Showing posts with label ANEKDOT. Show all posts
Showing posts with label ANEKDOT. Show all posts

Sunday, 22 June 2025

NURUL ATHIRAH - ELEGI MALAM HENING

 ASSALAMUALAIKUM


LELA BERSAMA ATHIRAH DAN IBUNYA


NURUL ATIRAH – ELEGI MALAM HENING


Aku terlalu sebak apabila mendapat tahu bahawa 42 siswa UPSI terlibat dalam satu kemalangan tragis di Grik, dan 15 daripada mereka telah terkorban. Air mata mengalir deras, emosi gagal kubendung. Aku menangis teresak-esak, terasa benar kehilangan anak bangsa, tunas muda yang gugur ketika sedang mengorak langkah dalam pencarian ilmu.

Aku tidak sanggup membaca kisah sedih itu yang berlegar di media sosial. Aku hanya mampu menitipkan doa  semoga semua yang terlibat diberikan perlindungan dan dipermudahkan segala urusan rawatan. Kepada yang telah mendahului kita menghadap Ilahi, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan berbahagia di sisi Kekasih Yang Maha Penyayang.

Namun, naluri seorang insan mendesakku untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tragedi itu. Lalu, aku menghubungi sahabatku, Noorlaila Ghafar, yang tinggal di daerah Besut, kampung halaman beberapa pelajar yang terlibat. Noorlaila berkongsi pengalamannya sendiri, saat menziarahi keluarga mangsa, termasuk sahabat lamanya, Puan Rosmawati binti Muda, seorang ibu tunggal.

Mereka pernah menimba ilmu bersama di Pondok Darul Uloom, Laklok, Jertih pada tahun 2017 dan 2018. Anak Puan Rosmawati, Nurul Atirah binti Zakaria, adalah salah seorang pelajar UPSI semester lima yang terselamat dalam kemalangan itu. Nurul Atirah dijadualkan menjalani latihan praktikal mengajar pada Julai 2025. Kini, semuanya mungkin tertangguh.

Beliau menetap di perumahan awam (RAKR) Lak Lok, Jerteh, Terengganu. Nurul mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki kiri, serta lebam pada paru-paru. Ketika kejadian, beliau duduk di sebelah kanan bas. Apabila bas terbalik ke sebelah kiri, ramai pelajar yang duduk di sebelah kiri mengalami kecederaan parah. Tiga belas meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Grik. Kejadian berlaku sekitar jam satu pagi, ketika kebanyakan pelajar sedang nyenyak tidur.

Nurul pengsan. Apabila sedar, dia merasakan tangannya ditarik seseorang dari luar. Rupanya salah seorang kawannya berusaha membantunya. Sekeliling gelap gelita. Hanya terdengar jeritan, tangisan dan rintihan kesakitan. Nurul juga menangis menahan sakit. Telefon bimbitnya musnah. Seorang Pak cik menghampiri, memintanya memberi nombor telefon waris untuk dihubungi. Nurul menyebut nombor ibunya.

Puan Rosmawati terjaga pada jam dua pagi selepas menerima panggilan daripada seorang yang tidak dikenali, memberitahu bahawa bas anaknya terlibat dalam kemalangan. Beliau segera mengejutkan anak sulungnya dan bertolak ke Grik pada jam tiga pagi. Mereka tiba di Hospital Grik sekitar jam tujuh pagi, namun belum dibenarkan menemui Nurul.

Jam sepuluh pagi, dimaklumkan bahawa Nurul dan beberapa pelajar lain akan dipindahkan ke Hospital Taiping. Nurul yang berada atas katil pesakit ditolak masuk ke dalam ambulans. Dan Puan Rosmawati turut bersama mengiringinya.

“Tiga hari dirawat di Hospital Taiping, Nurul dibenarkan pulang ke rumah di Jerteh. Rawatan susulan dilakukan di Hospital Besut. Setiap minggu ada temujanji dengan pakar,” cerita Lela.

Aku hanya mampu menahan tangis membaca kisah ini. Hati terlalu pilu. Setiap kali terlihat hantaran berkaitan kemalangan itu di media sosial, aku kembali menangis. Namun aku tetap mencari maklumat – kerana Along memintaku menulis sebuah anekdot tentang tragedi ini.

“Ziarah mangsa yang terselamat pun dah cukup menyayat hati. Ziarah keluarga mangsa yang telah kembali kepada Ilahi... apatah lagi,” kata Lela.

Setakat ini, Lela telah menziarahi tujuh buah rumah. Empat keluarga pelajar yang meninggal dunia dan tiga lagi keluarga mangsa yang cedera.

“Adakah semua mereka berasal dari Jerteh?” tanyaku.

“Tidak semua. Jerteh hanyalah sebuah mukim dalam Daerah Besut. Ada juga yang berasal dari daerah Setiu,” jawab Lela.

Aku ucapkan terima kasih kepada Lela atas bantuan dan perkongsian ini. Semoga roh anak-anak ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Al-Fatihah.

Lela menambah, “Nurul Atirah ialah bekas pelajar IMTIAZ, seorang Hafizah. Sama seperti arwah Nurly Sahirah yang jenazahnya harum mewangi. Dia juga mempunyai naskhah al-Quran tulisan tangannya sendiri.”

Masya-Allah. Sungguh mulia penghujung hidup anak-anak ini. Semoga kisah ini menjadi penguat semangat kita untuk terus menghargai hidup dan mendekatkan diri kepada-Nya.


Tuesday, 6 May 2025

ANAK DAN IBU

 ASSALAMUALAIKUM


 


ANAK DAN IBU

Ibunya menyebut namanya perlahan, dengan suara yang amat lemah. Wajah anak kecil itu tampak tidak senang, malah beriak marah. Mungkin hatinya berkata, "Mengapalah orang yang hodoh ini, yang hanya terbujur di tilam, asyik memanggil-manggil namaku?" Dia langsung tidak kenal siapa wanita itu. Dan dia juga tidak faham mengapa ramai orang turun naik ke rumah atuknya, kemudian mengelilingi tubuh yang terbaring itu.

Setelah beberapa lama di rumah atuk, ayahnya membawa dia dan wanita yang sakit itu pulang ke rumah mereka sendiri. Hanya setelah tiba di rumah, barulah dia sedar — wanita yang sering menyebut namanya itu sebenarnya ibunya. Ibunya yang kini terlantar tidak berdaya akibat kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya. Dia, kakaknya, abangnya, dan adiknya yang baru berusia 50 hari turut terlibat dalam kemalangan itu.

Alhamdulillah, mereka semua terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. Namun kerana atuknya perlu menjaga ibunya yang sakit, ayahnya terpaksa menyerahkan adiknya kepada mak ngah di Kuala Lumpur untuk diasuh.

Kini, hanya dia yang menemani ibunya ketika atuk dan ayahnya keluar bekerja. Dia akan berusaha menyuapkan nasi ke mulut ibunya dan memberinya minuman. Namun, lebih banyak makanan yang tumpah berbanding yang masuk ke mulut ibunya.

Sikap anak kecil yang baru berusia tiga tahun, tetapi berusaha membantu ibunya yang terlantar sakit itu, mengundang rasa hiba kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Anak itu terus setia di sisi ibunya, sehinggalah ibunya kembali sedikit bermaya dan mampu menguruskan diri sedikit demi sedikit.

“Kalau saya masuk universiti nanti, siapa nak teman mak ya?”

“Mak duduk soranglah…”

“Tak takut?”

“Mati pun sorang jugak…”

Ibunya tersenyum, gembira mendengar anaknya yang baru di Tahun Tiga sudah mempunyai impian untuk ke menara gading.

Dan anak kecil itu akhirnya berjaya merealisasikan impiannya — menjadi seorang graduan. Kini ibunya pula yang kesunyian, kehilangan peneman setia yang selama ini menemani deritanya. Dia tidak mengharapkan apa-apa lagi, selain melihat anak-anak permata hatinya hidup bahagia. Kesendirian dan kesepian kini menjadi teman yang telah sebati dalam hidupnya

Sunday, 16 February 2025

ILHAM KARYA

 ASSALAMUALAIKUM



 ILHAM KARYA


“Lama tak menulis di Graha Karya, kenapa?”

“Ilham tiada.”

“Ilham ada ja kat rumah Yahti, Sifu kata. Cari ja kat sana.”

“Ish Kak Pidah ni! Itu Ilham anak Kak Yahti mestilah ada rumah Kak Yahti.”

“Carilah ilham tempat lain. Sambil memasak, sambil mengemas, sambil cabut rumpu di halaman rumah ka.”

“Ish Kak Pidah ni macam menteri pulak suruh cabut rumput dalam petak bendang.”

“Ya la, betullah tu sambil cabut rumput tentu otak ligat fikir, kenapalah rumput panjang sangat. Bolehlah tulis puisi baru ubah sikit-sikit tentu dah jadi.”

“Kak Pidah cakap senanglah. Saya n kalau ilham kering memang buntu. Tak tau dah nak tulis apa. Saya pun rehat dulu. Tunggu ilham turun dari langit.”

“Rugi tau hang tak tulis kat Graha. Sebab Sifu akan terbitkan antologi tiap bulan. Kalau karya kita Sifu pilih tentu tersenarai nama kita dalam antologi. Dan semua antologi terbitan SPTA tersimpan kemas dalam Perpustakaan Negara Malaysia. Jadi karya khazanah sastera warisan kita pada Negara. “

“Yaka?”

“Ya la. Kata Ruslina masa di ke Perpustakaan Negara dia jumpa banyak buku SPTA kat rak buku di sana. Agaknya rak Perpustakaan Negara penuh dengan buku SPTA karya kita ja heh..heh..”

“Amboih! Melampau tu heh..heh..”


Monday, 10 February 2025

SESAT

 ASSALAMUALAIKUM


 

 


SESAT

 

“Lama kau tiada, ke mana?”

“Aku ke Indonesia.”

“Jalan-jalan tengok tempat orang ya?”

“Tak! Aku dengan kawan-kawan pergi kejar hantu.”

“Hah? Pelik tu. Tapi kau memang pelik pun. Suka buat kerja yang pelik-pelik.”

