Showing posts with label Health. Show all posts
Showing posts with label Health. Show all posts
| 0 comments ]

Negara dijangka mencapai nisbah seorang doktor bagi 600 penduduk (1:600) seperti yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata jangkaan itu berasaskan pengeluaran 3,500 doktor setahun sekarang, yang mana pada ketika ini nisbah doktor berbanding penduduk ialah seorang bagi setiap 800 (1:800).

"Kita menjangkakan dengan 3,500 doktor yang dihasilkan negara setiap tahun, Malaysia akan mencapai kadar nisbah seorang doktor untuk 600 penduduk pada 2015, manakala menjelang 2020 pula kadar nisbah adalah seorang doktor untuk 400 penduduk, melebihi apa yang dikehendaki oleh WHO," katanya, di Kluang hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Kluang bernilai RM379 juta yang beroperasi sepenuhnya sejak 30 Dis lepas.

Kata Liow, walaupun negara menghasilkan 3,500 doktor setahun, masih banyak hospital di negara ini seperti di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu menghadapi kekurangan doktor serta kakitangan sokongan yang lain.

Keperluan doktor dan kakitangan sokongan di hospital-hospital lain sama ada di bandar atau luar bandar adalah berlainan, katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementerian telah memutuskan untuk menambah 25 lagi doktor di Hospital Kluang yang pada masa ini mempunyai 45 doktor.

Kementeriannya juga akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah bilangan kakitangan sokongan di Hospital Kluang, yang pada ketika ini berjumlah 776 orang.

Selain itu katanya kementerian juga akan menempatkan kemudahan CT-Scan bernilai RM5 juta di Hospital Kluang serta membuka Jabatan Pesakit Luar untuk kemudahan pesakit.

Hadir sama anggota Parlimen Kluang Dr Hou Kok Chung.

(Sumber: Bernama - 29/4/2012 - 1:54PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Dianggarkan kira-kira dua juta rakyat Malaysia berisiko menghidap diabetes namun tidak menyedarinya kerana tidak membuat pemeriksaan kesihatan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin.

Katanya anggaran itu melibatkan individu dewasa yang masih belum menjalani ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

"Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati pesakit diabetes meningkat setiap tahun. Pada 2006 terdapat 1.5 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan keputusan awal NHMS pada 2011 terdapat tiga juta menghidap diabetes," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Kesedaran Diabetes, di sini hari ini.

Katanya peningkatan yang tinggi itu menjadikan Malaysia antara negara tertinggi berhadapan masalah tersebut di Asia dan dunia.

Sehubungan itu beliau meminta golongan yang berusia 20 tahun ke atas menjalani ujian saringan kesihatan bagi membolehkan langkah pencegahan diambil.

Diabetes antara penyakit berbahaya di kebanyakan negara dan sehingga kini terdapay 500 juta penghidap diabetes di dunia, membunuh empat juta pesakit setiap tahun dan membabitkan perbelanjaan rawatan US$378 setahun, katanya.

Rosnah berkata amalan cara hidup yang tidak sihat seperti perokok tegar, kegagalan penjagaan makanan seimbang dan tidak bersukan merupakan faktor penyebab diabetes.

"Kementerian mendapati bahawa 6.2 juta rakyat negara ini kini mengalami lebihan kolestrol, 2.5 juta menghidapi obesiti dan 5.8 juta berhadapan tekanan jiwa," katanya.


(Sumber: Bernama - 29/4/2012 - 1:34PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Kesihatan sedang dalam proses mendapatkan Surat Pekeliling Ikhtisas daripada Kementerian Pelajaran bagi mewajibkan penubuhan Kelab Doktor Muda di semua sekolah rendah.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kementerian juga merancang untuk memperluaskan program itu ke sekolah menengah dan perkara ini telah dirujuk kepada Ketua Pengarah Pelajaran untuk mendapatkan maklum balas.

Rosnah berkata di sini Sabtu, sehingga kini 18 peratus atau 1,392 buah sekolah rendah di seluruh negara telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dengan penglibatan 36,000 murid sekolah tahun 4 hingga 6.

Program Doktor Muda merupakan program 'health promoting school' berbentuk pembimbing rakan sebaya mengenai ilmu kesihatan asas yang diperkenalkan sejak tahun 1989. Bermula tahun 2006, Kementerian Pelajaran mengiktiraf program ini sebagai aktiviti kokurikulum dan kini dikenali sebagai Kelab Doktor Muda.

(Sumber: Bernama - 21/4/2012 - 5:49pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutamanya di kalangan remaja, Dewan Rakyat diberitahu Isnin - 5/4/2010.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan hanya akan membenarkan penjualan rokok 20 batang yang lebih mahal harganya selain memperluaskan kawasan larangan merokok di seluruh negara.

"Kita baru perkenalkan harga minimum pada Januari. Kita akan lihat kesan terlebih dahulu dan kaji langkah-langkah lain termasuk untuk adakan lebih banyak kawasan larangan merokok," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) di persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Dr Mohd Hatta ingin tahu adakah kerajaan bersedia menaikkan harga lantai rokok untuk menghalang golongan muda daripada memulakan tabiat merokok.

Liow berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain terutamanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membanteras penyeludupan rokok yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berhubung cadangan menetapkan harga siling bagi rokok, Liow berkata tiada keperluan bagi cadangan itu dilaksanakan kerana harga rokok pada masa ini cukup tinggi.

