Showing posts with label Hijrah. Show all posts
Showing posts with label Hijrah. Show all posts

25 October 2014

HIJRAH-4-QUWWAH

Ukhwah dan persaudaraan yang dibina oleh Sultan Salahuddin Al-Ayubi berjaya menyatupadukan umat Islam untuk membuka Baitul-Maqdis dan membebaskan Al-Quds!
Pakatan Luar Tabie diantara umat Islam dengan harbi akhirnya akan menghancurkan umat Islam sebagaimana yang telah dibuktikan dalam sejarah lampau!
Salam 2 all.

Sebaik sahaja menyempurnakan hijratul-Rosul, Nabi Muhammad saw melaksanakan beberapa perkara yang jelas menunjukkan Nabi saw membina kesatuan dan ukhwah umat Islam supaya mereka bersatu dan punya kesatuan dan perpaduan samada dari segi ibadah, ekonomi, siasah, politik, budaya dan adat resam yang akhirnya berjaya membina suatu kuasa politik umat Islam yang unggul dan hebat dalam sejarah ketamadunan kemanusiaan!

Perlu diingatkan bahawa sebelum hijratul-Rosul, Yathrib merupakan tempat pergolakan yang hebat. Suku arab Auz dan Khazraj telah berperang ratusan tahun lamanya hanya kerana sebab yang remeh - berkaitan seekor unta.

Diwaktu yang sama, suku Auz dan Khazraj disokong oleh dua puak Yahudi; yang kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk menguasai Yathrib dan membentuk pemerintahan mereka sendiri sambil menanti kedatangan Penyelamat mereka yang ditunggu-tunggu.

Dan mereka sudah ada seorang pemimpin yang menunggu masa untuk ditabalkan sebagai pemerintah - Abdullah Bin Ubay Bin Salul.

Dalam kerangka konflik dan pertelingkahan itulah Rasullah saw mengatur strategi membina Quwwah - kekuatan ummah berteraskan kepada perpaduan dan kesatuan.

Pertama, Rasulullah saw menentukan tempat pembinaan Masjid Nabawi. Kita telah mendengar bagaimana Rasulullah, dengan pengetahuan penuh mengenai konflik yang berlaku, mengambil tindakan yang cukup diplomatik - membiarkan untanya Quswah menentukan tapak pembinaan Masjid dan rumah Baginda. Membiarkan seekor haiwan menentukan tapak mengelakkan berlaku konflik dan sikap memihak - takkanlah haiwan yang memilih itu memihak kepada mana-mana pihak.

Kedua, Baginda membina Masjid Nabawi ditapak yang telah dikenal pasti oleh unta Baginda bernama Quswah. Masjid menjadi tempat umat Islam bertumpu untuk segala kegiatan. Pembinaan dibuat dengan cara bergotong royong dengan Baginda sendiri turun padang bersama membasah keringat dalam pembinaan itu. Baginda tidak sekadar datang dengan konvoi bersiren dan sekadar memotong riben dan membuat ucapan berapi-api. Inilah namanya Kepimpinan Melalui Tauladan yang sebenarnya;

Ketiga, Baginda menentukan kemasukan waktu solat dan panggilan ke Masjid untuk berjemaah dengan azan. Baginda melantik Bilal Bin Rabbah, seorang bekas hamba pemimpin musyrikin Ummaiyah yang hitam berkilat sebagai muazzin tetapi mempunyai suara hati yang menembus ke langit. Malaikat mendengar azannya walaupun terdapat orang lain yang lebih merdu suaranya. Ini menunjukkan Rasulullah memilih mereka yang berkualiti dan berkelayakan untuk memegang sesuatu amanah - jawatan diberi bukan kerana habuan tetapi kerana amanah dan berkelayakan;

Keempat, Baginda menyatukan suku Auz dan Khazraj yang telah berperang beratus tahun dibawah ikatan satu aqidah. Mereka ini Rasullah beri gelaran sebagai kaum Ansar - pembantu umat Islam!

