Showing posts with label Exomphalos. Show all posts
Showing posts with label Exomphalos. Show all posts

Tuesday, 16 August 2011

Mujahid 8 bulan

Alhamdulillah, pada 8 Ramadhan 1432H = 8 Ogos 2011, genaplah usia Ahmad Mujahid 8 bulan :). Sekarang ini usianya sudah 8 bulan dan 8 hari. Sedar tidak sedar, sudah 16 hari umat islam berpuasa.
Saya sudah 8 bulan sekarang, alhamdulillah :)


Perkembangan Ahmad setakat ini, badannya semakin kuat dan tegap. Jika bulan lepas Umminya baru berani meletakkannya duduk di atas bumbo chair, sekarang ini Ahmad sudah pandai keluar dari bumbo chair itu, huhuhu. Setakat ini sudah 2 kali dia keluar dari bumbo chair, semalam dan hari ini sebab hendak mengambil mainan di atas lantai. Ahmad berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya sampai terangkat-angkat b*ntot dan akhirnya tertiarap di atas lantai, huhuhu. Suka hati sebab dapat ambil mainan yang dikehendaki. Nampaknya lepasni perlu letakkan tray di bumbo chair itu untuk mengelakkannya keluar. Pernah juga sekali tertidur di atas bumbo chair itu, hehehe. Walaupun Ahmad agak lambat mengangkat kepalanya tegak dan tulang belakangnya tidak berapa kuat, namun apabila beliau mendapatkan kedua-dua itu sekejap sahaja dia boleh buat pergerakan yang lain. Jika diletakkan di atas "entertainer" nya, siap sudah boleh berdiri sekarang sambil "bouncing" lagi :D.
Tertidur selepas geng bermain tertidur dan Ummi sibuk membungkus barang, hehehe.

Sepanjang ramadhan ini, alhamdulillah Ummi Ahmad dapat berpuasa penuh sambil menyusukan Ahmad. Hanya 2 kali Ummi Ahmad memberikannya susu formula sebagai tambahan, 6 oz jer pun, itu pun menyebabkannya sembelit, huhuhu. Ahmad sudah mula makan secara rasmi sekarang tetapi perlu pastikan makanan tersebut betul-betul cair baru dia nak. Kalau tidak pasti akan dimuntahkannya balik. Sekarang Ahmad sudah pandai makan buah-buahan atau sayur-sayuran dan dia suka pegang sendiri sahaja. Untuk mengelakkan daripada tercekik, Ummi belikan "Fresh Food Feeder" ini. Best sangat benda ni:)
Terima kasih kepada Aunty Nadira dan Aunty Wan yang cadangkan benda ini. Ummi Ahmad dan Ahmad sangat seronok. Tidak perlu Umminya nak suapkan Ahmad lagi;).

Jika betul-betul lapar dan susu itu suam-suam, laju sahaja Ahmad meminumnya. Setakat ini tiada masalah dengan botol. Cumanya masalah sembelit sahaja jika minum susu formula ini. Agaknya kena kurangkan scoop susu tu bancuh cair-cair kot. Minum sekali 3oz sahaja. Perutnya tidak boleh terlalu kenyang/penuh untuk mengelakkannya muntahkan balik kesemuanya, huhuhu.

10 Ogos 2011 yang lalu, Ahmad mempunyai temujanji dengan doktor yang membedahnya dahulu untuk memeriksa keadaan luka pembedahan exomphalos dan hernia. Alhamdulillah semuanya ok dan doktor menyuruh kami datang kembali selepas 6 bulan untuk pemeriksaan selanjutnya. Namun kami memberitahu bahawa kami ingin pulang ke Malaysia "for good" tidak lama lagi. Dengan itu Ahmad secara rasminya telah di "discharge" di bawah pemerhatian doktor dan doktor tersebut akan memberikan surat untuk rujukan dikemudian hari. Doktor tersebut memberitahu di Malaysia juga ada doktor bedah yang bagus seperti Dr. Tan (tidak tahulah Dr. Tan yang mana yang dimaksudkan).

Semalam, 15 Ogos 2011 pula, Ahmad mempunyai temujanji dengan Dermatologist, pakar kulit berhubung dengan masalah eczema nya. Alhamdulillah, setakat ini masalah eczemanya sudah semakin ok. Cuma Umminya perlu pantang betul-betul terhadap susu lembu. Kadang-kadang Umminya sukar untuk mempantangkan diri lebih-lebih lagi bila dihidangkan dengan air teh susu, coklat, aiskrim dan macam-macam lagi. Kiranya pantang tengoklah! Hehehehe. Dengan itu pasrah jer bila kulit Ahmad naik bintik-bintik kecil terutama di sekeliling mulutnya namun ianya masih dalam keadaan terkawal. Selepas 2-3 hari ianya akan hilang. Doktor tersebut memberitahu bila Ahmad sudah besar seperti setahun setengah, kami boleh cuba memberikannya susu lembu dan lihat bagaimana kesannya. Allergic terhadap susu lembu ini akan sembuh semakin membesar kanak-kanak tersebut kerana sistem imunisasinya semakin baik. Harap-harapnya begitulah insyaAllah.

Berat badan Ahmad yang terkini ialah 6.48kg dan panjang 66.6cm yang diambil pada 15 Ogos 2011. Habitnya yang terkini suka menepuk-nepuk tangannya seperti aksi bersilat. Tidak tahulah di mana dia dapat idea membuat gaya tersebut sebab tiada orang yang mengajarnya :D Nanti bila sempat, Ummi letak video aksi tangannya itu di sini:)
Semoga Ahmad Mujahid terus sihat membesar, cerdas, pintar dan menjadi anak yang soleh untuk berbakti kepada agama, bangsa & negara, amin.

Esok, 17 Ramadhan 1432H, hari nuzul quran.
Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan yang terang benderang dengan izinNya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus. (Surah Al-Maidah, ayat 15-16).

Salam Nuzul Al-Quran untuk semua pembaca :)

Friday, 8 April 2011

Ahmad 4 bulan

Setakat umur 4 bulan ini pelbagai perkara yang dilalui oleh Ahmad Mujahid. Berat lagi mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kasihan Ahmad asyik merengek-rengek kegatalan. Kalau tengah salin bajunya sempat lagi tangannya menggaru-garu kaki, muka dan dadanya sampai berdarah-darah. Padahal Ummi dah potong kukunya 2 kali seminggu. Oleh itu, setiap masa Ahmad perlu memakai sarung tangan;) 
Gambar Ahmad 4 bulan. Gaya ini habit Ahmad, yang sangat suka membelek-belek tangan kanannya. Oh, abaikan rambutnya yang semakin panjang itu ya;)

Alhamdulillah, Ahmad seorang anak yang kuat. Semoga Ahmad sentiasa sabar menghadapi segala dugaan dan membesar menjadi anak soleh (boleh hafaz al quran juga;)

