembakan drama dan sepanjang berada di dalam kapal terbang, aku masih lagi memikirkan tentang BUNOHAN. Dalam hotel, berseorangan tersandar pada dinding katil, aku masih ligat memikirkan tentang BUNOHAN.

Ahhh.. memang terkesan.

Bagaimana seorang manusia dengan pekerjaan yang kejam/ganas akhirnya tumbang kerana rasa kasih sayang pada seorang adik dan bagaimana pula seorang manusia dengan pekerjaan yang mulia, dihasuti syaitan dan menumbangkan rasa kasih sayang.

Beza.

Aku nak cerita lebih, nanti potong stim pulak pada yang belum menonton, tapi aku memang sarankan anda semua tonton filem ini. Kalau sebelum - sebelum ini kita selalu menonton filem komedi hiburan ringan, mungkin ini masanya untuk kita tonton filem sebegini. Lepas ni kalau nak sambung tonton filem hiburan ringan, tak salah. Silalah.

Jangan takut untuk berfikir sewaktu menonton, tak jadi hal. Macam aku pernah tulis di Twitter, kita nak beli seluar dalam pun kita fikir. Saiz, warna, corak. itu semua kita fikirkan. Berfikir bukan satu aktiviti yang kita buat - buat, ia memang sudah sebati dengan manusia. Jadi jangan takut.

Dan aku juga yakin yang pembaca blog aku ini juga bukan calang - calang. Aku sudah berjumpa, berbual di internet dengan pembaca - pembaca yang mengikuti blog aku. Kebanyakkan daripada anda semua adalah jenis yang mencari bahan yang baik samada untuk dibaca, ditonton dan lain - lain. Aku tahu. Aku bukan main petik. Ye dak?

Anda bukan calang - calang orang dan BUNOHAN memang untuk anda.

Jadi sebelum aku tinggalkan papan kekunci ini, aku tinggal beberapa video untuk anda tonton, untuk dapatkan gambaran tentang BUNOHAN, tentang 'rasa' dan bahasa filem ini. Ada trailer, di sebalik tabir dan juga video blog sepanjang pembikinan filem ini. Segala sinopsis, para pelakon anda boleh google sendiri. Jangan malas. Menonton filem ni kena rajin berfikir, kena pandai cari jawapan sendiri. Ini, belum tengok lagi dah malas nak cari jawapan.

Terima kasih buat setiap pembaca blog ini. Kita semua adalah pembaca.

























Friday, July 8

kabar - kabar biasa

Hampir jam 5 pagi.

Baru - baru ini aku banyak terjebak dengan kemalangan minda. Tapi, syukur Alhamdulillah aku masih lagi mampu tersenyum dengan tenang. Bukan main - main, memang masih dapat tersenyum dengan tenang.

Apabila bertemankan kalimah - kalimah suci Allah, memang inilah keistimewaannya.

Entri aku yang kali ini cumalah tentang perkhabaran yang aku fikir, perlu aku kongsikan. Tentang kerja aku, tentang peran yang aku perankan. Jadi, yang pendek - pendek sahajalah taipan aku kali ini ya?

Baik, semalam telah bermula tayangan filem aku yang terbaru iaitu "Tolong Awek Aku Pontianak". Ini terang - terang bukan cerita seram lagi, tapi komedi. Buat ringan - ringankan minda, dengan niat nak berhibur (yang tidak over). Sudah banyak watak - watak berat yang aku bawa selama ni, jadi mungkin kali ini aku ingin lari sekejap.

Memang sekejap, tak percaya? Baca sampai bawah.


Untuk filem kali ini, watak aku lebih ringan dan sengal. Segala info dan sinopsis, seperti biasa, bak kata Hanis Zalikha, aku tak akan senang - senang spoon-feed-you. Rajin - rajinkan lah google.

Antara tukang lakon yang menjayakan filem ini ialah, Sazzy Falak, Liyana Jasmay, Sufian Mohamed, Rashidi Ishak, Yus Waisar, Nurul Wahab, Syanie, Ameerul, Datuk Jalaludin Hassan, Harun Salim Bachik, Afdlin Shauki, Ruminah Sidek, Jehan Miskin, Bell Ngasri.

Baik? Jangan lupa serbu pawagam. Janganlah tunggu DVD keluar atau di Astro First. Ternyata feel nya lain. Bukan main - main, ini serius.

Seterusnya.


Sekarang ini aku dalam proses menembak drama bersiri "Khurafat" yang bakal ditayangkan di Astro Ria, bermula 12 Julai ini, jam 10 malam selama 13 episod. Sepanjang menembak projek inilah aku jadi kurang tidur, kurang ini dan kurang itu. Tetapi tidak kurang ajar. Kalau ya pun ada, aku mintak maaf. Ini tidak disengajakan. Sekali lagi, infonya? Sila google.

Dalam drama ini pula, watak aku berat. Damn, kembali membawa watak cenggini. Selalunya memang macam tu, bila bawak watak - watak berat macam ni, seluruh tubuh badan aku akan jadi lesu setiap hari. Tapi takpa..

Biasalah, orang nak menikah, kenalah kerja keras sikit.

Wednesday, May 18

the invigilator

Aku bukak inbox facebook aku tempoh hari dan aku terima satu mesej dari seorang pengarah yang aku pernah bekerja dengan dia dulu. Manesh namanya.

Antara pengarah yang aku hormati atas hasil kerjanya.

