Showing posts with label qalbun salim. Show all posts
Showing posts with label qalbun salim. Show all posts

Friday, April 5, 2013

Hakikat Dunia dan Kematian

Sumber 


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Seorang penyair berkata ;

"Hai orang yang sibuk menguruskan dunia!
Sungguh, engkau telah tertipu oleh angan-anganmu yang panjang.
Mengapa sentiasa engkau leka?
Maut itu akan datang kepadamu dengan tiba-tiba
dan kubur itu adalah peti segala amal.
Sabarlah terhadap ketakutan-ketakutan yang ada di dalam dunia.
Tiada kematian, melainkan ajalnya telah tiba."

Imam al-Dailami meriwayatkan hadis, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Meninggalkan dunia itu lebih pahit daripada jadam dan lebih pedih daripada goresan pedang di medan fi sabilillah dan tiada yang mahu meninggalkannya, melainkan orang yang Allah anugerahkan orang itu seperti yang dianugerahkan kepada para syuhada'. Meninggalkan dunia adalah dengan cara sedikit makan dan kenyang dan tidak suka dipuji manusia, kerana siapa yang suka dipuji manusia, bererti dia sukakan dunia dan nikmatnya. Barangsiapa yang suka memperoleh kenikmatan yang sebenar-benarnya hendaklah dia meninggalkan dunia dan pujian daripada manusia."

Imam Ibn Majah meriwayatkan. sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang berniat untuk mendapatkan akhirat, maka Allah SWT akan mengumpulkan potensinya, membuatnya kaya jiwa dan dunia akan datang kepadanya dengan melimpah-limpah. Barangsiapa yang berniat untuk memperoleh dunia (tujuan utamanya) maka Allah SWT mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kemiskinan di hadapan matanya dan tidak memeperoleh dunia, kecuali apa yang ditentukan untuknya."

Apa yang boleh kita ambil pengajaran daripada apa yang ditulis di atas ialah kaya dalam Islam bukanlah orang yang melimpah ruah kekayaannya, sebaliknya hakikat kaya ialah orang yang dapat menikmati harta kekayaannya dan berpuashati dengan apa yang dimilikinya dan digunakan sebagai wasilah untuk mencapai tujuan hidup iaitu menggapai redha Allah SWT. Harta yang ada digunakan untuk beribadah sehingga dia berasa aman tenteram dan benar-benar bahagia.

Betapa ramai orang yang melimpah ruah harta kekayaannya namun tidak tenteram. Jadi adakalanya orang yang kaya harta namun hatinya sangat miskin. 

Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada tergolong di kalangan orang kaya harta tetapi miskin jiwa.. Allahu al-Musta'an

Friday, December 14, 2012

Harta Sebagai Wasilah Untuk Akhirat

tentera semut
Gambar Hiasan : Googles


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum.

Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Selawat serta salam buat Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Lama tak update blog.. Hari ini alhamdulillah diberi kekuatan meng'update'. Itupun copy n paste daripada sebaik-sebaik kekayaan adalah kaya jiwa  .. ditulis dalam ruangan komen di link yang diberi.

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ". (Al-Qasas 28:77) 


Walaupun ayat ini dinasihatkan kepada Qarun namun kena dijadikan panduan oleh kita semua.

Ada dua tujuan Allah ciptakan segala yang ada di bumi dan langit iaitu aqidah dan kebendaan

Allah ciptakan segala-galanya untuk menunujukkan kesempurnaan qudrahNya. Seolah-olah Allah berkata; "Wahai Anak Adam! lihat tumbuh-tumbuhan, binatang dan semua yang Aku ciptakan ini supaya kamu boleh lihat kesempurnaanKu. Melihat semuanya itu kamu semakin sedar kewujudan Aku. 

Dengan melihat segala ciptaan Allah, manusia akan yakin kepada Allah SWT, bila lihat cili bersebelahan tebu tetapi rasanya berbeza, akan berkata seperti dalam ayat ali Imran 191

Sekarang kamu dah dapat rasa kesempurnaan qudrah Allah SWT maka rasalah, nikmatilah kurniaanNya. 

