Bahagia Hingga ke Syurga. InsyaAllah. Amin..

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Anak Solehah. InsyaAllah. Amin..

Showing posts with label Al-Fatihah... Show all posts
Showing posts with label Al-Fatihah... Show all posts

Thursday, October 4, 2012

2 Okt 2012 : Aku Kehilangan Mok..

Assalamualaikum...

Tanggal 2 Oktober 2012, pagi Selasa yang tenang, satu-satunya nenek aku yang tinggal, telah pun menghembuskan nafas terakhir. Masa bersiap nak pergi kerja, ma datang sambil menangis, ma cakap nak pergi tengok Mok, malam sebelum tu ma dah pergi sebab mok sakit. Aku berderau bila ma cakap 'tak tahu Mok ada lagi ke tak'.. Bila sampai rumah acik (tempat Mok tinggal), aku nampak ambulans, ingatkan nak bawak Mok pergi hospital. Tapi sepupu aku cakap 'Mok dah takde, dik...' Innalillahiwainnailaihirajiun.. Aku peluk sepupuku Kak An, berkali-kali aku tanya, 'betul ke ni Kak An?'.. Mok pergi selepas beberapa tahun menderita penyakit kencing manis. Sebelah kaki Mok dah buruk, dah kena potong sikit. Mok pun dah tak boleh berjalan.

Aku ingat lagi, masa kami baru kahwin (kiranya 2 tahun lebih dah), masa tu Mok di rumah ma, ambulans datang rumah pukul 3 pagi bawak Mok ke hospital. Mok tak sedarkan diri. Mok hypo. Kami dah bacakan Yassin keliling Mok masa tu. Saudara mara pun dah berkumpul kat rumah ma. Tapi Alhamdulillah, umur Mok masih panjang masa tu. Dalam masa beberapa tahun ni, ada la beberapa kali Mok keluar masuk wad.

Kali terakhir aku jumpa Mok adalah pada 16 Ogos, 3 hari sebelum raya. Memandangkan raya tahun ni aku balik kampung suami, aku pergi jumpa Mok sebelum balik kampung. Masa tu sedih jugak sebab tak dapat beraya kat sini, berkumpul pagi raya dengan anak cucu cicit Mok. Sempat juga aku hulurkan duit raya untuk Mok. Masa tu Mok nampak biasa je, borak-borak, tapi Mok tak mampu puasa dah..

Tak sangka, itu kali terakhir aku jumpa Mok. Aku ralat sangat sebab tak pergi tengok Mok lepas raya dulu, sampailah Mok pergi tinggalkan kami semua. Padahal bukan jauh pun.. :'( Angpau raya untuk Mok pun masih ada lagi aku simpan, tak kesampaian nak bagi..

Yang lagi sedih, sehari sebelum pemergiannya, 1 Okt tu hari lahir Mok yang ke 70 tahun.. Aku dah plan nak keluar belikan tudung sebagai hadiah hari lahir untuk Mok. Sehari sebelum tu jugak aku berbincang dengan ma nak buat makan-makan untuk raikan Mok. Rupanya tak sempat. Mok yang bagi 'hadiah' pada kami semua..

Mok disemadikan selepas zohor, betul-betul di sebelah pusara arwah suaminya, yang kami panggil Ayoh.. Semoga arwah datuk-datuk dan nenek-nenek aku tenang di sana, dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan dikasihi Allah.. Al-Fatihah..


Friday, February 3, 2012

Perginya seorang lagi sahabat..

Assalamualaikum..

Tarikh 1 Feb 2012, aku kehilangan seorang lagi sahabat. Intan Shuhadah bt Ahmad, seorang pensyarah electrical engineering. Walaupun baru beberapa tahun kenal, kami pernah rapat ketika arwah menemani aku mengiringi pelajar ke Khemah Ukur di Melaka. Dia menghembuskan nafas terakhir pukul 11 malam, tapi pukul 6.30 pagi 2 Feb 2012 baru aku baca sms.

Arwah seorang yang lemah lembut, comel, kalau kenal rapat dia tidaklah pendiam sangat. Masih terbayang-bayang kenangan bersama arwah, usikan dan gurauan dengan arwah. Cepat sangat arwah meninggalkan kami semua. Di usia 25 tahun, baru berkahwin hampir 11 bulan, arwah mengikut jejak anaknya yang meninggal semasa dalam kandungan.

Aku ingat lagi, masa baru dapat tahu aku mengandung, aku sms arwah, sebab aku dapat tahu arwah juga mengandung. Aku sempat nasihatkan arwah supaya pergi klinik cepat buat buku pink. Tarikh jangkaan bersalin kami cuma berbeza 3 minggu. Bila berjumpa (pejabat arwah di cawangan satu lagi), aku pegang perut dia, sebab perut dia kecil, sedangkan dia mengandung lebih 3 minggu dari aku. Tapi mungkin sebab dia jenis kurus, so perut tak berapa nampak. Arwah juga pernah 'pewitt pewitt' aku masa tengok perut aku dah nampak.

Bulan Disember lepas, aku dan suami sempat melawat arwah ketika dia di wad. Arwah sebelum tu demam, semasa kandungannya lebih kurang 5 bulan. Akhirnya dimasukkan ke hospital, ujian demi ujian dibuat untuk mengesahkan penyakit akibat demam tu. Habis lebam-lebam tangan dia yang kurus tu aku tengok. Menurut doktor, jangkitan kuman di jantung. Masa melawat dia, dia banyak diam je, nampak agak lemah, tapi berselera makan semasa disuap ibunya. Aku sempat cakap pada dia, "senyum sikit Intan..". Masa tu kandungan dia 5 bulan 3 minggu kalau tak silap aku. Dia ada cakap baby sihat, baby gerak-gerak je. Selang beberapa hari lepas tu, baby dia meninggal dalam perut. Aku dapat tahu pun selepas hampir seminggu. 

Then, selang sebulan pemergian baby dia, arwah pula mengikut jejak. Ya Allah.. Sebelum ni kami dikhabarkan arwah dah ada di rumah, menunggu masa untuk ke IJN. Dia dalam keadaan stabil. Lepas solat aku berdoa agar disembuhkan penyakit dia, kurangkan kesakitan dia. Sampai sekarang pun kadang-kadang aku terlupa, aku doakan supaya Allah sembuhkan sakitnya, sedangkan dia dah tak ada.. :'(

Arwah juga berjauhan dengan suaminya yang bertugas di Perak. Sedihnya, suami dia tiada di sisi semasa hayat terakhirnya. Besarnya dugaan Allah pada suaminya, baru kehilangan anak, sekarang isteri pula. Semoga Allah kuatkan hatinya untuk menempuh semua ni..

 Arwah bersama suaminya.

"Intan, dulu Intan salah seorang pembaca blog akak kan? :'( Akak terkilan tak sempat minta maaf pada Intan. Walaupun pernah melawat Intan sekali je sepanjang Intan sakit, tapi akak tak lupa berdoa untuk Intan. Tenanglah Intan di sana. Baby Intan dah tunggu Intan di pintu syurga.. Akak akan simpan kenangan kita terutamanya masa di Melaka bersama pelajar-pelajar akak, masa malam bbq, diorang usik-usik Intan yang comel ni.. Akak teringat-ingat lagi gelagat kita masa duduk sebilik di Melaka tu.. Semalam kali terakhir kita 'jumpa', tapi masa tu Intan dah terbujur kaku, akak tengok bawah kain putih tu kurus sangat. Maafkan akak juga, semalam akak tak tengok wajah Intan untuk kali terakhir. Dalam keadaan akak sekarang, akak harap Intan faham. Akak cuma mampu sedekahkan Intan dengan surah Al-Fatihah dan Yassin..."

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.. Minta jasa baik readers tolong sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Terima kasih..

Tuesday, September 20, 2011

Al-Fatihah..

Assalamualaikum..

Pagi tadi baru masuk pejabat, belum pun sempat duduk, aku terima perkhabaran sedih.. Anak salah seorang teman sepejabat, Kak Rosna meninggal dunia. Innalillah.. 

Kak Rosna baru 13 hari melahirkan. Aku pun belum pergi melawat dia. Selama usia anaknya, hanya di NICU. Masa lahir air ketuban kering, dan bayi tertelan najis. Tak sangka, dia survived hanya untuk 13 hari.

Selepas kelas pagi tadi, aku dan kawan-kawan lain pergi melawat Kak Rosna. Dia nampak tenang, tersenyum walaupun kelat. Gagahkan diri menyambut kami di muka pintu. Aku sebak melihatkan dia, dan aku cuba letakkan diri aku pada tempat dia. Ya Allah, Kau kuatkan lah Kak Rosna untuk menghadapi dugaanMu..

Semoga anaknya tenang di sana.. InsyaAllah, dia menunggu ibunya di sana.. Takziah untuk Kak Rosna..

Friday, August 26, 2011

Aku rindukan mereka..

Assalamualaikum..

Tinggal lagi 4 hari nak raya. Setiap hari lagu raya berkumandang. Aku pun tak ketinggalan pasang lagu raya di pejabat hari ni. Lebih-lebih lagi tinggal beberapa orang sahaja di pejabat. Nasib baik pengurusan bagi pelepasan untuk half day hari ni. Alhamdulillah.. 

Bila dengar lagu-lagu raya, bukanlah semuanya lagu gembira kan. Ada juga lagu-lagu syahdu. Pagi tadi masa driving ke pejabat dengar lagu 'Dari Jauh Kupohon Maaf'. I cried. Aku rindukan mereka.. Mereka yang telah meninggalkan aku, meninggalkan kami semua.. Aku rindukan Allahyarham datuk dan nenek aku..

Dalam kepala terbayang-bayang kenangan kami semasa mereka masih ada.. Dan juga kenangan terakhir yang sangat berharga.. Arwah datuk sebelah mak (yang kami panggil 'Ayah'), arwah datuk sebelah ayah ('Tok Ayah'), arwah nenek dan nenek tiri sebelah ayah ('Tok Jah' dan 'Mek Zah').. 

'Ayah', datuk yang paling rapat dengan aku, meninggalkan kami semua beberpa tahun lepas. Ketika baru empat hari menyambut Ramadhan. Aku bergegas pulang ke Kuantan dari Shah Alam, menumpang kereta Maktam, terus ke HTAA. Panjat tangga tingkat 8, sebab lif rosak masa tu. 'Ayah' menghembuskan nafas terakhir ketika bersama kami semua, anak-anak dan cucu-cucu beliau. Beberapa minit sebelum dia pergi, aku sempat mengelap kepala arwah, sambil dia bertanya, mana cucu-cucu dia yang lelaki.. :'( 

Aku ingat lagi, semasa kecil-kecil dulu aku sangat rapat dengan 'Ayah'. 'Ayah' suka melayan cucu-cucu dia. Kalau malam raya, kami tidur rumah 'Ayah', aku ramai-ramai dengan sepupu-sepupu sebaya.. Kalau pakcik aiskrim lalu, 'Ayah' belikan aiskrim, makan aiskrim sama-sama dengan cucu. Paling aku ingat, petang-petang 'Ayah' bawa naik motor, singgah kedai kopi. Arwah tuangkan air panas dalam piring cawan tu, tiup bagi sejuk, dan suapkan aku minum.. Ohh.. Kenangan yang takkan berulang.. Sejak 'Ayah' tiada, kami sangat terasa 'kekurangan' setiap kali hari raya.. 

'Tok Ayah', datuk yang baik.. Walaupun agak pendiam, sama macam 'Ayah'.. Cuma kami lebih rapat sebab 'Ayah' di Kuantan, 'Tok Ayah' di Terengganu.. 'Tok Ayah' ni suka sangat melayan Edi, adik aku yang bongsu masa tu. Edi cucu terakhir yang arwah sempat jumpa, sebab tu 'Mek Zah' cakap, di saat-saat akhir arwah, dia masih lagi bertanya tentang cucunya Edi..  'Tok Ayah' pergi masa hari cuti Krismas, kami tiada di sisinya. Tak sempat jumpa, cuma sempat iringi arwah ke kubur sahaja.. :'( Masa tu aku dalam darjah 5..

'Mek Zah', nenek tiri yang sangat-sangat baik melayan kami, walaupun kami jarang balik ke Terengganu.. Aku takkan lupa kenangan bila di sana, kami mandi air perigi, kalau malam-malam nak buang air, arwah temankan sebab masa tu bilik air di luar.. Kami seronok makan dalam 'pinggan besi 'masa di rumah arwah.. Sejak 'Tok Ayah' dan 'Mek Zah' meninggal, tiada lagi raya kami di sana..

'Tok Jah', nenek aku di Dungun. Ibu kandung abah, tapi kami tak rapat dengan arwah. Bila balik rumah arwah, dia tak lupa mengingatkan kami tentang hukum-hukum agama. Aku ingat lagi masa tu arwah tanya huruf-huruf Ikhfa' Hakiki. Aku tak ingat semua, dan arwah betulkan. Kalau sembahyang, telekung nipis / jarang, arwah tegur..

Sesungguhnya, mereka semua tiada pengganti. Aku cuma ada 'Mak' je sekarang. Nenek sebelah mak. Cuma 'Mak' yang sempat tengok aku berumah tangga. Semoga Allah bagi kesihatan yang baik untuk 'Mak'..

Nenek tersayang. Semoga 'Mak' sihat dan dilindungi Allah selalu.. Amin..

Sunday, May 29, 2011

Al-Fatihah untuk Sharifah Maisarah..

Al-Fatihah..

Sharifah Maisarah, kawan sepejabat, tetapi berlainan jabatan, telah kembali ke rahmatullah pukul 12 tengah hari tadi. Awal pagi Jumaat lepas, Allahyarham terlibat dengan kemalangan bersama 3 orang pelajar di Maran. Keadaan kereta Allahyarham remuk teruk, sehinggakan bomba terpaksa potong sebahagian kereta untuk mengeluarkan mangsa.

3 orang pelajar tersebut selamat, namun Allah lebih sayangkan Mai. Dia pergi setelah terlantar koma dan tidak sedarkan diri di ICU Hospital Temerloh. Aku sedikit ralat sebab tak sempat melawat Allahyarham. Semalam aku bagitahu suami, ajak melawat dia hari ini. Tapi dia pergi dulu.. =(

 Allahyarham, dan keadaan keretanya semasa kemalangan. Kereta dipandu oleh pelajar, Allahyarham di sebelah pemandu..

Aku percaya, Allahyarham menanggung sakit yang amat sangat sebelum dia pergi. Hatinya pecah dan mengalami pendarahan dalam kepala. Kemalangan berlaku jam 3 pagi, tapi setelah 2 jam baru lah ada orang yang datang hulurkan bantuan. Tiada yang sanggup berhenti di tengah-tengah lebuh raya pada pukul 3 pagi. Kesiannya Mai.. =(

"Maisarah, walaupun aku tak rapat dengan kau, aku tetap terasa kehilangan kau. Sebab kau biasanya happy-go-lucky, ceria je di pejabat. Kau hadir sebagai tetamu masa dinner anjuran kelab pelajar aku baru-baru ni. Kau audit jabatan kami baru beberapa hari lepas. Kau bagi ucapan masa opening dan closing audit tu. Kami sebut-sebut nama kau masa kursus Auditor 5S di Hotel Seri Malaysia Khamis lepas, sebab meja kau je yang ada pantri dalam pejabat tu. Aku selalu nampak Myvi hitam kau park kat luar pagar pejabat tu.. Semua tu dah jadi kenangan. Aku tahu ramai sangat pelajar-pelajar kolej tu menangisi pemergian kau. Sebab kau rapat sangat-sangat dengan pelajar. Detik terakhir hidup kau pun dengan pelajar kan... Semoga kau tenang di sana, Mai.. "

Sedih sangat bila dengar cerita, malam sebelum kejadian tu, Allahyarham ke kampungnya di Jerantut dengan 3 orang pelajar tu. Dari Kuantan, ke Jerantut dan cuma tengok rumah parents dia dari luar je. Tak masuk pun. Then terus pulang ke Kuantan. Dalam perjalanan tu la kemalangan berlaku. Apa pun, semuanya ketentuan..

Baru beberapa bulan terima khabar pemergian bekas pelajar aku. Hari ni ada lagi kematian. Sesungguhnya berita-berita ni menginsafkan aku.. Ajal tak kenal usia..

Mintak sama-sama sedekahkan Surah Al-Fatihah / Surah Yassin kepada mereka....

Thursday, March 17, 2011

Mari sama-sama tolong doakan..

Assalamualaikum..

Hari ni baru aku berkesempatan tengok macamana rupa kereta yang dipandu Allahyarham pelajar aku dulu, Zurina Kalthum. Allahyarham baru sahaja tamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Awam semester lepas.

Ni keadaan kereta Perodua Viva Allahyarham,  bertembung dengan Toyota Wish milik seorang jurutera. 


Dari sumber yang didapati, adik Allahyarham, Zarith yang drive semasa kejadian. Allahyarham tidur di sebelah. Mungkin kereta dipandu laju. Ya Allah. Sedih sangat tengok keadaan ni. Macamana dengan keadaan orang yang mengalami.

Untuk Zarith yang mengalami pendarahan dalam otak dan masih berjuang di ICU, marilah sama-sama kita doakan supaya beliau dapat sihat kembali.. Dan untuk Allahyarham Zurina, sempga rohnya dicucuri rahmat. Amin..

Tuesday, March 15, 2011

Al-Fatihah untuk Zurina Majid...

Assalamualaikum..

Tadi tengah masak untuk makan malam, dapat sms dari adik, tanya "betul ke Zurina dah meninggal?". Aku tergamam, tapi hati macam tak percaya sangat. Aku reply sms tu dan tanya adik, "siapa bagitahu?". Lepas tu dapat cerita sebenar..

Zurina, pelajar Kejuruteraan Awam di kolej tempat aku mengajar, meninggal dunia petang tadi. Aku tak pasti pukul berapa. Daripada cerita yang aku dapat, arwah dalam perjalanan ke Kuantan untuk ambil slip peperiksaan di kolej esok. Kemalangan di Pekan, adik arwah yang drive. Adik arwah masih di ICU.

Sampai sekarang, aku macam masih terkejut dengan pemergian arwah. Aku tak rapat dengan arwah, tapi pernah mengajar dia dua semester berturut-turut. Arwah seorang yang happy-go-lucky bila dengan kawan-kawan rapat dia. Tapi dalam kelas aku, dia agak pendiam.

Sama-sama kita sedekahkan surah Yassin dan Al-Fatihah kepada pelajar ini. Untuk sahabat-sahabat arwah, tabahkan hati, banyak-banyak doakan untuk dia di sana. Semoga dia tenang dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin...


Takziah untuk keluarga arwah..