Showing posts with label Surah As-Syura. Show all posts
Showing posts with label Surah As-Syura. Show all posts

Thursday, February 4, 2010

Suasana Alam Akhirat (45)- Surah As-Syura (Musyawwarah) - Sambungan


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini sambung tulis tentang suasana pada hari akhirat dalam surah As-Syura iaitu surah ke 42 dalam al-Quran Al-Karim.

"Dan sesiapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolongnya dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?" (44)


Allah menerangkan bahawa orang-orang yang yang dibiarkan sesat oleh Allah tidak akan mendapat petunjuk. Tiada siapa yang boleh menolong kecuali Allah; dan mereka yang zalim ini akan disiksa pada hati kiamat dengan siksaan yang pedih; dan nanti pada hari kiamat mereka ini akan bertanya: Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?". Orang-orang ini akan kecewa kerana persediaan diri mereka yang buruk semasa berada di dunia. Mereka melibatkan diri dengan dosa dan maksiat. Oleh itu tiadalah mereka mendapat hidayah. Itulah yang dikatakan mereka dibiarkan tersesat. Ayat yang sama maksudnya lihat ayat 17 surah al-Kahfi: Sesiapa yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya. (al-Kahf [18] : 17).

Seterusnya Allah menyebutkan betapa ingin orang-orang yang kufur ini jika mereka dapat kembali ke dunia kerana mereka tidak tahan menanggung siksaan yang pedih. Keadaan ini juga Allah ceritakan dalam surah al-An'am ayat 27 dan 28:"Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi Neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami dan menjadilah kami daripada golongan yang beriman. (27) (Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta. (al-An'am [6] ayat 27 dan28)


"Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada Neraka dalam keadaan tunduk membisu dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke Neraka itu) hanya dengan mengerling (kerana gerun takut) dan orang-orang yang beriman pula berkata: Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih perbuatan derhaka di dunia). Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal". (45)

Allah mengambarkan keadaan orang-orang yang berbuat zalim lantaran memilih kesesatan apabila mereka dibawa ke neraka dan dipalingkan muka mereka ke arah neraka bagi melihat keadaan api yang menyala-nyala. Apa yang dapat mereka lakukan hanyalah tunduk membisu dalam keadaan yang amat hina dan malu serta menginsafi apa yang telah mereka lakukan semasa di dunia. Hanya sesekali mereka mengerling untuk melihat keadaan api neraka kerana mereka merasa gerun dan takut.


Orang-orang yang beriman pula akan menempelak orang-orang yang zalim kerana memilih kesesatan: sesungguhnya mereka adalah daripada kalangan orang-orang yang rugi kerana mereka membiarkan diri mereka serta keluarga mereka serta orang-orang yang dipimpin oleh mereka berada dalam kesesatan. Mereka akan disiksa kerana Allah berfirman;
Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal (lama) dan tidak ada jalan untuk membebaskan diri lagi.

"Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong yang lain daripada Allah yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk mendapat hidayat petunjuk)". (46)

Kecewalah mereka kerana tidak ada siapapun yang boleh menolong mereka. Orang-orang yang sesat lantaran mereka memilih jalan yang salah tidak akan mendapat kebenaran baik semasa berada di dunia dan pada hari akhirat mereka akan disiksa.


Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azabNya) dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan). (47)

Allah mengingatkan supaya beriman sebelum datangnya hari akhirat yang menggemparkan dan tak dapat ditolak kehadirannya . Bagi yang tidak beriman; pada hari itu tiada siapa yang dapat menolong dan tiada tempat berlindung daripada azabnya. Pada hari itu tiada dapat menyorok segala perbuatan kerana telah ada kitab catatan dan ada pula saksi-saksi sehingga tidak dapat mencari alasan untuk menafikan segala dosa yang telah dilakukan. Ayat ini sama seperti dalam ayat 10 hingga 15 surah al-Qiyamah:

(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri? (10) Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! (11) Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. (12) Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan. (13) Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, (14) Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri). (15)[Al-Qiyamah 10 hingga 15]

Saturday, January 30, 2010

Suasana Alam akhirat (44)- Surah As-Syura (Musyawwarah) SAMBUNGAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini ditulis tentang suasana pada hari akhirat SAMBUNGAN daripada N3 sebelum ini iaitu seperti dalam surah As-Syura iaitu surah ke 42 dalam al-Quran Al-Karim.

