[Monday, April 05, 2010
|
]
Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan 1,500 biasiswa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) tahun ini dengan penajaan berjumlah RM1.24 bilion untuk sepanjang pengajian.
Penajaan PILN, katanya, akan ditawarkan mengikut empat kategori iaitu populasi kaum (60 peratus), kecemerlangan akademik (20 peratus), Bumiputera Sabah dan Sarawak (10 peratus) serta golongan 'socially disadvantaged' (10 peratus).
Kriteria yang diguna pakai untuk pemilihan atau penawaran biasiswa JPA termasuk pencapaian akademik, penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum, sosio-ekonomi dan latar belakang keluarga serta prestasi temu duga.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program untuk menyediakan biasiswa yang berprestij itu bertujuan melahirkan modal insan yang berkualiti bagi menjamin kesinambungan keupayaan negara di masa akan datang.
"Fokus penajaan PILN 2010 adalah kepada bidang-bidang kritikal dan keutamaan yang diperlukan oleh negara pada masa hadapan, seperti perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan," katanya kepada wartawan Malaysia Isnin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berada di sini bagi menghadiri mesyuarat ke-184 Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang bermula esok.
Muhyiddin berkata kejuruteraan dan perubatan merupakan dua bidang yang paling popular di kalangan calon dengan United Kingdom, Australia dan New Zeland menjadi negara pengajian pilihan majoriti 18,844 pemohon, termasuk 10,114 permohonan yang diterima oleh JPA.
Bagaimanapun, katanya tempat yang disediakan bagi pelajar-pelajar yang memohon bidang kritikal adalah di pelbagai negara, termasuk Australia, New Zealand, India, Republik Czech dan Poland selain program berkembar di Penang Medical College, Melaka Manipal Medical College dan International Medical Universiti.
Bagi bidang kejuruteraan, tempat yang disediakan adalah di Perancis, Jerman serta Amerika Syarikat manakala bakinya adalah untuk bidang keutamaan dan strategik yang lain, kata Muhyiddin.
Selain penajaan ke luar negara, beliau berkata kerajaan turut memberi keutamaan kepada penajaan pelajar cemerlang ke institusi pengajian tinggi tempatan dengan menyediakan 100 penajaan untuk mengikuti pengajian di empat buah universiti penyelidikan iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.
Pelajar-pelajar yang dipilih akan menerima kadar elaun sara hidup 50 peratus lebih tinggi daripada kadar biasiswa persekutuan sedia ada di dalam negara, katanya.
Muhyiddin berkata memandangkan terdapat persaingan yang sengit bagi penajaan PILN, sebanyak 1,900 penajaan lagi akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih di bawah PILN untuk mengikuti pengajian ke IPT tempatan.
"Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi, asasi, pra-universiti dan seterusnya ke peringkat ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik semasa di peringkat persediaan yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata anggaran kos program penajaan dalam negara untuk 10,500 pelajar ialah sebanyak RM1.2 bilion untuk sepanjang pengajian.
Permohonan telah dibuka melalui laman web JPA www.jpa.gov.my mulai 11 Mac.
(Sumber: Bernama: 5/4/2010 - 20:12PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Wednesday, February 03, 2010
|
]
Siaran Akhbar: Program Penajaan JPA 2010
Makluman Awal Mengenai Program Penajaan JPA 2010 Bagi Lulusan SPM 2009
PENTING! MESTI DIBACA OLEH LEPASAN SPM 2009 YANG BERMINAT UNTUK MENDAPAT BIASISWA JPA 2010.. (PakTeh)
-
PENDAHULUAN
Modal Insan berkualiti merupakan prasyarat utama untuk menyokong agenda pembangunan negara. Oleh itu, Kerajaan akan sentiasa memastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara komprehensif, meliputi usaha-usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Selain itu, langkah akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi serta memupuk nilai-nilai positif dan progresif. Sehubungan itu, Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) akan menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara di peringkat Ijazah Pertama. Penawaran biasiswa ini diteruskan pada tahun 2010 dengan memberi fokus kepada bidang-bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Perubatan Veterinar, Kejuruteraan, Sains & Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara.Program Penajaan JPA 2010 terdiri daripada:
-
PROGRAM BIASISWA NASIONAL
Dalam pembentangan Bajet 2010 pada 30 Oktober 2009, Y.A.B. Perdana Menteri telah mengumumkan penganugerahan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kalangan yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia berasaskan kepada merit mulai tahun 2010.Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan mengenal pasti pelajar paling cemerlang dari kalangan pelajar yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran peperiksaan SPM untuk ditaja di bawah Program Biasiswa Nasional ini.
Pelajar-pelajar akan ditaja untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di universiti-universiti terkemuka di dalam ataupun luar negara dalam pelbagai bidang pengajian mengikut minat dan pilihan pelajar.
Maklumat dan syarat asas untuk Program Biasiswa Nasional adalah seperti berikut:
- Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil dan minimum bilangan mata pelajaran yang dinilai adalah sebanyak sembilan mata pelajaran (Pencalonan akan ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia);
- Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
- Calon perlu melalui proses temuduga; dan
- Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.
Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:
- Pencapaian akademik; dan
- Prestasi temuduga.
-
PROGRAM IJAZAH LUAR NEGARA (PILN)
Program Ijazah Luar Negara (PILN) merupakan program penajaan kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan SPM untuk mengikuti program Ijazah Pertama di universiti luar negara.Maklumat dan syarat asas untuk PILN adalah seperti berikut:
- Terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan cemerlang;
- Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2009;
- Calon perlu melalui proses temu duga; dan
- Calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.
Kriteria yang digunapakai untuk pemilihan/penawaran biasiswa Kerajaan/JPA adalah seperti berikut:
- Pencapaian akademik;
- Penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum;
- Prestasi temu duga; dan
- Sosio-ekonomi/latar belakang keluarga.
Penajaan bagi tahun 2010 mengambil kira kecemerlangan akademik, kepelbagaian latar belakang kaum, latar belakang sosio ekonomi calon bagi menentukan penawaran dilaksanakan dengan adil dan saksama.
PILN 2010 adalah dibuka khusus kepada lepasan SPM tahun 2009 yang memperolehi keputusan yang cemerlang. Pada tahun 2009, seramai 455,317 orang calon telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding seramai 442,936 orang pada tahun 2008. Peningkatan bilangan calon ini dijangka akan menjadikan PILN 2010 lebih kompetitif. Pada tahun 2009, misalnya, JPA telah menerima sebanyak 15,084 permohonan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,469 permohonan diterima daripada kalangan calon yang mendapat keputusan 1A dalam semua mata pelajaran SPM tahun 2008. Setiap tahun PILN menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa. Dua bidang yang paling popular di kalangan calon ialah Kejuruteraan dan Perubatan. Manakala, negara pengajian pilihan oleh majoriti calon/pelajar ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand.
-
PROGRAM IJAZAH DALAM NEGARA (PIDN)
Pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih, disebabkan persaingan yang sengit di bawah program PILN, akan ditawarkan tajaan untuk mengikuti pengajian di dalam negara sama ada di empat buah universiti penyelidikan di Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putera Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM), IPT tempatan, kampus-kampus cawangan University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology atau Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), AIMST University, Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-Royal College of Medical Sciences (RCMS), Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Alliance College of Medical Sciences (ACMS)-UKM dan University College Sedaya International (UCSI).Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi/asasi/pra-universiti dan ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan.