Aku pernah berlakon (oh ya, itu kerja aku) filem pendek di bawah arahannya yang bertajuk 'The Invigilator'.

Dah lama aku cari filem ni untuk ditonton semula, baru hari tu dia bagi dekat aku dan aku rasa aku patut kongsikan dengan korang semua. Sebelum tu, aku juga ingin kongsikan apa yang dikongsikan olehnya, dan kenapa dia memutuskan untuk menyebarkan filem pendeknya itu.



Hey Bob,

I hope this finds you well and happy. :):)

Yesterday, the person who inspired me to make The Invigilator passed on. She was really a mountain of a person, bravely fighting stage 4 cancer for 5 years. It infected her entire body - brain, spine, liver, breasts - but fail to taint her spirit in the least.

In memory of Doreen, I feel that it is timely to release The Invigilator online. If you would like to tell your friends/fans about it (please help put it out there), please share with them this link - http://www.vimeo.com/13504950

Just so you know, it has traveled to film festivals in Japan, Australia, United Kingdom and the United States. :):) Enjoy brother and be well!

Warmest,
Manesh


THE INVIGILATOR

The Invigilator from Sunny Stories on Vimeo.

Wednesday, April 6

senjakala

Kan aku kata ada pengumuman lagi satu, ini lah dia.

Mungkin ramai yang sudah tahu, mungkin ada juga yang tak tahu atau mungkin ada yang buat - buat tak tahu. Entahlah, aku pun tak tahu.

Kau tahu?

Kau tahu, yang bakal ditayangkan nanti 14 April merupakan filem pembukaan tahun ini untuk aku. Gementar, gemuruh, nervous dan macam - macam perasaan lagi apabila memperlihatkan hasil kerja kita pada khalayak. Tapi itulah pekerjaan aku, seorang pemeran. Aku memegang sesuatu peran, aku watakkan, dan ia dipertontonkan (dipulangkan) kembali pada masyarakat.

Kerana seni itu datang dari masyarakat dan harus dipulangkan semula pada masyarakat.

Ada beberapa siri tembakan filem aku lakukan tahun lepas. Kesemuanya ada 5 yang bakal dibebaskan tahun ini.

Dan ini ialah Senjakala.

Senjakala merupakan sebuah filem romantic horror arahan Ahmad Idham. Yang diterajui oleh aku sendiri dan Liyana Jasmay. Segala diskripsi atau informasi tentang filem ini, boleh lah di-google-kan.

Terima kasih.



<

Saturday, November 14

mari ber-KARAOKE!

Otak kalau dah taknak bergerak, memang tak mahu gerak punya. Menulis ni bukannya boleh main keletak - keletuk je. Sapa yang nak baca kalau menulis main hentam kromok je. Bosan macam haram. Ye tak ? (Yaaa!!! aku jawab sendiri).

Dah macam - macam lagu aku pasang, punya lah nak amik mood nak karang ayat, nak karang struktur, tak dapat - dapat jugak. Padahal nak cerita pasal filem KARAOKE je.

Jadi kita simplekan je lah entri ini ya? Agar semua orang boleh telan-hadam. Yang penting, apa yang nak disampaikan, tersampai.

Baiklah.. errr...

Tengok, dia dah hilang balik!. Damn it betul!

Mana tak nya, hari - hari aku bekerja keluar pagi balik malam. Penat badan, penat otak. Dah berapa minggu dalam kepala aku ni banyak sangat benda yang aku fikirkan, banyak sangat rancangan yang aku nak laksanakan. Yang aku taknak berkubur macam tu je. Yang kalau boleh aku nak wujudkan hujung tahun ini, setidak pun tahun depan.

Yah, tahun depan! Itu pasti! (Fuh, bismillah...)

Baiklah, itu cerita tahun depan, ini cerita ini tahun punya. Silap, ini bulan punya.

Filem KARAOKE yang ditunggu - tunggu (untuk sapa yang menunggu) akan ditayangkan dalam masa terdekat ni. Yeehaaa!! Andre! Andre!

Tapi! Tapi! rilek..

Filem ini tak ditayangkan macam filem - filem tempatan lain. Filem - filem tempatan lain ditayangkan di seluruh pawagam, 2 minggu setidak lamanya (wajib tayang), tapi KARAOKE tidak. Kenapa? Kerana ia disumbatkan ke Tayangan Internasional.

Kalau korang nak tahu sinopsis KARAOKE, korang boleh google tak pun cari dekat Facebook. Jadi fan. Apa yang aku boleh kongsi ialah kerana filem KARAOKE ni lah yang menjadikan aku rakyat Malaysia jadi jakun dekat Cannes Film Festival.

Yeap, KARAOKE pernah tercalon untuk kategori Camera d'Or (Golden Camera) di Cannes Film Festival. (Baca sini). Juga, KARAOKE telah memenangi Anugerah Maverick di Calgary, Canada. Encik Google, sila jawab.

Jadi, kawan - kawan yang kita suka, bolehlah merancangkan perancangan untuk merayakan filem ini di pawagam di GSC, Mid Valley sahaja ya?

Maaf beb, memang ditayangkan kat situ sahaja. Jangan tanya kenapa, ini karenah orang atasan. Maaf sesangat.

Kita ni orang kecil - kecil sahaja.

Oh! Oh! Juga ada berita baik untuk sesiapa yang rasa dirinya berbakat atau bertuah, atau mahu mencuba nasib untuk dapatkan tiket percuma..

