Ads: (Please Click!)
Showing posts with label cicak. Show all posts
Showing posts with label cicak. Show all posts

Friday, January 14, 2011

Golok, Thailand

Salam.

Awal bulan Disember 2010, buat pertama kalinya aku ke 'luar negara'. Tidaklah begitu jauh. Ke Bandar Golok, Thailand saja. Haha. Maaflah, ini pengalaman bulan lepas, tahun lepas. Sekarang baru mahu cerita. Orang lain seronok ke negara Amerika, Eropah, dan macam-macam lagi. Aku? Cukuplah ke Golok sahaja. Itu saja yang termampu. Itupun kerana kebetulan ke Rantau Panjang kerana ada urusan kerja. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke lengan. Terus saja ke Golok, Thailand.

Read more/less..

Awas. Artikel ini panjang, okey. Hehe.

Mungkin ada di antara pembaca-pembaca mahu tahu juga macam mana mahu ke Golok, bukan? Takut ke Golok? Tidak usah takut. Di sana aman. Tidak seperti di Narathiwat. Askar Thai pun banyak yang berkawal 24 jam. Yang menariknya, mereka kebanyakkan boleh berbahasa Melayu. Cuma loghat saja Kelantan. Bonus jika anda tahu berbahasa Thai.

(Gambar-gambar di bawah boleh diperbesarkan. Auto open new tab.)

Jika anda sampai ke Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, di celah-celahan suatu sudut bangunan terdapat satu lorong. Lorong tersebut akan terus membawa anda ke jeti bot penambang. Jika anda tidak tahu, boleh bertanya kepada orang di situ. Malu bertanya, sesat jalan.

Aku tiba di jeti bot penambang ini kira-kira pukul 4 petang. Pertama kali naik bot. Takut-takut berani je sebenarnya. Tengok pula air Sungai Golok yang keruh lagi dalam, datang pula perasaan seriau. Maunya buaya besar timbul secara tiba-tiba, pengsan aku dibuatnya! Haha. Tapi didorong perasaan seronok, aku naik juga. Sampai ke seberang, aku urut-urutkan dada. Sekali trip biasanya lebih kurang 15 orang penumpang. Tambang juga murah. RM 2 sahaja! Tapi ingat. Jangan pergi waktu banjir, ya. Cari nahas.

Tiba di sana, aku di kehendaki menyerahkan IC dan mengisi satu borang di satu khemah yang dikawal oleh pihak tentera Thai. Di sini, borang tersebut akan dicop sebagai ganti IC. Boleh dikatakan permit sementara laaa.. Anda boleh pergi ke mana-mana sahaja dengan menggunakan slip permit tersebut. IC anda boleh dituntut semula dengan menyerahkan semula slip permit tersebut. Oleh yang demikian, jaga dengan cermat slip tersebut. Jangan bagi hilang, tau.

(Ini aku. Muka terpaksa ditapis. Low profile. Hehe.)

Gambar di atas ini hanya gimik. Sebenarnya bukan di Chieng Mai pun. Nama kedai itu rasanya 'Chieng Mai'. Haha.

Bila sebut 'Golok, Thailand', kebanyakan orang akan berfikir tempat 'syurga pelacuran'. Ia bergantung pada diri anda sebenarnya. Untuk makluman, Golok adalah tempat yang 'wajib' bagi kaum wanita. Kenapa? Shopping! Banyak barang-barangan yang dijual murah di sini.

Sesudah mengambil slip permit sementara, anda ada dua pilihan untuk ke pusat Bandar Golok. Samada berjalan kaki, mahupun dengan menggunakan perkhidmatan motosikal. Berjalan kaki mengambil masa kira-kira 30 minit. Aku mengambil motosikal. Tambang hanya RM 3 atau 30 baht sahaja. Teksi, LRT, bas, jangan harap sangatlah. Tidak disyorkan jika anda tidak tahu bercakap bahasa Thai.

Aku mengambil masa hampir satu jam untuk meronda-ronda sekitar Bandar Golok. Gambar di atas adalah salah satu bangunan yang tertua di Bandar Golok. Disiap bina pada tahun 1957. Tahun yang sama kita merdeka. Waktu ini, lenguh-lenguh mula terasa di bahagian pinggang ke bawah.