Selain itu program penajaan dalam negara (PIDN) turut menawarkan biasiswa diperingkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Kejuruteraan, Undang-Undang, Sains Tulen & Gunaan, Pengurusan dan Sastera di IPTA dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
-
PROSES PEMILIHAN
Calon-calon dinasihatkan supaya membuat pilihan secara bijak dan memberi perhatian kepada perkara-perkara seperti berikut:
- Kriteria pemilihan - peluang adalah lebih tinggi bagi calon yang mendapat gred A bagi sembilan mata pelajaran dan aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum berbanding dengan calon yang mendapat gred A bagi 15 mata pelajaran tetapi tidak aktif di dalam kegiatan ko-kurikulum;
- Kursus/bidang - selain perubatan, terdapat bidang kritikal lain yang ditaja iaitu Pergigian, Farmasi dan Sains Perubatan Veterinar. Di samping itu tajaan juga diberikan kepada bidang lain seperti Ekonomi, Sains dan Perakaunan yang juga amat diperlukan oleh negara dan perkhidmatan awam;
- Pilihan kursus - calon hendaklah memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan kelayakan SPM yang dimiliki;
- Negara - penetapan negara tempat pengajian adalah menjadi hak JPA/penaja. Calon adalah dinasihatkan agar menerima keputusan penaja kerana apa yang penting adalah matlamat utama iaitu untuk melanjutkan pengajian. Semua kursus di negara-negara yang ditaja oleh JPA adalah of good standing dan diiktiraf. Sebagai contoh pelajar yang bergraduat dalam bidang Perubatan di Indonesia, India dan Rusia akan tetap dilantik sebagai Pegawai Perubatan seperti mana mereka yang bergraduat daripada Ireland, United Kingdom atau Australia.
Peruntukan kewangan dan tempat pengajian ke luar negara terutama bagi kursus-kursus kritikal (perubatan/pergigian/farmasi/perubatan veterinar) adalah terhad namun permohonan yang diterima adalah tinggi dan ini menyebabkan wujudnya persaingan yang sengit di kalangan pemohon. Contohnya pada tahun 2009, sebanyak 5,181 permohonan telah diterima bagi mengikuti kursus kritikal, namun peruntukan tempat yang disediakan hanyalah sebanyak 772 sahaja. Ini menunjukkan hanya seorang calon akan terpilih daripada setiap enam permohonan.
-
KAEDAH PERMOHONAN
Iklan tawaran dan maklumat lanjut akan disiarkan menerusi portal www.jpa.gov.my dan juga akhbar-akhbar utama pelbagai bahasa pada bulan Mac 2010. Calon perlu merujuk ke portal www.jpa.gov.my untuk mendapatkan butiran tawaran dan syarat kelayakan PILN 2010 yang akan mula dibuka secara atas talian (on-line) mulai tarikh keputusan SPM 2009 diumumkan secara rasmi.Calon-calon yang memenuhi syarat-syarat dan kriteria PILN serta memiliki kelayakan bahasa asing seperti bahasa Jerman, Perancis atau Jepun akan diberi pertimbangan sewajarnya sekiranya memohon program pengajian ke negara-negara berkenaan.
Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor akan diadakan pada bulan Mac 2010 di hospital-hospital Kerajaan yang akan ditetapkan oleh JPA. Calon yang memohon untuk mengikuti program perubatan adalah diwajibkan menghadiri program ini.
Pelajar-pelajar yang memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan akan dipanggil ke sesi temu duga yang akan dijalankan pada bulan April 2010. Urusan temu duga akan dijalankan secara berkumpulan mengikut dua kelompok utama bidang pengajian iaitu kritikal dan strategik.
Ahli-ahli panel bagi bidang kritikal terdiri daripada pegawai perubatan/pergigian/ farmasi dan perubatan veterinar manakala ahli-ahli panel bagi bidang strategik terdiri daripada pensyarah, jurutera dan pegawai kanan dari pelbagai skim perkhidmatan.
Calon-calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA. Calon juga perlu mencapai had kecemerlangan (cut-off point) yang ditetapkan, mencapai rekod kehadiran kelas melebihi 90% dan tidak mempunyai rekod disiplin bagi membolehkan calon diteruskan penajaan ke universiti-universiti di luar negara.
-
PENUTUP
Pemakluman awal ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal calon/pelajar akan senario permohonan, kriteria pemilihan, had penawaran dan saingan serta persediaan yang perlu dihadapi oleh setiap orang calon/pelajar bagi mendapatkan tawaran biasiswa Kerajaan yang diuruskan oleh JPA.Tanggapan umum bahawa prestasi akademik adalah jaminan dan menjadi faktor penentu untuk calon-calon mendapatkan biasiswa khususnya untuk PILN adalah tidak tepat. Harapan JPA adalah agar calon yang tidak berjaya tidak membuat perbandingan dengan calon yang lain dan mempersoalkan kenapa mereka tidak ditawarkan biasiswa atas alasan mencapai prestasi akademik yang cemerlang.
Bersandarkan kepada faktor-faktor seperti bilangan permohonan yang tinggi di kalangan calon yang cemerlang serta bilangan biasiswa yang terhad, PILN 2010 dijangka akan terus menjadi amat kompetitif. JPA dengan ini menasihatkan calon serta ibu-bapa agar bersedia dan berusaha juga untuk mendapatkan sumber-sumber penajaan yang lain.
Maklumat umum berkaitan penawaran biasiswa Kerajaan/JPA juga boleh diperolehi dengan menghubungi talian 03-8885 3412 (lima talian) mulai 10 Mac 2010 atau hadir sendiri di kaunter-kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA di Lobi, Blok C1, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya mulai jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang.
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
3 Februari 2010
(Sumber:
Kenyataan Rasmi JPA - 3/2/2010)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Wednesday, February 03, 2010
|
]
Penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini memberi fokus kepada bidang-bidang kritikal seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Perubatan Veterinar, Kejuruteraan, Sains dan Teknologi serta bidang Sains Sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara.
JPA dalam satu kenyataan berkata Program Penajaan JPA 2010 bagi pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran
dalam dan luar negara di peringkat
ijazah pertama terdiri daripada
Program Biasiswa Nasional,
Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan
Program Ijazah Dalam Negara (PIDN).
Iklan tawaran dan maklumat lanjut biasiswa itu akan disiarkan menerusi
portal www.jpa.gov.my dan juga akhbar-akhbar utama pelbagai bahasa ataupun boleh menghubungi talian 03-88853412 mulai
10 Mac atau hadir sendiri ke kaunter-kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan, JPA di Lobi, Blok C1, Putrajaya mulai pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Syarat kelayakan PILN 2010 pula akan mula dibuka secara dalam talian mulai tarikh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 diumumkan secara rasmi.
JPA berkata Program Biasiswa Nasional akan diberikan kepada 30 pelajar terbaik lepasan SPM di kalangan yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia berasaskan kepada merit mulai tahun ini.
Katanya Kementerian Pelajaran akan mengenalpasti pelajar paling cemerlang dari kalangan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran peperiksaan SPM untuk ditaja di bawah program tersebut.
Syarat asas untuk Program Biasiswa Nasional adalah ia terbuka untuk calon lepasan SPM 2009 yang memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan minimum bilangan mata pelajaran yang dinilai adalah sebanyak sembilan mata pelajaran.
Calon juga perlu melalui proses temuduga dan umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Dis 2009 serta calon yang berjaya akan mengikuti kursus persediaan di pusat-pusat pengajian yang ditetapkan oleh JPA.
Program PILN pula menawarkan penajaan kepada pelajar cemerlang lepasan SPM 2009 untuk mengikuti program ijazah pertama di universiti luar negara dan ia menjadi tumpuan banyak pihak sehingga mewujudkan pergantungan harapan yang tinggi terutamanya di kalangan calon dan juga ibu bapa.
Dua bidang paling popular di kalangan calon ialah Kejuruteraan dan Perubatan manakala negara pengajian pilihan oleh majoriti calon/pelajar ialah United Kingdom, Australia dan New Zealand.
Pelajar-pelajar cemerlang yang tidak terpilih disebabkan persaingan sengit di bawah program PILN akan ditawarkan tajaan untuk mengikuti program PIDN sama ada di empat buah universiti penyelidikan di Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) ataupun di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang lain.
Bagi IPT tempatan, calon ditawarkan ke kampus-kampus cawangan University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology ataupun Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), AIMST University, Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-Royal College of Medical Sciences (RCMS), Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Alliance College of Medical Sciences (ACMS)-UKM dan University College Sedaya International (UCSI).
Pelajar yang berjaya ditawarkan akan ditaja di peringkat matrikulasi/asasi/pra-universiti dan ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan.
JPA berkata penajaan bagi tahun 2010 mengambil kira kecemerlangan akademik, kepelbagaian latar belakang kaum, latar belakang sosio ekonomi calon bagi menentukan penawaran dilaksanakan dengan adil dan saksama.
(Sumber: Bernama - 3/2/2010 - 21:16pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Wednesday, January 13, 2010
|
]
Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM53 juta setahun menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) bagi menaja pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan luar negara.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, sejak YTN ditubuhkan pada 1993, 9,253 mahasiswa diberi bantuan pendidikan dengan jumlah tajaan melebihi RM500 juta.
“Mahasiswa ini ditaja mengikuti bidang teras TNB seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, perakaunan, kewangan dan bisnes untuk pasaran kerja dalaman TNB,” katanya.
Beliau berucap pada majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan Penganugerahan Biasiswa Pelajar Baru YTN di Dewan Musytari di Residence Hotel Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
Noriah berkata, YTN turut membelanjakan RM524 juta untuk menunaikan tanggungjawab sosial dalam sektor pendidikan.
“TNB nampaknya maju merintis masa hadapan bagi pembangunan modal insan bermula dari sekolah rendah dengan terlaksananya program pintar pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah-sekolah angkat,” katanya.
Pada majlis itu, 36 graduan yang berjaya menamatkan pengajian dengan kelas pertama dan keputusan purata nilai gred terkumpul (CGPA) 3.67 ke atas tahun lalu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.
(Sumber: Utusan - 13/1/2010 - Pendidikan)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Saturday, December 26, 2009
|
]
Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dengan kerjasama Kolej Sains Perubatan (ACMS) Sabtu melancarkan Biasiswa Sheikh Muszaphar-ACMS yang bertujuan membantu pelajar yang tidak memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang tetapi berminat menjadi doktor untuk meneruskan impian mereka.
Dr Sheikh Muszaphar berkata buat permulaan program itu akan membiayai 200 orang pelajar mulai tahun 2010 depan dan setiap seorang akan menerima kira-kira RM2,000 untuk memulakan pengajian di kolej tersebut.
"Dengan cara ini kita akan membantu mereka yang betul-betul berminat (untuk menjadi doktor). Mungkin perlu melakukan diploma dahulu seperti fisioterapi, nursing dan sebagainya. Ini (biasiswa) lebih untuk mereka mencapai impian mereka untuk menjadi doktor," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat motivasi kepada pelajar-pelajar dalam suatu program anjuran ACMS di Kuala Lumpur, Sabtu.
Beliau berkata beliau akan menjadi bapa angkat kepada pelajar-pelajar yang terpilih dan akan membimbing mereka secara langsung.
Pengerusi ACMS Datuk Dr Zainuddin Wazir berkata biasiswa itu akan membantu para pelajar untuk memulakan pengajian di ACMS dalam tempoh tiga bulan pertama, iaitu untuk makan-minum, keperluan harian, membeli tiket kapal terbang, membeli buku teks dan sebagainya, sebelum pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara pelajar diluluskan.
"Kriteria yang ditetapkan adalah sama dengan syarat kemasukan ke ACMS. Pelajar-pelajar yang berminat hanya perlu mendaftar dengan kami, tetapi pastinya pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan akan kami utamakan," katanya.
Maklumat mengenai program biasiswa itu boleh didapati daripada laman web ACMS www.acms.edu.my atau melalui laman facebook Sheikh Muszaphar-ACMS Scholarship Fund.
(Sumber: Bernama - 26/12/2009 - 16:24pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, December 11, 2009
|
]
AMAT MENGEJUTKAN! Berdasarkan maklumat terkini dari Kementerian Pelajaran nampaknya banyak program LDP & Pra-Perkhidmatan bagi tahun 2010 DITANGGUHKAN. Antaranya:
Program Latihan Dalam Perkhidmatan:
- Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan - Sepenuh Masa (utk PPPS - Kedoktoran/Sarjana)
- Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan - Separuh Masa (utk PPPS - Kedoktoran/Sarjana)
- Sarjana Kepengetuaan (utk PPPS - Sarjana)
- Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah (utk PPLD - Diploma Lepasan Ijazah)
- Sarjana Muda Pendidikan Khas (utk PPLD - Sarjana Muda)
- Spouse Programme (utk PPLD & PPPS - Kedoktoran/Sarjana/Sarjana Muda)
Program Pra-Perkhidmatan:- Program Berkembar B.Ed TESL
- Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke luar Negara (PPC)
- Biasiswa Perguruan Persekutuan di IPTA
Lain-lain maklumat atau pertanyaan, sila rujuk /
klik pautan di bawah.
(Sumber:
Surat rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bertarikh 10 Disember, 2009)
Adakah krisis kewangan di Malaysia belum berakhir.. atau kian meruncing?
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Sunday, June 28, 2009
|
]
Kerajaan akan mewujudkan pemberian biasiswa khas dikenali sebagai Biasiswa Nasional yang berasaskan kepada merit sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata biasiswa tersebut akan diberikan kepada pelajar-pelajar terbaik yang layak dan tanpa mengira kaum.
Beliau berkata biasiswa tersebut diwujudkan selaras dengan keputusan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula pemberian biasiswa kerajaan.
"Kalau individu tersebut benar-benar layak untuk biasiswa itu, ia adalah atas keputusan mereka yang benar-benar terbaik, tanpa mengira kaum atau keturunan.
