2010 akan meninggalkan kenangan. Sangat pantas masa berlalu. Sungguh tak disangka, 2011 dah terintai-intai di luar jendela. Masuk tahun baru, pasti azam yang disebut-sebut dahulu. Malaslah nak cerita bab azam, sebab ada sahaja azam yang tidak tertunai. (azam nak kayo-rayo, tak payah pergi kerja, dok rumah mengadap anak je... tapi sampai bila pun tak tercapai lagi!)
Sungguh pun ada sisa-sisa azam yang terbengkalai, masih ada juga beberapa azam sejak Alisya lahir dapat ku laksanakan pada tahun ini. Antaranya (cerita gak pasal azam nehh);
1) Sejak Alisya dalam kandungan, ummi berangan (kira samalah dengan azam kan?) nak sangat berjalan ke sopin berdua-duaan dengan kamu wahai anak. Dulu ummi selalu bayangkan kita berjalan pada hari Jumaat sebab tiap-tiap Jumaat ummi off. Dan tahun ni ummi dah dapat, bila mana kita ke sopin complex sambil menunggu abi habis kerja. Maklumlah, opis abi bersebelahan dengan sopin complex. Kata abi, dia kerja di Kamdar. Hahaa...
2) Sejak Alisya di sisi, ummi berangan mahu men-driving sendiri kereta abi untuk kita ke kedai ke, ke klinik ke... asalkan dapat berdua-duaan lagi dengan Alisya sambil ummi memandu pula. Itu pun azam ummi jugak. Ummi dah dapat, bila mana ummi nekad membawa kamu ke klinik tempoh hari. Abi masih di ofis ketika itu. Alhamdulillah, hati ummi kembali kuat untuk memandu semula. Sungguhpun adakala masih di tahap tergagap-gagap, gabra bila nampak bukit, senak perut plus mengulas-ngulas bila hampir nak tukar drive dengan abi dan hinggalah 'Pak Mat Tempe berlanggar dengan motokar!'... Itu semua buat ummi belajar lebih berdikari dan jangan selalu mengharap untuk melekap celah bedah ketiak abi je!
3) Sejak Alisya 'makin tenang' ni, ummi selalu berangan untuk bawa anak ummi ke ofis bila ummi kene kerja pada hari minggu. Ummi ni macam bangla, orang lain hujung minggu bercanda dengan anak bini, ummi pula harus kerja. Sebab tu kadang-kadang nak sangat hangkut Alisya sekali, biar senang hati ummi nak melaksanakan tugas. Dapat juga aku berbuat demikian dalam tahun ini. Mujur sangat-sangat Alisya faham dengan tuntutan kerja ummi. Alisya baik sekali ketika di ofis. Siap tersenyum-senyum lagi bila ramai mengerumun anak ummi ni. Sungguh, ummi tak rasa malu walau sedikit pun punyai anak seperti kamu. Malah ummi bersyukur sangat-sangat!
4) Sejak Alisya dalam perut, bila doktor mengesahkan ummi bakal dapat anak perempuan... ummi dah terbayang-bayang untuk 'melawakan' dia. Ummi dah ternampak-nampak pelbagai jenis aksesori untuk diperagakan kepada Alisya. Haruslah kan, anak perempuan. Mesti nak santek-santek selalu. Walaupun Alisya 'berkeadaan' sedemikian, namun itu semua bukan penghalang untuk anak ummi segar cantik. Ummi sememangnya suka jika anak perempuan ummi dihias cantik, comel. Bukannya memerlukan aksesori yang mahal-mahal pun, malah bukan sekali dengan pembelian emas sekati untuk anak ini. Cukup jika anak ummi tampak cantik, anggun di mata ummi dan abi.
5) Sejak Alisya makin 'jelita' ni, ditambah dengan rambut ikal mayang mengurai... memang ummi suka mendandan rambutnya. Sebelum Alisya lahir ummi dah pasang angan-angan mahu anak dara ummi berambut panjang agar ummi dapat menyisirnya selalu. Macam ummi lah masa kecik-kecik dulu, berambut panjang. Ummi dah dapat peluang menyisir rambut kamu nak! Rambut Alisya pernah dipotong pendek 3-4 kali. Akhirnya ummi dan abi biarkan sahaja rambutnya panjang. Dan abi juga sudah pandai mendandan rambut anak daranya ini, dipakaikannya sepit, diikatkan dengan getah rambut yang berbunga. Penuh betul aksesori di rambut Alisya, dah jadi macam 'Aisyah 50 sen' pun ye jugak. Heheee.. itulah abi! Main taram, asal anaknya cantik!
6) Sejak Alisya sudah melembutkan badannya, ummi dah berpeluang mendokong dia secara 'normal'. Maksudnya, ummi tak perlu rasa kekok lagi tatkala mahu mendokong kamu. Sebelum ni, Alisya didokong secara menghadap ke depan. Alhamdulillah, Alisya sudah boleh didukung secara dadanya bertemu dengan dada ummi yakni Alisya menghadap ke belakang. Struktuk tengkuknya juga semakin baik. Tidaklah termengadah ke atas sahaja. Itu pun perkembangan positif kan? Lama tau ummi tunggu nak dukung Alisya dengan baik sebegini rupa! Syukur!!!
Rasanya inilah antara azam dan angan-angan serta cita-cita ku buat anakanda Alisya sejak dia di rahimku dan sejak Alisya di jiwa ku. Walaupun adakala kesulitan berlaku, namun ianya dapat diatasi dengan baik. Tidak semua azamku untuk anak ini sudah tercapai, masih banyak... masih jauh! Namun 2011 yang bakal tiba adalah langkah seterusnya untuk ku teruskan usaha.
Sememangnya harapan seorang ibu untuk anaknya sangat menggunung! Aku juga tergolong di situ. Kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Walau baik atau sebaliknya yang kita perolehi, pasti ianya didatangkan dengan hikmah yang tersendiri dan pasti kemanisan akan berlaku. Wallahualammissawab!!!
Selamat menghadapi cabaran di 2011 buat semua pembaca!