“Memang dah hobi aku gitu. Hobi kita masing-masing kan berbeza.”

“Ya aku tau. Tapi dapat tangkapkah hantu yang dikejar?”

“Tak dapat. Hutan di Indonesia tebal. Kawan-kawan aku ada yang sesat. Aku pula terpaksa cari mereka.  Hilanh cerita nak kejar hantu.”

“Hmm gitu pulak! Tapi kau nak buat apa dengan hantu? Lebih baik kau duduk rumah tanam sayur, bela ayam atau buat kerja yang berfaedah daripada kau buang duit keluar Negara cari hantu. Masa ni harga barang semua mahal. Tariff letrik naik. Kau pun bukan mahakaya. Marhaen macam aku juga."

“Itulah kau tak tau. Kejar hantu dah jadi kerjaya aku untuk cari duit nak bayar segala kos hidup kini. Sebagai penggiat media video.”

“Jangan sebab nak cari duit dengan kejar hantu kau makin tersesat jauh hingga tak jumpa  pulang sudah. Hantu syaitan ni kerjanya memang menyesatkan kita,”  


Wednesday, 5 February 2025

PADAN MUKA

 ASSALAMUALAIKUM



PADAN MUKA

 

“Kau mahakaya kan?”

“Insya-Allah!”

“Tak lama lagi tariff letrik akan naik. Katanya untuk golongan mahakat macam kau. Padan muka.”

“Padan muka aku saja ka? Atau kita sama-sama padan muka?”

“Aku tentulah tak kena-mengena.”

“Kau yakin sangat ka? Aku kan pengilang makanan. Kalau tariff letrik naik tentulah kos produksi meningkat.  Rugilah aku.”

“Kesian kau!”

“Aku kan peniaga. Sentiasa ada strategi untuk mengelak rugi.”

“Oh! Apa caranya?”

“Tentulah aku akan naikkan harga barang yang kilang aku keluarkan.”

“Gitu pulak?”

“Takkan mahakaya saja nak padan muka. Sama-sama;ah kita padan muka.”

 


Thursday, 3 October 2024

MENJUAL KHALIFAH

 ASSALAMUALAIKUM


MENJUAL KHALIFAH



 


Abu Nawas berjalan-jalan di sebuah kampung. Pemandanganya sangat indah. Dia melihat ramai orang berkumpul di luar sebuah bangunan sedang memasak sesuatu. Dia menghidu aroma lazat dibawa pawana. Sebab dia terlalu penat dia tidak berdaya lagi melangkah. Walaupun  dia teruja hendak mengetahui apakah itu, dan  dari manakah sumbernya. Lalu dia tertidur di bawah pohon di situ.

            Ketika dia sedar dia kehairanan berada di dalam kurungan berjeriji pula.

            “Kenapa aku dikurung di sini?” dia menjerit lantang.

Seorang lelaki menghampirinya dengan membawa semangkuk bubur.

            “Kamu tentu lapar. Makanlah bubur ini.”

            “Bubur apakah itu?”

            “Bubur ini amat sedap. Menjadi kesukaan penduduk kampung ini. Bukan selalu kami di sini dapat makan bubur lazat ini kecuali mendapat bahannya yang utama.”

            “Apakah bahan itu?”

            “Orang!” Abu Nawas terkejut mendengarnya.

            “Setiap orang yang tersesat di sini akan dimasak menjadi bubur. Kamu makanlah bubur ini sebelum kamu dijadikan bubur keesokannya.” Abu Nawas ketakutan. Tapi masih berfikir dengan tenang.

            ‘Khalifah harus tahu ada rakyatnya yang mengamalkan cara hidup jelek dan luar biasa begini dan segera membenterasnya’, Abu Nawas bermonolog.

            “Hamba ini kurus saja. Kamu tidak mendapat bubur yang banyak kalau memasak hamba. Bebaskanlah hamba. Nanti hamba bawakan seorang yang gemuk berisi untuk kamu jadikan bubur.”

            “Baiklah kalau begitu. Tapi kamu mesti menepati janji. Kalau kamu menipu, orang kami akan mencari kamu untuk kami jadikan bubur.” Sebaik dibebaskan Abu Nawas bergegas pulang ke Baghdad. Dia menghadap khalifah Harun al-Rashid dan mengajak baginda melawat suatu tempat.

            “Tempat itu sangat indah paduka. Tentu paduka menyukainya. Sebab paduka tidak pernah lagi ke sana.” Khalifah teruja mendengarnya.

            “Baik. Beta akan ikut kamu melawat tempat itu.”   

            “Tapi paduka berpakaianlah seperti rakyat biasa tanpa membawa hulubalang pengiring bersama, agar rakyat tidak sedar kehadiran paduka.” Khalifah bersetuju. Baginda  mengikuti Abu Nawas menuju tempat yang dimaksudkannya.

            “Paduka duduk di sini. Hamba hendak pergi membuang hajat di sungai.”

Sekian lama Khalifah menunggu,  Abu Nawas masih juga belum pulang. Khalifah merasa gusar. Beberapa orang lelaki menghampirinya. Dan menangkapnya. Lalu dibawa masuk ke dalam kurungan berjeriji.

            “Kamu tentu lapar, makanlah bubur ini.” Ujar seorang lelaki.

            “Kenapa kamu menangkap hamba?”

            “Kamu telah dijual pada kami oleh Abu Nawas untuk dijadikan bubur makanan kesukaan kami.” Khalifah terlopong.

            “Oh begitu! Hamba akan memberi kamu sejumlah wang yang banyak untuk kamu membeli pelbagai barangan keperluan kamu sekiranya kamu menjual tarbus ini pada seorang menteri di istana.” Lelaki itu bersetuju. Dia segera menemui menteri yang dimaksudkanitu di istana.

            Sebaik Perdana Menteri menerima tarbus daripada lelaki itu dia menyedari bahawa Khalifah dalam kesusahan kerana mengenali tanda kerajaan di dalamnya. Dia membiarkan lelaki pulang dengan memberinya dirham yang banyak. Setelah itu Perdana Menteri membawa angkatan hulubalang mengikuti lelaki itu. Dan membebaskan Khalifah. Lelaki itu dan kawan-kawannya ditangkap kerana kesalahan mereka.

Abu Nawas pula diburu kerana tindakannya menjual khalifah Harun al-Rashid  


Sunday, 11 February 2024

UNTA

 ASSALAMUALAIKUM

UNTA

.


PIC GOOGLE IMAGES (C)

Abu Nawas mengenderai untanya dalam perjalanan ke Syam membawa barang dagangannya untuk diniagakan di sana. Perjalanannya agak jauh jaraknya melalui padang pasir yang luas menjadikannya keletihan. Dia menghentikan perjalanannya bersama untanya untuk berehat seketika.

Tatkala hari malam Abu Nawas memasang sebuah khemah kecil untuk tidur di situ. Untanya tidur di luar khemahnya. Suasana malam tenang dan amat dingin. Unta di luar khemah kedinginan.

“Hamba merasa amat dingin Tuan Abu Nawas. Kalau hamba jatuh sakit kerana tidak tahan kedinginan tentu hamba tidak dapat membawa Tuan dan barang dagangan ke Syam kelak. Bolehkah hamba menjulurkan kaki hamba ke dalam khemah Tuan?” ujar unta pada tuannya. Abu Nawas memahami bahasa untanya.


“Baiklah.” Balas Abu Nawas lalu meneruskan tidurnya yang terganggu seketika.

Unta pun menjulurkan kakinya ke dalam khemah tuannya. Tapi dia masih tidak selesa tidur di luar khemah.

“Tuan bolehkah hamba masukkan kepala hamba ke dalam khemah Tuan. Sebab hamba rasa seperti hendak demam. Hamba tidak dapat menahan kedinginannya.   Kalau hamba jatuh sakit tentu hamba tidak dapat membawa Tuan berdagang di Syam.” Sekali lagi Unta mengejutkan tuannya.

“Baiklah!” Abu Nawas yang masih  lagi mengantuk membalasnya ringkas.

Apabila hari siang Abu Nawas tersedar dari tidurnya. Dia kehairanan menyedari telah berada di luar khemah. Sedangkan untanya tidur nyaman dalam khemah.

“Mengapa pula kamu tidur dalam khemah, tapi hamba di luar khemah?”

“Bukankah hamba telah meminta izin Tuan untuk tidur dalam khemah. Hamba tidak usir Tuan ke luar khemah.” Balas untanya tanpa rasa bersalah. Abu Nawas termenung memikirkannya.


Saturday, 3 February 2024

HUKUMAN

 ASSALAMUALAIKUM





HUKUMAN

 

Sempena meraikan ulang tahun pertabalan, baginda Khalifah Harun al-Rashid bercadang memberi pengampunan pada pesalah  di penjara dengan mengurangkan jumlah masa berada dalam penjara. Setiap pesalah yang sedang menjalani hukuman di penjara dibawa mengadap baginda.

“Berapakah masa kamu sepatutnya berada dalam penjara?” Tanya Khalifah.

“Hamba dihukum dua tahun penjara, paduka.” Pesalah itu menjawabnya.

“Sudah berapa tahun kamu berada di penjara?”

“Sudah satu tahun paduka.”

“Kalau begitu kamu telah bebas kerana hukuman kamu dikurangkan satu tahun.”

“Alhamdulillah. Terima kasih paduka yang mulia.” Sahut pesalah itu dengan sangat bersukacita.

Semua pesalah dipenjara telah diberikan pengurangan masa hukuman di penjara. Dan seorang pesalah lagi dibawa perajurit mengadap baginda.

“Berapakah masa hukuman kamu di penjara?”

“Hamba dihukum penjara seumur hidup, paduka.”

Khalifah terkedu mendengarnya. Baginda tidak pasti bagaimana hendak mengurangkan masa hukumannya. Wajah Abu Nawas menjelma dalam mindanya. Segera baginda menitahkan perajurit memanggil Abu Nawas mengadapnya.

Setelah Abu Nawas tiba di istana, Khalifah memperihalkan persoalannya.

“Cara mengurangkan hukumannya menurut hamba ialah dengan membiarkannya sehari di luar dan sehari di penjara. Begitulah seterusnya sehingga pesalah yang dihukum itu mati.”usulan Abu Nawas itu dipersetujui baginda Khalifah Harun al-Rashid.


Tuesday, 12 December 2023

HUTANG

 ASSALAMUALAIKUM



YAHUDI

 

Seorang Yahudi yang kaya merupakan pemberi hutang  wang pada pedagang-pedagang  Baghdad yang memerlukan modal perniagaan. Dan menetapkan bayaran yang tinggi melebehi pinjaman mereka. Dia bersaing dengan seorang pedagang yang berjaya dalam perniagaannya. Pedagang ini tidak pernah meminjam daripada Yahudi ini. Yahudi ini menganggap pedagang itu sebagai musuhnya. Dia bertekad menjatuhkan pesaingnya kelak.

            Tiba-tiba pedagang itu mengalami masalah dalam perniagaannya. Terpaksa juga dia meminjam daripada Yahudi itu untuk memulihkan perniagaannya. Tapi dia terpaksa mendatangani perjanjian dengan Yahudi itu. Pedagang menyetujuinya walaupun Yahudi itu meminta sekilo dagingnya sekiranya dia tidak dapat membayar hutangnya.

            Pedagang menggunakan wang yang dipinjam itu untuk urusan perniagaannya secara berhati-hati. Tapi usahanya gagal. Tempoh yang ditetapkan oleh Yahudi itu telah tamat. Yahudi itu menemui hakim mengajukan tuntutan hutangnya pada pedagang dengan mengemukakan surat perjanjian antaranya dengan pedagang.

            Hakim merasa serba-salah hendak memutuskannya. Dia menangguhkan pengadilan hukuman beberapa kali walaupun didesak Yahudi itu. Maka sampailah berita pada Abu Nawas. Masalah hakim yang kebingungan cuba diselesaikannya.

            “Biar hamba yang menjadi hakim!” Abu Nawas menawarkan khidmatnya.

            “Baiklah! Silakan.” Hakim merasa lega soal pengadilan tuntutan hutang itu akan berakhir.

            “Betulkah kamu hendak sekilo daging pedagang sebagai bayaran hutang?”

            “Ya.” Jawab Yahudi.

            “Baik. Berikan hamba sebilah pisau.” Hakim merasa curiga dan bimbang. Tapi tetap memberikan pisau pada Abu Nawas.

            “Kamu hendak daging pedagang ini bahagian mana?” Yahudi merasa gembira kerana niatnya hendak membunuh pedagang itu akan tertunai. Pedagang pula mulai ketakutan. Dia mengagak Abu Nawas pasti menyebelahinya. Tapi sebaliknya pula.

            “Hamba mahu dagingnya bahagian leher.”

            “Baik. Tapi dengan hanya sekali potong saja mengikut perjanjiannya. Jika kamu memotongnya berkali-kali, kamu akan dihukum bunuh.” Ujar Hakim itu menjatuhkan hukumnya.

Yahudi termangu. Masakan mungkin dia mampu mendapat sekilo daging dengan sekali potongan. Akhirnya dia membatalkan tuntutannya. Terselamat pedagang daripada muslihat Yahudi yang berniat membunuhnya. Hakim kelegaan kerana Abu Nawas menolongnya menyelesaikan kes rumit itu

Friday, 1 December 2023

MENJUAL MATAHARI

ASSALAMUALAIKUM 

 

MENJUAL MATAHARI

 


Baghdad ditimpa kemarau. Penduduknya kekurangan bekalan air. Tapi ada seorang di situ memilki sebuah telaga yang sentiasa penuh airnya hingga terpaksa dialirkan ke sungai. Penduduk Baghdad yang ingin mengambil air daripada telaganya dia akan menjualnya. Bertambah kaya pemilik telaga itu. Penduduk Baghdad merasa musykil kerana air telaga itu melimpah sahaja ke sungai tapi tidak dibenarkan mengambilnya. Terpaksa pula membayar harga air jika ingin mengambilnya.

Abu Nawas bertemu gabenur Baghdad mengemukakan masalah itu.

“Hamba tidak boleh berbuat apa-apa. Sebab dia berhak menjual air daripada telaganya. Dia tidak berbuat salah.”

“Tapi dia telah menyusahkan penduduk Baghdad yang tidak mampu membelinya. Tapi amat memerlukan air untuk kegunaan seharian.” Gabenur terdiam. Dia ternyata tidak dapat menyelesaikannya.

Abu Nawas mengadap khalifah pula. Dia mengadukan masalah yang sama. Khalifah Harun al-Rashid juga tidak boleh berbuat apa-apa kerana menjual air tidak menyalahi hukum.

“Kalau begitu hamba mohon paduka melantik hamba sebagai gabenur.” Ujar Abu Nawas tiba-tiba.

“Benarkah kamu mahu menjadi gabenur? Sebab kamu selalu menolak kala beta menawarkan kamu jawatan menteri.” Khalifah kehairanan.

“Sementara saja paduka. Setelah hamba selesaikan masalah ini, jawatan itu dikembalikan pada gabenur asal.”

“Baiklah.” Khalifah bersetuju.

“Hamba adalah gabenur Baghdad kini. Hamba menetapkan cahaya matahari yang mengenai rumah penduduk mesti dibayar harganya.”

Penduduk Baghdad mempersoalkannya kerana cahaya matahari milik semua anugerah daripada Pencipta. Mereka merasakan   khalifah telah tersalah memilih gabenur Baghdad. Pemilik telaga juga menentang tindakan gabenur baru.

“Hamba adalah gabenur Baghdad. Jadi ketetapan hamba mesti dipatuhi. Kamu mesti membenarkan penduduk Baghdad mengambil air daripada telaga kamu tanpa bayaran. Jika kamu enggan, hamba akan menutup saliran air telaga ke sungai. Dan air akan melimpah membanjiri kawasan kamu. Sebagai gabenur hamba berkuasa memutuskan keputusan untuk maslahat masyarakat Baghdad.” Ujar Abu Nawas dengan tegas.

            Maka pemilik telaga pun terpaksa mematuhi arahan gabenur baru itu. Sebaik menyelesaikan tugasnya, Abu Nawas pun mengembalikan jawatan gabenur pada penjawat asal.


Saturday, 11 November 2023

KURMA

 ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU


PIC GOOGLE IMAGES


KURMA
.
Ahmad dicemburui rakan sepengajiannya kerana guru mereka dirasakan terlalu memberikannya perhatian. Guru mereka menyedari keadaan itu. Dia cuba menyelesaikan masalah itu untuk menenangkan suasananya.
“Guru akan menganjurkan sayembara kurma untuk kamu semua. Sesiapa antara kamu dapat membawa kurma yang manis dan baik, kamu akan memenangi sayembara itu. Anak-anak murid guru itu berusaha mendapatkan buah kurma terbaik untuk memenangi sayembara itu.
Farhan membawa beberapa tangkai kurma segar yang diambil di kebun bapanya. Dalam perjalanan ke kelas pengajiannya, dia bertemu dengan seorang tua.
“Boleh kamu berikan datuk sedikit buah kurma ini? Nampaknya kurma itu sangat segar dan elok.”
“Ya benar kata datuk. Ini kurma terbaik dari kebun bapa hamba. Tapi tidak boleh hamba berikannya pada datuk kerana kurma ini untuk sayembara.” Farhan segera berlalu meninggalkan orang tua itu.
Ahmad tidak mampu menyediakan kurma yang banyak lantaran kedaifan kehidupannya. Dia hanya dapat membawa tiga butir kurma untuk turut menyertai sayembara itu.
Di dalam perjalanan ke kelas pengajiannya, dia bertemu seorang pengemis. Hatinya merasa amat kasihan pada pengemis itu walau hatinya agak risau mengenangkan hanya tinggal dua butir kurma untuk sayembara.
Seorang tua pula menyapa Ahmad.
“Boleh berikan datuk sebutir kurma?”
“Hamba memang ingin berikan kurma ini pada datuk. Tapi hamba hanya ada dua butir kurma. Hamba hendak bawa kurma ini untuk menyertai sayembara anjuran guru hamba.”
“Kalau begitu kamu berikan datuk sebutir kurma. Dan sebutir lagi kamu bawakan untuk sayembara.”
“Baiklah datuk.” Ujar Ahmad tanpa bertingkah.
“Wah tentu kamu akan memenangi sayembara ini kerana kurma yang dibawa amat manis dan elok rupanya!” Ujar salah seorang kawan Farhan. Kawannya itu hanya membeli kurma di pasar. Begitu juga dengan kawan-kawannya yang lain.
Guru pun mengumumkan pemenang sayembara. Ternyata Ahmad memenanginya. Murid-murid guru itu mempersoalkan keputusan guru itu.

“Ahmad telah membawa tiga butir kurma untuk sayembara. Tapi dia telah berikan dua butir kurma pada dua orang yang memerlukannya. Ahmad telah memperlihatkan keperibadiannya yang mulia dan berbudi ikhlas. Walau hanya dengan sebutir kurma dia tetap juga menyertai sayembara. Sebenarnya guru telah menyamar dan meminta daripada kamu semua sebutir kurma untuk menguji ilmu dan ketulusan hati kamu semua. Tapi tiada siapa yang memberinya kecuali Ahmad. Keikhlasan, akhlak mulia amat penting membentuk peribadi sebagai insan berilmu.” Abu Nawas menjelaskan tujuan sayembara itu pada murid-muridnya.

Friday, 3 November 2023

TABIB PALSU

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA



TABIB PALSU

.

Abu Nawas membawa anaknya yang sakit untuk berubat dengan seorang tabib. Bayaran yang dikenakan tabib itu amat mahal. Sejumlah seribu dirham perlu dibayar untuk berubat.

Setelah tiga kali Abu Nawas berulang membawa anaknya berubat dengan tabib itu anaknya masih juga tidak sembuh. Abu Nawas telah kehabisan tiga ribu dirham. Tapi keadaan anaknya tidak juga berubah.

Dia merasa tabib itu seorang penipu. Bukan  tabib sebenar. Abu Nawas merancang sesuatu. Dia membuka tempat mengubat pesakit dengan tawaran sesiapa yang tidak sembuh setelah berubat dengannya akan dikembalikan wangnya sebanyak satu juta dirham.

Pesakit yang selama ini hanya bertumpu pada tempat tabib itu untuk berubat telah beralih ke tempat berubat Abu Nawas. Tabib kehairanan kerana tiada siapa lagi mengunjunginya untuk berubat. Pembantunya memberitahu perihal Abu Nawas padanya.

Tabib itu merancang menipu Abu Nawas untuk mendapatkan wang satu juta dirham dengan andaian hanya dirinya yang tahu sama ada dia sakit atau tidak. Dia pun ke tempat berubat Abu Nawas.

“Kenapa pula Tuan ke sini hendak berubat? Bukankah Tuan seorang tabib?”

“Sebenarnya tidak ada ubat untuk sakitku ini padaku. Sebab itu aku hendak cuba berubat dengan kamu.”

“Oh begitu! Beritahu hamba, apa sakit Tuan.”

“Lidahku ini seperti mati rasa.  Makanan yang dimakan tidak terasa nikmatnya. Cubalah kamu mengubati sakitku ini.”

“Baiklah.” Abu Nawas pun memerah limau nipis ke dalam gelas lalu diberikan pada tabib itu.

“Minumlah.”

“Ubat apakah ini? Cuma jus limau yang sangat masam.”

“Alhamdulillah. Sakit Tuan sudah sembuh. Tuan tidak mati rasa lagi. Bayaran ubatnya seribu dirham.” Tabib terpaksa membayarnya walau terasa dongkol tidak dapat menipu Abu Nawas.

Keesokannya dia datang lagi menemui Abu Nawas menceritakan bahawa mengalami masalah hilang ingatan pula.

Sekali lagi Abu Nawas memberinya jus perahan limau nipis.

“Ubat apa ini? Aku tidak mahu minum jus masam ini.”

“Alhamdulillah. Sakit Tuan telah sembuh.”

“Apa maksudnya?”

“Tuan telah ingat ubat yang hamba berikan semalam. Bayaran ubatnya seribu dirham.” Ternyata tabib itu tidak berjaya menipu Abu Nawas.

Dia masih tidak serik hendak menipu Abu Nawas. Dengan bertongkat dia berjalan menemui Abu Nawas pada suatu pagi.

“Kenapa pula Tuan bertongkat ke sini?”

“Aku sudah kehilangan penglihatan, Abu Nawas.” Katanya kesedihan.

Abu Nawas memerhati dengan teliti. Dia memahami tingkah tabib itu hanya berpura-pura.

“Penyakit Tuan ini sudah sangat tenat. Hamba tidak dapat merawatnya. Jadi hamba sudah sediakan wang satu juta dirham untuk Tuan. Sebentar hamba ambil wang itu.”

“Tuan hamba memang seorang tabib yang jujur.”

“Benarlah itu. Hamba tidak suka menipu kerana perbuatan itu berdosa dan dimurkai Allah. Tuan kiralah dulu jumlahnya.”

Setelah mengira semua wang di dalam kampit pemberian Abu Nawas dia bersuara lantang.

“Cuma ada sepuluh ribu dirham. Bukan sejuta dirham. Kamu fikir aku buta?”

“Alhamdulillah. Tuan telah sembuh. Tidak lagi buta matanya. Bayarannya seribu dirham.” Akhirnya Abu Nawas beroleh kembali wang tiga ribu dirham yang diberi pada tabib itu setelah tiga kali tabib itu berulang-alik berubat dengannya.

 

Monday, 30 October 2023

UJIAN KHALIFAH

 ASSALAMUALAIKUM



UJIAN KHALIFAH

.

Khalifah Harun Al Rashid berjalan menyusuri segenap lorong Baghdad ditemani Abu Nawas. Hajat baginda memerhati kemasyhlahatan kehidupan rakyatnya. Sekian lama berjalan terasa penat lalu kedua-duanya berhenti di sebuah pondok kecil. Pondok itu dimiliki seorang  pemuda yang miskin. Tapi pemuda itu sangat rajin bekerja.

“Boleh kami duduk sebentar dalam pondokmu ini hai anak muda?”

“Silakan paduka yang mulia.” Khalifah memerhati keadaan sekitar yang amat daif. Baginda merasa kasihan pada pemuda itu. Baginda ingin menolongnya mengubah penghidupannya

“Beta lihat pemuda itu sangat rajin bekerja. Tapi hidupnya miskin. Sepatutnya beta membantu mengubah kehidupannya.”

“Ampun paduka. Benar begitu baginda. Tapi hamba mendengar pemuda ini akhlaknya tidak baik. Dia seorang yang tidak amanah dan mensyukuri nikma Allah.. Jika paduka ingin membantu pemuda itu, hamba rasa elok paduka uji dahulu kejujurannya.” Khalifah terangguk-angguk.

Khalifah menitahkan perajuritnya membawa pemuda itu mengadapnya di istana pada suatu pagi.

Sebaik pemuda itu mengadap Khalifah, dia diberi sepucuk surat.

“Kamu sampaikan surat ini pada seorang saudagar di pinggir Baghdad!”

“Baik paduka.” Sahutnya.

Dalam perjalanan pulang dia bertemu jirannya. Dia memberi surat itu pada jirannya dan memintanya menyampaikannya pada saudagar berkenaan.

Keesokannya pemuda itu dipanggil ke istana.

“Kamu sudah sampaikan surat itu pada saudagar?”

“Sudah paduka.”

“Beta berikan kamu buah tembikai ini.”

Pemuda itu menerimanya. ‘Dipanggil ke istana hanya untuk diberi tembikai.’ Dia bergumam.

Dalam perjalanan pulang dia bertemu seorang pengemis. Lalu diberikan tembikai itu pada pengemis.

Sekali lagi pemuda itu dipanggil ke istana. Dia terkejut mendapati jirannya dan pengemis itu berada di isana. Tapi keadaan kedua-duanya jauh berbeza daripada sebelumnya. Jirannya itu kelihatan bergaya seperti saudagar. Bersamanya seorang wanita jelita. Pengemis itu juga kelihatan berbusana indah.

“Benarlah kata Abu Nawas, bahawa kamu ini tidak amanah dalam melakukan tugasan diberi. Dan tidak bersyukur dengan rezeki dilimpahkan Allah pada kamu. Surat itu beta tujukan pada saudagar yang meminta beta mencari jodoh untuk anak perempuannya. Surat itu mengatakan pembawa surat itu adalah pilihan beta untuk suami anaknya. Tembikai yang beta beri di dalamnya beta masukkan intan permata. Tapi kamu berikannya pada orang lain kerana merasa buah tembikai tidak bernilai pada kamu. Jika kamu berterusan mengamalkan sikap buruk itu, kamu akan terus berada dalam kemiskinan.”


Thursday, 26 October 2023

GURU SEJARAH ISLAM

 ASSALAMUALAIKUM

 

 


GURU SEJARAH ISLAM

.

Abu Nawas berpapasan dengan guru sejarah Islam yang pulang dari mengajar di sekolah tika dia ke warung. Dia mengajak guru itu menjamu selera bersamanya di situ. Mereka mula berbual.

Guru sejarah enggan melayani pertanyaan tentang sejarah Islam. Tapi Abu Nawas  membelanja guru itu dengan makanan dan minuman. Terpaksa juga guru itu melayani pertanyaannya,

“Bagaimana penilaian Guru tentang pemerintahan khalifah Islam awal yang empat, Uthmaniah dan Abbasiyah. Apakah kekurangan dan kelebihannya?”

Guru sejarah hanya menerangkan tentang sejarah pemerintahan Abbasiyah. Abu Nawas teranguk-angguk mendengarnya. Tapi dia masih mengulangi pertanyaannya.

“ Sebab sekarang kita berada dalam pemerintahan khalifah Abbasiyah, tentulah hamba lebih tahu tentang sejarahnya. Nampaknya kamu lebih tahu tentang tarikh dan pelbagainya. Kenapa kamu bertanya hamba pula?” Guru bersuara jengkel.

“Bukan mengapa Guru, hamba cuma bimbang pengetahuan Guru yang sedikit tentang sejarah Islam membuatkan ramai murid menganggur kerana tidak lulus ujian. Ilmu sejarah itu terlalu luas. Perlukan pengetahuan yang banyak. Tidak cuma sedikit. Dan Khalifah akan mengkaji apakah pelajaran sejarah masih sesuai di ajar di sekolah atau menghentikannya.”


Thursday, 19 October 2023

BUTA

 ASSALAMUALAIKUM 



BUTA

 

“Beta perintahkan kamu untuk mengira berapakah jumlah orang buta di Baghdad ini.” Ujar Khalifah Harun Ar Rashid.

‘Ada saja olah khalifah ini hendak menyusahkan aku,’ gumamnya dalam diam.

“Baik tuanku. Beri hamba tempoh satu minggu.” Balas Abu Nawas.

Setelah genap seminggu, Abu Nawas turun dari rumahnya menuju istana khalifah. Dia membawa bersamanya pelepah kurma.  Sepanjang perjalanannya ramai yang menegurnya.

“Apa yang kau bawa tu Abu Nawas?”

‘Nampaknya ramai yang buta di Baghdad ini. Mereka tidak dapat melihat apa yang aku bawa.’ Abu Nawas bermonolog lagi.

Dia terus mengheret pelepah kurma itu sehingga sampai ke pintu istana.

Dua orang pengawal istana bertanya, apa yang dibawanya sebelum dibenarkan memasuki istana mengadap khalifah.

“Apa yang kau bawa itu hai Abu Nawas?”

“Pelepah kurma tuanku!”

“Sudahkah kira jumlah orang yang buta di Baghdad ini?”

“Sudah tuanku. 58 orang semuanya termasuk tuanku dan dua pengawal istana.” Khalifah terpinga-pinga.

“Kenapa beta dan pengawal istana juga termasuk dalam senarai perkiraan kamu?”

“Tuanku Khalifah dan pengawal tidak tahu apa yang hamba bawa walau telah melihatnya.”


MyBloglist