Penat berjalan, aku singgah ke salah sebuah kedai makan. Jangan bimbang. Di Bandar Golok ada restoran yang dikendalikan oleh orang Islam. Cuma perlu bertanya sahaja. Maaf, gambar kedai tidak dapat di ambil. Cuma yang boleh aku bagitahu, restoran tersebut betul-betul berhadapan dengan kedai seperti gambar di atas. Hehe. Kedai saloon.

Cuba teka ini botol apa? Air mineral? Air bateri? Haha. Logo macam Pepsi je.

Setelah membayar caj sebanyak RM 8 atau 80 baht, aku mengangkat punggung untuk menyambung sesi meronda. Semasa pusing-pusing 'separuh' bandar agaknya, (Bandar dia besar! Tak mampu nak pusing seluruh bandar! Serious wa cakap sama lu!) banyak perkara dan benda unik yang boleh dijumpai. Contohnya seperti gambar-gambar di bawah.

'Computer' dalam bahasa Thai. Hehe. Comel, kan?

Nama jalan yang ada di dalam Bandar Golok.

Motosikal paling comel pernah aku jumpa dan lihat! Yamaha Fino. Kalau ada dijual di negara kita, confirm laku beb!

Jam 6.10 petang.

Aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari pusat bandar ke jeti bot penambang. Lenguh dan penat. Namun semua itu ditenggelemi oleh perasaan seronok dan teruja. Tiba di khemah tentera, IC aku tuntut semula. Naik kembali bot penambang. Bayar lagi RM 2. Sampai kembali di Rantau Panjang kira-kira pukul 7 petang. Waktu ini, perut sudah berbunyi menandakan masa untuk diisi sesuatu. Maklumlah, sewaktu tiba di restoran di tengah-tengah Bandar Golok tadi, masih kenyang. Jadi, minum air saja.

Antara hidangan untuk tiga orang! Tiga orang? Hehe. Ya.. sebenarnya aku bukan keseorangan pergi ke Golok.

Semasa tiba di hotel, aku berpeluang melihat sendiri seekor binatang reptilia yang cukup popular kini. Iaitu cicak pokke atau tokek atau gecko atau.. macam-macam lagilah gelarannya. Aku pernah buat artikel fasal reptilia ini dulu.

Ini dia. Cantik kan? Comel kan?

Banyak lagi tempat-tempat menarik yang kita tidak tahu. Sebab itulah gambar yang aku ambil amatlah sedikit. Okeylah tu daripada tiada langsung kan?
Aduka: Terasa macam mau pegi lagi je. Sebab tak sempat nak shopping sakan sebenarnya.. T_____T

Wednesday, December 15, 2010

Cicak Tokek : Halal Atau Haram?

Salam.

Dewasa ini, terlalu banyak rumor @ cakap-cakap yang mengatakan seekor haiwan hutan yang dinamakan cicak tokek atau pokke atau gecko boleh mendatangkan kemewahan kepada seseorang penjual mahupun pembela. Perkara ini lebih menggemparkan lagi apabila keluarnya berita mengenai cicak bersaiz besar ini memberi pulangan lumayan kepada seorang pemuda di Sabah suatu ketika dahulu. Namun pada hakikatnya, berita tersebut sebenarnya adalah tidak benar dan cicak tersebut adalah palsu semata-mata.

Read more/less..

Hatta palsu sekalipun berita tersebut, cicak tokek ini masih dicari-cari oleh kebanyakan orang di Malaysia kerana harganya yang tinggi. Kononnya bahagian-bahagian tertentu dari tubuh cicak tokek ini dapat menyembuhkan penyakit berjangkit yang paling merbahaya dan tiada penawar di abad ini, iaitu HIV dan AIDS. Khabarnya air liur cicak tokek ini dapat menghasilkan penawar dalam satu-satu tempoh matangnya. Oleh kerana sukar untuk diperolehi memandangkan habitatnya hanya di hutan dan di pulau sesetengahnya, permintaan dan harganya melambung tinggi. Sehinggakan nilai seekor cicak tokek ini boleh mencapai jutaan ringgit mengikut berat gram tertentu.


Ini adalah beberapa cerita yang pernah di dengari. Beberapa bulan yang lalu, terdapat dua orang pemuda di Kemaman menjadi jutawan segera hasil penjualan cicak tokek tersebut. Mereka berjaya menjualnya dengan harga RM2 juta! Dan baru-baru ini pula mendapat khabar berita tentang urusniaga cicak tokek seberat 700 gram dengan nilaian RM20 juta seekor!

