Rentas Jawa:
Tarikh: 3 – 9 Mei 2014
Jumlah Peserta: 7 orang
1. Penulis - Ketua dan Pemandu Arah
2. MS - Persiapan awal , pemetaan dan pemandu arah
3. AJ - Makanan dan segala hal pembayaran
4. Nazli - Logistik di Yogyakarta, Indonesia
5. Madee Rahman - Penginapan dan Jurufoto
6. Farid Karudin - Penginapan
7. Along Sahar - Hiburan
Idea untuk membuat kayuhan merentas Pulau Jawa Indonesia ini datangnya dari MS. Memanglah MS dan saya selalu membuat kayuhan yang berbentuk ekspedisi. Kayuhan jarak jauh yang santai yang sesuai dengan lelaki seusia kami. Kami berdua juga pernah membuat kayuhan merentas Pulau Sumatera Indonesia sekitar hujung 2012 dahulu.
Cuma kali ini, saya berkeras untuk menambah bilangan ahli kayuhan memandangkan kayuhan-kayuhan berdua yang pernah kami lakukan dahulu ada kalanya agak menyeramkan terutama ketika menghampiri kawasan hutan di sebelah petang.
Saya war-warkan di status FB saya tentang kayuhan yang bakal kami buat dan hasilnya, 7 orang yang berbesar hati untuk turut serta termasuk MS dan saya.
Kesemua ahli peserta tiba di Lapanganterbang Yogyakarta Indonesia. Dari kiri, Nazli, AJ, saya, Madee, MS, Farid dan Along.
Di atas kertas, memang kami ingin berkayuh dari Yogyakarta di hari pertama, tetapi di sebabkan kekangan masa kerana melibatkan penerbangan, kami menukar perancangan awal kepada menyewa lori untuk membawa kami dan basikal ke pekan Ambarawa, kira-kira 80km ke utara Yogyakarta.
Proses memuatkan basikal ke pick-up utk di bawa ke bandar peranginan yang dingin di Ambarawa sejauh 80km.
Kayuhan pertama kami dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh AJ. Keselamatan merupakan perkara paling pokok bagi kayuhan kami ini. Maka itu sebabnya, kayuhan hari pertama yang sepatutnya dari Ambarawa ke Bandar Semarang kami batalkan yang hanya baru sahaja bermula 3 km kerana terpaksa menurun bukit yang curam dalam suasana yang terlalu gelap. Ia diburukkan lagi dengan keadaan permukaan jalan yang tidak baik dan berlobang-lobang.
Walaupun belum berpeluh, kami terpaksa batalkan kayuhan hari pertama kerana faktor keselamatan. Kelihatan kami di hotel penginapan yang kos penginapan sekitar RM30 di bahagi dua orang.
Sepanjang perjalanan juga, kami agak bernasib baik kerana kerap dibantu oleh orang-orang tempatan yang rata-ratanya amat ramah dengan kami.
3 orang anak tempatan yang sedang leka menunggang basikal telah membantu kami untuk mencari pantai Semarang. Jelajah kami bermula di pantai Semarang di utara pulau Jawa dan berakhir di pantai Pacitan, di selatan pulau Jawa.
Antara perkara yang sangat membantu kami sewaktu berkayuh adalah begitu banyak kedai-kedai makanan halal di sini. Kami tiada langsung berdepan dengan masalah bekalan makanan seperti semasa MS, AJ dan saya membuat ekspedisi di selatan Thailand dahulu.
Makanan di Indonesia ini amat murah jika dibandingkan di Malaysia. Kami dapat berjimat di sudut itu. Setiap kayuhan jelajah yang telah kami buat dan termasuk yang ini, kami mengamalkan konsep “backpacker”. Maksudnya, berjimat ke tahap yang minima. Seboleh-bolehnya, kos setiap orang adalah tidak melebihi rm50 sehari semasa berekspedisi. Itu sebabnya kami tidak kisah untuk makan di mana sahaja asalkan makanannya kelihatan bersih.
Kayuhan jarak jauh ni selalunya kita tidak boleh lari dari masalah teknikal. Antaranya seperti kebocoran tayar. Kami saling membantu untuk mengatasi masalah ini. Untuk ekspedisi ini, kami telah bersepakat agar setiap ahli membawa sekurang-kurangnya 2 tiub sebagai bekalan.
Hujan merupakan antara cabaran yang kerap terjadi sewaktu berekspedisi. Persiapan awal untuk membawa bersama baju hujan sangat membantu terutamanya dalam memastikan beg pakaian tidak basah.
