Showing posts with label Perayaan. Show all posts
Showing posts with label Perayaan. Show all posts

Thursday, 29 September 2011

Jamuan aidilfitri 2011

Hari ini sudah 2 Zulkaedah, tetapi cerita raya masih tak habis-habis, hehehe. Pada Syawal yang lalu, alhamdulillah, Allah memberi kesempatan kepada kami sekali lagi untuk mengajak rakan-rakan beraya ke rumah kami pada Sabtu minggu ke 3 Aidilfitri bersamaan dengan 17 September 2011.  Kali ini kami panggil seramai yang boleh kerana ini mungkin kali terakhir kami dapat menjemput rakan-rakan ke rumah sebelum kami membungkus semua pinggan mangkuk dan meja. Mohon maaf kepada yang terlupa untuk dijemput dan yang tidak perasan jemputan di "mukabuku". Terima kasih kepada semua yang sudi menghadirkan diri dan mohon maaf di atas segala kekurangan. 

Juadah utama yang disediakan pada hari tersebut ialah pasembor/mee rojak atas permintaan rakan-rakan yang tidak puas merasainya ketika projek ramadhan kami yang lalu. Menu sampingan nasi ayam dan sedikit sate. Ramai tetamu yang hadir menanyakan bagaimana Ana sempat memasak kesemua menu, huhuhu. Ana pun macam tidak percaya boleh sempat memasak kesemuanya disebabkan Ana ini jenis yang agak lambat bab-bab memasak ini. Namun di atas sokongan suami, berjaya juga Ana menyiapkan kesemuanya. Jemputan bermula dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang untuk sesi pertama dan jam 3 petang hingga 7 petang untuk sesi kedua. Kami terpaksa membuat dua sesi kerana keadaan rumah yang kecil.

Oleh kerana jemputan bermula jam 12 tengah hari, tentunya tidak sempat jika pagi itu baru hendak memasak kesemuanya. Jam 9 malam Ana sudah masuk tidur untuk menidurkan anak-anak. Jam 1 pagi sudah bangun dan setelah selesai solat bermulalah misi memasak kuah sate. Sambil menunggu kuah sate siap, rebus keledek dan kisar untuk menyediakan kuah pasembor. Masa ini juga baru sempat nak cucuk sate kerana keadaan Ahmad yang kurang sihat 2-3 hari sebelumnya, huhuhu. Jam 3 pagi, Ahmad bangun pula hendak menyusu dan menyusukannya sambil Ana pun tidur sekali hingga jam 5 pagi. Kemudian bangun untuk solat Subuh dan memasak kuah pasembor pula. Lebih kurang jam 8 pagi baru siap kuah pasembor dan terus merebus ayam untuk nasi ayam. Fuhh, masa ini agak stress sebab Ahmad sudah menangis nak menyusu dan banyak lagi yang tidak siap. Rasa macam tak cukup tangan dan dengan keadaan dapur yang tidak muat untuk masak banyak-banyak periuk. Mana nak rebus spagethhi, goreng cucur untuk pasembor, goreng ayam, dan macam-macam lagi, huhuhu. Namun alhamdulillah, segalanya berjaya disiapkan, cuma tetamu tiba 10 minit awal terpaksa tolong kupaskan telur dan potong-potong. Terima kasih kepada adik-adik Medik :)
Gambar tengah & bawah: Antara menu yang disajikan dan kuah pasembor yang sedang mendidih atas dapur elektrik
Gambar atas: Gambar selepas majlis selesai. Insyirah tertidur keletihan :)




Antara tetamu yang sudi menghadirkan diri. Terima kasih semua. Terima kasih juga kepada suami dan rakan-rakan yang tolong pegangkan Ahmad kerana Umminya sibuk didapur :)

InsyaAllah selepas ini kita berkumpul di Malaysia pula. Tak tahulah masih ada kesempatan hendak masak sendiri nanti atau main order sahaja :D Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan tinggal di bumi permaisuri ini dan secara tidak langsung mengubah diri dari yang tidak pandai masak kepada bolehlah memasak sikit-sikit walau masih diperingkat amatur :) Semoga ukhuwah yang terjalin kekal selamanya dan di dalam keberkatanNya, amin.

Saturday, 24 September 2011

Minggu ke 2 Aidilfitri

Pada hari Sabtu, minggu ke-2 Aidilfitri yang lepas, kami dikunjungi rakan USM yang belajar di London yang tiba di rumah kami pada Sabtu tengah hari. Pada sebelah pagi yang sama juga Ayah menolong angkat barang masuk ke kontena rakan-rakan yang akan pulang ke Malaysia. Nampaknya semakin berkurangan lagi jumlah warga Malaysia di Nottingham ini. Pagi esok pun ada lagi upacara mengangkat barang masuk ke kontena dan giliran kami juga akan menyusul bulan depan insyaAllah, huhuhu.


