Segmen Refresh Bloglist September 2026 Blog Nieza

 Saya baru blogwalking sikit, terus ternampak ada teman blogger kongsi tentang segmen blog Nieza ni. Jadi, saya pun tak lepaskan peluang untuk sama-sama sertai. 

Segmen Refreash Bloglist September 2026 Blog Nieza
Poster segmen Refresh bloglist Nieza

Comel je poster. 😊

Semoga ukhuwah di alam maya antara kita semua terus terjalin.

Juga, kita semua saling menyokong antara satu sama lain, dan terus semangat kemaskini blog. 

Klik poster di atas untuk join segmen ini, ya.

Jumpa lagi. 💗

Share:

Hari ambil darah

 Assalamualaikum, dan selamat sejahtera, kepada semua pembaca blogku yang dikasihi sekalian.... 

Harap anda semua sihat, dan gembira selalu. 

Entri hari ini, saya nak ceritakan apa berlaku pada hari Jumaat, 7 Ogos 2026 yang lepas. 

Pagi-pagi seperti biasa, saya pergi berjalan di padang. 

Rekod berjalan pagi di Padang Astaka, Sitiawan, Perak.
Cantik langit pada pagi itu.

Berjalan selama 57 minit, dengan jarak 4.56 kilometer, bersamaan dua pusingan padang. Alhamdulillah.

Lepas berjalan, saya terus ke hospital, ada temujanji hospital, ambil darah. Saya sudah puasa sejak 10 malam hari sebelumnya.

Nombor giliran di unit pengambilan darah, Hospital Seri Manjung.
Nombor giliran unit pengambilan darah.

Hari Jumaat biasanya tidak ramai orang. Saya tak tunggu lama pun. Tak sampai 10 minit, selesai ambil darah. Alhamdulillah. 

Merdeka! Jom makan roti canai! 😍 Padahal hari sebelumnya, sudah makan roti canai juga. Hehe...

Repeat Warung Pak Wan, Ayer Tawar. Hidup untuk dinikmati. 

Roti banjir spesial di Warung Pak Wan, Ayer Tawar, Perak.
Roti banjir spesial

Roti kosong kuah kari kambing di Warung Pak Wan, Ayer Tawar, Perak.
Roti kosong kari kambing

Sedap kuah kambing. Daging kambing pun lembut. Memang terbaik roti canai di sini. The best roti canai in the world! 👍👍

Roti jantan di Warung Pak Wan, Ayer Tawar
Roti jantan

Lain sikit rupa roti jantan sini. Kalau pergi mamak, roti jantan dia macam ditampal dua biji telur tanpa dipukul. Setepek, gitu. 

Kuah roti jantan ada sambal di Warung Pak Wan, Ayer Tawar, Perak.
Kuah roti jantan ada sambal

Alhamdulillah... sedap-sedap belaka hidangan sarapan. 😋

Keputusan ujian darah

Saya update sini teruslah keputusan ujian darah. Hari jumpa doktor adalah satu minggu selepas ujian darah. Saya punya temujanji pada pukul 3 petang, hari Jumaat, 14 Ogos 2026. Keputusan untuk tiroid, bacaan tinggi. Kolesterol pun tinggi (bacaan 11, kolesterol). Saya terima dengan hati yang lapang dan redha. Tidak sedih. Sebab apa? Sebab doktor sangat baik, dan cakap lembut dengan saya. Alhamdulillah, suka saya dapat jumpa doktor baik hati. Rezeki, dapat jumpa doktor yang cakap lemah lembut ni. Hati kita pun rasa tenang, walaupun keputusan tak berapa baik. Doktor telah menaikkan dos ubat tiroid kepada satu biji sehari. Sebelum ini, makan tiga suku biji setiap hari. Baik. 
Kesihatan saya okay. Tiada apa-apa simptom atau rasa badan lain macam ke apa. Sihat seadanya. Syukur Alhamdulillah. 
Saya ada amal minum air rebusan bunga cengkih dan kulit kayu manis ceylon. Air rebusan ini berkesan pada suami saya, ujian darah untuk kolesterol dia jadi normal. Tapi petua ini tidak berkesan pada saya. Itulah, tak boleh buat perbandingan kalau benda itu baik untuk orang lain, tak semestinya benda itu baik untuk kita. Saya sendiri pun sudah abnormal. Makan pun tak jaga. Kadang makan juga benda mengarut. Kadang? Okaylah, selalu. Macam dalam entri ini, saya makan roti canai. Sebenarnya, mana boleh. Ye la, ye la... saya cubalah jaga makan nanti. 😁

Baik. Jumpa lagi, ya. 💗
Share:

Masak nasi ayam resepi KA

 Pada hari Khamis, 6 Ogos yang lepas, saya telah masak nasi ayam. Saya ikut resepi Khairul Aming. 😊

Tengok resepi dari video, tapi saya tulis dalam buku resepi saya, untuk rujukan. Siapa boleh masak sambil tengok video resepi, sila angkat tangan! 

Saya, tak boleh. Sebab sejenis buat kerja perlahan. Jadi saya salin point penting dan saya kongsikan di sini, ya.

Resepi Nasi Ayam Khairul Aming

1. Rebus 1 ekor ayam. Masukkan halia besar ibu jari dengan tiga ulas bawang putih.

2. Bila ayam sudah separuh masak, bawa keluar ayam, asingkan.

Nasi

1. Cairkan 2-3 sudu marjerin. Masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang. Masukkan bawang merah atau bawang besar yang telah dihiris.

2. Basuh beras. Masukkan air rebusan ayam sampai level 1 jari, masukkan bahan-bahan tumis tadi dan daun pandan, garam sikit, pewarna kuning telur (saya tak masukkan pewarna) dan masak nasi seperti biasa.

Nasi ayam dalam rice cooker
Nasi ayam dalam rice cooker

Harum bau nasi. 😍 

Ayam

Gaul ayam yang telah direbus separuh masak awal tadi, dengan garam, sos tiram dan kicap manis, minyak masak sikit, masuk dalam air fryer. Bakar 200°C selama 10 minit.

Ayam untuk nasi ayam
Ayam siap! 😋

Sup

Lebihan air rebusan, tambahkan air, letak sup bunjut, letak kaki atau tengkuk ayam, masukkan garam, gula, serbuk perasa, masukkan daun sup. Biar mendidih, siap.

Sup untuk nasi ayam
Sup ada kaki dan tengkuk ayam

Sos Kicap

Ambil sup ayam yang sudah siap sedikit, campur kicap manis, ambil halia dan bawang putih dalam sup sikit, tumbuk dan kacau dalam sos kicap.

Sos kicap untuk nasi ayam
Halia dan bawang putih sebesar alam saya letak

Sos cili

Kisar 7 biji cili besar, 4 biji cili api, dua sudu gula, garam dan air sikit. Masak atas api, siap. 

Sos cili untuk nasi ayam
Pun siap!

Salad tak ada. Potong timun dan tomato untuk ulam.

Timun dan tomato untuk nasi ayam
Timun dan tomato

Bon appetit! 

Sepinggan nasi ayam
Pinggan saya

Nyum.. nyum.. Alhamdulillah... 😋 Saya suka nasi ayam. Nasi ayam biasa ni, okay. Nasi ayam lain macam ayam gepuk ke, penyet ke, pun saya suka. 

Cuma jarang masak di rumah dan makan. Bahaya, sebab mengundang nasi tambah. Kalau beli luar, lagilah sebukit biasanya nasi dalam satu bungkus.

Pada hari itu, dua hari juga saya dan suami makan nasi ayam. Hehe..

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Giveaway Wedding Anniversary SA dan Suami Yang ke 3 Tahun

 Assalamualaikum, dan salam sejahtera.