Kelima, Baginda mempersaudarakan kaum Ansar dengan para sahabat Nabi yang berhijrah bersama daripada Makkah. Mereka dipanggil kaum Muhajjirin. Persaudaraan kedua kaum Ansar & Muhajjirin dibuta berdasarkan kepada ikatan satu aqidah, satu agama, satu qiblat, satu kitab. Inilah persaudaran aqidah yang memperkukuhkan perpaduan ummah;

Keenam, Baginda meminta para sahabat yang pakar dan mahir dalam bidang perniagaan untuk menceburi bidang perdagangan dan perniagaan yang dikuasai oleh kaum Yahudi di Yathrib. Baginda memberi tumpuan kepada dua perniagaan utama - air dan susu. Antara sahabat yang menerima saranan Rasulullah saw ialah Saidina Abdul Rahman Auf, tokoh korporat daripada Makkah. Dan dalam masa yang tidak lama, dengan kesaruan dan perpaduan umat Islam yang berkerjasama memperkukuhkan perniagaan Abdul Rahman Auf, akhirnya beliau berjaya menguasai pasaran air dan susu di Madinah;

Ketujuh, Baginda juga mengadakan perjanjian persefahaman dengan kaum Yahudi, iaitu membenarkan mereka tinggal terus di Madinah dan boleh mengamalkan agama kepercayaan mereka dengan syarat tidak mengkhianati umat Islam dan perlu membantu bilamana umat Islam berperang dengan mana-mana anasir luar. Berdasarkan perjanjian inilah terbentuknya Piagam Madinah - atau Dustur Madinah;

Ini adalah antara strategi yang diatur oleh Rasulullah saw sebaik sahaja Baginda melakukan hijrah. Baginda menumpukan kepada usaha membina persaudaran, perpaduan, kesatuan dan ukhwah umat Islam yang akhirnya berjaya membina satu kuasa politik dan pemerintahan yang kukuh, mantap dan quwwah.

Dan dengan kuasa politik itulah membolehkan Baginda melaksanakan segala hukum hakam dan syariat Islam sebagaimana yang diperintahkan Allah swt.

Sebenarnya disitulah letaknya rahsia kekuatan umat Islam - ukhwah, kesatuan dan perpaduan - yang akan membawa kepada pembentukan satu kuasa politik yang quwwah!

Sebab itu, dalam menghayati peristiwa hijrah ini, saya menyeru seluruh umat Islam supaya bersatu dan membina kesatuan, perpaduan dan ukhwah demi memastikan kesinambungan kuasa politik kita berterusan didalam negara ini.

Hari ini kita berpecah. UMNO dengan perjuangan Melayu-Islamnya, PAS dengan perjuangan yang merasakan dia lebih Islam daripada orang lain sehingga boleh menjanjikan syurga, NGO-NGO dengan fe'el masing-masing berasa diri lebih hebat daripada orang lain sehingga tidak mahu bersatu, dan individu-individu yang lebih mementingkan kedudukan, jawatan dan habuan mereka daripada memikirkan maslahah umat dan negara.

Bangsa Melayu di Malaysia sangat bertuah berana kita dilahirkan Islam - kita diiktiraf sebagai Muslim atas kelahiran. Kita diakui Islam menurut undang-undang dan Perlembagaan. Tidak ada bangsa didunia ini yang mendapat pengiktirafan sedemikian - yang keujudannya dikaitkan dengan agama Islam. Sehingga disebut Melayu itu Islam, tiada Melayu melainkan dia Muslim.

Tetapi malang walaupun kita punya satu aqidah, satu Tuhan, satu Nabi, satu kitab, satu qiblat - tetapi kita gagal menjadi satu umat! Amat malang.

Kita bergaduh dalam isu yang sangat fundamental - isu aqidah. Kita gagal mempertahankan hatta kalimah Allah. Ada antara kita kerana terlalu kemaruk dengan kuasa dan kedudukan sanggup menggadai kalimah tauhid demi sedikti undi untuk ke Putrajaya.