Tarikh penting tentang Ahmad sepanjang 4 bulan (Ummi perlu ingat ini untuk info bila di tanya oleh doktor tentang rekod perubatan yang Ahmad telah laluinya) :
  1. Duduk di hospital QMC selama 2 minggu rentetan daripada pembedahan exomphalos selepas lahir - 08 Disember 2010 - 21 Disember 2010
  2. Di diagnos inguinal hernia pada 18 Januari 2011 dan dibedah pada 23 Februari 2011 di QMC. Masa ini kulit Ahmad sudah agak kering tapi tidaklah sampai Eczema
  3. Pada 1 Mac 2011 pergi baby clinic di Mary Potter untuk timbang dan mendapatkan nasihat untuk masalah kulitnya yang kering. Mereka berikan Dermol dan Hydromol cream. Mereka nasihatkan untuk pergi berjumpa GP untuk dapatkan antibiotik disebabkan infections pada pipinya (oozing)
  4. 2 Mac 2011 pergi jumpa GP dan diberikan antibiotik, malangnya Ahmad allergic dengan antibiotik tersebut.
  5. 3 Mac 2011 sekali lagi berjumpa GP, dan diberikan antibiotik lain dan hyrocortisone cream. Masa ini GP sahkan yang Ahmad mempunyai Atopic Eczema pula.
  6. 8 Mac 2011 berjumpa GP kembali sebab Ahmad batuk-batuk sampai tak boleh tidur lena melainkan Ummi tinggikan sedikit kepalanya. GP suruh berikan antibiotik kepada Ahmad. Sepatutnya Ahmad perlu dicucuk untuk 2nd imunisastion nya pada hari tu tapi terpaksa ditunda sebab Ahmad batuk
  7. 15 Mac 2011 berjumpa GP untuk periksa Ahmad sama ada boleh dicucuk atau tidak. Alhamdulillah keadaan Ahmad sihat untuk dicucuk.
  8. 29 Mac 2011 berjumpa GP kembali mengadu masalah kulit yang sama. GP masih berikan antibiotik yang sama dan hydrocortisone cream. Tiada perubahan.
  9. 4 April 2011, paedtrician nurse datang melawat Ahmad di rumah. Beliau menyarankan agar kurangkan kekerapan memandikan Ahmad kerana ia boleh mengeringkan kulitnya. Jika sebelum Ummi mandikan Ahmad 2 kali sehari, pagi petang ingatkan boleh membantu melembapkan kulitnya yang kering. Rupa-rupanya teori kami silap. Paedtrician tersebut suruh kami mandikan Ahmad 2 kali seminggu sahaja! Minggu depan, dia suruh kami ke klinik pada hari rabu berjumpa dengan health visitor yang berpengalaman tentang masalah eczema.
Terasa bagai dugaan yang diberikan tidak putus-putus, namun kami cuba berlapang dada menerima segalanya dengan tabah dan redha. Sesungguhnya dugaan/ujian yang diturunkan oleh Allah itu tersirat hikmah disebaliknya. Setiap bencana, penyakit, kesusahan/kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin itu mungkin disebabkan perkara-perkara tersebut:
  1. Menjadi "Kaffarah" (penghapus) dosa orang yang ditimpa bencana itu.
  2. Sebagai balasan Allah atas kesalahan orang yang ditimpa bencana itu.
  3. Untuk menaikkan darjat orang yang ditimpa bencana itu.
  4. Sebagai ujian keimanan orang yang ditimpa bencana itu.

Ya Allah ampunilah segala dosa-dosa kami, sama ada kecil atau pun besar dan jadikanlah kami hamba yang patuh di atas segalah perintahMu dan masukkanlah kami ke dalam syurgaMu. Amin ya rabbal al-amin.

Tuesday, 21 December 2010

Kisah Ahmad Mujahid:)

Alhamdulillah, setelah 2 minggu di hospital akhirnya Ummi dan Ahmad Mujahid dibenarkan untuk pulang ke rumah pada 21 Disember 2010, jam 3.45 petang.


8 Disember 2010 - Rabu - berat Ahmad ketika lahir 2.44kg
  • Ahmad Mujahid dibawa terus ke bilik pembedahan pada 12:50 tengah hari untuk memasukkan kembali sebahagian kecil hati dan ususnya ke dalam perut yang mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih. Pembedahan dilakukan oleh Dr. Nia Fraser 
  • Lebih kurang jam 3:30 petang, Ahmad Mujahid dikembalikan ke inkubator di NICU dari bilik pembedahan
  • Ahmad Mujahid asyik menangis kesakitan selepas pembedahan dan terpaksa diberi ubat penahan sakit, "morphin".
  • Sepanjang di inkubator, Ahmad Mujahid hanya diberi IV fluid kerana masih belum boleh menerima susu dan alhamdulillah, beliau tidak perlukan bantuan pernafasan.
  • Segala proses pembedahan Ahmad Mujahid dari mula hingga akhir semuanya diuruskan oleh Doktor dan nurse yang menjaganya kerana ketika beliau dibawa ke bilik pembedahan, Ummi masih di "High Dependency Unit (HDU)", keadaan masih lemah dan perlukan 4 unit darah akibat dari kehilangan 2.5 liter darah ketika bersalin. Ahmad pergi dan balik sendirian ke bilik pembedahan tanpa kami disisinya. Ayah pula perlu menjaga kedua puteri kami ketika itu. Ummi tak sempat pun melihat rupabentuk exomphalos tersebut dan tiada gambar yang sempat dirakam. Hanya mendapat gambaran dari Doktor yang membedahnya dan Midwife yang menguruskan Ummi.
(a) Di dalam NICU sejurus lepas lahir (gambar atas); (b) Dah bersiap berbungkus sebelum masuk ke bilik pembedahan (gambar tengah) (c) Selepas pembedahan, tidur lena selepas diberikan morphin (gambar bawah)

9 Disember 2010 - Khamis
  • Ummi mula memerah susu pada jam 9 malam untuk diberikan kepada Ahmad Mujahid. Alhamdulillah, pihak hospital ada menyediakan pam susu elektrik lengkap dengan botol, label dan streliser. Pertama kali memerah hanya berjaya mendapatkan 9ml susu, alhamdulillah walaupun sedikit.
  • Ahmad Mujahid MULA diberikan susu yang diperah pada jam 11:30 malam melalui tiub sebanyak 1.5ml setiap 2 jam dalam jangka masa 12 jam. Doktor perlu mengawasi tahap penerimaan Ahmad terhadap susu tersebut 
10 Disember 2010 - Jumaat 
  • Setelah mendapat tahu Ahmad sudah mula diberikan susu (EBM), Ummi mula tingkatkan usaha untuk memerah susu sebanyak mungkin. Kali kedua perahan berjaya menghasilkan 45ml diikuti dengan 60ml dan 100ml bagi perahan yang ketiga dan keempat. Alhamdulillah rezeki Ahmad semakin bertambah.
  • Jumlah susu yang diberikan kepada Ahmad juga telah dinaikkan kepada 2.5ml setiap 2 jam bermula dari 11:30 pagi dalam jangka masa 12 jam
  • Kemudian selepas 12 jam, jumlah susu dinaikkan kepada 5ml pada 11:30 malam dan diberikan kepada Ahmad dalam tempoh masa 12 jam berikut.
semakin hari semakin bertambah susu yang diperah. Nurse siap buat lawak kata Ummi macam "Dairy Mum":D