Saya pun ingin turut serta juga, giveaway SA ni. 😊

Banner giveaway anniversary SA dan suami yang ke 3 tahun
Banner giveaway anniversary SA dan Suami

Syarat-syarat yang tertera dalam banner di atas, sangatlah senang. 

Giveaway bermula dari 1 September hingga 15 September 2026.

Saya doakan rumahtangga SA dan suami berkekalan hendaknya, hingga ke akhir usia. Semoga ikatan terjalin diberkati Allah, sama-sama dapat menjalani hidup bersama, dalam susah dan senang, penuh kasih sayang dan murah rezeki sentiasa. 🤲

Marilah kita sama-sama memeriahkan giveaway oleh blogger Suria Amanda ini beramai-ramai.

Klik banner di atas untuk join.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Hari malas briskwalk, baik pergi makan

 Ini cerita pada hari Khamis, 6 Ogos 2026 yang lepas.

Saya marah sebab anak sulung, Amirul, cakap nak balik semalamnya. Saya sudah simpan nasi goreng petai dengan sayur dan telur atas meja. Tengok-tengok sampai ke sudah dia tak balik. Bila suami balik kerja tengah malam, tengok Amirul belum sampai, dia whatsApp tanya Amirul. Amirul cakap dia tidur rumah kawan di KL. Saya tak suka tengok makanan tunggu atas meja, tiada siapa makan. Suami saya kerja long hours untuk cari rezeki saya dan anak-anak makan. Jadi saya tak suka pembaziran makanan. Suami simpan makanan dalam peti sejuk. Amirul patutnya bagitahu atau mesej, supaya kami tidak risau tapi dia diam saja. Dia kata rileks la. Kan dia sudah cakap dia singgah KL sebelum balik Manjung. Ye, tapi dia tak bagitahu dia nak tidur KL. 😒

Waktu pergi briskwalk pagi, hati saya rasa sakit. Saya tahu perasaan ini tak elok. Saya sebagai ibu harus redha dengan anak-anak. Saya istighfar banyak-banyak. Tiada mood untuk briskwalk. Baik pergi makan, bagi happy. 

Rekod briskwalk semasa hari malas
Rekod berjalan pada hari tersebut.

Satu pusingan saja pusing padang. Biasanya, saya buat dua pusingan. Gambar pun tak ambil. Kalau tak, saya ambil gambar padang atau langit waktu briskwalk.

Jomlah pergi makan. Peduli hape aku, esoknya ada ujian darah. Lantak pi la tak payah IF. Not in the mood.

Kami pergi sarapan di Warung Pak Wan, Ayer Tawar. 

Roti banjir special di Warung Pak Wan, Ayer Tawar
Roti banjir special

Kami makan kongsi-kongsi, supaya sama-sama dapat merasa. Saya rasa, roti canai Warung Pak Wan ini, yang paling sedap la, saya pernah rasa. Kalah kedai-kedai lain. Patutlah Warung Pak Wan ini selalu ramai orang. 

Air lemon suam kosong di Warung Pak Wan
Air lemon kosong suam, dua.

Nasi lemak spesial di Warung Pak Wan
Nasi lemak spesial

 Masa pertama kali datang sini, ada pesan nasi lemak spesial ni. Ulang pesan. Suami pula nak makan.

Roti bakar telur goyang di Warung Pak Wan
Roti bakar telur goyang

Jumlah harga sarapan kami ialah RM19.80. Alhamdulillah. Semua sedap.

Sebab saya seorang ibu yang selalu sediakan makanan bila anak-anak nak balik. Jadi, anak-anak macam ambil mudah. Mungkin saya perlu jadi ibu yang tak peduli anak-anak lapar atau tak. Buat apalah saya susah-susah masak sampai berpeluh di dapur tu. Buat penat je. Nak tahu tak... kalau saya kurangkan sikit kerja domestik saya sebagai surirumah ni, saya boleh update 2-3 entri sehari dekat blog. Dari zaman anak-anak sekolah lagi. Dia orang tak pernah pergi sekolah dalam keadaan lapar. Saya hari-hari bangun awal sediakan sarapan. Saya ada baca, ada budak kurang bernasib baik, pergi sekolah, lapar perut. Waktu rehat baru dapat makan. Tapi anak-anak saya mana tahu, sebab dia orang sentiasa bernasib baik.