Gambar-gambar ketika kami berkayuh:
Indonesia masih banyak lagi kawasan asli yang cantik permandangannya. Kadang-kadang, kami boleh berhenti secara tersendiri kerana kagum dengan kecantikan permandangan di kawasan-kawasan kayuhan.
Berbanding dgn ekspedisi yang terdahulu, kali ini, saya lebih banyak menggunakan teknologi dalam membuat pemanduan arah. GPS sangat berguna walaupun kadang-kadang ia membuatkan kita lebih sesat kerana tiba-tiba hati kurang mempercayainya dan lebih bertanya dengan penduduk di sana. Nasihat saya, sila lah mempercayai teknologi ini.
Pulau Jawa merupakan sebuah pulau yang terdapat banyak gunung ganang. Antara yang terkenal adalah Merapi. Kebetulan, ketika ekspedisi ini berlangsung, Merapi berada pada tahap berjaga-jaga dan sentiasa mengeluarkan asap tebal. Untuk mengatasi masalah itu, kami telah membuat lencongan terhadap laluan asal kami walaupun ada penambahan yang besar ke atas jarak kayuhan. Pihak berkuasa juga telah lama menbangunkan jalan-jalan alternatif untuk lari dari kawasan yang penuh dakian yang tinggi, seperti contoh gambar di atas.
Salah satu acara yang paling menarik dalam ekspedisi Rentas Jawa ini adalah “Jejak Kasih”. Destinasi terakhir kami adalah Pacitan, pantai selatan pulau Jawa yang berhadapan dengan Lautan Hindi. Pacitan merupakan kampong halaman kelahiran arwah ayah saya, Taib bin Hasmadi. Beliau merupakan anak sulung dari 16 adik beradik. Sekarang ini, yang masih hidup hanyalah 3 orang termasuk Pak Rustam yang menetap di Kampung Pringkuku, Pacitan. Dua orang lain makcik saya menetap di pulau Sumatera.
Kehadiran saya ke Pacitan memang ditunggu oleh sanak saudara di sana kerana saya merupakan saudara yang kedua dari anak Taib yang akan di tiba. Dalam lain perkataan, inilah kali pertama saya akan melihat kampong halaman arwah ayah saya. Bagaimanalah agaknya penerimaan mereka terhadap kami. Itulah yang sentiasa bermain di minda saya kebelakangan ini. Jurufoto ekspedisi, saudara Madee memang telah bersedia untuk merakamkan segala peristiwa jejak kasih nanti.
Kami agak tergamam apabila menghampiri simpang 3 antara Pringkuku dan Pacitan. Tiba-tiba kami di dekati oleh 2 warga tempatan yang bertanya, adakah kami dari Malaysia. Mereka memang menanti kami rupanya. Di gambar adalah Pak Markom dan Slamet. Mereka berdua adalah sepupu saya.
Mereka mencadangkan agar kami bermalam sahaja di rumah mereka dan menamatkan ekspedisi merentas Jawa pada keesokan harinya. Gambar di bawah menerangkan segala-galanya.
Kami bergambar sebentar di kawasan yang dinamakan Pacitan Indah. Satu tebing tinggi di mana kita boleh melihat keseluruhan pantai Teluk Pacitan dan bandarnya di bawah. Hati meronta-ronta untuk menamatkan ekspedisi hari ini juga, tetapi apabila di terangkan tentang betapa tingginya bukit yang perlu kami daki semula untuk bermalam, baru kami faham .
Di gambar, kelihatan Farid bersalaman dengan makcik saya, iaitu isteri kepada Pak Rustam.
Inilah kampong saya. Saya disambut dengan meriah sekali. Mereka sanggup memberhentikan kerja yang sedang dilakukan dan datang ke masjid untuk bertemu dengan sepupu yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini. Rasa terharu dan sangat berterima kasih kepada semua rakan ekspedisi yang sanggup turut serta dalam program Jejak Kasih ini. Kelihatan di gambar adalah satu-satunya bapa saudara saya yang masih hidup iaitu Pak Rustam. Beliau adalah anak yang bongsu manakala arwah bapa saya adalah anak yang sulung. Tiba-tiba ramai yang memanggil saya “abang” walaupun pada hakikatnya, mereka lebih tua dari segi usia berbanding saya.
Malam, ramai lagi yang datang ke masjid itu untuk bertemu dgn saya. Seorang tukang urut tradisional dijemput untuk mengurut beberapa rakan ekspedisi yang belum reda kekejangannya.
Gambar-gambar di bawah merupakan saat-saat untuk berpisah. Hati terasa seperti melayang-layang, tersentuh apabila dibisikkan ke telinga oleh Pak Rustam dengan perkataan yang begitu pendek, tetapi amat bermakna; “kembali ya nanti”. Dari jauh, saya tenung muka sepupu-sepupu saya agar saya tidak lupa iras wajah mereka.
