INI sebuah kisah yang saya mahu kongsikan dengan anda. Cerita ini, kisah ini, tulisan ini tidak ramai yang dapat membacanya. Sesungguhnya ia datang daripada jiwa saya.
Saya dilahirkan pada Januari 1984. Dua puluh empat tahun yang lalu di sebuah kampung di utara tanah air. Sepanjang tempoh ini, pelbagai suka duka telah saya tempuhi. Pelbagai peristiwa dunia telah saya saksikan. Saya cukup percaya tentunya anda juga. Tahun demi tahun yang dilalui..membuka dimensi minda saya menjadi lebih luas. Rupanya mashi banyak peristiwa di dunia ini! Bukan semuanya indah. Saya tidak akan pernah lupa dengan hingar dan pijarnya dunia pada tahun 1990 dengan peristiwa Perang berdarah kosovo, perang Bosnia yang mencengkam dan juga maraknya api Palestin yang tidak pernah kunjung padam. Menyusul pada tahun 2002, dunia ini seisinya dikejutkan dengan peristiwa serangan WTC.
Justeru, diri ini terasa amat bertuah berada di sebuah negara bernama Malaysia. Seharusnya anda juga wajib berasa begitu. Manakan tidak, negara ini aman dan sejahtera. Kita dapat melalui hari-hari kehidupan dengan baik tanpa sebarang konflik yang tidaklah terlalu mencengkam. Cuba anda menutup mata dan bayangkan sejenak, seandainya negara kita seperti negara-negara yang disebutkan di atas. Mungkin waktu ini kita hidup dalam ketakutan, dalam pelarian dalam pembuangan..di celah-celah runtuhan bangunan usang, atau dalam lubang-lubang yang panas meruap..dengan wajah ibu, ayah dan saudara mara yang terasa makin menjauh..atau mungkinkah pada saat ini kepala, tangan dan kaki kita sudah lama terpisah dari badan? Teringat saya pada peristiwa yang begitu mengejutkan dunia khususnya di lingkaran Asia Tenggara. Tsunami-26 Disember 2004. Ketika itu saya masih belajar di sini. Ya! Di varsiti kesayangan kita ini...Saya juga seperti anda, seorang graduan Universiti Malaya. Pada awal tahun 2005, saya sempat melawat ke sana. Seorang pensyarah yang rapat dengan saya mengajak saya ke sana untuk membuat sedikit kajian dan liputan. Di sana, saya bertemu dengan makcik dan pakcik yang sebaya dengan ibu serta bapa saya. Mereka membina semula rumah-rumah mereka di kawasan gersang itu. Saya bertanya mereka. " Makcik, kenapa membina semula rumah di sini? Tak takutkah Tsunami datang kembali?" Seorang itu itu menjawab " Ya takut juga. Tetapi rumah ini, tanah ini, bumi ini, tempat saya dilahirkan. Saya bisa berpindah tetapi manakan sama? Lagipun, dua anak saya dan suami saya mati di sini dalam tsunami. Kalau datang lagi, apa boleh buat?"
Itulah makna sejati pada cintakan negara. Saya amat merasa bertanggungjawab untuk Malaysia. Membaiki Malaysia ke arah yang lebih baik, malahan yang terbaik! Justeru, baru-baru ini, ketika saya mengambil keputusan menyambung Master, saya memohon hanya di dalam negara. Tidak sanggup rasanya berlama-lamaan di negara orang. Kalau sekadar melawat dan melancong tidak mengapa. Saya ingin lihat, alami malah telibat sendiri dalam perkembangan Malaysia baru, di depan mata saya sendiri. Malaysia baru yang aman dan sejahtera dalam keberkatan, yang mementingkan kebajikan rakyat, dan adil serta bermaruah
Dan kali ini, Pilihan raya ke-12, kesekian kalinya saya mengundi. Mengundi demi negara. Justeru, saya akan memilih yang terbaik buat masa depan negara. Masa depan yang dicorakkan di tangan generasi baru! Itulah juga seruan saya buat mahasiswa semua!! -generasi UM-