"Hanya mereka yang terbaik daripada yang terbaik layak untuk diberikan biasiswa ini. Inilah hasrat kerajaan supaya kita mendahulukan kepentingan rakyat. Kita mesti ambil kira kepentingan rakyat," katanya semasa berucap di majlis makan malam MCA di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya malam ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan dan pemimpin-pemimpin kanan MCA.
Majlis makan malam itu dianjurkan MCA dan persatuan-persatuan Cina untuk mengalu-alukan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri keenam.
Najib memberitahu, Biasiswa Nasional tidak diperkenalkan tahun ini berikutan keputusan Kementerian Pelajaran untuk mengehadkan jumlah subjek dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kerajaan akan umumkan tahun depan, lebih-lebih lagi kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran baru sahaja mengumumkan bahawa jumlah subjek yang boleh diambil oleh calon dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dihadkan kepada 10 subjek sahaja," katanya.
Beliau memberitahu, Muhyiddin juga telah diberi mandat untuk menilai semula sistem pendidikan negara kerana pembangunan modal insan adalah pemangkin kepada pembentukan dan perkembangan ekonomi negara.
"Model ekonomi baru yang diperkenalkan juga meletakkan pembangunan modal insan sebagai kriteria utama untuk mewujudkan pendapatan negara yang lebih kukuh," kata Najib.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan kata beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM90 juta di bawah pusingan pertama pakej rangsangan khusus bagi membina 90 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) manakala RM50 juta lagi diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih SJKC tententu.
"Usaha membaik pulih dan pembangunan SJKC ini adalah gambaran keyakinan kerajaan terhadap SJKC. Setiap tahun pula kerajaan membelanjakan RM1.8 bilion untuk saraan guru-guru SJKC dan ia merupakan jumlah yang besar. Jangan sekali-kali lupa bahawa ini adalah sumbangan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kebajikan kaum Tionghua di negara ini.
"Saya juga usik Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sewaktu beliau datang ke Malaysia baru-baru ini. Saya katakan di Malaysia ada SJKC, tapi di Singapura tidak ada," katanya disambut dengan tepukan gemuruh daripada para tetamu.
Najib juga berkata, kerajaan sedang dalam proses untuk mengiktiraf beberapa universiti di China bagi membolehkan kedua-dua negara memperoleh manfaat yang besar pada masa akan datang.
"Saya percaya kalau kita iktiraf universiti di China, kedua-dua negara akan beroleh manfaat yang sangat besar," tambah beliau.
(Sumber: Bernama - 27/06/2009 - 23:54pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Wednesday, June 24, 2009
|
]
Berita baik untuk calon terpilih ke IPTA bagi sesi Julai, 2009. Kerajaan Pulau Pinang melanjutkan tarikh tutup bagi permohonan bantuan untuk menampung kos pendaftaraan pelajar memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sehingga 19 Julai.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ng Wei Aik, berkata ia bagi memberi tempoh masa yang secukupnya kepada pelajar mengemukakan permohonan mereka.
"Sepatutnya tarikh akhir permohonan ditetapkan pada 30 Jun ini dan kerajaan negeri melanjutkannya sehingga 19 Julai bagi memberi peluang pelajar memohonnya," katanya dalam satu kenyataan di Pulau Pinang, hari ini.
Beliau berkata, ibu bapa pelajar yang lahir dan bermastautin di negeri ini serta mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan layak memohon.
"Pelajar boleh mengemukan permohonan melalui pejabat-pejabat daerah di Pulau Pinang atau melayari lama web www.penang.gov.my untuk maklumat lanjut," katanya.
Ng berkata, setiap pemohon yang berjaya akan diberi RM500 dan bantuan itu hanya untuk sekali sahaja sepanjang pengajian mereka.
Katanya, penuntut pra-Universiti dan matrikulasi tidak layak memohon.
(Sumber: Bernama - 24/06/2009 - 13:56pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Wednesday, June 24, 2009
|
]
Yayasan Terengganu (YT) menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membiayai biasiswa kecil untuk pelajar Tingkatan Enam yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.
Pengarah YT, Mohd Kamaru Al-Amin Ismail, berkata seramai 3,000 pelajar yang mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan ditawarkan tempat melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam tahun ini turut layak menerima biasiswa kecil itu.
Katanya, jumlah peruntukan disediakan YT untuk biasiswa kecil tahun ini meningkat sebanyak RM400,000 berbanding RM2.6 juta tahun lalu membabitkan seramai 26,000 pelajar.
"Bagaimanapun, biasiswa kecil itu hanya akan diberikan kepada pelajar yang layak ke Tingkatan Enam Atas dan pemilihan pelajar diuruskan pihak sekolah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembara Pendidikan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Kuala Terengganu, kelmarin.
Seramai 32 ahli Sekretariat Permata menyertai program yang bertujuan memperkasakan pendidikan anak negeri ini di peringkat pendidikan menengah selain meningkatkan pelajar dalam penguasaan bahasa Inggeris.
Mohd Kamaru berkata, setiap pelajar akan menerima biasiswa kecil berjumlah RM1,000 seorang dan wang itu cukup untuk menampung mereka menyediakan pelbagai peralatan pembelajaran.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata YT juga peruntukan sebanyak RM60,000 kepada Permata yang ditubuhkan di 22 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dua institut perguruan di negeri ini.
Katanya, setiap Permata akan menerima peruntukan sebanyak RM25,000 bagi memudahkan persatuan itu melaksanakan pelbagai aktiviti terutama membabitkan anak negeri ini yang menerima bantuan kewangan YT.
"Permata yang ditubuhkan di setiap IPTA akan dijadikan sebagai jambatan bagi membolehkan anak negeri ini menganjurkan aktiviti,” katanya.
(Sumber: Berita Harian - 24/06/2009)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Monday, June 22, 2009
|
]
Sehingga kini, seramai 663 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara ditawar biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk pengajian dalam dan luar negara.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata mereka terdiri daripada 193 pengajian di luar negara dan 470 untuk pengajian dalam negara.
"Daripada jumlah itu, seramai 100 pemegang luar negara dan 119 pelajar dalam negara telah menamatkan pengajian masing-masing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasir Puteh, Ahad.
Katanya seramai 93 pelajar luar negara dan 351 pelajar dalam negara sedang meneruskan pengajian termasuk di universiti ternama seluruh dunia antaranya Cambridge, Oxford, London School of Economic, Imperial College of Science dan pelbagai institusi pengajian tinggi tanah air.
Beliau berkata di samping itu PNB juga menggalakkan pelajar sekolah menyertai pelaburan bijak untuk mendekatkan mereka dengan dunia pelaburan dan sehingga kini sebanyak 104 sekolah di seluruh negara menyertainya.
Katanya kegagalan mendidik generasi muda dengan baik akan menyebabkan negara bukan sahaja terlepas peluang untuk mempunyai warga kerja berharga pada masa depan tetapi juga akan menimbulkan masalah sosial yang boleh menggugat kestabilan masyarakat.
(Sumber: Bernama - 31/05/2009 - 13:35pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Monday, June 08, 2009
|
]
Yayasan Telekom Malaysia (Yayasan TM) telah menganugerahkan biasiswa berjumlah RM30 juta tahun ini kepada 823 pelajar untuk melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah kerajaan serta universiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa dalam kenyataannya hari ini berkata sejak penubuhannya pada 1994, lebih daripada 12,000 pelajar dan anggota TM telah mendapat manfaat daripada program biasiswa ini.
"Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat kami kepada masyarakat, TM menyokong dua aspek sosial jangka panjang: pembinaan keupayaan menerusi pendidikan dan memperbaiki kehidupan golongan yang memerlukan menerusi usaha-usaha pembangunan masyarakat dan negara," katanya.
Setiap tahun, Yayasan TM akan membuka permohonan biasiswanya kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai rekod akademik cemerlang, daya kepimpinan dalam aktiviti ko-kurikulum selain beberapa kriteria lain.
Untuk maklumat lanjut mengenai Yayasan TM dan program biasiswanya, layari http://ytm.com.my atau www.tm.com.my.
(Sumber: Bernama - 8/6/2009 - 18:40pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Saturday, June 06, 2009
|
]
MIC akan menghulurkan bantuan kepada kira-kira 240 pelajar India yang gagal mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melanjutkan pelajaran, kata Presidennya Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini.
Beliau berkata Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST) milik MIC di Semeling, Kedah, akan menawarkan 200 tempat kepada pelajar berkenaan bagi mengikuti kursus asas di pusat pengajian tinggi itu.
Samy Vellu berkata beliau menjangka kebanyakan daripada 240 pelajar yang telah mengemukakan rayuan kepada JPA, akan mendapat biasiswa, manakala selebihnya boleh meneruskan pengajian di AIMST.
"AIMST akan menerima mereka. Mereka tidak perlu bimbang," katanya, merujuk sungutan yang disuarakan ramai ibu bapa pelajar terbabit, yang kecewa kerana anak mereka tidak mendapat biasiswa JPA, walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Samy Vellu berkata beberapa ibu bapa menghubungi cawangan pendidikan parti itu, Maju Institute for Education Development (MIED), bagi mendapatkan penjelasan tentang status anak mereka, setelah dimaklumkan bahawa rayuan anak mereka ditolak JPA.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Anugerah Merit Presiden kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Kuala Lumpur. Acara tahunan itu dianjurkan MIED.
Samy Vellu berkata MIC telah mengemukakan rayuan oleh 240 pelajar India kepada JPA dan sedang mengumpul maklumat tentang kedudukan mereka.
"Kami dimaklumkan bahawa kebanyakan mereka berjaya dalam rayuan itu, manakala rayuan oleh jumlah yang sama juga, ditolak," katanya.
Bagaimanapun, kata beliau daripada 323 pelajar India yang mendapat biasiswa JPA tahun ini, 171 akan mengikuti program peringkat ijazah di luar negara, manakala selebihnya akan melanjutkan pengajian di lima institusi swasta tempatan, yang diluluskan JPA, termasuk AIMST.
"MIC akan cuba memastikan lebih banyak pelajar mendapat biasiswa JPA," katanya.
(Sumber: Bernama - 6/6/2009 - 13:54pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Tuesday, June 02, 2009
|
]
Pemilihan calon-calon untuk ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program ijazah luar negara adalah dibuat secara adil kepada semua pelajar berkelayakan di negara ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Bagaimanapun, kerajaan tidak berupaya menawarkan biasiswa itu kepada semua pemohon kerana jumlah biasiswa berkenaan terhad kepada 2,000 pelajar dan bilangan itu sahaja sudah melibatkan perbelanjaan berjumlah kira-kita RM740 juta setahun.
Daripada 2,000 tempat yang ditawarkan itu, 20 peratus adalah dikhaskan kepada pelajar genius tanpa mengira kaum, 10 peratus diperuntukkan kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak (lima peratus setiap negeri), 10 peratus lagi kepada kumpulan yang kurang beruntung dan selebihnya kepada pelajar-pelajar mengikut komposisi kaum.
Bercakap pada majlis dialog dengan editor-editor media di pejabatnya di sini petang ini, Mohd Sidek berkata kerajaan juga telah menetapkan panel temuduga tiga anggota terdiri daripada ahli profesional seperti doktor dan jurutera dan bukan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).
Seorang daripada tiga orang panel tersebut terdiri daripada bukan Melayu, tambahnya.
Majlis dialog bulanan itu bertujuan selain memupuk persefahaman dan kerjasama antara media dan perkhidmatan awam, juga memberi kesempatan kepada pihak media mendapatkan penjelasan langsung mengenai isu berkaitan.
Sidek juga berkata bagi memastikan pelajar tajaan JPA berkhidmat dalam sektor awam selepas tamat pengajian, kerajaan baru-baru ini membuat keputusan tidak lagi menimbang permohonan pelajar untuk mendapatkan pelepasan daripada kontrak biasiswa.
Katanya sebelum ini kerajaan memberi pelepasan kepada beberapa pemegang biasiswa yang tidak berminat untuk berkhidmat di sektor awam selepas tamat pengajian kerana faktor seperti gaji yang ditawarkan kurang kompetitif berbanding apa yang ditawarkan oleh sektor swasta.
"Pemegang biasiswa harus menyedari bahawa mereka mesti berkhidmat kepada kerajaan yang telah banyak mengeluarkan perbelanjaan untuk membiayai pelajaran mereka," katanya.
Ketua Setiausaha Negara menjelaskan bahawa kerajaan tidak mampu untuk menawarkan tempat yang lebih banyak bagi biasiswa program ijazah luar negara itu kerana ia akan membabitkan perbelanjaan yang lebih besar.
"Bayangkan jika jumlah ini dinaikkan sekali ganda, perbelanjaan akan juga berganda menjadi kira-kira RM1.5 bilion," katanya.
Lagi pun tempat yang ditawarkan kepada pelajar Malaysia adalah terhad, jelasnya.
Mengenai rungutan bahawa golongan bumiputera mendominasi sektor awam berbanding kaum lain, beliau menjelaskan kerajaan ingin lebih banyak kaum bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam tetapi masalahnya bilangan mereka yang memohon untuk menjadi penjawat awam tidak banyak.
Ada juga pemegang biasiswa JPA daripada kalangan bukan bumiputera yang memohon dibebaskan daripada ikatan kontrak kerana tidak tertarik dengan gaji yang ditawarkan oleh sektor awam, tambahnya.
(Sumber: Bernama - 2/6/2009 - 21:22pm)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, April 10, 2009
|
]
Amanah Raya Berhad (ARB) dengan kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menawarkan biasiswa kepada pelajar Islam yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir dalam bidang Pengajian Islam.
Menurut kenyataan ARB di sini hari ini, permohonan terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang beragama Islam yang memenuhi syarat-syarat kelayakan iaitu memperoleh keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Syariah, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan subjek berkaitan.
Latar belakang dan sosio ekonomi keluarga seperti anak yatim, ibu bapa berpendapatan rendah dan jumlah adik-beradik juga diambil kira dalam proses pemilihan ini.
Pelajar yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan melalui portal web www.amanahraya.com.my atau menghubungi talian 03-20557373/625 untuk maklumat lanjut.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 17 April ini
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, March 27, 2009
|
]
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kuota khas sebanyak 10 peratus atau 200 biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sabah dan Sarawak bermula tahun ini.
Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pencapaian akademik pelajar Bumiputera di kedua-dua negeri itu yang masih ketinggalan berbanding pelajar lain di Semenanjung.
"Pada masa ini, banyak lagi sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan yang lengkap dan keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan pencapaian akademik mereka.
"Sebab itu kerajaan Persekutuan memberi perhatian khusus kepada pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak, dengan memberikan masing-masing peruntukan 100 biasiswa, dalam usaha untuk membetulkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis anugerah cemerlang pelajar di SM Shan Tao, dekat Kota Kinabalu hari ini.
Dompok berkata di bawah skim biasiswa JPA yang baru, 20 peratus atau 400 daripada 2,000 biasiswa yang ditawarkan tahun ini adalah khusus untuk pelajar cemerlang manakala 60 peratus atau 1,200 biasiswa terbuka kepada pelajar lepasan SPM Bumiputera dan bukan Bumiputera di seluruh negara.
Beliau berkata tawaran 10 peratus biasiswa JPA turut dipanjangkan kepada pelajar kurang upaya (OKU) manakala selebihnya diperuntukkan untuk pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, dalam ucapannya, Dompok berkata beliau menyokong agar penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran Matematik dan Sains diteruskan.
Dompok berkata kebanyakan bahan rujukan dan maklumat termasuk di internet untuk kedua-dua mata pelajaran itu adalah dalam bahasa Inggeris.
"Saya fikir penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek itu tidak menjejaskan penguasaan kita dalam bahasa Malaysia malah membantu kita berkomunikasi dengan baik terutama apabila menganjurkan atau mengikuti program peringkat antarabangsa," katanya.
(Sumber: Bernama - 27/03/2009 - 17:16PM)
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Tuesday, March 17, 2009
|
]
Bank Negara Malaysia (BNM) mempelawa calon-calon yang berkelayakan bagi memohon Biasiswa Bank Negara Malaysia untuk Sesi Akademik 2009/2010 bagi program-program berikut:
- Biasiswa Pra-Universiti & Program Persediaan Luar Negara
- Biasiswa Ijazah Pertama
- Sarjana / Kedoktoran (PhD)
Berikut adalah makluman lanjut berkaitan syarat kelayakan, cara memohon dan tarikh akhir permohonan bagi biasiswa-biasiswa yang ditawarkan.
Anugerah Biasiswa ini khusus bagi mengikuti pengajian dalam bidang:
- Ekonomi
- Kejuruteraan Kewangan
- Perakaunan
- Sains Aktuari
- Perbankan dan Kewangan
- Kewangan Korporat
- Perbankan dan Ekonomi Islam
- Undang-Undang
- Undang-Undang Syariah
- Teknologi Maklumat
- Matematik
A. BIASISWA PRA-UNIVERSITI, PROGRAM PERSEDIAAN LUAR NEGARA
( Permohonan secara dalam talian akan ditutup pada hari Jumaat, 20 Mac 2009 )
PROGRAM DITAJA: A-LEVEL, AMERICAN FOUNDATION PROGRAM, AUSTRALIAN MATRICULATION, INTERNATIONAL BACCALAUREATE DIPLOMA PROGRAMME
Kelayakan Minimum
- Lulus peperiksaan SPM 2008 dengan mendapat sekurang-kurangnya 8 1A
- Berumur tidak melebihi 19 tahun pada 1 Julai 2009
Kelayakan Tambahan
- Penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dari segi penulisan dan lisan
- Fleksibel, versatil dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi
- Cemerlang di dalam aktiviti ko-kurikulum dan sukan
Tajaan ke peringkat Ijazah Pertama (Kepujian) di universiti-universiti luar negara akan diberikan sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Klik** Terus ke Laman Permohonan Biasiswa Pra Universiti & Program Luar Negara **Klik
B. BIASISWA IJAZAH PERTAMA (KEPUJIAN)
( Permohonan secara dalam talian akan dibuka mulai 23 Mac 2009 dan akan ditutup pada hari Jumaat, 10 April 2009)
Kelayakan Minimum
Lulus dan memenuhi salah satu kriteria di bawah:
- STPM / A-Level – Mendapat sekurang-kurangnya 2 A dan 1 B ; atau
- Diploma / Matrikulasi – Mendapat Purata Agregat Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) sekurang-kurangnya 3.50 ; atau
- Australian Matriculation – Mendapat sekurang-kurangnya TER 85% ; atau
- American Foundation Program – Mendapat sekurang-kurangnya 1200 bagi SAT1 ;
- Bagi calon-calon yang sedang menuntut di peringkat Ijazah Pertama – Mendapat sekurang-kurangnya CGPA 3.50 dalam peperiksaan yang terbaru.
dan
- Lulus peperiksaan SPM dengan kepujian dalam matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
- Berumur tidak melebihi 25 tahun pada 1 Julai 2009
- Telah atau akan ditawarkan dalam tahun 2009 untuk mengikuti kursus Ijazah Pertama (Kepujian) di universiti-universiti yang diiktiraf sama ada di dalam atau luar negara
Kelayakan Tambahan
- Penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dari segi penulisan dan lisan
- Fleksibel, versatil dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi
- Cemerlang di dalam aktiviti ko-kurikulum dan sukan
C. SARJANA / KEDOKTORAN (PhD)
( Permohonan secara dalam talian akan ditutup pada hari Khamis, 30 April 2009)
Kelayakan Minimum
- Mendapat keputusan Kelas Pertama Ijazah Pertama (Kepujian) / Ijazah Sarjana atau yang setaraf daripada universiti-universiti diiktiraf di dalam atau luar negara
- Mengambil kursus yang memberi nilai tambah kepada fungsi dan peranan Bank Negara Malaysia
- Berumur tidak melebihi 30 tahun bagi Ijazah Sarjana dan 35 tahun bagi Ijazah Kedoktoran pada 1 Julai 2009
dan
- Lulus peperiksaan SPM dengan kepujian dalam matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
- Telah atau akan ditawarkan dalam tahun 2009 untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana / Kedoktoran di universiti-universiti yang diiktiraf sama ada di dalam atau luar negara.
Mereka yang memenuhi kriteria dikehendaki menghantar permohonan bertulis kepada Seksyen Biasiswa, Bank Negara Malaysia dan melampirkan dokumen-dokumen berikut:
- Butir-butir diri
- Salinan keputusan yang disahkan bagi Ijazah Pertama / Ijazah Sarjana
- Surat sokongan daripada Universiti-universiti terdahulu atau terkini
- Satu (1) muka surat ringkasan pengkhususan yang akan diambil
Calon-calon yang sedang menuntut di peringkat Ijazah Sarjana atau Kedoktoran (PhD) di universiti-universiti yang diiktiraf sama ada di dalam atau di luar negara juga adalah layak untuk memohon.
TARIKH TUTUP PERMOHONAN
- Prauniversiti : 7 hari selepas keputusan SPM 2008 diumumkan (20 Mac 2009)
- Ijazah Pertama : 10 April 2009
- Ijazah Lanjutan : 30 April 2009
PAUTAN LAMAN PERMOHONAN ONLINE
Nota: Hanya Calon-Calon Yang Disenarai Pendek Sahaja Akan Dihubungi.