11 Disember 2010 - Sabtu
  • Jumlah susu yang diberikan kepada Ahmad ditingkatkan kepada 7.5ml setiap 2 jam bagi tempoh masa 6 jam bermula dari jam 11:30 pagi 
  • Bagaimanapun selepas 6 jam, jumlah susu yang diberikan terpaksa dikurangkan kembali kepada 5ml kerana perut Ahmad masih tidak boleh menerima 7.5ml. Ahmad muntah sebanyak 3 kali apabila diberikan 7.5ml susu setiap 2 jam
  • Ummi mula belajar menukar nappy Ahmad dalam inkubator daripada Cherryl, nurse yang menjaganya ketika itu. Agak sukar bagi Ummi yang baru pertama kali kerana tak berapa pandai nak gayakan tangan dalam inkubator. Ummi juga kerap mendapat makluman yang Ahmad sangat suka menarik keluar tiub yang disambung terus keperutnya melalui hidung dan memaksa nurse untuk memasukkan tiub itu kembali kehidungnya. Sangat sayu melihat Ahmad ketika nurse ingin memasukkan tiub tersebut kehidungnya kerana perlu menjolok ke dalam sehingga tiub tersebut sampai ke perutnya.
Ummi belajar tukar lampin Ahmad dalam inkubator

12 Disember 2010 - Ahad 
  • Pagi ini bila Ummi melawat Ahmad, ternampak ada plaster coklat bertampal dipipi Ahmad bagi mengelakkan beliau menarik tiub keluar.
  • Jumlah susu yang diberikan masih sama, 5ml setiap 2 jam
Pipi dah berplaster untuk mengelakkan Ahmad tarik keluar tiub makanan tu

13 Disember 2010 - Isnin
  • Sekali lagi Ummi menukar nappy Ahmad dalam inkubator dan Ahmad berak 2 kali. Lepas Ummi dah salin nappy, dia berak sekali lagi, hehehe. Sajer bagi kerja lebih kat Ummi lah tu;)
14 Disember 2010 - Selasa
  • Ummi MULA belajar bagaimana nak berikan susu yang diperah melalui tiub. Kali ini nurse, Mercy yang ajar;) Mereka berharap agar ibu bapa sendiri dapat memberikan susu dan menukar nappy anak yang berada di NICU. Walaubagaimanapun jika kami tiada disitu, mereka akan melakukannya secara sukarela:D
  • Agak mencabar juga bagi Ummi yang masih berpantang untuk berulang-alik dari wad ke NICU setiap 2 jam untuk memberi Ahmad susu. Jarak antara wad Ummi ke NICU lebih kurang dalam 100 meter. Alhamdulillah Allah memudahkan urusan
Ummi memberikan susu yang diperah kepada Ahmad melalui tiub

15 Disember 2010 - Rabu - Berat Ahmad turun kepada 2.33kg
  • Ummi melawat Ahmad jam 9pagi dan sangat gembira melihat tiada lagi inkubator. Ahmad dah dipindahkan ke cot biasa tetapi masih di "HDU" di NICU.
  • Jumlah susu yang diberikan juga dah ditingkatkan kepada 10ml setiap 2 jam.
  • Hari ini Ummi berkesempatan berjumpa dengan doktor yang membedah Ahmad, Dr Nia Fraser ketika doktor melawat Ahmad pagi tu. 
  • Ummi sempat bertanyakan bagaimana keadaan exomphalos Ahmad sebelum dibedah kerana Ummi tak sempat melihatnya. Doktor menyatakan exomphalos Ahmad mengandungi lebih kurang 2cm hati dan selebihnya dipenuhi usus. Alhamdulillah, saiz exomphalos agak kecil (tak seperti yang dijangka ketika dalam kandungan) dan doktor mudah untuk memasukkannya kembali ke dalam perutnya.
  • Pada jam 11:30pagi, jumlah susu Ahmad dinaikkan kepada 15ml untuk tempoh 8 jam. Kemudian dinaikkan kepada 20ml pada 9:30malam. Walaupun susu yang diberikan 20ml setiap 2 jam, Ahmad masih perlukan bantuan protein dan fat untuk pembesaran Ahmad.
  • Ahmad perlukan susu sepenuhnya sebanyak 33ml setiap 2 jam untuk berhentikan bantuan protein dan fat yang diberikan. (Full feed = (2.44kg x 165ml/kg) / 12 times = 33ml)
Ahmad Mujahid dalam baby cot. Tiada lagi inkubator, alhamdulillah:)

16 Disember 2010 - Khamis 
  • Alhamdulillah, hari ini Ahmad mula minum susu sepenuhnya 33ml setiap 2 jam. Pagi ini, 9:45 pagi Ummi berikan susu kepada Ahmad melalui cawan. Walaupun mengambil masa dekat setengah jam, Ahmad berjaya menghabiskan secawan susu;)
  • Jam 12.50 tengah hari, Alhamdulillah "long line" yang disambung ke tangan Ahmad bagi menyalurkan  fat & protein ke dalam badan Ahmad selamat ditanggalkan. Ahmad dipindahkan dari "High Dependencies Unit" ke "Low Dependencies Unit" pada jam 1 petang. 
  • Rasa gembira sangat bila Ahmad dah dipindahkan wad dari HDU ke LDU kerana baru bersembang dengan nurse sehari sebelumnya berdasarkan pengalaman beliau, kes macam Ahmad ini kadang ambil masa yang agak lama untuk sembuh, sekurang-kurangnya sebulan dihospital.
tiada lagi "long line" ditangan kerana Ahmad dah bergantung sepenuhnya dengan susu Ummi

17 Disember 2010 - Jumaat
  • Ummi tukar nappy Ahmad. Kali ini Ahmad kencingkan Ummi. Hehehe pengalaman pertama dengan anak lelaki;) Lepas ni lebih berhati-hati ketika ingin menukar nappy nya:D
  • Ahmad mula diberikan susu 50ml setiap 3 jam untuk menggalakkannya breastfeed. Agak sukar untuk breastfeed Ahmad sebab Ahmad asyik tidur. Mungkin disebabkan keadaannya yang masih kurang sihat dan jaundices. 
  • Ummi mula memberikan Ahmad susu melaui botol selain daripada tiub. Ini atas nasihat nurse kerana jika Ahmad dapat minum melalui botol, cepat sikit Ahmad boleh keluar dari wad di NICU. Kalau boleh nak breastfeed Ahmad tapi nengok reaksinya yang asyik tidur agak sukar untuk breastfeed. Alhamdulillah Ahmad berjaya menghabiskan sebotol 50ml susu dalam tempoh setengah jam :D
18 Disember 2010 - Sabtu
  • Ahmad berjaya minum 50ml susu melalui botol
  • Alhamdulillah, jam 6:30 petang, Ahmad dan Ummi dipindahkan ke wad C29.
19 Disember 2010 - Ahad
  • Jam 9:30 pagi, Baby's Doctor periksa hip joint, eyes, neonatal reaction, spine, wound etc. Alhamdulillah semua normal.
  • Jam 10:15 pagi, baby's surgeon pula datang periksa luka pembedahan dan luka diperutnya semakin kering dan jahitannya semakin pulih.
  • Jam 10:30 pagi, Pendengaran Ahmad diperiksa. Kali ini baby's hearing test ke atas Ahmad perlu dijalankan 2 kali kerana Ahmad tinggal di NICU lebih dari 48 jam. Alhamdulillah kedua-dua results PASS. Walaubagaimanapun selepas 8 bulan, Ahmad perlu menjalani pemeriksaan telinga kembali kerana Ahmad mengambil antibiotik selepas lahir disebabkan pembedahan yang dijalaninya.
  • Jam 8.30 malam, Ahmad berjaya menghabiskan sebotol 50ml susu dalam masa 10 minit. Ahmad dan Ummi tarik keluar tiub dihidungnya! :D 
20 Disember 2010 - Isnin
  • Ahmad dah mula boleh breastfeed dan pandai guna botol dengan jayanya. Kalau sebelum ambil masa lebih kuang setengah jam nak habiskan sebotol, tapi kali ini 10-15 minit dah boleh habiskan semuanya. Kencing berak semua ok, alhamdulillah. 
  • Petangtu ada surgeon datang and cakap mungkin boleh discharge esok sebab Ahmad healing very well. 
21 Disember 2010 - Selasa - Beratnya naik kepada 2.45kg
di wad C29 sebelum balik rumah
  • Alhamdulillah, hari ini cukup 15 hari Ummi dihospital dan Ahmad genap 14 hari usianya. Dalam jam 3.15 petang kami dah boleh pulang ke rumah. Sebelum balik, perlu ambil sampel air kencing dan darah Ahmad untuk periksa Jaundices nya. Nasib baik senang nak ambil air kencing Ahmad, buka-buka nappy jer kebetulan dia pun kencing. Ummi pun tadah je lah guna botol yang disediakan:) Good boy Ahmad!
  • 4.30 petang sampai rumah, leganya rasa bila dah sampai rumah. Teratur sikitlah pantang Ummi. Kalau tak rasa macam tak berpantang sebab berjalan ke hulu ke hilir macam orang tak bersalin:) Home sweet home!

