Showing posts with label Insyirah. Show all posts
Showing posts with label Insyirah. Show all posts

Thursday, 10 March 2016

Merentas desa

Setiap tahun, SKSI anjurkan larian merentas desa untuk setiap pelajar. Kali ini Insyirah masih memegang rekod johan kategori perempuan untuk darjah 3 dan Nuha mendapat tempat ke-6 untuk kategori darjah 1. Untuk rekod persendirian, Insyirah mendapat tempat ke -8 ketika darjah 1 dan johan semasa darjah 2.

Tuesday, 28 October 2014

Peperiksaan akhir Darjah 1 SKSI, 28 - 31 Oktober 2014

Semoga Insyirah dan rakan-rakan dipermudahkan dalam menjawab soalan peperiksaan akhir tahun ini. Jadual peperiksaan seperti berikut:

28 Oktober 2014 (Selasa): 8-9 pagi: Bahasa Arab dan 10-11.10 pagi: Bahasa Melayu (Penulisan)
29 Oktober 2014 (Rabu): 8-9 pagi: Bahasa Inggeris dan 10-11.10 pagi: Pendidikan Islam
30 Oktober 2014 (Khamis): 8-9 pagi: Matematik dan 10-11.10 pagi: Sains
31 Oktober 2014 (Jumaat): 8-9 pagi: Bahasa Melayu (Pemahaman) dan 10.15-11.15 pagi: PSV (lukisan)

Bahasa Arab dan Bahasa Melayu (Pemahaman) ditukar disaat akhir. Jadual asal yang diberikan Bahasa Melayu (Pemahaman) pada hari Isnin.

Hanya sebagai rujukan di masa hadapan :)

Wednesday, 19 February 2014

Insyirah darjah satu


31 Disember 2013, Insyirah mendaftarkan diri di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah dan mengikuti Hari Orientasi murid tahun 1. Selesai pendaftaran dan ucapan dari Guru Besar, Ayah pergi mengambil pinjaman buku teks (18 buah kesemuanya, buku teks & buku latihan). Ummi pula membeli buku tulis dan lencana sekolah di koperasi sekolah. Aktiviti akhir orientasi ialah membawa Insyirah untuk mendapatkan suntikan imunisasi (booster) yang dijadualkan khas untuk murid baru tahun 1 di sekolah. Insyirah nangis beria taknak dicucuk :(

Hari pertama Insyirah berpakaian seragam sekolah

di hadapan sekolah
  
Hari pertama, murid-murid ditempatkan di dalam kelas secara rawak, 1 Brilliant, 1 Excellent, 1 Intelligence dan 1 Diligent dan Insyirah ditempatkan di 1 Excellent pada mulanya. Insyirah agak sedih kerana rakan-rakannya semasa di tadika cinta bestari, kebanyakkannya di 1 Brilliant. Kemudian murid-murid dikelaskan kembali berdasarkan pencapaian peperiksaan yang dijalankan pada minggu pertama dan Insyirah ditukarkan ke kelas Brilliant bersama rakan-rakan tadikanya. Kami memberitahunya, tidak kisah berada di kelas mana-mana pun, yang penting kakak perlu berkawan dengan semua orang dan saling tolong menolong. Kakak kena rajin belajar dan tolong rakan-rakan lain kalau diperlukan. Semua orang akan mula dengan tidak tahu, tetapi jika rajin usaha dan prektis berulang kali, insyaAllah akan berjaya. Insyirah gembira dapat ajar rakan-rakannya lukis gambar rama-rama di sekolah :)
  
Hari pertama (orientasi) di dalam kelas 1 Excellent

Waktu persekolahan dari jam 7.45 pagi hingga 1.05 petang. Namun Guru Besar meminta semua ibubapa menghantar anak ke sekolah sebelum 7.30 pagi kerana setiap hari mereka perlu berhimpun dahulu di ruang perhimpunan. Pengajaran dimulakan pada jam 7.45 pagi setiap hari kecuali pada hari Isnin agak lewat kerana ada perhimpunan besar. Waktu rehat pula dari jam 9.45 pagi hingga 10.05 pagi. Setiap hari, Ayah memberikan RM2 untuk belanja Insyirah di sekolah. Namun kebiasaannya duit itu disimpan kerana Insyirah membawa bekal setiap hari ke sekolah. Duit pertama yang dibelanjakannya ialah sebanyak 20 sen dengan membeli buku nota kecil dan kali kedua membeli buku nota "bear" berharga RM1.50 di koperasi sekolah. Sepanjang hampir 2 bulan bersekolah, pernah dua kali Insyirah membeli laksa berharga RM1 di kantin sekolah. Walaupun bawa bekal, tetap beli laksa sebab itu memang makanan kegemarannya. Air pula, setiap hari Insyirah bawa air masak sebotol ke sekolah  :)

tunggu giliran dicucuk 

Waktu rehat di kantin sekolah


Coretan kenangan bersekolah di darjah 1 SKSI untuk tatapan Insyirah di masa hadapan. Insyirah sangat teruja dan seronok ke sekolah. Setiap pesanan guru akan diingatinya dan akan menyampaikannya kepada kami di rumah berulang-ulang kali sehinggalah kami menyelesaikannya :) Sekejap sahaja rasanya Insyirah dah nak masuk 7 tahun. Bermulalah fasa kedua kehidupan Insyirah, 7 tahun berikutnya. Semoga berjaya di dunia dan di akhirat.



Wednesday, 9 October 2013

Yeay berjaya naik basikal

Petang tadi Ayah Insyirah mengajar Insyirah naik basikal tanpa roda stabilizer di luar rumah. Tiba-tiba Insyirah masuk ke dalam rumah sambil menangis mengadu sakit.

