Saturday, September 25, 2010

:: Pahit Manis Aidilfitri...

Ramadan sudah pun berlalu pergi. Kini Syawal menjengah kembali. Salam lebaran, salam Aidilfitri buat semua rakan-taulan, sanak-saudara yang sentiasa di hati. Ampun dan maaf dipinta sebagai pengganti diri andai ada yang terasa hati.

Lamanya aku ambil masa nak update blog! Hihiii... bukannya tiada cerita, akan tetapi keterbatasan masa dan kehilangan mood membuatkan aku tersentap seketika untuk meneruskan aktiviti ini. Tambahan pula, dengan kedatangan Aidilfitri yang sedang rancak diraikan sana-sini, sebenarnya banyak memberi impak dan kesan yang mendalam dalam hati ini. Semenjak dari Ramadan tiba lagi, pelbagai cabaran dan ujian harus ku tempuhi demi Alisya! Sebagai hamba-Nya, hanya tawakaltulillah sahaja yang mampu ku panjatkan. Tiba hari kemenangan, yakni Hari Raya... ku fikirkan dapatlah diraikan dengan penuh kesyukuran, penuh kegembiraan. Namun, sebaliknya yang terjadi. Ada sahaja mulut-mulut yang tak tahu pahit manis pabila bertutur, ada sahaja perit jerih yang terpaksa aku dan abang lalui! Lumrah manusia kan, jika ada yang tidak molek di depan mata... cepat saja diperkatakan! Apabila yang indah terjadi, tiada pula kata-kata pujian diberi. Sabarlah hati...

Sebernarnya, agak teragak-agak untuk aku luahkan apa yang berlaku pada Aidilfitri lalu. Risau andai ada yang menyatakan, aku hanya berprasangka buruk. Takut jika ada yang menyifatkan hanya aku yang terasa! Hmmm... sedangkan aku yang hadapinya masih boleh memikirkan perasaan orang lain, kenapalah orang itu tidak boleh memikirkan terlebih dahulu, apa yang aku rasa tatkala mulutnya laju menyatakan 'sesuatu' yang tidak enak tentang anakku! Ya, anakku istimewa! Ya, anakku tidak sebaik, secerdik, seindah anak kamu. Ya, anakku banyak kekurangannya jika mahu dibandingkan dengan anak-anak kamu, cucu-cucu kamu! Bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan pada kamu. Aku kah yang pinta untuk semua ini berlaku kepada Alisya Qaireen? Sedarlah, semua yang ada pada kita hanyalah pinjaman daripada Yang Maha Esa!

Bukannya dengan hanya setahun sekali berjumpa, pulak tuh di hari yang mulia... lalu sedap sahaja mulut kamu membicarakan "Anak kau nih apsal tengok atas jer? Ada benda yang dia tengok nih! Masa kenduri si polan arituh, anak kau nangis-nangis kan? Masa tuh aku rasa ada benda kat badan anak kau nih".............. Huh!!! Itukah kata-kata azimat yang sepatutnya telinga ini mendengar di Aidilfitri? Adakah dengan bercakap seumpama itu membuatkan kau bangga dan merasakan andaian kau tu tepat? Ustad kah? Atau ulama' kah diri kamu itu? Sedangkan solat Jumaat pun kau abaikan!!! Aku hanya mampu 'tersenyum'... senyuman yang sinis. Sakit hati bukan kepalang! Sedangkan aku tahu apakah yang anak aku hadapi. Sedangkan aku tahu kenapa anakku memandang ke atas, sedangkan sudah aku dapatkan kepastian daripada ustaz tentang keadaan Alisya yang asyik merenung ke atas! Sedangkan aku tahu bukannya 24 jam Alisya merenung ke atas! Andainya mulut ini pantas menjawab, pasti aku membidas... "Dia bukan tengok 'benda' atau hantu! Tapi dia tengok indahnya syurga Allah buat dia. Dia tengok cantiknya ciptaan Allah! Kau nampak? Taaaakkkkk... Kau tak nampak, tapi kau bijak buat andaian!"


"Abi... Alisya nampak wajah abi, ummi.
Tapi kenapa orang sakap Alisya nampak momok?"



Seperti yang aku katakan, kau hanya berjumpa anakku setahun sekali, berbanding aku yang menghadapnya setiap hari, saban waktu, setiap detik! Rasanya raya tahun depan, pasti akan ku dengari ayat yang sama andai Alisya memandang ke atas lagi. Hahahaaaaa.... panasnya muka nih menahan marah! Apakan daya, aku masih tahu menjaga hati orang, hati orang yang lebih tua daripada ku. Aku masih tahu menghormati dia!!! Tapi...........???? Tak apalah, biarkan sahaja mulut-mulut mereka sedap mengata! Memang tak menjadi nanah di kulit, akan tetapi gurisan yang tercalit di hati, hanya aku dan abang yang merasainya. Alisya? Pasti anakku mendengar kata-kata saudara tadi, kerana Alisya di pangkuannya ketika itu. Kecilkah hati anak ummi? Kesian kamu nak! Ummi yang melahirkan kamu pun, tak tergamak nak mengguriskan perasaan kamu, inikan pula orang yang tiada kena-mengena dengan hidup kita! Ummi tahu kamu faham akan setiap perbualan yang membabitkan kamu nak!

Terfikir juga, aku baru melalui ujian yang Allah turunkan sekitar 2 tahun setengah. Bagaimanakah pada mereka yang punyai anak istimewa yang sudah berbelas tahun? Berpuluh tahun? Pasti banyak kata-kata nista yang terpaksa mereka telan, pasti lebih banyak lagi rintangan mereka dalam membesarkan kurniaan Allah itu. Subahanallah... hanya kesabaran yang tinggi diperlukan. Dengan rasa rendah diri, aku maafkan sahaja si dia yang bercakap-cakap perihal anak ku ini. Biarlah, mulut manusia mana yang bisa kita tutupkan???


Biar pahit yang ummi telan,
biar getir yang ummi lalui...
ummi tetap sayangkan kamu!

Wahai anak ummi, andainya suatu hari nanti Alisya membaca coretan ini, maafkan ummi jika kamu terasa nak. Maafkanlah mereka... kita boleh menerima kritikan mereka, akan tetapi belum pasti mereka menerima kehadiran kita! Wallahualam......