NEW YORK: Pakej ganjaran Ketua Eksekutif (CEO) baru Yahoo, Marissa Mayer
boleh mencecah lebih daripada AS$70 juta (RM220.44 juta) merangkumi
gaji, bonus, saham terhad dan saham opsyen dalam lima tahun, demikian
mengikut pemfailan undang-undang oleh syarikat itu.
Pakej ganjaran kepada Mayer itu dipecahkan kepada gaji tahunan
sebanyak AS$1 juta, bonus tahunan (AS$2 juta), saham opsyen dan beberapa
anugerah lain AS$42 juta serta AS$14 juta dalam bentuk saham terhad
bagi menandingi tawaran yang diberikan Google Inc.
Sebagai jurutera perempuan Google yang pertama dan juga pekerja paling
awal, nilai bersih Mayer dianggarkan sehingga AS$300 juta.
Pelantikan Mayer sebagai CEO Yahoo yang diambil daripada Google
awal minggu ini memeranjatkan penganalisis, pelabur dan beberapa
kakitangan.
Mayer, 37, menggantikan pemangku CEO, Ross Levinsohn untuk menjadi CEO Yahoo ketiga dalam tempoh setahun.
Pemerhati industri percaya pemilihan Mayer berbanding Levinsohn
adalah petunjuk bahawa Yahoo kemungkinan mahu kembali menumpukan fokus
kepada teknologi dan produk web daripada menguatkan kandungan dalam
talian.
Pelantikannya juga menandakan tahun yang bercelaru di Yahoo. Pada
Mei lalu, Scott Thompson meletak jawatan sebagai CEO selepas kurang dari
enam bulan menduduki kerusi itu ketika kontroversi mengenai kelayakan
akademiknya.
Thompson menggantikan Carol Bartz yang dipecat September lalu selepas gagal menaikkan semula Yahoo.
Jumlah ganjaran pelantikan Thompson adalah bernilai AS$27 juta.
Beliau tidak mendapat ganti rugi tetapi masih dapat memiliki pampasan
meninggalkan Paypal sebanyak AS$7 juta. Bartz pula mendapat ganti rugi
lebih daripada AS$10 juta apabila dipecat tahun lalu.
Mayer yang digelar sebagai ‘geek’ memiliki ijazah sarjana dalam
sains komputer dari Universiti Stanford dan diiktiraf kerana membawa
masuk lebih ramai wanita dalam dunia teknologi.
Mayer melaporkan diri sebagai CEO pada hari pertama Selasa lalu,
iaitu hari yang sama Yahoo mengumumkan laporan kewangan yang lemah
dengan pendapatan bersih tidak berubah dan sedikit penurunan dalam
keuntungan bagi sukuan kedua.
Beliau bagaimanapun tidak terbabit dalam pengumuman laporan kewangan itu walaupun sudah menjadi sebahagian daripadanya.
Malah, Levinsohn juga tidak hadir pada pengumuman itu yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Yahoo, Tim Morse.
Mayer sudah pun memahatkan dirinya sebagai antara peneraju wanita
di Lembah Silikon dan dilihat seperti selebriti sama ada di dalam atau
di luar pejabat.
Beliau dikenali dengan minatnya terhadap fesyen dan sering tampil
dalam halaman pertubuhan kerana menganjurkan parti, yang diadakan sama
ada di salun peribadi di rumah mewah empat musim di San Francisco atau
di rumah kediaman di Lembah Silikon di Googleplex.
Pada 2009, beliau mengahwini pelabur hartanah, Zachary Bogue dan
Mayer mengumumkan menerusi Twitter yang beliau dan suaminya menanti anak
lelaki pertama, Oktober ini. - Reuters