Entah kenapa saya sakit hati sangat, tak tahulah. Padahal anak sulung sudah 23 tahun. Patut saya boleh lepas dah. Malas fikir dah. Mungkin sebab dia belum habis belajar, kot. Kalau dia sudah habis belajar dan sudah bekerja, lainlah cerita. Ini, kita tanggung dia lagi. Inilah ups and down jadi seorang ibu di rumah ini. 

Memang lepas itulah, saya mula masuk gua tu. Barulah sejuk sikit hati. Kena selalu mengaji. Bila terjaga malam, solat. Barulah saya okay. Kena let go beberapa benda dalam kepala otak. Serahkan pada Allah saja, dan berdoa. Anak-anak bila sudah besar, ada pemikiran deme sendiri. Cuma saya harap dia orang tak membelakangkan kami. Semoga Allah beri saya kekuatan dan ketabahan dalam menangani karenah anak-anak. Semoga kome, pembaca yang sedang membaca ini pun baik-baik saja, tidak alami sebagaimana saya alami. 

Itu yang kakak saya cadang saya pergi bercuti tu. Sebab saya sentiasa ada. Kena bagi suami dan anak-anak merasa saya tak ada di rumah. Bila last sekali ya? Oh, waktu saya pergi umrah, awal tahun 2025, itulah kali terakhir saya cuti. Entahlah.... 

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Berita gembira dan nasi goreng petai

Cerita pada hari Rabu, 5 Ogos 2026 yang lepas. 

Saya check laman web Majlis Agama Islam Perak (MAIP), permohonan bantuan one-off untuk budak Sulaiman diluluskan. Alhamdulillah, syukur. 🤲 Bolehlah Sulaiman guna buat belanja harian dia di poli.   

Gembira untuk Sulaiman. Terus pergi briskwalk di padang, seperti biasa.

Briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan
Jalan pagi selama 56 minit, dengan jarak 4.54 kilometer.

Langit cepat cerah dan cuaca jadi panas. Saya biasa jalan sampai cukup 7 ribu langkah saja. 

Balik rumah, saya siram pokok.

Kemudian, masuk dapur, masak. Suami saya pergi servis kereta di bengkel. Jom tengok saya masak apa pada hari tersebut.

Sayur campur dengan cendawan
Sayur campur dengan cendawan.

Ada carrot, tomato dan kacang panjang, dengan cendawan tiram. Mesti ada lauk sayur. Kalau tak masak sayur, potong timun pun sudah okay, atau petik ulam raja dekat kebun. 

Nasi goreng petai
Nasi goreng petai

Haha... kalau ada petai di rumah, kalau tak masak sambal tumis, mesti nak kena buat nasi goreng juga. 😋 Letak juga kacang panjang potong kecil dalam nasi goreng. Nyum nyumm....

Makan nasi goreng petai, telur rebus dan sayur campur
Pinggan saya

Saya IF. First meal of the day pukul 12 tengahari. Alhamdulillah. Sudah tak tahu nak makan mana kalau makan di luar. Baik masak sendiri saja di rumah. 
Salam Hari Kemerdekaan pada semua pembaca sekalian. Selamat bercuti bersama keluarga. 
Jumpa lagi, ya. 💗
Share:

Wira kena towing

 Masa musim percutian ini, kurang sikit orang blogwalking, ya. Saya sendiri pun, macam terhad masa untuk online. Ye lah, anak-anak tiga orang ada di rumah. Kerja saya memasak je. Tak pun, habiskan masa dengan dia orang. Sementara anak-anak ada di rumah ni. Nanti dah balik asrama, rindu pula dengan dia orang. Hehe...

Jom tengok cerita pada hari Selasa, 4 Ogos 2026 yang lepas. Pagi-pagi, pergi briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan.

Briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan, Perak.
Berjalan selama 56 minit, dengan jarak sejauh 4.58 kilometer.

Alhamdulillah. Langit pagi cantik. Bila jalan luar, rasa happy, dapat tengok pokok, langit, dan orang. 

Suami cerita, kereta Wira rosak clutch. Semasa kejadian, suami saya on the way balik, habis kerja pukul 12 malam. Kereta Wira tu, manual. Tak boleh masuk gear bila berhenti di trafik light. Jadi, suami saya call kawan-kawan ofisnya, tolong tolak kereta ke tepi jalan.

Pagi itu, selepas briskwalk, kami pergi tempat kejadian.

Cari dalam group penduduk setempat kawasan kami, nombor telefon trak tunda. Dapat, terus tunda kereta Wira ke bengkel kereta.


Saya sertakan video kereta Wira naik trak tunda. 

Selepas hantar Wira pergi bengkel berdekatan rumah, kami pergi sarapan di Lumut Hotspot. Jom tengok kami pesan apa.

Air kosong dan kopi o panas kosong di Lumut Hotspot.
Air kosong untuk suami dan kopi o panas kosong untuk saya.

Walau minta kosong, dia tetap beri gula, dalam bungkusan.

Telur separuh masak di Lumut Hotspot
Telur separuh masak, suami nak makan.

Nasi goreng kampung dan telur goreng mata di Lumut Hotspot.
Nasi goreng kampung, telur goreng mata.

Rasa makanan semua sedap. Kami sudah beberapa kali datang sarapan sini. Tapi kali ini, ada benda kurang best berlaku. Nasi goreng suami sudah habis, tapi sarapan saya belum sampai. 
Saya panggil adik yang bekerja, bertanya pesanan saya. Barulah dia pergi ambil. Sudah siap, tapi dia tak hantar ke meja.

Big breakfast di Lumut Hotspot
Saya pesan set Big breakfast

Tiba-tiba rasa nak merajuk la, sebab dia lambat hantar pesanan saya. Huhu... tapi makanan dia sedap. Itulah kali terakhir kami pergi makan situ. Sejak itu, tidak pergi lagi. 

Tapi set big breakfast ini memang sedap. Ada salad, mashed potato, telur omelette, garlic bread, sosej, baked beans dan chicken slice. Memang mengenyangkan. 

Alhamdulillah. Lepas makan saja, kami balik rumah dulu. Lepas kereta Wira siap dibaiki, barulah saya hantar suami ke bengkel untuk bawa balik Wira.

Kereta antik. Kereta tu memang suami pakai untuk pergi balik office. Saya tak drive kereta Wira, sebab sudah lupa bawa kereta manual. Pernah cadang pada suami untuk jual, tapi suami kata, sayang. Hmmm.... 

Okaylah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Briskwalk, tengok pokok dan masak apa

 Selamat bercuti kepada semua pembaca sekalian. Cuti sekolah seminggu. Anak-anak saya di politeknik pun cuti juga seminggu. Cukup korum di rumah. Riuh-rendah dalam kereta semalam, sebab ambil Hafizan dan Sulaiman dari Ipoh. Alhamdulillah. 

Entri kali ini, saya nak kongsikan cerita pada hari Isnin, 3 Ogos yang lepas. 

Jalan pagi

Pagi-pagi, pergi briskwalk dengan suami di Padang Astaka, Sitiawan.

Briskwalk di Padang Astaka, Sitiawan, Perak, sejauh lebih kurang 4 kilometer
Rekod aktiviti dari jam

Jarak berjalan: 4.33 kilometer

Masa: 51 minit 48 saat

Saya briskwalk dengan handswing sekali. Semangat! Bila berjalan dengan hayunan tangan, kita jadi lebih laju, banding jalan lengkang kangkung itik pulang petang. 😁

Selfie lepas morning briskwalk
Pakcik tu sedang bersihkan rumput dari kasut jalan.

Kita orang memang ada standby berus untuk bersihkan rumput yang melekat pada kasut sukan. Ada orang memang kurang suka berjalan di padang, sebab kasut jadi mudah kotor. Tapi bagi kami, sini tempat paling lembut pada lutut, berbanding tempat jalan yang lain.

Singgah stesen minyak

Lepas briskwalk, nak balik rumah, tapi singgah stesen minyak sekejap, suami sakit perut.

Dekat stesen minyak, ada Family Mart. Ambil gambar di bawah.

Promosi waktu membeli di FamilyMart
Saya tepek di sini, untuk rujukan saya. 

Ada adik pekerja FamilyMart cawangan Lumut selalu bagitahu saya, waktu terbaik untuk beli onigiri. Tapi saya selalu lupa. End up beli onigiri bila harga dia mahal, RM5. Kalau kita beli ikut waktu dalam promosi, ada potongan harga.

Jadual promosi FamilyMart "All Day Jimat Deals":
🌸 6 hingga 10 pagi (waktu sarapan): Sandwich & Breakfast Muffin pada harga RM4.90
🌸 10 pagi hingga 2 petang (waktu makan tengahari): Onigiri terpilih pada harga RM3.90
🌸 2 hingga 6 petang (waktu minum petang): Lemonade & Ice Lemon Tea serendah RM1.90
🌸 6 petang hingga 10 malam (waktu makan malam): Onigiri terplih pada harga RM3.90
🌸 10 malam hingga 2 pagi (waktu supper): Diskaun 20% untuk pembelian roti atau biskut yang kedua.

Jenguk kebun kecil

Sampai di rumah, sebelum masuk rumah, tengok pokok-pokok di halaman dulu.

Bunga raya putih kembang lagi
Bunga raya putih kembang lagi.

Silih berganti kembang. Layu sekuntum, esoknya kembang baru. Ada sekali, sampai 3 kuntum bunga raya kembang sekali. Suka tengok. 😍

Saya ada ikut nasihat dari Puan Ujie, tentang pokok bunga rain lily. Boleh baca sini 👉 Eksperimen Potong Daun Rain Lily

Sebelum ini, pokok rain lily di rumah sudah lama tinggal daun saja, lama tidak keluarkan bunga. Daunnya pula rupa macam daun bawang. Saya potong bahagian atas, dan betul, memang pokok ini mula keluar bunga.

Pokok rain lily keluar bunga setelah dipotong daun atas separuh
Gambar diambil 3 Ogos


Bunga rain lily keluar lebih banyak setelah dicantas daunnya
Gambar pada 5 Ogos

Alhamdulillah. Terima kasih pada Puan Ujie yang kongsikan tentang pokok rain lily ini. Saya bercadang untuk pindahkan pokok ini ke pasu lebih besar atau tanam atas tanah terus. Insya-Allah. Tapi belum buat lagi. Sebab cuaca panas, agak malas berkebun.

Terung pipit
Terung pipit

Banyak sangat keluar terung pipit ni.

Pokok terung pipit di rumah
Inilah pokok terung pipit

Pokok ini lebih tinggi dari saya. Huhu... kutiplah semua terung pipit yang ada.

Kutip terung pipit untuk sedekah pada officemates suami
Kumpulkan dalam plastik

Sedekah pada kawan-kawan pejabat suami saya. Bukan terung pipit saja, ada lagi kutipan...

Kutip limau kasturi untuk sedekah pada officemates suami
Limau kasturi

Rezeki sama-sama dikongsi. 

Saya ada bertanya pada seorang brother penjual di pasar, berkenaan limau kasturi. Boleh letak di kedainya lain kali, tapi dia nak yang warna hijau saja. Limau kasturi hijau boleh tahan 3 hari di kedai. Itu pun kalau lain kali nak cuba nasib jual hasil kebun di pasar. Hehe, saja bertanya. 