Insyirah: Ummiiii..sakitttt.... (menangis sambil pegang tangan dengan siku yang berdarah)
Ummi   : Kenapa?
Insyirah: Jatuh basikal (makin kuat tangisannya sakit luka disiku)
Ummi   : Alaaa sikit jer ni. Kebiasaannya kalau dah jatuh berdarah macam ni, mesti kakak akan pandai kayuh tak lama lagi. Selalu macam tulah kakak. Kakak dah belajar sampai jatuh-jatuh berdarahni, mesti lepas ni kakak boleh kayuh punya.
Ummi   : Kenapa kakak tak pakai "pads" kat siku dan lutut? Kalau jatuh pun takdelah sakit sangat nanti. Gi basuh siku tu dulu sambil si Ayah ambil "pads" dari kotak mainan.
Ayah    : Cuba pakai ni, muat tak sambil menunjukkan "pads" kepada Insyirah.
Ummi  : Hah, nak naik basikal lagi tak kakak (bila Insyirah telah lengkap memasang "pads" di siku dan lututnya.)
(Nuha juga turut sama memakai "pads" di siku dan lututnya. Kebetulan ada 2 set "pads" yang dibeli di "carboot sale" dulu :) Si Ahmad nak pakai juga tapi  tak cukup, dulu tak terfikir pula nak cari untuknya sebab masih kecil. Lalu Ahmad meminta belikannya "pads" upin ipin :D)

Insyirah masih tidak berputus asa untuk teruskan latihan mengayuh basikal. Berkat kesungguhannya yang tidak mengaku kalah, akhirnya berjaya juga :)

Tanggal 9 Oktober 2013, hari Rabu, lebih kurang jam 6.30 petang, hari bersejarah untuk Insyirah, tarikh yang akan dikenang di masa hadapan, hehehehe.  Insyirah pandai kayuh basikal tanpa bantuan stabilizer lagi. Selamat tinggal stabilizer ;)

Insyirah: Sebab Insyirah selalu prektislah Ummi, lama-lama Insyirah pandai kayuh. (sebelum ni Insyirah sering menolak basikal dengan kakinya sahaja untuk membiasakan diri dan belajar mengimbangi badan, tak boleh kayuh lagi).
Ummi  : Apa pun yang Insyirah buat perlu prektis berulang-ulang kali, baru boleh pandai. Sama juga dengan belajar, baca quran. Semua kena rajin prektis. Memang semua perkara selalunya mula dengan tak tahu, tapi perlu belajar dan rajin prektis, baru boleh pandai. So bila dah pandai ni, Insyirah perlu cakap apa ya?
Muka gembira setelah pandai kayuh basikal 2 roda buat pertama kali :)
 
Insyirah: Alhamdulillah.

Wasalam.

p/s: video akan menyusul kemudian insyaAllah :)

Monday, 30 September 2013

Hafalan solat Insyirah 1

Sudah sekian lama tidak mencoretkan sesuatu di sini. Entah apa yang disibukkan pun tak tahu. Yang pasti asyik beralasan. Sibuk di tempat kerja, mengemas rumah, memasak dll. Macam-macam. Pada hal kadang-kadang kemas, masak pun skip, huhuhu :)

Tahun depan Insyirah masuk darjah 1. Ummi yang berdebar bila mendengar cerita dari rakan ibu lain. Beberapa bulan lalu, sibuk mengajarnya membaca dalam bahasa melayu dan Alhamdulillah selepas 2-3 minggu dah boleh membaca . Lepastu dah terberhenti dan tak sambung-sambung lagi secara "official" dan konsisten. Tatau bila nak mula belajar membaca dalam English dan membaca jawi pula. Sekarang dah Oktober. Ya Allah berilah kekuatan untuk diri ini mendidiknya. Umminya kena buang penyakit "M" jauh-jauh :D.

Sudah setahun lebih Insyirah bersekolah di Tadika cinta bestari. Ingat masa 3 bulan Insyirah bersekolah, dia telah mula belajar solat. (Baca entry lalu). Ketika itu banyak bacaan yang masih perlu dibetulkan. Sehinggalah tadi, Ummi tergerak hati hendak semak bacaan solatnya, lalu menawarkannya sama ada ingin menjadi Imam solat atau tidak. Dengan rasa terujanya Insyirah ingin menjadi Imam kepada Nuha bagi solat maghrib dan Isya'. MasyaAllah, tidak sangka solatnya hampir sempurna sehingga ke salam. Ada 4 - 5 sebutan yang perlu diperbaiki sebutannya. Surah al-kafirun dan al-kauthar menjadi pilihan ketika solat maghrib manakala surah al-lahab dan surah al-ikhlas menjadi pilihan ketika solat Isya'. Rupanya banyak juga surah yang telah dihafalnya. Malah tahiyyat awal dan tahiyyat akhir juga telah dihafalnya juga. Alhamdulillah, semoga Insyirah menjadi anak solehah dan tidak tinggal solat. Semoga solatnya sempurna dan diterima di sisi Allah swt, amin.

Friday, 12 July 2013

Puasa pertama Insyirah

1 Ramadhan kali ini merupakan tarikh bersejarah buat Insyirah kerana buat kali pertamanya Insyirah cuba berpuasa. Sebelum ini Insyirah tidak pernah mencuba untuk berpuasa kerana masih kecil katanya. Ummi dan ayah sendiri tidak memaksa Insyirah untuk berpuasa kali ini. Cuma apabila kami bertanya kepadanya dan dengan sedikit galakan, Insyirah ingin berpuasa buat kali pertama.

Insyirah mulakan rutin puasa pertamanya dengan turut bersahur bersama-sama ummi dan ayah. Pada hari pertama Ramadhan ini, Ummi Insyirah telah mengambil cuti untuk memantau puasa Insyirah di rumah. Sepanjang pagi Insyirah masih kuat fizikalnya. Insyirah mula mengomel pada sebelah petang dengan menyatakan keletihan dan lapar; perut panas katanya :D . Lalu ummi menasihatkan Insyirah untuk pergi mandi bagi mengurangkan keletihan.

Pada pukul 5 petang, Insyirah masih lagi bertahan tetapi mula nampak lesu sampai tidur "terbongkang", macam renang kuak lentang pun ada gayanya (kesian pula bila melihatnya). Tetapi berkat kesabaran dan kejituan semangat Insyirah, akhirnya dapat bertahan sehingga berbuka. Alhamdulillah, nikmat makan terserlah pada orang yang lapar.

1 Ramadhan 1434H bersamaan 10 Julai 2013 merupakan hari bersejarah buat Insyirah.. INSYIRAH BERJAYA!!

Nikmat berbuka puasa.. Alhamdulillah

Sunday, 21 April 2013

Hari Sukan Tadika Cinta Bestari 2013

Semalam, Sabtu 20 April 2013 Insyirah dan adik-adik menghadiri hari sukan tadika cinta bestari di padang Bukit Panchor, Nibong Tebal. Kami semua menyertai sukaneka yang diadakan dari 8 - 11 pagi. Ummi dan Ayah juga turut serta dengan kedua-dua sukaneka yang diadakan untuk keluarga. Malah dapat tempat pertama dan ketiga lagi, hehehe. Ini merupakan kali kedua Insyirah dan Nuha menyertai hari sukan tadika manakala kali pertama untuk adik Ahmad. Walaupun Ahmad baru pertama kali menyertainya, namun Ahmad sangat bersungguh-sungguh melakukannya. Biarlah gambar dan video yang menceritakan segalanya :)

Ahmad Mujahid seronok dengan hadiah yang diterima. Alamak dapat bekas air pink lah!