Sunday, 12 December 2010

Nikmat kehidupan

Alhamdulillah, Allah masih kurniakan nikmat kehidupan untuk diri ini merasainya lagi. Masih terbayang saat untuk melahirkan Ahmad Mujahid ke muka bumi Allah ini. Ketika itu terbayang mungkin Allah makbulkan permintaan Ana diawal kandungan ketika diberitahu oleh doktor tentang masalah yang menimpa kandungan ketika itu agar diri dapat menggantikan tempatnya bagi mengurangkan beban kesakitan yang bakal dilaluinya. Tidak sanggup rasanya untuk membiarkan anak dalam kandungan ini menghadapi segalanya seorang diri, perlu dibedah sejurus selepas kelahirannya. Ditambah lagi setelah lihat video-video di youtube yang berkaitan dengan masalah anakku itu. http://www.youtube.com/watch?v=0C7QAWCan6c . EXOMPHALOS @ OMPHALOCELE. Ketika itu pun Doktor menyatakan kandunganku mempunyai moderate to large exomphalos size yang menyebabkan pembedahannya lebih rumit berbanding small exomphalos. Diri ini terbayang mampukah tubuh kecil itu menanggungnya. Namun, doa itu tidak lama setelah encik suami berpesan supaya berbaik sangka pada Allah dan jangan terlalu pentingkan diri sendiri dengan hanya menginginkan yang baik-baik sahaja buat diri dan keluarga. Mungkin ini yang terbaik buat kita walaupun merasakan masalah itu agak berat, tapi itu mungkin adalah yang terbaik dari Allah. Lalu, doaku pohon agar Allah memudahkan segala urusan kami dan berilah yang terbaik buat diri dan keluarga. Sejak itu, diri ini pasrah dan redha dengan ketentuanNya. Tiada lagi air mata bila berbicara tentang masalah yang menimpa kandungan dan diri seakan kuat dan dapat menerima segalanya. Alangkah indahnya jika semuanya kita kembalikan pada Allah. Tak dinafikan pada awalnya diri ini asyik berendamkan air mata mengenangkan nasib anak yang dikandung. Alhamdulillah ianya tidak berlarutan, akhirnya Ana berjaya menerima hakikat sebenar.


Kali ini sekali lagi Ana ditakdirkan untuk melahirkan anak secara pembedahan, emergency ceasearian bagi menyelamatkannya. Air ketuban sudah mula keluar sejak dari pagi 7 Disember 2010 dan kami ke hospital (Antenatal Triage), pada jam 11 pagi. Midwife dan Doktor melakukan pemeriksaan dan  terus ditahan diwad B26, Green bay. Walaupun air ketuban sudah keluar, namun masih tiada rasa sakit lagi. Sekiranya masih tak merasa sakit, Doktor terpaksa melakukan pembedahan keesokan paginya. Suami dan anak-anak tercinta setia menunggu Umminya diwad sehingga habis waktu melawat, jam 9 malam. Riuh rendah dibuatnya wad dengan suara Insyirah dan Nuha, nasib baik ada bilik untuk keluarga beristirehat :)


Walaubagaimanapun, lebih kurang jam 10 malam, tiba-tiba badan menggigil kesejukan, badan rasa seram sejuk. Langsung tak boleh nak bangun dari katil. Suhu badan dan tekanan darah naik mendadak. Denyutan jantung bayi dalam kandungan pula semakin lemah. Lalu, diriku ditolak ke bilik bersalin. Tak lama kemudian mereka memutuskan untuk melakukan pembedahan bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan yang semakin lemah. Mereka menyuruhku untuk menelefon suami menyatakan yang diri akan dibedah. Di UK, suami dibenarkan masuk ke dalam bilik bersalin sama ada bersalin secara normal ataupun melalui pembedahan. Bagaimanapun Allah tidak mengizinkan suamiku untuk bersama-sama berada di dalam bilik pembedahan kerana anak-anak sudah tidur di rumah dan tidak sampai hati nak mengejutkan mereka. Ana terbesalin 3 minggu awal daripada jangkaan sepatutnya yang jatuh pada hari boxing day, 26 Disember 2010.


Lebih kurang jam 1 pagi, 8 Disember 2010, Ana masuk ke bilik pembedahan. Kali ini Ana masih mampu berjalan ke bilik pembedahan sebab masih tiada rasa "contraction" berbeza ketika melahirkan Insyirah dahulu. Walaupun tiada suami disisi, ramai Midwife dan doktor yang menemaniku dan memberikan sokongan. Seronok melihat semua tenaga kerja dalam bilik pembedahan terdiri daripada golongan Hawa. Midwife siap menawarkan diri untuk mengambil gambarku dan bayi. Anasthetic menyuntik ubat bius di tulang belakang bagi membius separuh badan, dari perut ke hujung kaki. Setelah semua persiapan pembedahan selesai dan badanku telah ditutup sepenuhnya (kecuali bahagian perut yang ingin dibedah), barulah dua orang doktor masuk ke bilik pembedahan, doktor lelaki dan perempuan. Kemudian doktor dan nurse dari Neonatal Intensive Care Unit (NICU) juga masuk untuk menyambut kelahiran bayi.


Doktor tak mempunyai masalah untuk mengeluarkan bayi dan uri. Ahmad Mujahid berjaya dikeluarkan tepat jam 1:25 pagi dan diikuti dengan uri tidak lama setelah pembedahan dijalankan. Namun doktor mempunyai masalah untuk memberhentikan pendarahan yang berlaku disebabkan oleh rahimku yang tidak mengecut setelah bayi dan uri dikeluarkan. Bermulalah detik-detik yang mencemaskan bila mana Ana sudah mula terasa sakit dengan apa yang doktor lakukan ke atas perutku. Badan siap terangkat-angkat menahan kesakitan. Dada pula terasa sempit dan sukar untuk bernafas. Akhirnya Ana diberikan bantuan pernafasan dan doktor meminta persetujuanku untuk memberikan bius sepenuhnya (general anasthetic) kepadaku. Mulanya Ana menolak dan cuba untuk bertahan kerana risau takut-takut tak bangun balik jika dibius penuh (gara-gara banyak nengok tv la ni;). Namun akhirnya diri ini pasrah dan redha akan segala-galanya. Siap mengucap bagai sebab memang terasa diri tak boleh nak bertahan dan ditambah dengan sesak dada tak boleh bernafas. Terbayang-bayang wajah suami, anak-anak dengan mak abah dan sekiranya Allah menjemputku kembali, apalah nasib ku di SANA. Sebelum ditidurkan doktor juga meminta izinku untuk membuang rahimku sekiranya mereka tidak dapat memberhentikan pendarahanku. Aku mengizinkannya jika itu yang terbaik buat diriku.