YES! Tiket percuma ni! Macam pertandingan kira kacang dalam botol kan? Cool kan?

Aku tahu.

Baiklah, here we goooo!!!!

(Dipetik dari blog Sultan Muzaffar)


26 November - 2 Disember
Golden Screen Cinema (GSC)
Mid Valley, Kuala Lumpur.

11:15 AM 01:30 PM 04:00 PM 06:30 PM 09:00 PM 11:40 PM

Menangi dua (2) pas bagi menyaksikan filem KARAOKE yang akan ditayangkan mulai 26 November ini di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur. Pemenang yang menghantar jawapan paling tepat dan slogan paling kreatif berpeluang untuk memenangi dua (2) pas menyaksikan filem tersebut.


Sila hantar jawapan dan slogan anda ke alamat email peraduan.karaoke@gmail.com. Pemenang akan dinilai berdasarkan jawapan paling tepat, slogan paling kreatif dan tarikh dan masa email dihantar (siapa cepat dia dapat).

Sila sertakan :

1. Nama penuh
2. Alamat
3. Nombor telefon
4. Satu gambar filem KARAOKE yang terdapat dalam Fan Page http://www.facebook.com/pages/Karaoke/109602511338

Selamat mencuba ! Dan terus email ke peraduan.karaoke@gmail.com !

1. Namakan dua pelakon utama filem Karaoke ?
2. Bilakah filem KARAOKE akan mula ditayangkan dan di manakah filem itu akan ditayangkan ?
3. Anda akan menonton filem KARAOKE kerana ………(tidak lebih 20 perkataan)

Syarat penyertaan :

1. Pastikan anda menyertai Fan Page filem KARAOKE di http://www.facebook.com/pages/Karaoke/109602511338

Tarikh tutup peraduan adalah pada 19 November 2009! Hantar penyertaan anda sekarang !



--------------------------------------------------



OK tak? Senang je beb soalan dia (bukan aku yang sediakan). Kalau aku yang sediakan nanti, aku sendiri tak dapat jawab.

Sebab hidup aku banyak persoalan yang aku tak dapat jawab. Haha.

Jadi, korang boleh lah hantar jawapan ke email yang diberikan di atas. Jangan jawab dekat comment box sudah lah ya? Nanti orang rembat.

Selamat tinggal! Jumpa lagi! Byee!!! Jangan lupa SEBARKANN!!

p/s: Weh, apsal entri ni macam santai sangat? Hmmm... begitulah.



"Filem ini ialah ia sebuah filem yang cukup berbeza dengan filem-filem Melayu yang lain."
(M. Ayu, review, www.GUA.com.my, 6 Nov 2009)

"Sebuah masterpiece seni filem.... dengan jalan cerita yang berani menonjolkan aspek kehidupan di Malaysia yang jarang dipaparkan.... Saya tak sabar menontonnya di layar perak."
- Dain Said, pengarah filem 'Dukun'

“One of the most beautiful discoveries of this year's Cannes … A filmmaker is born.”
(Les Inrockuptibles, 26 May 2009, France)

“Chong delivers a serene yet often striking debut feature ...”
(J. Anderson, Eye Weekly, Toronto, 4 Sept 2009)

“Visually stunning and mesmerizing, "Karaoke" is cinematic poetry, a rapture of energy and release.”
(Moving Pictures Magazine, USA, October 2009)

Friday, May 29

gadoh lagi!

Filem GADOH sekali lagi akan ditayangkan di HELP University College pada 12 Jun 2009 ini. Terima kasih KOMAS, sebab aku terlepas tayangan pertama hari tu.

Ya, aku akan berada di sana. Insyaallah.

Jadi, kawan - kawan yang kita suka, yang terlepas tayangan yang pertama hari tu, bolehlah datang menonton filem arahan NAMRON dan BRENDA ini pada pukul 8 malam.

Filem ini dibikin untuk tujuan pendidikan. Sekali lagi bagi yang tak faham bahasa,

PENDIDIKAN.

Tentang isu perkauman yang sedang berlegar - legar di sekitar kita. Jangan buat - buat tak tahu. Memang masalah ini wujud. Tapi filem cereka ini dibikin bukan untuk menjatuhkan mana - mana bangsa. Kalau kau rasa filem ini ada tujuan samada kecil atau besar untuk menjatuhkan mana - mana bangsa, aku rasa kau harus kurangkan membaca gossip artis tempatan dan mula membaca atau menonton perkara - perkara yang lebih matang atau ilmiah.

Kerana mentaliti kau sudah tepu dan terkunci. Lebih malang, kau sedang selesa dengannya.

Seperti yang kita semua dah tahu, trailer GADOH sedang disiarkan di Youtube. Dan seperti yang aku juga sudah tahu yang kamu semua tahu dan faham apa itu "trailer".

Petikan, atau 10% atau lebih atau kurang dari cerita penuhnya. Jadi bagaimana kita boleh membuat kesimpulan tentang ceritanya jika kita tidak menonton cerita penuhnya?

Aku ada terbaca tentang komen - komen di website KOMAS dan juga Youtube. Memang seperti yang aku jangka, bangsa aku sendiri mesti ada yang melatah.

Individu ini marah kerana katanya mereka berjuang untuk bangsa mereka. Eerrr.. berjuang di tempat yang salah dengan mentaliti yang tepu, mungkin?