Dalam soalan berbeza, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menafikan wujudnya ketidakseragaman pengagihan jawatan kepada pekerja berketurunan India di jabatan-jabatan kerajaan.

Katanya bagi perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 3,591 atau 3.5 peratus daripada 103,051 pegawai adalah daripada kaum India, dan 37 daripada jumlah itu merupakan pegawai kanan.

"Di Jabatan Perpaduan, terdapat 35 pegawai kaum India daripada 868 pegawai (enam daripadanya adalah pegawai kanan di peringkat pengurusan dan profesional), manakala di Jabatan Penerangan, terdapat 74 pegawai daripada jumlah keseluruhan 2,422 orang (lima pegawai pengurusan dan profesional)," katanya.

Liew berkata demikian ketika mejawab soalan tambahan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) yang bertanyakan tentang kedudukan kaum India di jabatan-jabatan kerajaan termasuk yang memegang jawatan pegawai tinggi.

(Sumber: Bernama - 5/4/2010 - 16:10pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan akan memansuhkan bayaran wad yang dikenakan terhadap pegawai dan pesara perkhidmatan awam yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkuatkuasa 1 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam pemansuhan itu turut terpakai untuk anggota keluarga dan ibu bapa mereka.

"Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai," katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, Rabu.

Beliau berkata kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi, Gred 45-54 ialah Kelas 1 bilik seorang, Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga) dan Gred 1-20 (Kelas 2).

Kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa sah adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan, katanya.

Kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

Ismail berkata jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa sah meminta untuk dimasukkan ke dalam wad yang lebih tinggi daripada kelayakan yang ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar yang dikenakan ke atas orang awam.

"Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata dengan berkuatkuasanya pekeliling perkhidmatan itu, perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991, dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 adalah dibatalkan.

Ismail berkata peruntukan pekeliling perkhidmatan itu pada seluruhannya turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

(Sumber: Bernama - 10/3/2010 - 14:06pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Program imunisasi Human Papillomavirus (HPV) secara percuma yang dipercayai dapat mengurangkan 75 peratus kes barah pangkal rahim dilaksanakan Mac ini dengan sasaran remaja perempuan berusia 13 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pihaknya melaksanakan program itu berdasarkan kemudahan infrastruktur sedia ada khususnya menerusi Program Kesihatan Sekolah.

Katanya, menerusi program itu, pelalian untuk pencegahan enam penyakit berjangkit dilaksanakan untuk pelajar Tahun Satu membabitkan pelalian mencegah demam campak, bengok, rubella, polio, diptheria dan tetanus.

“Pengalaman serta kerjasama yang sangat baik daripada sekolah serta ibu bapa selama ini memudahkan pelaksanaan pelalian HPV untuk pelajar perempuan berusia 13 tahun.

“Seperti pelalian penyakit lain, suntikan hanya diberi kepada pelajar yang mendapat persetujuan bertulis daripada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Ditanya hasil kajian kementerian bagi menentu keberkesanan HPV bagi mengelak risiko dan kesan sampingan seperti didakwa pelbagai pihak, Rosnah berkata, pihaknya memilih vaksin HPV 16 dan 18 untuk kegunaan program itu kerana ia paling sesuai dan memberi kesan optimum.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati keberkesanan vaksin ini terhadap jangkitan HPV jenis 16 dan 18 ialah 98 peratus iaitu apabila 100 wanita diberi vaksin ini, 98 daripadanya tidak mendapat jangkitan HPV dan seterusnya barah serviks.

(Sumber: BHarian - Nasional)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 1 comments ]

Mulai Jumaat (01/01/2010) ini harga minimum rokok ditetapkan RM6.40 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang diwartakan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu semua rokok yang dijual dalam negara mesti dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan, dikira pada harga RM0.32 sen bagi setiap batang rokok.

"Ini menjadikan harga minimum bagi paket yang mengandungi 20 batang rokok ialah RM6.40, 21 batang rokok (RM6.70), 22 batang rokok (RM7.05), 23 batang rokok (RM7.35), 24 batang rokok (RM7.70) dan RM8 bagi paket yang mengandungi 25 batang rokok," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka yang sabit kesalahan melanggar mana-mana peruntukan mengikut peraturan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Liow berkata, dengan berkuat kuasanya peraturan itu juga semua syarikat rokok dikehendaki mengisytiharkan senarai harga jualan runcit produk keluaran mereka kepada kementerian sebelum 15 Januari ini.

Beliau berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada mekanisma kawalan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah membeli rokok, serta membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun berlebihan.

"Keputusan melaksanakan harga minimum dan larangan promosi itu sudah dibincangkan sejak setahun lalu dan dipersetujui pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan terbabit termasuk syarikat rokok," katanya.

Mengulas lanjut, Liow berkata, penetapan harga minimum berkenaan menggunakan formula dengan mengambil kira semua cukai yang sedang dikuatkuasakan kerajaan dan keuntungan syarikat rokok.

Katanya, harga minimum rokok akan disemak dan ditentukan semula setiap kali berlaku perubahan kepada nilai dan kaedah percukaian rokok.

"Melalui peraturan baru ini, beberapa peruntukan akan dikuatkuasakan untuk penetapan harga minimum rokok termasuk semua rokok dijual di pasaran mesti dengan harga tidak kurang harga minimum ditetapkan; mempamerkan notis harga minimum rokok dengan jelas dan mudah kelihatan di kaunter atau tempat rokok dijual serta notis harga minimum tidak mempunyai apa-apa logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi berkaitan rokok dan mematuhi spesifikasi," katanya.

Katanya, semua pengilang dan pengimport hasil tembakau juga dikehendaki mengisytiharkan secara bertulis senarai harga jualan runcit produk keluaran kepada kementerian dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan peraturan bagi produk yang sudah berada di pasaran.

(Sumber: Bernama - 27/12/2009 - 13:44pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Penjualan paket rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang adalah dilarang mulai 1 Jun tahun depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sejajar dengan keputusan itu, pihak syarikat rokok diberi masa tujuh bulan mulai sekarang hingga 31 Mei ini untuk menghabiskan stok paket rokok yang kurang daripada 20 batang rokok di pasaran.

"Kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan ke atas perkara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengilangan dan penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok mulai 1 Jun 2010," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur pada 1 Disember, Selasa.

Beliau berkata keputusan itu telah dipersetujui oleh semua syarikat rokok dan kerajaan berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama syarikat-syarikat tersebut.

"Larangan pengilangan dan penjualan rokok paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang sebenarnya telahpun diwartakan pada 23 Sept 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Bagaimanapun penguatkuasaan terhadap larangan tersebut telah ditangguhkan selepas kerajaan mempertimbangkan rayuan daripada syarikat-syarikat rokok," katanya.

Liow berkata sehubungan dengan penguatkuasaan itu, sesiapa yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Menurut beliau lagi, larangan itu juga selaras dengan saranan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan," katanya.

(Sumber: Bernama - 1/12/2009 - 20:04pm)

Sebenarnya kerajaan nak mengurangkan orang membeli rokok atau menggalakkan orang lebih kuat merokok.. ? Hihihi..

Bila perokok tegar kena beli kotak besar.. stok akan lebih banyak berbanding selalu. Perokok tegar tiada istilah berjimat batang rokok.. kalau dia pandai berjimat, tentu dia tidak merokok dan tidak membeli rokok.

Nak menghalang budak menghisap rokok? Sebenarnya perokok-perokok tegar telah lama muncul di kalangan murid sekolah rendah dan menengah.. Dah biasa lihat dan dengar.

Kawalan jualan rokok peket 'kecil' tidak berbaloi.. Sepatutnya penguatkuasaan perlu pada kedai-kedai yang menjual rokok pada murid sekolah dan kanak-kanak. Biasanya kedai-kedai kaum Cina. Puak ni mana ada kesedaran sosial, hanya kira untung saja..

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Empat sekolah yang ditutup ekoran wabak Influenza A(H1N1) tidak perlu menggantikan waktu persekolahan mereka sekiranya jumlah minimum 190 hari persekolahan telah dicapai.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata sekolah terbabit perlu menyemak jumlah hari persekolahan mereka dan perlu menggantikannya sekiranya tidak mencapai jumlah tersebut yang telah ditetapkan oleh kementerian.


"Bagi sekolah yang telah melebihi 190 hari persekolahan, (tiada masalah) jika masih berhasrat untuk menggantikannya. Maka terpulang kepada pihak pengurusan sekolah untuk berbuat demikian atau sebaliknya.

"Jadi dalam perkara ini (penutupan sekolah), tidak timbul pelajar yang dikuarantin tidak mempunyai peluang untuk belajar kerana pihak sekolah akan atur dan uruskan segalanya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Sehingga Rabu, empat sekolah iaitu Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 dan SRK Assunta 2 di Petaling Jaya dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur diarah ditutup selama seminggu berikutan penularan influenza di kalangan murid dan pelajarnya.

Mengenai langkah mewajibkan pelajar dan guru memakai topeng sebagai persediaan bagi mengelak penyakit itu daripada merebak, Wee berkata Kementerian Kesihatan masih mengkaji perkara tersebut dengan mendalam sama ada mewajibkan pemakaian topeng atau sebaliknya.

"Terpulang kepada Kementerian Kesihatan, jika mereka mewajibkannya maka pihak kita akan mematuhinya.

Bagaimanapun "jika ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mengambil inisiatif menyediakan topeng kepada pelajar, kita alu-alukan dan tidak akan menghalang mereka.

"Dasar Kementerian Pelajaran dalam perkara ini adalah terbuka dan telus, kita tidak akan ketepikan mana-mana pendapat baik demi keselamatan para pelajar dan guru," katanya.

(Sumber: Bernama - 24/06/2009 - 16:08pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kerajaan bercadang mewajibkan pelajar di seluruh negara menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan sesi pembelajaran setiap hari berikutan peningkatan kes Influenza A (H1N1) dengan dua lagi sekolah ditutup semalam dan 10 kes baru dikesan, menjadikan jumlah meningkat kepada 68 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Cheras diarah ditutup sehingga Sabtu ini, manakala Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1, Petaling Jaya selama seminggu.

Sebelum ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SRK Assunta 2, Petaling Jaya diarah ditutup selama seminggu.

Tiga lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, Petaling Jaya, SMK Seksyen 9 Shah Alam dan Sekolah Menengah Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur kekal dengan penutupan satu kelas bagi tempoh tujuh hari.

Dr Ismail berkata, cadangan mewajibkan pelajar menjalani pemeriksaan suhu badan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Penularan H1N1 bersama Kementerian Pelajaran, hari ini.

"Kita akan mengenal pasti kaedah paling sesuai dan mudah untuk guru memeriksa suhu badan pelajar. Sekiranya semua pihak bersetuju, kita akan membekalkan termometer kepada guru bagi mengesan pelajar yang menunjukkan tanda demam," katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan kepada Kementerian Pelajaran supaya mengarahkan semua warga sekolah yang baru pulang dari Australia, Filipina, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) supaya tidak ke sekolah dalam tempoh tujuh hari.

"Langkah itu perlu kerana kebanyakan kes import H1N1 dibawa masuk dari empat negara berkenaan. Kita juga mengarahkan semua yang terbabit mengkuarantin diri sendiri, iaitu dengan berkurung di rumah masing-masing sepanjang tempoh itu," katanya.

Dr Ismail berkata, daripada 10 kes terbaru, dua adalah penularan tempatan masing-masing pelajar Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka dan SJKC Jalan Davidson, manakala lapan kes import membabitkan lima rakyat Malaysia serta masing-masing seorang warga Yaman, Switzerland dan Itali.

"Kes ke-62 adalah seorang pelajar lelaki warga tempatan berusia 16 tahun dan dia adalah kontak kepada kes ke-42, iaitu pelajar Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka yang disahkan positif H1N1," katanya.

Mangsa ke-62 itu yang juga kes jangkitan tempatan kelapan, mengalami demam, batuk dan sakit tekak pada Sabtu lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh keesokannya serta disahkan positif semalam.

Dr Ismail berkata, seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun dari SJKC Jalan Davidson pula adalah kontak dengan seorang rakannya yang disahkan positif H1N1, dua hari lalu.

Mangsa ke-66 itu mengadu mengalami demam, batuk dan sakit tekak sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan positif, kelmarin.

Kes import pula ialah:

  1. Budak perempuan berusia 5 tahun 9 bulan yang baru pulang dari California, AS dengan pesawat Cathay Pacific (CX 873) dan transit di Hong Kong sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu;
  2. Pelajar perempuan warga tempatan berusia 14 tahun yang tiba dari Melbourne, Australia, Khamis lalu dengan menaiki pesawat MH148;
  3. Lelaki berusia 23 tahun yang pulang dari Melbourne, Jumaat lalu dengan pesawat MH128 sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching melalui penerbangan MH2504;
  4. Budak perempuan berusia 5 tahun 8 bulan yang menetap di Manila dan kembali ke Malaysia bersama ibunya pada 20 Jun lalu dengan penerbangan MH705 sebelum menyambung perjalanan ke Pulau Pinang menerusi pesawat MH1166;
  5. Lelaki berumur 42 tahun yang pulang dari Manila dengan pesawat Cebu Pacific Airways 5J 501 pada 18 Jun;
  6. Lelaki warga Yaman berumur 24 tahun yang bertolak dari Bangkok ke Malaysia pada 19 Jun menaiki penerbangan AirAsia AK 342;
  7. Lelaki warga Switzerland berumur 54 tahun yang ke Malaysia bersama isteri menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ 118; dan
  8. Pelajar lelaki warga Itali berusia 19 tahun yang menaiki pesawat MH148 dari Melbourne dan tiba di KLIA pada 21 Jun.

Mohd Ismail berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga jam 8 pagi semalam jumlah terkumpul kes H1N1 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,687 kes dengan 231 kematian dari 99 negara, iaitu pertambahan 7,709 kes.

Negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah AS (3,594), Chile (1,190), Kanada (805), United Kingdom (754) dan Australia (297).

(Sumber: Berita Harian - 24/06/2009)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Jumlah kes Influenza A (H1N1) di seluruh negara meningkat kepada 69 kes apabila 10 kes baru dilaporkan dengan dua kes tempatan dan lapan kes import, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lay hari ini. Menakutkan bukan? Setakat hari ini, berikut antara sekolah yang telah menerima arahan tutup kelas atau sekolah dalam satu jangka masa tertentu oleh Kementerian Kesihatan:

  1. SJK(C) Jalan Davidson; satu sekolah - tutup seminggu
  2. SRK Assunta 1, Petaling Jaya; satu sekolah - tutup seminggu
  3. SRK Assunta 2, Petaling Jaya; satu sekolah - tutup seminggu
  4. Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka, Batu 9 Cheras; satu sekolah - tutup seminggu
  5. SMK Seksyen 9 Shah Alam; satu kelas - tutup seminggu
  6. SMK Damansara Utama, Petaling Jaya; satu kelas - tutup seminggu
  7. SM Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur. satu kelas - tutup seminggu
Empat sekolah ditutup seminggu, manakala 3 sekolah lagi hanya ditutup satu kelas, juga dalam temph yang sama. Bagaimanapun, Kerajaan tidak bercadang menutup semua sekolah di Lembah Klang ekoran penularan virus influenza A (H1N1), kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran - Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Setakat ini, sejumlah 200,000 dos vaksin influenza dibekalkan kepada semua negeri sejak awal Mei lepas untuk disuntik kepada petugas barisan hadapan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai. Dianggarkan 200,000 petugas barisan hadapan akan terlibat dalam menangani wabak pandemik influenza seperti yang terkandung dalam pelan kebangsaan "National Influenza Preparedness Pandemic Plan 2006".

Petugas barisan hadapan itu terdiri daripada penjawat awam di bawah kategori anggota kesihatan dan perubatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Imigresen, kata Datuk Seri Liow hari ini.

Menurutnya, vaksin bagi influenza A (H1N1) masih belum dapat dihasilkan lagi. Pada masa ini , Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama-sama dengan syarikat utama pembuat vaksin dunia sedang giat berusaha untuk menghasilkan vaksin itu sebagai pencegahan kepada wabak berkenaan.

Virus influenza A (H1N1) merupakan satu virus baru dan sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh pihak WHO, masa yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin yang dimaksudkan ialah di antara tiga hingga enam bulan. Vaksin influenza A (H1N1) ini dijangka akan dapat disediakan sebelum penghujung tahun ini.

(Sumber: Kenyataan akhbar - 23/06/2009)

Kerap didengar bahawa antara petanda akhir zaman ialah wabak penyakit pelik banyak menular di muka bumi. Wabak Influenza A H1N1 ini bersifat global, bukan lokal. Cirinya GLOKAL.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Kementerian Kesihatan mengesahkan vaksin meningococcal quadrivalen (ACYW135) yang digunakan di semua fasilitinya adalah halal.

Vaksin ini tidak mengandungi unsur-unsur dari babi atau pun lembu.

Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan Selasa ini sebagai memperjelaskan laporan sebuah akhbar tempatan yang menyebut Majlis Ulama Indonesia mengharamkan vaksin meningococcal meningitis kepada jemaah haji negara itu kerana ia mengandungi enzim babi.

Suntikan vaksin tersebut diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi sebagai syarat pengeluaran visa untuk jemaah haji dan umrah.

(Sumber: Bernama - 9/6/2009 - 21:13pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih satu bilion manusia seluruh dunia mengalami masalah berat badan dan jika berterusan kadar obesiti akan meningkat sehingga 1.5 bilion menjelang 2015.

Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Datuk Dr Lokman Saim dalam kajian Morbiditi dan Kesihatan Kedua 1996 mendapati sebanyak 16.6 peratus orang dewasa mengalami berat badan berlebihan dan 4.4 peratus lagi tergolong dalam kumpulan obes.

"Ini bermakna satu daripada lima orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan dan keadaan ini sangat membimbangkan kerana kegemukan lazimnya dikaitkan dengan penyakit kronik kardiovaskular, kencing manis dan darah tinggi.

"Pencegahan dan perawatan hendaklah dilakukan di peringkat awal dengan mengamalkan pemakanan seimbang selain amalan gaya hidup sihat," kata Dr Lokman semasa merasmikan Program Kesedaran Obesiti peringkat PPUKM di Lobi Utama PPUKM di Kuala Lumpur hari ini.

Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut mengadakan pameran, melakukan analisis lemak, pameran makanan dan indeks jisim badan (BMI).

Dr Lokman berkata program ini adalah satu usaha mengalakkan orang ramai menyedari tentang masalah obesiti sekaligus memberi pendidikan dan rawatan berkaitan gejala tersebut.

"Penganjuran program seperti ini secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan dalam menyokong usaha kerajaan bagi membentuk kesedaran kesihatan di kalangan warga kerja PPUKM khususnya dan rakyat Malaysia amnya," jelas Lokman.

Seorang pengunjung program tersebut, Husin Hasan, 62, dari Tampin, Negeri Sembilan berkata program ini mampu membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap masalah obesiti dan pemilihan makanan yang berkhasiat.

(Sumber: Bernama - 3/6/2009 - 15:52pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Semua bungkusan rokok untuk jualan di pasaran tempatan wajib memaparkan Amaran Kesihatan Bergambar mulai 1 Jun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata perkara itu seiring dengan penguatkuasaan sepenuhnya terhadap cetakan Amaran Kesihatan Bergambar pada bungkusan rokok mengikut keperluan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008.

"Penjual yang didapati menjual bungkusan rokok yang tidak memaparkan Amaran Kesihatan Bergambar selepas 1 Jun ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata Amaran Kesihatan Bergambar itu juga tidak boleh dihalang daripada penglihatan oleh apa-apa benda, alat atau cara.

"Penjual yang melakukan kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Penguatkuasaan Amaran Kesihatan Bergambar pada kotak rokok dikuatkuasakan secara berperingkat bermula Januari lepas, iaitu sesebuah syarikat perlu mencetak amaran itu pada sekurang-kurangnya dua jenama rokok keluaran mereka, dan pada Mac lepas mereka dikehendaki mencetak amaran itu pada semua jenama rokok keluaran mereka.

(Sumber: Bernama - 27/5/2009 - 14:44pm)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Pelajar-pelajar Malaysia terutama di Amerika Syarikat yang mahu pulang bercuti musim panas tidak lama lagi dinasihatkan agar menangguhkannya dahulu sekiranya mereka mempunyai simptom Influenza A (H1N1) seperti demam dan selesema.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata nasihat itu juga terpakai kepada mana-mana individu yang ingin kembali ke tanah air mahupun melancong ke negara ini jika mereka juga mempunyai simptom serupa.

"Jika mereka mengalami simptom-simptom tersebut setelah masuk ke negara ini pula, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun, kepulangan atau kedatangan mereka ini dialu-alukan, dan ia bukanlah satu masalah kerana kementerian mempunyai persediaan yang cukup bagi mengawal penularan wabak itu, sekiranya ada, kata Liow yang baru pulang daripada menghadiri persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva.

Katanya mesyuarat itu diberitahu mengenai kebimbangan bahawa virus penyakit itu boleh merebak dengan lebih cepat pada musim sejuk di negara-negara hemisfera selatan.

Mengenai status dalam negara, Liow berkata sehingga pagi ini, tiada kes baru yang disahkan positif virus Influenza A (H1N1) dicatatkan walaupun terdapat 16 kes yang dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemeriksaan semalam.

Daripada jumlah itu, empat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, empat ke Hospital Kuala Lumpur, dua ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, dua di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, dua di Hospital Queen ELizabeth, Sabah, dan masing-masing satu di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dan satu di Hospital Pulau Pinang.

Kecuali dua kes di Sabah yang masih menunggu keputusan, yang lain disahkan negatif, kata Liow.

Beliau berkata, dua warga negara Amerika Syarikat yang dikuarantin di Sabah kerana menaiki pesawat yang sama dengan warga Hong Kong yang disahkan dijangkiti wabak itu, masih berada dalam keadaan stabil dan sihat dan akan dibebaskan Sabtu ini jika tidak menunjukkan sebarang simptom.

(Sumber: Bernama - 21/05/2009 - 19:06PM)

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

Tekanan darah ialah tekanan yang dikenakan terhadap pembuluh arteri semasa peredaran darah yang disebabkan oleh denyutan jantung. Tekanan darah ada dua ukuran dan biasanya dirakam seperti berikut :- 120 / 80 mmHg.

  • Nombor atas (120) : Menunjukkan tekanan ke atas pembuluh arteri akibat denyutan jantung. Ia dipanggil tekanan sistolik.
  • Nombor bawah (80) : Menunjukan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman. Ia dipanggil tekanan diastolik.
Masa yang paling baik untuk mengukur tekanan darah adalah semasa kita rehat dan dalam keadaan duduk atau baring.

Kadar tekanan darah tidak sama sepanjang masa. Ia sering berubah-ubah mengikut keperluan badan kita. Jika tekanan darah kita tinggi, doktor kita akan memeriksa semula tekanan darah kita untuk beberapa kali bagi menentukan kadar tekanan darah kita yang sebenar.

Jika kadar tekanan darah sentiasa lebih tinggi daripada kadar biasa untuk suatu jangkamasa yang lama, maka keadaan ini dikenali sebagai tekanan darah tinggi (hypertension).
  • Tekanan darah optima : 130 / 80 mmHg. Ini nilai ukuran yang ideal dan sihat.
  • Tekanan darah tinggi : Lebih daripada 130 / 85 mmHg. Misalnya, jika tekanan melebihi 180 / 110 mmHg. Kadar tekanan darah kita adalah terlalu tinggi.
  • Tekanan darah rendah: Kurang daripada 130 / 75 mmHg.
Kita selalunya tertipu dengan darah tinggi. Tekanan darah tinggi kebiasaannya tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala. Kita mungkin mengalami tekanan darah tinggi dan pada masa yang sama merasa diri kita sihat. Hanya satu cara untuk mengetahui sama ada kita menghidap darah tinggi atau tidak adalah dengan memeriksa tekanan darah kita secara berkala.

Apa risiko tekanan darah tinggi ? Jika tekanan darah kita kekal tinggi, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti serangan jantung, angin ahmar, kegagalan jantung atau kerosakan buah pinggang.

Tekanan darah rendah (hypotension) pula adalah keadaan tekanan darah yang lebih rendah dari tekanan yang diperlukan oleh tubuh, sehingga setiap organ dari badan tidak mendapat aliran darah yang cukup dan menyebabkan timbulnya gejala hipotensi. Tekanan darah kita yang sememangnya berbeza perlukan perhatian kerana ia membabitkan kawalan utama otak, jantung, buah pinggang dan ransangan di dalam salur darah.

Kebiasaannya orang yang selalu dikaitkan dengan penyakit tekanan darah rendah adalah dari golongan atlit dan pengamal diet. Mereka jarang terdedah kepada beberapa jenis penyakit seperti: stroke, penyakit jantung, penyakit pada mata atau pengerasan dan penyempitan pada pembuluh darah.

Tanda-tanda awal pesakit darah rendah ialah seperti: cepat lelah, pening kepala ketika posisi badan berubah, sukar untuk berkonsentrasi, mata berkunang-kunang, mual, kulit berasa dingin, pucat dan lembap; pernafasan cepat dan pendek, depresi serta cepat haus.

Jika tekanan darah normal atau optima (130 / 80 mmHg), kita perlu terus mengawal tekanan darah kita, dengan cara :
  • Memeriksa tekanan darah kita secara berkala - 2 kali setahun jika kadarnya normal.- Lebih kerap jika didapati kadarnya tinggi atau jika kita mempunyai ahli keluarga mengidap darah tinggi, angin ahmar atau serangan jantung.
  • Tidak merokok. Nikotin dari asap rokok akan memasuki darah dan menyebabkan jantung berdenyut lebih cepat. Nikotin juga menyempitkan saluran salurnadi halus dan memaksa jantung mengepam lebih kuat.
  • Makan secara sihat, dengan mengurangkan pengambilan garam dan lemak. Garam berlebihan di dalam darah boleh menyebabkan lebih banyak air terpaksa disimpan di dalamnya. Ini akan meningkatkan tekanan darah. Lemak berlebihan akan terkumpul di sekeliling dinding salurnadi dan menjadikannya tebal dan kejang.
  • Kekalkan berat badan unggul.
  • Bersenam secara berkala.
  • Elakkan pengambilan alkohol.
Jika kita menghidap tekanan darah tinggi, ikuti langkah-langkah berikut:
  • Makan ubat secara berkala seperti yang dinasihatkan.
  • Jangan berhenti makan ubat tanpa nasihat doktor/pegawai farmasi.
  • Jumpa doktor secara berkala bagi mengawal tekanan darah kita.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China ada beberapa kategori sukan yang berunsur 'berirama' (rythmic). Antaranya ialah renang berirama dan gimnastik berirama (gimrama). Setiap acara sukan itu memerlukan pesertanya memberi persembahan fizikal tetapi mengikut irama lagu didendangkan, kebiasaannya instrumental - yang perlahan bercampur rancak. Ianya menguji kelenturan, kelembutan dan gaya persembahan yang unik peserta.

Acara tidur berirama pula sebenarnya tidak dipertandingkan. Mana ada orang boleh tidur sambil buat pergerakan tertentu dengan mengikut muzik. Namun begitu, kalau jenis tidur yang boleh mengeluarkan iramanya sendiri, tentu bukan atlit sahaja boleh masuk pemilihan. PakTeh pun tentu boleh masuk pemilihan, kalau acara itu dibuka tempohari. Ramai orang di Malaysia mampu tidur dengan penuh irama - gubahan sendiri, hihi. Cuma irama mungkin berbeza-beza; samada sentimental, jazz, balada atau heavy rock.

Cuma akhir-akhir ini, MakTeh maklumkan satu perkara yang diperhatikannya sejak pembedahan tempohari. Irama tidur PakTeh dah kurang banyak, kadang-kadang tiada langsung. Syukur, Alhamdulillah. Nampaknya tak dapatlah masuk pemilihan wakil Malaysia untuk acara tersebut selepas ini. Tapi, tak apa.. ada ramai lagi calon lain yang lebih ber'kaliber'.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 2 comments ]

Jumaat: 1 Ogos, 2008
PakTeh keluar wad dahulu pagi Jumaat, minggu lalu: 25 Julai, 2008. Keluar sebagai orang terakhir dari wad 1B bersama Hafiz.

Sebelum itu, Munirah adalah orang pertama keluar, sehari selepas operation - hari Rabu. Memang doktor ada beritahu, kanak-kanak amat cepat pulih berbanding orang dewasa. Manakala PakChik Yusof dan Nasir keluar hari Khamis. PakTeh dan Hafiz lewat sebab sukar makan, walau makanannya jenis lembut: Bubur nasi, roti bun cicah dengan teh ais.

Balik rumah, dapat cuti sampai Ahad. Hari Sabtu - minggu lepas, sekolah ganti untuk tambahan Raya Puasa nanti. Isnin dah sekolah.. ada masalah juga untuk mengajar. Sakit tekak di kiri dan kanan tekak sakit.

Hari ini setelah seminggu, baru mula bercakap dalam perhimpunan awal pagi. Tekak kanan dah ok, cuma sebelah kiri masih sakit, bila menelan. Terima kasih atas doa semua. Semoga Allah mempercepatkan proses penyembuhannya.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 3 comments ]

Sabtu: 27 Julai, 2008
Hari Selasa (22/7), kami mula menahan lapar. Pagi-pagi lagi, 7.45am adik Munirah dah salin pakaian bedah, naik stretcher ke Dewan Bedah. Tak tau siapa pulak menyusul. Pukul 8.30am, Dr. Loh datang berikan 1 ubat spray untuk hidung. Pesanan Dr: kena spray pukul 9.00am, 10.30am dan sekali lagi bila tiba di dewan pembedahan. PakTeh tutup h/phone dlm laci locker. Selepas spray kali pertama, tidur. Bangun2, 10.30am, Munirah dah balik. Hafiz pula dah siap naik stretcher. Maknanya PakTeh no. 3 lah. Mula la tak sedap duduk, hehe. Spray hidung lagi kali ke 2.

Tunggu sampai 12.30pm, perut dah mula lapar. Dah puasa 12 jam. Akhirnya sampailah giliran. Salin pakaian bedah.. susah betul. Depan bertutup, belakang bertali pula. Diorang tolak stretcher sampai dewan bedah, banyak tempat lalu - naik lif dan jalan kona2. Sebijik macam cerita ER Astro tu. Mula2 masuk dewan bedah dulu, sebelum ke bilik pembedahan. Masuk dewan bedah, tak lama datang pakar bius. Dia ni jenis bebel juga, dimarahnya PakTeh sebab merokok, katanya paru2 lemah: tak mau ambil oksigen yang dicekup ke mulut. Hehe.. PakTeh tau dia cong tu.. bukannya oksigen, tapi chloroform. Dia suruh sedut kuat2. PakTeh sedut kuat2 juga. Akhirnya dia bengang2 merampus2 (hehe), dia angkat pencekup itu, digoyang2nya ke kiri kanan, diletak semula. Haa.. katanya dah ok. Ada nampak Dr. Loh lambai2 tangan. Dan tak lama kemudian, PakTeh dah tak sedar dah.

Sedar2 PakTeh rasa sakit ya amat. Dengar bunyi2 bising kelam kabut pembantu2 doktor. Buka mata, rasanya dah keluar di dewan bedah. PakTeh kata nak muntah, dan sebaik diorang bagi bekas - terus muntah, yang keluar ialah darah. Agaknya darah baki operation. Sampai ke bilik wad 1B, nampak MakTeh dah ada tunggu. Wah, dah pukul 4.30pm. Lamanya kena bedah. Nurse nasihat agar tidur.

Malam itu sungguh dukacita.. Lidah rasa tebai dan gabai. Mulut tak boleh tutup. Kalau cuba bangun, darah keluar ikut hidung. Pada tangan kiri ada air dimasukkan. Tak berapa larat nak sembang. Ada rakan2 sekolah berziarah. Makanan mula diberi pukul 9.30 malam, lapaqq. Kan puasa dari 12malam semalam? Dekat 1 hari. Menu dah berubah: roti bun kecik & air teh O ais. Tapi tak daya, tak leh telan pula.. nak telan air liur sendiri pun sakit. MakTeh ada tunjuk 3 botol sampel adenoid & kedua tonsil yang telah dibedah. PakTeh tak tahan tengok.. besar juga semuanya. Nak ambil gambar pun takut.. Sebelum MakTeh balik 10 malam, dia suapkan juga aiskerim vanilla, tapi tak larat nak telan.

Aiskerim ber-tupperware tu, dah dibawa kelmarin dan disimpan dalam freezer di wad. Nurse dah lama pesan, lepas operate, kena banyak makan aiskerim supaya yang bengkak jadi kecut, cepat baik. Kenapa aiskerim vanila pula, sebabnya jika jenis coklat akan menggelapkan darah selepas itu. Bila mereka masukkan air ke badan, mereka nak pastikan darah kita tetap stabil.

Dan malam itu PakTeh sungguh2 rasa sakit, dan juga cukup lapar.

Baca Selengkapnya (Read More)...

| 0 comments ]

Jumaat: 25 Julai, 2008
Minggu lalu, pagi Jumaat : Dapat call dari HAT Lumut. Maklumkan tarikh baru. Dia nak pastikan PakTeh sihat untuk operation, tanpa demam, batuk atau selsema. PakTeh kata ok je..

Isnin (22/7/08); mula bertolak 7.30 pagi. Singgah kedai makan favourite, depan flat Navy Lumut - pekena nasi lemak & nescafe tarik besar. Masuk gate utama, macam biasa kena tinggal IC. Kali ini tak boleh ambil pas pelawat C (kawasan kuning) macam biasa, kena isi borang mohon bermalam. Terus ke Protela (unit keselamatan Navy) dalam base untuk kebenaran bermalam (max: 14 hari). Masuk HAT. Ambil nombor & tunggu giliran. Dok nendiam.


Tiada Brig. Jen. Dr. Hj. Zulkaflay pagi tu, yang ada Lt. Kol. Dr. Loh Sheau Torng, Pn.. Dia check hidung, dia terkejut adenoid tumbuh dalam hidung. Dulu Dr Zul yang check. Kemudian dia recommend buat operation serentak, alang2 sekali bius. 1. Adenoid. 2. Tonsil. Sign surat persetujuan pemindahan darah (jika perlu), tercatat kenyataan tidak akan mengenakan tindakan mahkamah jika berlaku perkara diingini.

Kemudian dibawa nurse ke wad 1B (Pembedahan Lelaki). Bagus, dapat corner lot tepi tingkap. PakTeh prefer kelas 2 dari kelas 1, ramai jiran sikit. Lagipun bilik berhadap dengan kaunter nurse bertugas, banyak mudahnya.

Jiran2 Katil
  1. Munirah (6 thn) - Kes: adenoid & tonsil. Asal Manjung. Kerja: student TADIKA.
  2. Nasir (40 thn) - Kes: tonsil. Asal Ayer Tawar. Kerja: Naval Dockyard.
  3. Hafiz (21 thn) - Kes: tonsil. Kerja: Navy (Protela), kalau tengok rupanya, mcm masih F5.
  4. PakCik Yusof (59thn) - Kes: bisul dlm tekak. Asal: Masjid Lama Beruas. Kerja: Jaga Ladang PKN di Beruas. Baru sedut buang bisul, bau masuk wad.
Semua ini akan operate esoknya. Tak tau pasai apa Munirah ni masuk wad lelaki.. budak kot.

Pegawai dalam HAT

Nurse/MA di situ sebahagian besarnya anggota NAVY. Jadi mereka berpakaian uniform hijau. Macam askar, dan berpangkat. Ada 3 orang kadet Navy praktikal 9 bulan (Unit Medical) - uniform askar. 3 orang nurse praktikal dari sebuah kolej perubatan swasta di Seremban - uniform pink.

Masuk je wad, kena tukar pakaian pesakit, warna pink. Lain wad, lain color. Ambil timbang berat, ukur tinggi. Nampaknya PakTeh makin rendah le.. dulu rasanya 1.76m - sekarang 1.71m ? Berat 81kg, ukuran standard bagi org2 buncit. Terus buat pemeriksaan ECG, check graf jantung dll. Juga ambil darah untuk kajian makmal. Tengok banyak plug di belakang katil, boleh charge handphone. Kalau tau awal, boleh bawa laptop.. tapi.. malu pula rasanya.

Petangnya pakar bius, Dr. Chong, Pn. datang periksa kami. Nampaknya Nasir tak boleh operate esok, sebab ada masalah pada graf degupan jantungnya. Jadi esok, 3 orang saja akan dibedah.

Tentang makan di hospital - fuh selera, kan tengah sihat.. Licin je tray tu, hehe. Time makan pagi: 6.30am; lunch: 12.00pm; minum petang: 3.00pm ; dinner: 6.30pm ; supper: 10.00 malam.

Kerja yang boleh dibuat, tengok tv, bilik sembahyang, bilik air, tidur.. tu saja. Merayau ke wad lain dilarang. 4.00pm, MakTeh datang sampai 7.00 malam. Dia tidur rumah kakaknya, Alang di Sri Manjung; bertolak dari situ ke sekolah pagiesoknya. Malam selepas 12.30am , 3 orang bakal dibedah di wad 1B kena mula puasa. Akan mula makan semula (soft & cold meals) selepas 6 jam operation tamat.. lamanya...

Baca Selengkapnya (Read More)...