Kanak-kanak sekolah turut sama beratur bagi menghormati kami untuk meneruskan ekspedisi.
Kawasan Pringkuku ini penuh dengan dakian yang melebihi 15 darjah kecerunannya. Simpati yang amat tinggi kami terhadap Madee yang menggunakan basikal lumba ber”cogset” 11-25.
Kami menuruni bukit yang amat curam sejauh 9km sebelum kami terhenti secara tiba-tiba apabila terlihat laut di depan. Tergamam rasanya apabila tiba-tiba kami akan menamatkan ekspedisi merentas pulau Jawa ini. Bergambar seketika sebelum meluncur turun untuk menamatkan ekspedisi. Masing-masing tersenyum lebar kerana berjaya akhirnya setelah menempuh pelbagai rintangan. Haslan membisikkan sesuatu mengenai Nazli yang hanya berjaya setakat Bandar Solo kerana masalah kekejangan otot. Hanya kami berenam yang tamat.
Terpegun dan tergamam bila tiba-tiba kami dihidangkan dengan laut yang begitu cantik. Pantai Srau namanya. Di hadapannya adalah lautan Hindi. Maka, ombak yang memecah ke pantai adalah luar biasa besarnya berbanding pantai Port Dickson di rumah saya. Aksi-aksi dalam gambar-gambar di bawah adalah aksi spontan kami akibat terpukau dengan panorama di depan mata kami.
Kami mengambil gambar kumpulan sebagai menandakan tamatnya Ekspedisi Rentas Jawa. Jurufoto ketika ini adalah sepupu saya, Slamet yang merangkap krew sokongan.
Disebabkan jarak kayuhan hari ini tidak melebihi 40km sahaja, kami menghabiskan masa agak lama di Pantai Srau. Kecantikannya seolah-olah hadiah atas kejayaan kami menamatkan ekspedisi ini.
Walaupun saya tinggal di Port Dickson dan hampir setiap hari melihat laut, kecantikan pantai Srau menyebabkan saya dan yang lain tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda dan melupakan buat seketika tentang ekspedisi kami.
Kayuhan untuk keluar dari Pantai Srau merupakan klimak kayuhan ekspedisi kami. Tergamam apabila diberitahu oleh Slamet, kami perlu patah balik mengikut jalan yang kami turuni tadi. Sejujurnya, kami tidak bersedia dari segi mental untuk berpatah balik. Tapi, apakan daya sebab itu sahaja pilihan yang ada di saat itu.
Dakian semula sejauh 9 km adalah yang paling jerih sekali kerana peralatan “Garmin” di basikal Madee tidak menunjukkan darjah kecerunan di bawah 15 sepanjang 9km itu. Rasanya lebih 2 liter air yang saya minum sepanjang 9km itu.
Kami bermalam di Bandar Pacitan untuk merehatkan badan yang letih. Keesokannya, keputusan di ambil untuk menyewa kenderaan bagi membawa kami dan basikal ke Yogyakarta.
Kos untuk menyewa lori dan van tersebut adalah RM60 seorang dari Pacitan ke Yogyakarta. Amat berbaloi kerana sepanjang perjalanan, kami dapati keadaan jalan tidak sesuai untuk aktiviti berbasikal.
Kami bermalam di pejabat Nazli di Yogyakarta dan pulang ke Malaysia keesokan petangnya.
Kami merupakan pengguna terawal KLIA2. Rasa bangga itu terbit ketika kami melihat pesawat kami menuju ke arah tempat yang tidak pernah kami pergi untuk berhenti. Tetapi, sejujurnya, memang kami amat menyampah dengan sistem yang seolah-olah kurang bersedia untuk beroperasi penuh.
Pelukan terakhir sebelum sibuk dengan keluarga masing-masing yang telah menanti di luar. Seperti biasa, tiada di gambar adalah Madee yang merupakan jurufoto ekspedisi.
Kepada semua yang terlibat dengan ekspedisi merentas Jawa, saya dan Haslan ingin mengucapkan terima kasih atas semangat kerjasama yang diberi selama berekspedisi.
Semoga berjumpa lagi di ekspedisi seterusnya hujung tahun ini.
Ekspedisi Rentas Jawa melabuhkan tirai..
Penulis:
Ashri Taib aka MK
Ketua Ekspedisi dan Pandu Arah
p/s:
Gambar 2 perancang utama ekspedisi Rentas Jawa. Semoga berjumpa di ekspedisi yang akan datang pada bulan Disember 2014 ini (mungkin Keliling Bali dan Lombok: 400km + 300km)...assalamualaikum...