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Saturday, March 14, 2009
|
]

Yayasan Tenaga Nasional (YTN) mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk memohon biasiswa bagi mengikuti
Program Universiti Luar Negara dan
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi kemasukan tahun 2009.
Secara amnya, ianya terbuka untuk
lepasan SPM dan STPM. Awas: Tarikh Tutup Permohonan ialah
22 Mac, 2009. Berikut adalah makluman lanjut bidang pengajian, syarat kelayakan dan cara membuat permohonan.
A. BIDANG PENGAJIAN
1. Program Universiti Luar Negara
- Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Perakaunan.
2. Program Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
(i) Asas Kejuruteraan
- Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Sains Komputer.
(ii) Asas Bukan Kejuruteraan
- Teknologi Maklumat, Perakaunan, Kewangan, Pengajian Bisnes.
B. SYARAT AM
1. Program Universiti Luar Negara
- Berumur tidak melebihi 19 tahun bagi calon lepasan SPM dan 21 tahun bagi calon lepasan STPM pada tahun 2009.
- Aktif dalam kegiatan kokurikulum.
- Mempunyai keperibadian dan ciri kepimpinan yang tinggi.
- Tiada adik beradik yang sedang menerima biasasiwa YTN.
2. Program Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
- Berumur tidak melebihi 19 tahun pada tahun 2009.
- Aktif dalam kegiatan kokurikulum, mempunyai keperibadian dan ciri kepimpinan yang tinggi serta tiada adik beradik yang sedang menerima biasiswa YTN.
C. SYARAT & KELAYAKAN AKADEMIK
C.1. PROGRAM UNIVERSITI LUAR NEGARA
C.1.1 Bagi Calon Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Lulus peperiksaan SPM 2008 dengan mencapai sekurang-kurangnya 4B dalam subjek Bahasa Inggeris (GCE-O) dan memperolehi 1A/2A serta mendapat agregat tidak melebihi 10 (kurang atau sama) dalam 8 subjek mengikut bidang pengajian seperti berikut :
Kejuruteraan
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Sejarah
- Matematik
- Matematik Tambahan
- Fizik
- Kimia
- Pendidikan Moral / Pendidikan Islam / Bahasa Arab Tinggi / Bahasa Arab (Komunikasi) /Tasawwur Islam / Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah / Pendidikan Syariah Islamiah.
Perakaunan
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Sejarah
- Matematik
- 3 subjek pilihan dari berikut :- Matematik Tambahan / Fizik / Kimia / Prinsip Akaun / Perdagangan / Ekonomi Asas / Geografi
- dan 1 subjek pilihan dari berikut :- Pendidikan Moral / Pendidikan Islam / Bahasa Arab Tinggi / Bahasa Arab (Komunikasi) /Tasawwur Islam / Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah / Pendidikan Syariah Islamiah.
** Calon-calon yang terpilih akan mengikuti kursus persediaan dalam negara.
C.1.2 Bagi Calon Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
Lulus STPM dengan mendapat gred A (NGMP 4.00) dalam 4 subjek mengikut bidang pengajian seperti berikut :-
Kejuruteraan
- Pengajian Am
- Fizik
- Kimia
- Matematik T / Matematik Lanjutan T
Perakaunan
- Pengajian Am
- Perakaunan
- 2 subjek lain
Serta lulus SPM dengan mencapai sekurang-kurangnya 4B dalam subjek Bahasa Inggeris (GCE-O) dan memperolehi 1A/2A serta mendapat agregat tidak melebihi 5 (kurang atau sama) dalam 4 subjek berikut:-
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Sejarah
- Pendidikan Moral / Pendidikan Islam / Bahasa Arab Tinggi / Bahasa Arab (Komunikasi) /Tasawwur Islam / Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah / Pendidikan Syariah Islamiah.
C.2 PROGRAM UNIVERSITI TENAGA NASIONAL (UNITEN)
Lulus SPM 2008 dengan memperolehi 1A/2A dalam subjek-subjek Bahasa Inggeris dan Matematik serta mendapat agregat tidak melebihi 12 (kurang atau sama) dalam 6 subjek mengikut bidang pengajian seperti berikut:-
Kejuruteraan
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Matematik
- Matematik Tambahan
- Fizik
- Kimia
Bukan Kejuruteraan
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Matematik
- dan 3 subjek pilihan dari berikut:- Matematik Tambahan / Fizik / Kimia / Prinsip Akaun / Perdagangan / Ekonomi Asas / Sejarah / Geografi / Pendidikan Moral / Pendidikan Islam / Bahasa Arab Tinggi / Bahasa Arab (Komunikasi) /Tasawwur Islam / Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah / Pendidikan Syariah Islamiah.
D. CARA MEMOHON
Permohonan hendaklah dibuat secara ONLINE melalui alamat laman web seperti berikut:
(klik->) http://yayasan.tnb.com.my/sam (<-klik)
E. TARIKH TUTUP PERMOHONAN
Tarikh tutup permohonan adalah pada 22 Mac 2009.
Catatan Tambahan: - Permohonan yang tidak lengkap atau lewat diterima tidak akan dipertimbangkan.
- Bilangan biasiswa adalah terhad. Hanya calon-calon yang disenaraipendek akan dipanggil untuk temuduga.
(Sumber : iklan YTN dlm Berita Harian - 14/03/2009).
Semoga berjaya.
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Monday, March 09, 2009
|
]

Pernah dengar Biasiswa Telekom Malaysia? Dahulu PakTeh ada muatkan iklan
Biasiswa Kecil Yayasan TM untuk lepasan UPSR dan PMR 2008. Kini untuk lepasan SPM 2008 pula.
Yayasan TM mempelawa pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang layak dengan mendapat kelulusan akademik yang cemerlang, mempunyai personaliti yang baik, aktif dalam kegiatan kokurikulum serta berwawasan tinggi untuk memohon Biasiswa Yayasan TM bagi pengajian di Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara.
Biasiswa yang ditawarkan adalah dalam bidang/kursus Kejuruteraan, Pengurusan dan Teknologi Maklumat di peringkat pengajian berikut:
- Biasiswa Persediaan Luar Negara
- Biasiswa Pra Universiti / Program Alpha di Universiti Multimedia (MMU)
- Biasiswa Diploma di Universiti Multimedia (MMU)
- Biasiswa Ijazah Pertama di Universiti Multimedia (MMU) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Kelayakan, Syarat & Cara Membuat Permohonan seperti berikut:
1. Biasiswa Persediaan ke Luar Negara
- Terbuka kepada pelajar lepasan SPM 2008 sahaja.
- Calon hendaklah memperoleh sekurang-kurangnya 8 1A dalam keputusan peperiksaan SPM 2008 termasuk 5 subjek wajib mengikut kursus yang dipohon.
2. Biasiswa Pra Universiti di Universiti Multimedia (MMU)
- Terbuka kepada pelajar lepasan SPM 2008 yang ingin mengikuti pengajian di MMU.
- Memperoleh keputusan SPM 2008 sekurang-kurangnya 2A 3B dalam mana-mana 5 subjek wajib mengikut kursus yang dipohon.