Apa saja yang Allah berikan kepada kita pastikan bahawa semua itu adalah wasilah untuk mencapai kejayaan di akhirat. Ambil sedikit untuk kegunaan di dunia tapi jangan lupa fungsi asalnya.

Bila orang diberi 10 tapi hanya perlu 3 maka yang 7 itu jadikan wasilah untuk akhirat.

Orang yang sihat tentulah bepeluang buat baik lebih daripada orang sakit.Orang kaya tentulah lebih berpeluang daripada orang miskin tapi bukan bermaksud orang miskin susah memasuki syurga.

Hamka ada menulis, jika kamu seorang yang kaya senang-senangkan hatimu kerana Allah telah membuka jalan yang lebar bagi kamu untuk ke syurga, jika kamu seorang yang miskin senang-senangkan hatimu kerana dengan kemiskinan kamu, kamu terbebas daripada kedengkian orang, dengan kemiskinan kamu, kamu boleh tidur di mana-mana tanpa rasa takut. 

Senang-senangkan hatimu, pastikan apa yang Allah SWT berikan kepada kamu itu kamu gunakan sebagai wasilah untuk akhirat, tak salah gunakan sebahagiannya di dunia. Itulah qana'ah. Sebahagian besarnya untuk tujuan akhirat.

Abu abbas al-Mursi kata masa manusia terbahagi kepada 4 sahaja; masa nikmat, masa susah, masa taat dan masa maksiat. Apapun masa kita pastikan kita gunakan untuk tujuan akhirat.

Setiap hamba Allah mempunyai EMPAT waktu, iaitu

1. Waktu mendapat nikmat.
2. Waktu mendapat ujian dan cubaan.
3. Waktu melakukan ketaatan.
4. Waktu melakukan maksiat.

Apabila mendapat nikmat bersyukurlah, bila waktu mendapat ujian dan cubaan; redha dan bersabarlah, jangan sekali-kali berkeluh kesah.

Waktu melakukan ketaatan; ingatlah bahawa Allahlah yang memberi petunjuk dan kekuatan, beristighfar serta berdoalah agar ibadah diterima.

Waktu melakukan maksiat, ingatlah Allah Maha Pengampun lalu bersegeralah bertaubat.

Daripada segi qalbun salim, bila kita sakit jangan segera minta sembuh, bila rugi jangan segera minta untung sebab bila kita sakit atau rugi Allah berikan kita peluang untuk sabar. Jangan mengeluh. Allah Maha Tahu apakah amalan hambaNya yang mudah dilakukan oleh hambaNya sebagai jalan menuju ke syurga.. 

Orang sakit jangan dengki kepada orang sihat, orang rugi jangan dengki kepada yang untung. Jadi bersabarlah. Allah dah kata bila orang tu diberikan nikmat bila bersyukur tak perlu minta Allah tambahkan. Orang musibah tak perlu berkeluh kesah, lihat Nabi Yunus dah ditelan ikan, dia tak mintapun dilepaskan tapi asyik mengaku kesilapan diri, memuji Allah, lihat bagaimana Allah mengampunkan dan meninggikan darjat.

Mengembalikan amalan kepada Allah itulah ikhlas jika mengembalikan kepada diri sendiri itulah ujub maka akan terhumban ke neraka. Merasa dah buat banyak kebaikan bercakap seolah-olah apa yang kita buat dah banyak.

Mudah-mudahan memberi manfaat.

Wednesday, May 30, 2012

Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat


Sumber

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah pemilik alam semesta mentadbir sendirian. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad rahmat bagi sekelian alam, keluarga serta para sahabat.


SALAH satu doanya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT supaya tidak ditimpakan kehinaan pada hari kiamat. Nabi Ibrahim berdoa: 

“Dan janganlah Engkau hinakan daku pada hari makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).” (Surah al-Syu'ara, ayat 87-89)
Berdasarkan doa diucapkan Nabi Ibrahim, terdapat tiga perkara yang menarik diberikan perhatian oleh setiap Muslim. 
Pertama, kebimbangan Nabi Ibrahim tentang azab yang pedih pada hari akhirat. Sebagai Nabi, bahkan bapa segala nabi dan rasul, juga bergelar Khalil Allah yang bermaksud kekasih Allah, Nabi Ibrahim masih bimbang serta takut jika ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT pada hari kiamat. Inilah sifat mulia Nabi Ibrahim yang sewajarnya dicontohi. 