Kita bergaduh dalam hal yang terlalu asas - arak yang Nabi sebut sebagai ibu segala maksiat - yang sepatutnya kita tidak ada masalah untuk mencegahnya, menjadi isu yang membawa perpecahan. Sehingga ada mulut sundal yang mendesak supaya bukan Islam dibenarkan mengadakan pesta arak dibumi umat Islam. Malah kita bergaduh dalam soal yang terlalu remeh - soal berpelukan dan bermesra dengan anjing najis mughallazah pun kita tidak boleh satu suara!!!

Dalam keadaan perpecahan dan pertelingkahan ini musuh Islam mengambil kesempatan. Satu demi satu fundamental dan asas negara ini dilondeh dan ditelanjangkan. Daripada soal agama, bangsa, keselamatan, biasiswa, pendidikan, tanah, hak istimewa yang dijamin dan pelbagai lagi perkara dirungkai satu demi satu atas nama demokrasi dan hak asasi.

Kini wirid dan ratib harian dalam negara umat Islam ini ialah demokrasi dan hak asasi. Demokrasi dan hak asasi telah muncul menjadi agama baru!

Diatas nama demokrasi dan hak asasi, kalimah Allah digadaikan. Diatas nama demokrasi dan hak asasi, pesta arak digalakkan. Diatas nama demokrasi dan hak asasi, pelukan anjing dibudayakan. Diatas nama demokrasi dan hak asasi, seks bebas, seks luar tabie dan perkawinan sejenis mahu dihalalkan. Diatas nama demokrasi dan hak asasi, peliwat, penzina, penderhaka dan banduan mahu diangkat menjadi pemimpin. Diatas nama hak asasi dan demokrasi, biasiswa anak Melayu-Islam hilang. Diatas nama demokrasi dan hak asasi - umat Melayu Islam makin kehilangan aqidah, syariah dan hala-tuju kehidupan seorang Muslim.

Diatas nama demokrasi dan hak asasi, kita umat Melayu-Islam mungkin akan hilang agama, bangsa, kuasa dan negara!

Sebab itu, sempena Ma'al Hijrah 1436 ini, marilah kita membulatkan tekad menyatukan niat, bahawa kita akan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, kita akan membina persaudaraan, perpaduan, kesatuan dan ukhwah untuk mengekalkan aqidah, syariah dan kuasa politik Melayu-Islam didalam negara ini, tanpa menzalimi, menganiaya atau menafikan hak bukan Islam sebagaimana termaktub didalam Perlembagaan.

Rasulullah saw mendapat kuasa politik dengan melakukan hijrah. Dan dengan kuasa politik itu Rasulullah saw menyatukan umat Islam. Dan dengan kesatuan umat Islam, kuasa politik umat Islam menjadi kuat dan mantap. Kita umat Melayu-Islam di Malaysia sudah pun mempunyai kuasa politik. Adalah wajar dengan kuasa politik yang ada ini dimenafaatkan untuk kesatuan dan perpaduan umat Islam demi untuk melaksanakan segala suruhan dan perintah Allah.

SATU UMMAH - AQIDAH DIDAULATKAN, SYARIAT DILAKSANAKAN!

HIJRAH KUNCI PERPADUAN, UKHWAH DAN KESATUAN UMMAH!

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
01 Muharram 1436
25 Oktober 2014

24 October 2014

HIJRAH-4-UKHWAH!

 
Kegagalan umat Islam bersatu dalam ukhwah Islamiyyah menyebabkan musuh mengambil kesempatan; perpecahan umat Islam sampai ke peringkat kalimah Allah menjadi bahan dagangan politik demi kerakusan nafsu untuk kuasa dan kedudukan!
Salam 2 all.

1435 Hijrah akan berlalu, 1436 Hijrah menjelang tiba - sekali lagi kita menyambut Ma'al Hijrah.

12 Rabi'ul Awal, itulah tarikh sebenar Rasulullah saw tiba di Yathrib dalam peristiwa besar Hijratul-Rasul. Setelah beberapa hari berada di Quba', dan mendirikan Masjid Quba', serta mendirikan solat Jumaat pertama dalam Islam (kini didirikan Masjid Jumaat ditapak itu berhampiran Madinah), Rasulullah bergerak ke Yathrib bersama sahabat Baginda Saidina Abu Bakr As-Siddiq.

Sesampai Baginda di Yathrib, dengan sambutan nasyid tola'al badru 'alaina, Rasulullah yang menunggang unta bernama Quswa memulakan ucapan dengan berkata:

Aiyyuhannas - Afsyussalam!!! Wahai manusia, sebarkan salam!

Mengapa Rasulullah saw membuka ucapan dengan kenyataan itu? Menyeru manusia supaya menyampaikan salam - iaitu ucapan Assalammau'alaikum!

Kerana didalam salam ada pelbagai mesej - dan ia adalah pengikat perpaduan dan kesatuan.

Pertama, didalam salam ada doa. Berbeza dengan ucapan tradisi yang diamalkan oleh orang lain, ucapan salam bermaksud 'saya doakan sejahtera keatas kamu'. Dan penerima salam juga wajib menjawab dengan doa - wa'alaikum salam- sejahtera juga keatas kamu!

Kedua, ucapan salam merangkumi semua waktu. Ia tidak setakat ucapan selamat hanya untuk waktu pagi seperti Good Morning, atau hanya untuk waktu petang seperti Good Evening, tetapi ianya mencakupi seluruh hari tidak kira siang, malam, ribut, terang dan lain-lain!

Ketiga, ucapan salam bersifat universal. Pergilah kemana sahaja - barat, timur, utara, selatan, Eropah, Amerika, Russia, India, China, Australia, malah ke Kutub Utara atau Kutub Selatan, atau bercakaplah dalam bahasa apa pun - tetapi ucapan salam bagi umat Islam tetap sama - assalammu'alaikum.

Keempat, disebabkan ucapan salam itu berbentuk universal, maka dengan mudah kita mengenali saudara se Islam - walaupun dia daripada negara mana sekalipun, walau dia bercakap apa bahasa sekali pun. Bila sahaja bertemu dan dia mengucapkan salam, kita sekalugus tahu dia adalah Muslim saudara kita!
Kelima, disebabkan sifat universal salam itulah maka ucapan salam menjadi pengikat kepada perpaduan, kesatuan dan ukhwah umat Islam. Kerana didalamnya mengandungi kesatuan bahasa, kesatuan doa, kesatuan akidah!

Sebab itulah Rasulullah saw menyeru didalam muqaddimah ucapan Baginda sebaik sahaja menyempurnakan hijratul-Rasul - aiyyuhannas, afsyussalam - wahai manusia - sebarkanlah salam.

Hari ini umat Islam berpecah parah. Pertelingkahan kerana perbezaan mazhab, politik, kaum, etnik, dan pelbagai kepentingan menyebabkan kita menjadi lemah dan musuh mengambil kesempatan.

Apabila ada umat Islam sendiri meredhakan kristian mengguna kalimah Allah sebagai tuhan triniti, apabila umat Islam meredhai arak diminum secara berleluasa di tempat awam, apabila umat Islam melebihkan gereja daripada masjid, apabila umat Islam lebih seronok membelai dan berpelukan dengan anjing daripada bermesra sesama Islam - bermakna KPI umat Islam menurut Al-Quran dan Sunnah sudah sampai ke tahap kronik!

Sempena 1436 Hijrah ini, marilah kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, memperkukuhkan ukhwah, kesatuan dan perpaduan kita dengan mengamalkan perkara yang begitu mudah - amalkan memberi salam kepada sesiapa sahaja umat Islam yang kita temui.