Lebih menyedihkan bila aku terbaca satu komen yang memperjuangkan Melayu (kononnya) tetapi dengan menggunakan bahasa yang aku tak pasti samada itu bahasa Melayu atau tidak.

"Blew"
"Ctew"
"fuck offlah!"

Sekarang kawan - kawan yang kita suka beritahu aku, adakah itu bahasa Melayu??

Aku kurang pasti apa yang individu - individu seperti ini cuba buktikan. Ini cuma filem cereka yang dibikin tanpa memikir soal keuntungan tetapi bertujuan untuk mendidik serta memecahkan tembok perkauman.

Sekurang - kurangnya, sebiji bata dari tembok itu pun cukuplah. Ini cuma usaha.

Aku dengan rendah diri menunduk ke bumi, hamba kepada Maha Pencipta Allah S.W.T, sangat - sangatlah berharap agar kawan - kawan yang kita suka,

Tidak ada pemikiran seperti itu.

Tolonglah. Keluarlah dari kotak pemikiran tepu itu yang boleh membunuh sifat kemanusiaan kita.

Aku hargai.

Credit to Beto Kusyairy dan KL Motion Pictures


Bangsa itu cuma label manusia kerana kita semua adalah hambaNya.

BANGSA MALAYSIA.

Thursday, May 14

gadoh screening


Apa?
Mau Gadoh?
Mari lah!
Tau kat mana?

Haa.. lu tak tau, wa kasi tau sini!

"Gadoh" arahan Brenda Danker & Namron akan ditayangkan pada 22 Mei 2009 ni, dekat HELP Univerisity College. Memang takkan keluar TV punya, jangan risau. Kalau keluar TV, aku rasa ramai yang akan telefon Nizam Kring Kring, atau Soseh Soseh. Mungkin lah..

Kalau nak baca sinopsis dia, korang boleh masuk website KOMAS kat bawah ni. Tapi aku boleh kongsi sikit cerita dia.

Sikit lah tak banyak pun.

Cerita pasal isu perkauman di kalangan pelajar - pelajar sekolah. Dari mana datangnya didikan perkauman tu? Sudah tentu mereka dibesarkan di rumah sebelum ke sekolah kan? Kebanyakkan daripada budak - budak ni, dididik secara tak langsung oleh mak bapak diaorang yang rasis.

Budak - budak sekolah ni (Melayu dan Cina) memang suka bergaduh. Suka sangat. Macam ahli parlimen suka gaduh dalam dewan. Tapi sebenarnya mereka tak tahu pun apa yang mereka gaduhkan. Perkauman, tapi tidak ada sebab yang kuat.

Sehinggalah sampai suatu hari mereka (Melayu & Cina) didenda. Mereka harus mengikuti kelab teater di sekolah itu dan perlu membuat satu pementasan bersama.

Hehehe.. E'eh, gelak pulak aku ni.

Jadi, kawan - kawan yang kita suka kalau berada di sekitar Kota Lumpur atau berhampiran pada tarikh dan waktu tersebut, boleh lah datang menonton.

Sebuah Filem
Big Pictures Production

Dibintangi oleh
Namron
Zahiril Adzim
Nick Davis
Amerul Affendi

Turut DiBantu oleh
Chew Kin Wah
Maya Arissa Tan Abdullah
Ryan Lee Bhaskaran
Khairil Ridzuan
Intan Diyana
Muhd Hilmi Che Azman
Ivan Chan Chee Pang
Cher Yew Kay
Yeo Keong Lee

Launch Date: May 22nd 2009
5pm for public screening

Venue:
Theatrette,
HELP University College (Main Campus),
Pusat Bandar Damansara, KL
BZ-2, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, 50490, Malaysia










p/s: Tapi aku kat tempat lain masa ni. Siot betul. Aku sendiri pun tak tengok lagi.

Wednesday, April 29

filem karaoke ke cannes

Hari tu.

Waktu tapak kakiku masih memijak pasir Kampung Paya, Pulau Tioman, aku menerima panggilan telefon yang membawa khabar berita bahawa filem 'Karaoke' telah menembusi Festival Filem Cannes, Perancis. Terperanjat jugak aku sebenarnya.

Festival Filem Cannes? Ya Tuhan, itu besaarr punya festival tu! Ramai pembikin filem yang cuba nak tembus!
Dalam hati ku bersuara. Tapi aku memang percaya filem itu, tersendiri nilainya. Kerana apa?

Kerana tenaga - tenaga dan kreativiti serta kesungguhan mereka yang di belakang tabir. Baik dari sutradara hinggalah ke tenaga pembantu kecil - kecilan. Mereka tidak bekerja untuk wang ringgit tetapi atas nama cinta kepada pembikinan.

Benar.

Kemudian aku pulang ke Kota Lumpur dan aku terima banyak ucapan tahniah daripada kenalan - kenalan mengenai berita itu.

Eh! Sebenarnya setiap ucapan tahniah itu harus disalurkan ke setiap orang di belakang tabir!

Aku cuma melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemeran. Aku cuma menyampaikan apa yang hendak disampaikan oleh sutradara. Yang selebihnya, yang menyempurnakan produk itu adalah mereka ini semua! Yang bekerja keras!

Ya, aku yang menyaksikan mereka bekerja keras!.