Masak apa

Sayur sawi dan cendawan
Sayur sawi dan cendawan

Saya masak sayur saja. Lauk sup ayam masih ada. Lauk sambal petai ikan bilis pun ada. Panaskan saja. 

First meal of the day, break IF, makan sayur dan lauk saja, tanpa nasi
Pinggan saya

First meal of the day. Break IF pukul 10 pagi. Ada sambal tumis, ayam dan kentang dari sup, dua biji telur rebus, dan sayur. Alhamdulillah. 

Salam hari Sabtu. Selamat berehat di hujung minggu kepada semua pembaca blog yang saya kasihi sekalian. Hati-hati di jalanraya, jika dalam perjalanan balik kampung atau pergi bercuti.

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Masak apa Jumaat terakhir di bulan Julai

 Akhirnya saya sudah sampai entri terakhir cerita di bulan Julai. Bulan Ogos punya cerita belum masuk, tapi sekarang pun sudah penghujung Ogos. Acaner tu? Ni punca sebab hilang masuk gua hari tu la, bertapa. Huhu.. Takpelah, walaupun cerita sudah lama berlalu, saya share juga ya, di blog, sebagai rekod dan kenangan. 😊

Entri kali ini, saya nak cerita tentang apa saya masak, pada hari Jumaat, 31 Julai yang lalu. Eh, kebetulan sama pula dengan hari saya nak publish, hari ini pun hari Jumaat. Hehe... jom tengok.

Sayur sawi tumis
Sayur sawi tumis

Sebenarnya, saya jarang sekali masak sayur berdaun ini. Kebanyakan sayur yang saya beli adalah sayur jenis keras yang tahan lama seperti brokoli, kobis bulat dan lobak merah. Tapi sebab saya ada terbaca, yang kita kena lebihkan pengambilan sayur hijau lebih banyak, jadi itulah, saya pun belilah sawi dekat pasar. 

Pada hari itu, saya tumis ikan bilis dengan bawang putih guna olive oil. Kemudian masukkan sayur sawi. Letak sos tiram sesudu kecil dan garam bukit secubit. Siap! Senang je, masak sayur.

Sup ayam
Sup ayam

Saya tak tumis pun. Saya cuma didihkan air dalam periuk, letak perencah sup siam. Lepas tu, saya masukkan ayam, kentang, tomato. Biar je sampai masak. Pun senang masak juga sebab sup tanpa tumis. Nak kurangkan penggunaan minyak.

Sambal tumis ikan bilis petai
Sambal tumis ikan bilis petai

Masak sambal kena guna minyak juga. Takpelah, untuk satu lauk ini saja kita guna. Ha ah, ada beli petai. Itu yang masak sambal tumis dengan bilis. Campur sekali kacang panjang sikit, dalam sambal. Sedap, sedap, Alhamdulillah! 😋

Pinggan saya

Itu yang suami saya larang saya masak sambal tumis tu. Sebab kalau ada sambal petai, dia makan nasi bertambah. Hehe.. Yor lantak perut dia maju ke hadapan. Alaaa.. nanti kita pergi briskwalk ya, abeku cayang. 

Saya je yang tak makan nasi. Bila di rumah sajalah boleh tak ambil nasi. Saya ada rebus telur juga. Tapi ada karbohidrat juga dalam pinggan saya, itu ada ambil kentang. Okaylah. 

Walaupun demikian, saya tidaklah konsisten tidak ambil nasi. Kadang saya ambil juga, sesenduk. Ikut mood. Huhu...

Bila masak di rumah, kita boleh kawal portion makanan dan cara kita memasak. Rasa seronok tengok ahli keluarga selera makan hasil air tangan kita. Alhamdulillah. 

Saya tidak nafikan, bila angin meroyan saya datang, jadi malas gila untuk memasak. Ada hari, rasa rindu nak merasa air tangan orang tua. Tapi kena paksa diri jugalah untuk memulakan. Sama macam jalan pagi pun ada hari kita rasa malas, kan. Tapi bila sudah melangkah keluar rumah, okay je bila berjalan. Macam tu juga untuk memasak. Bila malas, buatlah apa-apa untuk menaikkan mood kita. Hidup kita, kita je yang boleh switch on mood tu. Nak pasang lagu ke di dapur. Kadang saya berlakon konon saya depan camera, dan saya sedang jadi host rancangan masakan. "Kemudian kita masukkan garam dan perasa ya, dalam masakan kita, puan-puan". Haha... gila, cakap sorang-sorang kat dapur. Lantak pi la. Asalkan happy, dan dapur berasap. 

Baiklah. Salam hari Jumaat yang mulia kepada semua pembaca sekalian. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Share:

Makan tengahari di Cili Village

 Pada hari Selasa, 28 Julai 2026, saya dan suami pergi makan tengahari di Restoran Cili Village. Ini pertama kali kami cuba makan sini. 

Restoran ini membawakan konsep lauk kampung, makanan melayu serta masakan padang.

Restoran Cili Village, Lumut, Perak
Restoran Cili Village

Sudah ada agak ramai pengunjung. Waktu itu, belum pukul 1 tengahari. Depan restoran, ada ruang parkir yang agak luas. Lokasi restoran ini, terletak di simpang lampu isyarat nak ke Teluk Batik. Memang tak boleh miss punya lah. 

Bila melangkah masuk saja, sudah ada banyak lauk-pauk tersedia. Bersusun cantik atas meja lauk, dari depan sampai ke belakang. Hehe.. Ada juga kiosk-kiosk kecil, yang sediakan makanan selain nasi dan lauk pauk. 

Menu sampingan yang ditawarkan termasuklah nasi ayam, mi kari, laksa, bakso, nasi lemak, lontong, kuih-muih,  ABC, cendol dan lain-lain.

Ruang makan pula ada di tempat terbuka di ruang utama. Ada juga ruang berhawa dingin.

Kami duduk luar la, ruang makan terbuka. Tempat duduk banyak dan luas. Kalau nak makan nasi dan lauk-pauk, konsep layan diri. 

Lepas ambil nasi, berpusing-pusing meja lauk, nak pilih pun rambang mata, sebab banyak sangat lauk.

Nasi lauk sayur lemak labu, sambal belacan dan sambal jawa.
Pinggan suami saya.

Suami ambil lauk pucuk manis dan labu masak lemak, sambal goreng jawa dan sambal apa ye, sudah lupa. Bukan sambal belacan. Sambal saja, ada banyak jenis. Sambal tempoyak, sambal belacan, budu, macam-macam.

Ikan bawal emas dibakar dan bersambal
Ikan bawal emas bakar dan bersambal

Ikan bakar semua sudah bungkus plastik seperti gambar di atas. Harga pun sudah tertera. Ada juga set ikan bakar yang sudah ada sambal kicap, macam-macam ikan ada.

Daging dendeng balado
Daging dendeng balado

Yang ini sedap. Saya suka. Dia sudah siap sediakan bersusun dalam piring kecil. Rasanya, lauk yang best seller kot. Jadi, orang senang nak ambil.

Nasi putih kuah lemak, pucuk paku masak lemak dan sambal tempoyak
Pinggan saya

Saya ambil nasi separuh, letak kuah lemak sikit, dan pucuk paku masak lemak dan sambal tempoyak.

Semua lauk sedap dan cukup rasa. 😋 Memang boleh datang lagi lain kali, kalau tak masak di rumah. Sebab ada banyak lauk kampung yang saya tak reti masak. Contohnya, macam masak lemak rebung, gulai urat pun ada, dan macam-macam lagilah.

Harga makanan tengahari dan air kami pada hari itu adalah RM48 semuanya. Alhamdulillah.

Cili Village

Alamat: A1888, Teluk Muroh, 32200 Lumut, Perak.

Buka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 4 petang. Tutup setiap Isnin.

Kot kome datang Lumut atau nak pergi Pangkor, boleh singgah.

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Share: