"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api Neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (An-Nisa' [4] : 56)
Allah menjelaskan dalam ayat di atas bahawa sesiapa yang kufur akan perintahNya, akan dibakar dalam api neraka. Kulitnya akan hangus terbakar dan kemudiannya akan diganti dengan kulit baru. Seterusnya akan terbakar hangus dan diganti pula kulit baru dan proses ini berlaku silih berganti supaya orang itu terus menerus merasai azab yang amat pedih. Ini kerana deria sakit seseorang berada pada kulit seseorang.
Mengapa Allah memberitahu kita akan hal ini? Mengapa disebutkan KULIT tidak tulang atau yang lainnya? Mari kita lihat kenyataan di bawah:
Menurut Dr Farhan Hadi Mohd Taib dalam Majalah Solusi 25; Pakar sains kini telah mendapati daripada hasil kajian mereka bahawa struktur kulit manusia mempunyai bukan sahaja lapisan lemak dan kalenjar peluh bahkan mereka menemui urat-urat saraf yang bertanggungjawab mengesan segala deria pada kulit seperti sakit, panas, sejuk dan lain-lain. Sedangkan sebelum ini umum mempercayai bahawa semua anggota badan termasuk tulang dan otot mempunyai deria rasa.
Struktur kulit manusia adalah seperti dalam rajah di bawah:
Pada umumnya beberapa rangsangan deria yang penting pada manusia ialah deria sentuh, deria sakit dan deria haba.
Peringkat luka terbakar pula terbahagi kepada 3:
Peringkat pertama (First degree burn)
Ini hanya melibatkan lapisan epidermis (lapisan luar) dan menyebabkan kesakitan dan bengkak yang sederhana.
Peringkat Kedua (Second degree burn)
Kulit melecur hingga ke lapisan dermis dan dermis terpisah daripada lapisan epidermis dan cecair badan akan berkumpul antara dua lapisan itu. Pesakit akan mengalami kesakitan yang teramat sangat kerana kulitnya melecur begitu teruk. Kulit ini akan sembuh setelah 14 hari kecederaan berlaku.
Peringkat ketiga (Third degree burn)
Pada peringkat ini keseluruhan kulit hangus dan kecederaan melibatkan otot-otot dan tulang temulang di bawahnya. Kulit akan hilang kekenyalan dan menjadi keras dan kering. Dalam situasi ini, bahagian yang keseluruhan kulit terbakar itu tidak lagi berasa sakit kerana urat-urat saraf yang menghantar isyarat sakit telah musnah sama sekali. Gambaran luka terbakar mengikut ketiga-tiga peringkat adalah seperti dalam gambar di bawah:
Jadi jelaslah kepada kita mengapa Allah menyatakan bahawa setiap kali kulit terbakar hangus maka Allah akan gantikan dengan yang baru. Ini supaya kesakitan akan terus menerus dirasakan. Al-Quran tidak hanya menceritakan tentang lokasi deria sakit di kulit, bahkan menceritakan dengan tepatnya tentang jenis melecur yang memusnahkan deria sakit pada manusia.