Thursday, May 14, 2026

Sesekali Kena Tantrum Juga, Baru Dia Faham

 
14 Mei 2026 - Khamis [26 Zulkaedah 1447H]

Ada masa, kita penat bukan sebab kerja atau keadaan sekeliling tapi sebab terlalu lama memendam kecewasekarang jadi sebab kita lebih banyak diam dan telan rasa sendiri.


Perasaan yang susah nak digambarkan 

Kadang, tertanya-tanya, mana pergi lelaki yang dulu aku pilih untuk jadi suami? Entah ke mana hilangnya common sense dan rasa peduli tu.

Sampai kadang rasa macam diri ni dah bukan siapa-siapa dalam hidup dia. Penat sangat fikir tentang seseorang yang hatinya macam dah tak ada lagi untuk kita.

- sumber dari Threads -


— Antara perkara yang patut diambil perhatian supaya rasa sayang tu tak makin hilang
  • Jangan terlalu biasakan diri memendam rasa. Sesekali kena tantrum juga. Jangan telan semua sendiri sampai kepala jadi serabut. Dia takkan faham apa yang kita rasa kalau kita cuma bercakap dalam hati. Biar sama-sama rasa penat dan stress, baru adil.
  • Jangan terlalu merajakan suami macam generasi dulu ajar. Kahwin ni partnership, bukan ambil anak angkat yang dah besar. Sama-sama buat kerja, sama-sama pikul tanggungjawab. Ada masa lelaki ni 'braincells' dia lambat connect sikit.
  • Jadi isteri ni kadang memang kena ada darah pahlawan sebab ada lelaki yang hanya sedar bila kita dah mula melawan. Lelaki ni kadang kena dibentuk sebelum terlambat — bukan lagi budak purba yang semua orang kena faham dan mengalah.
  • Kadang kita bercerita bukan nak simpati pun. Cuma nak rasa dihargai dan didengari tapi bila respon sekadar 'hmm..' sambil hadap phone, memang boleh hilang separuh kasih sayang. Cuba isteri buat benda sama — diam, acuh tak acuh, tak peduli — tahu pula dia merentan.


Dulu..
Aku pun sama banyak memendam rasa konon nak elak dari bergaduh. Kemudian aku guna cara — kalau aku kata A, kalau tukar B ke C ke, aku memang tak nak terima. Kena tantrum juga, kalau tak en. Hubby tak faham. Kadang lelaki ni bukan tak sayang cuma dia lambat detect kita tengah makan hati.

Sekarang..
Tantrum juga — biar sama-sama pening kepala. Rasain lor..

#RemajaPurba: ..

Wednesday, May 13, 2026

DUIT | Doa Usaha Ikhtiar Tawakkal


13 Mei 2026 - Rabu [25 Zulkaedah 1447H]

Mencari rezeki bukan sekadar tanggungjawab tapi satu ibadah apabila dilakukan dengan niat yang betul. Kita usaha, berdoa dan tawakkal dalam setiap langkah.

Apabila ini seimbang..
Perjalanan hidup jadi lebih tenang.
Rezeki lebih berkat.
Usaha yang dilakukan terasa lebih bermakna.

#RemajaPurba: ..

Tuesday, May 12, 2026

Balik Kerja On Time Bukan Tanda Malas


12 Mei 2026 - Selasa [24 Zulkaedah 1447H]
 
Jangan pandang rendah pada mereka yang balik on time dari tempat kerja. Rajin bukan diukur pada siapa paling lewat balik tapi pada siapa yang tahu mengurus kerja tanpa mengorbankan diri sendiri. Bila habis waktu kerja, tanggungjawab adalah untuk keluarga dan urusan peribadi pula.

Nak balik on time itu hak masing-masing, selagi mereka menjalankan tugas dengan baik, tak melanggar etika kerja dan tidak menyusahkan rakan sekerja lain. Jadi bila dapat balik on time, perjalanan pun terasa lebih tenang, badan tak terlalu penat dan sampai rumah masih ada tenaga untuk anak-anak dan diri sendiri.


Bak kata Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah..


Aku.. Balik on time bukan tanda malas bekerja tapi cara aku menjaga mental dan emosi sendiri. Tambah pula perjalanan balik rumah mengambil masa lebih sejam, jadi selagi kerja tiada masalah, aku memang akan balik on time. Bila sesekali aku balik lewat, mesti ada yang bertanya..
'Dah waktu balik, kenapa tak balik lagi?' 'Eh, lambat pulak balik hari ni'.
Sebab mereka tahu, lokasi rumah aku jauh.


Balik on time 

Bukan bermaksud tak berdedikasi. Kadang itu tanda kita tahu meletakkan keseimbangan antara kerja, kesihatan mental dan kehidupan peribadi pada tempat yang sepatutnya.


Setiap orang perjalanan hidup mereka berbeza. kita jangan bandingkan penat, tanggungjawab dan cara mereka bertahan hanya dari apa yang kita nampak.

#RemajaPurba: ...

Monday, May 11, 2026

Mood Bertahan Sampai Jumaat


11 Mei 2026 - Isnin [23 Zulkaedah 1447H] 

Isnin..
Permulaan hari agar menjadi kuat demi hujung minggu yang masih jauh.
Tenang memandu sambil mendengar lagu OST dari drama Pursuit of Jade. Masih belum move on. Masih ulang drama yang sama, lagu yang sama. Bila mendengar lagu yang aku suka, sekurang-kurangnya aku tidak mengantuk ketika memandu.

Sementara nak tunggu empat hari lagi sebelum dapat berehat kembali di rumah — jauhkan diri dari aura negatif. Asalkan badan tak penat, otak tak letih, itu pun dah cukup nikmat untuk minggu ni — bunyi macam tenang tapi sebenarnya sedang survive minggu yang panjang.

Minggu lepas..
Sedikit tenang memandu ketika ramai dapat kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR). Harap minggu ni pun masih ada ruang untuk bernafas, walaupun hidup tetap sibuk macam biasa.


Tak semua penat boleh hilang dengan rehat, kadang cukup dengan lagu yang kita suka, jalan yang lancar dan kepala yang tak serabut.

#RemajaPurba: Esok mungkin tetap sibuk, jalan mungkin tetap sesak..

Sunday, May 10, 2026

Hari Ibu | Nasi Lemak


10 Mei 2026 - Ahad [22 Zulkaedah 1447H] 

Pagi..
Aku request nak makan nasi lemak, jadi terhasillah hidangan nasi lemak air tangan en. Hubby.

Menu simple macam ni lah yang kami makan sampai ke malam. Kiranya memang takde menu lain dah hari ni. Lagi pun tak cukup korum — dak Kakak dengan dak Adik takde di rumah, tinggal dak Nuha je jadi peneman.

Ayam Goreng Berempah

Sambal Ikan Bilis Petai - ni en. Hubby minta aku buat.


Nasi Lemak
Bukan setakat tersandar kekenyangan tapi lena hingga ke petang dibuatnya.


Selamat Hari Ibu..
buat semua ibu dan bakal ibu..
Moga sentiasa di bawah lindunganNYA dan moga rutin harian dipermudahkanNYA.


Esok..
Kerja seperti biasa.
Begitulah realiti kehidupan — hujung minggu pun kepala tetap fikir kerja.

#RemajaPurba: ..

Saturday, May 9, 2026

Kau Miskin Tak Salah tapi Kau Malas itu Masalah


Daripada pengalaman, kekecewaan atau pemerhatian terhadap realiti sekeliling, ia sebenarnya membuka ruang untuk kita berfikir tentang harapan, usaha dan perubahan dalan sesebuah hubungan. Juga mengingatkan tentang pentingnya untuk majukan diri dan menjadi provider kepada keluarga yang akan dibina. Tidak hina menjadi seorang yang miskin tapi akan nampak berat bila berada dalam kesusahan tanpa usaha untuk berubahhanya bergantung pada harapan dan bantuan orang lain semata-mata.

Bila bercerita tentang miskin..
Perempuan mati ke kalau hidup dengan lelaki miskin?
Mati! Kahwin dengan lelaki yang miskin yang tak nak keluar daripada kepompong kemiskinan.. YES! Mati.

Kau ada audacity untuk kahwin eh?
Miskin lepas tu gatal pula tu. Kau dah susah dan kau nak menyusahkan orang lagi.

Selesa ke duduk dalam kemiskinan? Selesa?
Dah miskin cari duit, Jangan sibuk menggatal nak kahwin dengan anak dara orang, nak susahkan hidup anak dara orang. Kau nanti ada anak perempuan, kau nak ke anak perempuan kau hidup susah macam hidup dengan jantan macam kau ni? Tak nak kan..


'Miskin tak semestinya malas' — betul.
Dalam alam perkahwinan, kena ambil kira syarat dan tanggungjawab dalam rumah tangga. Dalam agama pun dah dijelaskan tentang hak minimum yang wajib suami sediakan untuk isteri.


dari [SINI]


JAWAPAN kepada Perempuan mati ke kalau hidup dengan lelaki miskin?
Sebenarnya aku setuju dengan point dia tapi dari pengalaman aku banyak perempuan yang acah-acah materialistik ni sebenarnya tak terlampau materialistik pun. Tapi dia anti lelaki yang tak berusaha. Kalau kau miskin tapi kau ada usaha and you are doing your best and dia ada improvement you and her, majoriti tak kisah je. Kalau kau miskin hari ni tapi kau memang nampak ada usaha tu nak naikkan diri. Bila kau berduit, kau ada rupa, perempuan akan sanggup berkongsi kau. Dia memang tak mahu lelaki miskin.


Jadi bila disebut 'miskin', jangan mudah trigger, bukan menghina tapi merujuk kepada keadaan seseorang yang masih belum mampu menyediakan nafkah asas seperti tempat tinggal, makan, minum, pakaian dan keperluan penjagaan diri isteri. Bukan soal kaya atau miskin semata tapi soal kemampuan memikul tanggungjawab selepas berkahwin.

Dalam agama juga kita disuruh melihat kemampuan pasangan, bukan sebab materialistik semata-mata tapi sebab perkahwinan perlukan kestabilan untuk jangka masa panjang. Nafkah, tempat tinggal, makan minum, anak-anak. Hidup berdua bukan sekadar cinta, nanti bila dah ada anaklagi banyak tanggungjawab dan perbelanjaan yang perlu difikirkan.


 Nak bayar semua tu pakai apa kalau bukan duit? 


Aku..?
Perkahwinan bukan sekadar 'nanti kahwin boleh kongsi bayar sama-sama'. Itu bonus kalau pasangan saling membantu tapi asas tanggungjawab tetap kena ada dan benda ni bukan untuk lelaki aje, perempuan pun sama. Kalau nak berkahwin, ada simpanan sendiri, ada pendapatan atau sekurang-kurangnya tahu urus kewangan — itu lebih baik. Kita tak tahu apa jadi pada masa depan, jadi ada pegangan sendiri bukan sebab tak percaya pasangan tapi sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk kelangsungan hidup.


#RemajaPurba: Lebih baik tinggalkan aje..

Friday, May 8, 2026

Lagu NEGARAKU Ketika Memandu


08 Mei 2026 - Jumaat [20 Zulkaedah 1447H]


Ketika sedang memandu ke tempat kerja ditemani suara penyampai radio, tiba-tiba lagu Negaraku berkumandang.
Apa yang kamu akan buat?


Aku..?
Masa tu mula rasa serba salah. Nak ikut berdiri tegak? Tengah drive. Takkan nak berhenti di tepi highway?

Teruskan je memandu sambil mulut ikut menyanyikan lagu Negaraku. Tak adalah sampai nak berhenti semata-mata nak berdiri tegak. Nanti lain pula jadinya — tak pasal-pasal viral Mak Budak berhenti tepi highway sambil berdiri tegak. Aku dahlah introvert.


Teringat pula ketika zaman Budak Purba, setiap kali perhimpunan hari Isnin di sekolah. Bila lagu Negaraku berkumandang, automatik rasa bangga. Itu belum lagi bila kena bertugas pegang tali bendera di tiang. Another level dia punya debar. Risau kalau bendera naik 'sampai dulu' sebelum lagu tamat. Tangan pegang tali tapi dalam hati berdoa moga timing — tak cepat, tak lambat. Bila diberi kepercayaan macam tu, walaupun nampak kecil tetap rasa bangga dalam hati.


Hebatnya aura lagu Negaraku..
Walau di mana kita berada tetap mampu buat kita berhenti sekejap dan ingat siapa kita.

dari [SINI]

Video Lagu Negaraku berkuat kuasa untuk siaran dan kegunaan rasmi mulai 1 Februari 2026.


#RemajaPurba: Jiwa masih tahu menghargai..

Thursday, May 7, 2026

Setiap Orang Ada Dunianya Sendiri


Pengalaman aku menguruskan cuti di tempat kerja lamaku dulu.
Seorang pegawai ni memohon cuti rehat untuk bercuti ke luar negara. Memang sudah menjadi kebiasaannya akan bercuti ke luar negara. Namun, kali ini permohonannya seperti cuba 'dicantas'.




Jika sebelum ini, tak pernah pun jadi isu bila pegawai tersebut bercuti ke luar negara. Kerjanya sentiasa terjaga, tak pernah timbul masalah tapi pada tahun itu, hanya kerana tempohnya sedikit lebih panjang, terus jadi alasan untuk tak mahu meluluskan cuti.

'Saya tahu dia pergi dengan kawan-kawan travel dia tapi ini lama sangat'.

Jangan sebab kau ada kuasa, kau rasa cuti orang bawahan boleh ditimbang sesuka hati. Hormatilah — orang lain pun ada hidup. Bukan semua orang hidupnya berputar hanya di tempat kerja. Orang bawahan pun perlukan rehat. Mereka bukan robot. Mereka ada keluarga, ada kawan dan ada impian — nak jejak dunia di luar zon kerja.


Kadang-kadang kita lupa..

Setiap orang ada kehidupan di luar tempat kerja.
Kuasa bukan untuk sesuka hati tapi untuk berlaku adil  kerana yang diingat bukan keputusan tapi cara kita menghargai manusia.


Kuasa itu amanah, bukan lesen untuk bersikap tak adil. Jadi ketua, adil bukan sekadar di atas kertas — tapi pada setiap keputusan yang dibuat. Orang bawah pun manusia. Mereka ada keluarga, ada kehidupan di luar pejabat. Kalau ketua boleh bercuti dengan tenang, kenapa mereka tak boleh?

@RemajaPurba: - sambungan dari [SINI] -

Wednesday, May 6, 2026

Hormati Masa Cuti Orang Lain


Dalam dunia kerja hari ini, kita sering lupa bahawa kehidupan bukan hanya tentang kerja semata-mata. Sedangkan hakikatnya, keseimbangan antara kerja dan kehidupan itulah yang membantu kita terus kuat melangkah. Tapi ada waktu kita terlupa untuk berhenti seketika dan bertanya pada diri — sudah cukupkah kita menjaga diri sendiri hari ini?

Jika mereka tak reply berkaitan urusan kerja tapi masih boleh update story di socmed, itu adalah hak mereka. CutiRehat, Jangan mengharapkan mereka sentiasa 'on call' untuk kerja. Beri mereka ruang dan waktu untuk recharge tenaga.

Bagi aku.. rakan sekerja tidak perlu ada dalam socmed aku supaya ruang peribadi kekal terjaga. Cukup sekadar hubungan profesional di tempat kerja. Kenapa..? sebab pernah terjadi sesuatu di [SINI].

Kerja tetap kerja. Matlamatnya satu — mencari rezeki. Bekerja bersungguh-sungguh itu perlu tapi jangan sampai berlebihan hingga akhirnya menjadi hamba kepada kerja sendiri. Habis waktu bekerja, balik tanpa perlu bawa beban itu ke rumah.

Jika ingin bercuti, kena pastikan semua tugasan yang mempunyai dateline telah diselesaikan terlebih dahulu. Jika berlaku sebarang perkara semasa kita bercuti, sudah ada back up untuk bantu selesaikan tugasan yang diberi.


   Jangan jadi hamba di tempat kerja  

Jika ada CUTI - gunakan untuk berehat.
Jika ada MASA - luangkan masa dengan keluarga.
Jika SAKIT - ambil cuti sakit.
Jika STRESS - carilah ruang untuk tenangkan fikiran.

Jangan sampai satu tahap, kita boleh kena anxiety di kemudian hari.
Ini boleh memberi kesan kepada kesihatan mental.



Hormati waktu kerja.
Jika ketika bekerja sering mengular dan tidak menjalankan tugas dengan baik, jangan harap orang lain menghormati waktu cuti kita sepenuhnya.

#RemajaPurba: ..

Segmen | Satu Kata ChatGPT Tentang Blog Saya


06 Mei 2026 - Rabu [18 Zulkaedah 1447H]

Kadang kita singgah ke blog orang lain bukan untuk cari jawapan tapi sekadar nak rasa — 'Aku tak keseorangan'.. dan aku memang tak keseorangan sebab kali ni blogger JMBelog menjemput aku untuk join segmen yang dianjurkan oleh beliau.


Segmen | Satu Kata ChatGPT Tentang Blog Saya

Syarat Penyertaan:
  • Buat Entry bertajuk: Segmen | Satu Kata ChatGPT Tentang Blog Saya.
  • Ke ChatGPT dan taip: Satu kata ChatGPT tentang blog [URL anda].
  • Follow blog penganjur di [SINI] dan Threads penganjur di [SINI].
  • Tag sahabat blogger (tiada had)

Buat yang berminat nak join tapi tak kena tag, tak apa.. kita sama-sama memeriahkan suasana.
Boleh klik di [SINI]

 
Jika tahun lepas aku pernah join Segmen | Apa ChatGPT kata tentang blog saya di [SINI] tapi kali ni mudah aje hanya satu perkataan dari ChatGPT tentang blog Mak Budak dan inilah hasilnya.


'Deep'
Baca sekali, senyap. Lepas tu baru sedar — yang terasa tu bukan ayat tapi diri sendiri.


Segmen bila nak kena bertanya pada ChatGPT memang boleh buat perasaan terbuai dek pujian macam sedang bercinta waktu Remaja Purba. Siap ulas lagi blog Mak Budak 'memang vibe dia kuat pada personal storytelling, refleksi hidup dan emosi yang jujur'. Betul beli jiwa sungguh.

Terima kasih pada JMBelog atas segmen yang dianjurkan. Kadang yang paling dalam tu bukan apa yang kita baca tapi apa yang kita tak mampu nak nafikan dalam diri.

#RemajaPurba: ..

Tuesday, May 5, 2026

Bila Komen Terdelete Tanpa Sengaja


05 Mei 2026 - Selasa [17 Zulkaedah 1447H] 

Kadang-kadang, tanpa sengaja kita terbuat kesilapan yang nampak kecil tapi sebenarnya memberi makna besar pada orang lain.


Apa perasaan bila nak publish komen di blog tapi tanpa sengaja tertekan butang delete?
Bukan selalu blogger lain singgah tinggalkan komen tapi at the end, terdelete pulak.  


Pernah berlaku..
Masa tu aku terfikir, mesti yang tinggalkan komen tu tertanya-tanya — kenapa komen mereka tak ada. Mungkin kecil je bagi kita tapi boleh buat mereka rasa tak dihargai dan boleh jadi lepas tu terus tak singgah lagi ke blog kita.

Padahal bukan senang orang nak singgah dan tinggalkan jejak di teratak kita. Takut juga kalau mereka terasa hati dan tak datang lagi. Bila jadi macam ni, boleh murung sekejap sambil gentel hujung bantal kekabu. 


Komen boleh terpadam tapi harapnya hati tak ikut terasa. Bukan semua yang hilang itu disengajakan tapi semuanya mengajar kita untuk lebih menghargai.


#RemajaPurba: Maafkan Mak Budak..

Monday, May 4, 2026

The Best Alarm Clock In The World is your Mom



Mak aku kalau kejut bangun subuh pukul 5.30 pagi, mak akan cakap dah 6.30 pagi. Yang lagi 'power', benda yang sama mak ulang dan aku tetap percaya. Lepas tu siap mak buka lampu dan tutup kipas, seolah-olah memang dah sah pagi dan betul-betul dah lewat.
- sumber socmed -


Aku..?
Mak kejut aku, memang tak ada nak berlengah — terus bangun kalau tak nak kena bebel atau kena cubit. Tapi mak tak kejutkan aku hari-hari sebab dulu mak kerja shift, jadi tukang kejut utama masa mak kerja ialah Jam Loceng. Kalau tak ada jam loceng, memang lambatlah pergi sekolah waktu itu.

Tapi bila dah kahwin, bukan tak pernah aku terlajak tidur dan en. Hubby yang kejutkan. Waktu itu, bukan rasa nak ucap terima kasih tapi rasa nak marah — sebab en. Hubby kejutkan waktu yang sepatutnya aku dah bergerak ke tempat kerja. Benda kecil macam ni pun boleh jadi punca masam muka kadang-kadang. Dan dari situ aku sedar, aku kena usaha sendiri. Takkan dah kahwin, dah ada anak pun masih nak mengharapkan mak untuk kejutkan aku bangun tidur lagi. Lagilah en. Hubby.. tak payah kejutkan pun tak apa, silap-silap aku kena ambil cuti kecemasan hari kejadian.


Anak-anak..?
Waktu deme kecil, aku guna cara paling senang dan mudah — tiga kali je aku kejutkan deme. Anak menyahut tapi masih tak bangun, lepas tiga kali panggil, masih tak keluar dari bilik, bukan anak aku je yang bangun — dengan Babah deme turut sama bangun bila dengar suara aku.

Sekarang..
Bila dak Kakak dan dak Adik di luar negeri, pandai-pandailah kamu bangun sendiri, termasuk waktu bersahur. Tahun pertama mereka tak ada di rumah, aku siap call untuk kejutkan tapi sekarang dah tak lagi. Bila deme balik rumah, automatik jadi macam budak kecil — bangun pun masih kena kejut. Haila anak.. nak marah, semua dah besar. Nak bebel, buat penat buang tenaga sendiri je. Jalan paling mudah, aku serah pada en. Hubby deme untuk kejutkan. Sekali Babah deme bersuara, senang pulak bangun ye.


Bila aku baca entry ni, terasa sikitnya kenangan aku dengan mak aku dulu sebab aku membesar dengan arwah atok dan uwan di kampung. Bila akhirnya tinggal dengan mak, masa tu aku dah pun besar tapi walau dekat atau jauh, mak tetap mak — dengan cara menjaga, tegur dan ambil berat, walaupun tak selalu ditunjukkan secara jelas.

Moga mak dan ayah aku sentiasa sihat, dipanjangkan umur dan diberi kekuatan hingga ke hujung usia. Aamiin..

#RemajaPurba: Rindu..

Sunday, May 3, 2026

Imaginasi Mahal, Realiti Biasa


03 Mei 2026 - Ahad [15 Zulkaedah 1447H] 

Kadang-kadang aku layan tengok makanan yang sedap macam lamb grill, lobster, chicken grill sambil bayangkan sedapnya waktu makan maggi dan — sedar-sedar aku dah habis makan maggi. Tapi takpe — imaginasi aku jenis high class, walaupun menu hanyalah maggi semata.


Bagi aku.. Just follow your own footsteps, don’t worry about others. Kita tak boleh paksa orang berfikir sama macam kita tapi kita boleh kawal diri supaya orang lain tak memberi persepsi negatif terhadap kita — dengan cara low profile dan sederhana.

Jika sesuatu yang dilihat itu positif, jadikan ia inspirasi untuk memperbaiki diri. Jika tak suka, unfriends. As simple as that. Jangan bandingkan diri. Jadikan orang lain sebagai motivasi untuk menjadi lebih baik, bukan untuk menunjuk. Aku makan maggi pun tak tayang di socmed, lebih kepada faktor keselamatan dan privacy. Eh!.. Jauh sangat dah imaginasi Mak Budak kali ni.

Ok.. gurau je,, jangan jadi pembaris pulak,

#RemajaPurba: comparisons kill happiness..

Saturday, May 2, 2026

SEKATAN JALAN RAYA

 
02 Mei 2026 - Sabtu [14 Zulkaedah 1447H]

Setiap kali melalui sekatan jalan raya, pasti aku rasa teruja tapi jarang sekali berpeluang ketika aku sendiri memandu. Selalunya, moment itu muncul ketika aku menjadi co-pilot, en. Hubby yang memandu.

Rasa takut aku tolak ke tepi sebab aku lagi rasa teruja melihat anggota bertugas menjalankan tugas mereka di jalan raya. Dengan riak wajah yang kelihatan tegas dan 'garang' buat rasa berdebar — macam berhadapan dengan guru disiplin di sekolah.


Dahulu..
Ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, aku mendapat peluang bekerja secara fizikal di tempat kerja, dokumen kebenaran haruslah ada — situasi itu sebenarnya buat aku rasa lebih teruja.

Mana tidaknya, setiap laluan masuk dan keluar dikawal rapi oleh anggota polis dan tentera yang bertugas. Suasana ketika itu lain daripada biasa. Bagi aku, pengalaman itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui setiap hari. Ini buatkan hati rasa berbunga kerana berpeluang ditahan oleh mereka.


Sekarang..
Bila nampak di laluan bertentangan ada sekatan jalan raya, mulalah aku merengek dekat en. Hubby minta U-turn semata-mata. Memang tak dilayanlah permintaan aku.. huh!Kecewa.


Kenangan ketika Sekatan Jalan Raya dahulu..

Waktu ini, en. Hubby melayan sahaja kerenah aku — siap letakkan teddy dalam kereta dan dipakaikan seat belt sekali. Cuma satu je tak lengkap.. face mask tak dapat dipakaikan sebab muka teddy terlalu besar.

Kisah di [SINI]


Dalam setiap tugas yang dijalankan, ada amanah yang dipikul.
Semoga semuanya sentiasa dalam lindunganNYA.


Moga segala urusan semua anggota yang bertugas di barisan hadapan dipermudahkan oleh-NYA. Semoga Allah sentiasa melindungi mereka, memberi kekuatan dan menjauhkan mereka daripada sebarang musibah sepanjang menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diarahkan.

#RemajaPurba: ..

Friday, May 1, 2026

EPISOD Kelima - MEI 2026


01 Mei 2026 - Jumaat [13 Zulkaedah 1447H] 

Dalam episod keempat - APRIL 2026
Bulan kelahiran dak Nuha #NagaManja. Juga penuh dengan drama manusia.. dari rumah hingga ke tempat kerja tapi yang paling mencuri perhatian pastinya drama Pursuit of Jade a trending 2026 Chinese romantic period drama. Aku antara yang enjoy the drama, dok ulang tengok berkali-kali. 

Gambar pilihan aku
Menghiasi laptopku buat masa ini.

Bulan April 2026 ni saja dah ada enam entry tentang drama Pursuit of Jade ni — bermula dengan di [SINI]. Belum masuk lagi bab lagu, hampir setiap hari aku dengar soundtrack drama ni, pergi dan balik kerja.

New Year Gala Walking Show 2026
Dari awal tahun hingga menjelang Mei 2026, Zhang Linghe masih 'berjalan'.
Aku ulang tengok sebab background lagunya 'meletup' dek aura ZLH itu sendiri.


Walau hati masih belum mampu move on, APRIL tetap perlu dilepaskan.
Selamat Tinggal APRIL 2026.
Moga kita bertemu lagi pada tahun 2027 nanti.

Kini MEI 2026 sudah berada di depan mata.
Terus melangkah — just being here, breathing and becoming better in silence.


Perjalanan ini mungkin tidak selalunya mudah tapi aku memilih untuk terus berjalan, belajar tenang dan menemukan bahagia dalam perkara kecil yang sering terlepas pandang.


#RemajaPurba: - sumber gambar dan video dari en. Google -

Pekerja MADANI Kesuma Bangsa - Tema 2026

 
01 Mei 2026 - Jumaat [13 Zulkaedah 1447H]


Sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Unifi Arena, Bukit Jalil.



Sumber dari [SINI]


- Pekerja MADANI Kesuma Bangsa -

Pekerja yang berilmu, beretika dan berintegriti yang bukan sahaja menjadi tulang belakang pembangunan negara tetapi turut menjadi aset serta kebanggaan negara.



Aku..?
Hari ni hibernate je di rumah sementara en. Hubby keluar bekerja. Aku siap request awal-awal — tak nak masak sebab cuti umum persekutuan tapi masalahnya aku dah mula lapar ni.

Demimu perut, ku relakan anggota badanku bekerja di dapur. Kena masak juga, kalau tidak nanti anak-anak mula merengek lapar. Kita bagi deme kekenyangan jadi senang sikit takde yang akan ganggu aku update blog.


Apa-apa pun, buat semua..
Selamat Hari Pekerja 2026
Walau ada yang tetap keluar bekerja hari ini, itu juga rezeki dari-Nya.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Maksud Kesuma:
'Bunga yang indah atau sesuatu yang menjadi kebanggaan. Jadi 'Kesuma Bangsa' membawa maksud permata atau kebanggaan negara'.

#RemajaPurba: ..

Thursday, April 30, 2026

TAG BERANTAI: JOM BERKENALAN


30 April 2026 - Khamis [12 Zulkaedah 1447H]

Kadang-kadang, bila blogwalking, terjumpa pula segmen yang dianjurkan oleh rakan blogger. Jika ada kelapangan, aku cuba turut serta memeriahkan suasana. Dari tak ada idea atau sedang 'writer’s block', akhirnya terus siap satu entry.

Kali ni, aku telah di tag oleh blogger SII Nurul dan JMBelog. Tak sangka, rupa-rupanya aku juga antara yang tersenarai untuk turut serta. Ini kali kedua aku join segmen bulan ini — sebelum ni aku join di [SINI].


Entry asal segmen ini dari blogger KakMim dari [SINI].
Segmen Tag Berantai: Jom Berkenalan

Syarat penyertaan:
  • Login akaun ChatGPT anda.
  • Upload gambar anda.
  • Taip ayat ni — 'Knowing everything you know about from my blog (tulis nama blog anda), make an infographic of me in Bahasa Melayu. Make a 3D cartoon style'.
  • Tekan ENTER untuk menjana image.
  • Save gambar dan post di blog anda.
  • Tag 5 sahabat blogger yang lain.

Bila dah kena tag macam ni, rasa bersalah pula kalau tak join. Orang berbudi kita berbahasa. Terima kasih SII Nurul dan JMBelog. Sebagai tanda membalas kunjungan, jom tengok hasilnya.


Inilah hasilnya..
ChatGPT ni memang pandai beli jiwabuat rasa diri dipuji sentiasa.


Bila ada syarat untuk tag blogger lain, aku tak tahu nak tag siapa sebab nak tag A, B, C, semua dah kena tag tapi andai ada yang belum kena tag — jom je join, sama-sama kita memeriahkan suasana.


Dari satu blog ke satu blog, lahir cerita berbeza namun penuh rasa.


#RemajaPurba: ..

Wednesday, April 29, 2026

Bila Teguran Itu Sebenarnya Untuk Kita

 
29 April 2026 - Rabu [12 Zulkaedah 1447H]


[ Siapa Makan Cili, Dia Yang Terasa Pedas ]

Setiap perbuatan yang dilakukan  pasti ada akibatnya dan orang yang melakukannya sendiri yang akan merasainya.


Peribahasa ini sering mengingatkan kita agar tidak mudah terasa hati apabila ditegur kerana mungkin teguran itu sebenarnya tepat mengenai diri kita. Jangan cepat melatah dan tidak semua perkara perlu dibalas dengan emosi — cuba fikir dulu.. kadang-kadang ia hanya cermin untuk kita muhasabah diri.


Teguran bukan untuk menjatuhkan tapi untuk menyedarkan. Dalam hidup ini, belajar menerima teguran dengan hati yang terbuka itu lebih tenang daripada mencari alasan untuk menafikan kebenaran.

Merahmu membara semangat waja.. [lagu ni]


Tak perlu melatah atau menuding jari kerana teguran yang baik tidak pernah datang tanpa sebab. Jika terasa, jangan cepat melawan — mungkin ada yang perlu diperbaiki dan jika tidak.. anggaplah ia sekadar angin lalu. Belajar menerima dengan hati yang terbuka kerana di situlah bermulanya perubahan.

@RemajaPurba: Setiap rasa pedas ituada ruang untuk kita menjadi lebih baik.

Monday, April 27, 2026

Gosok Baju Nikah - Berdebar Lain Macam!

 
Hari Jumaat lepas, ketika kebanyakan orang sudah lena dibuai mimpi, en. Hubby tiba-tiba 'terlebih gula' mengajak aku dan dak Nuha untuk mengemas dapur. Maka bermulalah misi kami — mengalih rak dari kiri ke kanan, dari belakang ke depan.

Dari pukul sepuluh malam hingga hampir pukul dua pagi, kami mengemas, menyisih dan membuang mana yang tak lagi diperlukan. Ada juga beberapa barang catering milik en Hubby yang akan dilepaskan kepada kawannya. Selebihnya, ada barang yang kami letakkan di luar rumah — yang ini tunggu dak Adik balik dari selatan esoknya.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

25 April 2026 - Sabtu [7 Zulkaedah 1447H]

Pagi..
Mengambil dak Adik di Terminal di situ. Hampir sejam dia menunggu — semuanya gara-gara aku lewat keluar rumah dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Dalam keadaan kepala berdenyut menahan migrain, aku tetap gagahkan diri memandu. Malas nak layan sangat sakit ni, nanti habis semua benda terasa serabut. Punca migrain ni datang akibat tidak cukup tidurt dan kepenatan mengemas rumah.


Tengah hari..
Alhamdulillah, sebaik sahaja tiba di Terminal di situ dan ambil dak Adik, aku terus bertukar tempat dengan en. Hubby — kali ini aku jadi co-pilot saja. Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Gombak untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara sebelah myFIL.


De Cassa Mahligai Wedding & Event di Batu Caves


Memandangkan aku tidak mengenali sesiapa di sana, aku hanya duduk diam di sisi dak Adik dan dak Nuha. Tambahan pula kepala masih berdenyut menahan migrain, nak berbual pun terasa berat.

Tak lama kami berada di majlis tersebut, kami pun mohon diri untuk beransur pulang. Aku tak sabar nak balik berehat di rumah.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

26 April 2026 - Ahad [8 Zulkaedah 1447H]

Menghadiri kenduri kahwin en. Awe, saudara a.k.a jiran sebelah rumah kami yang berlangsung di rumah mertuanya di sini. Alhamdulillah, suasana majlis sangat meriah dan penuh dengan kemesraan.


Luas kawasan rumah pengantin perempuan

Selamat Pengantin Baru buat en. Awe dan psangannya pn. Sidah
Moga kekal bahagia hingga ke akhir hayat


Berdebar Lain Macam Bila Gosok Baju Nikah Pengantin Lelaki


Semalamnya, kali kedua beliau meminta bantuan aku untuk menggosok baju Melayu yang bakal dipakai pada hari nikahnya. Sebelum ini pun pernah — waktu dia hendak menunaikan umrah, dua helai jubahnya aku yang gosokkan. Tadi, bila bertemu beliau bersama pasangannya, sempat juga aku mengusik.. 'Lepas ni takde dah hantar kat rumah kami untuk gosok baju sebab dah ada orang jaga'.


Petang..
Kami sambung mengemas rumah, kali ni en. Hubby dan dak Adik mengemas di bahagian luar rumah dan dak Nuha menemani aku di dapur. Semuanya gara-gara cikTi — terpaksa mengerah tenaga mengemas semuanya.


Malam..
Rezeki kami.. en. Awe menghantarkan lauk kenduri buat kami sekeluarga. Alhamdulillah, esok tak perlu masak — ini pun satu nikmat yang patut disyukuri.

Dalam masa yang sama, aku dah pasangkan perangkap untuk cikTi. Tunggu masa aje.. selagi tak kena, rasa geram je hati ni cuma aku risau dak Jasmine pulak yang makan umpan tu.

#RemajaPurba: ..

Sunday, April 26, 2026

Segmen Pencarian Bloglist Aynorablogs.com Tahun 2026


26 April 2026 - Ahad [8 Zulkaedah 1447H]

Tengah blogwalking membalas kunjungan dari kawan-kawan blogger, aku terjumpa satu segmen ni. Nampak menarik, jadi aku pun join sekali bagi memeriahkan suasana. Segmen yang dianjurkan oleh blogger Aynora, aku jumpa segmen ni dari blog JMBELOG di [SINI]


Buat mereka yang berminat..
Segmen Pencarian Bloglist Aynorablogs.com Tahun 2026
boleh join di [SINI]


Syarat Penyertaan:
  • Buat satu entry bertajuk Segmen Pencarian Bloglist Aynorablogs.com Tahun 2026
  • Letak gambar banner di atas dekat entry itu dengan backlink ke entry ini.
  • Ceritakan sedikit apakah korang pernah blogwalking kat blog Aynora?
  • Hantarkan link anda di bahagian komen blog, nanti saya listkan kat bloglist.
  • Segmen ini akan berlangsung dari 01 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026.

Soalan dari empunya blog, Aynora:
Ceritakan sedikit apakah korang pernah blogwalking kat blog saya ini?

Jujurnya aku tak pernah lagi singgah ke dalam blog Aynora ni, jadi aku bagi komen secara umum jelah ye. Apa yang aku tengok di bahagian atas ada empat topik utama iaitu 1001 Resepi, Kesihatan, Lifestyle dan Agamayang mana boleh klik pada tajuk-tajuk tersebut dan boleh scroll untuk sub topic yang relevan dengan kehidupan seharian. Gaya penulisan pun santai.. macam berborak.


Seperti kata Aynora:
Macam biasa bila orang tanya kenapa nak buat bloglist, jawabnya mudah jesebab mudah nak blogwalking dan 'curi' idea bila ketandusan.. haha (gurau je..).

Pada aku.. itu bukan soal mencuri idea tapi bila ketandusan idea, kita cuba mencari topik yang sesuai untuk dijadikan entry di dalam blog. Setiap orang punya pengalaman tersendiri — topik mungkin sama, tetapi penghayatan dan penyampaian tetap berbeza.

Sekecil mana pun perkongsian tetap ada nilai untuk yang sudi membaca dan terima kasih kepada penganjur atas peluang yang diberi.

#RemajaPurba: ..

Friday, April 24, 2026

Bila Emosi Menjadi Tulisan


Kadang-kadang kita tak sedar, perkara kecil yang kita buat secara konsisten itu sebenarnya diperhatikan orang. Bukan untuk dipuji tapi cukup sekadar menjadi tanda bahawa kita masih setia dengan apa yang kita minat. Menulis di blog, bagi aku.. bukan sekadar hobi — tapi ruang untuk aku 'bercakap' dengan diri sendiri dan menyimpan kenangan yang mungkin suatu hari nanti aku akan baca semula.


Ada sahabat yang bertanya..
'Rajin akak update blog, bertahun-tahun masih setia dengan blog'.
Ada entry yang aku pernah share dengan dia, juga dalam group kami #RemajaPurba.

Dari mana datangnya nama blog aku ni?
Daripada salah seorang sahabat — Kak Yanz. Aku suka bunyinya dan tak fikir panjang terus jadikan sebagai nama blog. Blog ini memang wujud kerana dak Adik tapi nama itu sendiri lahir daripada idea Kak Yanz. Luv u Kak Yanz..

Aku memang suka menulis.. lebih-lebih lagi bila hati tak tenang. Kadang-kadang bermula dengan satu perenggan, boleh jadi seperti karangan dua muka surat penuh. Dalam marah aku menulis tapi gaya bahasa tetap aku jaga. Aku tak akan terus publish — aku simpan dalam draf. Sebab itu, banyak entry yang masih tersimpan dalam draf. Bukan tak mahu kongsi tapi aku tak mahu tulisan dalam blog aku ni terlalu sarat dengan emosi. Marah atau kecewa itu biasa tapi cara kita menyampaikan — itu pilihan.

Walaupun tak seindah tatabahasa di dalam karangan Bahasa Melayu, aku tetap cuba menulis dengan baik. Memegang pesan en. Hubby.. 'Nak tulis boleh tapi jangan berlebih-lebihan'.


Tak semua yang kita rasa perlu diluahkan segera  kadang-kadang yang ditapis itulah yang paling bermakna.


Aku sedar.. blog ini bukan sekadar tempat bercerita tapi ruang untuk aku belajar mengawal rasa — supaya setiap kata yang keluar bukan sekadar luahan tapi juga cerminan diri yang lebih matang. Apa yang ditulis hari ini mungkin hanya sebuah cerita tapi esok ia boleh menjadi kenangan yang mengajar aku untuk lebih tenang dalam menghadapi rasa.

Sebab itu, setiap kata aku pilih dengan hati-hati — bukan untuk sempurna tapi untuk jujur pada diri sendiri.

#RemajaPurba: dari [SINI]..

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...