Pada petang Sabtu kami membawa mereka berjalan-jalan sekitar bandar Nottingham dan keesokannya ke East Midland Designer Outlet :)

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke rumah kami dan semoga persahabatan yang terjalin kekal selamanya :)


Friday, 23 September 2011

Kisah di minggu pertama Aildilfitri 2011

Ada sanak saudara dan rakan taulan yang bertanya bagaimana sambutan perayaan diperantauan. Dulu pun sebelum sampai di bumi Nottingham ini, terfikir juga bagaimana sambutan raya di sini. Masa tu hanya terbayang keadaan raya yang serba ringkas tidak seperti di Malaysia. Tambah pula dengan lagu-lagu raya yang sedih tentang raya diperantauan, hanya suasana suram tentang gambaran hari raya di perantauan. Namun gambaran itu tidak tepat kerana suasana hari raya diperantauan bergantung kepada jumlah warga Malaysia yang berada di sesuatu tempat itu dan bagaimana mereka meraikannya. Alhamdulillah, ramai warga Malaysia di Nottingham sepanjang kami berada di sini dan hubungan sesama kami juga agak baik. Bagi Ana pengalaman setiap kali raya di sini agak menarik dengan aktiviti kunjung-mengunjung dan pada masa yang sama dapat merasai pelbagai jenis masakan :)

Pada hari raya pertama, buat pertama kalinya Ana tidak menyediakan rendang, nasi impit dan kuah kacang sepanjang berada di Nottingham. Ana hanya menyediakan laksa penang di pagi hari beserta kuih muih yang dipos dari Malaysia. Juadah itu juga yang kami hidangkan buat Kak Min sekeluarga yang berkunjung ke rumah kami sesudah solat aildilfitri di masjid yang berdekatan. Sesudah solat zohor kami memulakan aktiviti ziarah ke rumah rakan-rakan yang telah menjemput secara rasmi ke rumah mereka.

Juadah di hari raya pertama dan bergambar kenangan bersama keluarga Kak Min dan anak-anak jiran

Kunjungan pertama kami ke rumah Afdhal yang juga terletak di Forest Field. Kemudian kami pergi ke kawasan Radford, yang jauhnya lebih kurang 5 minit berkereta (kalau trafik lancar) untuk beraya ke rumah Kak Zana dan juga ke rumah Kak Haz. Baru 3 buah rumah, waktu sudah jam 6 petang dan kami solat Asar di rumah Kak Haz. Setelah itu, kami berkunjung ke rumah Kak Azie di Wilkinson Street, yang tidak jauh dari kawasan Forest Field. Kemudian pulang ke rumah untuk bersolat maghrib dan membersihkan anak-anak, hajatnya selepas itu hendak beraya lagi namun tidak kesampaian bila mana anak-anak sudah letih dan hendak tidur.

Di Rumah Afdhal, Kak Zana, Kak Haz dan Kak Azie.

Pada hari raya ke-2 kami menerima kunjungan daripada Kak Zehan sekeluarga dan Ana merebus laksa sekali lagi dan menjamu mereka. Insyirah dan Nuha gembira bila rakan sebaya datang beraya ke rumah. Sesudah zohor, kami memenuhi jemputan rakan-rakan untuk beraya ke rumah mereka. Antaranya rumah Kak Mashitah, Kak Nadira dan Kak Zehan. Semasa beraya, Elly yang juga kenalan USM turut mengajak beraya ke rumahnya. Kami ke rumah Elly sudah hampir maghrib dan kami bersolat di situ sahaja. Pada sebelah malam, kami berkunjung ke rumah Kak Zura dan kak Farizah. Kami tiba di rumah semula hampir jam 12 tengah malam. Kira rekod tiba di rumah selepas beraya kali ini agak awal berbanding tahun-tahun yang lalu yang menjangkau ke awal pagi :D    

Bergambar kenangan di rumah Kak Mashitah, Kak Nadira, Kak Zehan, Elly, Kak Zura dan Kak Farizah

Hari raya ke-3 tiba-tiba Ana rasa hendak masak-masak sikit. Memandangkan rumah kami yang semakin mengecil yang dipenuhi barang-barang, kami hanya memanggil sebahagian rakan-rakan terlebih dahulu berkunjung raya ke rumah. Menu hari itu hanyalah mee rebus (guna resepi kak Yati, jiran yang sudah kembali ke Malaysia :D)
Antara rakan yang berkunjung ke rumah di hari raya ke-3.

Pada hari raya ke-4 kami hanya beraya ke rumah kak Ani sekeluarga setelah menghantar Insyirah ke kelas mengaji.
Bergambar di rumah kak Ani bersama Kak Sherryn dan Kak Ary.

Pada hari raya ke-5, Sabtu kami menerima jemputan sarapan pagi raya di rumah Kak Fae. Kemudian kami memenuhi jemputan Kak Wan dan Hanna yang bergabung menganjurkan rumah terbuka di kawasan Lenton. Setelah itu kami pergi ke rumah terbuka adik-adik Medik di Dunkirk. Pelajar-pelajar Medik di tahun-tahun akhir tidak bercuti ketika ini walaupun pelajar undergrad lain sedang bercuti semester dan kebiasaannya mereka pulang ke Malaysia setiap kali cuti semester musim panas. Setelah solat zohor di rumah adik-adik Medik, kami meneruskan raya ke rumah Eda di Radford dan ke rumah Kak Nila di Forest Field.

Bergambar di rumah Kak Fae, Kak Wan-Hanna, Adik-adik Medik, Eda dan Kak Nila.

Hari raya ke-6, Nottingham Malaysian Community (NMC) menganjurkan majlis sambutan aidilfitri di Atrium, Jubilee campus, University of Nottingham. Sempat juga berkunjung ke rumah cikgu-cikgu mengaji Insyirah @ pelajar Medik tahun akhir di Dunkirk.

Sekitar majlis aidlifitri NMC di UoN

Bergambar ramai-ramai dalam The Atrium sebelum menjamu selera :)

Sekali lagi bergambar kenangan di penghujung majlis

Kesimpulannya, di mana pun kita berada kita sendirilah yang mencorakkan suasana raya itu. Yang paling penting, kita gembira di hari raya dan mengeratkan tali persaudaraan sesama kita. InsyaAllah semoga Allah memberi ganjaran kepada kita dalam mengeratkan silaturahim ini. 

Nota: 
Teringat coretan Dr MAZA tentang kelebihan ziarah saudara sesama muslim seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:
“Sesungguhnya muslim apabila menziarahi saudara muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu khurfah syurga?. Jawab baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)”. (Riwayat Muslim).

Tuesday, 13 September 2011

5 kali Aidilfitri bersama anak-anak

Tadi baru saja menyiapkan photobook. Sambil-sambil itu, terlihat gambar-gambar semasa sambutan Aidilfitri yang lepas. Sudah 5 kali kami beraya Aidilfitri sebagai ibu dan ayah dan kelima-limanya disambut di bumi Nottingham ini.

Sebagai rekod, kami telah menyambut 1 Syawal di Nottingham, UK  pada tarikh berikut:
  1. 1428H - 12 Oktober 2007
  2. 1429H - 29 September 2008
  3. 1430H - 20 September 2009
  4. 1431H - 10 September 2010
  5. 1432H - 30 Ogos 2011

Setelah lebih kurang 17 hari berada di bumi Nottingham dan juga ketika itu usia Insyirah baru 3 bulan setengah, kami telah menyambut Aidilfitri pertama di Nottingham pada hari Jumaat. Pertama kali beraya di perantauan dalam keadaan serba kekurangan dan masih dalam proses penyesuaian diri dengan pengajian, cuaca dan masyarakat sekeliling. Juga tidak dapat dilupakan, kami sekeluarga tertidur di pagi raya sehingga terlepas solat sunat Aidilfitri. Pada hari yang sama, Ayah Insyirah bersolat Jumaat di Masjid Karimia yang mana jemaahnya (majoritinya warga British berketurunan Pakistan) masih lagi berpuasa dan akan menyambut Syawal pada esok hari. Warga Malaysia di Nottingham beraya berdasarkan tarikh yang diumum oleh London Central Mosque. Majlis rasmi Aidilfitri warga Malaysian Nottingham Community telah dianjurkan pada hari raya kedua di Noel Street Leisure Centre.

Ketika Aidilfitri yang kedua bagi kami sekeluarga di Nottingham, kami diserikan dengan berita kehadiran cahaya mata kedua. Juga kali kedua beraya Aidilfitri di 106 Bradgate Road, NG7 6HJ, Nottingham. Ummi baru sahaja menyelesaikan pengajian MSc nya dengan menghantar dissertation pada 15 September 2008. Ummi juga telah memohon untuk bercuti tanpa gaji dan menangguhkan dulu hasratnya untuk menyambung pengajian PhD. Kami sekeluarga juga berpeluang menjadi host kepada warga baru Nottingham ketika itu. Aunty Ecah, guest kami, yang jadi jurugambar bagi gambar kami sekeluarga di bawah.


Aidilfitri ketiga kami diserikan dengan kehadiran Nuha yang ketika itu baru berusia 4 bulan. Raya warga Malaysia di Nottingham dimeriahkan dengan pelbagai rumah terbuka yang dianjurkan pada setiap minggu sepanjang Syawal. Setiap kawasan tempat tinggal warga Malaysia di Nottingham telah berpakat bersama-sama untuk menganjurkan majlis rumah terbuka masing-masing. Kami warga Forest Field turut menganjurkan majlis "dewan" terbuka Aidilfitri pada 3 Oktober 2009.


Aidilfitri keempat kami diserikan dengan 2 anak dara kami yang semakin membesar dan boleh bermain antara dua beradik ini. Ketika itu, Ummi Insyirah juga sedang mengandung sekitar 6 bulan. Walaupun bayi dalam kandungan disahkan menghadapi masalah exomphalos, tetapi kami bersyukur dan gembira kerana kami bakal diserikan dengan kehadiran hero pertama buat kami sekeluarga.

Pada tahun ini, kami telah menyambut Aidilfitri yang kelima di Nottingham pada 30 Ogos 2011 setelah berpuasa selama 29 hari. InsyaAllah, Aidilfitri kali ini merupakan yang terakhir buat kami sekeluarga sebelum berangkat pulang ke Malaysia untuk memulakan fasa hidup yang baru. Alhamdulillah, putera sulung kami, Ahmad Mujahid, juga semakin membesar dengan sihat dan ceria.

Sepanjang beraya di perantauan ini, kami rasa bersyukur dengan kehadiran rakan-rakan terutamanya warga Malaysia di Nottingham yang memeriahkan suasana hari raya kami di sini dengan hubungan yang rapat dan juga pelbagai sajian tradisi Malaysia. Semoga hubungan ini berterusan sepanjang hayat dan beroleh manfaat di akhirat. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih buat sanak saudara dan sahabat handai di Malaysia yang  mengutus bungkusan kuih raya dan juga baju raya untuk kami sekeluarga :)

Monday, 30 November 2009

Aidiladha 2009

10 Zulhijjah 1430H jatuh pada Jumaat, 27 November 2009. Ini merupakan kali ke-6 kami beraya diperantauan (termasuk raya Aidilfitri yer, hihihi). Juadah raya yang Ummi sediakan kali ni, mee rebus, nasi impit, kuah kacang, sate daging goreng dan rendang ayam (Agak mencabar juga nak masak bila anak-anak demam batuk selsema, huhuhu). Setelah Ayah pulang dari solat raya, kami makan bersama-sama sebelum keluar beraya ke rumah Unty Cahaya dan Unty Sha. Kali ni tak banyak rumah yang kami ziarah kerana ramai yang perlu ke Universiti melaksanakan tanggungjawab yang utama kami di sini.  Sebelah petang hanya menunggu di rumah menerima kunjungan rakan-rakan dan disebelah malam setelah tetamu pulang, kami bergegas ke rumah Unty Ros yang baru kehilangan Ayahanda tercinta di malam raya. Al-fatihah buat arwah Ayah Unty Ros.
Di pagi raya, sebelum keluar beraya, harus makan dahulu. Insyirah pun mahu disuap juga seperti Nuha :) (sebenarnya boleh jer suap sendiri sebelum ni)

Beraya di rumah Unty Sha (gambar dari kamera Unty Sha). Ummi bawa kamera tapi terlupa nak ambil gambar walau sekeping, huhuhu. Gambar yang Ayah berbaju coklat tu, semasa NMC nya sambutan pada keesokannya, Sabtu. Hari kedua raya tu memang Ummi tak masak seharian. Sambutan raya NMC diadakan secara potluck pada sebelah pagi. Ummi bawa nasi impit, kuah kacang dan rendang ayam (memang masak lebih malam raya tu untuk bawa ke dewan).

Kemudian pulang ke rumah solat dan keluar semula beraya ke rumah Unty Mas, Unty Zana, Unty Farah dan Unty Fae. Ahad keesokannya, kami menjemput sebahagian rakan-rakan yang belum bertandang ke rumah. Menu hari Ahad hanyalah laksa utara, agar-agar bodo dan bread stick cicah coklat (pertama kali guna choclate fountain) :)

Begitulah cerita Aidiladha kami kali ini.

Salam Aidiladha dari Insyirah sekeluarga.

Thursday, 15 October 2009

Kisah Raya 2009

Pejam celik, pejam celik dah 26 hari kita beraya. Harini juga (15hb Oktober 2009), genap 5 bulan usia Nuha. Cepatnya masa berlalu. Dan sudah agak lama juga blog ni tak ber"update" disebabkan penyakit "M", hehehe.

Ini merupakan kali ke-3 raya aidilifitri kami di UK dan 1 Syawal 1430H jatuh pada hari Ahad, 20 September 2009. Juadah hari raya kami kali ini laksa utara, nasi impit dan kuah kacang yang disediakan oleh Ummi.


Gambar Insyirah sekeluarga sepanjang raya
Kami beramai-ramai bersolat hari raya di Dewan Sekolah Islamia yang dianjurkan oleh pihak NMC (Nottingham Malaysia Committee). Usai solat raya, kami tidak pulang ke rumah, tapi terus pergi beraya ke rumah rakan-rakan. Balik rumah sebentar sebab ada kawan nak singgah beraya pada petangnya. Kemudian keluar beraya semula selepas solat maghrib. Dalam sehari tu dapat juga 9 buah rumah. Amboi sakan betul! Esoknya pergi beraya lagi dalam 4 buah rumah dan hari berikut dan seterusnya Ayah sudah mula bersekolah. Hanya pada waktu malam kami pergi beraya dan menerima kunjungan raya. Setiap hujung minggu pula (setiap Sabtu & Ahad) pastinya ada rumah terbuka atau dewan terbuka raya. Meriah sangat. Memang terasalah raya tu sebulan. Dah penghujung raya ni pun masih ada lagi rumah terbuka, Sabtu ni (28 Syawal) pagi dan petang. Alhamdulillah rezeki.

Hujung minggu yang sibuk dengan jemputan rumah & dewan terbuka
Oh ye, raya kali ni kami "join" rumah terbuka yang dianjurkan oleh 12 buah keluarga yang diadakan di dewan. Menu yang disediakan ialah Nasi putih berlaukkan ayam masak lemak rebung, kari kambing, kurma kambing, telur masak kicap, sayur campur, kerabu mangga, kerabu perut + taugeh dan ulam-ulaman beserta sambal belacan. Sate kambing dan roti cicah sup tulang juga disediakan. Pelbagai kuih muih seperti karipap, keria, pulut serunding, kaswi, wadeh dan agar-agar yang bewarna warni juga ada. Pendek kata memang meriah rumah terbuka ni dengan masakan yang "marvellous" (masuk lif tekan sendiri :D).
Gambar sebelum dan semasa majlis "open hall" berlangsung.
Raya bakal melabuhkan tirainya. Adakah tahun hadapan kami dapat beraya di Malaysia?? Wallahua'lam. Semoga Ayah dipermudahkan perjalanannya dalam pengajiannya. Ya, bak kata Ayah, kadang-kadang terasa jalan yang dituju agak bersimpang-siur, ada u-turn sana sini, tak nampak jalan dan sebagainya, tapi harapannya mudah-mudahan boleh juga sampai ke destinasi yang hendak dituju dengan beroleh PhD dan ilmu yang bermanfaat untuk semua.
Kami mengharapkan doa dari semua agar dipermudahkan perjalanan kami di sini. Terima kasih.
Salam aidilfitri dari Insyirah sekeluarga buat semua.
-26 Syawal 1430 H-

Monday, 8 December 2008

Salam AidilAdha 1429H / 2008

Hari ini, 8 Disember 2008, merupakan AidilAdha yang kedua bagi Insyirah sekeluarga di perantauan. Kami juga sedang berada di musim sejuk di mana suhu di Nottingham sekarang ini kebiasaannya berada pada 1 hingga 5 darjah Celcius dan kadangkala di bawah tahap beku.. sejuk tu bagi kami.. huhuhuhu.. Ummi pun baru saja beransur pulih daripada batuk-batuk yang berlarutan semenjak 2 minggu yang lepas. Harapnya kesihatan kami sekeluarga beransur baik selepas ini.

Di kesempatan ini, sebagai manusia yang sering alpa dan terdedah dalam melakukan kesilapan, kami ingin mengambil kesempatan memohon kemaafan andainya ada salah silap dari segi tutur bahasa dan juga tindakan secara langsung ataupun tidak. Kami doakan sanak saudara dan rakan taulan semua bergembira di hari lebaran ini. Mungkin ada di kalangan kita yang bakal "menumbangkan" binatang ternakan sempena hari raya ini, semoga amal anda semua diberkati olehNYA dan tidak lupa, semoga kita semua dapat menghayati maksud di sebalik ibadah korban ini.

Pagi ini, Insyirah sekeluarga bersama-sama warga Nottingham Malaysian Community yang lain akan berkumpul di Noel Street Leisure Centre yang berdekatan rumah kami bermula dari jam 9.00 pagi untuk majlis rasmi sempena AidilAdha kali ini. Oklaa dulu yer, Insyirah beransur dulu untuk bersiap-siap ke majlis tersebut. Ok, jumpa lagi...

Salam AidilAdha buat anda semua, tanda anda sentiasa dalam ingatan kami sekeluarga :)

Sunday, 2 November 2008

Gambar Aidilfitri 2008

Di atas permintaan Acu, akhirnya Ummi letakkan beberapa keping gambar Insyirah dan keluarga sekitar hari raya yang lepas. Usia Insyirah ketika itu lebih kurang 15 bulan. Baju raya kami sekeluarga dihadiahkan oleh nenek dan sampai ke tangan kami dipertengahan ramadhan, setelah dua bulan setengah belayar di atas kapal:) Terima kasih nenek!


Ini pula geng Insyirah di Nottingham, di hari raya pertama 2008. Dulu masa mula-mula sampai (setahun yang lalu :-D ), dua-dua kecil lagi. Jarak umur sebenarnya beza sebulan jer, Insyirah (15 bulan) dan Eriem (16 bulan). Memang sedar Insyirah ni saiz "S" jer. Tapi tak perasan pula Insyirah ni sekecil ni (paras telinga Eriem jer, isk isk) hehehehe
Ini juga gambar Insyirah pada hari raya pertama dan juga hari terakhir Insyirah di Nursery setelah 6 bulan ber"sekolah" di sini. Terasa berat hati nak meninggalkan kawan-kawan dan cikgu-cikgu yang baik hati. Terima kasih cikgu!
Ini pula gambar Insyirah pada hari raya ke-4 ketika sambutan hari raya aidilfitri oleh semua warga Malaysia di Nottingham. Inilah baju yang nenek jahitkan untuk Insyirah, pandai nenek agak saiz Insyirah ye (memang nenek "expert" pun bab-bab menjahit ni).

Tuesday, 30 September 2008

Esok hari raya.. esok hari raya :D

Alamakkk.. esok (Selasa, 29 September 2008).. sekarang pukul 8.00 pm kat UK ni, hari Isnin.

Apa-apa pun...

SELAMAT HARI RAYA.. MAAF ZAHIR BATIN buat semua sanak saudara dan sahabat handai yang mengenali kami sekeluarga :)

Saturday, 29 December 2007

AidilAdha 2007 dan Majlis AidilAdha & Walimatulurus NMC

Alhamdulillah, AidilAdha telah disambut oleh warga Muslim di UK pada hari Rabu, 19 Disember 2007. Manakala di Malaysia, ianya disambut lewat sehari dari kami di sini. Bagi kami sekeluarga, ini merupakan perayaan Islam ke-2 di perantauan. Semasa Aidilfitri yang lepas, persiapan kami agak kelam kabut juga di sebabkan baru tiba di UK dan juga baru berpindah ke rumah sewa kami di sini. Sampaikan, solat sunat Aidilfitri pun ayah Insyirah terlepas untuk menunaikannya (hehehe.. tertidur kot masa tu sebab letih mengemas rumah).
.
Namun, persiapan perayaan kedua kami di sini lebih baik dari Aidilfitri yang lalu sebab Insyirah & keluarga dah mula nak "settle down" dengan kehidupan di Nottingham ni. Pada masa ini juga, Ummi dah habis kelas MSc, jadi sempatlah untuk menyediakan beberapa juadah sederhana di hari raya antaranya ketupat segera :D, rendang, kuah kacang, bihun tomyam dan kuih-kuih. Solat sunat AidilAdha telah dilaksanakan oleh warga NMC pada pagi hari raya di Dewan Forest Field Welfare Centre, Russell Road. Insyirah rasa, sambutan AidilAdha oleh warga NMC tidaklah sehebat sambutan Aidilfitri yang lalu kerana tiada "rumah terbuka khas" yang diadakan bersempena AidilAdha.
.
Juadah sederhana yang disediakan oleh Ummi Insyirah pada AidilAdha 2007.
.
Bersempena AidilAdha 2007 juga, Nottingham Malaysian Community (NMC) buat julung kalinya menganjurkan Majlis Potong Jambul & Perkahwinan Pasangan NMC yang telah berlangsung pada hari Sabtu, 22 Disember 2007 dengan jayanya. Majlis potong jambul dijalankan buat cahaya mata Uncle Taufik, ajk perumahan NMC, yang banyak membantu warga baru mendapatkan host di Nottingham. Manakala, pengantin perempuan yang juga warga NMC telah diraikan bersama pasangannya.
.
Potong jambul cahayamata Uncle Taufik dimulakan terlebih dahulu.
.
Penyediaan jamuan dilakukan mengikut "kariah" yang telah ditetapkan oleh ajk NMC. Ummi telah diletakkan dibawah kumpulan Auntie Laili yang ditugaskan untuk memasak KURMA DAGING. Ummi memasak juga haritu (walaupun sekejap je:D ) sambil bersembang-sembang dengan senior2 NMC bertukar cerita dan gosip, ahakss Insyirah dan ayah juga ikut Ummi ke rumah auntie Laili.
.
Akhir kata, buat kaum keluarga dan rakan taulan di Malaysia, kami di Nottingham ingin mengucapkan Salam AidilAdha 2007, semoga kita semua sentiasa bersedia untuk berkorban demi agama tercinta, juga bangsa dan negara.

Kami sekeluarga di AidilAdha 2007, Nottingham, United Kingdom.

Monday, 15 October 2007

Sambutan Aidilfitri 2007

Allaahu Akbar, Allaahu Akbar, Allaahu Akbar, Wa LillaahilHamd

Alhamdulillah, seluruh ummat ISlam telah selamat menjalankan ibadah puasa selama sebulan dan Insyirah pula dah 2 minggu lebih berada di bumi Nottingham. Selalunya di Nottingham ni, warga Malaysia akan ikut keputusan Raya yang dibuat oleh ISlamic Society di UoN atau berdasarkan masjid di London. Jadi, kami di Nottingham telah menyambut Aidilfitri pada hari Jumaat, 12 Oktober 2007 (ada warga Pakistan sambut raya pada hari Sabtu). Ayah telah pun bayar zakat fitrah kami sekeluarga di Masjid Karimia di mana setiap orang dikenakan zakat sebanyak GBP 2.50.

