Memaparkan catatan dengan label MSSM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MSSM. Papar semua catatan

9 Jun 2009

KELANTAN JUARA!!!

Pasukan bolasepak bawah 18thn Kelantan telah menjuarai kejohanan bolasepak MSSM 2009 dengan mengalahkan pasukan Kuala Lumpur (1-0) pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu petang semalam. Pasukan Kelantan bawah 12thn pula sekadar berpuashati dengan naib juara kerana tewas kepada pasukan Pulau Pinang (1-2).......

Syabas kepada Pasukan Bolasepak MSSM Kelantan ("THE REDS WARRIORS JR.")

Keputusan penuh (Akhir):

B-18thn : Kelantan 1-0 Kuala Lumpur
B-15thn : Kuala Lumpur 3-1 Kedah
B-12thn : Kelantan 1-2 Pulau Pinang

8 Jun 2009

KEJOHANAN BOLASEPAK MSSM

Bawah 18 tahun : KELANTAN VS KUALA LUMPUR (AKHIR)
TARIKH : 08 JUNE 2009
MASA : 3.45 PTG
TEMPAT : Stadium Sultan Muhammad IV (KB)


Bawah 12 tahun : KELANTAN (1) VS PULAU PINANG (2) (AKHIR)
TARIKH : 08 JUNE 2009
MASA : 8.00 PG
TEMPAT : Padang Maktab Sultan Ismail (SIC, Telipot)

p/s: Datanglah beramai2 ke SSMIV ptg ni untuk memberi sokongan pada pasukan bwh18 kelantan n gamatkan kembali SSMIV dengan sorakan "GOMO KELATE GOMO" yang sekian lama menyepi.... ' SELAMAT BERJUANG THE REDS WARRIORS JR. '

1 Jun 2009

Hanya semangat jadi bekalan anak Kelantan



JADI KEBANGGAAN... Atlet muda Kelantan, Nik Hafiz Nik Mohamad dinobatkan sebagai
Olahragawan pada Kejohanan Olahraga MSSM Ke-51 baru-baru ini.


KETIKA ini, sukan bukan sahaja dianggap sebagai satu bidang semata-mata.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia adalah suatu perniagaan di mana pengurusannya adalah umpama mengurus sebuah syarikat konglomerat yang besar.

Sebagai contoh, Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, saban hari sentiasa berusaha untuk memastikan segala keperluan yang diperlukan oleh para atletnya dapat dipenuhi.

Bagaimanapun, tugas yang dipikul MSN Kelantan seakan-akan terbantut apabila kekangan kewangan sering menghantui badan induk sukan negeri itu.

Mereka hanya mengharapkan peruntukan yang diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) setiap tahun tanpa ada satu pun institusi yang tampil membantu.

Disebabkan itu, tidak hairanlah Kelantan boleh dikatakan antara negeri yang termundur dalam menyediakan fasiliti sukan dan ada di antara gelanggang sukannya sudah berusia lebih 10 tahun.

Secara zahirnya, MSN dilihat sudah menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan dengan mengesan bakat-bakat baru dan saban tahun, Kelantan tidak pernah ketandusan melahirkan atlet berpotensi.

Namun, usaha tersebut bagai tersekat kerana atlet-atlet yang terpilih gagal ditempatkan di sebuah pusat yang serba canggih.

Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran mengenai aktiviti sukan di Kelantan agak menyerlah di mana masyarakatnya tidak dapat dipisahkan dengan sukan dalam kehidupan seharian.

Maka, tidak hairanlah Kelantan menjadi antara negeri yang terpenting dalam industri sukan tanah air dengan menyumbang serta mengeluarkan bakat-bakat baru.

Pengarah MSN Kelantan, Noordin Awang berkata, atlet yang lahir menerusi program pembangunan MSN Kelantan adalah atlet yang cekal dan luar biasa semangatnya.


BEGINILAH keadaan padang hoki astroturf milik Majlis Perbandaran Kota Bharu yang koyak dan tidak pernah diselenggara dengan baik.


Menurutnya, mereka tidak disediakan peralatan yang cukup dan moden dan hanya menggunakan apa yang ada sahaja kerana mereka menyedari kemampuan MSN Kelantan hanya setakat itu.

"Program latihan berpusat juga tidak dapat dilaksanakan dengan efisien, sebagai contoh untuk Sukma (Sukan Malaysia) kita hanya melakukan persiapan sekitar dua hingga tiga bulan sahaja sebelum kejohanan.

"Majlis Sukan Negara hanya menyediakan peruntukan sekitar RM2 juta setahun untuk keseluruhan program pembangunan dan pengurusan termasuk pembayaran gaji kakitangan," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, dengan peruntukan itu, MSN Kelantan hanya mampu berbelanja mengikut sekadar yang mampu dalam menyediakan kelengkapan untuk 19 jenis sukan teras.

Katanya, walaupun dihimpit masalah kewangan, MSN Kelantan sedaya mungkin melakukan tugas-tugasnya terutama dalam memantau program pencarian dan perkembangan bakat.

Noordin berkata, program pembangunan sukan di Kelantan tidak akan sempurna tanpa kerjasama pihak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK)

"MSSK sangat memberi impak kepada perkembangan sukan di Kelantan. Mereka adalah tulang belakang kepada MSN dalam program pengecaman bakat.

"Melalui kejohanan yang dianjurkan, kita dapat mengenal pasti bakat-bakat muda yang berpotensi terutama selepas program Kijang Mas dilancarkan pada Julai 2007 lalu," ujarnya.

Dalam serba-serbi kekurangan, Kelantan meneruskan usaha untuk meletakkan nama sebaris dengan negeri-negeri lain yang jauh lebih hebat program pembangunan sukannya.

Sebagai contoh, kita memiliki stadium yang berusia lebih 30 tahun dengan kemudahannya sudah jauh ketinggalan zaman selain padang yang kurang sempurna.

Lampu limpah Stadium Sultan Mohammad Ke-IV juga pernah mengalami masalah sebelum ini sehingga menjejaskan beberapa perlawanan bola sepak.

Pernah suatu ketika, timbul cakap-cakap di kalangan penyokong bola sepak ketika pasukan Kelantan terlalu hebat di tempat sendiri, namun sering mengalami kekalahan di tempat lawan.

Kata mereka, pemain-pemain 'mabuk lampu' kerana stadium lawan dilengkapi sistem pencahayaan yang baik berbanding Stadium Sultan Mohammad Ke-IV yang agak gelap dan suram.

Kosmo! juga sempat meninjau satu-satunya gelanggang hoki padang astroturf di Kelantan yang dibina pada tahun 1993.

Selepas pembinaannya, gelanggang tersebut tidak pernah diselenggarakan dengan baik sehingga keadaannya begitu daif tetapi tetap digunakan oleh skuad hoki Kelantan kerana itu sahaja yang dimiliki.

Keadaan padang terlalu teruk sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada para pelatih atau pemain selain pagar yang sudah usang dan berlubang serta ciri-ciri keselamatan lain yang tidak sempurna.

Jurulatih skuad hoki bawah 18 tahun lelaki Kelantan, Mohd. Amin Setafa berkata, padang berkenaan adakalanya terpaksa memuatkan empat pasukan hoki yang menjalani latihan dalam satu-satu masa.

Katanya, padang itu jugalah yang menjadi tempat latihan skuad yang mewakili Kelantan untuk kejohanan-kejohanan tempatan.

"Ini sahaja yang kita ada, mahu tidak mahu kita terpaksa gunakan, namun kekurangan ini tidak pernah menjadi halangan kepada kita untuk berjaya.

"Semangat yang mereka (pemain) ada luar biasa hebatnya, mereka sanggup menaiki bas yang tambangnya dibayar sendiri untuk menyertai latihan dan kejohanan tempatan," tambahnya.

Menurutnya, dengan padang yang terlalu daif itu juga, seorang pemain Kelantan terpilih menyarung jersi skuad remaja kebangsaan sementara dua lagi pemain menyarung jersi pasukan bawah 16 tahun kebangsaan.

Apa yang lebih membanggakan, pasukan hoki Kelantan juga berjaya menjadi johan Divisyen 2 Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2008 dan seorang pemainnya, Shahrul Annuar Ibrahim di nobatkan selaku pemain terbaik seluruh kejohanan.

Pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-51 baru-baru ini, atlet muda Kelantan, Nik Hafiz Nik Mohamad berjaya merangkul gelaran Olahragawan kejohanan.

Hanya berlatih di trek sepanjang 125 meter sebelum dipilih menjalani latihan pusat di Pulau Pinang di bawah kelolaan MSN, Nik Hafiz terus membuktikan bahawa semangat adalah kunci untuk mencapai kejayaan.

Selain itu, Kelantan juga memiliki dua pemanah, Wan Khalmizam Wan Abd. Aziz dan Nazrin Aizat Mat Nasir yang berjaya menyertai pasukan kebangsaan.

Kelantan juga mampu berbangga, walaupun kemudahan sukan amat kurang, namun prestasi atlet yang dihantar menyertai kejohanan tidak pernah menghampakan.

Sebagai bukti, pada Karnival Pelapis Negeri 2009 yang berlangsung di Pulau Pinang pada 7 hingga 11 Mei lalu, atlet Kelantan menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

Dengan kutipan 15 pingat emas, 19 perak dan 12 gangsa pada karnival tersebut, Kelantan membuktikan mereka tidak ketandusan bakat.

Itu antara bukti atlet-atlet Kelantan tidak pernah menghiraukan kekurangan yang mereka terpaksa tempuhi kerana semangat yang ada melangkaui segala-galanya.

Namun, benarlah kata pepatah: 'Benih yang baik kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau'.

Dalam serba kekurangan mereka meneruskan tekad untuk mencapai impian masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi iaitu menyarung jersi pasukan negara seterusnya beraksi di pentas dunia.

Keistimewaan yang ada pada atlet Kelantan adalah kesungguhan dan kecekalan selain semangat jati diri dan kesetiaan pada negeri yang sangat menebal.

Dalam pada itu, Noordin tidak menafikan terdapat beberapa atlet Kelantan menerima tawaran yang lebih lumayan daripada negeri lain untuk berhijrah dan menyarung jersi negeri berkenaan.

Namun, Noordin berkata, kesetiaan pada negeri kelahiran sering kali menjadi asas yang kuat kepada atlet-atlet ini untuk terus menyumbang bakti kepada Kelantan.

Tanpa berselindung, Noordin mengakui, setakat ini MSN Kelantan hanya mampu bertindak sebagai pencari bakat, namun belum memiliki kemampuan sepenuhnya untuk menggilapnya.

"Kita mengakui kekurangan tersebut dan itu adalah hakikat yang kami, atlet dan seluruh peminat sukan di Kelantan harus terima.

"Kita mengharapkan pihak Majlis Sukan Negara untuk menilai atlet-atlet kita yang kita bawa dalam kejohanan yang dianjurkan supaya dapat meneruskan impian para atlet ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya.

Bagaimanapun menurut Noordin, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan dalam memberikan yang terbaik kepada semua atlet kelahiran Kelantan. -ihsan kosmo

24 Mei 2009

Terengganu juara MSSM 2009

Kelantan berpuashati di tempat Kedua

KUALA LUMPUR - Terengganu merangkul kejuaraan keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-51 selepas menamatkan saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.

Kontinjen negeri itu berjaya mengumpul 13 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa diikuti Kelantan dengan 11-7-1 dan Kedah di tempat ketiga dengan pungutan 11-5-8.

Pelari jarak sederhana, Nik Hafiz Nik Mohamad dari Kelantan dinobatkan sebagai Olahragawan manakala peserta jalan kaki, Nur Aisyah Ahmat dari Sarawak dipilih sebagai Olahragawati MSSM 2009.

Nik Hafiz mencipta rekod kejohanan dalam acara 800m dan memenangi emas acara 1,500m dalam kategori bawah 18.

Pada saingan semalam, Nur Aisyah mencipta rekod dalam acara 3,000m jalan kaki perempuan bawah 15 dengan catatan masa 14:59.59s mengatasi rekod 15:18.38s yang dipegang Nur Suhila M. Rusni pada tahun 2007.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom menyampaikan piala pusingan tajaan Nestle kepada Terengganu dan mengumumkan bahawa negeri itu akan menjadi tuan rumah kejohanan itu tahun depan.

"Berdasarkan prestasi atlet sepanjang menjalani latihan, kami sememangnya meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan dan kami akan cuba mempertahankan gelaran ini di gelanggang sendiri tahun depan," kata Ketua Kontinjen Terengganu, Mohd. Azmy Zakaria.

Sementara itu, empat lagi rekod kejohanan dicipta pada hari terakhir kejohanan yang menyaksikan atlet Terengganu mencipta dua daripadanya.

Pelari pecutnya, Harith Ammar Mohd. Sobri, pelajar Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu, berjaya memecahkan rekod acara 200m bawah 15 tahun dengan catatan masa 22.50s bagi memadamkan rekod 22.58s oleh Muhd. Ajmal Aiman juga dari Terengganu tahun lepas.

"Saya berasa sungguh bertuah dan sangat bersyukur kerana dapat memenangi emas dan pada masa sama dapat memperbaharui rekod kejohanan selepas gigih menjalani latihan selama dua tahun," katanya.

Kejayaan yang diperolehinya pada kejohanan kali ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan kerana tidak dapat beraksi pada dua kejohanan yang sama akibat kecederaan hamstring.

Sebelum tirai kejohanan dilabuhkan, kuartet 4x400m Terengganu turut mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan masa 3:21.66s untuk memadamkan rekod yang dipegang kuartet Johor iaitu 3:21.79s pada tahun lepas.

Peserta Sabah, Jvan De Jvender Johwas berjaya mengatasi rekod dalam acara lompat kijang lelaki bawah 15 tahun selama lapan tahun dengan lompatan sejauh 14.26m.

"Saya hanya sasarkan untuk menyamai jarak yang saya lakukan pada MSS Sabah tetapi saya tidak menyangka saya dapat mencatat jarak lompatan mencapai 14 meter," katanya.

Jven, berjaya membuat lompatan untuk memadamkan rekod terdahulu 14.20m yang dipegang Mohd. Marzuki Abdul Samah. - BERNAMA

21 Mei 2009

MSSM: Kelantan kejutkan gergasi


AMIR Fakri (kanan) menewaskan Vinoth Sreedharan (kiri) untuk memenangi acara 400m di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang semalam.

KELANTAN membuat kejutan pada hari pertama kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), mengatasi kuasa-kuasa besar seperti Sarawak dan Selangor untuk mengetuai senarai pungutan pingat dengan lima emas, dua perak dan satu gangsa.

Negeri Pantai Timur itu mengungguli acara jarak sederhana 1,500 meter apabila meraih dua emas dalam acara perempuan 15 tahun dan lelaki 18 tahun masing-masing menerusi Nik Norzilawatie Nik Wil dan Nik Hafiz Nik Mohamad.

Satu emas dirangkul dalam jarak sederhana 400m lelaki 18 tahun oleh Muhamad Amir Fakri Ismail dengan baki dua emas dibawa pulang Bibi Nurashah Ishak dalam acara lempar cakera 15 tahun dan Wee Ai Yin dalam lompat tinggi perempuan bawah 12 tahun.


Pungutan itu yang mengatasi Terengganu di tempat kedua dengan 4-2-4 jelas sesuatu yang tidak dijangkakan kem Kelantan sendiri memandangkan negeri itu serba kekurangan dalam kemudahan latihan.

"Kami hanya mensasarkan tujuh atau lapan emas saja, lebih daripada itu adalah bonus. Kelantan sendiri tidak mempunyai kemudahan seperti trek larian dan kejohanan," kata Pengerusi Teknik dan Pembangunan Olahraga Kelantan, Tan Voon Seng.

Jiran mereka, Terengganu pula tidak akan duduk diam dengan mereka kini bersedia menggempur dua acara riben biru, 100m lelaki dan perempuan 15 tahun yang bakal diadakan hari ini.

"Kami meletakkan harapan ke atas Harif Harma yang memiliki catatan peribadi, 10.9 saat dalam acara lelaki dengan Herma Nurul Ain menjadi sandaran kami dalam acara perempuan dengan catatan peribadi 12.9s," kata Pengerusi Teknik dan Pembangunan Terengganu, Mohd Ariff Awang.- Ihsan BHarian