Hari ini, aku lihat berita makin tersebar. Merata - rata aku baca perkara ini di blog - blog. Lalu aku ambil keputusan untuk mewujudkan entri yang berkenaan dengan perkara ini.

Filem pertama dari Malaysia yang berjaya menembus Festival Filem Cannes tersebut ialah filem arahan U-Wei "Kaki Bakar" dan menjadikan filem "Karaoke" arahan Chris Chong sebagai filem kedua dari Malaysia.

Uishh.. menakutkan bunyinya.

Filem ini belum lagi ditayangkan di Malaysia. Aku pun tak tahu bila atau samada akan ditayangkan di sini atau tidak. Bergantung kepada taste penonton di sini. Ooopsss..

Di luar kuasa aku, sebenarnya maksud aku. Maaf.

Sewaktu aku bekerja untuk filem ini, aku telah menimba banyak ilmu dari sutradara dan pemeran yang lain. (Mislina Mustaffa, Hariry, Nadia, Amerul dan ramai lagi).

Kalau peminat lakonan slapstik pasti rimas atau boleh meroyan bila menonton lakonan pemeran ini semua yang sungguh natural. Tak faham? Tak mengapa, teruskan menonton drama lakonan slapstik dan gelarkan lakonan itu lakonan natural. Kemudian pura - pura mengerti tentang lakonan natural ya? Terima kasih.

Jadi, marilah aku dan korang berdoa dan menghantar energy kemenangan untuk filem dari Malaysia ini.

Bukan untuk sutradara,
Bukan untuk aku,
Bukan untuk pemeran lain,
Bukan untuk tenaga produksi lain,
tetapi untuk produk dari negara kita.

Informasi lebih lanjut aku curi dari blog salah seorang pemerannya, Hariry (Pojok Riang - riang).


KARAOKE, hasil karya pembikin filem Malaysia Chris Chong Chan Fui akan ditayangkan di “Director’s Fortnight” Festival Filem Cannes ke-62 dari 14 hingga 24 Mei 2009. Ia merupakan filem cereka Malaysia pertama dalam 14 tahun yang akan ditayangkan di Cannes. KARAOKE juga dicalonkan untuk Camera d’Or (Kamera Emas), anugerah yang menghargai filem cereka sulung terbaik yang ditayangkan dalam mana-mana tayangan pilihan Cannes (Official Selection, Directors’ Fortnight dan International Critics’ Week).

Apabila dihubungi melalui telefon di Bangkok, di mana beliau sedang menyiapkan kerja pasca-produksi, Chris nyatanya terkejut: “Cannes sungguh tidak dijangka. Menyertai festival filem yang terbesar di dunia dan menikmati tayangan serentak dengan filem Francis Ford Coppola merupakan satu penghargaan yang hebat!”

KARAOKE ialah filem cereka Chris yang pertama. Sebelum ini, pengarah filem dan pengkarya media kelahiran Sabah ini menerima penghargaan antarabangsa untuk filem pendeknya BLOCK B (2008), dan dokumentarinya KOLAM (2007).

Diterbitkan oleh Tanjung Aru Pictures, kelolaan Chris sendiri, filem 75-minit dalam Bahasa Malaysia, KARAOKE dibikin di lokasi penggambaran di Selangor dalam jangkamasa 12 hari pada bulan Disember 2008. Akan tetapi sebelum penggambaran bermula pun, KARAOKE telah dijemput untuk menyertai Klinik Skrip Festival Filem Berlin 2007, dan dipilih untuk menyertai Forum Penajaan Filem Hong Kong-Asia(HAF) pada 2008.

KARAOKE merupakan hasil nukilan penulis teater, penyanyi dan pencipta lagu Shanon Shah, yang juga mencipta lagu dan lirik dalam filem tersebut. Ia mengetengahkan persembahan daripada barisan pelakon yang hebat, diterajui oleh Zahiril Adzim dan dibantu oleh Mislina Mustaffa, Mohammad Hariry, Amerul Affendi dan Nadiya Nissa. Paling kini, pendatang baru Zahiril Adzim dan Amerul Affendi telah mengagumi penonton Malaysia dalam pementasan teater Air Con, kebetulannya juga hasil tangan Shanon Shah. Seorang lagi bakat kelahiran Sabah yang tersohor pada peringkat antarabangsa, artis Yee I-Lann, merupakan pereka produksi KARAOKE.

Jalan cerita

Di sebuah perkampungan ladang kelapa sawit di Malaysia … Betik pulang.

Siang hari, Betik membantu dalam penggambaran video karaoke. Malam, dia membantu ibunya yang keberatan di pusat karaoke kendaliannya. Inilah tempatnya dia jatuh hati pada Anisah. Rezeki, jodoh dan keluarga. Kepulangannya terikat oleh takdir.

Akan tetapi kehidupan tidaklah sebegitu lurus. Setiap orang mahukan sesuatu. Pendalangan kecil yang didorong oleh kepentingan diri dan nafsu tetap berlaku, dan lagu-lagu tetap dinyanyikan. Tanpa goyah.

Kampungnya berubah. Pohon kelapa sawit tumbuh dalam simetri yang tidak berakhir. Lanskapnya berkarat dan nostalgia berputar.

“Directors’ Fortnight” di Festival Filem Cannes

Directors’ Fortnight Festival Filem Cannes telah lama menjadi platform di mana pendatang baru boleh menyerlah, sambil menonjolkan bakat baru dalam dunia perfileman antarabangsa. Dimulakan pada tahun 1969 oleh Persatuan Pengarah Perancis, programnya termasuklah tayangan filem dari seluruh dunia ketika Festival Filem Cannes.