Kedua, tiadanya nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Untuk neraca piawaian duniawi, harta dan anak termasuk pengikut adalah petunjuk utama menentukan status serta darjat sosial manusia. Namun pada hari akhirat nanti, kesemua itu tidak menjadi perkara penting dan tidak ada harganya kerana kenikmatan di syurga tidak dapat dijual beli, apatah lagi malaikat sebagai barisan pelaksana perintah Allah tak mungkin dapat diminta belas kasihan untuk melepaskan diri daripada azab dan kesengsaraan. 


Ketiga, kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat. Jaminan keselamatan dan kebahagiaan hanya diberikan kepada orang yang datang menghadap Allah dengan hati bersih dan sihat atau qalbun salim.

Dalam kata lain, hati memainkan peranan penting mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Malah, hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. 


Anggota tubuh badan manusia tidak berfungsi secara keseluruhannya kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq serta sifat mazmumah. 

Perlu ditegaskan, ada banyak pendapat daripada ulama tafsir berkaitan asal usul kalimah qalbun salim ini yang asasnya berkisar kepada tiga makna

Pertama, seperti dikemukakan Ibnu Katsir dan al-Alusi, qalbun salim bermaksud sejahteranya hati daripada penyakit syirik atau kepercayaan sesat. Hati sihat bererti memiliki akidah yang benar, lurus, bebas daripada segala bentuk kemusyrikan dan kesesatan. 


Kedua, qalbun salim bererti bersih daripada penyakit hati iaitu sifat mazmumah seperti riak, hasad dengki, sum’ah, sombong dan sebagainya

Permulaan surah al-Baqarah, dikemukakan tiga golongan manusia iaitu orang yang bertakwa (al-muttaqun), orang kafir (al-kafirun) dan orang munafik (al-munafiqun). 

Golongan yang disebut terakhir ini (orang munafik - al-munafiqun) adalah orang yang hatinya berpenyakit seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: 

“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) ada penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” (Surah al-Baqarah, ayat 10) 

Hati yang bersih dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain. 

Ketiga, seperti badan yang sihat, hati sihat juga memiliki kesempurnaan dan kekuatan melakukan tugas sesuai dengan maksud penciptaannya sebagai hamba dan khalifah Allah. Fungsi hati yang utama adalah untuk mengenal Allah SWT, iaitu dengan iman dan takwa, seperti maksud sabda Rasulullah SAW: “Takwa itu di sini, dan baginda SAW menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali.” (Hadis riwayat Baihaqi) 

Satu perkara tidak dapat disangkal adalah hati yang sihat sumber segala kebaikan dan pendorong amal salih. Di sini, hanya hati yang disebut sebagai sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat, bukannya anggota tubuh badan lain. 

Hal ini, menurut imam al-Razi, kerana jika hati sihat, seluruh anggota badan yang lain ikut sihat. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Tiga perkara menarik di sebalik doa Nabi Ibrahim 
  • Bimbang ditimpa kehinaan dan azab pedih pada hari akhirat; 

  • Nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan tiada nilai pada hari kiamat dan 

  • Kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Berita Harian2012/05/25

Wednesday, June 8, 2011

Takut dan Taat Kepada Allah dan rasul

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 



Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Allah dan Rasul memberikan perintah dan larangan pasti ada manfaat dan mudharatnya. Kita sebagai hambaNya perlu patuh dan takut kepadaNya. Biarpun Allah memberikan kebebasan memilih sepenuhnya kepada kita dalam hal pilihan (ikhtiyari), Allah pasti membalas kebaikan dengan kebaikan, keburukan dengan keburukan.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (A-li'Imraan 3:32
Kisah satu:

Sabda Rasulullah SAW:

["Janganlah seseorang kamu makan dan minum menggunakan tangan kiri, kerana sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan tangan kirinya." (Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i daripada Abdullah bin Umar)

Mengapa tidak mahu makan dengan menggunakan tangan kanan? Cacat atau kudung? Hendak kata lumpuhpun tidak tetapi mahu menyuap dengan tangan kiri. Di manakah logiknya. Barangkali mahu meniru gaya makan orang-orang yang dikatakan moden dan maju?