Persediaan malam raya, Ummi ada belikan ayam dan daging kambing beserta dengan bihun di kedai berhapiran rumah. Bagi raya kali ini, persiapan hanya dilakukan untuk kami bertiga sahaja sebab banyak kekurangan alat di rumah kami ini. Periuk besar pun tak ada lagi. Periuk yang ada cuma cukup untuk masak bagi kami bertiga. Hari raya pertama, kami tertidur sebab letih mengemas rumah hinggakan ayah sendiri tak pergi sembahyang raya. Cumanya, Ayah pergi solat jumaat dan petangnya Ummi ada kelas pula (hehehe, Ummi ponteng kelas tu dan kami pergi cari periuk besar dan telefon nenek di Malaysia. Sempat la juga layari internet buat seketika).

Hari raya kedua, Sabtu, warga Malaysia di Nottingham berkumpul di suatu dewan dekat Noel Street dan kami juga turut hadir di situ. Ummi hanya bawa karipap dan kek untuk majlis tu. Meriah sambutan raya di situ dan banyak juga laa Insyirah bergambar dengan warga Malaysia yang lain. Kami hanya sempat bergambar di dewan sebab bateri kamera dah nak habis pula, uhuuhu. Lepas tu kami pergi jalan-jalan dengan Uncle Azmil sekeluarga ke rumah terbuka pelajar Malaysia di Nottingham, antaranya rumah uncle Muzammil, Wan, Nizam, Iko dan uncle Zainal. Masa Maghrib, uncle Azmil sekeluarga singgah solat di rumah kami sambil menjamu apa yang ada di rumah kami :D . Lepas Isyak, jalan lagi, ke rumah uncle Taufik dan last sekali sampai ke rumah uncle Ahmad/auntie Jasmin. Dahsyat betul beraya di sini, kat Malaysia pun tak beraya dari pagi sampai ke malam, hari Ahad pun ada rumah terbuka lagi tapi kami tak pergi sebab letih dan Ummi nak buat tugasan MSc.



Insyirah dan keluarga semasa sambutan Aidilfitri 2007 anjuran NMC.

Sepanjang minggu lepas pula, Insyirah ikut Ummi dan Ayah ke universiti. Tiap-tiap hari Insyirah naik bas 50 samada ke University Park Campus ataupun Jubilee Campus. Hari Isnin, Insyirah lepak dengan Ayah di tepi tasik University Park. Cantik permandangan tasik ni di samping angsa dan burung-burung yang berkeliaran di sekitar tasik. Tenang sikit hati kami bila lihat suasana tenang di tepi tasik. Lepas tu, Ayah selalu bawa Insyirah ke tepi tasik bila tunggu Ummi habis kelas di University Park. Masa kat Jubilee Campus pula, tasik dia kecil sedikit dan ada banyak juga angsa dan burung di sini (tak sebanyak di University Park). Insyirah dan Ayah tunggu Ummi di tepi bangunan sambil menghadap kawasan tasik. Kami selalu balik ke rumah pada pukul 5.10 pm dengan bas yang sama. Selalunya ramai la kawan-kawan Ummi dan Ayah (pelajar Malaysia) pulang bersama Insyirah :D.

Minggu lepas juga merupakan minggu yang penting sebab beg tangan Ummi yang tertinggal dalam bas National Express telah dijumpai. Ummi selalu rasakan yang beg dia masih ada dan dia cuba telefon sekali lagi ke wakil National Express iaitu Veolia Transportation pada pagi Selasa. Hari tu hujan turun renyai-renyai dan lebat sikit kadang-kadang tu (tapi tak selebat hujan di Malaysia) dan Ummi tak pergi kelas. Bila Ummi telefon ke Veolia tu dan tanya pasal beg tu, Ummi cakap la nama dia zuraihana. Respon dari orang di sana, "Are you Ms Z*raih*na B*chok (dia sebut BAKOK)". Ummi terus excited dan akhir sekali pastila yang beg tangan Ummi telah dijumpai. Alhamdulillah syukur sangat. Veolia Transportation tu terletak di Beechdale Road, Nottingham dan kami bertiga tak tahu di mana lokasi dia. Jadi kami ambil keputusan untuk ke universiti untuk cari maklumat di internet. Alhamdulillah, masa nak naik bas 50, uncle Nazri (UTeM) ajak Ayah ke ofis dia di School Electrical dan dia yang carikan tempat Beechdale Road tu dan printkan peta ke situ. Berpandukan peta yang diberi, Ayah telah pergi ambil beg tangan Ummi sambil Insyirah dan Ummi menunggu Ayah di lounge area, School M3. Ayah tiba semula di School M3 hampir pukul 12.15 pm bersama dengan beg tangan. Syukur sangat sebab semua barang dalam beg tu tak hilang termasukla kamera kesayangan Insyirah dan cincin-cincin perkahwinan Ummi. Sempena Aidilfitri 2007 ini, dapatlaa kami sekeluarga bergambar bersama pelajar-pelajar Malaysia yang lain di Nottingham.

Gambar pertama selepas kamera di jumpai.

Cukup dulu berita dari kami di sini. Sekali lagi, ucapan SELAMAT HARI RAYA buat kaum keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Doakan kesejahteraan untuk kami sekeluarga di sini :) wassalam.

Sunday, 7 October 2007

Pindah ke rumah sewa & Salam Aidilfitri 2007

Alhamdulillah, sudah 12 hari kami sekeluarga berada di tanah Inggeris bagi meneruskan pengajian Ummi dan Ayah di University of Nottingham. Sepanjang itu jugalah, kami telah berteduh buat sementara waktu di rumah uncle Azmil sekeluarga. Sekarang, waktu lebih kurang 11 malam (Sabtu) di Nottingham dan pukul 6 pagi waktu Malaysia. InsyaAllah, esok Insyirah, Ummi dan Ayah akan berpindah ke rumah sewa kami di Forest Field, Nottingham di mana kehidupan sebenar kami sekeluarga di rumah sendiri akan bermula. Rumah tu disewa pada kadar GBP400 sebulan dari orang Pakistan di sini. Barang-barang kelengkapan dah banyak juga dibeli, cukupla sekadar untuk memulakan hidup baru di sini.

Bila pindah ke rumah baru nanti, susah sikit la Insyirah nak online sebab internet tak ada lagi. Tempoh pemasangan internet biasanya lebih kurang 3 minggu dan perlukan seseorang tu ada akaun bank terlebih dahulu. Ummi dah buka akaun di Nat West bank, InsyaAllah minggu depan dah boleh dapat (buka akaun bank pun lambat nak dapat nombor akaun, kat Malaysia cepat saja, on the spot boleh siap akaun baru). Jadi di kesempatan ini, Insyirah nak mencoretkan sedikit perkembangan kami di sini sebelum berpindah ke rumah baru nanti.

Sekarang ini, umur Insyirah baru masuk 3 bulan 10 hari (kecil lagi ni dan tak mampu pun nak tulis blog lagi.. heheheh..) tak ada sebarang pencapaian yang ketara lagi. Cumanya Insyirah suka minum susu Ummi sampai kadang-kadang tu Ummi terasa sakit semasa menyusukan Insyirah. Sebelum ni, Insyirah minum juga susu yang diperah Ummi ke dalam botol , tapi semenjak Selasa yang lepas (2/10/2007), Insyirah dah taknak minum susu dari botol walaupun susu yang diperah oleh Ummi. Susu formula jangan cakap laa kan, hehehe, mungkin Insyirah tak berminat lagi kot. Susah juga la keadaan ni sebab Ummi terpaksa pergi kelas dan Ayah yang jagakan Insyirah masa tu. Bila Insyirah lapar/dahaga, Ayah dah cuba berikan susu yang diperah Ummi ke dalam botol, tapi Insyirah tak nak juga. Masa kelas pertama Ummi (Khamis, 27/9/2007), Insyirah minum juga susu yang diperah ke dalam botol sampai habis semuanya (sampai tk cukup bekalan pula hari tu). Tapi sekarang, Insyirah pun tak pasti apa yang berlaku pada diri Insyirah, uhuhuhu. Semasa Ummi ke kelas, Insyirah asyik nangis bila dahaga hinggakan sekarang ni suara Insyirah dah serak-serak. Ada sesiapa tahu sebarang tips macam mana nak biasakan bayi minum susu dengan gunakan botol?? Semoga Allah memberi petunjuk dan pertolongan buat Ummi dan Ayah dalam menangani masalah ni.

Pada masa ini juga, ummat Islam di Malaysia telah berpuasa selama 25 hari (dah tak lama nak raya ni). Kami sekeluarga memang selalu ingatkan keluarga di Malaysia, cumanya tak berpeluang untuk menghubungi sanak saudara di sana lagi buat masa sekarang. Kepada saudara-saudara Insyirah dan rakan-rakan Ummi dan Ayah di Malaysia, kami harap ruang di blog ini akan menjadi wadah berita dari kami sekeluarga di sini. Kami bertiga juga berharap kalian semua sentiasa sihat sejahtera dan dapat menggunakan peluang terakhir di bulan Ramadhan tahun ini meningkat amalan kepada yang ESA. Tidak lupa juga, selamat membuat persiapan menyambut kedatangan hari lebaran, berbelanjalah dengan sederhana, mudah-mudahan diberkati Allah.

Akhirul kalam, buat sesiapa yang membaca blog ini, kaum kerabat dan sahabat semua, kami sekeluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan (in advance) SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN. Semoga berbahagia di hari lebaran, selamat kembali kepada "fitrah" kesucian. Mudah-mudahan puasa kita semua dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Salam Aidilfitri dari kami di rantau orang. Biar jauh di mata, tapi anda semua tetap dekat di hati.