Lebih kurang jam 3.30 pagi, diri dah mula sedar tapi masih mamai-mamai (menurut suamiku siap cakap omputih dengan dia lagi, seyes memang tak ingat langsung masa ni :D). Kali ini Ana dah dipindahkan ke High Dependency Unit dan suami dah ada kat sebelah. Terima kasih banyak pada Lee dan Eija yang sanggup datang tidur di rumah menemani Insyirah dan Nuha. Sebanyak 4 beg darah dimasukkan ke dalam badan bagi menggantikan 2.5liter darah yang hilang semasa pembedahan. Sedar-sedar, soalan pertama yang terpacul keluar bertanyakan tentang rahimku sama ada masih ada atau tidak. Alhamdulillah, dengan izin Allah rahimku masih ada. Doktor berjaya memberhentikan pendarahan dengan cara mengikat/menjahit rahimku bagi mengecutkannya ke keadaan asal. Dalam ayat perubatan dipanggil "compression suture". Sepanjang di HDU, Ana terpaksa mengambil morphin dan ubat penahan sakit lain bagi mengurangkan sakit "contraction". Masa ni terasa macam belum bersalin pula, sebab baru rasa "contraction" dan perut pun masih buncit ditambah tiada bayi di sebelah katil seperti kebiasaan.


Sepanjang pagi tu doktor, consultant, midwife kerap datang memeriksa rahimku sama ada mengecut atau tidak. Rasa sakit sangat bila mereka menekan-nekan perutku untuk memastikan tiada lagi pendarahan di dalam rahim. Oh ye, selain dari catherer (beg air kencing) yang disambung, drain (beg darah) juga disambung bagi menempatkan lebihan darah yang keluar dari rahim. Asyik berharap cepatlah kedua-dua beg ini dibuka sebab tak sabar nak turun dari katil dan ziarah Ahmad Mujahid di NICU. Seharian duduk di HDU dengan dijaga oleh seorang midwife sepenuh masa mengikut shif kerja. Terima kasih pada semua midwife yang sangat baik dan sabar menjagaku.


Esoknya, Khamis 9 Disember 2010, alhamdulillah lepas pemeriksaan doktor pagi tu, mereka menyuruh membuka kedua-dua beg (catherer and drain). Seronok sangat, terus bangun daripada katil dan menuju ke bilik air untuk mandi. Kemudian bersiap-siap dan petang tu juga dibenarkan keluar dari HDU dan dipindahkan ke ward B26, green bay. Dalam perjalanan ke wad B26, singgah sebentar di NICU melawat Ahmad Mujahid di NICU. Malam tu midwife suruh duduk green bay, wad yang berhadapan dengan reception dan menempatkan 4 orang pesakit. Midwife kata esok boleh dapat bilik sendiri. Tak minta pun untuk diberikan bilik sendiri dan dah rasa bersyukur sangat dengan apa yang diberikan. Malam tu juga lebih kurang jam 9 malam, midwife memberikan pam susu elektrik, streliser dan botol susu untuk menggalakkan Ana memerah susu. Pertama kali perahan hanya berjaya mendapatkan 9ml susu. Namun susu semakin bertambah dengan banyaknya setiap kali perahan. Setiap 3 jam boleh dapat hingga 180ml dan kadang lebih dari itu. Alhamdulillah rezeki Ahmad.






Esok, Jumaat 10 Disember 2010, pagi-pagi (7.30pagi) lagi dah disuruh berkemas untuk tukar wad. Kali ini Ana dipindahkan ke bilik Side Room 12 di hujung koridor, bilik seorang yang dilengkapi dengan bilik air, tv dan sinki di tepi katil. Pagi ini juga, Ana diberikan stokin ketat untuk mengelakkan blood clot. Bilik ini agak besar dan masa malam pertama duduk bilik tu agak menyeramkan sebab besar sangat, hehehe. Lama-lama ok dah. Alhamdulillah kerana dipindahkan ke bilik ini kerana senang sikit Nuha dan Insyirah nak bermain-main, lepak-lepak. Petang tu Ummi terpaksa menjaga Nuha dibilik kerana En suami nak berjumpa dengan supervisornya sekejap untuk mengambil balik pembetulan conference paper. Tak sangka boleh terbesalin awal sebab masa ini En suami sangat sibuk dengan kerja-kerja PhD nya. Deadline paper yang perlu dihantar untuk conference tu pada 15 Disember 2010. Hari ini Ana berasa sihat daripada hari sebelumnya dan sangat bertenaga ulang-alik dari wad ke NICU untuk melawat Ahmad Mujahid.


11 Disember 2010,  Sabtu, Hari ini kesihatan agak kurang memuaskan berbanding hari sebelumnya. Suhu badan tetiba naik dan Ana tak boleh turun dari katil pagi tu sebab sangat takde kudrat. Alhamdulillah ada staff yang masuk ke bilik untuk menggantikan jug air masak dan Ana memintanya mencapaikan buzzer dikepala katil untuk Ana memanggil midwife. Midwife datang dan memberikan paracetamol dan periksa suhu badan, tekanan darah dan denyutan jantung. Alhamdulillah selepas makan paracetamol baru boleh gagahkan diri untuk bangun dari katil untuk ambil sarapan pagi. Hari ini Ana hanya berehat dalam bilik sahaja sebab terasa diri seakan nak bentan pula. Mungkin sebab hari sebelumnya Ana sangat aktif berjalan ke hulu ke hilir macam tak bersalin :D  


12 Disember 2010, Ahad - Kesihatanku semakin pulih walaupun kadang-kadang terasa pening-pening. En suami dan rakannya pergi ke lapangan terbang Stansted, London untuk mengambil Mak dan Abah yang baru sampai dari Malaysia. Alhamdulillah perjalanan mereka ke sini lancar. Mereka sampai ke Nottingham dalam jam 12 tengah malam. Rutin harian seperti biasa, midwife periksa suhu badan, tekanan darah dan denyutan jantung setiap 8 jam, perah susu setiap 3 jam (tapi bila malam kadang terlajak tidur lepas 6, 7 jam baru perah susu:D) perah lambat sikit dari 3 jam tu yang dapat berbotol-botol sekali perah, sampai 8 botol :D. Sepanjang waktu melawat akan ditemani dengan anak-anak dan suami sehingga habis waktu melawat jam 9 malam, cuma hari ini mereka balik awal 3.30 petang sebab En suami nak ke lapangan terbang. Anak-anak dihantar ke rumah rakan. Bab makan pula, sepanjang duduk dihospital, alhamdulillah ada rakan-rakan yang bergilir-gilir memasak untuk meringankan beban kami sekeluarga. Bantuan rakan-rakan SANGAT membantu memudahkan kerja-kerja suami semasa Ana di hospital. Semoga Allah memurahkan REZEKI rakan-rakan semua. Hanya doa daripada Ana sekeluarga yang mampu Ana berikan buat masa sekarang. 


13 Disember 2010, Isnin hari ke-6 berpantang, staples diperut Ana dibuka oleh ketua midwife. Sepatutnya staples ini dibuka pada hari ke-5 selepas bersalin tapi Ana terlambat sehari. Patutlah rasa tak selesa jer kat perut ni bila nak bergerak-gerak. Rasa pedih kat perut bila bergerak sebab stapler tu berlaga-laga dengan kulit perut. Nak batuk, ketawa dan berjalan pun seksa. Kena pegang perut tu betul-betul kalau nak batuk ke ketawa. Malah berjalan pun terpaksa pegang perut betul-betul. Bila stapler tu dah dibuka, rasa selesa sangat. Hilang dah rasa sakit nak batuk, ketawa atau berjalan. Alhamdulillah. Hari ini mendapat tetamu yang amat istimewa :D Mak dan Abah datang melawatku di hospital. Gembira tak terkira. Alhamdulillah, selepas kedatangan Mak Abah ni, mudah sikit urusan En Suami. Tak payahlah nak membawa Insyirah dan Nuha ke sana ke mari.


14 Disember 2010, Selasa, Ana dah di discharge dari pemerhatian doktor sebab kesihatan dah semakin pulih. Doktor tak perlu datang setiap pagi untuk memeriksa keadaanku. Sekali lagi ditukar bilik ke Room 4, bahagian kediaman ibubapa yang menunggu anak di NICU. Bilik ini kecil sedikit berbanding bilik sebelumnya yang sangat luas namun dilengkapi dengan almari baju, bilik air, tv dan sinki. Ubat tahan sakit pun diberikan sepapan-sepapan dan makan bila perlu. Tak perlu midwife datang setiap 4 jam untuk memberikan ubat tahan sakit sebab Ana tak berada di bilik sepenuh masa, masa banyak dihabiskan di NICU. Namun, midwife masih datang ke bilik setiap 8 jam bagi memeriksa suhu badan, tekanan darah dan denyutan jantung. Alhamdulillah sepanjang berada dihospital, mereka menjagaku sepenuhnya.


15 - 18 Disember 2010 - Masih duduk di wad B26, room 4 dan rutin seperti biasa. Lebih kurang jam 1 tengah hari, nurse memberitahu yang Ahmad Mujahid akan dipindahkan dari NICU ke wad C29. Ana terlompat dari katil bila mendengar khabar yang amat menggembirakan. Alhamdulillah jam 6 petang 18 Disember tu, Ana juga dipindahkan ke wad C29 untuk bersama-sama dengan Ahmad Mujahid.


21 Disember 2010 - Selepas 4 hari tinggal di wad C29 (bersamaan dengan 15 hari dihospital), akhirnya kami dibenarkan pulang pada petang itu. Alhamdulillah. Bawah ini laporan daripada pihak hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Wednesday, 8 December 2010

Anugerah terindah

Syukur kehadrat Ilahi, akhirnya Ahmad Mujahid selamat dilahirkan pada 08 Disember 2010, Rabu jam 01:25 pagi bersamaan dengan 02 Muharam 1432H ketika kandungan Ummi berusia 37 minggu. EDD sepatutnya 26 Disember 2010 :) Kelahiran kali ini melalui pembedahan kerana air ketuban Ummi dah mula keluar dari pagi Selasa tetapi masih tiada rasa sakit. Ummi ditahan di wad QMC hospital pada 7 Disember 2010, 11 pagi menunggu saat untuk bersalin. Jika masih tiada rasa sakit, Ummi perlu dibedah pada keesokan paginya. Namun, lebih kurang jam 10 malam suhu badan Ummi naik tiba-tiba (37.9 darjah celcius) dan tekanan darah juga naik. Ummi ditolak terus masuk ke bilik bersalin lebih kurang jam 11 malam dan Midwife memeriksa denyutan jantung bayi dalam kandungan. Denyutan jantung bayi sedikit rendah dan kurang pergerakan. Doktor memutuskan perlu dibedah segera untuk menyelamatkan bayi kerana ditakuti terkena jangkitan. Lebih kurang jam 1 pagi, Ummi ditolak ke bilik pembedahan dan tepat jam 1.25 pagi, lahirlah Ahmad Mujahid bin Abdullah Aziz seberat 2.44kg.





New Baby Announcements
Birth Announcements by WiddlyTinks.com


AHMAD MUJAHID
Ahmad : Yang terpuji, sempena nama nabi Muhammad SAW, moga anakanda kami mengikut contoh sunnah baginda dalam kehidupan mendatang.

Mujahid : Pejuang/orang yang berusaha bersungguh-sungguh, mudah-mudahan nama ini menjadikan "Ahmad" orang yang kuat dalam kehidupan... Amiinn



Semoga Ahmad Mujahid menjadi anak yang soleh, sihat cergas seperti kanak-kanak lain dan menjadi seorang yang "imamun lil muttaqin", insyaAllah.

Wednesday, 24 November 2010

Ultrasound sessi ke 7

Jam 9.30 pagi tadi, 24 Nov 2010 sekali lagi Ummi di scan dan hasilnya tak banyak beza seperti 2 minggu lepas. Alhamdulillah segalanya baik-baik sahaja. Saiz exomphalos bayi 4-5cm dan tiada sebarang masalah lain yang timbul setakat usia 35 minggu 3 hari ini.

Kami berbincang berkenaan dengan cara bersalin dan doktor memberi pilihan sama ada Ummi nak bersalin secara normal atau melalui pembedahan. Jika kami sekeluarga bercadang untuk mempunyai ahli keluarga yang ramai, doktor mencadangkan agar bersalin secara normal kerana keadaan exomphalos bayi agak "shallow" (tak terbonjol besar ke luar). Doktor pun susah nak klasifikasikan saiz exomphalos bayi, nak kata besar, tak berapa besar tapi tak juga kecil, hehehe. Sebabnya bayi mempunyai "wide abdomen defect" yang menyebabkan keadaan exomphalos tu tak berapa terbonjol ke luar tapi melebar ketepi. Lagi satu kalau boleh doktor tak mahu induce Ummi kerana menurutnya ada risiko (1 dalam 250) untuk bekas luka pembedahan Ummi yang lepas terbuka kembali walaupun ianya sudah hampir 3 tahun setengah. Kalau boleh doktor nak Ummi sakit bersalin secara natural. Tapi sekiranya bayi dah genap 40 minggu dan masih tak mahu keluar, pembedahan terpaksa juga dilakukan. 

Doktor dah tempah tarikh pembedahan pada 29 Disember 2010 sekiranya bayi tak keluar lagi. Alhamdulillah, Ummi ada peluang untuk bersalin secara normal. Namun semuanya bergantung pada kehendak Allah. Kami redha sama ada ianya secara normal atau pun pembedahan. Tentunya perancangan Allah itu yang terbaik buat hambaNya. Doktor pakar pun mengakui yang beliau tiada "crystal ball" untuk melihat secara jelas apa yang berlaku dalam perut Ummi bagi menentukan apa yang terbaik buat Ummi dan bayi dengan keadaan exomphalos bayi setakat ini. Ya, sudah tentunya hanya Allah yang mengetahui segala yang tersirat dan tersurat. Boleh jer kalau doktor nak putuskan terus melalui pembedahan tetapi menurutnya ianya tidak adil bagi diri Ummi sekiranya Ummi boleh melahirkan secara normal, tambahan pula kami bercadang untuk menambah jumlah anak jika diizinkan Allah. . 

Allah pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak untuk menciptakan sesuatu, maka cukuplah Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah". Lalu jadilah ia. [Al-baqarah: 117]
Sesungguhnya Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui.