"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian daripada agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya". (21)

Orang-orang musyrik dipengaruhi syaitan untuk menyembah selain Allah. Syaitan memperelokkan perbuatan syirik sehingga orang-orang musyrik nampak indah dan mereka sesat serta tidak mempercayai adanya hari kiamat dan hari pembalasan serta mereka mengamalkan adat-adat yang tidak diizinkan Allah. Jika tidak kerana rahmat Allah tentulah Allah telah menurunkan siksa tanpa menangguhkannya, tetapi mereka ini Allah janjikan siksa yang amat azab pada hari kiamat kelak dan akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam.

"(Pada hari kiamat) engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan buruk) bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, sedang azab seksa itu tetap menimpa mereka dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (bersenang-lenang) dalam taman-taman Syurga; mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar". (22)

Orang-orang yang zalim yakni orang-orang yang mengadakan syari'at sendiri dengan tidak mengikut syari'at Allah akan melihat siksaan dan mereka amat takut serta merasa ngeri dengan balasan buruk yang akan mereka terima hasil perbuatan buruk mereka semasa di dunia. Manakala orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan mendapat balasan syurga dan mereka akan bersenang-senang menikmati apa sahaja yang mereka ingini.

Tuesday, January 26, 2010

Suasana Alam akhirat (43)- Surah As-Syura (Musyawwarah)

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini ditulis tentang suasana pada hari akhirat dalam surah As-Syura iaitu surah ke 42 dalam al-Quran Al-Karim.

Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) "Ummulqura" dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka(Sa'ir). (7)

Alllah menetapkan bahawa Nabi Muhammad saw hanyalah pembawa wahyu yang Allah sampaikan kepada baginda. Allah turunkan dalam bahasa 'Arab sesuai dengan bahasa kaumnya. Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad saw memberi peringatan menerusi al-quran ini kepada penduduk kota Mekah yang menjadi ibu kota Arab masa itu. Dikhaskan sebutan Ummulqura ialah kerana mereka itulah yang mula2 sekali diberi peringatan; ini tidak bermakna bahawa Nabi Muhammad saw hanya diutus untuk mereka; bahkan Nabi Muhammad diutuskan untuk seluruh manusia seperti dalam surah saba' ayat 28

Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya..., (Saba' [34] : 28)

Adapun peringatan yang dimaksudkan ialah meliputi urusan dunia dan juga urusan di akhirat; kemudian dikhaskan pula peringatan tentang urusan akhirat sahaja kerana akhirat lebih dahsyat kerana sangat menggemparkan "serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu)". Diperingatkan juga bahawa seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar pada hari kiamat untuk diperkirakan amalan dan hari itu tak perlu diragukan kerama mempunyai dalil-dalil yang cukup, tepat sama ada berdasarkan hukum aqal mahupun hukum naqli (daripada sumber yakni al-quran).

Adapun hikmah adanya hari kiamat dan akhirat ialah tidak lain dan tidak bukan untuk memberi balasan pahala kepada yang berbuat baik dan memberi siksa kepada yang berbuat jahat. Perkara ini tak boleh disangkal kerana satu golongan akan dimasukkan ke syurga manakala satu golongan lagi akan dimasukkan ke neraka sa'ir.

Ayat ini maksudnya sama seperti ayat 105 surah Hud;

(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada pula yang berbahagia. (Hud [11] : 105)

InsyaAllah sambung dengan ayat-ayat setrusnya dalam surah AS-Syura ini.