Showing posts with label PRK Kajang. Show all posts
Showing posts with label PRK Kajang. Show all posts

28 March 2014

KAJANG SATU MUHASSABAH




Politik 3A-Anwar, Azizah & Azmin kembali menghantui PKR dan Kerajaan Selangor. Adakah masa depan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB kini bagai telur dihujung tanduk? Adakah Selangor bakal bakal mencatat sejarah mendapat MB wanita bukan anak negeri yang pertama?

Salam 2 all.

PRK DUN N.25 Kajang telah berakhir dengan kemenangan calon PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 5,379, mengalahkan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA.

Berikut adalah carta keputusan PRK Kajang pada 23.03.2014 dan statistik terdahulu sebagai perbandingan.

DUN N.25 – KAJANG
JUMLAH PENGUNDI – 38,965
Melayu : 48.48%;  Cina : 40.46%;  India : 10.15%;  Lain-lain : 0.91%

PARTI/ STATUS
Undi PRK
Undi PRU-13
PERBEZAAN
PKR
16,741
19,571
- 2,830
BN
11,362
12,747
- 1,385
Undi Rosak
176
681
- 605
Jumlah Turun Undi
28,279
34,430
- 6,151
Majoriti
5,379
6,824
- 1,445
Undi Bebas
-tiada-
1,431
-tiada-
  • Jumlah tidak turun mengundi dalam PRK ialah 10,686 atau 27% daripada jumlah pengundi;
  • Dalam PRU-12 tahun 2008, calon PKR Lee Kim Sin menang majoriti 3,268;
  • Dalam PRU-13, tiga calon bebas Melayu memperolehi 1,346 undi;
  • Manakala calon bebas bukan Melayu (Ong Yan Foo) mendapat 85; 
Saya melihat kebanyakan penganalisa pro-kerajaan termasuk media memainkan isu konon PKR tidak mendapat sokongan berdasarkan majoriti yang diperolehi oleh Wan Azizah berkurangan sebanyak 2,830 (atau 15%) berbanding yang diperolehi oleh Lee Chin Cheh pada PRU-13. Wan Azizah mendapat 16,741 berbanding Lee Chin Cheh mendapat 19,571.

MCA pula dalam kenyataan segera sebaik sahaja kemenangan Wan Azizah diumumkan memberi gambaran seolah-olah mereka ‘menang dalam kalah’; kononnya mereka berjaya menurunkan undi majoriti PKR, dan sokongan kaum Cina sudah kembali kepada MCA. Malah ada yang membuat kenyataan bahawa sokongan orang Melayu berkurangan dan mnunjuk jari kepada UMNO ‘untuk menyelesaikannya’.

Pada saya ini satu analisa yang menipu diri sendiri. Satu rumusan untuk menyedapkan hati sendiri, satu ulasan yang menafikan realiti sebenar!

Hakikatnya MCA kalah dalam PRK Kajang! Faktanya MCA gagal mendapat sokongan pengundi Cina! Realitinya MCA gagal berfungsi sebagai parti komponen yang boleh membantu UMNO dalam menghadapi senario politik yang makin mencabar!

Jangan lupa calon BN Chew Mei Fun, yang juga Naib Presiden MCA hanya mendapat 11,362 undi, berbanding Lee Ban Seng, calon BN-MCA dalam PRU-13 yang mendapat 12,747 undi. Ini adalah kekurangan undi sebanyak 1,385 atau 10%.

Beberapa faktor perlu diambil kira didalam membuat analisa PRK Kajang ini. Yang paling ketara ialah jumlah pengundi yang turun dalam PRK ini sangat berkurangan berbanding dengan PRU-13. Menurut SPR, jumlah peratus turun mengundi bagi PRU-13 ialah 88.4%, manakala bagi PRK Kajang jumlah turun mengundi hanya 72%; iaitu kekurangan lebih kurang 6,151 undi atau 16%, satu jumlah yang agak besar.

Manakala jumlah yang tidak turun mengundi berbanding dengan jumlah daftar pengundi ialah 10,686 atau 27%. Ini satu jumlah yang sangat besar dan perlu diambil kira dalam menganalisa PRK Kajang.

Pada saya, penurunan jumlah turun mengundi adalah kerana pelbagai faktor. Antaranya kerana mereka sudah yakin PKR akan menang, kedua kerana faktor merasakan PRK Kajang tidak perlu, ketiga kerana faktor pengundi luar tidak balik mengundi, keempat kerana isu MH370 yang masih menyelubungi negara mempengaruhi mood tidak mahu mengundi, kelima kerana silent-protest.

Begitu juga kemungkinan besar pengundi Melayu terutamanya dikalangan ahli dan penyokong PAS kurang turun mengundi mungkin kerana faktor menolak politiking melampau PKR.

Apapun yang jelas, sebenarnya dan pada hakikatnya PRK Kajang membuktikan tiada sebarang perubahan dari segi trend mengundi samada kepada pembangkang mahupun kepada BN sejak daripada PRU-13 yang dilabel sebagai tsunami Cina.

Setelah 10 bulan PRU-13 berlalu dimana BN berhadapan dengan senario tsunami politik Cina yang menolak BN, saya melihat PRK Kajang memberi gambaran sebenarnya tiada sebarang perubahan trend pengundian dikalangan pengundi.

Kita perlu ingat dalam PRK ini ada beberapa faktor yang memihak kepada MCA dan BN iaitu:

1. sabitan kesalahan jenayah liwat tehadap Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Rayuan pada 07.03.2014 yang menghukum Anwar dengan 5 tahun penjara;

2. politik kronisma yang jelas diamalkan PKR bilamana Wan Azizah, isteri Anwar yang juga Presiden PKR dipilih sebagai calon menggantikan Anwar;

3. isu kehilangan MH370 yang sepatutnya melahirkan rasa simpati rakyat dan sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN sebagai sokongan moral kepada Kerajaan;

4. tiadanya bantuan aktif daripada jentera PAS kawasan mahupun pusat dalam kempen, malahan Datuk Seri Hadi Awang hanya turun sekali sahaja;

5. persepsi bahawa Anwar mengkhianati Tan Sri Khalid Ibrahim dengan perancangan untuk menggulingkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang menjadi darling MB kepada masyarakat korporat dan peniaga Cina.

Diwaktu yang sama, calon BN bukan calang orang. Chew Mei Fun adalah Naib Presiden MCA, dan dilihat sebagai seorang yang berprinsip apabila meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri dan semua jawatan dalam MCA kerana tidak bersedia bersekongkol dengan bekas Presiden Datuk Seri Chua Soi Lek yang diselubungi dengan masalah moral yang serius.

Sebagai perbandingan, Wan Azizah pula dilihat sebagai calon yang tidak berprinsip, contohnya kegagalan Wan Azizah menunjukkan jam Omega yang dikaitkan dengan skandal Anwar-ChinaDoll. Kenyataan Wan Azizah bahawa jam itu ada dalam simpanannya bercanggah dengan bukti yang dikemukakan oleh Datuk Eskay yang telah menyerahkan jam tersebut kepada pihak Polis.

Isu ini menumbulkan persoalan kewibawaan dan integriti yang serius terhadap Wan Azizah; siapa yang berbohong, Wan Azizah atau Eskay?

Malah tag-line kempen BN dalam PRK Kajang ini ialah antara Chew Mei Fun sebagai calon berprinsip dengan Wan Azizah yang Ketua Pemuda UMNO labelkan sebagai calon puppet.

Jentera BN diturunkan sepenuhnya diketuai oleh Tmbalan Presiden UMNO sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan Pengarah Jentera Pilihanraya diamanahkan kepada Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

Tidak seperti jentera PKR dan pembangkang yang hanya berbekalkan air-liur politik sahaja dan modal ceramah, jentera BN turun dengan segala bentuk persiapan dan bekalan; selain ceramah.

Saya memang dari awal tidak menjangkakan BN boleh memenangi kerusi Kajang ini. Namun saya berpandangan jika kena strategi dan perancangan, BN mampu mengurangkan dengan serius majoriti PKR terutama dikalangan pengundi Melayu.

Ternyata pada hakikaktnya tiada sebarang perubahan dalam trend mengundi didalam PRK Kajang ini. Malahan trend tsunami politik Cina masih berterusan.

Pada saya, MCA masih gagal untuk menjadi relevan dan diterima oleh masyarakat Cina. Walaupun sudah berubah kepimpinan, namun ia tidak berjaya memberi keyakinan kepada pengundi Cina untuk mengubah trend politik mereka.

Dan saya percaya sampai bila pun MCA (dan Gerakan) akan gagal; kerana apa yang dimahukan oleh pengundi Cina terutama dikalangan cauvinis ialah kekuasaan pemerintahan Kerajaan Pusat dibawah cengakaman cauvinis Cina, sesuatu yang hampir mustahil untuk MCA dan Gerakan tawarkan kecuali mereka bergabung wadah dengan DAP menentang UMNO!

Jika PRK Kajang boleh dijadikan cermin untuk PRU-14, dan sewajarnya ia diambil sedemikian, saya melihat bahawa BN, terutamanya UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan politik mereka dalam menghadapi PRU-14 nanti.

Mengakui dan menyedari bahawa trend tsunami politik Cina bukan sahaja tidak akan berubah, malah akan bertambah parah dalam PRU-14, saya sarankan kepada UMNO supaya kembali kepada undi-asas atau vote-base mereka, iaitu pengundi Melayu.

Saya berpegang kepada pendapat bahawa kuasa politik Malaysia masih lagi berpaksi kepada bangsa Melayu sebagai tulang belakang pemerintahan. Mana-mana juga parti yang dilihat mendapat sokongan jitu bangsa Melayu akan muncul sebagai tunggak mana-mana Kerajaan yang dipilih.

Inilah rahsia kepada survival politik UMNO dan BN selama ini, termasuk dalam menghadapi PRU-14. Sokongan dan undi Melayu menjadi paksi kepada kesinambungan politik UMNO.

Bagaimanapun, UMNO perlu menyedari bahawa politik bangsa Melayu tidak seperti dahulu.

Dan inilah yang sudah Presiden UMNO Dato' Sri Najib Tun Razak seringkali sebut dan peringatkan kepada ahli dan kepimpinan UMNO sejak tsunami 2008 - UMNO mesti dan wajib berubah!

Ini adalah kerana hakikatnya bangsa Melayu kini sudah berubah.

Retorik politik bahawa Melayu perlukan UMNO sudah tidak relevan. Hakikatnya sekarang ialah UMNO perlukan Melayu.

Dan itulah pendekatan dan strategi yang perlu dirangka semula oleh kepimpinan UMNO.

Selagi UMNO merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi itulah kepimpinan dan ahli UMNO akan berada di zon-selesa dan mengambil mudah kepentingan dan perjuangan bangsa Melayu.

Tetapi jika mereka merasakan bahawa UMNO memerlukan bangsa Melayu, saya yakin seluruh kepimpinan dan ahli UMNO akan mengubah pendekatan dengan memberi keutamaan kepada perjuangan dan kepentingan bangsa Melayu.

Memang kita tidak nafikan jasa, perjuangan dan pengorbanan UMNO sejak sebelum merdeka dalam mengangkat martabat dan memperkasa bangsa Melayu dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain sangat besar. Tetapi orang Melayu yang lahir daripada pengorbanan dan jasa UMNO ini kini sudah berubah.

Bangsa Melayu baru, terutama Gen-Y bukan sahaja pandai makan nasi lauk asam pedas dengan sambal belacan campur ikan masin; mereka juga sekarang sudah pandai lunch di Starbuck dan dinner di Victoria Station; mereka bukan sahaja pandai berpantun bersajak, mereka juga dah pandai berwhatsapp, berinstigram, berfacebook, bertwitter dan macam-macam lagi.

Mereka sudah muncul menjadi golongan kelas pertengahan yang kritikal dan tidak mudah disogok dengan retorik dan slogan. Mereka mahu perubahan yang serius, mereka mahukan kualiti dan nilai kehidupan yang lebih baik dan sempurna, tidak hanya bertumpu kepada sogokan wang dan material.

Salah satu pendekatan yang serius yang perlu dilakukan oleh UMNO ialah soal pertanggungjawaban pemerintahan - dalam konteks transparen, akauntabiliti dan amanah; dan tegas memerangi unsur-unsur salahguna kuasa dan korupsi.

Soal kenaikan harga, soal pengenaan cukai baru GST dan lain-lain bukan isu besar bagi golongan Melayu kelas pertengahan ini. Persoalannya ialah ketirisan, pembaziran dan salahguna perbelanjaan Kerajaan.

Soal adanya perlantikan individu-individu politik ke jawatan-jawatan amanah yang langsung tidak wajar; dilihat lebih sebagai perlantikan habuan bukannya perlantikan strategik untuk memartabat dan memperkasa bangsa Melayu. Malah timbul persepsi mereka yang tidak berkelayakan dilantik ke jawatan yang memerlukan integriti, kewibawaan dan amanah.

Bak kata pepatah Melayu, seperti menyuruh kucing menjaga lauk ikan!

Ini adalah antara faktor yang membuatkan orang Melayu, khususnya kelas pertengahan meluat dengan pemerintahan UMNO.

Bukan kerana mereka suka dan menyokong pembangkang. Sebaliknya mereka berterusan mengundi UMNO kerana ujudnya fear-factor dikalangan orang Melayu jika pembangkang DAP-PKR-PAS diberikan mandat pemerintahan negara.

Mereka pun tahu penyakit pembangkang; dengan ujudnya segelintir kepimpinan yang langsung tidak bermoral dan berakhlak rendah, ditambah dengan kesediaan menggadai agama dan bangsa demi memuaskan nafsu politik mereka menyebabkan orang Melayu menolak mereka; ini dicampur dengan kesediaan kepimpinan Melayu pembangkang mengangkat cauvinis Cina sebagai pemimpin tertinggi negara menimbulkan fear-factor kepada bangsa Melayu.

Ini semua faktor yang menyebabkan orang Melayu, terutama diluar bandar memberi sokongan kepada BN dalam PRU-13. Faktor utamanya pada pandangan saya ialah kerana ujudnya kekhuatiran dikalangan pengundi Melayu yang tidak mahu pemimpin bermasalah moral dan akhlak rendah, dan cauvinis Cina menjadi pemimpin negara. Itu sahaja.

Dalam konteks itulah saya lihat salah satu pendekatan yang paling berkesan bagi UMNO dalam menghadapi PRU-14 ini ialah dengan melipatgandakan usaha untuk menyatukan umat Melayu-Islam terutama dari segi politik.

Pemimpin UMNO serta jenteranya harus berusaha keras untuk merapatkan perbezaan dengan PAS. Suka tak suka, PAS adalah parti alternatif bagi orang Melayu.

Cuma kerana kepimpinan mereka yang lemah, terlalu taksub dengan Anwar dan kesediaan berkompromi melampau dengan cauvinis DAP sehingga sanggup menggadai agama dan perjuangan menjadi penghalang untuk orang Melayu memberi sokongan penuh kepada PAS.

UMNO masih bernasib baik kerana kepimpinan PAS masih ditahap kurang cerdik politik; dan terlalu taksub mahukan kekuasaan sehingga mereka menjadi pekak, bisu dan buta terhadap realiti keperluan dan survival politik umat Melayu-Islam.

Jika kelak satu hari mereka tersedar, dan membuang Anwar dan membatalkan kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya menghadapi PRU-14 bersendirian dengan perjuangan asal mereka untuk sebuah Negara Islam dan pemerintahan yang tawadhuk, dan taqwa kepada Allah; saya kira waktu itu UMNO hanya tinggal membilang hari sahaja.

Tetapi masih belum terlambat. UMNO perlu segera sedar daripada zon-selesa mereka dan bangkit kembali ke perjuangan mengangkat martabat dan memperkasa umat Melayu-Islam dalam semua aspek termasuk agama, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.

UMNO juga perlu menjadi parti yang inklusif. Ini termasuk mendekati NGO-NGO dan pertubuhan-pertubuhan Melayu-Islam. UMNO tidak wajar merasakan ia boleh hidup sendiri dibawah tempurung kekuasaan yang ada dengan mengenepikan peranan NGO-NGO dan pertubuhan Melayu-Islam.

Malah tidak sepatutnya UMNO menjadikan NGO-NGO dan pertubuhan Melayu-Islam sebagai saingan, apatah lagi musuh. UMNO sepatutnya bekerjasama seiring-sejalan dan komplimentari dengan pertubuhan Melayu-Islam.

Dan UMNO wajib membuka ruang dan peluang kepada pimpinan pelapis dikalangan generasi muda, terutama mereka yang professional dan berpendidikan tinggi. Saya melihat trend ekslusiviti dan elitis masih ujud didalam UMNO, sehingga tidak dapat menerima penyertaan generasi muda Melayu ke dalam struktur kepimpinan UMNO semua peringkat.

Keberanian Presiden UMNO mengambil tindakan diluar kotak, dengan mengambil pimpinan pelapis dikalangan generasi muda dan professional, termasuk daripada luar UMNO, dengan memberi ruang dan peluang kepada mereka samada didalam saf pimpinan atau sebagai barisan depan (frontliner) UMNO seharusnya dipuji dan diberikan sokongan sepenuhnya.

Begitu juga keberanian Dato’ Sri Najib menawarkan ruang dan peluang kepada pimpinan PAS dan lain-lain kepimpinan bukan-UMNO untuk duduk didalam saf kepimpinan UMNO mahupun Kerajaan bukti bahawa satu transformasi politik yang serius sedang diusahakan beliau. Ini wajar diberi sokongan sepenuhnya oleh ahli dan kepimpinan UMNO yang lain.

Perlantikan pendakwah terkenal yang juga ahli PAS Ustaz Mohd. Kazim Elias ke MT UMNO, Datuk Seri Zahrain M. Hashim sebagai Duta Besar ke Indonesia, Dr. Mohd. Asyraf Wajdi Dasuki dan Dr. Mohd. Yusri Mohamad (bekas Presiden ABIM) sebagai YDP dan Timbalan YDP YADIM, Senator Mohd. Ezam Md. Nor sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan dan lain-lain adalah bukti bahawa Dato’ Sri Najib memang seorang pemimpin berfikiran diluar kotak dan serius dalam usaha transformasi politiknya.

Sebab itu saya berani mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri supaya segera menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Kabinet untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan sistem perundangan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir. Saya cukup yakin penubuhan jawatankuasa seumpama ini akan dialu-alukan oleh kepimpinan dan ahli PAS kerana Hudud adalah mantera harian PAS, survival politik PAS dalam penentangan terhadap UMNO adalah hudud!

Kita sedia maklum bahawa dibawah Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan tiada kuasa untuk melaksanakan perundangan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir kerana hal-ehwal Islam terletak dibawah bidangkuasa Kerajaan Negeri.

Tetapi tidak ada salahnya Kerajaan Pusat dibawah pimpinan UMNO memberikan kerjasama dan bantuan samada dari segi kepakaran, logistik dan teknikal untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan melaksanakannya.

Tetapi syarat besarnya ialah PAS mesti mendapat persetujuan dan sokongan golongan parasit didalam PAS sendiri dan rakan sekongkolannya terutama Mursyidul Am DAP Karpal Singh dan Ketum PKR Anwar Ibrahim! Kalau ahli dan rakan sekongkol sendiri pun tidak bersetuju, sudah tentu sukar bagi UMNO untuk membantu PAS melaksanakan perundangan hudud di Kelantan!

Saya cukup yakin jika pendekatan berhemah dan bertolak ansur dengan PAS ini diambil, lambat-laun kepimpinan dan ahli PAS akan lebih terbuka untuk menerima dan mengujudkan kerjasama politik dengan UMNO demi memartabatkan dan memperkasa perjuangan politik Melayu-Islam dalam negara ini.

Akhir kata, saya merumuskan bahawa PRK Kajang merupakan satu cermin istimewa untuk UMNO melihat ke hadapan. Tiada guna kita terus hidup membohongi diri sendiri daripada menerima hakikat bahawa survival kesinambunagn politik Melayu-Islam terletak ditangan pengundi Melayu, terutama didalam menghadapi PRU-14.

Selagi UMNO masih didalam sindrom penafian ini, selagi UMNO masih didalam zon selesa mereka merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi UMNO tidak berubah menjadi parti yang meletakkan kualiti dan nilai pemerintahan berteraskan amanah, transparen dan akauntabiliti dan tegas memerangi unsur rasuah atau salahguna kuasa, selagi UMNO tidak berusaha menjadi parti yang inklusif dan terbuka dalam melakukan transformasi politik yang serius; selagi itulah UMNO akan terus ketinggalan dalam arus politik perdana yang makin mencabar.

Malah jika UMNO tidak mahu berubah, dan tidak juga berubah, kemungkinan untuk UMNO dan BN menjadi pembangkang selepas PRU-14 adalah satu kebarangkalian yang harus diambil serius oleh kepimpinan dan ahli akar umbi UMNO!.

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
26 Jamadil Awal 1435
28 Mac 2014



20 March 2014

ANWAR MANGSA KEZALIMAN?

Sumpah Laknat Saiful Bukhori Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan

Pada hari ini, Khamis 13 Sya'ban 1429, bersamaan 14 Ogos 2008, saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan (Nombor Kad Pengenalan 850706-01-5687) dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut:


"A'uzubillahi minas syaitonirrajim. Bismillahirrahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.

Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah S.W.T dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah S.W.T sehingga ke kiamat.

Wallahualam.


Salam 2 all.

Saya melihat akhir-akhir ini gelagat pembangkang dalam kempen PRK Kajang lebih menumpu kepada persoalan kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan terutamanya isu hukuman penjara 5 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Anwar setelah disabitkan dengan kesalahan meliwat Saiful.
Pembangkang didalam ceramah-ceramah, poster, banner, dan bahan kempen membuat dakwaan kononnya BN menggunakan Mahkamah untuk menzalimi Anwar Ibrahim. Dengan sabitan kesalahan meliwat dan hukuman penjara 5 tahun, pencacai-pencacai pembangkang mendakwa ini sekaligus menamatkan agenda Anwar untuk menggulingkan Tan Sri Khalid Ibrahim dan menabalkan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Mereka menggunakan slogan 'Keadilan Untuk Anwar' sebagai retorik kempen PRK Kajang.
Apa kena mengena pengundi DUN Kajang dengan masalah liwat Anwar dengan Saiful saya pun tak tahu. Tapi nampak gaya kempen PRK DUN Kajang dah jadi kempen kes Anwar Ibrahim meliwat Saiful; langsung tidak ada kena mengena dengan kepentingan atau kebajikan rakyat Kajang!
Saya sebenarnya tidak berminat untuk membuat komen tentang penyakit sodomi Anwar ini. Pada saya ini masalah peribadi antara Anwar dan pembantu peribadinya Saiful, dan kita serahkan kepada Mahkamah untuk menentukannya.
Namun apabila melihat gelagat pembangkang, terutama dikalangan penceramah-penceramah mereka yang berubah menjadi anjing-anjing salakan mengutuk dan memfitnah Kerajaan BN termasuk YAB PM dan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan dengan kata-kata mencarut, caci nista dan maki-hamun yang diluar batas manusia bertamadun, saya berasa terpanggil untuk memberi ulasan dan menjawab tohmahan mereka.

Saya mahu menjawab mereka dengan mencabar anjing-anjing salakan pembangkang ini untuk menjawab siapa sebenarnya yang zalim melalui persoalan-persoalan berikut:

1. PEGUAM KARPAL SINGH - Anwar mempunyai hampir 10 peguam mewakili dan membela beliau dalam kes ini. Malah Anwar sendiri yang melantik peguam Karpal Singh bersama anak-anaknya untuk membela beliau dalam kes Saiful. Sedangkan Karpal telah pada 22 Okt 1997 menegaskan didalam Dewan Rakyat bahawa Anwar seorang peliwat dan beliau (Karpal) mendakwa mempunyai bukti kukuh. Dakwaan Karpal ini yang menyebabkan pihak polis menjalankan siasatan yang akhirnya membawa kepada pendakwaan Anwar. Malah dakwaan Karpal  inilah adalah antara punca membawa kepada terbongkarnya skandal homoseks dan seks songsang luar tabi'e Anwar yang menyebabkan Tun Mahathir memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 02 Sept 1998.

Jadi tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri bila melantik Karpal Singh, orang yang menuduhnya seorang peliwat sebagai peguam?
 

2. PEMBELAAN ALIBI - Anwar telah mengemukakan pembelaan alibi (mendakwa beliau tiada ditempat kejadian) dalam menghadapi kes meliwat Saiful. Beliau diberi peluang oleh Mahkamah untuk memberi keterangan untuk membuktikan dakwaan alibi tersebut. Sebaliknya Anwar memilih untuk tidak memberi keterangan lalu menolak peluang membela diri yang diberikan oleh Mahkamah. Tindakan ini juga menafikan hak Pendakwaraya untuk menyoal-balas beliau. Dengan keengganan memberi keterangan, Anwar telah menafikan dirinya sendiri peluang untuk membuktikan kebenaran. Adakah Karpal Singh yang menasihatkan Anwar supaya jangan memberi keterangan?

Jadi tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri apabila mengambil pendirian menolak peluang yang diberi Mahkamah dan enggan memberi keterangan untuk membela diri sendiri?

3. SAKSI ALIBI - Apabila mengemukakan pembelaan alibi, Anwar memberikan kepada Mahkamah antaranya 3 nama sebagai saksi untuk membuktikan beliau tidak berada ditempat kejadian. Saksi-saksi tersebut adalah isteri beliau sendiri yang juga calon PKR bagi DUN Kajang iaitu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, pengawal peribadi yang juga adik iparnya Mokhtar dan rakan karibnya (yang juga tuan punya unit kondominium tempat kejadian liwat berlaku) Tuan Haji Hasanudin. Bagaimanapun ketiga-tiga saksi ini langsung tidak datang Mahkamah memberi keterangan. Mereka ini semua rapat dengan Anwar. Mengapa mereka gagal hadir ke Mahkamah untuk memberi keterangan bagi membela Anwar Ibrahim? Adakah mereka tidak mempercayai Anwar?
Jadi tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri apabila gagal mengemukakan saksi-saksi alibi yang merupakan ahli keluarga dan rakan rapat beliau sendiri?


4. 60 PENANGGUHAN - Saiful membuat lapuran polis mengadu diliwat oleh majikannya Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008. Keputusan Mahkamah Tinggi dibuat pada 10 Jan 2012. Setelah rayuan dibuat oleh Pendakwaraya dan Mahkamah Rayuan telah mendengar hujah kesemua pihak iaitu Pendakwaraya (yang diwakili oleh Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah) dan Karpal Singh serta anak-anak (yang mewakili Anwar) dan telah membuat keputusan pada 7 Mac 2014. Maknanya kes ini mengambil masa hampir 6 tahun sejak aduan dibuat oleh Saiful kepada Polis pada 26.06.2008. Bukankah ini bukti jelas Anwar telah diberi peluang dan masa lebih daripada mencukupi oleh Mahkamah. Sebaliknya kes ini mencatat rekod penangguhan paling banyak dalam satu-satu perbicaraan, iaitu melebihi 60 kali, dan kebanyakannya atas permintaan Anwar.
Jadi tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri apabila asyik memohon penangguhan yang akhirnya melengahkan perbicaraan kes sehingga berlarutan hampir 6 tahun?


5. LARI KE TURKI - Sebaik sahaja maklumat diterima pada 28.06.2008 bahawa Saiful telah membuat lapuran polis mendakwa diliwat oleh Anwar, keadaan menjadi kecoh di Quality Hotel Shah Alam dimana berlangsung Seminar Kepimpinan Wakil Rakyat PKR dimana Anwar dijadualkan memberikan ucapan malam itu. Semua program seminar dibatalkan, sebaliknya perancangan dibuat untuk Anwar melarikan diri ke Turki, yang kemudiannya di ubah untuk mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur atas alasan konon ada cubaan mahu menembak mati Anwar. Dan Anwar pada malam itu dibawa keluar secara rahsia ke Kedutaan Turki. Ini menimbulkan persepsi dikalangan rakyat bahawa Anwar takut dengan lapuran Saiful itu; bak kata pepatah Melayu, 'kalau tidak ada angin, takkan pohon bergoyang'.

Jadi tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri dengan menimbulkan persepsi dia bersalah apabila pembangkang membuat dakwaan konon ada cubaan nak menembak mati Anwar menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri untuk mendapat perlindungan di Kedutaan Turki sebaik sebaik sahaja Saiful membuat lapuran polis?


6. DNA - Kemudiannya timbul persoalan bahawa terdapat DNA bersumberkan daripada sperma Anwar didalam anus Saiful sebagai bukti berlakunya perbuatan liwat. Lalu Anwar dinasihatkan memberikan sampel darah untuk ujian DNA, yang jika terbukti DNA darah beliau tidak sama dengan DNA yang ditemui dalam anus Saiful bukan sahaja akan menafikan dakwaan Saiful, malah mungkin boleh menyebabkan krisis keyakinan terhadap Kerajaan dan Polis yang boleh menggugat, malah mungkin boleh menumbangkan Kerajaan. Sebaliknya Anwar memilih untuk enggan bekerjasama memberikan sampel darah beliau untuk ujian DNA. Ini menimbulkan persepsi ada sesuatu yang hendak disembunyikan!

Jadi tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri dengan menimbulkan persepsi cuba menyembunyikan kebenaran apabila enggan memberikan sampel darahnya untuk ujian DNA yang boleh menafikan dakwaan Saiful?
7. SUKA SAMA SUKA - Christopher Leong, Presiden Majlis Peguam yang merupakan sekutu kuat pembangkang ketika mengulas keputusan Mahkamah Rayuan itu menyatakan berdasarkan bukti dan keterangan yang dikemukakan dalam Mahkamah, jelas bahawa kes liwat Anwar terhadap pembantunya Saiful Bukhari dilakukan 'atas dasar suka sama suka'. Majlis Peguam tidak mempertikaikan kejadian Anwar meliwat Saiful itu berlaku, cuma mereka mempertikaikan kenapa Saiful tidak dituduh bersama Anwar kerana melakukan liwat suka sama suka*. Persoalannya ialah mengapa Anwar tidak menyaman Presiden Bar Council atas kenyataan tersebut? Bukankah Anwar menzalimi diri sendiri apabila melakukan liwat suka sama suka terhadap pembantunya Saiful?
Jadi tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri apabila gagal menyaman Presiden Majlis Peguam yang mendakwa perlakuan liwat dia dengan Saiful adalah perbuatan suka sama suka?
 

8. BEBAS DENGAN JAMINAN - Selama perbicaraan berlangsung sejak 2008, Anwar bebas atas jaminan. Malahan setelah dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014, Mahkamah memberikan Anwar penangguhan perlaksanaan hukuman penjara tersebut, dan beliau dilepaskan dengan jaminan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai kelak. Diwaktu yang sama, Anwar bebas berjalan kesana kemari, malah boleh pergi keluar negara tanpa sekatan oleh Kerajaan Malaysia. Bandingkan ini dengan apa yang dihadapi oleh saudara Azizul dan isteri yang ditahan dipenjara Sweden tanpa jaminan sehingga hari ini sementara menanti selesai perbicaraan kes mereka di Mahkamah Sweden.

Jadi tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri kerana memberi persepsi kepada rakyat yang dia mendapat layanan istimewa kerana masih bebas duduk diluar walaupun telah dihukum dengan hukuman 5 tahun penjara sedangkan rakyat Malaysia di Sweden masih merengkok dalam tahanan walaupun belum dihukum lagi?
 
 
9. SUMPAH LAKNAT - Diwaktu yang sama, Anwar diberi peluang untuk membersihkan namanya melalui sumpah. Saiful Bukhari, atas nasihat mantan Mufti Perlis Dr. Asri Zainal Abidin telah melaksanakan sumpah laknat pada 14 Ogos 2008 dengan menegaskan beliau diliwat oleh Bos sendiri iaitu Anwar Ibrahim. Saiful mengulangi sumpah tersebut pada 09 April 2012 dihadapan Ka'bah di Masjidil Haram, Mekah. Namun sehingga hari ini Anwar gagal, dan enggan mengangkat sumpah menafikan sumpah Saiful. Bukankah ini peluang terbaik Anwar untuk menyerahkan sepenuhnya kepada Allah untuk memberikan petunjuk kebenaran dakwaan Saiful atau dakwaan Anwar dia kononnya mangsa konspirasi Kerajaan.
Jadi tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri kerana enggan dan ingkar membersihkan namany dengan mengangkat sumpah laknat sebagaimana yang telah dua kali dilakukan oleh Saiful?


RUMUSAN

Adalah jelas daripada sembilan (9) fakta diatas bahawa sebenarnya Anwar Ibrahim yang telah menzalimi dirinya sendiri.

Adakah adil bagi rakyat diheret ke kancah masalah peribadi diantara Anwar dengan pembantu peribadinya Saiful Bukhari?

Oleh itu saya mencabar Anwar dan pembangkang untuk menjawab fakta-fakta diatas sebagai menafikan sebenarnya Anwar Ibrahim lah yang telah menzalimi diri dia sendiri. Malah Anwar bukan sahaja menzalimi dirinya, dia juga menzalimi umat Islam dan rakyat negara ini dengan mengheret rakyat untuk menyelesaikan masalah peribadi beliau dengan pembantunya sendiri!
Dan saya menyeru rakyat di Kajang khususnya para pengundi DUN N.25 supaya menghantar mesej jelas kepada Anwar Ibrahim dan gerombolan pembangkang bahawa rakyat menolak politik jijik dan kotor ini dengan menolak Wan Azizah, calon mereka yang juga bini Anwar Ibrahim sendiri!
SAY-NO-2-ANWAR!
SAY-NO-2-AZIZAH!
SAY NO-2-ANWARIZAH!

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias.


Zulkifli Noordin
Khamis
18 Jamadil Awal 1435
20 Mac 2014

* (Nota: pendirian Majlis Peguam bahawa ini kes liwat suka sama suka adalah jelas salah dan bercanggah dengan undang-undang kerana pertuduhan dibawah Seksyen 377B (yang mesti dibaca dengan Seksyen 377A) Kanun Kesiksaan tidak memerlukan pembuktian samada ianya dilakukan suka sama suka atau secara paksa. Itu adalah peruntukkan Seksyen 377D. Bagi pertuduhan dibawah Seksyen 377B, cukup sekadar Pendakwaraya membuktikan berlakunya unsur liwat. Dan pembuktian bahawa terdapat DNA bersumberkan daripada sperma Anwar didalam anus Saiful sudah cukup untuk memenuhi peruntukkan Seksyen 377B yang dibaca dengan Seksyen 377A. Oleh itu soal perlakuan liwat itu suka sama suka atau paksaan atau Pendakwaraya patut menuduh Saiful juga tidak timbul dan bukan isu kes).

15 March 2014

POLITIK KITAR-SEMULA: SAY NO-2-ANWARIZAH

SAY NO2ANWARIZAH

Tanya sama Zizah

apa pasal Kajang

nanti jawab Zizah

Bang Non dah goyang



Tanya sama Zizah

apa sebab goyang

nanti jawab Zizah

Penjara nak datang

Salam 2 all.

Tindakan Anwar Ibrahim dan PKR meletakkan Wan Azizah sebagai calon untuk PRK DUN N.25 menggantikan suaminya Anwar mengitar semula kisah politik 1999 dan 2008. Pada saya Wan Azizah kekal menjadi politikus kitar-semula yang cuba menghidupkan dan menyambung talian-hayat politik Anwar.


Setelah pemecatan Anwar oleh mantan Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed (sekarang Tun Mahathir) dan UMNO pada 02.09.1998 atas dakwaan amalan seks songsang dan luar tabi'e, Wan Azizah menjadi penyambung talian-hayat politik Anwar apabila ditabal sebagai Presiden PKN-Parti Keadilan Nasional (nama lama PKR) bagi pihak suaminya yang menghadapi pertuduhan meliwat pemandunya Azizan Abu Bakar.

Tahun 1999 juga menyaksikan Azizah diangkat menjadi calon kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam PRU-11 menggantikan tempat suaminya Anwar yang pada waktu itu sudah dijatuhkan hukuman 6 tahun penjara kerana menyalahgunakan kuasa sebagai TPM mengarahkan Cawangan Khas PDRM untuk memaksa Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar membuat Akuan Sumpah palsu untuk melepaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Azizan dan amalan seks songsang dengan isteri orang.

Berbekalkan paluan gendang simpati dan airmata, Wan Azizah menang selesa dalam PRU-11 di Parlimen Permatang Pauh dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang. Wan Azizah mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam PRU-12 tahun 2004 juga atas paluan simpati dan airmata, walaupun PKR kehilangan semua kerusi lain yang dimenangi dalam PRU-11.

Pada tahun 2008, setelah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam PRU-12 pada 08.03.2008, Wan Azizah sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai isteri setia telah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 31.07.2008 setelah Anwar menghadapi siasatan meliwat pembantunya Saiful Bukhori Azlan yang mengadu diliwat pada 26.06.2008.

Anwar yang telah dilepaskan daripada menjalani hukuman penjara pada 02..09.2004 telah layak untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen pada 14.04.2008 setelah tempoh moritorium kelayakan bertanding sebagai bekas banduan tamat.

Dalam menghadapi pertuduhan meliwat pembantunya Saiful Azlan, kedudukan sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang sangat membantu Anwar untuk mempolitikkan kes perbicaraan tersebut.

Sekali lagi isteri tercinta Wan Azizah memainkan peranan untuk menyelamatkan suami tercinta dengan mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh. Dan Anwar memenangi kerusi tersebut dalam PRK P.044 pada 26.08.2008. Maka bergayalah Anwar menghadapi perbicaraan meliwat Saiful sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Anwar dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan meliwat Saiful atas sebab teknikaliti  pada 10.01.2012, setelah melalui proses perbicaraan yang menyaksikan rekod penangguhan lebih daripada 60 kali.

Anwar kemudiannya menghadapi proses rayuan kes meliwat Saiful. Mahkamah Rayuan telah menetapkan perbicaraan rayuan pada 05-07 Mac 2014. Dan kali ini wakil Pendakwaraya adalah peguam senior dan terkemuka Tan Sri Mohd Shafee Abdullah, yang telah diberikan fiat untuk mewakili Peguam Negara.

Team guaman Anwar tahu peguam veteran Tan Sri Shafee adalah peguam no-nonsense yang begitu fokus dan komited terhadap kes dibawah kendaliannya.

Maka Anwar memasang strategi politik. Tiba-tiba, tanpa angin tanpa pohon bergoyang, berlaku PRK DUN N.25 Kajang; kerusi yang secara tiba-tiba dikosongkan oleh Lee Chin Cheh, ADUN PKR tanpa sebarang sebab menasabah.

Bukan sahaja Anwar mencanangkan beliau yang akan bertanding dalam PRK Kajang tersebut, malahan Anwar mengompangkan kemungkinan beliau akan menggantikan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Pengumuman mengejut Anwar itu menghadapi rintangan sejak daripada awal lagi.

Perancangan Anwar itu disambut hambar oleh Tan Sri Khalid yang mengumumkan dengan jelas bahawa walaupun beliau akan membantu Anwar dalam PRK DUN Kajang, namun beliau tidak akan melepaskan jawatan MB Selangor.

Ini diikuti dengan kenyataan tegas beberapa kerat pimpinan PAS terutama peringkat negeri Selangor bahawa mereka membantah cadangan Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Dan perancangan Anwar terbantut terus apabila Mahkamah Rayuan, setelah mendengar hujah Tan Sri Shafee Abdullah dan Karpal Singh yang mewakili Anwar selama tiga hari berturut-turut telah pada hari Jumaat 07.03.2014 membenarkan rayuan Pendakwaraya dan mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhori.

Mahkamah Rayuan secara sebulat suara menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara keatas Anwar!

Memandangkan undang-undang pilihanraya Malaysia melarang mana-mana orang yang pernah disabitkan apa-apa kesalahan jenayah daripada menjadi calon dalam mana-mana pilihanraya, maka perancangan Anwar untuk bertanding dalam PRK DUN Kajang dan menjadi Menteri Besar ternyata gagal.

Dan kerusi DUN N.25 kekal kosong!

Dalam satu political-strike yang sepantas kilat menyambar, Anwar mengumumkan bahawa isteri tercinta Wan Azizah dipilih menjadi calon PKR untuk menentang calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun pada pengundian yang dijadualkan pada 23.03.2014.

Dan setelah selesai proses penamaan calon pada 11.03.2014, kini sah PRK DUN N.25 Kajang pada 23.03.2014 akan menyaksikan pertandingan satu-lawan-satu antara Wan Azizah dan calon Barisan Nasional Chew Mei Fun.

Dan saya yakin Wan Azizah dan PKR akan mengitar semula kempen politik simpati dan airmata, strategi yang cukup menjadi dan berkesan dalam PRU11, PRU-12, dan PRU 13.

Sekali lagi Wan Azizah terpilih memainkan peranan memberi dan menyambung talian-hayat politik, political life-line kepada Anwar Ibrahim.

Saya cukup yakin selepas ini ada keberangkalian besar akan ada political move untuk mencadangkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Malah saya tidak terkejut jika PKR memalu kompang bahawa Wan Azizah akan menjadi wanita pertama yang akan menjadi MB dalam sejarah politik Malaysia.

Maka akan diseru seluruh wanita di Malaysia bangkit menyokong cadangan itu.

Tan Sri Khalid Ibrahim pasti akan berada dalam keadaan tertekan dan political dilemma yang kronik dengan political move terbaru ini jika ianya terjadi.

Bagi Khalid, menghadapi Wan Azizah tidak sama dengan menghadapi gandingan Anwar-Azmin. Wan Azizah kurang moral & political baggage. Lagipun Wan Azizah adalah Presiden PKR, dan dikenali sebagai sekutu rapat Khalid Ibrahim! Mana mungkin Khalid membantah atau menyanggah cadangan untuk Wan Azizah menjadi MB Selangor!

Namun, Tan Sri Khalid bukan seorang yang bodoh. Dia tahu Wan Azizah bersedia berkorban apa sahaja demi menyelamatkan lakinya.

Khalid melihat sendiri bagaimana Wan Azizah sanggup mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk Anwar. Khalid melihat bagaimana Wan Azizah sanggup mengaku kepada dunia yang beliau ada menyimpan jam Omega-Eskay yang dikaitkan dengan skandal videoklip Anwar-ChinaDoll.

Pendek-kata, Khalid tahu Azizah sanggup buat apa sahaja untuk lakinya.

Khalid tahu tidak ada apa-apa yang boleh menghalang Wan Azizah mengosongkan semula kerusi DUN Kajang dan meletakkan jawatan sebagai MB Selangor sekiranya diperlukan oleh Anwar diwaktu yang bersesuaian nanti!

Kalau itu berlaku, Tan Sri Khalid akan tinggal terkonteng-konteng. Wan Azizah letak jawatan, Anwar bertanding dan menjadi MB! Dan Khalid tahu pada waktu itu, tidak ada sesiapa boleh menghalang Anwar untuk kemudiannya memberi laluan kepada Azmin Ali, blue-eyed boy Anwar untuk menduduki kerusi MB Selangor!

Itu akan menjadi mimpi ngeri dan igauan hitam bagi Tan Sri Khalid!

Sebab itu nasihat saya kepada Tan Sri Khalid, bukalah hati dan jiwa. Lihatlah kepada mainan politik yang cukup manipulatif ini.

Satu sahaja jalan bermaruah dan demokratik yang boleh diambil oleh Tan Sri Khalid, kembalikan mandat kepada rakyat.

Pohonlah perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk membubarkan DUN Selangor diwaktu Tan Sri masih lagi mempunyai kuasa dan kedudukan! Jangan tunggu sampai nasi menjadi bubur!

Diwaktu yang sama, saya cukup kagum dengan kesetiaan dan pengorbanan Wan Azizah dalam mempertahankan dan memberi dan menyambung talian-hayat politik kepada suaminya Anwar.

Kalau bukan kerana pengorbanan dan politik airmata Wan Azizah, saya cukup yakin hayat Anwar sudah lama ditalkinkan dan berkubur!

Anwar sangat beruntung kerana mempunyai isteri seperti Wan Azizah.

Mana nak cari isteri yang masih sanggup mempertahankan suami walaupun berdepan dengan videoklip ChinaDoll yang jelas terpampang dan diperakui 99% tulin dan sahih!

Mana nak cari isteri seperti Wan Azizah yang sanggup mengaku menyimpan jam Omega-Eskay sedangkan Datuk Eskay membuktikan bahawa jam Omega itu ada dalam simpanannya dan telah diserahkan kepada pihak Polis!

Mana nak cari isteri yang sanggup mengosongkan kerusi Parlimen, meninggalkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang wanita pertama di Malaysia hanya untuk menyelamatkan dan menyambung talian-hayat politik suaminya Anwar!

Mungkin Wan Azizah akan tertanya-tanya, kalau dia yang duduk terjebak dalam keadaan seperti Anwar, adakah Anwar bersedia melakukan pengorbanan yang sama seperti ang dilakukannya untuk Anwar?

Itu adalah persoalan untuk Wan Azizah tanya Anwar bila mereka sedang melayari bahtera diatas tilam empuk Bukit Segambut!

Tetapi apa yang menguntungkan Anwar tidak semestinya menguntungkan rakyat!

Adakah rakyat bersedia untuk kemungkinan berlaku lagi pengosongan kerusi oleh Wan Azizah dimasa hadapan?

Adakah rakyat bersedia untuk menerima apa juga kata-kata dan janji Wan Azizah dalam keadaan rakyat tahu pengakuan Wan Azizah dalam kes jam Omega-Eskay yang bercanggah dengan keterangan Datuk Eskay sendiri!

Adakah rakyat bersedia untuk menerima parti yang mengamalkan pencabulan demokrasi yang melampau hanya untuk kepentingan politik individu tertentu?

Inilah antara persoalan yang perlu dipertimbangkan oleh pengundi DUN Kajang apabila turun membuang undi pada 23.03.2014 nanti.

Apa yang menguntungkan Anwar tidak semestinya menguntungkan rakyat!

Seruan saya kepada pengundi Kajang, hantarlah isyarat yang jelas kepada Anwar, Wan Azizah, pembangkang DAP-PKR-PAS; bahawa rakyat sudah muak dengan kegiatan dan aktiviti politiking melampau ini.

Sebab itu kempen PRK DUN N.25 Kajang ialah 'SAY-NO-2-ANWARIZAH'.

TOLAK WAN AZIZAH, JANGAN UNDI PKR DALAM PRK DUN KAJANG!

Tanya sama Zizah
mana jam Omega
nanti jawab Zizah
ada kat saya

Tanya sama Zizah
pasal tak percaya
nanti jawab Zizah
bukan perut dia

LOOKS LIKE ME, SOUNDS LIKE ME...BUT NOT MY TUMMY  

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
13 Jamadil Awal 1435
15 Mac 2014