Sejak kelahirannya, Directors’ Fortnight telah menyerlahkan dan mengendalikan tayangan pertama di Perancis filem-filem sulung oleh Werner Herzog, Rainer Werner Fassbinder, Nagisa Oshima, George Lucas, Martin Scorsese, Michael Haneke, Jim Jarmusch dan Spike Lee, antara yang lain.

Sebagai salah satu program yang diadakan serentak dengan Cannes, Directors’ Fortnight dibuka untuk tayangan umum. Pada tahun 2008, seramai 40,000 penonton telah menghadiri tayangan-tayangannya.

Pautan yang berkaitan:
http://www.quinzaine-realisateurs.com/?LNG=us
http://www.quinzaine-realisateurs.com/download/Selection_41e_quinzaine(2009).pdf

Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.tanjungarupictures.com/

Untuk pertanyaan selanjutnya, hubungi Nandita Solomon di +6019 234 7317 atau nansolo@gmail.com.


Aku dan sutradara Chirs Chong

Sutradara Chris Chong, pemeran Hariry dan aku.

Pemeran Nadia, sutradara Chris Chong, aku, pemeran Mislina dan pemeran Amerul Affendi.

Nah, curi lihat sedikit ya?

KARAOKE (Malaysia) Chris Chong Chan Fui - Teaser



p/s: Dari aku sendiri, tahniah untuk sekalian tenaga produksi. Terlibat secara langsung atau tidak, tetap TAHNIAH!

Friday, November 7

Tekanan seorang fatgirl

Sekarang aku punya sedikit waktu lapang untuk muzik, buku dan DVD. Bunyi macam seorang pesara berumur 55tahun, tapi tak. Aku belum beruban, cuma rambut je gugur lebih.

Ini sedikit cerita pasal filem dari Perancis yang aku baru tengok. Filem ni dah lama, tapi aku yang baru tengok. Aku bukan nak buat review pasal filem ni, tapi aku teruja untuk cerita pasal konflik dalam watak utama cerita ni, seorang remaja perempuan, berumur 13 tahun yang bersaiz besar dan hodoh dari pandangannya sendiri.

Nama filem ini, À ma sœur! (For My Sister) atau juga tajuk alternatif setelah ditukar kepada Bahasa Inggeris; Fat Girl, arahan Catherine Breillat. Pelakon utamanya ialah Anaïs Reboux (Anaïs) dan Roxane Mesquida (Elena). Sememangnya aku tak boleh 'bertenang' dengan Roxane Mesquida ini.


Tapi takpa, gadis berbaju kurung/kebaya/kebarung tetap menawan.

Eh, tapi kalau
Roxane Mesquida yang pakai kebaya, macam mana pulak? Lalalala... aku tak mau dengarr....

Sambung.

Aku malas nak taip sinopsis cerita ni dengan penuh. Kalau kau nak tahu jugak, carilah sendiri. Mungkin kau boleh tangkap sinopsis cerita ini sepanjang entri ini nanti, semoga berjaya.


Anaïs selalu berasa rendah diri dengan rupa dan fizikalnya. Dia hidup di dalam dunianya sendiri berbanding dengan kakaknya (Elena) yang cun, hot, dan confident. Mak bapak diaorang ni agak self-centered dan selalu melayan Anaïs lebih kasar dari Elana. Setiap kali buat salah je, kena tampar, kena jerit. Tapi Elena sayang dekat adiknya, Anaïs. Seperti hubungan adik - beradik yang normal, mereka kadang - kadang berkasih sayang dan kadang - kadang bergaduhan macam penyokong bolasepak Malaysia dan Indonesia sewaktu Tiger Cup di Bukit Jalil dulu.

Maaf ya, ini bukan macam sinetron Bawang Putih, Bawang Merah. Bukan cerita kasih sayang berat sebelah. Bukan cerita ibu tiriku.

Anaïs dan Elena mempunyai pendapat yang berbeza tentang isu 'menghilangkan virginity' mereka. Atau dalam kata lain, 'pop the cherry'. Elena mahu memberikan cherrynya kepada lelaki pertama yang dicintai. Tetapi Anaïs mahu memberikan cherrynya kepada orang yang tidak disayangi, tidak dikenali atau nobody atas alasan jika cherry diberikan pada orang pertama yang disayangi, dia akan sangat kecewa jika ditinggalkan lelaki pertama itu nanti. Malangnya, tidak ada sesiapa pun yang mahu pop Anaïs punya cherry. (Habislah BM aku).

Kemurungan Anaïs bertambah, apabila Elena mempunyai teman lelaki baru dan sneak in masuk ke bilik lalu berasmara di atas katil sambil diperhatikan oleh Anaïs (di katil yang lain) yang berpura sedang tidur atau tidur - tidur ayam. Setiap aktiviti Elena dan teman lelakinya, didengari dan diperhatikan oleh Anaïs. Anaïs juga mahu dicintai, disayangi. Dia mahu ada lelaki yang sanggup sneak in ke biliknya semata - mata untuk berasmara seperti Elena dan teman lelakinya. Pada malam pertama teman lelaki Elena sneak ini bilik mereka, Elena belum bersedia untuk memberikan cherrynya.

AMARAN : Filem ini tidak kenal baju dan seluar. Mereka orang Perancis dan kita bukan. Ingat itu.

Anaïs merasakan dirinya didiskriminasikan oleh keluarga dan kaum lelaki. Konflik dalaman dirinya bertambah - tambah setiap hari, namun dia cuba bertahan. Dia pretend, kononnya tidak ada masalah tentang isu ini. Hidupnya setiap hari, penuh dengan penipuan diri sendiri. Anaïs yang suka makan banyak, makan seperti biasa setiap hari dan menyanyi sewaktu di pantai serta bermonolog seorang diri dalam kolam renang. Anaïs berangan, kononnya sedang berdialog dengan 2 orang lelaki yang tergila - gilakannya. (sebenarnya tangga swimming pool) Anaïs berbelah bahagi untuk membuat pilihan. Anaïs tidak tahu lelaki mana yang harus dipilih. Tapi itu cuma angan - angan. Realitinya, tidak ada satu pun lelaki yang mahukannya, apatah lagi cherrynya. (Kesian budak ni masa scene ni)

Ini dirasakan setiap hari oleh Anaïs, terutamanya setiap kali meneman kakaknya ber-dating kerana mereka selalu keluar bersama. Setiap hari, kebahagian yang diidamkan, berlaku di depan matanya sendiri tetapi bukan ke atas dirinya. Elena juga selalu menceritakan tentang teman lelakinya kepada Anaïs. Mereka bergelak ketawa tetapi sebenarnya Anaïs cemburu dan sedih. Maka bertambahlah kemurungan, kegelisahan, kegeraman yang mencetuskan pemberontakan kecil di dalam dirinya. Anaïs struggle untuk melawan perasaannya itu setiap hari. Dia cuma mahukan sedikit perhatian, tetapi gagal.

Perkara seperti ini boleh berlaku pada setiap orang. Ia boleh terjadi atas macam - macam sebab. Kadang - kadang kita impiankan perhatian yang sama yang didapati oleh orang lain seperti adik - beradik, kawan, atau saudara - mara.

Banyak contoh lain yang mungkin sedang terjadi dalam hidup kita. Ini memberikan tekanan.

Sebagai contoh, apabila ada di antara adik - beradik kita yang mendapat perhatian lebih dari mak bapak. (Alhamdulillah, mak bapak aku cool) Setiap hari kita melihat dan merasakan perhatian yang lebih diberikan pada adik - beradik kita yang lain.

Contoh lain yang boleh kita samakan ialah di sekolah atau tempat kerja. Perhatian diberikan lebih kepada kawan yang lebih pandai, lebih cantik, lebih kacak, lebih comel, lebih tinggi atau lebih kelakar (contohnya) oleh cikgu atau mungkin juga bos. Kita cuba dan berusaha untuk mendapat perhatian yang sama, tetapi entah kenapa kita masih ditempat yang sama, seperti kita tidak wujud. Perkara ini semakin menekan kita, apabila ia berlaku di depan mata setiap hari. Kita cuba lari tetapi gagal.

Kita semakin tertekan dan tekanan ini kita cuba kawal tetapi semakin dikawal semakin ia mahu meledak. Yang tinggal hanya kita dan tekanan. Setiap hari kita berlawan dengan tekanan.

Satu hari, teman lelaki Elena memberikan cincin sebagai tanda 'pertunangan'. Disebabkan pemberian yang kononnya berharga itu, Elena telah bersetuju untuk memberikan cherry atau virginity kepada teman lelakinya itu. Pada malam itu, sedang mereka 'bertukaran segalanya', Anaïs tidak tidur dan menangis seorang diri kerana cemburu dan tertekan. Dia juga mahu ada lelaki yang mahukannya.

Kemudian apa jadi?

Nak dijadikan cerita, mak diaorang dapat tahu pasal Elena dan teman lelakinya sebab mak pada teman lelaki Elena datang untuk meminta kembali cincin miliknya. Mereka sekeluarga pun kemas barang dan segera pulang ke rumah. Ouh, aku lupa beritahu sebenarnya mereka sedang bercuti dan bapak diaorang telah pulang awal. Tujuan mereka pulang adalah untuk menceritakan pada bapaknya bahawa Elena sudah tidak dara lagi.

Setelah penat mak mereka memandu kereta hingga lewat malam, mereka bertiga pun berhenti di kawasan rehat lebuhraya sebab terlalu penat dan mahu tidur. Sedang mereka tidur dalam kereta kecuali Anaïs, datang seorang lelaki memecahkan tingkap kereta dengan kapak dan mengkapak kepala Elena serta mencekik maknya hingga mati.

Ya, kepala Elena telah dikapak! Scene ni agak brutal. Terkamjat aku.

Walau bagaimanapun, Anaïs tidak menjerit atau melolong tetapi dia hanya memandang pengkapak itu lalu keluar kereta dan lari ke dalam hutan. Pengkapak itu mengejar Anaïs dan telah merogolnya di dalam hutan. Anaïs?

Senyap dan langsung tidak menjerit. Pengkapak dan sekarang perogol itu pelik.

Keesokkan paginya, sekumpulan polis telah menjumpai mayat Elena dan ibunya serta Anaïs di bawa keluar dari hutan. Tanpa disoal, Anaïs telah memberi tahu;

"Dia tidak rogol saya, kamu tidak percaya?"

Anaïs sangat berpuas hati dan telah terkeluar dari tekanan atau pemberontakkan kecil kerana akhirnya ada juga lelaki yang mahu merogolnya. Walaupun di depan matanya terbaring mayat kakak dan maknya, dia langsung tidak menangis kerana padanya, hidupnya masih lagi ada harapan. Sebab? Sekurang - kurangnya, masih ada lelaki yang bernafsu dekatnya membuatkan dia bukanlah seorang loser.

Filem ini karut? Gila?


Pada aku tidak, kerana aku percaya, akibat tekanan yang melampau, kewarasan itu menjadi mudah-pecah atau fragile. Dari sudut psikologi pula, perkara ini sangat logik. Tak percaya tanya mak dan kakak aku, yang mana kedua - dua mereka dalam bidang psikologi.

Kita semua sebenarnya 'gila' atau bermasalah mental. Nak tahu kenapa? Tunggu entri seterusnya..

Tekanan mengundang pemberontakkan, lalu aku teringat tulisan aku sebelum ini;

Jangan ditekan anak ini

Friday, September 26

Sunday, July 13

Bilangnya, Oktober. Maka Oktober lah!

Ini benda yang aku tiba - tiba teringat, bila ada beberapa orang yang bertanyakan pada aku pasal KAMI The Movie ni. Hari tu masa aku buat teater AIR CON, aku jumpa Lina Tan otai RED Films yang datang dengan Rafidah 3R (terima kasih kepada korang berdua yang datang support AIR CON! Cayalah! ). Borak punya borak, tiba -tiba Lina pun bagitahu lah dekat aku yang KAMI The Movie ni akan keluar bulan Oktober katanya. Kalau dah boss pun cakap Oktober, maknanya confirm lah kot. Kan? Berapa haribulan, aku tak tahu.

Jadi kepada peminat, penggemar serta penonton biasa atau kepada sesiapa yang takda rancangan untuk tengok filem apa bulan Oktober ni, silalah ambil ini sebagai rancangan anda bagi bulan Oktober. Sebab ini adalah filem tempatan, dari orang tempatan, untuk orang tempatan. Sekian.


Trailer KAMI The Movie


Wednesday, March 12

KAMI The Movie

Untuk pengikut drama ‘KAMI’ sekalian, atau penggemar, atau hanya penonton biasa sahaja.

Dah selesai menonton KAMI The Series, ada yang sedang menunggu KAMI The Movie keluar pulak sebab terlalu banyak persoalan yang timbul dalam kepala setelah sirinya tergantung begitu sahaja. Ada yang menyalahkan 8TV kerana menyekat penyiarannya sehingga episode ke-8 sahaja. Tidak. Bukan salah 8TV. KAMI tidak disekat oleh 8TV.

KAMI The Series sebenarnya memang dibikin sampai episode ke-8 sahaja, sebab aku difahamkan KAMI ini sebenarnya merupakan projek filem. Tetapi sebelum munculnya filem KAMI, penonton akan disogok dengan 8 episod sirinya sahaja oleh Red Films, bagi memperkenalkan kepada penonton tentang projek ini, disamping menarik crowdnya untuk masuk ke panggung kelak. Segala persoalan akan dijawab di dalam filemnya nanti.

Kami The Movie dah pun selesai menjalani pengambarannya pada Disember tahun lepas kalau tak silap aku. Aku pun dah lupa sebab busy dengan study aku. Ada makan sebulan jugaklah shootingnya. Kebanyakkan lokasinya di sekitar Kuala Lumpur dan ada juga diluar kota ini. Maklumat selebihnya adalah dilarang untuk dibocorkan. Sekarang ni tengah kerja – kerja post-production seperti dubbing, promosi dan lain – lainlah, korang pun tahu sendiri.

Aku tak pasti bila filem ini akan keluar panggung, ada yang kata Jun ada yang kata Ogos. Apa – apa pun kita tunggu sahaja. Tapi, secara jujur peribadi aku, aku berharap filem ini ditayangkan secepat yang mungkin kerana sirinya sudah lama berlalu, dan aku khuatir kehangatannya akan hilang. Atau mungkin itu adalah sebahagian daripada strategi Red Films? Ntahlah, anda tanya produsernya sendiri, Lina Tan.

Sedikit mengenai watak Boy dalam KAMI.

Dalam KAMI The Movie ni, Boy datang semula untuk mencari Lynn di Kuala Lumpur dan kali ini, Boy betul – betul membawa masalah bukan sahaja kepada Lynn, malah kepada 5 orang sahabat ini juga. Kalau dalam siri, kita lihat, watak Boy ini agak kabur samada Boy ini benar - benar jahat atau tidak? Apa lagi masalah yang dibawa oleh Boy? Apa jadi seterusnya bila Boy datang KL cari Lynn? Insyaallah korang akan dapat tahu siapa Boy ini sebenarnya dan belangnya akan jelas kelihatan dalam filem ini nanti. Boy dalam filem kali ini dah tak bawak motor TZM dan dia juga ada orang kanannya sendiri nanti, yang dilakonkan oleh Betto Kushairy.

Hujung kata dari aku, filem keluar > cari masa & duit > pergi tengok, habis cerita! Industri tempatan perlu disokong oleh orang tempatan dahulu sebelum dibawa keluar kemana – mana. Tidak kiralah apa – apa produk tempatan sekalipun.

___________________________________________

Gambar sewaktu kerja – kerja pengambaran