Puncanya adalah daripada dalaman, ada sifat sombong di sana. Sifat yang mengeluarkan Iblis daripada syurga.

Daripada Salamah bin al-Akwaa' bahawasanya seorang lelaki makan di sisi Rasulullah SAW dengan tangan kirinya lalu Baginda menegurnya dengan bersabda : "Makanlah dengan menggunakan tangan kananmu." Lelaki itu menjawab, "Aku tidak berupaya berbuat demikian". Baginda bersabda lagi, : "Kamu tidak berupaya?" Sebenarnya tidak ada sesuatu yang menghalang kamu daripada berbuat demikian melainkan kerana didorong oleh perasaan sombong." Salamah berkata : "Orang itu akhirnya tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya (cacat selamanya) (HR Muslim)

Islam banyak sekali menyaran kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan mendahulukan tangan (dan kaki) kanan bagi perkara-perkara yang baik. Jika kita mematuhi saranan Islam Allah akan beri ganjaran. Janganlah ikut telunjuk syaitan yang mengajak kita terjerumus ke dalam perangkapnya] semua yang dalam braket ni disalin dari Kanan VS Kiri.

Mesej daripada kisah ini ialah; perintah Allah dan perintah nabi biar sekecil manapun kita mesti ikut sebab pasti ada manfaat dan mudharatnya. Orang tadi dia tak buat kerana meremehkan perintah Rasul.
Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (An-Nuur 24:63)

Maksudnya orang yang tak takut dan tidak taat kepada Allah dan RasulNya, pasti Allah beri bencana di dunia lagi. Jika terlepas di dunia dia tak akan terlepas di akhirat. Contoh orang tadi jika dia makan dengan tangan kanan selepas Rasulullah menegurnya tentu Allah tak berikan musibah kepadanya.


Kisah dua;

Hadis Riwayat Bukhari: Daripada Abdullah bin Umar (Ibnu Umar, anak khalifah Umar Ibnul khattab) "Rasulullah saw pernah memakai cincin terbuat daripada emas dan ramai pula para sahabat memakainya. Lalu nabi bersabda; "Sesungguhnya aku memakai cincin daripada emas lalu aku buang, kamu dan aku tak akan memakai cincin emas lagi".

Sebelum Nabi kata buang sebahagian daripada mereka dah tanggalkan dan buang. Apabila ada lagi yang memakainya, nabi tarik dan nabi buang, "Kamu meletakkan bara api di tapak tangan kamu lebih baik daripada memakai cincin emas". Nabi campak depan mata sahabat, ada sahabat kata ambillah boleh bagi kepada isteri"; ada sahabat lain pula kata, "aku takkan ambil semula sebab nabi yang membuangnya"



Subhanallah n masyaAllah ramai di antara para sahabat terdahulu yang banyak menggunakan rasa takut dan taat kepada Allah, mereka tak tanyapun kenapa tak boleh pakai emas, kenapa harus berwudhuk, mereka dengar dan taat. Kita bagaimana?

Sunday, January 24, 2010

Ilmu menjadikan kita takut kepada Allah

Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.

Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya:


Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. (al-Faatir: 28)


Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.

Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.

Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata, "Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata: "Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".

Abu Muhammad r.a pernah ditanya: "Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan: "Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".

Al Wasiti r.a berkata: "Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata: "Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a: "Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".

Beliau berkata lagi: "Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".


Allah SWT berfirman (maksudnya):


Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat. (al-Rum: 7)


Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)". (riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)

Fudhail ibn 'Iyadh berkata: "Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".

Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.

Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.

Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.

Berkata sebahagian ulama: "Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".