Apabila amalan memberi dan menjawab salam ini sudah meluas diamalkan dikalangan umat Islam, lihatlah nanti bagaimana mukjizat salam akan membawa kesan menyatupadukan umat Islam insya Allah.

SATU UMAT - AQIDAH DIUTAMAKAN, SYARIAH DIDAULATKAN

HIJRAH PENCETUS UKHWAH PERPADUAN

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
29 Zul-Hijjah 1435
24 Okt 2014

07 December 2010

HIJRAH

Tola'al badru 'alayna,
min thani yaatil wada',
wajabbasy syukru 'alaina,
mada a' lillah hi da',
ayyuhal mab'uthufiina,
ji'tabil amril muto',
ji'ta syarraftal madiina,
marhaban ya khayro da'

Salam 2 all.

Hari ini Selasa 01 Muharram 1432, bersamaan dengan 07 Disember 2010, hari yang disambut oleh umat Islam seluruh dunia sebagai mengenang peristiwa hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah. Hijrah demi menyelamatkan aqidah dan syariat, bukan demi kuasa dan kedudukan! Alhamdulillah kebetulan di hari penuh mulia menyambut Ma'al Hijrah 1432 ini, bertepatan dengan artikel ke 1000 teman menulis dilaman www.zul4kulim.blogpspot.com. Dan teman memilih untuk mengupas tentang konsep hijrah sebagai penulisan ke 1000 ini insyallah.

Rasulullah di utus membawa risalah tauhid, memperbetulkan aqidah manusia yang telah sesat. Bukannya kaum musyrik tidak menyembah ALLAH, malah ALLAH adalah tuhan yang dipertuhankan mereka. Tetapi mereka mensyirikkan ALLAH dengan ketuhanan lain, menghalalkan apa yang ALLAH haramkan, mengharamkan apa yang ALLAH halalkan!

Mereka membina patung Latta wal 'Uzza dirumah ALLAH, mereka menghalalkan pembunuhan dan penghapusan anak perempuan, mereka memperdagangkan wanita, mereka menghalalkan arak, mereka mereka bersekongkol dengan Yahudi untuk menjahanamkan risalah Rasulullah, mereka mengharamkan hubungan dengan Rasulullah kerana ketaksuban kepada kesukuan dan kepemimpinan mereka, mereka membezakan manusia kerana taraf kedudukan dan assabiyyah kesukuan, dan mereka menolak kebenaran kerana gilakan kekuasaan dan kepimpinan.

Mereka menawarkan kepada Rasulullah wanita tercantik sebagai teman, mereka menawarkan harta kekayaan sebesar Uhud, dan mereka menawarkan Rasulullah mahkota kekuasaan. Malah mereka menawarkan kepada Rasulullah untuk Islam dan syirik hidup harmoni berganding bahu bersaling tangan. Hanya dengan satu syarat, tinggalkan perlaksanaan Islam secara syumul, tinggalkan ketauhidan hanya kepada ALLAH, pendekkata tinggalkan Islam yang sebenarnya!!

Alhamdulillah Rasulullah tidak memilih berselindung disebalik topeng siasah syara'iyyah untuk bersekongkol dengan musyrikin untuk mencapai matlamat Islam. Alhmadulillah Rasulullah tidak mengamalkan sikap "nikah dulu berbalah kemudian". Alhamdulillah Rasulullah tidak terkagum dengan kilauan kekuasaan dan kedudukan. Alhamdulillah Raulullah berpegang tegas kepada Al Quran dan perintah ALLAH. Alhamdulillah Rasulullah tidak mengiyakan mereka mencemar nama ALLAH dengan kesyirikan hanya untuk mendapat sokongan mereka. Alhamdulillah Rasulullah tidak gadaikan anak perempuan dan isteri Baginda untuk pertaruhan kedudukan. Alhamdulillah Rasulullah tidak mengangguk na'am untuk mereka terus membina patung kesyirikan atas nama politik perpaduan. Alhamdulillah Rasulullah tidak menghalalkan hasil arak atas nama kesepakatan politik. Alhamdulillah Rasulullah tidak memilih bersekongkol dengan kafir musyrikin demi mengejar impian kekuasaan.