Nuha Rumaisa malu-malu dengan pingat yang diperolehi :)

Yeay, Insyirah pun dapat pingat juga. Terima kasih cikgu!

Anak-anak didikan cinta bestari dalam perbarisan. 

  Ahmad beraksi dalam sukaneka kedua untuk kanak-kanak 2-3 tahun dari Taska Cinta Bestari.
 

Nuha dan Insyirah beraksi dalam sukaneka untuk kanak-kanak 4 tahun, tapi Insyirah turut serta sebab tak cukup orang.


Insyirah beraksi dalam sukaneka untuk kanak-kanak 5-6 tahun.

Ok itu sahaja coretan Insyirah buat masa ini untuk kenangan di masa hadapan :)

Sampai jumpa lagi insyaAllah.

Wasalam.

Monday, 19 March 2012

Melayu itu muslim??

Sehingga kini kami masih belum mempunyai tv di rumah sewa di Taman Ilmu :). Tv kami diletakkan di kampung kerana kebiasaannya di hujung minggu kami akan pulang ke kampung di Kepala Batas. Ummi suka menonton majalah 3 dan cerekarama pada Sabtu malam Ahad, hehehe :D

Suatu hari Ummi mengajak Insyirah menonton cerekarama bersama.
Ummi: Kakak, jom nengok cerita melayu.
Insyirah: haa cerita melayu? Insyirah nak nengok cerita muslim lah Ummi.
Ayah: Orang Melayu itu muslimlah kakak.
Insyirah: Haa nengok tu Ummi, dia tak pakai tudung. Dia tak muslim lah Ummi. (bila cerita baru sahaja bermula). Dia orang Cina ke Ummi?
Ummi: errr emm...(fikir bagaimana nak terangkan kepada budak berusia 4 tahun +). Orang perempuan muslim @ Islam memang kena pakai tudung kakak. Tapi ada juga yang tidak pakai tudung, jadi dia berdosa dengan Allah kerana tak pakai tudung. Kakak perlu berdoa supaya insyaallah suatu hari nanti dia jadi baik dan pakai tudung.
Ummi: Kakak tak pakai tudung pun bila keluar rumah.
Insyirah: Insyirah kecik lagi Ummi. Nanti Insyirah dah besar macam Ummi, Insyirah pakailah tudung.
Ummi: Budak kecik pun boleh pakai tudung. Insyirah cantik bila bertudung.

Semoga Insyirah membesar menjadi wanita muslimah yang solehah.

Saturday, 17 March 2012

Hafalan solat Insyirah

Setelah lebih kurang 3 bulan bersekolah di Tadika Cinta Bistari, Insyirah sudah boleh solat lengkap dengan bacaannya sekali. Cuma bacaan tahiyyat dan doa iftitah masih belum lancar sepenuhnya. Bacaan ketika rukuk dan sujud juga kadang-kadang tertukar tukar bila masuk rakaat kedua solatnya.

Pertama kali Ummi mendengar bacaan solat Insyirah ketika kami berjamaah bersama. Insyirah solat dengan begitu yakin dan sangat kuat bacaan solatnya (susah nak khusyuk dibuatnya :D). MasyaAllah, hampir sempurna bacaan solatnya. Di lain waktu, kami berjamaah dengan Ayah dan ketika itu Insyirah belajar memperlahankan bacaan solatnya berbanding ketika solat bersama Ummi. Insyirah memberitahu Insyirah ikut Ummi baca perlahan-lahan, haa Insyirah dah tak baca kuat-kuat dah Ummi :D Alhamdulillah, Insyirah anak solehah.

Selain boleh membaca al-fatihah, surah nas, bacaan rukuk, sujud, iktidal, takbir, Insyirah juga sudah boleh baca doa selepas solat. Zikir dan selawat juga tidak lekang dari mulutnya sehinggakan di dalam bilik air pun dia menyanyi-nyanyi dengan bacaan zikir dan selawat yang dipelajari di sekolah. Bila ditegur agar tidak boleh membaca di dalam bilik air, soalan bertubi-tubi keluar dari mulut kecil itu :D Ummi juga banyak belajar dari Insyirah hadis dan kata-kata hikmat yang dipelajarinya di sekolah. Antara yang sering keluar dibibirnya ialah:
  1. Innamal a'malu bin niyat (setiap perbuatan dimulakan dengan niat).
  2. La taghdab walakal jannah (Jangan marah bagimu syurga, siap dengan gaya-gaya sekali membuatkan Ummi kadang-kadang tak jadi nak marah, hehehhe)
  3. Man la yarham, la yurham (Barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi)
  4. Al jannah tahta akdamil ummahat (Syurga di bawah telapak kaki ibu)
Mohon betulkan jika apa yang ditulis di atas ini silap kerana ini yang keluar dari mulut kecil Insyirah. Umminya kurang arif tentang ini.

Sebagai galakan kepadanya untuk menghafal bacaan di dalam solat, Ummi berjanji akan membelikan apa sahaja yang diinginkan Insyirah di bawah kemampuan Ummi. Insyirah menginginkan "earing" seperti rakannya di sekolah. Hampir sebulan asyik disebutnya. Namun Ummi sentiasa mengingatkan yang Insyirah perlu membaca dengan lancar bacaan solat dan rajin solat terlebih dahulu. Bila tiba masa yang sesuai, insyaAllah Ummi akan menunaikan janji Ummi.

Teringat ketika Insyirah berusia 14 bulan sudah mula mengikut Ayahnya solat :) InsyaAllah bila berkesempatan nanti Ummi rakam cara Insyirah solat ketika usianya 56 bulan beserta bacaannya sekali untuk rujukan di masa hadapan.



diusia 4 tahun ++ baru mula belajar bacaan solat

Wednesday, 14 March 2012

Siapa kalah dia menang?

Macam mana tu Insyirah, Nuha. Siapa yang kalah, siapa yang menang. Selalu berlumba-lumba naik tangga dan sebut siapa kalah dia menang. Ummi dan ayah kerap betulkan ayat mereka, siapa sampai dulu dia yang menang. Bukan siapa kalah dia menang :D

Friday, 13 January 2012

TV a.k.a Televisyen :)

Setelah 2 bulan lebih pulang ke Malaysia, kami jarang-jarang sekali menonton TV disebabkan oleh masa yang sangat terhad. Tambahan pula tiada TV di rumah buat masa ini. Jika mahu menonton rancangan di TV, kami hanya menontonnya secara online di komputer. Alhamdulillah, kami tidak merasa kekurangan sesuatu walaupun ada yang mengatakan bahawa macam tidak kena jer tiada TV di rumah pada zaman yang serba canggih ini, hehehe :D

Anak-anak pun tidak kisah dengan ketiadaan TV di rumah walaupun semasa di UK mereka menonton TV sepanjang masa. Cuma tiba-tiba hari ini Insyirah menyuarakan hasratnya menyuruh Umminya membelikannya TV :)

Insyirah: Ummi, boleh Ummi bayar TV? (baca bayar=beli)
Ummi: Kenapa?
Insyirah: Rumah Hana ada TV (rumah kawan baiknya :)
Ummi: Insyirah nak tengok apa kat TV?
Insyirah: Insyirah nak tengok Mister Maker.
Ummi: Alaa kalau Mister Maker tu tengok kat komputer pun boleh.
Insyirah: Taknak. Insyirah taknak tekan-tekan, stop-stop. Insyirah nak duduk tengok ja. 
Ummi: Hahaha. Yelah kan, kalau di komputer bila tengok di youtube, bila habis kena tekan sendiri kalau nak tengok lagi. Kalau di TV senang jer, on sekali pastu boleh tengok cerita bersambung-sambung , tapi ada ke Mister Maker kat TV kakak? :D

Hmm, tataulah sama ada kami mahu membeli TV atau tidak kerana jika dilihat keadaan sekarang, bila masanya nak tengok TV pun tatau :D Tapi kesian pula pada anak-anak dan juga jika ada tetamu yang datang bertandang ke rumah kami. Mesti tak best sebab rumah kami tiada TV, hehehe. Buat masa ini kami rasa selesa dengan ketiadaan TV kerana rasa tidak terikat dengan sesuatu rancangan jika merancang hendak ke mana-mana. Kalau tak dulu tengah syok jalan-jalan kena balik rumah cepat sebab rancangan kegemaran dah nak mula, hehehe. Tambahan, takut anak-anak menonton TV secara berlebihan sebab nak kawal masa mereka  mengadap komputer sekarang ini pun agak mencabar. Inikan pula bila ditambah gadjet baru. Harus dengan Umminya sekali terjebak melepek depan TV 24 jam :D 

Apa pun TV ini PERLU atau tidak ya??

Saturday, 15 October 2011

Anak-anak suka meniru gaya ibubapa

Kejadian di pagi hari semasa sarapan pagi. Bila rumah dah penuh dengan barang, di saat-saat akhir di bumi Nottingham ini, ruang depan sudah jadi ruang makan a.k.a ruang menonton tv a.k.a ruang melayari internet di komputer. All in one :D. Meja makan semua sudah habis dibungkus, bersedia untuk dimasukkan ke dalam kontena. Pinggan makan yang selalu digunakan pun semua sudah siap dibungkus. Tinggal yang tidak mahu di bawa pulang sahaja. 

Ummi letakkan mangkuk berisi cereal di atas meja telefon untuk Nuha. Insyirah dah warning Umminya jangan letak di situ mangkuk tu, nanti tumpah. Namun Ummi tidak menghiraukannya. Lepas Ummi menyuap Ahmad makan, Ummi suap Nuha pula. Tapi belum habis menyuap Nuha, Ummi ke dapur dan membiarkan Nuha menyuap dirinya sendiri. Tiba-tiba....

Insyirah: Ummi, Ummi, look! Nuha tumpah!. See Ummi, Insyirah said 2 times, don't put there, nanti tumpah. Kan dah tumpah. I said don't put there. (dengan muka yang garang, berkerut-kerut dahi. Bersungguh-sungguh menyesali perbuatan Ummi yang meletakkan mangkuk cereal di atas meja telefon!)

Ummi: Macam mana boleh tumpah ini Nuha? Salah Ummi ya kakak, Ummi tak dengar kakak cakap tadi ya? I'm sorry ok, Ummi tak buat lagi :D (Dalam hati, terkena baliklah pulak, selalu Umminya yang bising kalau letak cawan yang minum tak habis atas meja komputer sebab nanti tumpah. )

Umminya terkebil-kebil, geli hati dalam hati sambil mengelap cereal yang tumpah di atas lantai apabila kena bebel dengan anak sendiri. Dalam hati, macam kenal ja gaya Insyirah membebel kat Umminya tu ;)

Benarlah dalam riwayat Bukhari & Muslim, "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci / bersih) maka ibubapalah yang akan menjadikannya yahudi, nasrani, mahupun majusi." Sesungguhnya anak yang baru dilahirkan belum memiliki pengetahuan apa-apa dan pendidikan ibubapa di rumahlah yang akan menentukan agama dan pandangan hidupnya. Malah cara/gaya pengajaran ibubapa juga akan menjadi ikutan si anak. Maka bersabarlah dalam mendidik anak-anak (peringatan untuk diri sendiri) dan janganlah kita berkata-kata kasar kepada mereka jika kita tidak mahu mereka berkata kasar kepada kita. Janganlah juga jadi seperti ibu ketam mengajar anaknya berjalan ;)

Tuesday, 27 September 2011

Kids Learning Laptop

Semasa membelek gambar-gambar lama dalam pc komputer, terlihat video Insyirah sedang bermain dengan laptop princessnya. Antara laptop yang mereka ada, Ummi paling suka dengan laptop ini sebab yang ini lebih interactive dan keadaannya yang masih cantik. Tambahan pula dengan harganya yang murah, sebab itu Umminya sangat suka, hehehe. Nuha pun suka laptop ini. Mereka banyak belajar semasa bermain dengannya. Kalau Nuha yang main dengan laptop ini, bila cinderella menyoalnya pasti dia akan menjawab balik. Contohnya bila cinderella sebut, "shall we play games?", mesti dia jawab "yes" :D 


Kebanyakan mainan anak-anak kami perolehi daripada carboot sale yang mana keadaannya masih dalam keadaan baik dan harga yang sangat berpatutan. Sesekali ada juga beli yang baru jika terdapat sale :). Jika membeli di carboot sale, kebiasaannya ianya bergantung kepada nasib dan perlu datang awal kerana barang yang masih elok dengan harga yang murah selalunya cepat habis. Kalau datang lewat ke carboot, kebiasaannya harga untuk barang-barang yang elok keadaannya agak mahal, namun ianya bergantung kepada rezeki masing-masing. Jika membeli barang di carboot perlu bijak memilih dan berhati-hati kerana ada barang yang sudah tidak berfungsi tetapi masih dijual, huhuhu. Tetapi ada juga barang yang masih belum dipakai dan masih baru dijual di situ. Pernah juga mendapat baju anak-anak yang masih baru dan masih bertag dengan harga yang sangat murah, semurah 20 pence = RM 1:) Buku-buku juga sangat murah. Pastinya kami akan merindui kenangan bercarboot apabila sudah pulang ke Malaysia nanti :)

Wednesday, 21 September 2011

Baby highchair/booster seat

Ahmad suka duduk dikerusi makannya namun ada yang tidak puas hati :D

Muka orang yang tidak puas hati di belakang Ahmad, hehehe.

Seronok dapat duduk di booster ini. Senang hendak makan katanya. Jika tidak perlu angkat pinggan letak atas peha kerana kedudukan meja yang agak tinggi buat dirinya yang rendah :)

Nasib baik Nuha tidak berebut sama hendak duduk dikerusi ini. Harus cari lagi kerusi seperti ini. Best dan mudah untuk anak-anak duduk makan sekali semeja kerana boleh laras ketinggian kerusi :). Selain itu :-

-Mudah untuk membasuh tray makanan kerana tray boleh ditanggalkan.
-sesuai untuk bayi dari umur 6 bulan hingga berat 20kg
-Ada 3 ketinggian dan tray boleh dilaras untuk sesuaikan dengan saiz badan bayi
-Mudah untuk travel dan di bawa kemana sahaja

Sebelum ini guna folding high chair dan ikea high chair yang warna putih itu, dua-dua pun best. Tapi yang ini lebih suka sebab jimat ruang dan booster seat ini boleh letak atas kerusi makan. Anak-anak lebih mudah hendak duduk makan sekali dengan ibubapa semeja :)


Monday, 12 September 2011

Hari pertama ke sekolah

6 September 2011 yang lalu, Insyirah mula ke sekolah setelah lebih kurang 6 minggu bercuti. Ini juga merupakan kali pertama Insyirah menggayakan uniform sekolahnya kerana sebelum ini hanya memakai baju harian biasa sahaja. Pada mulanya ingatkan Insyirah ditempatkan di kelas, namun jangkaan kami meleset. Insyirah masih di nursery, cuma sepenuh masa hingga 3.30 petang kerana umurnya yang masih muda. Insyirah boleh masuk ke kelas bermula Disember 2011 ini. Nampak gayanya tidak sempatlah Insyirah merasa pengalaman berada di kelas bersama rakan-rakan lain. 

Ayah dan Nuha menghantar Insyirah ke sekolah pada jam 8.55 pagi

Insyirah dan uniform sekolahnya :)

Hari pertama ke sekolah hingga jam 12 tengah hari sahaja sepanjang minggu pertama. Aktiviti waktu petang Insyirah setelah pulang dari sekolah hari ini ialah menggunting rambutnya sendiri dan rambut Nuha. Tidak tahu kenapa tiba-tiba tergerak hatinya untuk memotong rambut sendiri dan Nuha. Bukannya sehari dua baru pegang gunting, lama dah. Kebiasaannya hanya menggunting kertas-kertas dan kadang-kadang tergunting baju sikit. Yang sangat pelik bagaimana Nuha boleh duduk diam sehingga gondol rambut depannya digunting Insyirah. Umminya yang sedang asyik melihat komputer sambil menyusukan Ahmad hanya menyedari apabila Insyirah cakap "It's ok Nuha. Bila Umminya toleh sahaja lihat ya Allah habis rambut anak-anakku. Rasa macam nak menangis tapi nak tergelak pun ada juga. Lagi-lagi bila tengok rambut Nuha yang sangat kelakar.

 
Rambut yang dipotong Insyirah. Ada lebih kurang 1 genggam lebih  genggaman Umminya:). Banyak juga tu!


Tara!! Ini hasil kreativiti Insyirah terhadap rambut Nuha. Bila ditanya kenapa potong rambut Nuha. Insyirah jawab, "I just helping you", huhuhu. Cantik tak rambut Nuha kakak potong? Sambil gelak-gelak Insyirah menjawab, "Nuha likes a clown Ummi", huhuhu.


Rambut Insyirah boleh tahan lagi sebab dia gunting bahagian tepi sahaja tetapi rambut belakang dah jadi macam ekorlah pula. Bila tepi kiri kanan dipotong, rambut belakang dah nipis. 

Bila Umminya nak betulkan balik rambut Nuha, Nuha tidak mahu. Sepanjang hari disebutnya "No way" bila dipujuk untuk gunting rambutnya. Akhirnya Umminya membuat keputusan untuk potong dikedai sebelah rumah sahaja. Semasa potong rambut Insyirah ok, duduk diam sahaja tetapi potong rambut Nuha rasa tak cukup tenaga nak pegang dia bila meronta-ronta taknak potong. Siap kena 2 orang pegang nak gunting rambut dia masa tukang gunting nak potong. Marah sungguh bila orang potong rambutnya, sampai teresak-esak menangis. Bila dah sampai rumah masih teresak-esak menangis suruh pergi balik ambil rambut dia yang sudah digunting, huhuhu. Kemudian sampai tertidur keletihan setelah letih bergelut semasa nak dipotong rambutnya. Kasihan Nuha. Bila tersedar dari tidur masih ingat lagi akan rambutnya yang dipotong dan disuruhnya lagi kami pergi ambil balik rambutnya :D

Nuha dan Insyirah berambut baru ;) 

Teringat semasa selesai sahaja Insyirah menggunting rambut dihadapan cermin dan tukang gunting, "Is this boy hair or girl hair?" dengan muka sedih melihat rambutnya yang telah dipotong pendek. She said "everyone will laughing at me, this is boy hair", huhuhu. Lalu Umminya cakap, ini adalah akibat daripada perbuatan kakak yang menggunting rambut Insyirah dan Nuha. Lepasni jangan buat lagi ok. Bila Umminya tanya salah siapa rambut Insyirah dan Nuha jadi macam ini, Insyirah mengaku yang salah dia, huhuhu. Kasihan anak-anak Ummi. Walaubagaimanapun, terima kasih kakak Insyirah yang berniat untuk tolong Ummi menggunting rambut Nuha. Memang beberapa hari sebelum Umminya asyik berkata ingin memotong rambut depan Nuha kerana sudah mencucuk mata, tetapi dok cakap sahaja, tapi tak buat-buat :D Kiranya salah Umminya juga, hehehe.

Saturday, 20 August 2011

Insyirah & Ramadhan 1432H

Alhamdulillah, Allah masih mengizinkan Ummi Insyirah untuk berpuasa hingga ke hari 20 ini. Bila ditanya sama ada Insyirah mahu berpuasa atau tidak, dijawabnya tidak mahu berpuasa. Mungkin melihat keadaan Ummi yang letih terutamanya di petang hari tidak memberi semangat untuknya berpuasa, huhuhu. Kalau Insyirah terdengar bunyi sesuatu sibuk dia bertanya, "who's tummy rumbling, Ummi?". Bila dijawab perut Ummi, Insyirah jawab "isk, isk naughty Ummi." Aikk bunyi perut pun naughty ke, huhuhu. Walaubagaimanapun, Ummi Insyirah masih bersyukur walau berpuasa rezeki susu Ahmad masih mencukupi untuknya, cuma Umminya kena bertahan sikit. Minggu pertama ramadhan alhamdulillah ada perubahan tetapi masuk hari ke10 Ramadhan, semangat membara agak menurun sedikit, astaghfirullahalazim.

Bila asyik letih memanjang, tiba-tiba suatu hari Insyirah menegur setelah Ummi selesai bersolat zohor, "Ummi dah siap semayang?", "Why you semayang only one?", "Why Ummi not solat lots?", huhuhu. Terkesima sekejap Umminya tidak tahu hendak memberi jawapan apa. Insyirah maksudkan kenapa Umminya solat fardhu sahaja tanpa solat-solat qabliah dan ba'diah. Ya, jangan kita ingat anak kecil 4 tahun tidak ambil peduli apa yang ibubapanya lakukan. Mereka diusia ini gemar memerhati setiap perilaku kita. Maka hendaklah kita menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka dan menerangkan kepentingan sesuatu perbuatan itu dilakukan. Agak berasa malu dengan anak kecil itu namun sepatutnya malu pada Allah lah yang paling besar. Susahnya diri untuk istiqamah atas setiap perbuatan itu :(

Sekarang ini, kita sudah berada di 10 malam terakhir ramadhan dan semoga kita masih diberi kekuatan untuk meningkatkan amalan kita di 10 malam ini dan ke malam-malam seterusnya. Istimewanya di 10 malam terakhir ini terselit satu malam yang memberi peluang terbaik kepada kita untuk memburu redha Ilahi. Apakah malam itu? Itulah malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Marilah sama-sama kita mengabdikan diri, memohon ampun, berserah diri sepenuhnya kepada Allah, semoga kita  diberi pengampunan olehNya dan setiap amalan kebaikan kita diterima.

Marilah sama-sama kita rebut peluang ini kerana mungkin ini ramadhan terakhir buat kita.

Salam 20 ramadhan.

Friday, 19 August 2011

Mundy Play Centre, Derby, UK

Betapa cepatnya masa berlalu. Jika dahulu datang ke Mundy Play Centre ini, Insyirah asyik berdukung dan baru belajar nak berjalan, tetapi sekarang sudah boleh berlari. Malah sudah boleh menunggang keldai yang dahulunya hanya boleh dibelai sahaja. Rupanya sudah hampir 4 tahun kami di bumi UK ini.
Kenangan bersama kakak Wani (mendukung Insyirah) dan rakan-rakan yang kesemuanya telah pulang ke Malaysia. Siapa  sangka, keldai yang dahulunya hanya boleh dibelai, kini Insyirah boleh naik pula , itulah aturan Allah yang maha mengetahui segalanya :)


Ada macam-macam aktiviti di Mundy Play Centre ini dan sangat sesuai untuk membawa anak-anak berkelah di sini. Tapi kami tidak pernah pun datang semata-mata berkelah di sini melainkan atas jemputan rakan-rakan sebab agak jauh dari lokasi rumah (tak jauh mana pun, hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit dari rumah :). Layan gambar jer lah ya;)

 Baru sampai ditempat letak kereta. Parking sehari £2.50 dan parking sehingga 4 jam hanya £1.50.

Di pintu masuk ke Mundy Play Centre. Di sini anak-anak bebas berlari ke sana ke mari kerana semua orang perlu melalui pintu masuk ini sahaja untuk masuk ke dalam play centre. Terasa selamat sikit untuk anak-anak bermain ke sana ke mari namun masih perlu beringat. Malang tidak berbau kan.
Ada satu lagi pintu masuk yang lain untuk ke Mundy Park, bukan ke Mundy play centre.

Jika datang pada musim panas, kolam ini berisi air dan anak-anak boleh bermain di sini, namun airnya agak sejuk. Anak-anak (anak Malaysia sahaja) tidak tahan kesejukan jika bermain lama di sini kerana di UK, walaupun musim panas dan matahari terik, masih terasa dingin apabila anginnya bertiup. Berbeza dengan anak orang putih yang tahan dengan kedinginan air ini, mungkin kulit mereka tebal kot;)

Di sini juga ada bouncing castle yang besar, tetapi dikenakan bayaran £1 untuk bermain ini.

Di tengah-tengah kawasan Mundy Play Centre ini juga ada kolam besar yang dihiasi dengan itik-itik yang sangat banyak. Tahi itik juga banyak bersepah-sepah, huhuhu.


Di sini juga ada keretapi yang membawa penumpangnya sekeliling Mundy Park. Dikenakan bayaran untuk naik keretapi ini tetapi tidak ingat berapa.

Selain itu, anak-anak juga boleh merasai pengalaman menunggang keldai yang dikenakan bayaran £2 setiap orang.

Ini tempat yang paling dimintati anak-anak dan ibubapa sebab ianya percuma :D Ada bermacam-macam permainan di sini, gelongsor kecil, besar dll.

Gelongsor untuk kanak-kanak besar yang tinggi. Nengoklah muka Insyirah itu, ternganga mulut, hehehe:D

Nuha juga ingin merasai pengalaman menggunakan gelongsor besar. Panjat tangga tak sampai-sampai lalu perlukan pertolongan Ayah kerana agak bahaya gelongsor ini untuk kanak-kanak seusianya.


InsyaAllah anak-anak gembira datang ke sini, cumanya ibubapa letih sikit mengejar si anak ke sana ke mari. Bila hendak pulang, Insyirah cakap hendak ke sini lagi esok, "It's very fun, Ummi" :D 

Terima kasih kepada rakan-rakan yang mengajak kami ke sini :)

Selamat berpuasa di Hari yang ke-19 Ramadhan.

Wednesday, 27 July 2011

Cuti sekolah di UK

Bermula dari 22 Julai 2011 (Jumaat) yang lepas, Insyirah dan rakan-rakan sudah mula cuti sekolah sehingga 5 September 2011. Sekolah buka balik pada 6 September 2011. Kali ini cuti paling lama, lebih kurang 6 minggu. Fuhh lama tu, jenuhlah Ummi Insyirah nak fikir aktiviti untuk anak-anak sepanjang cuti sekolah ini. Hendak buat apa lah ye sepanjang cuti ini??
21 Julai 2011 yang lalu juga merupakan hari terakhir Insyirah di Nursery. Selepas buka sekolah nanti, Insyirah sudah masuk Full time Nursery/ Foundation 2 dari jam 9 pagi - 3.30 petang. Lunchtime pula dari 12.00 tengahari hingga 1 petang. Sudah kena pakai uniform dan tidak boleh sampai lewat ke sekolah:). Masa di Nursery tidak kisah boleh pakai baju apa sahaja dan dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari sahaja.  
Green school sweatshirt with school logo, £7.50 each. Ayah Insyirah beli 2, satu sweatshirt dan satu lagi macam cardigan sebagai kenangan :)
Ini pula baju PE beserta begnya sekali (baju  senam, tapi seluar pendek ler pula, huhuhu). PE akan diadakan seminggu sekali. Kalau taknak beli baju ini, boleh juga bawa T-shirt, shorts/leggings sendiri.
Berdasarkan buku yang diberikan oleh pihak sekolah minggu pertama (6 - 9 Sept 2011), Insyirah datang sesi pagi dahulu dari 9pagi - 12 tengahari. Minggu kedua (12 - 16 Sept 2011), Insyirah datang sesi pagi kemudian tunggu untuk lunch dengan cikgu dan pulang ke rumah jam 1 petang. Bermula dari minggu ketiga (19 September 2011), barulah Insyirah perlu tunggu di sekolah dari 9 pagi hingga 3.30 petang. Ini untuk memberikan masa pelajar-pelajar menyesuaikan diri dengan waktu panjang di sekolah.
Baju sekolah boleh beli sendiri: Grey/black trousers, skirts, pinafore dresses or salwar kameez (salwar kameez tu apa?), dan white shirt/polo shirt. Kasut pula mesti warna hitam dan praktikal untuk ke sekolah :) Di UK ini tiada pula disuruh beli buku-buku sekolah. Kalau tidak silap semua tu telah disediakan oleh pihak sekolah.

Baju dan kasut sekolah tu boleh beli di Asda je ya??

p/s: Ummi Insyirah excited Insyirah nak masuk full time nursery, tapi entah berapa hari jer Insyirah dapat pergi sekolah:(

Kita hanya mampu merancang tetapi Allah lebih mengetahui segalanya. Semoga Allah permudahkan segala urusan kami sekeluarga, amin.

Wasalam.

Monday, 27 June 2011

Insyirah 4 tahun !

Lagi sebulan lebih nak genap 4 tahun, sudah terima kad dari ToysRus ni ;)

Alhamdulillah syukur kepadaMu ya Allah kerana memberikan nikmat kehidupan dan kesihatan yang baik buat anakanda Nihlah Insyirah sehingga beliau mencapai usianya 4 tahun hari ini. Anugerah kehidupan yang terindah kami perolehi 4 tahun yang lalu benar-benar memberikan kegembiraan yang tidak terhingga buat kami berdua. Kehadirannya melapangkan hati kami dari segala perasaan sedih, kecewa dan gundah gulana yang sentiasa mengacau ketenteraman akal fikiran Ummi khususnya. "Sesungguhnya selepas kesukaran itu ada kemudahan" (Al-Insyirah:5). Sememangnya Allahlah yang sebaik-baik perancang. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Serahkanlah segala urusan kepada Allah, nescaya hati itu akan tenang menghadapi setiap ujian yang diberikan (namun ketika itu, hati ini masih jahil tentang itu dan kerap mempersoalkan apa yang menimpa diri, huhuhu). Astaghfirullahalazim. Ampunkanlah diri ini ya Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram/tenang (Ar-Ra'd:28) Maka dengan kelahiran puteri sulung kami ini, kami bersepakat memberinya nama Nihlah Insyirah yang membawa maksud Nihlah = pemberian dan Insyirah = kelapangan hati/kegembiraan.


Sejak nak masuk umur 4 tahun ini, sudah faham apa itu sambutan hari lahir yang selalu dilihat di television, internet dan kadang kala menghadiri jemputan sambutan hari lahir rakan-rakannya. Sudah pandai minta hadiah, cake, party dll :) Sebelum pergi ke sekolah, siap pesan nanti Ummi bawa kek kat sekolah tau. Nasib Ummi ada pesan kek dengan rakan yang pandai buat kek dan bawanya ke sekolah di akhir waktu sekolah, lebih kurang jam 11.30 pagi. Sampai-sampai je sekolah, cikgu dia nak pasang lilin di atas kek tu (kami tak bawa pun), dan suruh semua kawan-kawannya nyanyi happy birthday. Kemudian cikgu tolong potong kek itu dan Insyirah bahagi-bahagikan pada setiap rakan (lebih kurang 40 orang). Insyirah sangat seronok, dan bila balik rumah tak sabar dia nak makan baki kek tersebut. Kek lobak tersebut tersangat sedap. Insyirah tanya Ummi, "Ummi buat kek untuk Insyirah?, Ummi mix the cake?" (maksudnya Ummi buat sendiri ke kek tu, huhuhu) Umminya jawab, Tak, Ummi pesan dengan makcik Zana, makcik Zana yang tolong buatkan untuk Insyirah. Cantik dan sedapkan? Ummi mana pandai buat kek, nanti Ummi belajar buat kek ok;)

Antara rakan-rakan baik Insyirah di nursery, Aliya, Saliha, Nichola, Olivia & Oscar, Alina & Tarin

Sekarang ini bila ditanya berapa umur Insyirah, pasti dijawabnya I'm 4 years sampaikan Nuha yang baru 2 tahun itu pun sibuk sebut yang dia pun 4 years juga, hehehe. Insyirah sangat suka menulis, melukis, mewarna, membaca, menggunting-gunting kertas dan tampal-tampal. Insyirah juga seorang kakak yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap adik-adik. Kadang-kadang kami terharu bila mana Insyirah boleh mimik kerja Ummi dalam melayan karenah Ahmad dan Nuha. Pendek kata, Insyirah sudah boleh diharap dalam membantu tugas harian Ummi. MasyaAllah, sudah besar anak kami. Cumanya sering kami perhatikan bila mana kami ada tetamu di rumah, perangainya menjadi lebih manja dan agak luar biasa yang agak menguji kesabaran Umminya.

Selepas buat video Nuha ketika besday nya yang lalu, Insyirah suruh Ummi buat video untuknya pula. Boleh dikatakan setiap hari Insyirah bertanya kepada Umminya sama ada videonya sudah siap ke belum. Hahaha, agak stress juga Umminya bila kerap ditanya soalan yang sama. Tambahan pula, Umminya ini jenis buat kerja bila ada mood sahaja. Dengan itu, terhasillah video ini untuk tatapan anak-anak Ummi dan Ayah. Semoga Insyirah akan sentiasa mengingati Allah, Rasulullah, Ummi, Ayah, Nuha dan Ahmad :)

Selamat Hari Lahir yang ke-4 sayang. Semoga Nihlah Insyirah menjadi anak yang solehah yang berjaya di dunia dan akhirat serta menjadi kebanggaan kami sekeluarga.Semoga dirimu sentiasa di bawah lindungan Allah dan diberkati hidupmu selalu, amin.

Friday, 1 April 2011

Insyirah & Nuha

Sekarang ini Insyirah dah 3 tahun 9 bulan dan Nuha pula 1 tahun 10 bulan. Macam-macam perangai budak berdua ni. Kalau masing-masing mood tengah elok, seronok jer nengok diorang berdua main. Kalau dengar dialog diorang berdua ni, kadang tak tahan nak gelak dibuatnya.
_____________________________________________________________

Dialog pagi tadi selepas Insyirah bangun dari tidur. Masa ni Ummi tengah menyusu Ahmad dan Nuha sedang tidur sebelah Ummi.

Insyirah: Wake up Nuha, wake up, wake up  sambil menggoncang badan si Nuha. Kakak nak gi sekolah ni.
Ummi: Biarlah Nuha tidur kakak, Nuha bukan nak gi sekolah.
Insyirah: Wake up Nuha, wake up. Nuha nak ikut kakak pergi sekolah tak?
Nuha: haaa..Nuha pun terpisat-pisat bangun dari tidur dia.
Insyirah: Yeay, kakak nak baring sebelah Ummi :) Cepat-cepat jer Insyirah baring sebelah Ummi dia selepas Nuha bangun dari tidur.

Cett...sabo jer lah Ummi. Kejut Nuha beria, rupa-rupanya hanya nak suruh Nuha bangun dan nak ambil tempat Nuha baring.
______________________________________________________________

Ni dialog bila Insyirah balik sekolah tadi.

Insyirah: Assalamualaikum Ummi.
Ummi: Waalaikumussalam.
Insyirah: I got something for you Ummi;) I made card for you.
Ummi: Mana, wahh cantiknya :) (Ada gambar bunga dan dalam tu tulis I love you" :)
Insyirah: Happy birthday Ummi.
Ummi: Eh, bila plak birthday Ummi ni. Hari ini bukan birthday Ummi lah kakak. (Rasanya dia nak cakap Happy Mother's day kot sebab hari Ahad ni Hari Ibu di UK ni, hahahha..apa-apa je lah kakak).
Insyirah: Ummi, I'm hide your card under the pillow. (Rasa-rasanya ni cikgu dia lah ajar, konon-konon nak buat surprise kat mak nya letaklah bawah bantal tempat tidur mak dia, hehehe)
Ummi: Ok, kakak buat sendiri ke kad tu?
Insyirah: Yeah. I did it all by myself :)
Ini lah rupa bentuk kad yang Insyirah buat untuk Umminya:) Oh ye, jangan tertipu ye, Insyirah tak pandai baca lagi, lagi lah nak tulis perkataan I love you tu. Sebenarnya Insyirah sambungkan titik-titik yang cikgu dia buat. Sekarang ni dah banyak juga nombor dan huruf yang Insyirah boleh tulis. Tapi kalau tulis nama tu susah beno nak suruh tulis cantik-cantik sebelah menyebelah. Satgi N kat sini, I nun jauh di sana, H lagi lah jauh..dan L & A & H...Sabo jerlaa.

_____________________________________________________________

Dialog biasa Insyirah dan Nuha bila bergaduh:)

Insyirah: I don't want friend with Nuha anymore. I'm not friend you.
Nuha: I friend kakak more (baca: I don't want friend kakak anymore) sambil mulut muncung dan paling kepala. Kononnya marah sungguhlah dengan si kakak, hahaha. Kalau marah dengan Ummi pun si Nuha cakap, "Ha friend Ummi more" (baca: Nuha don't want friend Ummi anymore).

Nuha sekarang memang sangat suka meniru setiap aksi atau percakapan si kakak.
_____________________________________________________________

Dialog biasa selepas makan:)

Insyirah: I'm full, alhamdulillah. Ummi, look at me!, look at me!...I'm bigger now. I'm taller and taller:)
Ummi: Ok kakak makan banyak-banyak lagi, nanti kakak lagi besar.
Nuha: Full, full. (tiru si kakak). Ummi, look!..Ha big (baca: Nuha big).
Ummi: Ok, Nuha pun dah besar. Nuha dah tak boleh asyik nangis jer tau. Kalau dah kenyang, Nuha kena cakap apa? Alhamdulillah.
Nuha: lillah (baca: alhamdulillah)

Alhamdulillah, budak berdua ni sekarang semakin berselera makan. Kadang ambil Insyirah kat sekolah, soalan pertama, Ummi masak apa hari ini? hehehe... sekarang ni Nuha dah mula berhenti botol sebabnya haritu puting botol dia dah koyak. Baru jer 3, 4 hari yang lepas. Nuha minum dari sippy cup jer. Tapi Nuha dah taknak susu formula. Dia minum fresh milk je sekarang. Tadi nak buatkan susu formula dia taknak. Tak tahulah sampai bila. Nak cuba bagi lagi susu formula.