Apapun, perbincangan lanjut bersama pakar bedah kanak-kanak berkenaan dengan cara bersalin ini akan diteruskan berdasarkan dengan gambar scan terkini hari ini. Sekiranya pakar bedah tersebut tetap menginginkan Ummi bersalin melalui pembedahan, maka Ummi terpaksa akur dan perlu dibedah ketika usia bayi 39 minggu. Temujanji seterusnya pada 10 Disember 2010, 9.30 pagi 2 hari sebelum Mak Abah sampai insyaAllah. 

Wednesday, 10 November 2010

Ultrasound sessi ke 6

Pemeriksaan ultrasound seterusnya diteruskan hari ini, 10 November 2010 selepas ditunda dari tarikh yang dijanjikan sebelum (5 Novemeber 2010). Alhamdulillah perkembangan bayi baik setakat usia 33 minggu + 3 hari ini. Hasil pemeriksaan sama seperti sebelum di mana tiada sebarang masalah yang timbul selain exomphalos. Anggaran saiz exomphalos sebesar 4 cm dan hanya mengandungi sebahagian kecil hati. Jantung bayi pun dalam keadaan baik setakat ini. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah swt yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Sesungguhnya segala ketentuan Allah itu adalah yang terbaik buat kami sekeluarga. Semoga ujian kecil ini dapat memperbaiki diri kami sekeluarga agar lebih  menjadi muslim yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang diberi.  Tak lupa juga, mohon sanak saudara dan kawan-kawan (sekiranya terbaca mesej ini) turut mendoakan kesejahteraan bayi dalam kandungan Ummi dan juga kita semua.  Mudah-mudahan doa kita semua diterima, terutamanya pada hari wukuf Arafah nanti.

Oh ya, selepas habis pemeriksaan ultrasound tadi, kami di bawa melawat ke "Neonatal Intensive Care Unit" tempat di mana bayi kami akan diletakkan sejurus selepas lahir nanti. Ianya bertujuan memberikan gambaran apa yang akan berlaku selepas kelahiran dan mengurangkan kejutan kepada kedua ibubapa. Semasa bayi berada dalam inkubator, bayi hanya memakai "nappy" sahaja. Midwife memberitahu yang kami perlu sediakan "nappies" bayi kerana stok yang mereka ada tidak mencukupi. Namun segala peralatan bayi yang lain seperti baju dll sudah tersedia rapi di situ. Malah pam susu, botol dan peti sejuk juga disediakan. Jika ada rezeki, kami akan diberikan pam susu percuma sekiranya stok ada.

Di hadapan Neonatal Intensive Care Unit, Queens Medical Centre

Pemeriksaan ultrasound seterusnya lagi 2 minggu, pada 24 November 2010. Kali ini doktor akan bagi tahu bagaimana cara kelahiran bayi. Kalau ikutkan "consultant/doktor pakar", dia lebih selesa secara normal kerana saiz exomphalos agak kecil dan agak risau jika secara pembedahan kerana Ummi dah ada luka pembedahan masa lahirkan Insyirah dulu. Namun pakar bedah kanak-kanak lebih selesa jika bayi dilahirkan secara pembedahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi terhadap hati bayi. Apa pun mereka berdua akan berbincang bagaimana cara  kelahiran yang terbaik bagi kedua-dua pihak, ibu dan bayi, jeng..jeng..jeng....tunggu keputusan lagi 2 minggu insyaAllah:)

Friday, 8 October 2010

Ultrasound sessi ke-5

Hari ini, 8 Oktober 2010 Ummi menghadiri temujanji di QMC pada jam 10.30 pagi. Selain pemeriksaan biasa, kali ini Doktor lebih fokus pada keadaan jantung bayi (Doppler Ultrasound). Di dalam hati, Ummi menjangkakan perkara negatif berlaku pada jantung bayi kerana Doktor mengambil masa agak lama memeriksa keadaan jantung bayi. Namun hati cuba menidakkannya dan setelah selesai akhirnya Doktor mengatakan bahawa jantung bayi normal. Alhamdulillah. Saiz exomphalus setakat ini ialah 3.6 cm dan kali ini Doktor menyatakan hanya mengandungi hati sahaja.  Setakat ini, tiada masalah lain yang dapat dikenalpasti pada bayi. Semoga semuanya baik-baik sahaja hendaknya. Selain ultrasound, Ummi perlu diambil darah untuk melihat paras hemoglobin dan keputusannya 10.6. Agak rendah dan perlu mengambil "iron tablet". Padanlah Ummi mudah penat dan nak pitam.

Oh ye, kali ini juga Doktor fokus pada wajah bayi dan "print" kan untuk kami. 
Inilah wajah hero kami insyaAllah di usia 28 minggu + 5 hari. Doktor tu kata wajahnya mirip muka ayahnya. Ye ke?? Apa pun Ummi tak kisah, yang penting anak kami ini sihat dan normal seperti kanak-kanak lain dan membesar menjadi anak yang soleh penyejuk hati kami sekeluarga.

Temujanji seterusnya pada 5 November 2010, jam 10 pagi. Wasalam.

Thursday, 9 September 2010

Ultrasound sessi ke-4

Pada 9 September 2010, jam 1.30 petang merupakan temujanji Ummi yang pertama di QMC bersama Doktor pakar bersama dengan pakar bedah kanak-kanak. Usia bayi ketika ini 24 minggu + 4 hari. Pakar bedah kanak-kanak turut sama dalam temujanji ini untuk melihat keadaan sebenar exomphalus yang dialami  bayi bagi merancang kaedah pembedahan apa yang sesuai untuk bayi kelak. Walaubagaimanapun, pemeriksaan kali ini mendapati keadaan uri berada sedikit rendah dan boleh mengakibatkan pendarahan pada diri Ummi. Keadaan bayi pula menunjukkan normal kecuali exomphalus. 

Selepas menjalani ultrasound kami berbincang dengan pakar bedah kanak-kanak untuk mengetahui apa perancangan beliau selanjutnya. Beliau juga menerangkan kaedah pembedahan yang bakal dilakukan ke atas bayi dan perkara-perkara yang perlu kami jangkakan berlaku di masa hadapan. Hasil perbincangan yang dibincangkan terkandung dalam isi surat di bawah. Semoga bayi dapat dibedah dengan hanya sekali pembedahan sahaja, bukan berulang-ulang kali. Pakar bedah tersebut juga lebih suka untuk melakukan "single  operation" untuk mengurangkan risiko jangkitan terhadap bayi. Walaubagaimanapun segalanya bergantung pada saiz exomphalus dan keadaan bayi selepas lahir. Semoga Allah memberikan yang terbaik buat bayi yang bakal dilahirkan kelak.

Hasil laporan bersama pakar bedah kanak-kanak.

Friday, 6 August 2010

Ultrasound sessi ke-3

Kali ini (6 Ogos 2010, 9:30 pagi) merupakan kali terakhir Ummi menghadiri temujanji di City Hospital sebelum ditukar ke Queens Medical Center (QMC). Alhamdulillah setakat usia 19 minggu + 5 hari, tiada masalah lain yang timbul  pada bayi kecuali masalah exomphalus yang sedia ada. Kebiasaannya bayi yang mempunyai masalah exomphalos akan mempunyai masalah jantung. Oleh sebab itu Doktor perlu kerap memantau perkembangan bayi untuk memastikan jika ada sebarang masalah lain yang timbul. 

Usia bayi 19 minggu + 5 hari

Kali ini Doktor mengatakan exomphalus yang dialami oleh bayi kemungkinan "large defect" kerana ianya mengandungi hati sekali. Jika sebelum Doktor mengatakan saiznya adalah dalam kategori pertengahan (moderate), tapi kali ini boleh dikategorikan sebagai besar. Namun, Doktor masih perlu memantau perkembangan bayi seterusnya. Hanya kepada Allah kami berserah. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan, insyaAllah. 

Temujanji Ummi seterusnya bersama Doktor pakar di QMC bersama dengan pakar bedah kanak-kanak pada 9 September 2010..

Friday, 16 July 2010

Ultrasound sessi ke-2

Alhamdulillah setelah keputusan ujian kromosom yang lepas normal, maka selepas 3 minggu Ummi perlu hadir pada temujanji yang seterusnya pada 16 Julai 2010, jam 12.30 tengah hari. Bermulalah episod pemeriksaan bayi pada setiap bulan untuk memantau perkembangan bayi.

Usia bayi ketika ini 16 minggu + 5 hari. 

Setelah diperiksa, tiada masalah lain yang timbul kecuali masalah exomphalos yang ada. Cumanya jika sebelum ini Doktor mengatakan usus (bowel) sahaja yang berada diluar, tapi kali ini Doktor mengenalpasti hati (liver) juga turut berada diluar. Maknanya exomphalus yang dialami oleh bayi mengandungi usus dan hati. Allahuakbar! Makanya pembedahan yang perlu dilalui oleh bayi selepas lahir nanti bertambah kompleks lagi. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan.

Ketika ini juga Doktor mengatakan yang Ummi akan dipantau seterusnya oleh Doktor lain yang berada di  Queens Medical Center (QMC) kerana Ummi perlu melahirkan bayi di QMC, bukan di City Hospital seperti yang dirancang pada awalnya. Alhamdulillah kerana pihak QMC boleh melakukan pembedahan ke atas bayi selepas lahir nanti dan bayi tidak perlu ke Great Ormond Hospital, London seperti yang tertera di dalam surat yang diberikan sebelum ini. 

Monday, 28 June 2010

Ultrasound sessi pertama

Alhamdulillah, Insyirah dan keluarga telah mendapat berita baik pada bulan April yang lepas tentang kehadiran bakal ahli keluarga baru. Hari berkenaan juga merupakan ulangtahun perkahwinan Ayah dan Ummi yang kelima :)

Di UK, ibu-ibu yang mengandung kebiasaannya hanya perlu untuk scan keadaan bayi sebanyak 2 kali, iaitu pada minggu ke-12 atau 13 (dipanggil "dating scan") dan keduanya pada minggu ke-20 (detailed scan). Setelah membuat temujanji dengan midwife, temujanji pertama telah ditetapkan pada Khamis 24 Jun 2010 di City Hospital, Nottingham.

Insyirah, Nuha dan Ayah turut sama menemani Ummi ke hospital. Kami sekeluarga menaiki bas Medilink untuk ke hospital disebabkan kami masih tak biasa dengan keadaan di City Hospital. Dah lama rasanya Insyirah sekeluarga tak menggunakan kenderaan awam bersama-sama, mungkin kena amalkan selalu ni :D

Temujanji pada hari tersebut sekitar 2.30pm. Mulanya Ummi di scan oleh bidan atau lebih mesra di UK ini dengan panggilan "midwife". Scan kali ini agak kurang lancar berbanding dengan scan semasa mengandungkan Nuha dulu. Ada sesuatu di luar kebiasaan pada kandungan Ummi kali ini. Midwife menghadapi kesukaran untuk mengesahkan keadaan bonjolan pada perut bayi yang beliau perhatikan pada imej imbasan. Di fikiran beliau, tanda tersebut mungkin "exomphalos" atau "gastrochisis". Kami terpinga-pinga mendengar istilah yang kali pertama didengari itu. Lalu satu temujanji baru telah dibuat dengan doktor pakar keesokan harinya untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Usia bayi ketika ini 13 minggu + 4 hari. Gambar scan di atas menunjukkan ada bonjolan di atas perut bayi yang kemungkinan "exomphalos" atau "gastrochisis".

Pulang ke rumah dengan fikiran yang risau dan melayang-melayang, Ummi terus melayari beberapa laman web untuk memahami serba sedikit mengenai 2 keadaan yang dimaksudkan midwife tadi. Barulah kami sekeluarga dapat gambaran sedikit mengenai apa yang dimaksudkan midwife. Mungkin boleh dikatakan, ketika itu seolah-olah antara detik yang tersedih sepanjang kehidupan berkeluarga Ayah dan Ummi. Terdetik di hati, nasib baiklah kita dikurniakan nikmat Islam di mana kita percaya segalanya akan berbalik kepada kehendak Allah. Walaupun susah dan berat untuk menerima pada mulanya, Alhamdulillah, sikit demi sedikit keresahan hati cuba dikurangkan.

Jumaat, 25 Jun 2010, kami sekali lagi ke City Hospital untuk temujanji dengan pakar pada pukul 10.30am. Kali ini, tidak perlu menunggu di ruang pesakit. Terus saja diberi layanan "istimewa" di "fetal care unit". Hati dipaksakan tabah, tetapi resah tetap menghimpit jiwa. Doktor pakar, yang rasanya berumur sekitar 50-an, membuat pemeriksaan Ummi pada hari itu. Beliau mengesahkan yang kandungan Ummi menghadapi exomphalos di mana saluran usus (bowels) bayi dipercayai berada di luar perut. Beliau anggarkan saiz exomphalos itu dalam keadaan pertengahan (moderate).

Doktor menyarankan Ummi menjalan ujian bilangan kromosom (@ nama saintifiknya: Chorion-villus sampling) untuk mengenal pasti sekiranya terdapat masalah genetik seperti syndrome down. Tetapi tiba-tiba kami terfikir tentang bayaran tambahan. Alhamdulillah, kami terlupa tentang rawatan kesihatan yang percuma di UK. Midwife juga mengingatkan kami tentang kebarangkalian kecil untuk berlaku kes keguguran. Ummi bersetuju untuk menjalankan ujian demi kebaikan bayi. Terus saja Ummi masuk semula ke dalam bilik scan dan sampel air diambil dari plasenta Ummi dengan jarum. Keputusannya akan dimaklumkan kepada kami melalui telefon pada hari Isnin nanti. Doktor juga menasihatkan Ummi untuk berehat selama 3 hari daripada membuat kerja-kerja berat.

Mulanya kami merancang untuk membuat majlis makan-makan di rumah kami pada hujung minggu berkenaan, tetapi terpaksa dibatalkan untuk merehatkan diri dan emosi :D Ada rakan-rakan yang berkunjung bertanya khabar, terima kasih diucapkan. Tak lupa juga buat yang mendoakan melalui facebook.

Berkenaan keputusan ujian kromosom tersebut, doktor memaklumkan sekiranya bilangan kromosom terlebih atau terkurang dari 46, doktor menjangkakan yang bayi mungkin akan sukar untuk terus hidup sehingga tempoh kelahiran. Alhamdulillah, jumlah kromosom dalam bilangan yang normal dan jantina bayi dikenalpasti sebagai lelaki (XY).

Jadi, kami akan berjumpa lagi dengan doktor pakar untuk pemeriksaan selanjutnya selepas 3 minggu dimana kandungan berusia 16 minggu.