Sebaliknya apa jawab Rasulullah! "Andai mereka memberikan matahari ditangan kanan ku, dan bulan ditangan kiriku, namun meninggalkan perjuangan Islam tidak sama sekali!". Rasulullah berpegang kepada firman ALLAH, "Tegaskanlah kepada kaafiruun itu wahai Muhammad, aku tidak sembah tuhan yang engkau sembah, engkau tidak sembah ALLAH yang aku sembah, aku tidak beribadah cara engkau beribadah, engkau tidak beribadah dengan cara aku beribadah. Untuk engkaulah kehidupan beragama engkau, untuk aku kehidupan beragama aku!!". Begitu ketegasan Rasulullah berdasarkan Al Quran dan perintah ALLAH, walaupun dari segi politik siasah syara'iyyah tindakan Rasulullah kelihatan saperti merugikan. Apa salahnya bersekongkol dulu dengan kaafirun itu, dapatkan kuasa dan kedudukan dulu, lepas itu kita sembang lain pasal Islam. Buat masa ni kita jadi syaitan bisu dulu. Jangan cakap pasal Islam, jangan pakai kopiah serban pun, nanti nampak macam politikus kolot dan kekampungan. Biar kita ada style dengan kot & tie.

Tidak, Rasulullah berpegang tegas kepada firman ALLAH. "Kamu tidak akan berjumpa (wahai Muhammad dan umat Islam) akan suatu kaum (atau kumpulan atau parti) yang mengaku beriman kepada ALLAH, tetapi memilih untuk berkasihsayang dengan orang (atau kumpulan atau parti) yang menentang ALLAH dan RasulNya, sekalipun orang (atau kumpulan atau parti itu) adalah bapak-bapak mereka, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun ahli keluarga mereka (termasuk laki atau bini mereka)". Firman ALLAH selanjutnya, "tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang menjadikan satu kaum (kumpulan atau parti) yang dimurkai ALLAH sebagai kawan? Mereka itu bukan dari golongan kamu, dan kamu pula bukan dari golongan mereka. Dan mereka bersumpah (berpakat) untuk memperkuatkan pembohongan mereka, sedang mereka mengetahui!".

Dan Nabi saw mengingati kepada amaran ALLAH, "Syaitan telah meguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati ALLAH (termasuk lupa kepada perjuangan Islam), mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi!". Dan tegas ALLAH bahawa "ALLAH telah menetapkan: Aku dan rasul-rasul Ku pasti menang". "Sesungguhnya orang-orang yang menentang ALLAH dan RasulNya termasuk orang-orang yang sangat hina!" (Rujuk surah Al Mujaadilah 14-22).

Dan Rasulullah tidak menerima "Pakatan Syaitan" itu. Walaupun "Pakatan Syaitan" itu akan memberikan Rasulullah kedudukan, kekuasaan dan kekayaan. Rasulullah tidak menopengkan perjuangan Baginda disebalik gendang "siasah syara'iyyah". Rasulullah memilih untuk berhijrah. Berhijrah daripada kejahilan, kebatilan, ketaksuban dan kesyirikan kepada kebenaran, keilmuan, dan perhambaan hakiki hanya kepada ALLAH swt.

Yang baik dan hak itu datangnya dari ALLAH, yang tidak itu datangnya dari kelemahan teman sendiri. Moga ALLAH memberikan petunjuk, hidayah, istiqomah dan keampunan. Ameen ya robbal 'alameen.

Salam hijrah. Afsyussalaam..sebarkanlah salaam. Perkukuhkanlah persaudaraan dan ukhwah. Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat..jadilah Satu Ummat dibawah naungan fiizilalil Quran.

Wassalalmmu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
01 Muharram 1432
07 Disember 2010