3. Biasiswa Diploma di Universiti Multimedia (MMU)
- Terbuka kepada pelajar lepasan SPM 2008 atau telah mendaftar/sedang mengikuti pengajian di MMU.
- Memperoleh keputusan SPM 2008 sekurang-kurangnya 4B dalam mana-mana 5 subjek wajib mengikut kursus yang dipohon atau PNGK/CGPA 3.00
4. Biasiswa Ijazah Pertama di Universiti Multimedia (MMU) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
- Terbuka kepada pelajar lepasan diploma, matrikulasi, Alfa (Asas) MMU, STPM atau yang setaraf dengannya.
- Memperoleh minima PNGK/CGPA 3.30. Lulusan STPM juga mesti memperoleh Gred A dalam subjek Pengajian Am.
- Berumur tidak melebihi 22 tahun bagi lulusan Diploma/STPM dan 20 tahun bagi lulusan matrikulasi/ Alfa MMU.
Perhatian: Sila gunakan keputusan PNGK/CGPA terkini sekiranya keputusan akhir pengajian semasa belum diperolehi.
Subjek Wajib Mengikut Bidang/Kursus Pengajian
A. Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat
- Subjek wajib : Matematik Moden, Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia/matapelajaran Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.
B. Pengurusan
- Subjek wajib : Matematik, Bahasa Inggeris, Sains/Kimia/Fizik, Matematik Tambahan, Perdagangan/Ekonomi Asas/ Sejarah/ Prinsip Akaun/ Geografi.
Syarat Memohon
- Permohonan hanya boleh dibuat secara online dengan melayari laman web TM di alamat http://ytm.tm.com.my
- Calon lepasan SPM/STPM 2008 hanya boleh memohon selepas keputusan diumumkan.
- Calon hanya boleh mengemukakan satu permohonan sahaja.
Sebelum mengisi borang permohonan, calon dikehendaki membaca arahan yang terdapat di muka utama aplikasi online.
Tarikh Tutup Permohonan
1. Biasiswa Persediaan Ke Luar Negara / Pra Universiti di MMU - 22 Mac 2009.
2. Biasiswa Ijazah Pertama di MMU dan IPTA - 31 Mac 2009.
Calon akan dimaklumkan sekiranya berjaya ke proses pemilihan seterusnya manakala permohonan yang tiada jawapan selepas tempoh 3 bulan dari tarikh tutup permohonan hendaklah dianggap sebagai tidak berjaya.
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Sunday, March 01, 2009
|
]
IKLAN
PERMOHONAN TAJAAN JPA DAN MARA
UNTUK LEPASAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2008
DI BAWAH PROGRAM IJAZAH LUAR NEGARA 2009
1. Permohonan adalah dipelawa daripada calon-calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (
SPM)
2008 untuk mendapatkan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (
JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (
MARA) bagi mengikuti pengajian di bawah Program Ijazah Luar Negara tahun 2009.
2. Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi atas talian (on-line application) melalui laman web http://www.jpa.gov.my mulai tarikh keputusan SPM 2008 diumumkan secara rasmi.
3. Tarikh tutup permohonan tajaan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2009 adalah 7 hari selepas permohonan dibuka.
4. Maklumat lanjut mengenai program/bidang kursus, syarat-syarat permohonan dan cara memohon boleh diperoleh dengan melayari laman web http://www.jpa.gov.my mulai tarikh iklan ini disiarkan. Calon hendaklah membaca dan memahami kesemua maklumat mengenai program/bidang kursus, syarat-syarat permohonan dan cara memohon sebelum membuat permohonan.
5. Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor di hospital-hospital Kerajaan yang terpilih di seluruh negara akan diadakan selama 5 hari mulai 23 sehingga 27 Mac 2009. Program ini diwajibkan kepada semua calon yang memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di bawah tajaan JPA.
6. Calon-calon dikehendaki menyemak maklumat terkini mengenai permohonan melalui laman web http://www.jpa.gov.my:
- Keputusan panggilan bagi mengikuti program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor : 18 Mac 2009
- Keputusan panggilan temuduga JPA : 25 Mac 2009
7. Temuduga JPA akan dijalankan di beberapa pusat di seluruh negara mulai 31 Mac hingga 3 April 2009. Bagi calon yang terpilih untuk menghadiri temuduga diwajibkan untuk membawa Borang Pengesahan Pendapatan Bulanan Keluarga yang telah disahkan dan dokumen-dokumen lain yang ditetapkan.
8. Pelajar-pelajar yang memohon tajaan MARA boleh menyemak maklumat terkini mengenai permohonan melalui laman web http://www.mara.gov.my :
- Keputusan panggilan dan maklumat temuduga MARA : 27 Mac 2009
9. Pertanyaan mengenai masalah teknikal semasa mengisi borang permohonan atas talian boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-88853550 atau 03-88853559. Talian-talian ini dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam mulai tarikh keputusan SPM 2008 diumumkan secara rasmi.
10. Pertanyaan mengenai program tajaan JPA boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-88853892 (10 talian), pada setiap hari bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel di alamat piln2009@jpa.gov.my.
11. Pertanyaan mengenai program tajaan MARA boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA di talian 03-26915111 (sambungan 1133, 1109, 1120, 3623, 3624, 3629, 3620 dan 3619) pada setiap hari bekerja mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau emel di alamat webmaster@mara.gov.my.
12. Calon-calon hendaklah sentiasa melayari laman web http://www.jpa.gov.my dan laman web http://www.mara.gov.my dari semasa ke semasa untuk mengetahui perkembangan dan pengumuman terkini mengenai permohonan PILN 2009.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Syarat-syarat permohonan (Umum dan Khusus), sila rujuk/muat turun/cetak iklan sebenar (fail PDF) sepenuhnya di sini.<- klik :: Semoga Berjaya ::
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...
[Friday, February 27, 2009
|
]
Kerajaan Jepun menawarkan biasiswa kepada rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran ke negara matahari terbit itu untuk program Sarjana Muda dan Sarjana bagi
tahun akademik 2010.
Menurut kenyataan Kedutaan Jepun di sini, biasiswa itu berbentuk
elaun bulanan sebanyak 134,000 Yen (
RM4,500) untuk program pengajian
Sarjana Muda dan elaun bulanan sebanyak 172,000 Yen (
RM6,000) sebulan bagi kursus
Sarjana.
Menurut kenyataan itu lagi kursus Sarjana Muda adalah bagi tempoh lima hingga tujuh tahun, bermula April 2010 manakala peringkat Sarjana antara dua tahun dan setahun setengah bermula April atau Oktober 2010.
Biasiswa itu juga meliputi tiket penerbangan pergi dan balik secara percuma sepanjang tempoh pengajian, manakala yuran peperiksaan, kemasukan universiti, matrikulasi dan tuisyen dikecualikan.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang tawaran di Kedutaan Jepun di Jalan Tun Razak di sini, atau melayari laman web kedutaan di www.my.emb-japan.go.jp bagi mendapatkan maklumat lanjut.
(Sumber: Bernama - 27/02/2009 - 20:23 PM)
Kepada sesiapa yang berminat, cubalah. Hebat tawaran tu.. Semoga berjaya.
Baca Selengkapnya (Read More)...
Ringkaskan (Summary only)...