Daripada semua cerita di atas, adakah benar cicak tokek ini boleh menyembuhkan penyakit HIV dan AIDS seperti yang didakwa? Adakah sah di sisi undang-undang menjual atau membela cicak tokek ini? Bagaimana pula dari sudut pandangan Islam tentang penjualan atau pemakanan sebahagian daripada cicak tokek ini? Adakah ia sah, halal, atau haram? Jom kita bincangkan.

Air liur. Najis? Haram?

Menyentuh kepada isu cicak tokek, di mana air liurnya di ambil untuk dijadikan ubat. Ada cakap-cakap yang mengatakan air liur itu najis. Seperti burung layang-layang atau burung walid, sarangnya dikatakan najis dan haram dimakan oleh seseorang Muslim.

Walaupun begitu, terdapat fakta yang boleh menyanggah dakwaan ini.

Air liur atau sering disebut dengan ludah, secara hukumnya suci. Baik air liur manusia mahupun haiwan, kecuali air liur anjing. Tiada dalil yang menunjukkannya sebagai benda najis. Jangankan air liur orang yang beragama Islam, bahkan air liur orang yang bukan Islam sekalipun tetap suci hukumnya.

Dari Aisyah ra berkata, 'Aku minum dalam keadaan haid lalu aku berikan minuman ku itu kepada Rasulullah SAW. Beliau meletakkan mulutnya pada bekas mulutku.' (HR Muslim)

Dahulu orang-orang kafir yang datang kepada Rasulullah SAW bercampur baur dengan umat Islam. Bahkan ada yang masuk ke dalam masjid. Namun Rasulullah SAW tidak pernah memerintahkan untuk membersihkan bekas sisa orang kafir.

Rasulullah SAW diberikan susu lalu beliau meminumnya sebahagian, lalu diberikan sisanya itu kepada a'rabi (kafir) yang ada di sebelah kanannya dan dia meminumnya, lalu diberikan pula kepada Abu Bakar dan beliau pun meminumnya (dari bekas yang sama) lalu beliau berkata, 'Ke kanan dan ke kanan'. (HR Bukhari)


Air liur cicak tokek sama dengan air liur burung walid.

Memandangkan salah pemahaman tentang air liur, maka dikatakan air liur cicak tokek dikatakan najis dan haram. Bahkan juga disamakan sarang burung layang-layang atau burung walid yang dijadikan daripada air liur.

Dari sudut feqah, tiada apa-apa sebab yang mengharamkan makan sarang burung layang-layang atau burung walid kerana ia diperbuat daripada air liurnya, dan air liurnya adalah suci. Maka kembali kepada kaedah asas syarak. Asal kepada sesuatu perkara adalah HALAL, kecuali ada nas yang mengharamnya, dan kaedah yang lebih terperinci ialah; asal kepada benda yang bermanfaat adalah HALAL, dan asal kepada benda yang memudaratkan adalah HARAM.

Berdasarkan kaedah ini juga, sarang burung layang-layang hukumnya halal, kerana ia adalah makanan yg terbukti tidak membawa mudarat, malahan membawa manfaat kepada tubuh badan.

Firman Allah Taala: "Katakan: Tiada aku dapati dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan ke atas orang yang mahu memakannya, kecuali makanan itu ialah bangkai, darah yang mengalir, atau daging babi." (Al-An'aam: 145)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (Bil. 8/79/2007) telah menfatwakan bahawa: "Hukum memakan sarang burung layang-layang adalah harus."

Maka bolehlah disimpulkan bahawa memakan atau memanfaatkan air liur (tidak kira apa pun binatang, kecuali binatang haram) adalah tidak haram dan dibolehkan. Bahkan daripada cicak tokek sekalipun.

Jual beli atau membela cicak tokek.

Cicak tokek adalah salah satu spesis dalam satu keluarga cicak yang haram dimakan. Bahkan cicak tokek bukanlah golongan haiwan yang diwajibkan disembelih (untuk dimakan).

Menurut Ustaz Azhar Idrus iaitu salah seorang ulama feqah popular di Terengganu, katanya; "Harus jual binatang yg haram dimakan jika dengan tujuan bukan untuk dimakan seperti menjual tikus untuk dipelihara. Jika untuk dimakan maka haram jual beli melainkan untuk perubatan dan disahkan olih pakar perubatan Islam." [Sumber]

Fakta dari perbahasan yang lebih meyakinkan kita:

Tokek hukumnya haram, kerana terdapat nas-nas yang memerintahkan membunuhnya. Adanya perintah membunuh suatu binatang adalah dalil haramnya binatang itu. Sebab membunuh binatang tanpa menyembelihnya akan membuat binatang itu menjadi bangkai. Padahal bangkai hukumnya haram.

Imam Syaukani telah membuat bab khusus dalam kitabnya, Nailul Authar dengan judul 'Bab Mengenai Binatang Yang Pengharamannya Difahami dari Perintah Membunuhnya atau Larangan Membunuhnya' (Bab Maa Ustufiida Tahriimuhu min Al-Amri bi-Qatlihi aw An-Nahyi ‘an Qatlihi). (Imam Syaukani, Nailul Authar, 12/484).

Dalam bab itu ada beberapa hadis, antara lain riwayat Saad bin Abi Waqqash RA bahawa: "Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk membunuh cicak dan baginda menamainya fusaiq (binatang kecil yang fasik/tidak taat)." (HR Ahmad dan Muslim).

"Rasulullah SAW telah memerintahkan membunuh cicak dan beliau bersabda, dulu cicak pernah meniup-niup (api) kepada Ibrahim AS." (Ibnu Hajar Al-Asqalani, Fathul Bari : 3109).

Dalil-dalil hadis di atas menunjukkan adanya perintah syarak untuk membunuh cicak. Perintah syarak untuk membunuh cicak adalah dalil bahawa cicak itu hukumnya haram.

Imam Syaukani berkata, "Tokek adalah salah satu jenis cicak dan merupakan cicak besar." (Imam Syaukani, Nailul Authar, 12/487).

Dan jika suatu binatang haram dimakan, maka menjual belinya juga adalah haram.

"Segala sesuatu yang sudah diharamkan atas hamba, menjual belinya haram juga." (Imam Taqiyuddin an-Nabhani, Al-Syakhshiyah Al-Islamiyah, Juz 2/288).

Akan tetapi jika tokek itu akan dijadikan ubat, maka menjual belinya boleh dan tidak mengapa. Sebab berubat dengan sesuatu yang haram hukumnya makruh, tidak haram.

Rasulullah SAW pernah mengizinkan Abdurrahman bin Auf RA dan Zubair bin Al-Awwam RA untuk berubat dengan sesuatu yang haram, iaitu mengenakan sutera kerana mereka terkena penyakit gatal-gatal. Padahal sutera haram dipakai oleh kaum lelaki.

Maka mafhum dari kaedah feqah di atas dengan sendirinya menerangkan bahawa kalau sesuatu itu tidak diharamkan, maka menjual belinya juga tidak diharamkan.

Oleh yang demikian, dapatlah kita simpulkan bahawa menjual atau membela cicak tokek bagi tujuan perubatan adalah dibolehkan dan hukumnya harus. Jika menjual atau membelanya bagi tujuan makanan adalah tidak boleh dan hukumnya haram.

Akta bagi menjual dan membela cicak tokek.

Ada desas desus yang mengatakan bahawa cicak tokek adalah sejenis haiwan atau spesis yang dilindungi oleh Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Dan desas desus ini ternyata benar. Cicak tokek atau nama saintifiknya Gekkonidae menjadi salah satu spesis cicak yang dilindungi oleh Perhilitan yang tersenarai di bawah Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES), di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76). Sila rujuk DI SINI bagi senarai reptilia yang dilindungi. Sila rujuk juga bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan.

Ubat bagi penyakit HIV dan AIDS.

Inilah yang masih menjadi tanda tanya oleh semua pihak. Tiada fakta atau bukti kukuh yang menyatakan dengan kesahihan bahawa cicak tokek boleh menyembuhkan penyakit merbahaya itu. Walaupun pelbagai dakwaan yang telah dibuat oleh sesetengah pihak, namun tiada langsung bukti kukuh samada dalam bentuk notis, berita, atau maklumat sahih yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO).

Mungkin perkara ini masih dalam kajian memandangkan beberapa negara seperti Holland, Australia, dan beberapa negara luar lain pernah membeli cicak tokek ini.

UPDATE!

Untuk memperjelaskan lagi isu Halal dan Haram jual beli cicak tokek ini, sila lihat penjelasan ustaz tersohor di pantai timur, Ustaz Azhar Idrus.


Aduka: Mahu bela cicak tokek! Mana tahu boleh beli kereta Porsche dan boleh buat rumah banglo 5 tingkat! Haha.

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger