Showing posts with label Pak Janggoat. Show all posts
Showing posts with label Pak Janggoat. Show all posts

14 July 2010

ARAK HALAL II?!

Salam 2 all.

Alhamdulillah respon agak baik saya terima berkenaan tulisan saya mengenai isu "arak halal". Ramai yang memberi pandangan bahawa isu ini tidak sepatutnya berbangkit kerana hukum arak sudah jelas, "sudah terang bersuluh pula" kata seorang rakan blog.

Dan ramai yang melahirkan rasa terkejut bahawa ianya boleh menjadi isu. Saya sendiri pun merasa sangat terkejut apabila isu ini berbangkit semasa isu judibola dibahas di Parlimen baru-baru ini. Apabila YB Wee Choo Keong (Konsensus-Wangsa Maju) bertanya mengapa hasil judi haram diambil sedangkan hasil arak diperbolehkan di negeri Kelantan, ada Pak Janggoat yang bangun melenting dan menjawab "judi lain, arak lain!". Ada pula yang menjawab "judi haram semua agama, arak hanya Islam haram, agama lain tidak!".

Saya yang terkejut tu bukannya apa, Pak Janggoat-Pak Janggoat ini jugak yang dulu bukan main hentak meja nak tutup kilang arak kalau memerintah! Dan saya pun tak lupa Menteri Kewangan yang mana yang meluluskan lesen judi di Sabah/ Sarawak dulu. Namun bila memikirkan Pak Janggoat-Pak Janggoat ni tidak menjadikan YB Tuan Guru Haji Hadi sebagai "Presidennya" tapi orang lain, maka sejuklah sikit hati tu. Sebab saya para ilmuan Islam dan intelek agama serta pejuang Islam tahu bahawa apa yang disebut oleh Pak Janggoat-Pak Janggoat ini tidak mewakili suara para pejuang Islam.

Cuam satu persoalan yang berbangkit, apabila ada kalangan pihak berjanggoat ini mendakwa hasil dan cukai arak itu halal diambil oleh pemerintah Islam untuk digunakan buat pembangunan dan kegunaan pemerintah atas alasan agama lain menghalalkan arak, maka kesannya ialah:

1. kita tidak boleh lagi menuntut kilang arak dalam negara ini ditutup kerana kilang itu mengeluarkan arak untuk kegunaan bukan Islam; jadi perjuangan kita selama ini nak menutup kilang arak salah lah rupanya bagi Pak Janggoat-Pak Janggoat ini. Padanlah kilang Carlsberg masih tertegak dibumi Shah Alam;

2. kita tidak boleh mendesak penerbangan Malaysia membatalkan penjualan arak dalam penerbangan kerana ianya hanya untuk bukan Islam;

3. kita tidak boleh menghalang 7-11, K-Mart atau lain-lain kedai serbanika daripada menjual arak kerana ianya dijual untuk bukan Islam;

Dan banyaklah lagi isu dan perjuangan mengenai arak yang selama ini kita perjuangkan terpaksa kita tinggalkan kerana rupa-rupanya mengikut sabda para Pak Janggoat, hasil arak halal diambil dan dicukai oleh pemerintah Islam. Dan memandangkan agama lain "menghalalkan arak" saperti sabda Pak Janggoat, maka kita kena benarkan ianya dijual dan diminum.

Apakah itu yang akan terjadi kepada Malaysia Darul Janggoat ini kalau mereka diberikan kuasa memerintah? Persoalan lebih besar ialah apakah ahli, penyokong dan pendokong Pak-Pak Janggoat tahu itu sebenarnya perjuangan mereka.

Namun saya memanjatkan rasa syukur kepada ALLAH kerana ramai pemimpin dan ahli akar umbi gerakan Islam yang menghubungi saya tegas menyatakan bahawa arak tetap haram, dan hasilnya tetap haram. Dan perjuangan mereka jelas, kilang arak mesti ditutup, kedai menjual arak secara terbuka mesti dilarang, peminuman arak secara terbuka mesti diharamkan Alhamdulillah saya ucapkan kepada ALLAH.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak bermaksud menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh minum arak. Itu hak mereka. Tetapi mereka hanya patut dibenarkan minum ditempat khas yang tertutup atau majlis-majlis persendirian mereka. Kalau hendak dijual, bolehlah dijual di restoran atau kedai makan yang "haram", yang tidak menjual makanan halal, yang hanya dikunjungi oleh bukan Islam.

Dan kalau ada sebarang hasil diperolehi daripada arak ini, kita umat Islam sepatutnya berusaha tidak mengambilnya, biarlah kita miskin dan kekurangan hasil, daripada kaya dan buncit kerana hasil arak! Kalau ditakdirkan ada juga, kita patut kembalikan hasil atau cukai itu kepada golongan bukan Islam untuk tujuan mereka. Mungkin untuk biasiswa atau membiayai pengajian anak mereka, membaikpulih rumah ibadat mereka atau apa sahaja yang hanya dipergunakan oleh golongan bukan Islam sahaja.

Pada saya, apa alasan juga kita nak guna, arak tetap haram dan hasil arak dalam apa bentuk pun tetap haram. Bukan kerja kita nak corner sana corner sini untuk menghalalkan sesuatu yang sudah jelas haramnya. Dan bukan kerja kita untuk menghalalkannya bagi penganut agama lain.

Sebagaimana pada pandangan saya ALLAH itu Maha Esa, tetap Satu. Bukan kerja kita nak corner sana corner sini nak menghalalkan kalimah ALLAH disyirikkan sebagai punya anak. Dan bukan kerja kita untuk menghalalkan pensyirikan kalimah ALLAH oleh bukan Islam. Tugas kita ialah terus berdakwah untuk memperbetulkan kesyirikan mereka kepada mengesakan ALLAH Yang Satu!

Wallahua'lam.

Yang baik dari ALLAH, yang tidak daripada kelemahan saya sendiri. Moga ALLAH mengampunkan saya atas segala kesilapan dalam memberikan pandangan mengenai arak ini. Sekiranya didapati pandangan saya ini bercanggah dengan Al Quran & Sunnah, maka terbatallah pandangan saya ini dan ikutlah Al Quran & Sunnah tersebut.

Adios amigos, grasias senor & senorita.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
02 Sya'ban 1431
14 Julai 2010